Showing posts with label CERITA. Show all posts
Showing posts with label CERITA. Show all posts

3 CERITA DARI 3 NEGARA

Wednesday, September 21, 2011

Catatan pada kali ini adalah mengenai 3 cerita yang berlainan dari 3 negara yang berbeza. Sebuah cerita dari negara China, sebuah dari India dan sebuah lagi dari negara kita Malaysia.



CERITA 1


Seorang gadis di bandar Maanshan di wilayah Anhui, China tidak menyangka hari itu adalah hari yang malang buat dirinya. Kepala gadis ini tersepit apabila pintu bas yang dinaiki tertutup lalu mengepit kepalanya ketika dia mahu turun dari bas itu di sebuah perhentian bas. Menyedari kesilapannya, pemandu bas serta-merta membuka pintu bas itu apabila melihat badan gadis itu berada di dalam bas manakala kepalanya diluar. Mungkin berasa malu, gadis itu berlalu begitu saja tanpa memarahi pemandu bas sambil memicit-micit lehernya yang sakit itu.

Ulasan : Kalau pintu bas ada pemandu bas yang boleh menekan suis untuk membuka pintu. Bayangkan jika kepala gadis ini tersepit di pintu lif dan dia pula bersendirian.


CERITA 2

Kerana gagal memikat seorang pun wanita, Vaibhav Bedi yang berasal dari New Delhi, India telah menyaman perusahaan HUL (Hindustan Unilever Limited). Dia mendakwa dia telah tertipu kerana selepas tujuh tahun menggunakan produk wangian lelaki AXE keluaran perusahaan itu, dia gagal mendekati dan memikat seorang pun wanita, sepertimana iklan AXE yang menunjukkan bahawa produk-produk itu membantu kaum lelaki untuk menarik perhatian wanita.

Vaibhav mendakwa bahwa dia telah mengalami banyak penderitaan mental dan penghinaan di depan awam kerana iklan produk itu telah menipu pengguna sepertinya. Sejak kuliah sehingga bekerja di sebuah pejabat,tidak ada seorang pun gadis yang mahu keluar dengannya.

Ulasan : Adakah produk wangian lelaki AXE itu sebenarnya berbau busuk ataupun bau badan lelaki itu yang berbau busuk sehinggakan tiada seorang pun gadis mahu mendekatinya.


CERITA 3

Lain pula ceritanya di Malaysia . Tiga kemalangan yang membabitkan tiga kenderaan dengan muatan yang berlainan di tiga lokasi yang berbeza telah menarik perhatian ramai pengguna jalanraya untuk menyaksikan kejadian itu serta mengutip muatan yang bertaburan di jalanraya. Di Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di KM280.2, orang ramai serta pasukan penyelamat ‘bertungkus lumus’ mengutip buah tembikai yang bertaburan. Di lebuhraya yang sama di masa yang berbeza, orang ramai berebut mengutip duit-duit syiling yang bertaburan dari sebuah van dengan muatan duit syiling yang terbabit dengan kemalangan. Yang lebih menarik, di lebuhraya yang sama berhampiran simpang ke Batu Gajah, sebuah lori terbabit dengan kemalangan menyebabkan muatannya iaitu babi ternak yang masih hidup berkeliaran di lebuhraya itu.


Tembikai di jalanraya umpama rezeki yang bergolek.



Orang ramai mengutip duit syiling yang bertaburan.




Apabila babi terlibat dengan kemalangan.


Ulasan : Ada pendapat yang mengatakan bahawa mengutip hak orang lain walaupun ianya telah rosak akibat kemalangan hukumnya adalah haram melainkan jika mendapat kebenaran pemiliknya. Haram juga hukumnya 'mengutip' babi di jalanraya yang sememangnya haram.


KERONGSANG BUAT USTAZAH

Monday, May 16, 2011

Salina sangat gembira. Hasratnya untuk membeli hadiah buat ustazah kesayangannya tercapai. Walaupun pada mulanya dia ingin membeli sehelai kain tudung buat Ustazah Hanizah, namun sebentuk kerongsang bertatah permata hijau berharga RM2 sudah cukup membuatkan dirinya teruja untuk menyambut hari guru yang berlangsung keesokan harinya. “Kita beli kerongsang je lah. Kain tudung tu mahal”, pujuk bapa Salina ketika Salina menyatakan keinginan untuk membeli sehelai tudung.

