SELAMAT HARI GURU, CIKGU!

Saturday, May 15, 2010

Sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini, sagahayat menyenaraikan 7 fakta tentang guru. Untuk semua guru di Malaysia, Selamat Hari Guru, Cikgu!

DEFINISI GURU - Guru berasal dari bahasa Sanskrit गुरू. Kamus Dewan Edisi Ketiga mendefinisikan guru sebagai orang yg mengajar, pendidik, pengajar dan pengasuh. Tesaurus Bahasa Melayu Dewan (1998) pula menterjemahkan guru sebagai cikgu, pensyarah, profesor, pengajar, pendidik, pembimbing, penceramah, pengasuh, pemandu, instruktur, jurulatih, pemimpin, ustaz, ustazah, ulama, kiai, mualim. Dari segi agama pula misalnya agama Hindu dan Sikh, guru mempunyai maksud yang lebih tinggi. Ia biasanya merujuk kepada para pendita yang mempunyai ilmu mendalam dalam hal-hal kerohanian. Perkataan Guru juga diguna secara universal. Di barat, guru merujuk kepada orang yang mendalami spiritual.

GURU DALAM PEPATAH - Terdapat sekurang-kurangnya tujuh pepatah yang terkandung perkataan ‘Guru’ iaitu;
i. Akan mengaji, surat 'lah hilang; akan bertanya, guru 'lah mati.
ii. Sukakan gaharu kerana baunya, sukakan guru kerana ilmunya.
iii. Kemahiran itu sebaik-baik guru.
iv. Kurang sisik, tinggal lidi di buku; selidik, tinggal kaji di guru.
v. Kalau guru makan berdiri, maka muridnya makan berlari.
vi. Guru kencing berdiri, murid kencing berlari
vii. Bak nyiru bak tampian, bak guru bak anak sasian.

GURU PADA NAMA TEMPAT - Guru juga ‘diabadikan’ pada beberapa nama taman perumahan di negara ini. Sekadar menyebut beberapa contoh, berikut adalah antara ‘taman perumahan guru’;
i. Taman Guru, Jalan Gambang, 25000 Kuantan, Pahang
ii. Desa Guru, Jalan Sultan Tengah Petra Jaya Kuching, Sarawak
iii. Taman Guru Jaya, Kangar, Perlis
iv. Taman Guru, 81900 Kota Tinggi , Johor
v. Taman Guru 16150 Kota Bharu, Kelantan

HARI GURU - Hari Guru Antarabangsa ditetapkan oleh UNESCO pada 5 Oktober setiap tahun. Tetapi di Malaysia, Hari Guru disambut pada setiap 16 Mei sebagai penghargaan kepada para guru. Tarikh 16 Mei dipilih kerana pada tarikh yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dasar itu telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan sejak dari itu dan dinamakan Laporan Razak. Berikut adalah Hari Guru yang berbeza di seluruh dunia.
  • Albania - 7 Mac
  • India - 5 September
  • China - 10 September
  • Republik Czech - 28 Mac
  • Korea Selatan - 15 Mei
  • Russia - 5 Oktober
  • Vietnam - 20 November
  • Taiwan - 28 September
  • Thailand - 16 Januari
  • Brazil – 15 Oktober
  • Mexico – 15 Mei

UNIKNYA GURU - Di sekolah, seorang guru juga memegang sekurangnya-kurang 10 kerjaya lain termasuklah Tukang Kebun, Tukang Kayu, Tukang Masak, Jururawat, Kerani, Jurulatih, Pengaturcara Majlis, Juruacara, Polis & Pengawal Keselamatan. Tetapi mutakhir ini, lebih ramai guru yang bertukar kerjaya kepada yang lebih profesional seperti Penulis, Pensyarah, Pengarah Institusi, Ahli Politik, Saintis & Menteri. Uniknya profesion guru adalah tidak kira di mana tempat sekalipun sama ada bandar, luar bandar, pekan, kampung, pedalaman dan sebagainya pasti wujud sekurang-kurangnya seorang guru.

