KEMBARA SIEM REAP - Bahagian I

Wednesday, September 25, 2013

Ada dua sebab mengapa kami memilih Siem Reap berbanding Phnom Penh sebagai destinasi melancong di Cambodia. Pertama, kami mahu melawat Angkor Wat yang menjadi tarikan utama di Cambodia (seperti tertera pada bendera negara ini) dan keduanya, kami ada misi penting di sebuah kampung Melayu Champa di bandar Siem Reap.


Ada dua sebab juga mengapa kami memilih percutian singkat, dua hari satu malam dan tidak tiga, empat atau lima hari. Pertama, kami mempunyai seorang anak lelaki yang berusia 5 bulan yang masih menyusu badan (yang kami tinggalkan dibawah jagaan ibu mertua). Dan yang kedua, melalui jadual penerbangan dan juga pembacaan kami tentang tarikan utama di Siem Reap, segalanya dapat dilakukan dalam tempoh dua hari.

Dari Malaysia kami tiba di Lapangan Terbang Siem Reap pada pagi Sabtu jam 7.50 pagi waktu tempatan , 11 Mei 2013 (waktu Siem Reap adalah sejam awal dari waktu Malaysia). Sebuah tuk-tuk sedang menanti kami, yang mana perkhidmatan tuk-tuk sehala dari lapangan terbang ke tempat penginapan kami sejauh kira-kira 11 kilometer adalah percuma, sepertimana yang dimaklumkan oleh pihak hotel menerusi tempahan. 


Sokha, pemandu tuk-tuk kami membawa kami dengan perlahan, mungkin pada kelajuan 40-50 km/j seolah-olah memberi peluang pada kami untuk menikmati pemandangan kiri dan kanan jalan. Siem Reap tidak terlalu sibuk. Tidak terlalu banyak kereta di atas jalan. Lampu isyarat juga tidak banyak. Tetapi pemandu-pemandu di bandar ini seperti sudah ada peraturan tertentu yang membenarkan mereka terus berjalan apabila tiba di simpang tetapi mereka perlu membunyikan hon.  Cambodia, keseluruhannya mempunyai  corak pemanduan yang berbeza dengan Malaysia dimana lorong pemanduan mereka di sebelah kanan. (Juga kereta, pemandunya di sebelah kiri).



Selepas hampir 20 minit, kami akhirnya tiba di Sam So Guesthouse yang terletak sedikit terkebelakang dari jalan utama. Seorang wanita berkaca mata terus menyapa kami. “Welcome! Welcome!  So you’re Tanti, right?, kata wanita itu. “My name is Norhayati. Just call me Yat”, jawab isteriku. Kami terus dibawa ke lobi. Sebenarnya kami bercadang untuk meninggalkan beg di hotel dan terus memulakan aktiviti (waktu check in adalah jam 2.00 petang), tetapi Sotheavy terus  mempelawa kami untuk terus check in. “You can check in now. No need to leave your bags here (lobi)”, katanya sambil tersenyum. Aku pun cukup gembira. Inilah kali pertama dalam hidup aku dapat check in paling awal. Jam 9.00 pagi.

Selepas menyimpan beg dan berehat seketika, kami kembali ke lobi. Sam So, pemilik guesthouse itu sudah menyediakan jadual untuk  kami sehingga jam 4 petang. Sokha menjadi pemandu tuk-tuk kami sepanjang lawatan kami  pada hari itu dan kami perlu membayar sebanyak 15USD pada pihak hotel. Angkor Wat terletak kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar. Sebelum ke sana, kami sempat singgah di kedai serbaneka untuk membeli keperluan seperti air dan biskut.

Dari kesibukan bandar, kami mula melalui jalan yang agak tenang. Kiri kanan kami adalah hutan. Orang putih seperti berlumba-lumba membawa basikal. Tuk-tuk yang lain juga mengiringi kami membawa kumpulan-kumpulan pelancong. Kami kemudiannya tiba di tempat membeli tiket. Harga tiket untuk melawat Angkor Wat, Angkor Thom dan sebagainya adalah 20USD sehari dan apa yang istimewanya kami perlu bergambar dihadapan kaunter dan di tiket kami terpampang wajah kami.

