TRIP SANTAI GUNUNG WARPU

Monday, July 8, 2013


Boleh dikatakan Gunung Warpu adalah gunung paling santai untuk didaki. Manakan tidak, kami mengambil masa hanya 1 jam 15 minit untuk sampai ke puncak gunung (dari Kem Kabin) dan trek sangat landai dan tidak memenatkan. Hanya salur-salur paip yang licin dan anak-anak tangga yang curam yang menjadi cabaran utama kami.



Kami sebenarnya bertujuh. Berjanji berkumpul di Masjid Kampung Raja, Cameron Highlands pada jam 12 tengahari, 6 Jun 2013. Tetapi tiada siapa yang sampai jam 12. Semuanya sampai lewat memandangkan segala keperluan dan kelengkapan sudah ada dan hanya  menunggu pacuan empat roda (powil) yang akan membawa kami ke Blue Valley Dam pada jam 2 petang.



“Tunggu jap bang. Ada satu kereta lagi. Dorang sangkut kat jem kat Brinchang”, kata aku pada Abang Pojie, pemilik powil. “Aik? Abang dari Brinchang la tadi. Ok je jalan”, balas Abang Pojie. Beberapa minit kemudian, Sham bersama adik-adiknya, Sufi dan Ibrahim dan adik iparnya pun sampai. Lengkap ahli kumpulan, kami menuju ke SK Kampung Raja untuk meletakkan kereta.



“Takde pompuan ek? Kalo camtu aku tak dapat ar bawak bini aku pegi”, kata Ibrahim sambil memandang bininya yang baru dinikahi beberapa hari sebelum itu. “Takpe ar. Next time. Ko bawak bini ko jalan-jalan honeymoon kat Cameron dulu”, jawab aku. Ibrahim sedikit kecewa. Bininya baru saja beli kasut hiking baru. Tapi disebabkan tiada kawan perempuan yang lain, hasrat itu terpaksa dibatalkan.



Jam 2.30 petang, aku, Lee, Az, Sham, Sufi, Banja dan Arai sudah berada di atas powil. Powil meninggalkan Kampung Raja menuju ke Blue Valley Dam melalui laluan ladang tomato dan jalan separa berturap. Kami  terhuyung hayang sambil berpaut pada palang pada powil. 20 minit kemudian kami sampai di Blue Valley Dam. Aku kemudian mengingatkan Khanna, pemandu powil supaya menjemput kami di Blue Valley Dam pada jam 2 petang esok hari.



Pendakian kami dimulakan dengan bacaan doa oleh Arai dan kemudian aku memberi sedikit taklimat ringkas. Selepas itu, aku mengepalai kumpulan mula mendaki anak-anak tangga yang sememangnya merupakan ‘starting point’ untuk mendaki gunung-gunung terkenal di Banjaran Titiwangsa. “Wei, takde warm up ke?”, tanya Lee. “Tak payah. Yang ni warm up untuk esok”, jawab aku.




Mengikut pembacaan aku di sebuah blog, cuma terdapat 50 anak tangga yang perlu didaki. Memandangkan tangga curam dan memerlukan langkah yang besar itu sangat tinggi, aku mula bersuara, “aku rasa blogger ni tipu ar. Tak pun die typing error. Tertinggal nombor 2 kat nombor 50 tu. Patutnya 250 anak tangga ni”.



Perlahan-lahan kami mendaki tangga. Tangga ini merupakan kejutan pada otot-otot malah pada lemak-lemak kami. Masing-masing sudah mula berpeluh dan nafas mula deras. Agak lama kami mendaki tangga yang berlumut hijau itu. Aku kemudian menyuruh Lee memanjat tangga terus ke atas. “Ok dah. Atas ni dah takde tangga dah”, jerit Lee dengan suaranya yang separuh leper.



Sampai di puncak tangga, kami berehat seketika. Cabaran seterusnya hanya sekitar 100 meter saja dari puncak tangga itu. Kami perlu melalui salur-salur paip licin di atas lopak yang penuh dengan air. Seorang demi seorang mula meniti salur-salur paip. Salah langkah, kami mungkin terhumban ke dalam lopak atau kaki terperosok dicelah-celah salur-salur paip.




