MUSIM DINGIN DI KOTA BEIJING - Bahagian II

Tuesday, December 27, 2011


JUMAAT, 2 DISEMBER 2011


Pagi sesudah subuh, aku menjenguk di tingkap hotel di tingkat lapan dan aku lihat permukaan tanah seakan dilitupi sesuatu yang berwarna putih tetapi tidak di jalan raya. “Hujan tu. Bukan salji”, kata Wan. “Salji la. Kat jalan tu mungkin dah cair”, jawab aku penuh harapan.



Ternyata memang benar salji. Ketika kami keluar dari lobi hotel, sudah ramai yang sedang bermain dengan salji tak kira tua ataupun muda. Ramai yang sudah mengoles lapisan salji dipermukaan kereta di hadapan hotel dengan berbagai perkataan. Ada juga yang melontar salji sesama sendiri. Pendek kata, kami terlambat. Terlambat sedikit dari mereka untuk menikmati salji pertama di musim sejuk di Kota Beijing pada tahun ini.



Kesempatan yang ada, kami bergambar sepuas-puasnya walaupun salji yang turun adalah salji yang halus dan hanya nipis melitupi permukaan tanah. Tetapi sudah cukup melunaskan hasrat kami untuk bermain salji di China. Sejuk yang menggigit tulang, langsung tidak kami hiraukan kerana terlalu asyik bermain dengan salji buat pertama kali.

Ketika di dalam bas, Jasmin menerangkan perjalanan dari Kota Beijing ke Tembok Besar China mengambil masa kira-kira dua jam bergantung kepada keadaan trafik. Sebelum ke destinasi itu, kami akan singgah ke dua tempat iaitu pusat Jed dan juga pusat Kristal.
Seperti kompleks-kompleks kerajaan sebelum ini, kami diberi penerangan mengenai produk mereka dan akhirnya ‘mengheret’ kami kepada sesi pujuk-memujuk, paksa-memaksa untuk membeli produk mereka. Sememangnya Jed dan Kristal yang dijual cukup cantik dan menawan tetapi misi kami yang utama adalah untuk memperoleh pengalaman di kota tua ini dan peluang kami adalah ‘membelinya’ dengan pandangan mata kami dan juga terakam menerusi lensa kamera.
Dua kompleks kerajaan sudah kami singgah, kami terus menuju ke sebuah restoran muslim untuk makan tengahari dan juga solat disana. Selepas itu, bas kami mula mendaki jalan berliku ke salah satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia iaitu Tembok Besar China. Bas kami sebenarnya menuju ke salah satu ‘pintu masuk’ ke tembok ini iaitu Juyong Pass. Terdapat beberapa tempat selain Juyong Pass ini bagi pengunjung yang ingin ke tempat bersejarah ini iaitu Badaling, Mutianyu, Simatai dan sebagainya.

Kami diberi masa selama sejam untuk berjalan-jalan di Tembok Besar China. Peluang keemasan ini semestinya direbut memandangkan kami memikirkan peluang ini mungkin peluang sekali seumur hidup. Kami akhirnya berdiri diatas salah satu binaan manusia yang dapat dilihat dari angkasa lepas. Tembok China sememangnya mengagumkan kerana kami dapat merasa dan membayangkan sendiri bagaimana manusia pada zaman dahulu dikerah untuk mengangkut batu-batu pejal dan besar merentas banjaran gunung untuk membina tembok pertahanan ketenteraan ini. Tembok ini bukan hanya berusia lebih 2000 tahun malah melingkari bumi China dari barat ke timur, merentasi banjaran gunung-ganang, permatang bukit-bukau dan juga dataran padang pasir.



Kami sempat bergambar dengan sebuah monumen yang tertulis perkataan yang lebih kurang membawa maksud ‘anda adalah seorang pahlawan jika menjejakkan kaki di Tembok Besar China’. Seterusnya aku, Wan, Azwad dan juga Jackie, iaitu jurukamera yang merakam perjalanan kami terus mendaki ke stesen yang telah ditetapkan. Misi kami adalah untuk mendapatkan plat yang boleh diukir nama sebagai bukti kami sudah pun mendaki binaan yang tersenarai dalam Warisan Dunia oleh UNESCO ini.



