PELAMIN DIY HARGA BAJET

Sunday, September 27, 2015

Pelamin d.i.y dengan harga bajet.Harga bermula dari harga rm320.00.Boleh ambil set lengkap atau per item. Ambil di Saujana Impian, Kajang. Boleh muat satu kereta myvi (tanpa chandelier & stage) atau dua kereta sedan atau satu mpv (set dengan chandelier & stage). Hubungi yat 0133981637 untuk tempahan atau pertanyaan.

Instagram : yat_simplyrent
Blog : http://simplyrentbyeachother.blogspot.com










MENDAKI GUNUNG BUNGA BUAH

Sunday, March 29, 2015




Sebenarnya aku bersama-sama kawan yang lain mendaki gunung ini pada bulan Jun 2014. Baru sekarang aku sempat menulis blog. Jadi aku ringkaskan penulisan aku pada kali ini. Tarikh yang aku pilih agak unik kerana jatuh pada hari jadi aku sendiri. Walaupun sehari sebelum pendakian aku mahu menarik diri sebab terlalu letih baru balik dari Terengganu, tetapi aku teruskan juga memandang aku dan Azrul sudah lama merancang aktiviti ni.



Berikut adalah log kami ;

11 Jun 2014
12.30 tengahari : Berkumpul di kedai mamak di Goh Tong Jaya
1.30 petang : Memulakan pendakian. Kali ini penyertaan agak ramai. Aku, Azrul, Banja, Bee, Arisa, Mail, Amin dan dua rakan bersama Afiq dan dua rakan. Jumlah 12 orang. Ada tiga peringkat umur. 30an (aku & ahli asal Klavikel Adventure Team), 20an (Amin & the gang) dan belasan tahun (Afiq & the gang).



1.50 petang : Tiba di jalan tar selepas hampir 20 minit layan trek mencanak.
2.15 petang : Tiba di kawasan kuari
2.50 petang : Tiba di view point. Dari sini dapat lihat dengan jelas Gunung Bunga Buah.
3.30 petang : Tiba di 'pintu masuk' Gunung Bunga Buah. Ada papan tanda kecil tertulis GBB. Menunaikan solat Zohor disini. Mencabut pacat yang mula 'menggigit kaki'.
5.30 petang : Tiba di Rock Garden. Kaki aku cramp! Meneruskan perjalanan walaupun cramp sekali-sekala menyerang.
7.00 petang : Tiba di puncak Gunung Bunga Buah sebelum waktu Maghrib.
8.30 malam : Makan malam. Layan pemandangan malam. Dapat tengok pemandangan KL dengan jelas. Lepas borak-borak aku tidur lebih awal. mungkin dalam pukul 9.30 sebab badan terasa letih dan mahu mendapatkan rehat yang cukup. Aku yakin kaki aku cramp disebabkan badan terlalu letih baru balik dari Terengganu.

  
12 Jun 2014
8.30 pagi : Memanaskan badan. Bergerak turun.
11.00 pagi : Tiba di view point GBB. Rehat agak lama sambil membelek kaki.Pacat menyerang!! Cuaca memang betul-betul panas.
1.30 petang : Tiba di starting point.
2.00 petang : Makan tengahari di kedai mamak. Terima kasih Arisa belanja kami makan kari kepala ikan.
2.45 petang : Bersurai

Inilah satu-satunya gunung yang menyebabkan kaki aku cramp. hadiah harijadi agaknya. Walau apa pun semua happy & aku tetap terus mendaki walaupun banyak kali gak aku cakap 'aku nak bersara woi'!!









Geng 30 an. Dari kiri Arisa, Bee, Aku, Az & Banja.

