Boleh dikatakan Gunung Warpu
adalah gunung paling santai untuk didaki. Manakan tidak, kami mengambil masa
hanya 1 jam 15 minit untuk sampai ke puncak gunung (dari Kem Kabin) dan trek
sangat landai dan tidak memenatkan. Hanya salur-salur paip yang licin dan
anak-anak tangga yang curam yang menjadi cabaran utama kami.
Kami sebenarnya bertujuh.
Berjanji berkumpul di Masjid Kampung Raja, Cameron Highlands pada jam 12
tengahari, 6 Jun 2013. Tetapi tiada siapa yang sampai jam 12. Semuanya sampai
lewat memandangkan segala keperluan dan kelengkapan sudah ada dan hanya menunggu pacuan empat roda (powil) yang akan
membawa kami ke Blue Valley Dam pada jam 2 petang.
“Tunggu jap bang. Ada satu kereta
lagi. Dorang sangkut kat jem kat Brinchang”, kata aku pada Abang Pojie, pemilik
powil. “Aik? Abang dari Brinchang la tadi. Ok je jalan”, balas Abang Pojie.
Beberapa minit kemudian, Sham bersama adik-adiknya, Sufi dan Ibrahim dan adik
iparnya pun sampai. Lengkap ahli kumpulan, kami menuju ke SK Kampung Raja untuk
meletakkan kereta.
“Takde pompuan ek? Kalo camtu aku
tak dapat ar bawak bini aku pegi”, kata Ibrahim sambil memandang bininya yang
baru dinikahi beberapa hari sebelum itu. “Takpe ar. Next time. Ko bawak bini ko
jalan-jalan honeymoon kat Cameron dulu”, jawab aku. Ibrahim sedikit kecewa.
Bininya baru saja beli kasut hiking baru. Tapi disebabkan tiada kawan perempuan
yang lain, hasrat itu terpaksa dibatalkan.
Jam 2.30 petang, aku, Lee, Az,
Sham, Sufi, Banja dan Arai sudah berada di atas powil. Powil meninggalkan Kampung
Raja menuju ke Blue Valley Dam melalui laluan ladang tomato dan jalan separa
berturap. Kami terhuyung hayang sambil
berpaut pada palang pada powil. 20 minit kemudian kami sampai di Blue Valley
Dam. Aku kemudian mengingatkan Khanna, pemandu powil supaya menjemput kami di
Blue Valley Dam pada jam 2 petang esok hari.
Pendakian kami dimulakan dengan
bacaan doa oleh Arai dan kemudian aku memberi sedikit taklimat ringkas. Selepas
itu, aku mengepalai kumpulan mula mendaki anak-anak tangga yang sememangnya merupakan
‘starting point’ untuk mendaki gunung-gunung terkenal di Banjaran Titiwangsa.
“Wei, takde warm up ke?”, tanya Lee. “Tak payah. Yang ni warm up untuk esok”,
jawab aku.
Mengikut pembacaan aku di sebuah
blog, cuma terdapat 50 anak tangga yang perlu didaki. Memandangkan tangga curam
dan memerlukan langkah yang besar itu sangat tinggi, aku mula bersuara, “aku
rasa blogger ni tipu ar. Tak pun die typing error. Tertinggal nombor 2 kat
nombor 50 tu. Patutnya 250 anak tangga ni”.
Perlahan-lahan kami mendaki
tangga. Tangga ini merupakan kejutan pada otot-otot malah pada lemak-lemak
kami. Masing-masing sudah mula berpeluh dan nafas mula deras. Agak lama kami
mendaki tangga yang berlumut hijau itu. Aku kemudian menyuruh Lee memanjat
tangga terus ke atas. “Ok dah. Atas ni dah takde tangga dah”, jerit Lee dengan
suaranya yang separuh leper.
Sampai di puncak tangga, kami
berehat seketika. Cabaran seterusnya hanya sekitar 100 meter saja dari puncak
tangga itu. Kami perlu melalui salur-salur paip licin di atas lopak yang penuh
dengan air. Seorang demi seorang mula meniti salur-salur paip. Salah langkah,
kami mungkin terhumban ke dalam lopak atau kaki terperosok dicelah-celah
salur-salur paip.
“Giler ah dorg wat paip ni.
