MUSIM BUNGA DI KOTA SEOUL - Bahagian III

Wednesday, September 3, 2014


 
Pagi Ahad, 27 April 2014, suasana agak gelap walaupun jam menunjukkan pukul 9.00 pagi. Hujan renyai menambah kedinginan musim bunga di Kota Seoul. Agak malas kami bergerak pada pagi itu memandangkan hujan masih turun dan cuaca lebih sejuk berbanding pagi-pagi sebelumnya. Tetapi misi kami untuk melawat ke banyak tempat di sekitar Seoul perlu kami lakukan. 

Jika mengikut perancangan, hari ini merupakan hari yang panjang. Terdapat banyak tempat yang perlu kami lawati. Selepas bersarapan, kami memulakan perjalanan. Meski hujan masih turun, kami tetap berjalan kaki ke Sangwangsimni Station. Dari situ kami menaiki subway ke Gwanghamun Station. Dari Exit 2 stesen itu kami berjalan kaki menuju ke Gyeongbokgung Palace. 

Ada upacara pertukaran pengawal istana setiap hari. Kalau tak silap pukul 1 petang.
Terdapat ramai pelancong di pintu utama istana itu walaupun cuaca mendung dan hujan renyai masih turun. Tarikan utama di pintu utama istana utama di Seoul itu ialah keunikan pintu gerbang dan para pengawal istana yang tinggi-tinggi belaka. Mereka mengenakan pakaian tradisional korea dan memegang senjata.
 


Selepas membeli tiket masuk ke istana yang setiap satunya berharga 3000 won (RM9), kami mula masuk ke perkarangan dataran istana. Hujan renyai menghalang kami untuk berjalan di dataran dan kami lebih banyak duduk berteduh di sekitar tembok istana sambil melayan kerenah Zhariff. Ketika ini Zhariff kami benarkan untuk bermain-main di sekitar tiang-tiang kayu yang besar dan juga pintu gerbang antara setiap dataran. 
Hanya kami antara yang tak berpayung. Tembok istana ni lah tempat kami melepak.
Zhariff cukup seronok main kat sini. Janji tak kene ujan. Mungkin berangan jadi anak raja. Then sempat gak dia sapu tanah kat muka dia. Praktis tayamum agaknya.....


Kat kawasan istana ni banyak gak kami amik gambar guna monopod...yea..sekali lagi kami diperhatikan.

Memandangkan hujan masih turun, kami memendekkan lawatan kami di istana. Secara jujur, kami hanya menjelajah sehingga ke pintu gerbang ketiga dan banyak duduk berteduh di tepi tembok istana yang beratap. Kami sendiri tidak dapat menghayati sejarah istana sepenuhnya. Ketika meninggalkan Gyeongbokgung Palace, Zhariff sudah tertidur di dalam stroller. Hujan yang bertukar menjadi gerimis halus membenarkan kami untuk berjalan-jalan dan bergambar di sekitar Gwanghamun Square yang terletak di hadapan istana dimana dikawasan ini terdapat dua patung raja yang sangat besar. Gwanghamun Square tidak ubah seperti salah satu dataran di Putrajaya kerana terdapat bangunan-bangunan yang dibina tersusun di hadapan jalan dan dataran luas.
Gwanghamun Square. Ada dua patung raja. King Sejong kalau tak silap.

Ketika ini kami mengubah perancangan asal untuk menaiki bas untuk City Tour memandangkan kami agak terlambat memulakan aktiviti. Tambahan, agak payah untuk kami turun naik bas membawa anak dan stroller jika menaiki bas yang berkonsepkan ‘hop on hop off’ ini. 

Kat bawah jambatan ni kami lepak makan sandwich sambil mengadap satu couple warga emas yang 'manis' (sweet).

Kami terus berjalan melepasi Gwanghamun Square menuju ke replika siput gergasi. Berdekatan dengannya adalah Cheongyecheon Stream, sebuah sungai yang diubah dari sebuah sungai yang tercemar teruk kepada aliran sungai air yang jernih dan menjadi tempat riadah bagi masyarakat setempat  dan juga para pelancong. Kami berehat seketika disini sambil menikmati bekal sandwich di bawah sebuah jambatan. Zhariff yang tiba-tiba terjaga, terus aktif berjalan-jalan di kawasan persiaran di tebing Cheongyecheon Stream.

Kalau datang waktu malam lebih cantik sebab penuh dengan cahaya.