Satu lagi sesuatu yang menarik yang kami temui adalah terdapatnya mangga-mangga yang terkunci pada tembok ini. Pengunjung yang datang bersama pasangan masing-masing boleh mengukir nama mereka pada mangga itu, mengunci pada besi dan mencampakkan anak kunci ke gaung sebagai simbolik ‘cinta mereka tidak akan terpisah’, melainkan ada yang sanggup untuk turun ke gaung yang begitu curam untuk mencari anak kunci itu semula sebagai usaha untuk berpisah dengan pasangan mereka.





Selepas berhempas pulas mendaki dengan kepayahan berseluar tebal berlapis-lapis, kami berjaya tiba di antara puncak yang tertinggi. “Letih dowh”, begitu kata Azwad yang menyandarkan badan pada dinding beberapa anak tangga ke puncak. Walaubagaimanapun kami tidak dapat melihat dengan jelas tembok yang berada diatas gunung-gunung kerana kabus begitu tebal dan pemandangan yang tinggal hanyalah berbalam-balam. “Kita gak yang nak salji. So memang tak dapat sangat ar tengok tembok yang jauh-jauh”, kata aku ketika kami sibuk merakam gambar.
Sejam berlalu, kami pun menuju ke bas yang akan ke suatu tempat untuk aktiviti yang tidak terdapat di dalam pakej, tetapi permintaan oleh rombongan kami sempena musim sejuk. Selepas melewati bukit-bukau yang dilingkari tembok yang panjang dan juga melepasi terowong-terowong di bawah bukit, kami akhirnya tiba di sebuah pusat ski yang baru seminggu dibuka untuk musim sejuk. Kami cukup bertuah apabila diberitahu bahawa harga sewa peralatan dan juga bermain ski adalah harga promosi iaitu sekitar 200 yuan (lebih kurang RM100.00) memandangkan belum ramai pengunjung yang bertandang ke situ.
Sebaik saja kami masuk, ketika Jasmin sedang sibuk menguruskan pembayaran, kami mula dikerumuni oleh ‘instructor’ yang meminta kami untuk mengambil mereka sebagai ‘tenaga pengajar’. Bukan seorang dua. Tapi sehingga lebih dua puluh orang mengelilingi kami seramai 17 orang.
“Rimas betullah aku dengan langau ni”, kata Shahir. “Dah la pakai baju ski Rusia. Beli bundle pastu hantar dobi. Setel. Berlagak macam pro”, tambah Bujam disertai deraian tawa kami. Kami terus berlalu untuk mengambil kasut dan juga alatan-alatan lain. Nasihat Jasmin supaya tidak mengambil mereka sebagai instructor terus kami pegang. Kalau tidak, mungkin kami perlu membayar dengan harga yang agak mahal.

“Kita bukan nak main profesional pun”, kata aku. “Dapat gerak, sudah”, jawab Shahir. Kami terus ‘menyombong’ sehinggakan tidak mahu ‘langau-langau’ itu tadi memasangkan alatan ski pada kaki kami. Betul-betul sombong sampaikan kami memasang sendiri kelengkapan selepas melihat bagaimana cara beberapa pengunjung lain memakai kelengkapan ski itu.


Selepas memakai kelengkapan yang agak berat, kami mula meluncur perlahan-lahan. Dihadapan kami adalah dataran bersalji tebal yang sendeng dan dibelakangnya adalah bukit-bukau yang cukup indah. Selepas mencuba beberapa ketika, aku, Shahir, Wan dan Azwad memberanikan diri untuk menaiki ski lift untuk ke tempat yang lebih tinggi dan kemudian berski menuruni bukit yang berkecerunan kira-kira 10 darjah.

Dalam beberapa percubaan, kami berjaya bermain dengan lebih baik walaupun sebelum ini kami sering menjatuhkan diri memandangkan kami tidak tahu teknik yang betul untuk berhenti. Mujur kami hanya bergolek di atas salji, dan kami cepat belajar selepas melihat gaya dan cara beberapa pengunjung yang betul-betul mahir bermain ski.