“Giler ah dorg wat paip ni. Sampai atas gunung”, Lee bersuara. Salur-salur paip ini sebenarnya adalah saliran air dari sungai untuk ladang-ladang pertanian berdekatan. Kami meneruskan perjalanan pada trek yang lebih mudah. Cuma lecak dan lumpur disekeliling salur-salur paip yang melambat perjalanan kami. Tidak lupa, salur-salur paip yang licin.




Selepas beberapa ketika, kami tiba di simpang empat yang terdapat batu sempadan Kelantan-Pahang. “Bro, kita ke kiri kan?, tanya Azrul. “Haah. Kalo terus ni pegi Kelantan. Kanan ni pegi ladang. Starting point kita masa daki Charlie dulu”, jelas aku. Selepas berehat, minum air dan menunggu kawan –kawan menghabiskan sebatang rokok, perjalanan diteruskan. Trek masih landai cuma salur-salur paip sememangnya tidak pernah lepas dari mata kami.



Kami berjalan dalam tempo yang sederhana sambil berbual-bual. Aksi tergelincir dan kaki terbenam pada tanah yang disangkakan tanah keras merupakan perkara biasa. Trek kebanyakkannya perlu meniti salur paip tetapi ada juga trek atas tanah yang direntas oleh pendaki-pendaki terdahulu. Aku terus memerhatikan trek kerana panduan seterusnya adalah tanah runtuh di sebelah kiri trek.




Jam 4.30 petang, kami tiba di kawasan bekas tanah runtuh. Kami berhenti seketika sementara menunggu Az, Banja dan Arai yang berada di belakang. Az mula membuka peta bagi mengagak kedudukan kami ketika itu. Beberapa minit kemudian perjalanan diteruskan. Selepas melalui kawasan bekas tanah runtuh, kami melalui denai kecil di sebelah kanan trek. Denai ini membawa kami ke tebing sungai. Kami berehat seketika di tepi sungai yang merupakan ‘tandas paling sempurna’ buat kami. Selepas itu, kami menyeberangi sungai dan tiba di kawasan lapang yang dipenuhi pokok-pokok resam dan pokok-pokok renek. Kami mengikut laluan trek dan mendaki sedikit dan akhirnya tiba di Kem Kabin pada jam 5 petang.



Kem Kabin merupakan tempat persinggahan bagi pendaki-pendaki untuk bermalam dan meneruskan pendakian keesokan harinya. Kem ini dibina menggunakan zink - atap dan juga dinding, serta boleh memuatkan kira-kira 10 ke 15 orang di dalamnya. Kami berehat seketika, menjenguk kawasan sekeliling dan terus melakukan tugas masing-masing – mencari kayu api, membentang ground sheet dalam kabin, memasak dan lain-lain lagi.



“Kita tidur luar ar”, ajak Az. “Sejuk bro. Berembun nanti”, balas Banja. Kami kemudian membawa beg ke dalam kabin dan mula mengeluarkan koleksi makanan. Nasi kosong, Maggi, Sardin dan lauk-lauk dalam tin. Ada satu plastik yang kami jinjing sepanjang perjalanan dari Blue Valley Dam ke Kem Kabin. Di dalamnya ada tepung gandum, minyak masak dan juga sebotol sos. Arai mula mengeluarkan dapur yang masih berbau kedai.



Sekitar jam 6.30 petang, kami semua kembali ke tebing sungai. Banja terus terjun dalam air bersuhu kira-kira 16 darjah selsius. Yang lain hanya menggunakan ‘tandas’ di tepi sungai dan membersihkan seluar yang kotor terkena lumpur. Kami mengambil wuduk dan kembali ke kem ketika matahari semakin terbenam.



Selepas menyalakan unggun api, kami solat berjemaah. Banja mula menggoreng cekodok selepas itu dan kami makan nasi berlaukkan lauk dalam tin berpinggankan beg plastik. Tak ubah macam golongan tabligh makan dalam talam. Cekodok kosong cicah dengan sos sememangnya hidangan terhebat pada malam itu. Tidak lupa, beberapa serangga terbang kecil yang ‘hinggap’ di sos, menjadi perencah tambahan dan sumber protein pada kami!




