Showing posts with label ANEKDOT. Show all posts
Showing posts with label ANEKDOT. Show all posts

POSTER COKE TIMUR TENGAH

Friday, May 6, 2011

Seorang ahli perniagaan Coca Cola sangat kecewa selepas pulang dari menjalankan urusan perniagaan di sebuah negara di Timur Tengah. Kemudian seorang kawannya bertanya. “Kenapa perniagaan kau tak berjaya di Tanah Arab?”

Ahli perniagaan itu kemudiannya memberi penjelasan.

“Bila aku ditugaskan ke Timur Tengah, aku sangat teruja dan sangat yakin memandangkan pasaran Coca Cola tidak begitu dikenali dan kurang berkembang di Tanah Arab. Sudah tentu aku berjaya mempromosi Coca Cola seterusnya melariskan jualan di sana. Tapi aku ada satu masalah. Aku tak pandai cakap Bahasa Arab. Jadi aku pun mereka satu poster. Dalam poster tu ada tiga gambar.

Gambar pertama : Seorang lelaki terbaring di padang pasir yang panas. Dia keletihan dan sangat tidak bermaya.

Gambar kedua : Lelaki itu meminum setin air Coca Cola

Gambar ketiga : Lelaki tadi serta merta segar dan bertenaga.

Kawan ahli perniagaan itu kemudiannya bertanya. “Habis tu apa masalahnya? Oklah mesej dari poster tu. Mesti dia orang faham punya”.

Ahli perniagaan itu menjawab. “Masalahnya aku terlupa yang Orang Arab membaca dari kanan ke kiri!”

Moral : Kenali pengguna anda!

JASA SEPOHON EPAL

Saturday, February 12, 2011



























TAK BOLEH SIMPAN RAHSIA RAJA

Friday, November 26, 2010

Suatu ketika dahulu, ada seorang maharaja yang berkepala botak. Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa raja itu tidak berambut kecuali maharani, anak-anaknya, dan Perdana Menteri. Raja itu mengenakan rambut palsu dan memakai topi kebesaran diraja. Baginda mengarahkan semua ahli keluarga dan Perdana Menteri menyimpan rahsianya itu. Rahsia baginda tertutup rapi.

Walaupun begitu maharaja ini merupakan seorang raja yang adil dan saksama. Baginda cukup handal di medan tempur dan sangat bijak dalam hal mengurus negeri jajahannya. Baginda juga menjadi kesayangan rakyat jelata. Namun, disebabkan baginda botak, baginda tidak yakin untuk berdepan dengan rakyat dengan penampilan sebegitu sedangkan dari segi yang lain baginda kelihatan hampir sempurna.


Pada setiap bulan, baginda akan memanggil seorang tukang gunting untuk berpura-pura menggunting rambutnya. Hal ini adalah untuk mengabui mata rakyat bahawa baginda mempunyai rambut dan memerlukan tukang rambut untuk menggunting rambut. Sudah bertahun-tahun tukang gunting itu berpura-pura melaksanakan tugasnya. Dia akan berada disebalik tabir bersama maharaja itu dan melakonkan aksi memotong rambut. Kemudian dia akan membawa rambut-rambut yang bertaburan di lantai yang pada hakikatnya adalah rambut pelanggannya yang lain yang dibawanya ke istana untuk dialirkan ke arus sungai sebagai tanda kemuliaan raja.

Maka fahamlah gundik-gundik istana, pembesar-pembesar istana dan rakyat jelata bahawa baginda sudahpun selesai memotong rambut. Tukang gunting itu juga faham akan tugasnya untuk merahsiakan apa yang berlaku setelah diberi ganjaran seunjut kecil duit emas. Tidak pernah sepatah perkataan pun yang keluar dari mulut tukang gunting itu yang menyatakan raja itu botak. Isteri dan anak-anaknya juga tidak tahu hal sebenar lantaran janji yang sudah termeterai antara dia dan maharaja.

Suatu hari tukang gunting itu meninggal dunia. Dia pergi bersama rahsia diraja yang dibawa ke alam lain. Raja mula gusar. Baginda perlu mencari tukang gunting baru yang boleh menyimpan rahsianya. Akhirnya seorang pemuda dilantik menjadi tukang gunting diraja.

Ketika pertama kali pemuda itu menggunting rambut raja itu dia terkejut. Raja itu sebenarnya botak. Perdana Menteri mengarahkan dia menyimpan rahsia ataupun dia dikenakan hukuman penjara. “Anak muda, kau hanya perlu melakonkan aksi menggunting rambut raja sahaja. Kelak seunjut kecil emas ini akan menjadi milik kau jika kau berjanji menyimpan rahsia ini. Andai kata tidak dikota, nescaya akan ku humban kau ke dalam penjara”.

