~ Tiada sebatang pokok pine pun
di puncak Gunung Pine Tee Hill. Kerana itu kami merumuskan bahawa gunung ini
mendapat nama dari nama trail/trek untuk ke gunung ini iaitu Pine Tree Trail
dan penghujung trail/trek ini adalah gunung itu sendiri ~
14 November 2012, jam 9.00 pagi,
kami sudah mula berkumpul di hadapan trail. Masing-masing sudah bersedia.
Ketika itu matahari memancar terang sambil tubuh kami menikmati suhu dingin
pagi di Bukit Fraser. Salam perkenalan
bertaut kerana ada dikalangan kami yang baru pertama kali bersua muka.
Bersama aku dari Kuala Lumpur
adalah ‘geng asal’ Klavikel Adventure Team (KAT) iaitu Bee, Sha dan Che yop.
Kami berkereta dan bertolak dari KL seawal jam 5.30 pagi. Azrul yang juga ahli
‘geng asal’ datang bersama ‘bini-bini perkasanya’ dari Sungkai dan Rawang iaitu
Erma, Sufi dan Arissa. Melengkapkan ‘rombongan’ adalah seorang lagi ‘geng asal’
iaitu Sainol bersama dua kawannya iaitu Usop dan Yuzwan. Mereka datang dari
Terengganu dan datang awal sehari ke Bukit Fraser dan bermalam di bangsal
masjid.
Jam 9.20 pagi kami memulakan
pendakian. Trek pendakian pada mulanya agak santai sambil kami ligat bercerita
antara satu sama lain. “Imam masjid cakap dia daki dalam dua jam je”, kata
Sainol ketika kami mula bertemu di perkarangan masjid. “Huh! Riak betul imam
tu”, kata aku berseloroh dan disambut dengan ketawa. Pendakian berjalan dengan
lancar sehinggalah kami mula berjumpa dengan trek yang terus menerus menurun.
Permulaan trek yang santai pada
awalnya membuatkan kami melangkah dengan laju. Trek yang kami lalui sangat
jelas dan trek menurun telah terbina dengan tangga-tangga batu dan terdapat sebuah
pondok yang mempunyai maklumat mengenai trek pine tree hill. Terdapat beberapa
pondok di dua kilometer pertama trek. Hanya pondok pertama dan pondok kedua
yang masih berdiri. Yang lainnya sudah rebah. Trek juga dilengkapi dengan tali
pemegang untuk memudahkan pendaki dan juga papan tanda yang menunjukkan jarak
trek dari tempat permulaan trek.
Kemudian kami mula merentas trek
yang tidak dilengkapi dengan pondok, tangga batu mahupun tali pemegang. Hanya
beberapa papan tanda yang menunjukkan jarak trek yang dilalui dari pintu masuk
yang dipacak setiap selang 500 atau 1000 meter. Trek yang kami lalui sebenarnya
agak mudah dilalui. Cuma keadaan muka bumi yang berselang-seli naik dan turun
menyebabkan kami agak letih. Terdapat banyak pokok-pokok besar yang tumbang dan
merintangi trek. Terdapat lubang-lubang
pada permukaan tanah atau pangkal akar pokok dan segera mengingatkan kami pada kata-kata
Sainol, “kalo nampak lubang jangan pandai-pandai hulur kaki. Imam tu cakap lubang tu lubang sarang tarantula”.
Pendakian kami diteruskan. Setiap
satu jam kami akan berhenti lebih lama untuk berehat dan menunggu rakan-rakan
yang dibelakang. Di sepanjang trek kami banyak berhenti seketika untuk
mengurangkan jarak antara kelompok yang di depan, di tengah dan di belakang.
Sekitar 1 kilometer dari puncak gunung, kami akhirnya sampai di punca air
terakhir (last water point-LWP). Terdapat kawasan yang agak lapang yang boleh
memuatkan beberapa buah khemah di kawasan berhampiran LWP itu.
Kami meneruskan pendakian dan
akhirnya tiba beberapa meter dari puncak Gunung Pine Tree Hill. Dihadapan kami
adalah cerun berkecerunan kira-kira 60 ke 70 darjah yang berketinggian
kira-kira 10 meter. Kami berpakat untuk menunggu rakan-rakan yang lain sebelum
meneruskan pendakian yang terakhir. “Ko naik dulu Senol. Kitorang bagi
penghormatan sebab ko orang yang last”, kata Azrul pada Sainol. Selepas
semuanya tiba, Sainol mula mendaki. Kemudian aku berbisik pada Azrul, “macam la
aku tak tau ko bagi die naik dulu sebab nak suruh die amik video kite…hahaha”.
Seorang demi seorang mula mendaki dan berpaut pada tali dan juga akar-akar
pokok yang berselirat. Sainol berada di atas sekali sedang merakam aksi kami
mendaki.
Akhirnya, sekitar jam 1.10 petang
kami sampai di puncak Gunung Pine Tree Hill. Puncak Pine Tree Hill setinggi
1456 meter dari aras laut berjaya kami tawan dalam tempoh 3 jam 50 minit. Puncak
gunung ini tidaklah sebesar mana, tidak rata dan kurang sesuai untuk didirikan
khemah. Bee, Che Yop dan Aesyah merupakan kelompok terakhir yang tiba di
puncak. “Laa..ni je ke?”, keluh Bee antara lelah dan mengah ketika tiba di
puncak. Kabus tebal menyelubungi pandangan hampir 180 darjah tanpa halangan
pokok. Ini bermakna kami tidak dapat menyaksikan pandangan banjaran ataupun
puncak-punvak gunung yang berhampiran. Kami kemudian segera mengambil gambar
memandangkan langit semakin gelap.