Selepas hampir dua jam bermain ski, kami kemudiannya beredar ke satu lagi pusat kerajaan iaitu Burning Cream Center. Kami diberi penerangan oleh salah seorang staf yang sangat mahir berbahasa Indonesia. Wanita ini bukan hanya memberi penerangan, malah turut menjalan demonstrasi dimana dia menyentuh besi yang baru saja dipanaskan dengan telapak tangannya dan kesan lecuran itu hilang serta merta selepas lima minit dilumur dengan krim ‘ajaib’ tersebut. “Huh…macam magic trick je”, kata aku memberi pandangan pada Azwad dan Wan.

Malam itu kami dibawa ke restoran yang menyajikan hidangan yang paling lazat sepanjang kami di Beijing. Mungkin disebabkan kesejukan dan tenaga yang banyak digunakan sepanjang hari selepas mendaki Tembok Besar China dan bermain ski, kami makan dengan penuh berselera. Hari itu kami sememangnya salah satu hari dalam musim sejuk kerana salji menemani kami dari pagi hingga ke malam.

MUSIM DINGIN DI KOTA BEIJING - Bahagian I

Friday, December 16, 2011

Dengan harga tiket penerbangan Airasia pergi dan balik berharga RM680 dan juga pakej ‘on ground’ selama 6 hari 5 malam dengan Wenkt Vacation berharga RM440, saya dapat melancong ke Kota Beijing dengan harga yang cukup murah. Jika anda ingin melancong ke kota ini dengan pakej bajet dan ingin mengetahui pengalaman saya disana, teruskan membaca kerana saya, Azwad, Wan, Shahir, Nadia, Bujam, Aza dan tiga lagi keluarga sudah merasai pengalaman yang tidak dapat dilupakan semasa musim dingin di Kota Beijing.

RABU, 30 NOVEMBER 2011, JAM : 3.30 PETANG

Dalam perut kapal terbang ketika ia bersedia untuk mendarat, Azwad sempat mencelah “Welcome to Cairo”. Jelas kelihatan di tingkap kapal terbang, bumi Tianjin kelihatan gersang, pokoknya tiada daun, buminya kuning, cahaya matahari memancar kuat dan sememangnya kawasan luar kelihatan seperti tandus dan kering kontang.



Namun sebaik sahaja kaki kami melangkah keluar dari lapangan terbang, suhu beku mula menyedarkan kami bahawa Tianjin bersuhu 1 darjah Selsius, dan aku menjawab pada Azwad, “Haaa…ni la Kaherah ko”. Tianjin baru saja 20 hari memasuki musim sejuk dan keadaan yang seakan gersang adalah kesan musim luruh sebelum musim sejuk menjelma. Kami memasang badan dengan aksesori musim sejuk seperti sarung tangan, jaket dan juga penutup kepala.



Kami kemudian diperkenalkan dengan Jasmin, pemandu pelancong anak jati Beijing yang agak fasih berbahasa Indonesia. Dalam bas menuju ke Kota Beijing, dia mula bercerita mengenai aturcara sepanjang kami di ibu negara Republik Rakyat China itu dan menyelitkan juga dengan sejarah kota Beijing yang sangat panjang.
“Makanya, ingin saya jelaskan kepada saudara saudari. Kota Beijing ini sangat besar. Besar sekali. Di Beijing, penduduknya saja hampir menyamai penduduk seluruh Malaysia, iaitu sekitar 25 juta. Jumlah kereta sekitar 6 juta dan terdapar hampir 500,000 bas sekitar kota ini”, jelas Jasmin antara pelat cina dan loghat Indonesia yang bercampur-campur.



Sekitar jam 6 petang, selepas dua jam menaiki bas, kami tiba di sebuah restoran Islam yang tertulis perkataan arab ‘Mat’am Al Islami’ yang bermaksud tempat makan islam. Kami makan penuh berselera selepas menempuh perjalanan melebihi 6 jam dari Kuala Lumpur ke Tianjin dan dua jam dari Tianjin ke kota Beijing.