MUSIM BUNGA DI KOTA SEOUL - Bahagian IV ( Akhir )

Tuesday, October 14, 2014

 
Pagi Isnin, 28 April 2014 seakan mengulang skrip hari semalam. Langit gelap dengan hujan renyai yang berlarutan dari dinihari membuatkan kami agak berat untuk keluar walaupun kami sudah bersiap-siap seawal jam 8 pagi lagi. Pagi itu kami perlu menempuh perjalanan yang agak jauh. Kami bakal menuju ke destinasi di daerah Yongin iaitu Taman Tema Everland.
Selepas bersarapan kami memulakan perjalanan. Kami berlari-lari anak menempuh hujan menuju ke Sangwangsimni Station. Dari situ kami menaiki subway Line 2 ke Jamsil Station. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 20 minit melepasi 9 stesen. Sesampainya di Jamsil Station, kami keluar mengikut Exit 6 dan berjalan kaki melintas jalan untuk menunggu bas di perhentian bas yang terletak di tengah-tengah antara dua jalan.
Zhariff dalam bas ke Everland
Tidak sampai 5 minit menunggu, bas bernombor 5700/5800 tiba membawa kami ke Yongin. Perjalanan selama lebih kurang 40 minit ke sana dengan bayaran tiket 1800 won (RM5.40) disertai dengan hujan lebat membuatkan kami tidak keruan. Sudah pasti banyak permainan yang ditutup kerana hujan.
Zhariff selepas 20 minit dalam bas.
Tiba di Yongin kami perlu berjalanan kaki ke stesen shuttle bus yang terletak bersebelahan dengan stesen bas tadi berhenti. Perkhidmatan shuttle bus ini adalah percuma yang membawa kami dari pekan ke Everland. Bas berhenti di sebuah hentian berhadapan pintu masuk Everland dan kami disambut dengan petugas-petugas Everland yang berbaju hujan.

Acara berlari-lari anak sekali lagi kami lakukan menuju ke pintu masuk Everland. Untuk pelancong asing, pengunjung perlu membeli tiket di pondok kaunter khas di sebelah kanan  dari pintu utama. Dengan menggunakan kupon yang kami cetak lebih awal lagi dari Malaysia, kami dapat membeli tiket dengan harga 35000 won (RM105) satu kepala berbanding harga asal 40000 won (RM120). Kupon boleh dicetak menerusi laman web Everland.


Memandangkan hujan turun, seperti yang kami duga, banyak permainan yang tidak beroperasi. Hanya permainan berbumbung saja yang beroperasi membuatkan kami berasa agak rugi. Sudahlah harga tiketnya agak mahal, perjalanan pula agak jauh. Sudah pasti terasa agak rugi datang pada hari hujan. Tidak ramai pengunjung yang dapat dilihat di Everland. 

Tetapi kami tidak membuang masa. Kami terus menaiki cable car. Kemudian mencuba permainan yang sesuai untuk kanak-kanak seperti kereta kuda berpusing dan permainan-permainan yang hampir serupa. Selepas berehat dan menguruskan hal-hal Zhariff di Baby Centre, kami makan tengahari dengan bekal yang kami bawa. Dalam kesejukan, kami cukup berselera makan nasi goreng berlaukkan serunding dan sambal ikan bilis. 

Permainan pertama : kereta kuda pusing-pusing.

Festival Train Thomas & Friends. Kami orang pertama naik bila hujan mula berhenti.

Hujan yang sekejap-kejap berhenti membenarkan kami menaiki keretapi Thomas & Friends Festival Train yang bergerak mengelilingi taman di Zon European Adventure. Kami seterusnya bergambar di taman-taman yang terdapat banyak bunga tulip dan bunga-bunga yang lain sesuai dengan tema Everland pada masa itu iaitu Tulip Festival. Seterusnya, kami menunaikan solat di sebuah surau yang terletak bersebelahan Mystery Mansion. Disitu kami sempat berbual-bual dengan rombongan dari Malaysia yang sama-sama menunaikan solat. 