Malam itu kami merapu. Ada yang kata, alang-alang dah sampai kaki Gunung Warpu memang kena merapu. Pelbagai cerita yang keluar. Unggun api menjadi sumber cahaya dan juga haba bagi kami yang duduk bersembang di luar kabin di lembah yang semakin menurun suhunya menjelang tengah malam. Seperti biasa, dengkuran menjadi peneman malam, sambil suhu semakin menurun dan ‘menyeksa’ kami untuk tidur dengan lebih nyenyak.



7 JUN 2013




Selepas solat subuh, bersarapan ringkas dan bersiap-siap, kami sudah bersedia untuk ke puncak Warpu. Hanya Arai yang tidak mengikut ‘rombongan’ sebaliknya  tinggal di kem. “Aku tak kira. Aku nak seret gak ko daki”, usik Az. “Jangai bai. Semalam pun kaki aku dah sakit dah. Korang pegi je ar. Aku sediakan makanan”, jawab Arai yang masih berkain pelikat.






Jam 7.15, kami meninggalkan Arai di Kem Kabin. “Ko nak pegi mane-mane ko bawak ar pisau ke parang”, pesan aku sebelum beredar. Kami kemudiannya melalui denai di belakang Kem Kabin dan terus mendaki merentas laluan yang ditutupi pokok resam dan pokok-pokok renek. Walaupun trek agak landai, pendakian kami agak perlahan memandangkan kami perlu merentas semak samun yang menutup sebahagian trek. Lima belas minit kemudian, kami tiba di bukit botak yang merupakan kawasan tiada litupan pokok dan berdekatan dengannya adalah pintu rimba atau gerbang rimba, gelaran yang diberi oleh pendaki-pendaki terdahulu.




Memasuki gerbang rimba bermakna kami telah memasuki kawasan trek pokok-pokok tinggi memayungi kami. Kami terus mengikut trek yang agak landai dalam rentak pendakian yang masih sederhana. Beberapa minit kemudian, kami tiba di persimpangan ke Gunung Yong Belar dan Gunung Warpu. Terdapat sebatang pokok yang ditoreh perkataan Warpu dan tanda anak panah ke sebelah kanan. Kami terus mendaki melalui denai yang mula terdapat lumut-lumut hijau yang basah, indikator biasa untuk gunung-ganang tempatan.







Sekitar jam 7.50 pagi kami tiba di lereng bukit dimana kami dapat menyaksikan  satu pemandangan yang cukup menakjubkan – gunung-ganang Banjaran Titiwangsa. Agak lama kami disitu, mengambil gambar, berehat sambil meneka-neka susunan gunung yang terbentang di hadapan kami. Gunung Charlie Pondok betul-betul didepan mata kami. Begitu juga dengan gunung-gunung yang lain yang lebih jauh dan nampak berbalam-balam.




Pendakian kami diteruskan. Kali ini kami mula melihat pokok-pokok yang meliuk seperti dipulas iaitu pokok ‘bonsai’ semulajadi kawasan pergunungan. Pokok-pokok buluh halus juga banyak kami temui di kiri dan kanan trek. Begitu juga dengan periuk kera dan sejenis spesis lumut yang kelihatan seperti rumput yang segar. Jam 8.00 pagi, kami tiba di puncak tipu yang pertama. Dari puncak itu jelas kelihatan beberapa batang tiang yang merupakan bekas beirut di puncak Warpu. Ketika ini matahari semakin memancar terang. Az menanggalkan jaket yang dipakai dan diletakkan di sebatang pokok di puncak itu.



Kami sebenarnya perlu menuruni trek yang landai sebelum mendaki ke puncak tipu yang kedua. Kemudian kami perlu menuruni trek lagi, mengikut trek yang seakan berpusing-pusing dan kemudian terus mendaki ke puncak Gunung Warpu. Dan akhirnya kami tiba di puncak Gunung Warpu jam 8.30 pagi.