Sekitar jam 12.45 tengahari, kami mengambil teksi menuju ke Itaewon. Untuk ke Itaewon, teksi kami melalui terowong di bawah bukit Namsan. Kami perlu membayar 7000 won (RM21). Misi kami adalah untuk makan tengahari dan solat di masjid. Itaewon walaupun agak jauh sedikit dari pusat bandar, namun kesibukannya sama saja seperti di bahagian-bahagian lain di Seoul. Itaewon merupakan kawasan populasi umat Islam lebih ramai berbanding kawasan lain dan kawasan ini juga dihuni oleh pelbagai bangsa dari seluruh dunia yang bekerja atau belajar disini. Sebab itu, banyak kedai-kedai makan halal yang boleh ditemui di Itaewon.
Rancak gak kami makan kat sini.

Kami mula menolak stroller mendaki jalan berbukit, dimana kiri dan kanannya adalah kedai-kedai makanan halal. Kami kemudian memilih untuk makan di Usmania Restaurant, sebuah restoran India-Pakistan. Kami memilih lauk kari ayam, kari daging, salad dan nasi kosong bersama roti naan berharga sekitar 25000 won (RM75). Walaupun agak mahal, (mungkin kerana konsep ‘fine dining’) tapi agak puas hati kerana semua yang dihidangkan dapat kami habiskan dan sememangnya kami memang agak lapar pada masa itu.
Dewan solat utama. Yang depan tu tengah usrah.

Meninggalkan Usmania Restaurant, kami teruskan ‘pendakian’ menuju ke masjid. Boleh dikatakan masjid berada di puncak bukit. Kami menunaikan solat dan selepas solat aku sembat berbual-bual dengan beberapa orang warga Indonesia yang bekerja di Seoul. 

Bini aku feel ala-ala Lisa Surihani dalam Istanbul Aku Datang!

Selepas bergambar, kami meninggalkan masjid terbesar di Seoul itu dan kami sempat membeli aiskrim Turki di restoran Mr. Kebab. Jangan terkejut kalau membeli aiskrim Turki. Penjual aiskrim pasti akan 'mempermain-mainkan' pelanggan sebelum aiskrim dapat ke tangan pelanggan.
Gate 2 Namdaemun Market, tempat kami masuk. Kalau tak silap ada 8 pintu gate keseluruhannya.
Petugas pelancong ni tengah panggil kawan die. Dia tak berapa pandai cakap omputih.

Kami kemudiannya mengambil teksi dan menuju ke Namdaemun Market dengan bayaran teksi berharga 7000 won (RM21). Turun saja dari teksi, Zhariff sudah tertidur seolah-olah memberi peluang untuk kami membeli-belah. Dari gate 2, kami terserempak dengan petugas pelancong yang memberi peta dan menerangkan serba sedikit mengenai Namdaemun Market. Secara ringkas, Namdaemun Market boleh dikatakan mirip Petaling Street di Kuala Lumpur. Bezanya mungkin kurang padat dan lebih teratur. Namdaemun Market menawarkan banyak barangan yang boleh dibeli oleh pelancong. Antaranya termasuklah fridge magnet, nail clipper, t-shirt dan macam-macam lagi cenderamata. Terdapat lorong-lorong yang khusus menjual barangan tertentu seperti barangan bertemakan outdoor, barangan bertemakan military, perhiasan wanita dan juga produk kecantikan wanita. 
Nail clipper tu kami beli gak. Bagi kat kaum keluarga.Yang ada imej babi tu kami tak bagi kat sape-sape. Haram hukumnya..hehe
Antara makanan yang dijual. Ada gak sotong hidup yang dorang makan hidup-hidup dijual kat gerai ni.
Barang-barangan bertemakan military.

Kami berjalan dari hujung ke hujung dan mengelilingi hampir separuh Namdaemun Market untuk menjamu mata dan membeli beberapa cenderamata. Kami hanya membeli t-shirt, keychain, fridge magnet, nail clipper dan beberapa cenderamata lain. Sudah semestinya kami cuba tawar menawar tetapi agak sukar untuk mendapat tawaran yang baik. 
Bini aku paling suka bila jumpa ni. Wajib beli katanya.

Isteri aku juga sempat membeli beberapa bungkus facial mask yang berharga 5000 won (RM15).  Setiap bungkus mempunyai 10 peket. Tetapi dia tidak dapat membeli kerongsang untuk kawan-kawan dan keluarga memandangkan semua gerai atau kedai yang menjual aksesori atau kerongsang dan barang kemas yang lain ditutup pada setiap hari ahad.
Kuih ni pernah diceritakan oleh adik ipar aku yang pernah lepak kat Seoul selama lebih dua minggu suatu masa dulu.