Sampai atas gunung”, Lee bersuara. Salur-salur paip ini sebenarnya adalah
saliran air dari sungai untuk ladang-ladang pertanian berdekatan. Kami
meneruskan perjalanan pada trek yang lebih mudah. Cuma lecak dan lumpur
disekeliling salur-salur paip yang melambat perjalanan kami. Tidak lupa,
salur-salur paip yang licin.
Selepas beberapa ketika, kami
tiba di simpang empat yang terdapat batu sempadan Kelantan-Pahang. “Bro, kita
ke kiri kan?, tanya Azrul. “Haah. Kalo terus ni pegi Kelantan. Kanan ni pegi
ladang. Starting point kita masa daki Charlie dulu”, jelas aku. Selepas berehat,
minum air dan menunggu kawan –kawan menghabiskan sebatang rokok, perjalanan
diteruskan. Trek masih landai cuma salur-salur paip sememangnya tidak pernah
lepas dari mata kami.
Kami berjalan dalam tempo yang
sederhana sambil berbual-bual. Aksi tergelincir dan kaki terbenam pada tanah
yang disangkakan tanah keras merupakan perkara biasa. Trek kebanyakkannya perlu
meniti salur paip tetapi ada juga trek atas tanah yang direntas oleh
pendaki-pendaki terdahulu. Aku terus memerhatikan trek kerana panduan
seterusnya adalah tanah runtuh di sebelah kiri trek.
Jam 4.30 petang, kami tiba di
kawasan bekas tanah runtuh. Kami berhenti seketika sementara menunggu Az, Banja
dan Arai yang berada di belakang. Az mula membuka peta bagi mengagak kedudukan
kami ketika itu. Beberapa minit kemudian perjalanan diteruskan. Selepas melalui
kawasan bekas tanah runtuh, kami melalui denai kecil di sebelah kanan trek.
Denai ini membawa kami ke tebing sungai. Kami berehat seketika di tepi sungai
yang merupakan ‘tandas paling sempurna’ buat kami. Selepas itu, kami
menyeberangi sungai dan tiba di kawasan lapang yang dipenuhi pokok-pokok resam
dan pokok-pokok renek. Kami mengikut laluan trek dan mendaki sedikit dan
akhirnya tiba di Kem Kabin pada jam 5 petang.
Kem Kabin merupakan tempat
persinggahan bagi pendaki-pendaki untuk bermalam dan meneruskan pendakian
keesokan harinya. Kem ini dibina menggunakan zink - atap dan juga dinding,
serta boleh memuatkan kira-kira 10 ke 15 orang di dalamnya. Kami berehat
seketika, menjenguk kawasan sekeliling dan terus melakukan tugas masing-masing
– mencari kayu api, membentang ground sheet dalam kabin, memasak dan lain-lain
lagi.
“Kita tidur luar ar”, ajak Az.
“Sejuk bro. Berembun nanti”, balas Banja. Kami kemudian membawa beg ke dalam
kabin dan mula mengeluarkan koleksi makanan. Nasi kosong, Maggi, Sardin dan
lauk-lauk dalam tin. Ada satu plastik yang kami jinjing sepanjang perjalanan
dari Blue Valley Dam ke Kem Kabin. Di dalamnya ada tepung gandum, minyak masak
dan juga sebotol sos. Arai mula mengeluarkan dapur yang masih berbau kedai.
Sekitar jam 6.30 petang, kami semua
kembali ke tebing sungai. Banja terus terjun dalam air bersuhu kira-kira 16
darjah selsius. Yang lain hanya menggunakan ‘tandas’ di tepi sungai dan
membersihkan seluar yang kotor terkena lumpur. Kami mengambil wuduk dan kembali
ke kem ketika matahari semakin terbenam.
Selepas menyalakan unggun api,
kami solat berjemaah. Banja mula menggoreng cekodok selepas itu dan kami makan
nasi berlaukkan lauk dalam tin berpinggankan beg plastik. Tak ubah macam
golongan tabligh makan dalam talam. Cekodok kosong cicah dengan sos sememangnya
hidangan terhebat pada malam itu. Tidak lupa, beberapa serangga terbang kecil
yang ‘hinggap’ di sos, menjadi perencah tambahan dan sumber protein pada kami!