KILANG GURU - Guru-guru Malaysia kebanyakannya dikeluarkan dari Institut Perguruan ataupun kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Terdapat 27 IPGM di seluruh negara iaitu IPGM Perlis, IPGM Darul Aman, IPGM Sultan Abdul Halim, IPGM Persekutuan P.Pinang, IPGM Tuanku Bainun, IPGM Ipoh, IPGM Bahasa Melayu Malaysia, IPGM Bahasa-Bahasa Antarabangsa, IPGM Ilmu Khas, IPGM Teknik, IPGMIslam, IPGM Raja Melewar, IPGM Perempuan Melayu Melaka dan IPGM Tun Hussein Onn. IPGM lain termasuklah IPGM Temenggung Ibrahim, IPGM Tengku Ampuan Afzan, IPGM Kuala Terengganu, IPGM Sultan Mizan, IPGM Kota Baharu, IPGM Gaya, IPGM Kent, IPGM Tawau, IPGM Keningau, IPGM Batu Lintang, IPGM Serawak, IPGM Rajang dan IPGM Tun Abdul Razak.
Namun ‘kilang’ sebenar yang menghasilkan seratus peratus guru adalah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Selain itu, Institut Pengajian Tinggi Awam di seluruh Malaysia seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia & Universiti Putra Malaysia dan lain-lain turut menawarkan kursus pendidikan.

GURU PALING POPULAR - Antara guru yang popular di Malaysia termasuklah Tan Sri P.Ramlee menerusi filem Masam Masam Manis, Roseyatimah (Pendekar Bujang Lapok), A.R Badul (Guru Badul), Noorkumalasari (Adik Manja), Erra Fazira (Sembilu 2005) dan Fasha Sandha (Berlari Ke Langit) dan Adibah Noor (Talentime). Antara guru yang popular di dunia ialah Takeshi Sorimachi menerusi drama bersiri Great Teacher Onizuka (GTO), Sidney Poitier (To Sir With Love), Hilary Swank (Freedom Writers), Julia Roberts (Monalisa Smile), Jack Black (School of Rock) dan Michelle Pfeiffer (Dangerous Minds).

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca
Petikan Sajak Guru O Guru, Usman Awang 1979

SENANDUNG ANAK LAUT

Thursday, May 13, 2010

Untuk anak-anak ini, jadilah nakhoda yang mengemudi hidup di samudera yang bergelora bersama harapan dan kejayaan. Hidup adalah perjuangan. Hadapinya dengan senyuman.

Burung camar hinggap di jejari
Seorang nelayan sedang bermimpi
Mimpi tentang duyung mimpi tentang untung
Biduk hanyut dibawa ombak Laut China Selatan

Dalam mimpi berkata sang duyung
Wahai nelayan kau anak laut
Disini tempatmu disini rezekimu
Pengorbanan yang kau lakukan ada balasannya

Mega mendung laut pun bergoncang
Nelayan tersentap bingung sesat haluan
Sang mentari terlindung pantai tak kelihatan
Tawakal jalan akhirnya

Dalam pondok kecil meratap rintihan
Seorang ibu memandang hari muka
Sambil dia menyusukan bayi yang kehausan
Ufuk timur hilang dari pandangan

Wahai anak yang sedang menangis
Mungkin kini kau tak mengerti
Bila kau dewasa dan pandai nanti
Pengorbanan ayahmu sayang jangan kau lupakan



*Lirik lagu Senandung Anak Laut Kumpulan Kembara

CARTA 7 HUKUMAN TERBAIK

Tuesday, May 11, 2010




Sempena hari guru yang bakal menjelang tidak lama lagi, sagahayat mempersembahkan carta 7 hukuman terbaik zaman sekolah. Rata-rata hukuman yang pernah dihadapi ini lebih kurang sama dengan hukuman atau denda bagi murid-murid di seluruh Malaysia, tetapi menerusi sagahayat ianya diceritakan secara lebih terperinci dalam mengenang nostalgia bangku sekolah.