Acara kami yang pertama adalah menyaksikan persembahan akrobatik yang cukup mengagumkan. Anak-anak remaja seusia anggaran 8 ke 16 tahun menyajikan persembahan memusingkan badan rakan menggunakan kaki, memusing pasu, melompat ke dalam gelung yang berpusing dan persembahan penutupnya lebih mendebarkan apabila enam penunggang motosikal menunggang kenderaan itu dalam satu bebola besi yang besar serentak dalam satu masa. Kami bertepuk tangan namun tidak kedengaran kerana masing-masing memakai sarung tangan yang tebal. Tetapi sorak sorai kami sudah cukup memeriahkan suasana.



Malam itu kami mendaftarkan diri di Hotel Majesty yang bertaraf 4 bintang. Selepas meletakkan barang, kami tidak melepaskan peluang berjalan-jalan di kawasan sekitar menyaksikan panorama dan ragam penduduk setempat di kawasan sekeliling. Kedinginan suhu malam masih luar biasa bagi kami.



KHAMIS, 1 DISEMBER 2011
Jam 8.00 pagi, bas mula membawa kami ke Dataran Tian’ an men yang merupakan lokasi yang menempatkan pelbagai bangunan penting di Kota Beijing ini termasuklah The Chairman Mao Memorial Hall, The Great Hall of People, The Museum of The Chinese History, Zheng Yang Men Gate dan People’s Hero Monument. Ketika berada disitu, kami sedar bahawa kami berada di dataran dalam kawasan bandar yang terbesar di dunia iaitu seluas 440,000 meter persegi dan boleh memuatkan seramai 1 juta orang dalam satu-satu masa.


Kami diberi taklimat dan dinasihatkan supaya tidak berpecah memandangkan begitu ramai umat manusia di dataran ini. Jasmin kemudiannya memberi kami tempoh selama 5 minit untuk bergambar dan tempoh sesingkat itu kami guna sebaik-baiknya. Kami kemudiannya menuju semakin hampir dengan pintu masuk ke Forbidden City ataupun Kota Larangan. Pintu kota itu teguh tersergam dan potret gadang Mao Ze Dong terpampang dihadapan bangunan.


“Sape tu? Mazi Dong? Mazidul?”, tanya Wan pada aku merujuk pada potret itu. “Haah. Betul ar Mazidul. Mazidul Akmal Sidek”, jawab aku berseloroh. Jasmin menerangkan pada kami mengenai Mao Ze Dong yang menjadi kepala Revolusi China dan juga pengasas Republik Rakyat China. Kami bergambar beramai-ramai sebelum melalui terowong bawah tanah menuju ke Forbidden City. Setiap kali kami melalui terowong bawah tanah, terdapat pemeriksaan dijalankan terutamanya terhadap individu tertentu. Tetapi kami dalam kelompok kumpulan pelancong dibenarkan berjalan tanpa pemeriksaan.




Bukan hanya kami yang berada disitu untuk memasuki Forbidden City, tetapi terdapat beratus-ratus yang lain memenuhi setiap pintu masuk. Kami terpegun melihat dataran lain yang agak luas selepas melepasi pintu gerbang yang pertama. Dihadapan kami adalah bangunan istana yang tersergam indah. Bangunan-bangunannya hampir serupa tetapi tetap mempunyai kelainan yang tersendiri. Dinding merah dan atap jingga merupakan kemasan pada setiap bangunan. Bangunan juga dihiasi dengan ukiran yang dicat dengan warna hijau, biru, merah dan juga warna keemasan.


Kami difahamkan bahawa panjang keseluruhan Forbidden City dari hadapan ke belakang hampir 2 kilometer. Kompleks ini dikatakan mula dibina pada tahun 1406 semasa pemerintahan Dinasti Ming dan siap sepenuhnya 14 tahun kemudian. Ia turut tersenarai sebagai salah satu Warisan Dunia oleh UNESCO yang mana Forbidden City turut memegang gelaran sebagai kompleks istana bersejarah terbesar di dunia.