Gunung Warpu berketinggian 1745 meter dari aras laut. Gunung ini terletak dalam kawasan Lojing, Gua Musang, Kelantan. Warpu sebenarnya bukanlah sebahagian daripada Banjaran Titiwangsa tetapi merupakan jajaran banjaran atau cabang banjaran bagi tulang belakang Semenanjung Malaysia itu. Gunung ini merupakan gunung yang ke 56 tertinggi dalam senarai gunung-gunung tertinggi di Malaysia.




Terdapat campsite yang boleh menempatkan kira-kira 4 buah khemah di puncak ini. Terdapat juga satu kawasan dimana kami boleh melihat banjaran gunung. Seorang demi seorang mula bergambar bersama papan tanda sebagai bukti telah menjejakkan kaki di puncak Gunung Warpu. Kami berehat lebih daripada setengah jam. Sebelum kami meninggalkan puncak gunung, kami sempat bergambar beramai-ramai dan melekatkan papan tanda di batang beirut. Jam 9.10 pagi, kami memulakan langkah tanpa henti ke Bukit Botak. Jam 9.50 pagi, kami pun masing-masing keluar dari pintu rimba dan duduk berehat di Bukit Botak. Pukul 10.10 pagi, kami disambut oleh Arai di Kem Kabin yang baru mengeluarkan dapur untuk memasak.




Kami kemudiannya berpakat untuk berkemas-kemas dan membawa semua barang ke pinggir sungai memandangkan hari semakin panas. Kawasan sungai yang redup dan air yang dingin merupakan tempat yang tepat untuk kami yang sedang berpeluh dan berlengas untuk menbersihkan diri selepas hampir tiga jam mengharungi trek pergi dan balik ke puncak Warpu. Kami menghabiskan bekalan makanan yang ada sambil masing-masing membuka baju untuk berendam dalam air sesejuk ‘air dalam peti ais’. “Jom Sham. Jom mandi. Tak payah cakap pun takpe”, kata aku bergurau pada Sham yang sememangnya seorang yang sangat pendiam.



Sejuk air memang bukan kepalang. Air sungai ini bukan saja sejuk tapi boleh buat badan rasa kebas. Kepala pun rasa beku.  Sambil mandi dan berendam, kami menjemurkan baju-baju dan kasut di atas batu. Air milo panas, roti dan tuna merupakan juadah piknik kami pada pagi itu.




Jam 11.45 pagi, kami meninggalkan sungai untuk menuju ke Blue Valley Dam. Kami sekali lagi perlu melalui trek saluran paip PVC yang licin. Mujur kami sudah semakin mahir dan langkah kami lebih laju dari hari sebelumnya. Jam 12.45 tengahari kami sudah tiba di puncak anak tangga. Kali ini kami menuruni anak tangga seperti orang tua memandangkan tangga-tangga itu agak licin. Kiraan kami, tidak termasuk beberapa anak tangga yang tidak digunakan  adalah sebanyak 278 anak tangga yang terdapat di Blue Valley Dam ini. Bukan 50 seperti yang pernah aku baca sebelum ini.




Jam 1.00 petang, kami sudah berada di Blue Valley Dam. Ada yang mandi dan ada juga yang mengambil kesempatan untuk melelapkan mata seketika sementara menunggu powil yang akan tiba pada jam 2.00 petang. Seperti dijanjikan, sejam kemudian powil datang menjemput kami.  Kami dibawa ke SK Kampung Raja dimana disitulah kami berpisah. Selepas bersalam-salaman, kami mula membawa kereta menuju destinasi masing-masing.




Gunung Wapu, sememangnya santai. Tetapi tetap menjanjikan kepuasan bagi seorang pendaki. Dua hari satu malam kami menghayati hutan Pahang dan Kelantan dalam menuju matlamat ke puncak Gunung Warpu. Peluang dan ruang ini amat bermakna bagi aku kerana kali terakhir aku mendaki gunung dan bermalam adalah pada penghujung tahun 2011. Aku juga dapat menyaksikan pemandangan Banjaran Titiwangsa yang cukup mempersonakan. Ketika menyaksikan gunung-ganang itu, aku terus memasang impian, agar suatu hari nanti aku dapat menjejakkan kaki di salah satu gunung G7, yang menjadi impian setiap pendaki gunung di Malaysia.


