Showing posts with label HIBURAN. Show all posts
Showing posts with label HIBURAN. Show all posts

BABAK TERULANG HOLLYWOOD

Tuesday, March 8, 2011

Pernah baca catatan Klise Milik Hollywood dalam blog ini? Kali ini sagahayat akan mengulas lagi mengenai adegan atau babak terulang yang dipaparkan menerusi filem Hollywood. Ternyata filem Hollywood kebanyakannya memaparkan babak klise walaupun filem yang diterbitkan menelan belanja yang besar.

AWEK TURUN TANGGA – Prom Night ataupun date adalah budaya barat yang sering dipaparkan menerusi filem Hollywood. Si hero akan menunggu aweknya di ruang tamu. Tiba-tiba seorang gadis jelita dengan baju yang menawan menuruni anak tangga satu-persatu dalam gerak perlahan sambil menguntum senyum. Pernah tonton babak ini? Ya. Ianya ada dalam filem There’s Something About Mary dan juga She’s All That dan juga filem-filem komedi romantik yang lain.

MUKA NGERI PENJAHAT – Filem aksi selalunya mempunyai watak antagonis yang menjadikan sesebuah filem lebih mendebarkan. Adakalanya watak jahat ini mengalami kecederaan tetapi tidak mati. Kemunculan barunya lebih bermotifkan dendam selepas dia sembuh. Kamera pada mulanya akan menyorot pada wajahnya yang elok kemudian memaparkan kesan luka, lecur, atau apa saja kesan kecederaan pada sisi wajahnya yang lain. Tak percaya? Lepas ini sila tonton babak penjahat dalam filem Waterworld, Spiderman III, Batman dan filem-filem aksi yang lain. Tentu ada babak sebegini.

HERO DI DUNIA LAIN – Banyak filem fantasi yang memaksa watak utama untuk ‘merantau’ ke negara antah-berantah dan kehadirannya ke dunia itu sebagai mengharungi misi untuk menyelamatkan dunia itu. Pelik juga sebab makhluk-makhluk dalam dunia itu sememangnya tidak ditakdirkan untuk menjadi hero di dunianya sendiri. Sekadar menjadi pembantu sahaja. Nak tahu siapa hero itu? Siapa lagi kalau bukan Alice dalam Alice in Wonderland dan empat beradik dalam trilogi filem Narnia. Di dunia sebenar dalam filem itu mereka bukan hero pun.

JANGAN SENTUH! – Filem aksi pengembaraan memang banyak. Mungkin disebabkan sudah banyak menyebabkan penonton perasan dengan adegan yang hampir serupa. Katakanlah babak begini. Si hero menyuruh pembantunya atau sesiapa sahaja yang bersamanya supaya tidak menyentuh apa-apa ketika mereka berada di dalam puing tinggalan tamadun tertentu. Tetapi pembantunya ingkar menyebabkan tanah mula runtuh, pintu gua semakin tertutup, air mula melimpah dan apa saja yang difikirkan sesuai. Dalam filem apa agaknya babak sebegini berlaku? Ya. Tidak lain dan tidak bukan, tetralogi Indiana Jones dan trilogi The Mummy dan mungkin filem-filem yang lain.

MAKANAN TERPELANTING – Si heroin adalah orang kebanyakan. Makan di restoran mahal memang bukan bidangnya. Apatah lagi memahami etiket makan. Tetapi takdir merubah nasib si heroin. Dia kemudian menjelma menjadi wanita penting dalam hidup si jejaka. Dia kemudiannya dijemput untuk makan malam di sebuah restoran eksklusif. Kejanggalan menyebabkan makanan si heroin terpelanting. Makanan terpelanting? Kedengaran klise? Ya. Babak sebegini ada dalam filem seperti Pretty Woman, The Princess Diaries dan mungkin filem-filem yang lain.