Sukar untuk menghalang Zhariff dari berjalan-jalan. Time ni hujan dah slow.
Tulip Everland.
European Zone.
Belakang tu Roller Coaster. Pun ditutup sebab hujan.
Lengang.
Sebenarnya banyak tarikan yang boleh kami cuba seperti Mystery Mansion, Rotating House dan macam-macam lagi tetapi kebanyakannya tidak membenarkan bayi dibawa masuk. Isteri aku sempat mencuba masuk ke Rotating House sambil aku menjaga Zhariff di luar. Dari situ kami berjalan ke Zon Zootopia di mana kami masuk ke Safari World dengan menggunakan bas. Banyak binatang liar yang dapat kami lihat sepanjang perjalanan seperti harimau, beruang, singa dan macam-macam lagi. Dan pemandu bas selaku guide safari berkenaan menerangkan segala-galanya dalam bahasa Korea!

Sekitar jam 3 petang kami meninggalkan Everland walaupun sebenarnya kami hanya berjalan kurang dari separuh keseluruhan taman. Zhariff tertidur dalam kesejukan. Hujan kembali lebat ketika kami menaiki bas ke Jamsil. Sampai di Jamsil kami terus menahan teksi kerana masing-masing kepenatan. Kami tiba di guesthouse sekitar jam 5 petang selepas membayar teksi sebanyak 7000 won (RM21).

On the way balik. Ambik gambar sebelum blah.
Zhariff dah tidur.
Pintu masuk Everland.
Hujan masih turun. Ada satu lagi destinasi yang perlu kami kunjungi. Kami merancang untuk menuju ke Yeouinaru Station untuk menaiki Hangang River Cruise yang akan bergerak dari jeti Yeouido pada jam 8.30 malam. Tetapi aku tergerak hati untuk menelefon dahulu. Aku meminta bantuan pemilik guesthouse untuk menghubungi jeti terlebih dahulu.

Ternyata telahan aku benar. River Cruise pada jam 8.30 malam dibatalkan disebabkan hujan. Ada satu lagi River Cruise yang bergerak 7.30 malam dari jeti yang sama tetapi agak mustahil untuk kami dapat ‘mengejar’ River Cruise berkenaan memandangkan pada waktu itu sudah hampir jam 7 malam ditambah dengan faktor hujan dan kesesakan lalulintas.

Malam itu, kami hanya berkemas-kemas. Kami tidur agak awal. Esok kami akan pulang ke Malaysia.

8.00 pagi, Selasa, 29 April 2014. Kami check out selepas bersarapan ala kadar. Perjalanan kami pagi ini menuju ke Incheon International Airport. Kali ini kami tidak memilih untuk menaiki bas. Kami juga tidak memilih untuk menaiki subway atau keretapi sepenuhnya. Ada sebab mengapa kami berbuat demikian. Semuanya kerana kami tidak mahu terlalu lama 'mengawal' Zhariff yang tak boleh duduk diam apabila menaiki subway. Oleh itu, kami menaiki teksi ke Hongik University Station dan dari sana kami menaiki keretapi AREX ke lapangan terbang.
Selepas membayar tambang teksi 7500 won (RM22.50) ke Hongik University Station, kami singgah di Dunkin’s Donut untuk membeli donut. Ketika itu baru aku perasan jam menunjukkan pukul 9.05 pagi. Kesesakan lalu lintas menyebabkan kami agak lama di dalam teksi. Ketika itu aku mengajak isteri aku berlari di sepanjang stesen subway bawah tanah. Aku menolak bagasi manakala isteri aku berlari menolak Zhariff di dalam stroller. Dalam keretapi AREX aku tak habis-habis melihat route perjalanan dan juga jam. 

