SEGALANYA DIPERMUDAHKAN

Friday, May 4, 2012


Beberapa bulan sebelum aku melangsungkan perkahwinan, aku terfikir-fikir. Bagaimana dengan segala persiapan, perbelanjaan dan juga adat-adat sebelum dan semasa perkahwinan. Aku sememangnya 'kosong' mengenai hal ini memandangkan aku memang tidak pernah ambil tahu dan majlis pernikahan abang-abang aku yang sebelum ini pun aku memilih untuk tinggal di rumah.

Khabar angin yang mengatakan tarikh pilihanraya umum akan jatuh pada tarikh yang sama dengan majlis kenduri aku iaitu pada 11 Mac 2012 membuatkan aku sedikit gusar.  Bukan aku seorang. Faisal Alias, kawan zaman sekolah rendah yang aku temui di klinik kesihatan ketika pemeriksaan saringan HIV juga mempunyai kebimbangan yang sama. "Tak dapat la aku datang majlis ko sebab aku kawen tarikh yang sama. Aku takut gak sebab ramai sangat cakap pilihanraya 11 Mac ni", kata Faisal ketika kami mula berbual. "Aku pun sama. Mak aku lagi la cuak. Dia takut orang tak datang sebab sibuk pilihanraya. Tapi nak wat macamane. Redha je la. Kad kawen pun dah tempah", tambah aku.





Disember 2011, majlis pertunangan dijalankan. Majlis yang ringkas dilaksanakan bagi mengikat tali pertunangan dan menetapkan tarikh perkahwinan. Sejurus selepas itu satu buku berkulit keras berwarna jingga telah tersedia untuk mencatat segala keperluan, kelengkapan, anggaran bajet dan apa jua yang bersangkutan dengan persiapan menjelang perkahwinan. Aku mengikut jejak tunang aku yang turut menyediakan sebuah buku bagi tujuan yang serupa.

Rupanya bukan mudah untuk menjayakan majlis perkahwinan. Pelbagai aspek perlu diambil kira. Bermula dengan kosong aku mula 'mempelajari' sedikit demi sedikit mengenai kelengkapan untuk persiapan majlis perkahwinan. Dan semestinya, tunang aku merupakan guru yang setia. Sentiasa menjawab dan membantu setiap kebuntuan atau masalah yang timbul. Dia juga mengajar aku bagaimana adat perkahwinan melayu berlangsung, bagaimana memilih kelengkapan dan juga menguruskan bajet.




Mungkin ada hikmahnya apabila Alan mengajak aku ke majlis perkahwinan kakak angkatnya pada penghujung tahun yang lalu. Aku membayangkan aku hanya makan kenduri, bersalaman dengan pengantin dan terus berlalu tetapi aku turut sama 'terseret' untuk menyaksikan majlis pernikahan. Setelah sekian lama, baru kali ini aku melihat setiap detik bagaimana satu pasangan diijabkabulkan dalam satu majlis pernikahan. Berdegup kencang jantung aku dibuatnya apabila memikirkan pada Mac 2012 aku pula yang akan duduk di atas bantal, disaksikan oleh sanak saudara dan rakan taulan dan akan diaju dengan pelbagai soalan oleh Tok Kadi. Dalam hati aku berbisik, "matilah aku nanti. Macam-macam soalan tok kadi tanya. Confirm berpeluh gile aku nanti. Tak pun kaki kebas sebab lama duduk dengar khutbah".




Kursus perkahwinan yang aku hadiri pada Disember 2011 telah membuka mata aku mengenai rahsia perkahwinan dan juga kemanisan dalam berumahtangga. Aku juga banyak bertanya dengan Azrul, seorang kawan yang sudah 5 tahun berumahtangga. Aku juga bercerita tentang bajet perkahwinan yang telah aku senaraikan.  "Jangan fikir sangat bro. Semuanya ok nanti. Ko nak kawen nanti lagi banyak rezeki ko dapat", terang Azrul.

Menjelang Mac 2012 aku semakin banyak berfikir. Ada satu malam aku tidak tidur lena. Tidak lena memikirkan perkara yang tidak patut difikirkan. Beberapa hari sebelum majlis pernikahan debaran semakin terasa. Segala persiapan sudah pun tersedia tetapi seperti ada yang masih belum lengkap. Hujan yang sering turun juga membawa kebimbangan di dalam hati. Aku bimbang bagaimana majlis dapat berjalan dengan lancar jika hujan lebat terus menerus turun tanpa henti. Berita buruk banjir kilat yang melanda beberapa tempat di Selangor cukup mengejutkan dan aku berdoa agar cuaca semakin baik dari hari ke hari menjelang tarikh majlis perkahwinan. Namun, aku tetap redha dan tenang.



Tanggal 9 Mac 2011, dengan sekali lafaz, aku selamat bergelar suami yang sah kepada isteri kesayangan, Norhayati Binti Rahim. Segalanya dipermudahkan. Berkat doa usai setiap solat dan juga doa ahli keluarga dan rakan-rakan aku merasakan segalanya dipermudahkan. Pertama, Tok Kadi yang menjalankan acara akad nikah merupakan rakan sekelas ketika di sekolah menengah. Kami sama-sama terkejut. Majlis diringkaskan dengan khutbah pendek dan berlangsung dalam masa setengah jam sahaja. Kedua, segala persiapan dan juga kelengkapan kebanyakannya adalah sumbangan ahli keluarga dan juga rakan-rakan. Barangan hantaran disediakan oleh Sya iaitu seorang kawan baik yang menggunakan bunga segar dan sebahagian kos barangan hiasan hantaran disumbangkan olehnya. Kak Ngah dan Mak Teh masing-masing menyumbangkan seratus cucuk bunga telur dan yang lain-lain menyumbangkan barangan hantaran seperti kek dan juga barangan untuk goodie bag. Itu tidak termasuk dengan sumbangan kewangan yang disumbangkan oleh ahli keluarga dan juga bayaran kompang yang disumbangkan oleh satu-satunya adik aku iaitu Awam.

 
Ketiga, dua hari sebelum majlis berlangsung Iji dan Asyraf menawarkan diri untuk merakam majlis pernikahan dan persandingan untuk montaj video secara percuma. Sudah tentu aku cukup gembira memandangkan momen istimewa akan terakam dan akan menjadi kenangan sumur hidup. Dan syarikat yang memasang kanopi telah memberi potongan bayaran sebanyak 10 % dari harga asal. Keempat, 11 Mac mahupun tarikh-tarikh terdekatnya bukanlah tarikh pilihanraya seperti yang digembar-gemburkan. Malah, sehingga tarikh catatan ini ditulis, pilihanraya umum masih belum diadakan. Kelima, cuaca cukup baik sepanjang majlis pernikahan dan majlis persandingan di kedua-dua belah pihak. Hanya hujan renyai turun semasa majlis di rumah perempuan dan cuaca cukup baik semasa majlis kenduri di rumah aku dan hujan lebat selepas majlis selesai iaitu sekitar jam 4 petang.




Aku sangat bersyukur. Seperti kata orang, benda yang baik Allah akan permudahkan. Sememangnya aku dapat rasakan segalanya dipermudahkanNya. Alhamdulillah. Segalanya dipermudahkan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...