TAK HIRAU BOM MELETUP – Yang ini lagilah banyak dalam filem Hollywood. Si hero berperang dengan musuh-musuhnya. Dia berlawan dengan berdozen musuh dengan tangan kosong. Kemudian dia melayangkan pisau dan tepat tercacak di dahi seorang musuhnya. Kemudian dia menembak musuh-musuhnya yang tidak terkira banyaknya. Dia sempat mengaktifkan bom atau memasang bom sebelum berlalu meninggalkan tempat itu. Kabom! Satu letupan besar memusnahkan seluruh tempat. Tetapi si hero langsung tidak memandang ke belakang untuk melihat letupan itu sebaliknya berjalan dengan penuh bergaya dan bersahaja. Filemnya? Senang saja. Hampir kesemua filem-filem lakonan Slyvester Stallone, Arnold Schwarzenegger, Van Damme dan Steven Seagal ada babak sebegini.

3 HARI, EKSPRESI, EKSPLORASI, DESTINASI

Saturday, February 26, 2011

Jika anda minat makan angin, mendaki gunung, melancong, bersantai ataupun apa saja yang serupa, teruskan membaca catatan ini. Sagahayat menyenaraikan program televisyen tempatan yang bertemakan ekspedisi mahupun pelancongan yang mungkin memberi panduan untuk melicinkan pengembaraan anda. Rancangan-rancangan tersebut termasuklah 3 Hari 2 Malam, Ekspresi Kembara, Eksplorasi Gunung dan Destinasi ke Destinasi.

3 HARI 2 MALAM - Konsep rancangan adalah percutian selama 3 hari 2 malam tanpa had perbelanjaan. Destinasinya adalah tempat-tempat menarik di Malaysia dan juga Asia Tenggara. Untuk musim ini, 3 Hari 2 Malam telah menjelajah ke Port Dickson, Cherating, Kuching dan juga Medan. Dihoskan oleh dua pengacara iaitu Fizo Omar & Karl Shafiq. Anda masih boleh menonton rancangan ini pada hari Isnin jam 9.30 malam di TV9.


EKSPRESI KEMBARA - Untuk musim terbaru, Ekspresi Kembara membawa selebriti indie mengembara ke beberapa destinasi menarik di Malaysia. Setakat ini antara artis yang telah menjayakan program ini termasuklah Sixth Sense (mengembara di Sarawak), Bunkface (mengembara di Taman Negara Tunku Abdul Rahman, Kota Kinabalu & sekitar Kundasang) dan Aizat & The Band (menjelajah pulau-pulau di Semporna, Sabah). Ekspresi Kembara boleh ditonton pada hari Sabtu jam 11:30 pagi di RTM1.

EKSPLORASI GUNUNG - Rancangan ini merupakan bonus bagi pendaki-pendaki gunung dan yang pertama seumpamanya di negara ini. Ekplorasi Gunung membawa penonton ke puncak-puncak gunung terkenal di Malaysia bersama Raja Gunung Malaysia, Datuk Khalid Yunus. Setakat ini Eksplorasi Gunung telah pun 'menawan' Gunung Kinabalu, Gunung Rajah, dan Gunung Stong. Bersiaran selama setengah jam, banyak info mengenai pendakian yang dapat diperoleh menerusi program ini setiap hari Selasa, jam 9:30 malam di RTM1.

DESTINASI KE DESTINASI - Bersama Jihan Raja Lawak, Rancangan ini meneroka Taman-Taman Negara yang terdapat di Malaysia. Segala info pelancongan setiap Taman Negara dihidangkan menerusi rancangan ini. Setakat ini Jihan telah pun mengembara ke Taman Negara Kinabalu, Taman Negara Gunung Ledang, Taman Negara Endau-Rompin dan banyak lagi. Jangan lupa menyaksikan Destinasi Ke Destinasi pada setiap hari Ahad, jam 6:30 petang di Astro Prima.