Pemuda itu menggangguk-ngangguk sambil menjalankan tugasnya. Dia terasa janggal melakukan perkara itu. Baginya rahsia itu terlalu besar untuk dibendung. Dia balik kerumah sambil melambung-lambung uncang emas itu. Otaknya masih memikirkan rahsia raja yang baru saja diketahuinya.

Pemuda itu tidak keruan. Dia bermulut tempayan. Dia mahu saja menceritakan pengalamannya itu pada kawan-kawannya. Setibanya di warung dia mula bercerita. Kawan-kawannya teruja mahu mendengar pengalaman hari pertamanya di istana. “Kalian tahu tak yang raja kita sebenarnya bbbb.......bbbbaik sangat....!” Dia lantas teringat kata-kata Perdana Menteri yang mahu menghumbannya ke dalam penjara andai dia ingkar janji. Dia terus meninggalkan kawan-kawannya yang masih terpinga-pinga dengan tindakannya.

Pemuda itu berjalan ke hulu ke hilir tanpa tujuan. Dia tidak boleh menyimpan rahsia walaupun sebesar zarah sekalipun. Lalu dia bertemu kekasihnya untuk berkongsi rahsia sulit maharaja. “Adinda, sebenarnya raja kita tu bbbbbb.......bbbijak sangat. Tiba-tiba dia teringat kata-kata Perdana Menteri itu lagi. Dengan tak semena-mena dia terus meninggalkan kekasihnya yang terkebil-kebil menahan rasa.

Pemuda itu kemudiannya berlari ke hutan. Disana dia terjumpa sepohon pokok yang sangat besar di tengah-tengah padang. Diperdu pokok itu ada sebuah lubang. Dia pun dengan segera menjerit sekuat hati kedalam lubang itu. “Raja botak! Raja botak! Raja Botak!”. Dia berasa lega. Akhirnya dia dapat berkongsi rahsia dengan pokok itu.

Semenjak hari itu pemuda itu berasa tenang. Tiada orang lain yang tahu mengenai rahsia raja kecuali dia dan perdu pokok itu. Untuk bulan-bulan seterusnya, dia sudah terbiasa dengan tugasnya itu. Jika dia tak keruan, dia akan menjerit lagi di perdu pokok. Rahsia itu tetap kekal dalam dirinya dan perdu pokok itu.

Pada satu hari, sang maharaja mahu mengadakan satu upacara keraian sambutan ulang tahun kelahirannya. Dia mengarahkan pihak istana membuat sebuah gendang yang diperbuat daripada perdu pokok yang besar. Gendang itu akan dipalu sempena hari keputeraan baginda.

Hari yang dinantikan pun tiba. Seluruh rakyat jelata berkumpul di istana. Gendang itu diletakkan diatas pentas. Seorang lelaki kemudian memalu gendang itu. Namun gendang itu tidak berbunyi seperti biasa tetapi memekik dengan kuat “Raja botak! Raja botak! Raja botak!” Rupa-rupanya gendang itu diperbuat daripada perdu pokok tempat pemuda itu menjerit.

Raja terkejut. Begitu juga dengan rakyat jelata. Tukang gunting itulah yang paling tersentap apabila mendengar suaranya bergema dari paluan gendang itu. Paluan pun dihentikan. Raja kemudian bangun dari singgahsana. Baginda menanggalkan topi dan rambut palsunya. Rakyat jelata terlopong melihat raja mereka botak. Selama ini raja mereka berambut ikal dan sentiasa bertopi.

“Beta sebenarnya botak. Sudah lama beta tidak berambut. Beta menipu kalian semua kerana begitu malu “, titah baginda dengan nada yang sedih. Rakyat tiba-tiba menyampuk. “Tidak mengapa tuanku. Kami rakyat jelata tidak ralat tuanku berkepala botak. Yang paling penting adalah cara pemerintahan tuanku selama ini yang adil dan saksama. Tiada manusia didunia ini yang sempurna, tuanku”. Berpuluh-puluh suara yang lain menyokong pendapat itu. Bagi mereka biarlah penampilan raja tidak sempurna, asalkan menang dihati rakyat.

Raja terharu mendengar pendapat rakyat. Tukang rambut itu tersenyum kerana rahsia itu tidak perlu disimpan lagi.



Moral & Pengajaran : Anda boleh senaraikan sendiri.

BURUNG DALAM GENGGAMAN

Sunday, October 24, 2010

Tersebutlah kisah pada zaman dahulu kala ada seorang pemuda yang berguru dengan dengan seorang sifu. Dia sudah sekian lama menuntut ilmu pertahanan diri disamping ilmu spiritual dan ilmu tentang kehidupan dengan sifunya itu.

