Ternyata memang benar salji. Ketika kami keluar dari lobi hotel, sudah ramai yang sedang bermain dengan salji tak kira tua ataupun muda. Ramai yang sudah mengoles lapisan salji dipermukaan kereta di hadapan hotel dengan berbagai perkataan. Ada juga yang melontar salji sesama sendiri. Pendek kata, kami terlambat. Terlambat sedikit dari mereka untuk menikmati salji pertama di musim sejuk di Kota Beijing pada tahun ini.
Ketika di dalam bas, Jasmin menerangkan perjalanan dari Kota Beijing ke Tembok Besar China mengambil masa kira-kira dua jam bergantung kepada keadaan trafik. Sebelum ke destinasi itu, kami akan singgah ke dua tempat iaitu pusat Jed dan juga pusat Kristal.
Seperti kompleks-kompleks kerajaan sebelum ini, kami diberi penerangan mengenai produk mereka dan akhirnya ‘mengheret’ kami kepada sesi pujuk-memujuk, paksa-memaksa untuk membeli produk mereka. Sememangnya Jed dan Kristal yang dijual cukup cantik dan menawan tetapi misi kami yang utama adalah untuk memperoleh pengalaman di kota tua ini dan peluang kami adalah ‘membelinya’ dengan pandangan mata kami dan juga terakam menerusi lensa kamera.
Dua kompleks kerajaan sudah kami singgah, kami terus menuju ke sebuah restoran muslim untuk makan tengahari dan juga solat disana. Selepas itu, bas kami mula mendaki jalan berliku ke salah satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia iaitu Tembok Besar China. Bas kami sebenarnya menuju ke salah satu ‘pintu masuk’ ke tembok ini iaitu Juyong Pass. Terdapat beberapa tempat selain Juyong Pass ini bagi pengunjung yang ingin ke tempat bersejarah ini iaitu Badaling, Mutianyu, Simatai dan sebagainya.
Kami diberi masa selama sejam untuk berjalan-jalan di Tembok Besar China. Peluang keemasan ini semestinya direbut memandangkan kami memikirkan peluang ini mungkin peluang sekali seumur hidup. Kami akhirnya berdiri diatas salah satu binaan manusia yang dapat dilihat dari angkasa lepas. Tembok China sememangnya mengagumkan kerana kami dapat merasa dan membayangkan sendiri bagaimana manusia pada zaman dahulu dikerah untuk mengangkut batu-batu pejal dan besar merentas banjaran gunung untuk membina tembok pertahanan ketenteraan ini. Tembok ini bukan hanya berusia lebih 2000 tahun malah melingkari bumi China dari barat ke timur, merentasi banjaran gunung-ganang, permatang bukit-bukau dan juga dataran padang pasir.
Kami sempat bergambar dengan sebuah monumen yang tertulis perkataan yang lebih kurang membawa maksud ‘anda adalah seorang pahlawan jika menjejakkan kaki di Tembok Besar China’. Seterusnya aku, Wan, Azwad dan juga Jackie, iaitu jurukamera yang merakam perjalanan kami terus mendaki ke stesen yang telah ditetapkan. Misi kami adalah untuk mendapatkan plat yang boleh diukir nama sebagai bukti kami sudah pun mendaki binaan yang tersenarai dalam Warisan Dunia oleh UNESCO ini.
Satu lagi sesuatu yang menarik yang kami temui adalah terdapatnya mangga-mangga yang terkunci pada tembok ini. Pengunjung yang datang bersama pasangan masing-masing boleh mengukir nama mereka pada mangga itu, mengunci pada besi dan mencampakkan anak kunci ke gaung sebagai simbolik ‘cinta mereka tidak akan terpisah’, melainkan ada yang sanggup untuk turun ke gaung yang begitu curam untuk mencari anak kunci itu semula sebagai usaha untuk berpisah dengan pasangan mereka.
Selepas berhempas pulas mendaki dengan kepayahan berseluar tebal berlapis-lapis, kami berjaya tiba di antara puncak yang tertinggi. “Letih dowh”, begitu kata Azwad yang menyandarkan badan pada dinding beberapa anak tangga ke puncak. Walaubagaimanapun kami tidak dapat melihat dengan jelas tembok yang berada diatas gunung-gunung kerana kabus begitu tebal dan pemandangan yang tinggal hanyalah berbalam-balam. “Kita gak yang nak salji. So memang tak dapat sangat ar tengok tembok yang jauh-jauh”, kata aku ketika kami sibuk merakam gambar.
Sejam berlalu, kami pun menuju ke bas yang akan ke suatu tempat untuk aktiviti yang tidak terdapat di dalam pakej, tetapi permintaan oleh rombongan kami sempena musim sejuk. Selepas melewati bukit-bukau yang dilingkari tembok yang panjang dan juga melepasi terowong-terowong di bawah bukit, kami akhirnya tiba di sebuah pusat ski yang baru seminggu dibuka untuk musim sejuk. Kami cukup bertuah apabila diberitahu bahawa harga sewa peralatan dan juga bermain ski adalah harga promosi iaitu sekitar 200 yuan (lebih kurang RM100.00) memandangkan belum ramai pengunjung yang bertandang ke situ.
Sebaik saja kami masuk, ketika Jasmin sedang sibuk menguruskan pembayaran, kami mula dikerumuni oleh ‘instructor’ yang meminta kami untuk mengambil mereka sebagai ‘tenaga pengajar’. Bukan seorang dua. Tapi sehingga lebih dua puluh orang mengelilingi kami seramai 17 orang.
“Rimas betullah aku dengan langau ni”, kata Shahir. “Dah la pakai baju ski Rusia. Beli bundle pastu hantar dobi. Setel. Berlagak macam pro”, tambah Bujam disertai deraian tawa kami. Kami terus berlalu untuk mengambil kasut dan juga alatan-alatan lain. Nasihat Jasmin supaya tidak mengambil mereka sebagai instructor terus kami pegang. Kalau tidak, mungkin kami perlu membayar dengan harga yang agak mahal.
“Kita bukan nak main profesional pun”, kata aku. “Dapat gerak, sudah”, jawab Shahir. Kami terus ‘menyombong’ sehinggakan tidak mahu ‘langau-langau’ itu tadi memasangkan alatan ski pada kaki kami. Betul-betul sombong sampaikan kami memasang sendiri kelengkapan selepas melihat bagaimana cara beberapa pengunjung lain memakai kelengkapan ski itu.
Dalam beberapa percubaan, kami berjaya bermain dengan lebih baik walaupun sebelum ini kami sering menjatuhkan diri memandangkan kami tidak tahu teknik yang betul untuk berhenti. Mujur kami hanya bergolek di atas salji, dan kami cepat belajar selepas melihat gaya dan cara beberapa pengunjung yang betul-betul mahir bermain ski.
Malam itu kami dibawa ke restoran yang menyajikan hidangan yang paling lazat sepanjang kami di Beijing. Mungkin disebabkan kesejukan dan tenaga yang banyak digunakan sepanjang hari selepas mendaki Tembok Besar China dan bermain ski, kami makan dengan penuh berselera. Hari itu kami sememangnya salah satu hari dalam musim sejuk kerana salji menemani kami dari pagi hingga ke malam.