Jasmin terus menerus membawa kami mencelah-celah dalam kesibukan orang ramai dan terus berceloteh mengenai sejarah panjang Forbidden City dan dia cukup gemar bercerita mengenai Maharani Cixi dari Dinasti Qing. Menurut ceritanya, Maharani Cixi merupakan Maharani yang sangat cantik dan bijak menikmati hidup. Untuk setiap sesi makannya, pekerja-pekerja istana perlu menyediakan tiga meja yang penuh dengan hidangan. Meja pertama adalah untuk maharani itu melihat-lihat. Meja kedua adalah untuk maharani itu mencium bau hidangan-hidangan itu. Manakala meja yang ketiga adalah untuk si maharani merasai dan menikmati juadah itu. Dikatakan jumlah makanan yang terhidang untuk satu sesi makan bagi Maharani Cixi cukup untuk menampung keperluan makanan bagi 5000 petani selama sebulan!


Ketakjuban kami diteruskan lagi dengan cerita Jasmin mengenai Maharaja pula. Maharaja di Kota Larangan mempunyai 3000 orang gundik pada satu-satu masa. Setiap orang gundik perlu mandi telanjang bulat dan tubuh mereka akan dibalut dengan kain sutera sebelum dipersembahkan kepada maharaja. Hal ini bagi mengelakkan musuh yang menyamar sebagai gundik yang berniat membunuh maharaja dengan membawa senjata yang tersembunyi dalam pakaian mereka.




Mendengar cerita itu, aku terus berangan-angan ingin menjadi maharaja. “Best betul jadi maharaja, tapi letih sikit ar nak layan sorang-sorang”, kata aku bergurau sambil Azwad menjawab, “ Aku pun nak.Hahaha”.


Selepas hampir dua jam di dalam Forbidden City, bas membawa kami ke sebuah lagi restoran Islam. Kemudian kami ke sebuah pusat sutera yang terkenal di Beijing. “Lai lai lai lai lai!”, Begitulah pelawaan salah seorang pekerja yang menerangkan satu-persatu bagaimana sutera terhasil dan akhirnya membawa kami kepada ‘paksaan’ untuk membeli sutera mereka!



Dari pusat sutera, kami seterusnya menuju ke Masjid Niu Jie, iaitu sebuah masjid yang berusia lebih 1000 tahun. Masjid ini menjadi saksi kepada perkembangan islam di Beijing. Niu Jie merupakan salah satu kawasan dimana populasi umat islamnya lebih tinggi berbanding kawasan lain di Kota Beijing.



Bangunan masjid ini tidak ubah seperti tokong, tetapi kalimah-kalimah suci menghiasi setiap penjuru masjid di dalam dan di luar. Kami menunaikan solat dan kemudian mengambil gambar. Kawasan sekeliling Masjid Niu Jie sangat tenang dan landskapnya agak menarik kerana masih mengekalkan konsep bangunan tradisional cina yang asli.

Kami kemudian dibawa ke pasaraya berhampiran yang menawarkan pelbagai jenis makanan halal termasuklah sebuah medan selera yang menyajikan makanan yang semestinya halal yang berada di tingkat satu. Kami membeli beberapa jenis manisan atau kuih-muih sebelum kembali ke bas.



Acara seterusnya adalah melawat Tea House bagi menyaksikan bagaimana cara menyediakan minuman teh dan adat dan cara yang betul untuk minum teh. Kami diberi peluang untuk merasai kesemua jenis teh iaitu Jasmine tea, Oolung tea, Puer eh tea, Black tea. Dan semestinya ‘paksaan’ untuk membeli produk mereka merupakan perkara yang paling penting untuk ditangkis. Seorang gadis cina yang agak berisi sedaya upaya menjual produk ‘slimming tea’ pada Bujam. Aku hanya tersenyum dan terus berkata pada Azwad, “Kalo amoi ni kurus, percaya gak lah aku nak beli slimming tea ni”.


Kami kemudiannya beredar menuju ke sebuah lagi restoran Islam untuk makan malam. Sampai di hotel, kami terus meluru ke bilik Syazwan untuk ‘memborong’ t-shirt, alas meja dan cadar dengan harga yang murah kerana Aisyah dan Nora, penjual barangan tempatan yang diberi nama melayu oleh pengunjung dari Malaysia sebelum ini, sudah lama menanti.

Sebelum melelapkan mata, kami bertiga sempat berbual mengenai suhu sejuk di Beijing. Masing-masing memasang harapan agar salji akan turun tidak kira bila asalkan ketika kami masih di Beijing.




......Bersambung

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...