KEMBARA SIEM REAP - Bahagian II

Tuesday, October 8, 2013


Pagi hari kedua, kami mulakan dengan bersarapan. Selepas itu kami masih dibawa oleh Sokha dengan bayaran 15USD untuk berjalan-jalan disekitar Siem Reap sepanjang hari sehingga waktu petang. Untuk destinasi pertama, kami memilih untuk ke Old Market ataupun dikenali dengan nama Psar Chass. 


Old Market menawarkan pelbagai barangan termasuklah fridge magnet, alas meja, sarung bantal, hiasan-hiasan dan macam-macam lagi. Terdapat juga batu-batu permata dijual disini. Hampir sejam disana, kami menghabiskan beberapa puluh dollar untuk membeli barangan cenderahati sebagai kenang-kenangan.


Kami seterusnya menuju ke jalan tidak bertar yang membawa kami ke Civil War Museum. Dengan bayaran 5USD setiap seorang, kami melihat-lihat jentera-jentera peperangan dan juga kesan-kesan peperangan yang masih dapat disaksikan oleh pengunjung. “Dorang ni sebenarnya perang dengan sape ye?”, tanya bini aku. Tidak banyak penerangan dalam bahasa inggeris pada papan tanda menyebabkan kami  lebih menyaksikan apa yang dipamerkan berbanding menghayati sejarah peperangan Cambodia itu sendiri. Civil War Museum tidak lebih seperti kebun mempelam yang diletakkan jentera-jentera peperangan seperti kereta kebal dan sebagainya.






Meninggalkan Civil War Museum, ketika cuaca semakin panas, kami kembali ke hotel untuk mengambil barang dan menuju ke kawasan berdekatan masjid iaitu Kampung Steng Thmey yang kami kunjungi malam semalam. Kali ini kami memilih untuk makan tengahari di sebuah restoran yang terletak betul-betul di belakang Masjid An Nikmah, Siem Reap. Pada awalnya kami merancang untuk bertemu dengan Ustaz Musa Soleh, yang merupakan Imam masjid berkenaan  bagi menyampaikan pakaian-pakaian terpakai dan juga alat-alat tulis yang kami bawa dari Malaysia bagi kegunaan murid-murid di sebuah madrasah yang juga terletak di belakang masjid. “Ustaz Musa tak ade. Die pegi kenduri kawen kampung lain. Petang nanti baru balik”, kata seorang lelaki berbaju melayu, berkopiah dan berkain pelikat. Dia fasih berbahasa melayu dengan loghat separa Kelantan.



Lelaki itu kemudian memperkenalkan dirinya. Dia adalah Ustaz Abdullah yang berasal dari Kampung Cham yang terletak kira-kira 150km dari ibu negara Cambodia, Phnom Penh. Agak lama kami berbual sambil aku dan isteri menunggu makanan yang dipesan di restoran itu. Ustaz Abdullah sebenarnya bercadang untuk ke Malaysia sebagai usaha untuk mencari dana bagi membangunkan madrasah di Kampung Cham. Ustaz Abdullah kemudian mengajak aku ke sebuah rumah berdekatan untuk menyampaikan barangan-barangan derma yang kami bawa dari Malaysia.

Aku bersama Ustaz Abdullah dan beberapa orang kampung berjalan kaki menuju ke sebuah rumah yang terdapat khemah dihadapannya.  Ustaz Abdullah memperkenalkan aku pada Ustaz Naseat. Rupa-rupanya, Ustaz Naseat yang juga merupakan Imam masjid adalah pemilik Cambodian Muslim Restaurant. Dia sibuk menguruskan persiapan perkahwinan anaknya yang berlangsung selepas solat Asar.




Ustaz Naseat tidak boleh berbahasa melayu dengan lancar. Dia masih ingat aku berbasikal ke restorannya pada malam semalam. Aku kemudian menyerahkan sebeg pakaian terpakai dan sebeg alat-alat tulis kepada Ustaz Naseat. Ustaz Naseat juga ada mengajak aku ke kenduri  perkahwinan anaknya tetapi aku terpaksa menolak memandangkan aku ada rancangan lain.

Sekembalinya aku ke Muslim Family Restaurant, makanan sudah siap terhidang. Semuanya masakan melayu dan kami makan penuh berselera. Harganya pun boleh tahan. 16USD untuk set makan tengahari dengan 6 jenis lauk-pauk. Selain kami terdapat dua orang lelaki dari Malaysia yang sedang makan tengahari.  Kami sempat berbual-bual. “Kat sini tenang. Sume relaks je. Murah pulak tu. Saya amik hotel ada kolam baru 50 ringgit”, kata salah seorang daripada mereka. Lelaki itu dan sepupunya sebenarnya ‘lari’ dari kesibukan politik Malaysia pascapiliharanraya. “Saya pun sebenarnya beli tiket ni lima hari yang lepas. Boring ar tengok politik Malaysia sekarang ni”, tambah lelaki tadi sebelum kami keluar dari restoran.