Banyak lagi rancangan travelog ataupun pelancongan tempatan tetapi sudah pun tamat musim seperti Destinasi Bajet (8TV), Makan Angin (TV9), Welcome To The Rail World (8TV) dan Eksplorasi (TV1) dan mungkin dalam pembikinan untuk musim yang baru.


LAYAR PERAK PECAH PANGGUNG

Thursday, December 30, 2010

Forbes.com menyenaraikan 10 filem Hollywood paling laris dipawagam seluruh dunia bagi tahun 2010. Kebanyakan filem yang tersenarai adalah filem animasi. Toy Story 3 dan Alice in Wonderland mencecah kutipan melebihi 1 bilion dolar Amerika dari pawagam seluruh dunia sekali gus tersenarai ke tempat kelima dan keenam dalam kelompok filem-filem Box Office keseluruhannya setakat ini.

1. TOY STORY 3

Jumlah kutipan : $1,063,143,492


2. ALICE IN WONDERLAND

Jumlah kutipan : $1,024,299,722

3. HARRY POTTER & THE DEATHLY HALLOWS PART 1

Jumlah kutipan : $862,792,000

4. INCEPTION

Jumlah kutipan : $825,446,026


5. SHREK THE FINAL CHAPTER

Jumlah kutipan : $739,813,967


6.THE TWILIGHT SAGA : ECLIPSE

Jumlah kutipan : $693,480,124


7. IRON MAN 2

Jumlah kutipan : $621,751,988


8. DESPICABLE ME

Jumlah kutipan : $539,988,005


9. HOW TO TRAIN YOUR DRAGON

Jumlah kutipan : $494,878,759


10. CLASH OF THE TITANS

Jumlah kutipan : $493,214,993


Nota : Sagahayat menonton 7 daripada 10 filem tersenarai.

PELANDUK DUA SERUPA

Wednesday, December 22, 2010

Pengacara jelita Indonesia, Luna Maya mengaku bahawa wanita di dalam video klip lucah itu bukan dirinya ketika perbicaraan berlangsung di Jakarta. Mungkin ada benarnya kerana kata orang di dalam dunia ini ada 7 orang yang mempunyai wajah yang hampir sama. Sebab itu ada peribahasa pelanduk dua serupa.

Di barat, orang-orang tertentu yang mempunyai wajah persis selebriti 'mengambil kesempatan' dengan menggunakan rupa paras mereka sebagai kerjaya tetap mereka bagi menghibur para tetamu di dalam keraian, parti, majlis dan sebagainya. Mereka diupah bagi melayan dan menghibur tetamu dan berlagak seperti selebriti yang asli.

Mereka ini digelar 'impersonator' dan meniru gerak geri dan gaya percakapan selebriti tersebut. Walaupun orang tahu mereka bukan selebriti yang tulen, namun ramai juga yang tidak melepaskan peluang untuk bergambar. Jom kita lihat sebahagian 'impersonator' dibawah. Cuba teka yang mana satu selebriti tulen?













10 PENCARIAN DI GOOGLE

Monday, December 13, 2010

Google menyenaraikan 10 carian paling popular oleh pelayar internet di Malaysia menggunakan enjin pencarian Google berdasarkan beberapa kategori sepanjang tahun 2010. Mari kita semak 10 yang paling kerap dicari dan popular di Google.

Perkara atau topik yang paling kerap dicari di Google pada tahun ini adalah kereta keluaran terbaru Malaysia iaitu Proton Inspira. Turut tersenarai adalah sinetron dari Indonesia iaitu Benci Bilang Cinta dan temasya sukan yang mencuri perhatian dunia setiap empat tahun iaitu Piala Dunia 2010.

1. Proton Inspira
2. iPad
3. Benci Bilang Cinta
4. World Cup 2010
5. Justin Bieber
6. Facebook
7. Utusan Online terkini
8. mudah.com.my selangor
9. Didi games
10. Fifa

Selebriti yang paling kerap 'dicari' di Google adalah penyanyi rakyat Sweden, Maher Zain. Melengkapi 10 tersenarai adalah Hanis Zalikha yang merupakan seorang model dan pelakon baru, Lee Min Ho, aktor pujaan wanita dari Korea Selatan dan Paul Tan, seorang penulis blog berkaitan industri automotif.