TANGGA KETUJUH

Hukuman = Angkat beg dengan muatan maksima di luar kelas

Sebab musabab = Tidak siap kajian tempatan sejarah

Guru yang bertanggungjawab = Cikgu Rasimah (Guru Sejarah Tingkatan 1)

Kesan Sampingan = Aib. Tangan lenguh sepanjang hari

Impak = Kajian Tempatan siap serta merta!


TANGGA KEENAM

Hukuman = Buat amali di luar kelas (bukan zaman sekolah tapi zaman universiti)

Sebab musabab = Datang lewat 5 minit untuk kelas amali

Guru yang bertanggungjawab = Prof. Madya Dr.Azraii (Pensyarah Amali Biologi)

Kesan Sampingan = Tak dapat fokus menjalankan amali

Impak = Sumpah Dr.Azraii! Lepas ni kami datang awal!Malu awek-awek tengok.


TANGGA KELIMA

Hukuman = Hujung jari-jemari dipalu dengan pembaris kuning

(keadaan jari seperti bentuk ‘burung’ one two som)

Sebab musabab = Tidak mendapat A atau B untuk ujian bulanan matematik.

Guru yang bertanggungjawab = Cikgu Hasbullah (Cikgu Matematik Tingkatan 3)

Kesan Sampingan = Sukar untuk menulis dan jari kurang berfungsi dengan baik untuk beberapa ketika.

Impak = Mendapat sekurang-kurangnya B untuk ujian bulanan seterusnya.


TANGGA KEEMPAT

Hukuman = Betis dipukul dengan penyapu.

Sebab musabab = Tidak menulis hari, tarikh dan matapelajaran dalam buku tulis

Guru yang bertanggungjawab = Ustaz Saad (Guru Bahasa Arab Tingkatan 2)

Kesan Sampingan = Betis terasa pijar dan penyapu kelas patah dua

Impak = Jangan pandang rendah pada Ustaz Saad!


TANGGA KETIGA

Hukuman = Dikurung 2 jam dalam bilik Tv sekolah

Sebab musabab = Merayau-rayau sekitar sekolah

Guru yang bertanggungjawab = Cikgu Hizbullah (Guru Disiplin sekolah rendah)

Kesan Sampingan = Hampir tiada. Sebab? Dapat lepak borak-borak dengan kawan-kawan yang sama-sama kena kurung dan tak payah masuk kelas.

Impak = Kad Keluar Kelas menjadi rebutan kalau nak keluar kelas


TANGGA KEDUA

Hukuman = Jalan itik keliling blok

Sebab musabab = Datang lewat perhimpunan

Guru yang bertanggungjawab = Cikgu Jet Li (Guru Disiplin sekolah menengah)

Kesan Sampingan = Kaki menggigil naik tangga. Sukar untuk membuang air besar apabila memerlukan posisi bercangkung.

Impak = Sanggup tak sarapan pagi sebab takut terlewat perhimpunan


JUARA CARTA

Hukuman = Buku teks dihempas ke muka dengan kuat.

Sebab musabab = Tidak membalut buku teks dengan plastik lut sinar (Balut buku teks dengan kertas minyak atau kertas surat khabar tidak diterima)

Guru yang bertanggungjawab = Ustazah Saadiah (Guru Agama Tahun 1)

Kesan Sampingan = Muka pijar dan merah. Air mata bertakung. Tertanya-tanya sampai sekarang. Bercita-cita jadi guru supaya dapat balas dendam pada anak ustazah (Ini tidak betul!hehehe)

Impak = Minta kakak balut buku teks dengan plastik lut sinar petang itu juga! Kalau boleh buku tulis pun nak balut.


Walau apa pun hukuman atau denda yang dikenakan, semuanya adalah demi kebaikan. Walakin kita terpaksa menerima hukuman yang cukup berat bagi kesalahan yang kecil di usia yang cukup mentah. Baik buruk manapun seorang guru, ilmunya yang mahu diraih. Dan perih-jerihnya mendidik anak bangsa, hanya dia yang tahu. Demi menebus khilaf sendiri dan berkatnya ilmu seorang pendidik, ku turutkan saja.