Ibunya, Arliza tersenyum melihat anaknya melihat-lihat kerongsang itu. Salina kemudian memandang ibunya dan kemudian bibir kecilnya mengukir senyuman. “Yang hijau ni untuk Ustazah Hanizah, yang biru ni untuk Cikgu Ida Rosyatina”, kata Salina pada ibunya. Salina kemudian mendakap ibunya dan mencium pipi Arliza. Arliza bahagia melihat anak sulungnya yang berusia tujuh tahun itu riang gembira. Sejuk perut Arliza mengandung, melihat kelakuan Salina yang agak rajin menolongnya melakukan tugasan rumah. Malah sejak akhir-akhir ini Salina sangat manja dan sering mencium pipinya.


Tanggal 16 Mei 2005, Salina bersemangat ke sekolah. Ini adalah kali pertama dia menyambut sambutan hari guru di sekolahnya di Sekolah Rendah Agama Rantau Panjang, Klang. Seperti hari-hari yang lalu, Arliza akan menemani Salina sehingga ke pintu sekolah. Tetapi pada hari itu, Salina beria-ia hendak menyeberangi jalan menuju ke pintu pagar sekolah bersama-sama rakan-rakannya. Arliza hanya menanti di bahu jalan.

Salina leka sambil tangannya menepuk-nepuk kocek baju kurungnya yang tersimpan kerongsang buat Ustazah Hanizah. Salina melintasi jalan tanpa menyedari sebuah treler sedang menghampirinya. Malang tidak berbau, dengan tak semena-mena, tubuh kecil Salina dirempuh treler yang dipandu laju dan dia digilis oleh treler itu. Arliza menjerit menyaksikan kejadian yang berlaku didepan matanya. Begitu dengan yang lain. Suasana menjadi hingar-bingar. Arliza berlari mendakap tubuh anaknya yang sudah kaku. Namun segalanya sudah terlambat. Nur Salina Saparedi menjadi korban kemalangan jalanraya yang tragis dan berlaku dalam suasana yang amat memilukan.

Berita kemalangan itu segera sampai ke telinga Ustazah Hanizah. Dia tergamam. Tiada sebutir kata pun keluar dari mulut. Seketika kemudian dia beristighfar sambil air matanya bertakung menanti luruh. Hasrat Salina untuk memberi sebentuk kerongsang buat Ustazah Hanizah tidak kesampaian. Keriangannya ke sekolah berakhir dengan tragedi yang cukup menyedihkan. Ustazah Hanizah seperti tidak percaya. Seorang anak muridnya sudah pergi buat selama-lamanya.

Beberapa hari kemudian, Arliza datang ke sekolah. Wajahnya masih sugul menggambarkan seribu kedukaan yang belum terpudar walau sedikit pun. Dia kemudian bertemu dengan Ustazah Hanizah dan juga Cikgu Ida untuk menyempurnakan hasrat anak kesayangannya. Ustazah Hanizah menahan sebak. Mata Arliza pula berkaca-kaca. Hadirnya Arliza adalah bagi menunaikan niat murni anaknya untuk menghadiahkan kerongsang itu buat guru kesayangannya. Kerongsang yang sudah tertanggal beberapa butir permata itu diserahkan Arliza kepada Ustazah Hanizah. Kerongsang itu diamati dan disebalik kilauan batu permata itu, terbayang wajah kudus Salina yang belum sempat mengenali sepenuhnya tentang dunia tetapi sudah memahami bahawa jasa seorang guru perlu dihargai walaupun hanya dianugerahkan dengan sebentuk kerongsang berharga dua ringgit.

FATINE DALAM BOTOL

Tuesday, April 19, 2011

Ian Young yang bertugas sebagai pegawai keselamatan di Malaysia menuju ke kafe Starbucks di Menara Berkembar Petronas untuk menikmati secangkir kopi tetapi pandangannya terpaku pada seorang gadis jelita di kafe itu. Dia merapati gadis itu dan cuba memikatnya. Akhirnya mereka berkenalan dan hari demi hari mereka semakin rapat seperti sepasang belangkas.

