MEREDAH HUTAN KEMENSAH DENGAN ATV

Tuesday, December 3, 2013

Sudah lama kami merancang akhirnya pada 4 November 2013 yang lalu kami berkesempatan menjalankan aktiviti lasak bersama-sama. Bertempat di Kampung Kemensah, Kuala Lumpur, kami memilih untuk menjalankan aktiviti ATV Riding yang merupakan pengalaman pertama bagi kami.

Kami tiba di ATV Adventure Park sekitar jam 11.30 pagi dimana kami melalui jalan kampung sepanjang 4 kilometer dari Zoo Negara ke kawasan ini. Ahmad, guide kami sedang membersihkan ATV sementara menunggu kami mengisi borang pendaftaran.

“Ramai ke hari ni bang”, tanya aku. “Selalunya hari bekerja tak ramai. Kalau hujung minggu baru ramai”, jawab Ahmad sambil membawa kami ke peta laluan ATV Riding. Untuk hari itu kami memilih pakej B selama sejam setengah yang akan membawa kami ke air terjun Khamisah dihujung perjalanan dan akan berpatah balik semula ke kem. Untuk pakej ini kami membayar RM100 setiap seorang dan Ahmad mula memberi penerangan ringkas mengenai ATV.

“Ok ATV ni brek die kat handle kiri dan kanan. Nak start macam biasa dengan kunci pastu press button ni. Yang ni pulak pedal minyak. So kita akan guna ibu jari kanan kita untuk press minyak. Gear ada kat bawah belah kanan. Ada tiga gear. Gear satu, free gear and gear reverse. “Bang kalo tak pandai bawak motor boleh bawak ke ATV ni bang?”, tanya isteri aku. “Lagi bagus. Sebab orang yang pandai bawak motor selalunya ingat bawak ATV ni macam bawak motor. Padehal ATV ni roda empat”, jawab Ahmad sambil tersenyum.

Selepas memakai topi keledar, kami pun menghidupkan enjin. Kami diberi peluang untuk mengelilingi kem sebagai latihan sebelum mengharungi trek yang sebenar. Aku yang yang agak kekok pada permulaannya teragak-agak untuk menekan minyak kerana tidak dapat menjangka adakah ATV sama seperti skuter atau sebaliknya. “Abang tekan je. Dia tak melambung sebab beban badan abang. Tayar pun akan ikut bentuk cerun nanti”, jerit Ahmad mengajar kami.

Selepas tiga kali pusingan, kami lulus ‘ujian’. Ahmad mula menghidupkan ATVnya dan mengarahkan kami mengikutinya ke laluan ATV yang kami pilih. “Abang paling belakang ye. Isteri abang kat tengah”, terang Ahmad lagi. Cabaran pertama kami adalah perlu mendaki bukit setinggi kira-kira 10 meter. ATV Ahmad mula menderum dengan pantas sekali dan mengarahkan kami seorang demi seorang menaiki bukit. ATV yang aku bawa sedikit ‘terlari’ dari trek menyebabkan ATV sukar untuk bergerak walaupun pedal minyak sudah ditekan. “Abang tekan dua-dua brek”, ajar Ahmad. Dia kemudian menendang salah satu roda menggunakan kakinya untuk membetulkan kedudukan ATV. Aku terus menekan pedal minyak dan akhirnya selamat sampai ke atas bukit.

“Betullah cakap dia. Saya asyik nak turunkan kaki je. Sebab ingat macam bawak motor”, kata aku pada isteriku yang menunjukkan isyarat bagus. Kami kemudiannya meneruskan perjalanan. Kali ini trek lebih landai, memberi peluang pada kami untuk membawa ATV dengan lebih laju. Ahmad yang berada di depan sekali-sekala berhenti untuk menebas pokok-pokok yang merintangi trek.

Kami seterusnya berdepan dengan bukit curam yang kedua. Mujur kami dapat melaluinya dengan lebih baik berbanding bukit yang pertama. Kebanyakan trek mendaki sebenarnya seperti parit yang betul-betul muat dengan kelebaran  ATV. Ini bermakna, trek itu sendiri telah melorong ATV kami tanpa mengawal handle dengan bersusah payah. Yang perlu hanyalah menekan pedal minyak untuk sampai ke puncak.

Trek sebenarnya agak licin dan berselut memandang hujan sehari sebelum kami menjalankan aktiviti. Terdapat beberapa lopak air yang kami sengaja langgar dengan laju. Trek juga adalah sebahagian hutan Kampung Kemensah yang kaya dengan pokok-pokok buluh di kiri dan kanan trek.

Selepas mengharungi tiga bukit dan trek-trek yang landai, kami akhirnya tiba di suatu tempat yang mana kami perlu menuruni bukit dan kemudian perlu melalui titi kayu yang betul-betul muat dengan ATV. Ketika ini debaran kembali terasa. Mana tidaknya, kiri dan kanan titi kayu ini adalah anak sungai. Jika salah percaturan, ATV kami boleh terhumban ke dalam anak sungai.



Namun, kami berjaya mengharunginya dengan penuh berhati-hati. Laluan itu seterusnya membawa kami ke penghujung trek di mana kami tiba dikawasan lapang yang penuh dengan pokok-pokok buluh mengelilingi kawasan itu. Kami diberi masa selama 20 minit untuk berehat di air terjun Khamisah. Kesempatan yang ada kami gunakan berehat sambil menikmati pemandangan yang mempesonakan dan merakam gambar buat kenangan.



Selepas itu, kami kembali ke ATV untuk memulakan perjalanan balik ke kem. Kali ini kami lebih banyak menuruni bukit dan kawalan brek adalah yang paling penting pada masa ini. Sekitar jam 1.20 petang, kami akhirnya tiba di Kem. Kami berehat seketika sebelum memulakan perjalanan pulang ke rumah.


Sepanjang perjalanan pulang, mulut kami tidak berhenti menceritakan pengalaman masing-masing. Isteri aku sempat berkata., “Yang, nanti kita boleh bawah anak kita main sekali kan”. Aku kemudian menjawab, “Umur anak kita tak sampai setahun lagi yang”. Celoteh ATV tidak lagi berhenti. Sambil isteriku melihat gambar-gambar yang diambil dari telefon bimbitnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...