Nota : Aku masih menerima hukuman walaupun di menara gading!


AIR MATA IBU

Sunday, May 9, 2010

Suatu masa, lebih kurang 10 tahun yang lalu..............

Peperiksaan SPM bakal menjelang tidak lama lagi. Semua pelajar sudah siap sedia dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi ujian paling besar itu. Sekolahku juga tidak ketinggalan mengadakan majlis bacaan yasin dan solat hajat bagi sandaran rohani untuk semua pelajar. Surat jemputan sudah siap diedar. Hanya menunggu hari majlis akan dijalankan. Aku menelefon ibuku untuk memastikan kehadirannya bersama bapaku dalam majlis ini. Besar harapanku agar doa yang dititipkan ibubapaku bersama-sama para ibubapa kawan-kawan sekolahku yang lain dimakbulkan tuhan. Boleh juga aku perkenalkan mak dan abah pada guru dan kawan-kawan rapatku. Tetapi seperti tiada jawapan yang pasti keluar dari mulut ibuku dihujung talian.

Pada majlis itu, semua pelajar dan guru begitu sibuk. Tikar-tikar dibentang di dalam dewan besar untuk memuatkan lebih ramai jemaah. Makcik-makcik di dewan makan pula bekerja keras menyediakan makanan. Menjelang petang sudah ramai para ibubapa pelajar dari jauh dan dekat memenuhi dataran sekolah. Kawan-kawanku begitu ceria dengan kehadiran ibubapa, adik beradik dan saudara mara mereka. Senja menjelma. Tapi aku masih sendiri.

Selepas solat maghrib semua jemaah sama-sama mengerjakan solat hajat. Ketika itu kelibat ibubapaku masih tiada. Selesai solat hajat majlis diteruskan dengan majlis bacaan yasin. Ibu dan bapaku masih tiada. Sesudah isyak semua tetamu, guru dan pelajar dijemput ke dewan makan untuk menjamu selera. Ada juga kawan-kawanku yang tidak ke dewan sebalik ke kelas atau kantin untuk menikmati juadah air tangan ibu mereka.

Saat aku duduk bersendirian, seorang kawanku menyapa. “Mak bapak kau mana? Diorang tak datang ke? Atau kau anak yatim?”. Hatiku termengkelan. Akulah satu-satunya pelajar yang tidak dikunjungi ibubapa sendiri pada malam itu. Aku berlalu dari situ menuju ke asrama seorang diri. Sebal. Begitu sebal.

Seminggu berlalu aku pulang ke kampung seperti biasa. Sampai di rumah aku langsung tidak bercakap dengan ibuku. Begitu juga dengan bapaku. Aku berasa kesal dengan tindakan mereka. Hati terus memberongsang. “Mak bapak yang tinggal jauh 3 jam dari sekolah pun boleh datang jenguk anak sendiri. Inikan pula mak abah yang tinggal tak sampai sejam dari sekolah. Takkan tak boleh datang!”. Monolog hati membentak-bentak.

Dua hari aku tidak bercakap dengan ibuku. Kalau ditanya pun aku hanya menjawab sepatah dua. Sebelum aku balik semula ke asrama ibuku sempat memegang tanganku. Air matanya mengalir. Dia tahu aku cukup marah sebab dia tidak hadir pada majlis itu. “Mak minta maaf. Bukan mak tak nak datang. Tapi mak abah dah tua. Nak naik motor ke sana memang terlalu jauh bagi kami. Tambah lagi jalan kesana banyak kereta. Abah pun tak biasa jalan jauh naik motor malam-malam. Adik-beradik yang lain pun tak dapat hantar mak abah sebab semua ada hal masing-masing”.