Tuk-tuk kami terus berjalan sehingga kami nampak tasik yang besar. “Hmm. Kita tak payah pegi Tasik Tonle Sap. Tasik ni pun dah besar”, kata aku seloroh. Berhampiran kawasan itu terdapat banyak gerai-gerai makanan dan akhirnya kami tiba di Angkor Wat, binaan sejarah yang tersenarai sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO. Angkor Wat dalam bahasa khmer bermaksud Kota Kuil. 

Sokha meninggalkan kami dan dia menuju ke gerai berhampiran dan menunggu kami untuk sejam dua. Seorang petugas mendekati kami untuk memeriksa tiket. Seorang lagi lelaki beruniform tetapi berselipar jepun juga mendekati kami. “Do you want a guide, Sir?”, katanya menawarkan perkhidmatan berbayar. “No. It’s ok. I know the whole story about Angkor Wat”, jawab aku spontan. 

Untuk sampai ke Angkor Wat, kami perlu melalui satu jambatan batu yang merentangi tasik. Kemudian, kami tiba di pintu utama Angkor Wat. Melihat pintu utamanya saja kami sudah terpegun. Binaan pintu masuk ni melebar ke kiri dan kanan. Ratusan tiang menyokong binaan ini. Dan ukiran-ukiran yang mengambarkan pelbagai perihal yang aku sendiri sukar untuk fahami cukup mengagumkan. Setiap satunya berbeza. Melepasi pintu ini barulah kami dapat melihat Angkor Wat dari jauh. Terdapat laluan yang sama aras dengan lantai pintu gerbang ke Angkor Wat dan di kiri dan kanan laluan itu terdapat binaan-binaan yang berasingan. Langkah kami semakin laju ke hadapan, sama seperti mata kami yang laju ‘menangkap’ setiap ‘visual’ yang bagi kami begitu cantik dan mempesonakan.


“Kolam ni la tempat orang selalu amik gambar”, kata aku merujuk pada sebuah kolam yang hampir kering dan ditumbuhi dengan teratai yang terletak di sebelah kiri laluan itu. Kolam sebelah kanan sudah betul-betul kering. Panas 36 darjah Selsius tidak menghalang kami. Payung menjadi peneduh kami sepanjang berjalan dan ketika inilah berasa betapa pentingnya membawa tuala kecil untuk mengelap peluh.





Kami meneroka hampir sebahagian besar Angkor Wat, melewati tiang demi tiang dan binaan berupa kolam dan akhirnya sampai di kawasan yang mempunyai stupa yang tertinggi. Terdapat tangga-tangga batu yang lebar tetapi kecil dan curam tetapi di belakang bahagian ini terdapat terdapat tangga kayu bagi memudahkan pengunjung untuk naik sehingga ke bahagian atas. Kami mengambil kesempatan untuk mendaki ke bahagian atas dan melihat-lihat Angkor Wat dari aras yang lebih tinggi.








Kami mengambil masa untuk berehat agak lama memandangkan cuaca terlalu panas. Kemudian kami kembali ke pintu masuk Angkor Wat untuk mendapatkan Sokha yang akan membawa kami ke tempat seterusnya. Selepas membeli air, kami meneruskan perjalanan kami ke Ta Phrohm. Jalan ke Ta Phrohm agak berdebu dan kami dapat melihat beberapa binaan kuno yang lain di kiri dan kanan jalan. Kami berhenti seketika di Banthey Kdei untuk mengambil gambar dan seterusnya tiba di pintu masuk Ta Phrohm kira-kira 15 minit perjalanan menaiki tuk-tuk dari kompleks Angkor Wat.


“One Dollar, One Dollar sir!”, rayu dua orang anak kecil seusia kira-kira 6 dan 7 tahun sejurus kami turun dari tuk-tuk. Satu Dolar (RM3) untuk satu fridge magnet yang terlalu biasa adalah begitu mahal bagi kami. Berkali-kali kami menolak tetapi seperti biasa dua kanak-kanak ini tetap mahu menjual barangannya pada kami. Kami akhirnya terpaksa meninggalkan kanak-kanak itu untuk meneruskan penerokaan kami.