Sampai di Incheon Airport Station, kami sekali lagi berlari selaju-lajunya. Sambil mata kami melihat mencari kaunter untuk check in. Mujur aku sampai di depan kaunter tepat jam 9.55 pagi. Lima minit sebelum kaunter ditutup. Aku dengan termengah-mengah terus berkata pada petugas kaunter “saya nak check in. Balik KL”. Terkulat-kulat muka gadis Korea itu bila aku cakap melayu. Selepas menyerahkan passport dan dokumen lain aku terus berkata pada isteri, “Kita ni macam masuk Amazing Race”.
Kami sebenarnya bukan tidak mahu ‘online check in’. Tapi disebabkan kami meminta tempat duduk berserta bassinet untuk bayi, kami tidak boleh ‘online check in’ sebaliknya hanya boleh check in di kaunter. 
Jam 11 pagi, pesawat yang kami naiki iaitu MH67 berlepas. Bermulalah episod yang paling tidak boleh dilupakan oleh kami. Zhariff meronta-ronta dengan tangisan sekuat-kuatnya semasa pesawat berlepas. Sepanjang 6 jam setengah penerbangan ke KL, Zhariff hanya tidur selama 1 jam. Selebihnya dia berjalan-jalan berulang-alik di dalam kapal terbang mungkin lebih 20 kali. Kami bergilir-gilir mengikut Zhariff dari belakang. Kemudian dia meniarap dan berguling atas lantai. Menangis dan menjerit lagi.  Paling tak dapat lupa, apabila kami pegang dia untuk pesawat mendarat, Zhariff menjerit semahu-mahunya dan meronta-ronta untuk dilepaskan. Keluar pesawat kami semacam berikrar takkan bawa Zhariff naik kapal terbang untuk tempoh perjalanan yang panjang. Penerbangan domestik pun kami akan fikir dua tiga kali.
Ketika menunggu ERL di KLIA kami terasa cukup lama. Padahal hanya 25 minit. “Kalau kat Korea ni, tak sempat nak duduk dah datang train satu lagi”, kata aku. “Ok la. Daripada takde”,jawab isteri aku. Oh ya. Kami dah sampai di Malaysia. Kami sangat bersyukur sudah selamat sampai dan dapat melengkapkan perjalanan 5 hari 4 malam kami di musim bunga di kota Seoul. Secara jujur aku sangat berpuas hati dapat pergi ke semua tempat-tempat yang dirancang kecuali Insadong dan menaiki River Cruise. Hamsa Hamida Seoul!!

Dongdaemun 2C House

Ruang pantri.
Kami memilih guesthouse ini atas beberapa faktor seperti harga yang berpatutan, berdekatan dengan stesen subway, berdekatan dengan kedai serbaneka dan agak berdekatan dengan pusat bandar. Kami menempah menerusi booking.com untuk penginapan selama 5 hari 4 malam dengan harga 180 000 won (RM540) bersamaan dengan RM135 untuk satu malam (Jika berdua kosnya hanya RM67.50 semalam).

Bilik dobi
Bilik agak kecil, tetapi lengkap dengan televisyen, mini peti ais, dan katil queen size. Bilik air berada di dalam bilik. Dapur boleh digunakan diruang bawah dan juga sebuah bilik untuk menggosok baju berserta mesin basuh bersama dryer.

Subway

Kali pertama dalam Subway. Tengok route perjalanan.
Subway merupakan pengangkutan awam termurah dan termudah di Seoul. Saya dan keluarga telah menggunakan sistem pengangkutan ini untuk ke banyak tempat di Seoul. Kekerapan tren adalah kurang dari lima minit sekali. Yang paling penting kita perlu tahu tren menghala ke mana dan tidak kalut ketika bertukar line kerana terdapat berbelas-belas line dalam sistem ini.
Saya mencadangkan supaya anda memuatturun (install) aplikasi ‘jihachul subway’ ke dalam smartphone anda sebulan sebelum datang ke Seoul. Anda boleh mengemaskini (update) data terkini dan membiasakan diri dengan aplikasi ini. Semua data lengkap mengenai rangkaian-rangkaian tren dan subway, anggaran tambang, jadual tren, pintu keluar, tempoh masa perjalanan, kekerapan tren, jumlah stesen dan lain-lain lagi boleh disemak menerusi aplikasi Jihachul subway.