Yuzwan dan Erma menguji lensa
kamera. Arissa menikmati pisang. Sainol sibuk mencari tempat yang sesuai untuk
dia melepas hajat. Aku sibuk menelefon isteri untuk memberitahu aku dan
kawan-kawan sudah tiba di puncak. Yang lain-lainnya duduk berselerak di atas puncak
gunung untuk berehat, makan dan bergilir-gilir memegang banner untuk bergambar.
“Macam mane? Nak terus ke Twin
Peak tak?”, tanya Azrul. Tetapi tiada jawapan yang pasti muncul dari mulut setiap seorang dari kami menandakan
puncak Gunung Pine Tree Hill adalah titik akhir pendakian. Selepas hampir sejam
mengambil gambar, berehat dan makan kami memutuskan untuk meninggalkan puncak
gunung. Hujan mula turun ‘berpakejkan’ angin dingin mengiringi perjalanan kami
kembali ke pintu masuk trek.
Turutan kami ketika turun sering
bertukar-tukar. Adakalanya Yuzwan dihadapan. Adakalanya Erma. Yang pasti, Sha,
Bee & Che Yop yang dipanggil Yaakob oleh Sha merupakan kelompok yang setia
berada di kumpulan yang terakhir. Dan aksi Sufi menuruni setiap cerun secara
terbalik tetap menghiburkan. “Ala..turun lagi ke? Bila nak daki lagi ni”, kata
Sufi yang lebih suka mendaki berbanding menuruni cerun kerana keadaan lututnya
yang sakit (akibat kecederaan lampau) setiap kali dia menuruni cerun.
Sudah hampir tiga jam kami
meninggalkan puncak, hujan masih lagi setia dan hutan semakin gelap seperti
menjelang waktu senja. Kami semakin terpisah-pisah. Yuzwan, Erma, Arissa &
Azrul terpisah jauh dihadapan. Aku ditengah-tengah menemani Sufi yang perlahan
langkahnya setiap kali menuruni cerun atau bukit. Jauh di belakang adalah
kelompok Usop, Sainol, Bee, Sha dan Che
Yop. Ketika berada di tangga batu yang pertama untuk didaki, aku dan Sufi
berpakat untuk menunggu rakan-rakan yang lain dibelakang. Agak lama kami
menanti sehinggalah Bee orang yang terakhir muncul bersama tongkat ditangannya.
“Letih dowh. Klavikel Kat s#cks!”, kata Bee berseloroh. Tidak lama kemudian
terdengar suara Azrul melaung dari paras paling atas anak tangga itu. Azrul,
Erma, Yuzwan dan Arissa berada kira-kira 10 minit dihadapan dari tempat kami
berehat.
Perjalanan diteruskan. Kami perlu
tiba di pintu masuk sebelum matahari terbenam. Bee tidak habis-habis mengelap
cermin matanya yang berwap. “Ko lap spek ko guna air liur”, kata Sainol. “Ko
tipu! Aku buat tak jadik pun”, jawab Bee. Kami berjalan berturutan dan akhirnya
terpisah-pisah sekali lagi tetapi dalam jarak yang lebih dekat. Kali ini aku
menyertai kelompok yang paling hadapan.
Trek landai membawa kami ke pintu
gerbang permulaan trek. Beberapa meter sebelum sampai ke pintu gerbang, ada
satu kawasan yang menarik perhatian kami. Kami dapat melihat banjaran-banjaran
gunung dan juga beberapa kawasan yang dibangunkan di Bukit Fraser. Di atas
bukit sebelah kanan trek pula adalah beberapa batang pokok pine. “Huh. Kat sini
ar baru ade pokok pine”, kata aku.
Jam 6.40 petang, kelompok
terakhir tiba di tempat permulaan trek beberapa minit sebelum matahari
terbenam. Jika setahun yang lalu, aku dan Azrul mendaki Gunung Perdah dan
Gunung Jasar pada hari terakhir bagi tahun masihi, pada tahun ini pula aku,
Azrul, Bee, Sha, Che Yop, Sainol, Yuzwan, Usop, Erma, Arissa dan Sufi berjaya
mendaki ke puncak Gunung Pine Tree Hill pada hari terakhir dalam tahun hijrah.
Pengalaman ini sudah pasti tidak
dapat dilupakan memandangkan ini adalah kali pertama kami mendaki dalam
kelompok yang paling ramai iaitu 11 orang (anjuran Klavikel Adventure Team).
Walaupun masing-masing kepenatan mengharungi pendakian pergi dan balik hampir 9
jam, masih terpancar wajah kegembiraan. Gunung Pine Tree Hill, sungguh pun
tahap kesukaran pendakiannya pada aras biasa, namun pengalaman dan kenangan
yang tercipta cukup luar biasa.
Kelam malam memisahkan kami.
Azrul dan kumpulannya terus meninggalkan Bukit Fraser. Aku dan yang lain-lain
berpakat untuk makan terlebih dahulu sebelum bergerak pulang. Sainol, Yuzwan
dan Usop masih bermalam di Bukit Fraser dan bercadang untuk balik ke Terengganu
esok pagi. Cerita aku, Che Yop, Sha, Bee, Yuzwan, Sainol dan Usop di kedai
makan masih berkisar tentang Gunung Pine Tree Hill. Untuk minggu-minggu yang
seterusnya, ceritanya masih sama. Tetapi di laman sosial, Facebook!
Video pendakian di youtube boleh dilihat menerusi pautan ini;