1. Maher Zain
2. Justin Bieber
3. Luna Maya
4. Din Beramboi
5. Lady Gaga
6. Hanis Zalikha
7. Lee Min Ho
8. Adam Lambert
9. Siti Nurhaliza
10. Paul Tan

Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan melonjak nama-nama bintang bolasepak termasyur ke persada dunia. Temasya ini menjadi platform untuk terus meledakkan nama-nama seperti David Villa dan Mesut Ozil. Dibawah adalah senarai 10 bintang bolasepak dunia yang kerap dicari pelayar internet di Google.

1. David Villa
2. Lionel Messi
3. Ronaldinho
4. Fernando Torres
5. Kaka
6. Cristiano Ronaldo
7. Van Persie
8. Iker Casillas
9. Mesut Ozil
10. Cesc Fabregas

Filem percintaan Dear John mengalahkan filem-filem blockbuster yang lain menjadi filem yang paling kerap dicari di enjin pencarian Google bagi pelayar internet di Malaysia pada tahun 2010. Filem tamil Endhuran dan filem Hong Kong, True Legend juga turut tersenarai menjadi antara filem bukan Hollywood dalam senarai yang dikeluarkan oleh pihak Google ini.

1. Dear John
2. Endhiran
3. Inception
4. Resident Evil : Afterlife
5. Percy Jackson
6. Iron Man 2
7. Transformers 3
8. Unstoppable
9. True Legend
10. Predators

Kereta idaman menjadi impian setiap insan. Google menjadi enjin pencarian untuk memperolehi maklumat awal mengenai sesebuah kereta oleh kebanyakan orang. Sekali lagi Proton Inspira tersenarai dalam 10 jenis kereta yang kerap 'dicari' melalui Google di negara ini.

1. Ford Fiesta
2. Proton Inspira
3. Proton Emas
4. Waja baru
5. Hyundai Sonata 2010
6. Honda Civic 2010
7. Toyota Vios 2011
8. Waja Lancer
9. Honda Freed
10. Honda City 2010

WAYANG GAMBAR YANG TAK MENJADI

Saturday, September 25, 2010

Kita selalunya tahu tentang filem-filem yang dianugerahkan Hollywood sebagai Best Picture (Filem Terbaik) menerusi Academy Award seperti The Hurt Locker, Slumdog Millionaire dan The Departed tetapi pernahkah kita dengar tentang anugerah yang memberi gelaran Worst Picture (Filem Terburuk). Golden Raspberry Award ataupun Razzie Award adalah anugerahnya. Majlis penganugerahan ini diadakan sehari sebelum majlis Academy Award. Trofinya berbentuk buah raspberry sebesar bola golf yang hanya beharga US$4.79. Ayuh kita semak senarai 10 filem untuk tahun 2000 hingga 2009 yang bergelar Filem Terburuk.

BATTLEFIELD EARTH - Filem Terburuk 2000 ini dilakonkan oleh pelakon terkenal John Travolta bersama isterinya Kelly Preston dan juga Barry Pepper. Filem aksi peperangan fiksyen berbajet besar ini diarahkan Roger Christian yang juga memenangi anugerah Pengarah Terburuk. Travolta, Preston & Pepper masing-masing meraih gelaran Aktor Terburuk, Aktres Terburuk dan Aktor Pembantu Terburuk.

FREDDY GOT FINGERED - Filem aksi komedi ini dilakonkan oleh Tom Green dan diarahkan oleh orang yang sama iaitu Tom Green. Freddy Got Fingered berjaya meraih anugerah Filem Terburuk 2001. Filem ini juga memenangi hati juri untuk kategori Aktor Terburuk & Pengarah Terburuk yang dimenangi oleh Tom Green dan Tom Green.

