
KECIL TAPI DEWASA
Wednesday, January 11, 2012

MENYASAR KE GUNUNG JASAR MEREDAH KE GUNUNG PERDAH
Monday, January 9, 2012
Kami pernah mendaki Gunung Kinabalu, tetapi kami tidak pernah memilih untuk mendaki gunung-gunung yang terkenal sahaja. Kerana itu pada hari terakhir di tahun 2011, aku dan Azrul berpakat untuk menyasar ke puncak Gunung Jasar dan meredah ke Gunung Perdah yang kedua-duanya terletak di Tanah Rata, Cameron Highlands.
Tanpa banyak berbincang dan walaupun ramai rakan yang diajak tidak dapat turut serta, kami menuju ke Cameron Highlands walaupun kami agak gusar jalan ke pusat peranginan itu mungkin sesak dengan pelbagai kenderaan memandangkan cuti hujung minggu dan tahun baru. Walau apapun, tujuan kami adalah untuk berekreasi, menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan dan ingin melaksanakan sesuatu yang tertunda. Kami ingin melengkapkan misi meletakkan papan tanda di kedua-dua puncak Gunung Jasar dan Perdah yang sudah lama kami rancangkan iaitu ketika kami mendaki Gunung Swettenham pada bulan Jun 2011 yang lalu.
Misi kami selesai selepas memakukan papan tanda Gunung Perdah pada sebatang pokok. Setelah bergambar dan berehat sepuasnya, kami meninggalkan puncak gunung dengan menggunakan laluan trek berhampiran Kem TNB. Satu lagi trek adalah melalui penempatan orang asli Sungai Ruil yang pernah dilanda tragedi tanah runtuh yang mengorbankan beberapa nyawa baru-baru ini. Tidak sampai 15 minit kami sudah sampai di jalan masuk ke Kem TNB. “Pergh dekat giler. Apesal kita tak ikut trek ni je tadi”, kata Azrul. “Aku pun baru tau. Tapi kalo ikut Sungai Ruil pun sama gak 15 minit”, jawab aku.
Kami mula berjalan di jalan bertar yang sangat sunyi dan menurut data dari telefon bimbit Azrul, kami berada di Jalan Tengkolok dan perlu berjalan kaki sejauh 3 kilometer sebelum tiba di pekan Tanah Rata. Namun nasib menyebelahi kami. Seorang lelaki India berusia lingkungan 40an menumpangkan kami. “Saya memang selalu tumpangkan hikers”, kata Guna yang kemudiannya memperkenalkan dirinya. Sepanjang perjalanan, Guna menceritakan tentang masalah pencemaran, penggunaan racun terlarang dan juga penerokaan tanah oleh pekebun dan peladang di Cameron Highlands. Tanpa merujuk pada kelompok tertentu, Guna yang bekerja di Pusat Kaji Cuaca di kawasan berhampiran memberikan satu kata-kata yang ada betulnya. “Kalau dia orang sembahyang tapi tak mau berubah, memang tak berguna. Dia orang yang mesti ubah diri sendiri”.
Perbualan yang berterusan langsung membuatkan kami tidak perasan kami sudah tiba di Tanah Rata. Kami menghulurkan tangan dan mengucapkan ribuan terima kasih pada Guna kerana menumpangkan kami. Kami kemudian ke masjid untuk menunaikan solat, ke medan selera untuk makan tengahari dan terus meninggalkan Cameron Highlands ketika hujan lebat mula turun.
Gunung Jasar dan Gunung Perdah yang pada mulanya kami anggap biasa sahaja sebenarnya mempunyai keistimewaannya tersendiri. Pemandangan indah yang menampakkan hampir semua gunung-gunung penting di Cameron Highlands merupakan bonus bagi para pendaki. Gunung Jasar dan Gunung Perdah juga menemukan kami dengan dua insan biasa tetapi mempunyai kecintaan terhadap alam semulajadi yang luar biasa. Siva si ‘penjaga gunung’ menjadikan puncak Gunung Jasar sebagai rumah keduanya manakala Guna menjadikan profesionnya sebagai landasan untuk mencintai alam, dan terus memberi kesedaran kepada orang yang ditemuinya termasuklah kami yang lantas bercita-cita untuk terus mencintai alam.
PANDUAN & TIP MENDAKI GUNUNG JASAR - GUNUNG PERDAH
- Kedua-dua gunung ini selalunya didaki sekali gus dan merupakan gunung yang paling mudah didaki dan mengambil masa yang paling singkat. Para pendaki boleh memilih mendaki dari Gunung Jasar ke Gunung Perdah atau sebaliknya.
-Trek jelas kelihatan dan terdapat beberapa papan tanda di beberapa cabang trek. Trek 12 akan membawa ke Jalan Tengkolok (3km dari Tanah Rata) dan satu lagi trek ke kampung orang asli Sungai Ruil.
-Trek 6 akan membawa pendaki ke pekan Habu.
-Para pendaki dinasihatkan supaya berhati-hati kerana terdapat beberapa kawasan yang berpotensi untuk mengalami tanah runtuh. Selamat mendaki!