Sejujurnya gadis itu iaitu Fatine yang berusia 36 tahun bukanlah wanita sejati kerana dia adalah seorang mak nyah ataupun pondan. Nama asalnya adalah Mohammed Fadzil Min Bahari dan merupakan seorang jurusolek. Namun Ian yang ketika itu muda 6 tahun dari Fatine menerima mak nyah itu dengan hati yang terbuka walaupun kekasihnya sebelum ini merupakan seorang wanita yang tulen. Jantina Fatine langsung tidak menjadi penghalang cinta mereka lantaran Ian mencintai keperibadian Fatine sepenuh hati.

Pada Disember 2008, Ian membawa Fatine ke Britain dengan menggunakan visa pelawat dan kemudian pasangan itu melangsungkan perkahwinan dalam satu majlis sivil di kota London. Saudara mara dan sahabat handai Ian meraikan majlis perkahwinan itu dan Fatine langsung tidak ditemani oleh ahli keluarganya mahupun rakan taulan. Tetapi Fatine tetap gembira walaupun adakalanya dia terfikir dia perlu berdepan dengan kerenah imigresen Britain apabila dia akan dihantar pulang ke Malaysia kerana tinggal di negara itu melebihi tempoh enam bulan.

Demi cinta Fatine pada Ian, dia menjalani pembedahan menukar jantina. Luarannya, Fatine sudah kelihatan seperti wanita kerana sudah mengambil hormon wanita sejak berusia 17 tahun lagi. Ian pula membelanjakan 12,000 pound sterling bagi membantu Fatine mendapatkan visa dan bersusah payah mendapatkan hak untuk Fatine menetap di Britain.

Namun panas tidak sampai ke petang apabila Fatine terlihat Ian sedang berasmara bersama seorang wanita lain di rumah mereka. Hati Fatine remuk dendam. Dia tidak menjangka usia ‘perkahwinannya’ yang berusia 2 tahun itu dilanda badai yang sebegitu hebat. Baginya tiada gunanya lagi dia hidup bersama Ian yang berlaku curang dan kemudiannya langsung tidak mengendahkan kebajikan Fatine.

Fatine sering dihalau. Tidak tahan dengan apa yang diperlakukan ke atas dirinya, Fatine meninggalkan rumah itu untuk memulakan kehidupan baru. Dalam kedinginan, Fatine berjalan sejauh dua batu menuju ke rumah kenalannya kerana dia langsung tidak mempunyai duit untuk menaiki bas atau teksi.

Ketika itu dia terfikirkan nasib yang menimpa dirinya. Kerana cinta dan kasihnya pada Ian, dia menjalani pembedahan menukar jantina. Kerana Ian, dia meninggalkan tanah airnya dan meninggalkan sanak saudara dan sahabat handai. Kerana Ian, dia melanggar norma masyarakat Melayu dan Islam yang mengutuk hubungan sesama jenis. Kerana Ian, dia merelakan untuk berkahwin dengan seorang kafir yang sejantina dengannya meskipun dia tahu dia telah dilahirkan sebagai seorang lelaki yang bergelar muslim. Kerana Ian, dia menukar namanya kepada Fatine Young dan mengamalkan cara hidup seperti orang-orang barat. Bagi umat Islam, perlakuan Fatine seolah-olah membelakangkan agama dan secara terang menjalinkan hubungan homoseksual yang dilaknat oleh Allah S.W.T.


Fatine seperti di dalam botol keegoannya. Dari dalam botol dalam itu, dia nampak keindahan Islam, dia nampak dirinya adalah lelaki yang dipilih sebagai ketua dan khalifah serta sepatutnya menjadi kebanggaan keluarganya. Dan dia nampak jalan yang sepatutnya dia pilih, bukannya jalan songsang yang terus menjadi sebahagian haluan hidupnya.


Tetapi Fatine tidak pernah keluar dari botol itu meskipun jiwanya halus dan seni seperti udara yang bila-bila saja boleh keluar dari botol tidak bertutup itu. Dia terus menerus berbangga dengan publisiti meluas media barat mengenai dirinya meskipun dia sedar dia sama saja seperti kaum Nabi Luth yang dilaknat dan ditimpa bala oleh Allah S.W.T. Ataupun Fatine sebenarnya takut. Bagaimana penerimaan masyarakat terhadap dirinya ketika ini. Ramai yang mempertikaikan cara hidup dan pegangan agamanya. Tindakannya mengudang rasa marah umat Islam khususnya di Malaysia. Semoga suatu hari nanti, Fatine menemui keinsafan dan pintu taubat masih terbuka buat lelaki bernama Mohammed Fadzil Min Bahari.