Suatu hari pemuda itu ingin menguji kebijaksanaan sifunya itu. Lalu dia menangkap seekor burung kecil dan memegang kemas burung itu yang menggelepar mahu melepaskan diri.

Arakian dia pergi berjumpa dengan sifunya yang sedang bermeditasi. Kedua-dua tangannya diletakkan kebelakang sambil memegang burung kecil itu.

Lantas dia bertanya, “Guruku, aku ingin bertanya. Didalam genggaman tanganku ada seekor burung kecil yang telah aku tangkap pagi tadi. Adakah burung ini masih hidup ataupun telah mati"?

Gurunya hanya tersenyum. Dia sudah menjangka anak muridnya itu pasti ingin mengujinya suatu hari nanti.

Dalam hati pemuda itu berbisik, “ Andai guruku menjawab burung ini telah mati, aku akan terus menunjukkan burung ini padanya kerana burung ini masih hidup untuk menyangkal tekaannya. Jika guruku meneka burung ini masih hidup, sudah pasti aku akan meramas burung kecil ini kuat-kuat sehingga hilang nyawanya untuk menafikan ramalannya”.

Sifu tua itu kemudiannya menjawab. “Duhai anakku, masa depan burung kecil itu terletak pada tangan kamu. Jika kamu mahu ianya mati, maka matilah ia. Jika kamu inginkan ianya terus hidup, maka hiduplah ia seperti adanya".

Pemuda itu termenung seketika. Dia terasa terpukul dengan kata-kata itu. Burung kecil itu dilepaskan setelah dia mendapat jawapan yang cukup bermakna dari gurunya itu.

Moral : Remaja hari ini adalah penentu kegemilangan bangsa masa hadapan.

BERMULANYA DENGAN TUP TAP

Monday, October 11, 2010

Pada zaman dahulu kala ada seorang menteri yang tinggal bersama-sama keluarganya di sebuah negeri yang aman damai. Dia merupakan menteri yang disegani penduduk-penduduk negerinya. Rumahnya sangat besar dan terletak di tengah-tengah kawasan pemerintahan menteri itu.

Tetapi ada sesuatu yang mengganggu hidupnya sekeluarga. Apabila matahari mula tenggelam bermulalah bunyi tup tap tup tap tup tap. Jiran-jirannyalah yang menjadi puncanya. Jiran disebelah kanan rumahnya adalah seorang tukang besi manakala jiran disebelah kiri rumahnya pula merupakan seorang tukang kayu. Tukang kayu dan tukang besi itu kedua-duanya bekerja pada waktu malam.

Si menteri sering memikirkan langkah terbaik untuk menyelesaikan masalah itu mengenangkan masalah itu melanda dirinya sendiri. Baginya biarlah masalah itu dapat diselesaikan tanpa membuatkan mana-mana pihak rajuk hati. Bak kata pepatah tarik rambut dalam tepung, tepung tak tumpah, rambut tak putus.

Hari demi hari, malam-malam si menteri sekeluarga terus-menerus diganggu bunyi pertukangan dari rumah-rumah jirannya. Kadang-kadang dia tertekan lantaran tidak cukup tidur dan tidak boleh memberi tumpuan pada tugasnya. Pernah juga dia mencadangkan agar si tukang kayu dan si tukang besi bekerja pada siang hari. Tetapi masing-masing menolak kerana mereka lebih selesa bekerja pada waktu malam.

Sehinggalah suatu hari, si menteri bertekad. Dia harus mencapai satu kata putus untuk mengatasi masalahnya. Jadi dia telah memanggil kedua-dua jirannya itu. Pada mulanya dia merasa canggung. Dia takut si tukang kayu dan si tukang besi itu terasa hati. Tetapi akhirnya dia bersuara. “Dengan 3 uncang emas ini, aku arahkan supaya kamu berdua berpindah dari rumah kamu. Mulakan kehidupan baru dan bertukanglah kamu sehingga pagi”. Kedua-dua jirannya itu menerima dengan hati yang terbuka.


Keesokan harinya si menteri tersenyum melihat kedua-dua jirannya sedang sibuk mengemas dan membawa barang-barang keluar dari rumah. Sudah pasti malam nanti dia akan mendapat lena yang panjang. Dia dapat merasakan bahawa dia tidak lagi berasa tertekan dan dia boleh menumpukan tugasannya semula.