Ibuku sempat menyelitkan dua keping not RM10 dalam genggaman tanganku. Tangan suci ibuku aku cium. Pipi kanan kirinya aku kucup. Air mataku bertakung menanti luruh. Sungguh-sungguh aku meminta ampun. Tidak mungkin lagi aku menyakiti hati wanita yang berkorban jiwa raga membesarkan aku selama ini. Aku berjanji demi ibuku. Namamu ibu akan kujunjung. Martabatmu selalu ditempat yang paling agung. Ibu, ampunkan segala salah dan silapku...


Buat ibuku Shamsidar Binti Hassan,

SELAMAT HARI IBU

CERITA DALAM LAGU

Kadang-kadang kalau kita dengar sesebuah lagu pasti mengingatkan kita pada momen saat lagu itu tengah popular. Padahal lagu itu bukanlah lagu yang paling digemari ataupun sedap sangat. Tetapi garis masa hidup ini juga dapat ditentukan melalui lagu-lagu tertentu. Sebagai contoh orang selalu berkata “Eh lagu ni masa aku darjah tiga”.

LELAKI INI – Aku mendapat undangan perkahwinan kawanku nun jauh di Rantau Panjang, Kelantan. Jadi aku dan tiga rakan yang lain berpakat untuk berkereta ke sana memenuhi undangan walimatul urus itu. Perjalanan melebihi 6 jam itu kami penuhi dengan berbual sambil mendengar radio. Dan lagu yang paling kerap diputarkan adalah lagu Lelaki Ini. Faham-faham sajalah radio swasta. Lagu yang sama diulang banyak kali. Naik bosan juga dengar lagu ini!


HI HI BYE BYE – Kawanku mengajakku ke Pulau Pinang untuk melawat adiknya disana. Jadi aku dan seorang kawan lagi sama-sama bergerak ke Pulau Mutiara. Kami singgah di Gunung Semanggol untuk mengambil seorang lagi rakan disana. Rakan aku yang seorang ini sangat menggemari lagu Hi Hi Bye Bye sehinggakan kami terpaksa berlegar-legar dahulu di parking lot semata-mata hendak menghabiskan lagu berkenaan. Maka dengan itu, Hi Hi Bye Bye adalah lagu yang mengingat aku pada ‘makan angin’ di Bukit Bendera, Padang Kota dan Bukit Merah Lake Town Resort.


SENGGOL-SENGGOLAN CUBIT-CUBITAN – Radio, walkman ataupun yang seumpamanya adalah antara alatan yang diharamkan di bawa ke asrama. Sudah pasti untuk mendapatkan hiburan ada juga yang membawa alatan ini secara curi-curi. Begitu juga dengan aku yang membawa radio kecil semasa zaman asrama tingkatan tiga. Waktu prep malam adalah masanya dan tepi padang adalah tempatnya kami berkumpul berborak-borak sambil mendengar radio sebab malas nak study. Ketika lagu Mas Idayu itu sedang diputarkan, seorang warden asrama mendekati kami. Kami jatuh terguling-guling melarikan diri takut ditangkap warden. Padahal warden itu tak nampak kelibat kami pun. Demi menyelamatkan diri dan ‘Mas Idayu’ daripada ditangkap, kami akhirnya kehilangan bateri radio.


TRAUMA – Berkhemah merupakan aktiviti tahunan yang wajib kami lakukan setiap tahun. Taman Negara di sebuah negeri di utara menjadi destinasi kami pada tahun itu. Salah seorang ahli perempuan yang mengikuti ekspedisi ini sangat menggemari lagu Trauma. Tak kiralah sama ada sedang trekking, sedang bersantai ataupun sedang memasak dia tetap menyanyikan lagu yang sama iaitu Trauma. Dengan tubuh kecil dan bersuara leper dia mendendangkan lagu itu bagi menghiburkan hatinya dan orang lain. Paling tak tahan apabila dia cuba mencapai high pitch dengan raut wajah yang meyakinkan. Trauma secara rasmi menjadi lagu tema ekspedisi pada tahun itu.