Nota : Istilah ‘dalam botol’ sebenarnya merujuk kepada ‘jambak’ iaitu anu yang telah dipotong dan dimasukkan ke dalam botol oleh golongan transeksual di Malaysia.

MATI HIDUP SEMULA

Sunday, April 17, 2011

Mati hidup semula. Bibi Aisha masih hidup untuk menceritakan pengalamannya dipotong telinga dan hidung serta ditinggalkan di sebuah gurun yang gersang.

Segalanya bermula apabila Aisha yang merupakan seorang wanita Afghanistan berusia 18 tahun melarikan diri daripada rumah suaminya dengan bantuan dua jiran perempuan. Namun dia ditangkap dan akhirnya diserahkan oleh pihak berkuasa kembali ke rumah keluarga mertuanya.

Aisha kemudian diheret ke suatu tempat. Dia meronta-ronta meminta belas kasihan untuk dilepaskan. Namun segalanya sudah terlambat. Bagi keluarga mertua Aisha, dia sudah melampaui batas. Aisha sudah menconteng arang di muka keluarga itu. Tambahan pula, sudah menjadi tradisi kaum Pashtun untuk melakukan hukuman yang keras kepada mana-mana wanita yang melakukan kesalahan.

Aisha menjerit. Dia melolong memecah kesunyian gurun yang kering kontang dan gersang. Namun tiada siapa yang simpati. Kepala Aisha diacukan dengan senjata api oleh bapa mertuanya. Aisha merayu dan menangis dalam seribu perasaan. Hidung Aisha lantas dihiris oleh suaminya menyebabkan Aisha menjerit kesakitan. Darah memercik keluar seperti paip pecah. Kemudian tersembur antara nafas Aisha yang deras, sama deras dengan denyut jantungnya. Kemudian kedua-dua belah cuping telinga Aisha dipotong dan menambah derita buat Aisha yang masih mentah ketika itu. Sakitnya hanya Tuhan yang tahu.

Aisha kemudiannya dibiarkan mati di kawasan itu. Namun umur Aisha masih panjang. Ajalnya belum tiba. Pada waktu tengah malam itu dia terjaga. Dia terasa seperti ada air yang sejuk dalam rongga hidungnya yang rompong itu. Aisha cuba membuka mata. Tetapi darah pekat memenuhi kedua-dua kelopak matanya. Aisha tekad. Dalam kedinginan malam wilayah Oruzgan, dia merangkak perlahan-lahan menuju ke rumah datuknya.

Aisha kemudiannya diselamatkan oleh sekumpulan petugas kontraktor firma Amerika Syarikat dan dia dirawat selama 10 minggu. Selepas itu, dia dipindahkan di tempat perlindungan rahsia di Kabul. Nasib Aisha bertambah baik apabila sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Grossman Burn Foundation membawanya ke Amerika Syarikat untuk mendapat rawatan selanjutnya. Aisha juga diberikan bimbingan kaunseling bagi memulihkan dirinya yang dilanda trauma kesan kejadian itu.

Aisha sebenarnya mempunyai sebab mengapa dia melarikan diri ke Pakistan sebelum dia ditangkap. Pada usia 14 tahun dia telah dikahwinkan dengan seorang lelaki oleh bapanya yang mahu melunaskan hutang kepada lelaki itu. Hidup dalam keterpaksaan, derita Aisha bertimpa-timpa apabila dia sering diseksa dan didera dan adakalanya dia dipaksa untuk tidur di dalam kandang bersama binatang ternakan. Tidak tahan dengan apa yang menimpanya, Aisha bertindak melarikan diri.

Ketika dia bersabung nyawa untuk meneruskan hidup, selepas diseksa dengan begitu kejam di gurun yang tandus, bapa mertuanya membawa hidung dan kedua-dua cuping telinga milik Aisha mengelilingi kampung sebagai pengajaran kepada wanita-wanita yang lain. Namun, bapa mertua Aisha akhirnya diberkas dan dihumban ke dalam penjara atas kekejaman yang dilakukan.