GELARAN ULANG TAHUN

Friday, March 15, 2013


Kita selalu mendengar sambutan-sambutan ulang tahun seperti jubli perak, jubli emas dan jubli intan yang menyambut ulang tahun kali kedua puluh lima (jubli perak), kelima puluh ( jubli emas) dan keenam puluh (jubli intan). Tahukah anda sebenarnya terdapat gelaran-gelaran lain untuk ulang tahun yang berselang setiap lima tahun khususnya untuk ulang tahun perkahwinan. Berikut adalah gelaran-gelaran ulang tahun yang mungkin kita tidak pernah tahu sebelum ini.

Tahun Pertama - Kertas ( Paper)
Tahun Kelima - Kayu ( Wood )
Tahun Ke-10 - Timah (Tin )
Tahun Ke-15 - Baiduri (Crystal)
Tahun ke-20 - Tembikar (Chinaware)
Tahun ke-25 - Perak (Silver)
Tahun ke-30 - Mutiara ( Pearl)
Tahun ke-35 - Batu Karang ( Coral )
Tahun ke-40 - Delima ( Ruby )
Tahun ke-45 - Nilam ( Sapphire )
Tahun ke-50 - Emas ( Golden)
Tahun ke-55 - Zamrud ( Emerald )
Tahun ke-60 - Intan ( Diamond )

Sumber : Buku Pengetahuan Am Jilid Satu.

MERENTAS TREK GUNUNG PINE TREE HILL

Saturday, January 5, 2013

~ Tiada sebatang pokok pine pun di puncak Gunung Pine Tee Hill. Kerana itu kami merumuskan bahawa gunung ini mendapat nama dari nama trail/trek untuk ke gunung ini iaitu Pine Tree Trail dan penghujung trail/trek ini adalah gunung itu sendiri ~


14 November 2012, jam 9.00 pagi, kami sudah mula berkumpul di hadapan trail. Masing-masing sudah bersedia. Ketika itu matahari memancar terang sambil tubuh kami menikmati suhu dingin pagi di Bukit Fraser.  Salam perkenalan bertaut kerana ada dikalangan kami yang baru pertama kali bersua muka. 


Bersama aku dari Kuala Lumpur adalah ‘geng asal’ Klavikel Adventure Team (KAT) iaitu Bee, Sha dan Che yop. Kami berkereta dan bertolak dari KL seawal jam 5.30 pagi. Azrul yang juga ahli ‘geng asal’ datang bersama ‘bini-bini perkasanya’ dari Sungkai dan Rawang iaitu Erma, Sufi dan Arissa. Melengkapkan ‘rombongan’ adalah seorang lagi ‘geng asal’ iaitu Sainol bersama dua kawannya iaitu Usop dan Yuzwan. Mereka datang dari Terengganu dan datang awal sehari ke Bukit Fraser dan bermalam di bangsal masjid.
 

Jam 9.20 pagi kami memulakan pendakian. Trek pendakian pada mulanya agak santai sambil kami ligat bercerita antara satu sama lain. “Imam masjid cakap dia daki dalam dua jam je”, kata Sainol ketika kami mula bertemu di perkarangan masjid. “Huh! Riak betul imam tu”, kata aku berseloroh dan disambut dengan ketawa. Pendakian berjalan dengan lancar sehinggalah kami mula berjumpa dengan trek yang terus menerus menurun.



Permulaan trek yang santai pada awalnya membuatkan kami melangkah dengan laju. Trek yang kami lalui sangat jelas dan trek menurun telah terbina dengan tangga-tangga batu dan terdapat sebuah pondok yang mempunyai maklumat mengenai trek pine tree hill. Terdapat beberapa pondok di dua kilometer pertama trek. Hanya pondok pertama dan pondok kedua yang masih berdiri. Yang lainnya sudah rebah. Trek juga dilengkapi dengan tali pemegang untuk memudahkan pendaki dan juga papan tanda yang menunjukkan jarak trek dari tempat permulaan trek.