Apabila hari menjelang malam, dia duduk di ruang tamu rumahnya sambil membaca syair-syair kegemarannya. Tiba-tiba dia terdengar tup tap tup tap tup tap. Bunyi yang biasa dia dengar pada malam-malam sebelum ini. Rupa-rupanya si tukang besi berpindah ke rumah tukang kayu manakala si tukang kayu berpindah ke rumah tukang besi.

Moral : Ada sesetengah orang didunia ini lurus bendul. Pastikan arahan anda cukup lengkap dan jelas serta nyatakan tujuan sebenar arahan kepada si lurus bendul.

Nota : Kisah ini adalah cebisan daripada buku cerita rakyat Asia yang berjudul Bermulanya Dengan Tup Tap yang dibeli oleh abah di Pesta Konvokesyen UKM semasa aku di sekolah rendah.

ISYARAT OTAK KUNING

Thursday, October 7, 2010

Seorang wanita cina yang jelita mencuri hati seorang pelancong eropah yang melancong ke China. Dipendekkan cerita, dia akhirnya berkahwin dengan lelaki inggeris itu. Walaupun wanita itu tidak boleh berbahasa inggeris, tetapi komunikasi antara mereka tetap berjaya lantaran si suami mahir berbahasa mandarin.

Sehinggalah suatu ketika, lelaki eropah itu tadi membawa isterinya pulang ke tempat asalnya di London. Sekembalinya ke kota London, mereka memulakan kehidupan sebagai pasangan suami isteri yang lain. Si suami bekerja seperti biasa manakala wanita cina tadi menjalankan urusan surirumah tangga. Begitulah hari-hari mereka.

Suatu hari, si isteri bercadang untuk memasak ayam goreng untuk makan malam bersama suaminya pada malam nanti. Lalu dia pergi ke pasar berdekatan. Mengenangkan dia tidak tahu berbahasa inggeris, wanita cina itu menggunakan bahasa isyarat. Dia membuka dua butang teratas bajunya, kemudian di hadapan peniaga ayam dia menunjukkan dadanya yang putih melepak dan jarinya menunjuk ke arah ayam. Maka fahamlah peniaga ayam itu bahawa wanita cina itu mahukan dada ayam walaupun dia terkejut dengan tindakan wanita itu.

Pada hari seterusnya dia bercadang untuk memasak sup paha babi khas untuk suaminya tersayang. Lantas dia menuju ke pasar yang sama. Di hadapan peniaga daging babi, dia menyingkap kainnya sehingga menampakkan pahanya yang gebu kemudian menuding jarinya pada daging babi. Maka fahamlah peniaga daging babi itu bahawa wanita itu mahukan paha babi walaupun matanya terbeliak dan seteguk-seteguk menelan air liur.

Pada hujung minggu, wanita itu tadi berpeluang membeli-belah bersama suaminya di pasar yang sama. Dia berhasrat memasak sosej goreng sebagai hidangan makan malamnya nanti. Kemudian dia dan suaminya menuju ke penjual sosej daging mentah. Lalu..........................

.......dia menyuruh suaminya membuka zip seluar dan mengeluarkan.......Opss...apa yang anda fikirkan? Bukankah suaminya orang inggeris? Sudah pasti suaminya boleh meminta “I want to buy this sausage!”. Tidak perlu membuka, menyingkap dan menyelak itu dan ini.

Nota : Cuba ceritakan kisah ini pada orang lain dan tanyakan apakah tindakan wanita itu semasa membeli sosej. Pasti jawapan yang lucah akan kita terima. Ternyata otak kita kuning!

UJIKAJI NASA

Tuesday, October 5, 2010

Angkasawan Amerika dari kumpulan NASA mendapati ball pen tidak dapat digunakan dengan baik semasa di angkasa lepas. Graviti sifar di angkasa lepas adalah antara faktor yang menyebabkan mereka gagal menulis dengan baik menggunakan ball pen itu.

NASA secara giat menjalankan pelbagai penyelidikan dan mendapati faktor-faktor seperti tekanan, ketumpatan udara dan aspek-aspek fizik yang lain menjadi faktor penyebab kegagalan ujikaji ball pen mereka. Tetapi graviti sifar tetap menjadi faktor utama.

Untuk itu, NASA berpakat untuk menghasilkan ball pen yang mampu digunakan dengan baik di angkasa lepas. Dalam erti kata lain, ball pen itu mampu berfungsi di dalam keadaan graviti sifar, bertekanan dan ketumpatan udara yang berbeza.

Selama 10 tahun NASA menjalankan penyelidikan demi penyelidikan. NASA juga membelanjakan 12 billion untuk tujuan penyelidikan itu.

Angkasawan Rusia menggunakan pensel.

Moral : Jadikan hidup lebih mudah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...