Selepas itu aku ke masjid untuk menunaikan solat. Sebahagian bangunan masjid itu sedang diruntuhkan untuk proses pembaikan. Kami sempat menjenguk ke madrasah untuk melihat anak-anak Cambodia yang menimba ilmu disitu. Kemudian kami beredar untk menuju destinasi yang seterusnya.



Sokha terus membawa kami Cambodian Cultural Village yang merupakan destinasi terakhir kami sebelum kembali ke Malaysia. Tepat jam 2 petang kami sudah berada disitu. Harga tiket adalah 15 USD setiap seorang. Cambodian Cultural Village merupakan taman yang menempatkan rumah-rumah tradisional etnik-etnik di Cambodia. Selain itu terdapat juga Wax Museum, Taman Miniatur dan macam-macam lagi.






Terdapat persembahan-persembahan kebudayaan yang dipersembahkan untuk tontonan pengunjung. Kami sebenarnya lebih banyak menghabiskan masa di dalam Wax Museum memandang cuaca begitu panas. Lebih dua jam kami disitu, lebih dari sejam kami hanya duduk berehat di Wax Museum sebab ada penghawa dingin!




Sekitar jam 4.30 petang, Sokha sudah tiba bersama tuk-tuknya untuk mengambil kami. Kami kemudian kembali ke hotel untuk mengambil beg kami dan mengambil keputusan untuk menggunakan bilik hotel untuk mandi dan berehat. Sotheavy cukup baik pada petang itu. Dia membenarkan kami menggunakan bilik yang sama tanpa sebarang caj. “God bless you”, kata isteri aku pada Sotheavy selepas menerima kunci bilik. Selepas berehat, mandi dan bersiap-siap, jam 6 petang kami meninggalkan Sam So Guesthouse menuju ke lapangan terbang.



Aku bersalaman dengan Sokha dan menghulurkan beberapa dollar kepadanya setibanya kami di lapangan terbang.  Kami meninggalkan Siem Reap dengan pesawat AirAsia jam 8.20 malam. Walaupun percutian ini singkat, pelbagai ragam manusia dapat kami jumpa sepanjang dua hari kami di Cambodia, Kampuchea atau Kemboja. Kami juga dapat menemui pelbagai perkara baru yang tidak pernah kami temui sebelum ini. Yang pasti, misi kami untuk menyalurkan sedikit bantuan (hasil daripada ahli keluarga) untuk umat Islam di Siem Reap sudah dapat ditunaikan.  Kami juga dapat menjejakkan kaki disalah satu binaan yang tersenarai dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Angkor Wat. Panas Cambodia kami tinggalkan, tetapi sekembalinya ke Malaysia berganti kehangatan pascapilihanraya negara yang masih belum sudah!

Panduan Ringkas bercuti ke Siem Reap, Cambodia


- Tukar duit anda ke Dolar kerana Cambodia banyak menggunakan matawang Dolar.
-    - Makanan halal boleh ditemui dikawasan berhampiran Masjid An Nikmah, Kampung Steng Thmey. Ada tiga restoran muslim dikawasan ini iaitu Cambodian Muslim Restaurant, Muslim Kitchen dan Muslim Family Restaurant.
-      -  Selain Angkor Wat, anda boleh melawat lebih 30 kuil kuno yang lain dengan menggunakan tiket yang sama. Untuk sehari harga tiketnya adalah 20USD. Untuk dua hari, tiga hari dan sebagainya harga tiketnya adalah berbeza.
-    -  Selain Angkor Wat, pelancong yang datang ke Siem Reap akan melawat ke Tasik Tonle Sap, tasik terbesar di Asia Tenggara.
-        - Pakej melawat ke Angkor Wat, Tasik Tonle Sap dan lain-lain lagi boleh diperolehi di hampir semua hotel atau guesthouse di Siem Reap. Pada sebelah malam anda boleh menyaksikan Tarian Apsara atau Sarkas melalui pakej-pakej yang ditawarkan.
-     - Muzium atau peninggalan yang memaparkan kekejaman Khmer Rouge tidak terdapat di Siem Reap tetapi lebih banyak di Phnom Penh.


0 ulasan:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...