Kemudian kami mula merentas trek yang tidak dilengkapi dengan pondok, tangga batu mahupun tali pemegang. Hanya beberapa papan tanda yang menunjukkan jarak trek yang dilalui dari pintu masuk yang dipacak setiap selang 500 atau 1000 meter. Trek yang kami lalui sebenarnya agak mudah dilalui. Cuma keadaan muka bumi yang berselang-seli naik dan turun menyebabkan kami agak letih. Terdapat banyak pokok-pokok besar yang tumbang dan merintangi trek.  Terdapat lubang-lubang pada permukaan tanah atau pangkal akar pokok dan segera mengingatkan kami pada kata-kata Sainol, “kalo nampak lubang jangan pandai-pandai hulur kaki. Imam tu cakap  lubang tu lubang sarang tarantula”.


Pendakian kami diteruskan. Setiap satu jam kami akan berhenti lebih lama untuk berehat dan menunggu rakan-rakan yang dibelakang. Di sepanjang trek kami banyak berhenti seketika untuk mengurangkan jarak antara kelompok yang di depan, di tengah dan di belakang. Sekitar 1 kilometer dari puncak gunung, kami akhirnya sampai di punca air terakhir (last water point-LWP). Terdapat kawasan yang agak lapang yang boleh memuatkan beberapa buah khemah di kawasan berhampiran LWP itu.
 


Kami meneruskan pendakian dan akhirnya tiba beberapa meter dari puncak Gunung Pine Tree Hill. Dihadapan kami adalah cerun berkecerunan kira-kira 60 ke 70 darjah yang berketinggian kira-kira 10 meter. Kami berpakat untuk menunggu rakan-rakan yang lain sebelum meneruskan pendakian yang terakhir. “Ko naik dulu Senol. Kitorang bagi penghormatan sebab ko orang yang last”, kata Azrul pada Sainol. Selepas semuanya tiba, Sainol mula mendaki. Kemudian aku berbisik pada Azrul, “macam la aku tak tau ko bagi die naik dulu sebab nak suruh die amik video kite…hahaha”. Seorang demi seorang mula mendaki dan berpaut pada tali dan juga akar-akar pokok yang berselirat. Sainol berada di atas sekali sedang merakam aksi kami mendaki.




Akhirnya, sekitar jam 1.10 petang kami sampai di puncak Gunung Pine Tree Hill. Puncak Pine Tree Hill setinggi 1456 meter dari aras laut berjaya kami tawan dalam tempoh 3 jam 50 minit. Puncak gunung ini tidaklah sebesar mana, tidak rata dan kurang sesuai untuk didirikan khemah. Bee, Che Yop dan Aesyah merupakan kelompok terakhir yang tiba di puncak. “Laa..ni je ke?”, keluh Bee antara lelah dan mengah ketika tiba di puncak. Kabus tebal menyelubungi pandangan hampir 180 darjah tanpa halangan pokok. Ini bermakna kami tidak dapat menyaksikan pandangan banjaran ataupun puncak-punvak gunung yang berhampiran. Kami kemudian segera mengambil gambar memandangkan langit semakin gelap.



Yuzwan dan Erma menguji lensa kamera. Arissa menikmati pisang. Sainol sibuk mencari tempat yang sesuai untuk dia melepas hajat. Aku sibuk menelefon isteri untuk memberitahu aku dan kawan-kawan sudah tiba di puncak. Yang lain-lainnya duduk berselerak di atas puncak gunung untuk berehat, makan dan bergilir-gilir memegang banner untuk bergambar.


“Macam mane? Nak terus ke Twin Peak tak?”, tanya Azrul. Tetapi tiada jawapan yang pasti  muncul dari mulut setiap seorang dari kami menandakan puncak Gunung Pine Tree Hill adalah titik akhir pendakian. Selepas hampir sejam mengambil gambar, berehat dan makan kami memutuskan untuk meninggalkan puncak gunung. Hujan mula turun ‘berpakejkan’ angin dingin mengiringi perjalanan kami kembali ke pintu masuk trek.