SWEPT AWAY - Swept Away adalah remake kepada filem Swept Away by an Unusual Destiny in the Blue Sea of August tetapi kalah di Oscar, menang di Razzie. Si pengarah, laki kepada Madonna, Guy Richie turut merangkul gelaran Pengarah Terburuk. Madonna sudah tentu mendapat anugerah Aktres Terburuk berkongsi gelaran dengan Britney Spears menerusi filem Crossroads.

GIGLI - Gigli menang besar apabila meraih tiga anugerah utama iaitu Pengarah Terburuk, Aktor Terburuk dan Aktres Terburuk. Pemenangnya adalah Martin Brest (Pengarah), Ben Affleck (Aktor) dan Jennifer Lopez (Aktres). Walaupun Gigli menampilkan pelakon ternama, ia tetap tidak menjadi. Pilihan juri selayaknya menobatkan Gigli sebagai Filem Terburuk.

CATWOMAN - Pemegang watak Catwoman untuk filem ini iaitu Halle Berry hadir untuk menerima anugerah Aktres Terburuk. Begitu juga dengan penulis lakon layarnya iaitu Michael Ferris untuk Penulis Lakon Layar Terburuk. Pemenang lain ialah Pitof untuk Pengarah Terburuk dan sudah tentu filemnya Catwoman selaku Filem Terburuk.

DIRTY LOVE - Dirty Love tidak ditayangkan di negara ini menyebabkan filem ini kurang dikenali. Jenny McCarthy memenangi dua anugerah iaitu Aktres Terburuk dan Penulis Lakon Layar Terburuk. Pengarah Terburuk pemenangnya ialah John Mallory Asher menerusi Dirty Love manakala Filem Terburuk sekali lagi Dirty Love.

BASIC INSTINCT 2 - Filem Basic Instinct membawa kepada sekuelnya iaitu Basic Instinct 2 tetapi gagal di mata pengkritik menyebabkan filem sekuel ini diundi sebagai Filem Terburuk 2006. Tetapi pengarahnya terlepas gelaran Pengarah Terburuk apabila dimenangi oleh M.Night Shymalan menerusi filem Lady In The Water.

I KNOW WHO KILLED ME - Kemenangan terbesar buat Lindsay Lohan untuk anugerah terburuk. Dia meraih gelaran anugerah Aktres Terburuk berkongsi tempat dengan dirinya juga untuk watak yang satu lagi menerusi filem yang sama. Malah dia turut memenangi gelaran Pasangan Layar Terburuk bersama dirinya juga untuk filem itu. Menambah koleksi, filem ini turut diberi anugerah Pengarah Terburuk untuk Chris Sivertson dan dilabel Filem Terburuk 2007.

THE LOVE GURU - Menampilkan nama-nama besar seperti Mike Myers, Jessica Alba dan Justin Timberlake tidak menjamin kemenjadian filem ini tetapi dianugerahi Filem Terburuk. Malah Myers mendapat anugerah Aktor Terburuk dan Penulis Lakon Layar Terburuk menerusi filem yang sama. Pengarah The Love Guru, Marco Schnabel bernasib baik apabila tidak memenangi Pengarah Terburuk sebaliknya dimenangi oleh Uwe Boll menerusi pencalonan 4 filem.

TRANSFORMERS: REVENGE OF THE FALLEN - Filem blockbuster ini berjaya meraih kutipan jutaan dolar dari pawagan serata dunia tetapi gagal di mata pengkritik. Filem ini dikritik habis-habisan sehinggalah mendapat gelaran Filem Terburuk 2009. Si pengarah, Michael Bay turut mendapat gelaran Pengarah Terburuk menerusi filem sekuel Transformers ini. Boleh dikatakan Transformers: Revenge of The Fallen adalah filem terburuk yang mendapat kutipan tertinggi setakat ini.


Nota : Sekiranya sagahayat diberi peluang menjadi juri, filem terburuk 2010 adalah milik The Last Airbender.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...