RINDU SERINDU RINDUNYA – Dek kerana pengaruh kawan-kawan, aku bersetuju untuk berpindah ke sekolah yang lebih baik di Subang Jaya. Untuk itu aku perlu mengambil borang pertukaran sekolah di sebuah sekolah di Shah Alam. Aku bersama tiga orang rakan melalui ‘lubang tikus’ tanpa kebenaran sesiapa untuk ke sekolah itu. Selesai mengambil borang kami melepak di sebuah bilik kenalan rakanku sementara menunggu waktu Solat Jumaat. Kenalan rakanku itu memutarkan lagu Rindu Serindu Rindunya berulang kali dari jam 12 sehingga azan zohor berkumandang. Aku pun tak tau apa keistimewaan lagu itu. Dengan itu lagu Rindu Serindu Rindunya menjadi saksi kepada borang pertukaran sekolah.


DEALOVA – Untuk mengurangkan rasa bosan, *aku menyanyikan lagu Dealova dengan lantang seperti mahu berlawan dengan bunyi deruman enjin motor Honda Wave 100 kepunyaanku. Kemudian mataku memandang Istana Kellie dari kejauhan. Aku berhenti bernyanyi. Saat kami melepasi sebuah kuil berdekatan istana, tiba-tiba tayar motorku meletup! Dengan kelajuan 100km sejam dan 2 orang pembonceng, aku gagal mengawal motorsikal. Kami jatuh! Serentak dengan itu kami tergolek.Tulang selangka kananku patah. Aku menahan kesakitan. Benar kata orang. Lagu Dealova memang berhantu! (*petikan cerpen)

HADIAH DARIPADA DEWA

Friday, May 7, 2010


Malam itu sungguh membosankan. Tiada SATU pun rancangan televisyen yang menarik perhatian. Lalu AKU (TETAPLAH AKU) menekan-nekan punat remote control untuk (ARJUNA) MENCARI (CINTA) rancangan yang boleh menghilangkan malam bosanku. Rancangan Galaksi yang tidak pernah aku tonton akhirnya mencuri perhatianku. Diakhir rancangan, hos program itu membacakan soalan untuk memenangi DUA (SEJOLI) tiket menyaksikan Konsert Jelajah (CINTAKU TERTINGGAL DI) MALAYSIA. Memandangkan di rumahku tiada saluran internet, aku meminta kawanku mengirimkan emel pada penerbit program berkenaan. “Manalah tau, ada rezeki mengena”, getus hatiku.

Seminggu kemudian aku mendapat panggilan. “Tahniah! Encik telah memenangi dua tiket untuk menyaksikan Konsert Dewa di Stadium Negara”. Aku gembira BUKAN (RAHASIA) kepalang. (HADAPI DENGAN) SENYUMAN tidak lekang dari mulutku. Seumur HIDUP (INI INDAH) aku, inilah antara hadiah yang amat besar selain mendapat hadiah makan ANGIN di Yogyakarta secara percuma suatu masa dahulu.

Hari yang dinantikan pun tiba. Berdedai (BUKAN CINTA) MANUSIA (BIASA) dari jauh dan dekat menuju ke Stadium Negara. Warganegara INDONESIA (SAJA) yang semestinya baladewa pun berdoyon-doyon datang dengan baju berlogo Bintang Lima, Mistikus Cinta, Republik Cinta, Kerajaan Cinta dan sebagainya. Seperti tiada ruang KOSONG di setiap genap halaman stadium.

Jam 9.00 malam, konsert pun bermula. Lagu demi lagu menerobos (RISALAH) HATI sang baladewa. Aku begitu asyik menyanyi bersama-sama, SEDANG (INGIN BERCINTA) kawanku hanya tersenyum kerana kurang mesra dengan lagu yang didendangkan dari ATAS (NAMA CINTA) pentas. PERASAAN(KU TENTANG PERASAANKU KEPADAMU) puas dapat dilihat dari AIR (MATA) mukaku pada malam itu.

Setelah SEPARUH (NAFAS) malam ku habiskan di stadium itu, aku pun bergerak pulang. LARUT malam baru aku tiba di rumah. Malam itu aku terfikir. Semuanya kerana kawanku yang mengirimkan emel, aku dapat hadiah daripada dewa!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...