Kami juga sempat membeli sejenis kuih yang berbentuk seperti ikan. Rasanya seperti bahulu tetapi sedikit ranggup dan mempunyai inti sama ada kacang hijau atau mentega. Kami beli 10 biji dengan harga 2000 won (RM6). Agak lama sebenarnya kami meluangkan masa di Namdaemun Market memandang ini saja peluang yang ada untuk kami membeli cenderamata. Masa yang terhad tidak memungkinkan kami untuk kembali ke satu-satu destinasi yang telah kami lawati. Kami seterusnya meninggalkan Namdaemun Market sekitar jam 5.40 petang dengan menaiki subway dari Hoehyeon Station yang terletak berhampiran dengan Gate 6 pasar itu menuju ke Myeongdong Station.
Myeongdong - menghala ke M-Plaza

Myeongdong Station sebenarnya adalah stesen selepas Hoehyeon Station. Stesen subway itu mungkin antara stesen yang tersibuk pernah kami sampai kerana terdapat ramai orang  di stesen itu. Kami keluar dari Exit 6 dan terus menuju ke bangunan M Plaza. Misi kami adalah untuk bergambar dengan pakaian tradisional Korea di Seoul Center for Culture & Tourism di tingkat lima di M Plaza. 


Pengunjung boleh mengenakan hanbok dan sebagainya dan kemudiannnya diberi masa 10 ke 15 minit untuk mengambil gambar sendiri. Tripod, prop dan latar belakang untuk bergambar telah disediakan dan ianya adalah percuma. Malangnya kami tiba selepas pukul 6 petang. Pusat itu masih dibuka tetapi pengunjung tidak dibenarkan lagi mencuba pakaian tradisional itu.

Zhariff tetap takde mood walaupun dirias oleh gadis putih berskirt pendek.

Kami sedikit kecewa tetapi sedikit terubat apabila petugas pusat itu memberi kebenaran kepada Zhariff untuk memakai pakaian tradisional Korea. Selepas ‘berhempas pulas’ memakaikan dan cuba merakam gambar Zhariff, kami berehat di pusat itu sambil Zhariff kami bancuhkan susu untk dia minum.
Mungkin ni gambar terbaik dapat kami snap.

Selepas hampir sejam, ketika kami mahu beredar, seorang petugas yang agak lancar berbahasa Inggeris memberitahu kami bahawa terdapat sebuah lagi pusat yang memberi perkhidmatan pakaian tradisional secara percuma dan terletak tidak jauh dari M Plaza. Selepas diberikan peta, kami terus menuju ke Myeongdong Tourist Information Center.

Suasana happening di sekitar Myeongdong.
Kon aiskrim yang unik.
Dari pintu bahagian belakang M Plaza, kami belok ke kiri dan berjalan kaki di hadapan butik-butik barangan kosmetik dan barangan jenama terkenal yang gambarannya mungkin mempunyai sedikit persamaan dengan Bukit Bintang di Kuala Lumpur. Kami jalan terus sehingga ternampak bangunan KEB yang mempunyai logo huruf ‘i’ yang bermaksud information center. Myeondong Tourist Information Center terletak di aras tanah bangunan itu.
Acah-acah isi borang.
Merasuah Zhariff dengan kuih ikan. Mak bapak dia tengah busy nak amik gambar.

Selepas mengisi borang sebagai pelancong, kami diberi penerangan untuk menggunakan Chroma- Key Photo Zone. Kami dibenarkan mengenakan pakaian tradisional dan berdiri di skrin hijau. Satu skrin sentuh beserta kamera terletak berhadapan dengan kami. Kami boleh memilih latar yang disukai kemudian kami perlu mengubah kedudukan supaya bersesuaian dengan latar yang dipilih. Imej kami berserta latar terpapar di skrin hadapan kami. Pengguna perlu menyentuh satu butang dan kamera akan merakam gambar dalam masa 10 saat selepas itu. Pengguna kemudiannya boleh mengisi alamat emel dan gambar tadi akan terus dihantar ke emel pengguna tadi serta merta.
Kamera kat atas. Screen tu touch screen.
Tak banyak - Ada 2 pasang baju lelaki & 5 pasang baju wanita. Kami berdiri membelakangkan green screen.

Aku sebenarnya agak kagum dengan teknologi yang kami gunakan. 20 minit yang diberikan sudah cukup untuk kami bergambar dengan pelbagai latar belakang yang kami pilih. Cuma pilihan baju tradisional yang disediakan tidak banyak berbanding di M Plaza.

Selepas habis bergambar, kami berjalan kaki ke stesen subway berhampiran iaitu Eljiro 1 (il)-ga Station dan terus melepasi 4 stesen untuk sampai ke Sangwangsimni Station. Kami balik ke guesthouse untuk makan dan membersihkan diri. Esok ada lagi destinasi lain yang menanti untuk kami kunjungi.

Sebelum melelapkan mata, aku buat pertama kalinya memakai face mask yang sejuk bersama isteri. Tapi hanya untuk beberapa minit sahaja selepas 'ditarik' oleh Zhariff. Dan kami sempat meneliti emel kami. Inilah hasilnya antara gambar-gambar yang kami ambil menggunakan teknologi Chroma-Key Photo tadi........



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...