Untuk ke Ta Phrom, kami perlu melewati pintu gerbangnya dan berjalan melalui jalan berpasir yang agak redup kerana terdapat banyak pokok disekeliling jalan. Pendek kata kami mula memasuki kawasan hutan ke Ta Phrom. Ta Phrom menjadi terkenal kerana menjadi lokasi penggambaran Tomb Raider lakonan Angelina Jolie beberapa tahun yang lalu. Misi kami di Ta Phrom ialah bergambar dengan sebatang pokok besar yang berakar yang tumbuh diatas bumbung kuil.




Ta Phrom pada keseluruhannya dalam proses pemuliharaan. Terdapat beberapa bahagian yang ditutup untuk tujuan itu. Kami akhirnya bergambar dihadapan pokok yang cukup terkenal di Ta Phrom. Akar pokok itu seolah-olah perlahan-lahan sedang ‘membaham’ kuil kuno itu. Kami meneroka bahagian-bahagian lain yang dibuka untuk pengunjung. Terdapat sebuah ruang bangunan yang sebelum ini telah menyembah ke bumi. Runtuhan itu kemudiannya dibangunkan semula dengan teknologi terkini dan diadun dengan bancuhan simen moden. Jika diperhatikan dengan lebih terperinci, terdapat kesan-kesan simen pada bangunan itu. 





Meninggalkan Ta Phrom yang sangat unik, kami seterusnya dibawa Sokha ke satu lagi kuil yang terkenal iaitu Bayon Temple. Kami mula memasuki pintu gerbang yang tertera ukiran wajah dan tuk-tuk kami mula menjelajah ke kompleks  Angkor Thom,  yang bermaksud Kota Besar. Lebih kurang 10 minit dari Ta Phrom, kami tiba di Kuil Bayon. Kuil Bayon terkenal dengan imej wajah manusia gadang yang tersenyum yang menghiasi segenap kuil itu. Pada setiap menara atau stupa, terdapat ‘smiling faces’ yang menghadap kearah empat mata angin utama iaitu barat, timur, utara dan selatan. 



 

Kami menaiki anak tangga ke bahagian atas untuk melihat ukiran-ukiran wajah itu dengan lebih dekat lagi.  Terdapat berpuluh-puluh wajah yang diukir yang terdapat di kuil ini. Kami berpeluang mengelilingi bahagian atas dan ada terlihat seorang lelaki orang putih sedang bertapa tanpa mempedulikan cuaca panas dan pengunjung-pengunjung lain yang melintasinya.







Hampir sejam kami di Bayon Temple, kami kemudian terus dibawa Sokha kembali ke bandar. Cuaca yang terlalu panas memaksa kami memendekkan lawatan  walaupun sebenarnya terdapat puluhan lagi kuil kuno yang boleh dilawati. Perjalanan pulang ke bandar, kami melalui jalan yang berbeza. Terdapat banyak kedai-kedai yang menjual lukisan minyak di tepi-tepi jalan. Kami kemudiannya meminta Sokha untuk membawa kami ke sebuah restoran halal iaitu D’Wau Restaurant.  Memandangkan kami  tak jumpa restoran itu walaupun merujuk pada peta, kami terus berpakat untuk makan tengahari di KFC (KFC di seluruh Cambodia adalah Halal) yang terletak di pusat bandar. Beberapa minit sebelum jam 4 petang, kami sudah kembali ke hotel untuk berehat dan membersihkan diri sebelum keluar pada sebelah malam.