Malam itu kami merapu. Ada yang
kata, alang-alang dah sampai kaki Gunung Warpu memang kena merapu. Pelbagai
cerita yang keluar. Unggun api menjadi sumber cahaya dan juga haba bagi kami
yang duduk bersembang di luar kabin di lembah yang semakin menurun suhunya
menjelang tengah malam. Seperti biasa, dengkuran menjadi peneman malam, sambil
suhu semakin menurun dan ‘menyeksa’ kami untuk tidur dengan lebih nyenyak.
7 JUN 2013
Selepas solat subuh, bersarapan
ringkas dan bersiap-siap, kami sudah bersedia untuk ke puncak Warpu. Hanya Arai
yang tidak mengikut ‘rombongan’ sebaliknya tinggal di kem. “Aku tak kira. Aku nak seret
gak ko daki”, usik Az. “Jangai bai. Semalam pun kaki aku dah sakit dah. Korang
pegi je ar. Aku sediakan makanan”, jawab Arai yang masih berkain pelikat.
Jam 7.15, kami meninggalkan Arai
di Kem Kabin. “Ko nak pegi mane-mane ko bawak ar pisau ke parang”, pesan aku
sebelum beredar. Kami kemudiannya melalui denai di belakang Kem Kabin dan terus
mendaki merentas laluan yang ditutupi pokok resam dan pokok-pokok renek.
Walaupun trek agak landai, pendakian kami agak perlahan memandangkan kami perlu
merentas semak samun yang menutup sebahagian trek. Lima belas minit kemudian,
kami tiba di bukit botak yang merupakan kawasan tiada litupan pokok dan
berdekatan dengannya adalah pintu rimba atau gerbang rimba, gelaran yang diberi
oleh pendaki-pendaki terdahulu.
Memasuki gerbang rimba bermakna
kami telah memasuki kawasan trek pokok-pokok tinggi memayungi kami. Kami terus
mengikut trek yang agak landai dalam rentak pendakian yang masih sederhana.
Beberapa minit kemudian, kami tiba di persimpangan ke Gunung Yong Belar dan
Gunung Warpu. Terdapat sebatang pokok yang ditoreh perkataan Warpu dan tanda
anak panah ke sebelah kanan. Kami terus mendaki melalui denai yang mula
terdapat lumut-lumut hijau yang basah, indikator biasa untuk gunung-ganang
tempatan.
Sekitar jam 7.50 pagi kami tiba
di lereng bukit dimana kami dapat menyaksikan
satu pemandangan yang cukup menakjubkan – gunung-ganang Banjaran Titiwangsa.
Agak lama kami disitu, mengambil gambar, berehat sambil meneka-neka susunan
gunung yang terbentang di hadapan kami. Gunung Charlie Pondok betul-betul
didepan mata kami. Begitu juga dengan gunung-gunung yang lain yang lebih jauh
dan nampak berbalam-balam.
Pendakian kami diteruskan. Kali
ini kami mula melihat pokok-pokok yang meliuk seperti dipulas iaitu pokok
‘bonsai’ semulajadi kawasan pergunungan. Pokok-pokok buluh halus juga banyak
kami temui di kiri dan kanan trek. Begitu juga dengan periuk kera dan sejenis
spesis lumut yang kelihatan seperti rumput yang segar. Jam 8.00 pagi, kami tiba
di puncak tipu yang pertama. Dari puncak itu jelas kelihatan beberapa batang tiang
yang merupakan bekas beirut di puncak Warpu. Ketika ini matahari semakin
memancar terang. Az menanggalkan jaket yang dipakai dan diletakkan di sebatang
pokok di puncak itu.
Kami sebenarnya perlu menuruni
trek yang landai sebelum mendaki ke puncak tipu yang kedua. Kemudian kami perlu
menuruni trek lagi, mengikut trek yang seakan berpusing-pusing dan kemudian
terus mendaki ke puncak Gunung Warpu. Dan akhirnya kami tiba di puncak Gunung
Warpu jam 8.30 pagi.
Gunung Warpu berketinggian 1745
meter dari aras laut. Gunung ini terletak dalam kawasan Lojing, Gua Musang,
Kelantan. Warpu sebenarnya bukanlah sebahagian daripada Banjaran Titiwangsa
tetapi merupakan jajaran banjaran atau cabang banjaran bagi tulang belakang
Semenanjung Malaysia itu. Gunung ini merupakan gunung yang ke 56 tertinggi
dalam senarai gunung-gunung tertinggi di Malaysia.