Zhariff memberontak mahukan kebebasan. Hampir terlondeh seluar.
Berjaya mendapat lolipop free dari gadis Korea.
Secara amnya, orang Korea banyak menghadap smartphone didalam tren (sama macam Malaysia). Tidak ada budak kecil di dalam tren kecuali anak kami. Mereka beratur sebelum masuk ke tren dan lif untuk ke atas hanyalah untuk warga emas, ibu mengandung dan keluarga bersama bayi. 
Bajet
Pakej paling murah ke Seoul (tempoh hari dan destinasi yang sama) yang pernah kami temui adalah sekitar RM3400 satu kepala. Tetapi kami dapat melawat ke Seoul dengan bajet lebih kurang RM2000++ satu kepala. Berikut merupakan bajet kami sepanjang di sana (mengikut satu kepala dewasa tidak termasuk bajet shopping).

Penginapan –   180000 won /2 (RM540/2) = RM270.00
Bas -  13600 won = RM 40.80
Makan – 42500 won = RM127.50
Teksi – 13500 won = RM 40.50
Tren/subway – 27000 won = RM 81.00
Tiket entrance (Nami Island, Everland dll) – 76000 won = RM228
Jumlah perbelanjaan di Seoul – 262600won = RM815.00
Tiket MAS pergi balik = RM1333.00

Jumlah keseluruhan = RM2148.00

Seorang rakan pernah ke Seoul dengan tiket Airasia berharga RM550.00 untuk penerbangan pergi dan balik. Jadi anda mungkin dapat mengurangkan lagi kos sekiranya dapat harga tiket yang lebih murah menerusi promosi dan sebagainya.

Tips ke Seoul, Korea Selatan
1.      1000 won lebih kurang bersamaan dengan RM3. Untuk memudahkan pengiraan tukaran matawang secara anggaran, buang tiga angka kosong dibelakang amaun dan didarab dengan tiga. Contoh 3000 won tolak 000 didarab dengan 3 (3X3) = RM9. Kalau tak hafal sifir tiga anda boleh saja siap-siap buat jadual pada kertas atau install currency converter dalam smartphone yang memberi nilaian paling tepat.

2.      Elakkan ke Pulau Nami atau Everland pada hari Sabtu dan Ahad, sebaliknya pergi pada hari bekerja untuk mengelakkan kesesakan manusia. Pastikan juga hari yang anda pilih juga bukan cuti umum di Korea. Di kawasan Gapyeong, selain boleh ke Pulau Nami anda juga boleh berkunjung ke Petite France iaitu perkampungan ala Perancis yang menempatkan rumah-rumah tradisional Perancis dalam taman.

3.       Di kawasan Hongik University Station atau lebih tepat Hongdae, selain boleh pergi ke Trick Eye Museum anda juga boleh pergi ke Hello Kitty Cafe, Cat's Cafe (kafe yang terdapat kucing-kucing) dan juga 'Art Street'.

4.     Jika berada di Jamsil Station (stesen bas ke Everland), anda juga boleh pergi Lotte Mall dan Taman Tema Lotte World (indoor theme park) yang terletak berhampiran. Terdapat juga jeti untuk menaiki River Cruise yang terletak tak jauh dari Exit Jamsil Station. 

5. Selain Itaewon yang terdapat banyak pilihan kedai makanan halal, terdapat beberapa gerai kebab di serata Seoul. Antaranya ialah Istanbul Kebab berhampiran Exit 8 Hongik Univ. Station (Hongdae), Adnan Kebab di lorong barang-barang outdoor di Namdaemun Market dan Sunshine Kebab berhampiran Exit 3 Jonggak Station (kawasan Gwanghamun). 


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...