Turutan kami ketika turun sering bertukar-tukar. Adakalanya Yuzwan dihadapan. Adakalanya Erma. Yang pasti, Sha, Bee & Che Yop yang dipanggil Yaakob oleh Sha merupakan kelompok yang setia berada di kumpulan yang terakhir. Dan aksi Sufi menuruni setiap cerun secara terbalik tetap menghiburkan. “Ala..turun lagi ke? Bila nak daki lagi ni”, kata Sufi yang lebih suka mendaki berbanding menuruni cerun kerana keadaan lututnya yang sakit (akibat kecederaan lampau) setiap kali dia menuruni cerun.


Sudah hampir tiga jam kami meninggalkan puncak, hujan masih lagi setia dan hutan semakin gelap seperti menjelang waktu senja. Kami semakin terpisah-pisah. Yuzwan, Erma, Arissa & Azrul terpisah jauh dihadapan. Aku ditengah-tengah menemani Sufi yang perlahan langkahnya setiap kali menuruni cerun atau bukit. Jauh di belakang adalah kelompok  Usop, Sainol, Bee, Sha dan Che Yop. Ketika berada di tangga batu yang pertama untuk didaki, aku dan Sufi berpakat untuk menunggu rakan-rakan yang lain dibelakang. Agak lama kami menanti sehinggalah Bee orang yang terakhir muncul bersama tongkat ditangannya. “Letih dowh. Klavikel Kat s#cks!”, kata Bee berseloroh. Tidak lama kemudian terdengar suara Azrul melaung dari paras paling atas anak tangga itu. Azrul, Erma, Yuzwan dan Arissa berada kira-kira 10 minit dihadapan dari tempat kami berehat.


Perjalanan diteruskan. Kami perlu tiba di pintu masuk sebelum matahari terbenam. Bee tidak habis-habis mengelap cermin matanya yang berwap. “Ko lap spek ko guna air liur”, kata Sainol. “Ko tipu! Aku buat tak jadik pun”, jawab Bee. Kami berjalan berturutan dan akhirnya terpisah-pisah sekali lagi tetapi dalam jarak yang lebih dekat. Kali ini aku menyertai kelompok yang paling hadapan.

Trek landai membawa kami ke pintu gerbang permulaan trek. Beberapa meter sebelum sampai ke pintu gerbang, ada satu kawasan yang menarik perhatian kami. Kami dapat melihat banjaran-banjaran gunung dan juga beberapa kawasan yang dibangunkan di Bukit Fraser. Di atas bukit sebelah kanan trek pula adalah beberapa batang pokok pine. “Huh. Kat sini ar baru ade pokok pine”, kata aku.


Jam 6.40 petang, kelompok terakhir tiba di tempat permulaan trek beberapa minit sebelum matahari terbenam. Jika setahun yang lalu, aku dan Azrul mendaki Gunung Perdah dan Gunung Jasar pada hari terakhir bagi tahun masihi, pada tahun ini pula aku, Azrul, Bee, Sha, Che Yop, Sainol, Yuzwan, Usop, Erma, Arissa dan Sufi berjaya mendaki ke puncak Gunung Pine Tree Hill pada hari terakhir dalam tahun hijrah.


Pengalaman ini sudah pasti tidak dapat dilupakan memandangkan ini adalah kali pertama kami mendaki dalam kelompok yang paling ramai iaitu 11 orang (anjuran Klavikel Adventure Team). Walaupun masing-masing kepenatan mengharungi pendakian pergi dan balik hampir 9 jam, masih terpancar wajah kegembiraan. Gunung Pine Tree Hill, sungguh pun tahap kesukaran pendakiannya pada aras biasa, namun pengalaman dan kenangan yang tercipta cukup luar biasa. 


Kelam malam memisahkan kami. Azrul dan kumpulannya terus meninggalkan Bukit Fraser. Aku dan yang lain-lain berpakat untuk makan terlebih dahulu sebelum bergerak pulang. Sainol, Yuzwan dan Usop masih bermalam di Bukit Fraser dan bercadang untuk balik ke Terengganu esok pagi. Cerita aku, Che Yop, Sha, Bee, Yuzwan, Sainol dan Usop di kedai makan masih berkisar tentang Gunung Pine Tree Hill. Untuk minggu-minggu yang seterusnya, ceritanya masih sama. Tetapi di laman sosial, Facebook!


Video pendakian di youtube boleh dilihat menerusi pautan ini;



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...