Sekitar jam 7.00 malam, kami berbasikal dengan harga sewaan 1USD sehari, meninggalkan hotel kami menuju ke Angkor Night Market. Berpandukan peta yang aku simpan di telefon, kami perlu mengayuh basikal kira-kira 1 kilometer sahaja. Pada mulanya kami agak kekok, berbasikal di negara orang sambil aku perlu menunggu dan memerhatikan isteri aku yang mengayuh basikalnya dibelakang. Kami juga perlu menempuh lampu isyarat yang agak sibuk dan bahagian jalan yang berbeza dengan Malaysia menyebabkan kami keliru. Tak sampai 10 minit kemudian, kami tiba di Angkor Night Market. Kami meneruskan kayuhan ke kawasan yang berdekatan dengan masjid kerana di kawasan itu terdapat beberapa kedai makan muslim. Selepas makan malam barulah kami berkira-kira untuk berjalan-jalan di Angkor Night Market.
 
 

Basikal kami akhirnya membelok ke kawasan jalan tidak bertar dan kami bertanya pada penduduk tempatan kedai makan yang kami maksudkan. Cambodian Muslim Restaurant terletak tidak jauh dari simpang dan tidak jauh dari masjid. Tetapi kedai makan itu tutup kerana pemilik restoran sedang berkemas-kemas untuk kenduri perkahwinan anaknya esok hari. Tidak jauh dari situ terdapat sebuah lagi kedai makan halal yang baru saja 10 hari dibuka. Muslim Kitchen Restaurant. Kami makan malam di situ sambil pemilik kedai yang tidak boleh berbahasa melayu sibuk meminta pendapat kami tentang masakannya.



Selepas makan malam, kami kembali ke Angkor Night Market. Pasar malam ini agak besar dan sangat teratur. Terdapat peta yang menunjukkan setiap gerai di pasar itu. Setiap gerai dibina ditapak kekal dan disusun supaya setiap mengunjung dapat singgah disetiap gerai. Kami hanya melihat-lihat kerana berpakat untuk membeli-belah di Old Market keesokkan hari. Tetapi kami mencuba urutan kaki selama setengah jam di sebuah gerai dengan bayaran 3USD setiap seorang. Terdapat lebih dari 10 tempat yang menawarkan urutan kaki bagi lelaki dan perempuan termasuk fishing spa yang terletak di tepi jalan.

 
Esok kami ada sehari lagi di Siem Reap, Cambodia.





..........Bersambung

16 ulasan:

Unknown said...

akhirnya....BIG congratulations!

sagahayat said...

Thanks..ada smbungan ni..

Homestay U1 said...

terima kasih...info menarik dan lengkap

sagahayat said...

Sama sama

lulu said...

bestnya...! tk..info yg sgt menarik & berguna. tak sabar nak ke SR bulan 5 nanti! hehe

sagahayat said...

Thanks.selamat melancong ya!!

Anonymous said...

kat siem reap ada tak jual kain telekung dan kain utk buat baju kurung??

sagahayat said...

Takde la.susah nk jumpe.siem reap ni x mcm vietnam byk jual bnda tu.

Mohd Firdause said...

walam...saya bakal ke siem reap 1 Jun nnt....tq for info yg berguna ni....

www.myfir2u.blogspot.com

sagahayat said...

Trima kash.siem reap mmg best.wpun panas n jalan bdebu.org die lmbut2 n kalo kat market dorg x paksa kita bli or tarik2 tgn mcm kat china or vietnam.slmt melancong.btw sy pun bc blog myfir2u sblm pgi korea april lepas.kebetulan.hehe

dear anies said...

boleh tanya, mcm mn en tahu yg KFC di sana semuanya halal ya? mmm sbb sy bercadang nk ke sn nnt... kalu semua halal so x payah kami pening nk cari mknn halal ;-)

sagahayat said...

Ada tanda halal pd restoran...dekat area masjid ada beberapa kedai mkn halal

sagahayat said...

Ada tanda halal pd restoran...dekat area masjid ada beberapa kedai mkn halal

sagahayat said...

Ada tanda halal pd restoran...dekat area masjid ada beberapa kedai mkn halal

Unknown said...

Saya akan ke siem reap lepas Raya nanti, nak tnya utk beli survenior kat mana lagi murah? Old Market atau Night Market??

sagahayat said...

Sy x berapa ingat..minta maaf...

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...