Kini, keyakinan Aisha sudah bertambah apabila dia mengenakan hidung palsu ataupun hidung prostetik hasil usaha badan Grossman Burn Center di Hospital West Hills di California. Doktor Peter H. Grossman pula menanam harapan supaya suatu hari nanti dia akan memberikan berita gembira buat Aisha di mana dia sedang merancang untuk membina semula hidung Aisha melalui pembedahan rekonstruktif mengunakan tisu dan tulang daripada bahagian lain tubuhnya.

Aisha kini ‘hidup semula’ dengan seraut wajah yang jelita, dengan masa depannya yang lebih cerah selepas mengharungi sejarah lalunya yang perit dan cukup menyedihkan.


Nota : Gambar Bibi Aisha menjadi penghias hadapan majalah Time edisi Julai 2010 dan foto itu telah dirakam oleh fotografer Afrika Selatan, Jodi Bieber yang memenangi foto terbaik World Press Photo 2010 kategori potret kemanusiaan.

LAUT ITU MATI

Monday, April 11, 2011

Paolo Pellegrin merupakan seorang fotografer profesional kelahiran Rome, Itali. Suatu hari Pellegrin ditugaskan oleh pihak National Georaphic untuk merakamkan gambar-gambar sumber air di sekitar Jordan. Dia berkelana di negara itu bersama lensa kameranya.

Sehinggalah suatu petang di Laut Mati, dia merakamkan aksi dua kanak-kanak perempuan sedang bermain-main di gigi air. Fotonya yang bertajuk Parting The Waters itu kemudiannya dipilih oleh pihak National Geographic sebagai salah satu gambar terbaik dalam Nat Geo’s Top Ten Photos 2010.

Pellegrin mungkin mengetahui bahawa Laut Mati merupakan tasik air masin yang terletak di sempadan Jordan dan Tebing Barat. Airnya cukup masin sehinggakan tiada satu pun hidupan yang boleh hidup di dalamnya dan memungkinkan tasik besar itu diberi gelaran Laut Mati. Namun Pellegrin mungkin tidak tahu. Disebalik keanehan tasik ini, tersirat kisah berusia 3900 tahun yang disebut di dalam Al-Quran menerusi Surah Al- A’araf ayat 80 & 81 dan Surah Hud ayat 82. Suatu masa dahulu, terdapat dua kaum yang melakukan perbuatan terkutuk iaitu melakukan hubungan sejenis iaitu kaum Sodom dan Jemoroh. Nabi Luth a.s yang telah diutuskan oleh Allah S.W.T memberi dakwah dan amaran keras kepada kedua-dua kaum itu tetapi tidak dipedulikan malah baginda telah diusir dari wilayah itu.

Setelah dakwah dan usaha baginda menemui jalan hampa, maka berdoalah Nabi Luth a.s supaya ditimpakan bencana terhadap kaumnya yang terus menerus melakukan maksiat dan sudah melampaui batas. Maka Allah S.W.T mengutuskan malaikat untuk membalikkan bumi Sodom sekaligus menghancurkan seluruh kaumnya.

Lihatlah kesemua gambar-gambar ini. Kesannya, dapat dilihat sehingga kini dimana Laut Mati yang sangat masin dan kelihatan aneh merupakan bumi yang diterbalikkan oleh Malaikat suatu masa dahulu. Laut Mati kekal menjadi sebuah laut yang mati dan disebalik dasarnya adalah tempat persemadian kaum-kaum yang mati kerana ingkar dengan perintah Yang Maha Esa.








FAKTA MENARIK LAUT MATI

- Pantainya berada di kedudukan serendah 418 meter di bawah aras laut yang merupakan kedudukan terendah di atas daratan dunia.

- Merupakan tasik air masin yang terdalam dengan kedalaman 330 meter.

- Airnya mempunyai kemasinan kedua tertinggi di dunia selepas Laut Asal di Djibouti dengan kemasinan sebanyak 33.7 %.

- Kemasinan air Laut Mati adalah lebih kurang 8.6 kali lebih masin daripada kemasinan air laut biasa.

- Laut Mati berukuran 67 km panjang dan 18 km lebar.

JASA SEPOHON EPAL

Saturday, February 12, 2011



























LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...