Terdapat campsite yang boleh
menempatkan kira-kira 4 buah khemah di puncak ini. Terdapat juga satu kawasan
dimana kami boleh melihat banjaran gunung. Seorang demi seorang mula bergambar
bersama papan tanda sebagai bukti telah menjejakkan kaki di puncak Gunung
Warpu. Kami berehat lebih daripada setengah jam. Sebelum kami meninggalkan
puncak gunung, kami sempat bergambar beramai-ramai dan melekatkan papan tanda
di batang beirut. Jam 9.10 pagi, kami memulakan langkah tanpa henti ke Bukit
Botak. Jam 9.50 pagi, kami pun masing-masing keluar dari pintu rimba dan duduk
berehat di Bukit Botak. Pukul 10.10 pagi, kami disambut oleh Arai di Kem Kabin yang
baru mengeluarkan dapur untuk memasak.
Kami kemudiannya berpakat untuk
berkemas-kemas dan membawa semua barang ke pinggir sungai memandangkan hari
semakin panas. Kawasan sungai yang redup dan air yang dingin merupakan tempat
yang tepat untuk kami yang sedang berpeluh dan berlengas untuk menbersihkan
diri selepas hampir tiga jam mengharungi trek pergi dan balik ke puncak Warpu.
Kami menghabiskan bekalan makanan yang ada sambil masing-masing membuka baju
untuk berendam dalam air sesejuk ‘air dalam peti ais’. “Jom Sham. Jom mandi.
Tak payah cakap pun takpe”, kata aku bergurau pada Sham yang sememangnya
seorang yang sangat pendiam.
Sejuk air memang bukan kepalang.
Air sungai ini bukan saja sejuk tapi boleh buat badan rasa kebas. Kepala pun
rasa beku. Sambil mandi dan berendam,
kami menjemurkan baju-baju dan kasut di atas batu. Air milo panas, roti dan
tuna merupakan juadah piknik kami pada pagi itu.
Jam 11.45 pagi, kami meninggalkan
sungai untuk menuju ke Blue Valley Dam. Kami sekali lagi perlu melalui trek
saluran paip PVC yang licin. Mujur kami sudah semakin mahir dan langkah kami
lebih laju dari hari sebelumnya. Jam 12.45 tengahari kami sudah tiba di puncak
anak tangga. Kali ini kami menuruni anak tangga seperti orang tua memandangkan
tangga-tangga itu agak licin. Kiraan kami, tidak termasuk beberapa anak tangga
yang tidak digunakan adalah sebanyak 278
anak tangga yang terdapat di Blue Valley Dam ini. Bukan 50 seperti yang pernah
aku baca sebelum ini.
Jam 1.00 petang, kami sudah
berada di Blue Valley Dam. Ada yang mandi dan ada juga yang mengambil
kesempatan untuk melelapkan mata seketika sementara menunggu powil yang akan
tiba pada jam 2.00 petang. Seperti dijanjikan, sejam kemudian powil datang
menjemput kami. Kami dibawa ke SK
Kampung Raja dimana disitulah kami berpisah. Selepas bersalam-salaman, kami
mula membawa kereta menuju destinasi masing-masing.
Gunung Wapu, sememangnya santai.
Tetapi tetap menjanjikan kepuasan bagi seorang pendaki. Dua hari satu malam
kami menghayati hutan Pahang dan Kelantan dalam menuju matlamat ke puncak
Gunung Warpu. Peluang dan ruang ini amat bermakna bagi aku kerana kali terakhir
aku mendaki gunung dan bermalam adalah pada penghujung tahun 2011. Aku juga
dapat menyaksikan pemandangan Banjaran Titiwangsa yang cukup mempersonakan.
Ketika menyaksikan gunung-ganang itu, aku terus memasang impian, agar suatu
hari nanti aku dapat menjejakkan kaki di salah satu gunung G7, yang menjadi
impian setiap pendaki gunung di Malaysia.
5 ulasan:
Terbaik
thank you..thank you....
salam ziarahh., nice
TEBING TINGGI BACKPACK
MOUNT GUIDE SERVICE
ALL OVER CAMERON
ANDY 017-9997790
TEBING TINGGI BACKPACKER(fb)
Mount guider services (TG9624)
Will arrange:
-forestry permit
-police report
-nature guider licenced
-walkie talkie
-emergency kit(basic)
-4x4 transport to blue valley dam
ANDY
017-9997790
whataps/sms/call
Post a Comment