JEJAK DARAH LANGKAT - Bahagian II

Sunday, June 26, 2011



BERTAUT DI LINGGI

Sejak berpindah dari Pengkalan Kempas ke Pengkalan Durian, Tukang Ali mengambil keputusan untuk terus menetap dan membina rumah di situ. Rumahnya hanya dipisahkan dengan jalan kecil dan bertentangan dengan rumah keluarga Silong dan Rafeah. Silong dan Rafeah suami isteri bukan berasal dari Linggi. Mereka berasal dari Kampung Sungai Jernih Melaka dan Rafeah sendiri merupakan anak jati Ramuan Cina, Melaka.
Segalanya bermula apabila anak sulung mereka iaitu Mohamad Shah dilarikan oleh binatang buas ke dalam hutan semasa mereka membuka kawasan hutan di pinggir bukit Kampung Sungai Jernih. Ketika itu kesemua anak mereka iaitu Mohamad Shah, Hamidah, Anum, Aminah dan Taemah ditinggalkan di dalam sebuah pondok dimana sebenarnya terdapat binatang buas sedang berkeliaran di kawasan itu. Mendengar tangisan anak-anaknya, Silong dan Rafeah segera berlari mendapatkan anak-anak mereka. Jantung mereka berdegup kencang. Namun segalanya sudah terlambat. Mohamad Shah sudah dibawa lari ke dalam hutan dan dibaham binatang buas itu.


Dengan nasib yang malang dan berhati walang, Silong dan Rafeah menyerah nasib dengan berhijrah ke tempat lain. Hancur luluh hatinya apabila satu-satunya anak lelaki mereka pergi buat selama-lama dan mati tidak berkubur. Baginya peristiwa yang meragut nyawa anaknya perlu dielakkan daripada berulang. Mereka bersampan menyusuri Sungai Jernih sehinggalah mereka tiba di persimpangan Sungai Linggi dan mendarat di kawasan Permatang Pasir bagi memulakan kehidupan baru bersama-sama empat orang anaknya iaitu Hamidah, Anum, Aminah dan Taemah.


Maka bermulah kehidupan keluarga Silong dan Rafeah yang membina rumah di Pengkalan Durian. Silong dan Rafeah berjiran dan bersahabat dengan Tukang Ali. Tahun demi tahun, anak-anak mereka masing-masing menginjak usia, dan jodoh menemukan Aminah, anak gadis Silong dengan Bujang, anak lelaki Tukang Ali. Mereka akhirnya bernikah dan bermulalah tautan keluarga antara keluarga Tukang Ali dengan keluarga Silong dan Rafeah.


BUJANG MERANTAU


Usia dewasa bukan hanya untuk dihabiskan sisanya di tanah darah tumpah. Bertitik tolak dari situlah Bujang dan adiknya Sadin, mengikut jejak ayah mereka, berkelana, merantau dan meneroka tanah-tanah baru untuk membuka mata mereka dan belajar untuk berdiri dengan kaki sendiri.


Mereka mengembara sehinggalah tiba di Kuala Kubu. Bujang dan Sadin meneroka hutan dan mereka berhuma. Tuah ayam nampak di kaki, namun tuah Bujang dan Sadin tampak jelas pada padi-padi hasil tanaman mereka yang tunduk menguning. Berbudi pada tanah, rezeki Tuhan ternyata melimpah ruah buat mereka yang sama-sama bekerjasama membanting tulang mengerah kudrat. Keringat dan kepayahan mereka dibayar dengan hasil tanaman yang sungguh lumayan.
Suatu hari, Sadin adik kepada Bujang bersuara. “Abang, apa yang abang cakap sudah pun kita jumpa. Adat orang sedarah, sifat orang seperguruan”. Bujang faham maksud adiknya. Adiknya akhirnya meninggalkan Bujang buat selama-lamanya dan jenazahnya disemadikan di tanah Kuala Kubu. Hasil pertanian dituai dan kemudiannya diserahkan Bujang kepada orang-orang kepercayaannya. Dalam keadaan duka, Bujang kembali ke Pengkalan Durian.


Setibanya di Linggi, Bujang disambut oleh isterinya, Aminah. Tahun-tahun seterusnya Bujang terus menetap di Linggi. Mereka suami isteri dikurniakan lima orang cahaya mata iaitu Wahab, Mahmud, Arifin, Salimah dan Harun. Suatu hari Bujang mengambil keputusan untuk berhijrah ke kawasan lain. Dia mahu mengubah untung nasib hidupnya yang tidak berapa menentu di Linggi.


Akhirnya Bujang menyiapkan kereta lembunya. Dia juga menyuruh isterinya bersiap-siap untuk menempuh satu perjalanan yang jauh ke tempat baru. “Minah, kau bersiap-siaplah. Kita akan ke tempat baharu. Sama-sama kita teroka dan bertani di Sungai Kembong nanti. Mat Tera, sahabat kepada abah sudah sampai pun di sana”.


Kereta lembu milik Bujang mula merentas denai-denai kampung dan mula melewati rumah-rumah di hujung kampung di Linggi. Bujang bersama isteri dan anak-anaknya menuju ke Sungai Kembong, sebuah tempat yang tiada orang bermukim dan merupakan hutan belantara. Perjalanan mereka memakan beberapa hari. Ada ketika, semasa mereka bermalam di pinggir di sebuah bukit, ada pak belang mengaum dan berkeliaran berhampiran kereta lembu mereka. Mujur keluarganya tidak diganggu oleh binatang buas itu dan akhirnya Bujang selamat tiba di Sungai Kembong, tempat untuk dia bermastautin, memulakan hari-hari barunya, bersama Aminah dan lima orang anak mereka.
Di Sungai Kembong, mereka bersawah. Sudah banyak keluarga dari Linggi memulakan kehidupan baru di tempat itu. Mat Tera adalah antara yang pertama. Yang lain-lain termasuklah Tok Rasat, Tok Manaf, Tok Baki, Tok Sendeng dan Tok Maksit yang sama-sama mengembleng tenaga membuka tanah di Sungai Kembong. Ketika mereka baru tiba di sana, jambatan keretapi yang diberi gelaran Jambatan Lubuk Buaya yang merentangi sungai sedang dibina oleh pihak British di kawasan itu.


Hiduplah mereka disana. Sehinggakan Sungai Kembong menjadi sebuah kampung yang permai dan penduduknya saling bantu-membantu diantara satu sama lain.


JEJAK DARAH LANGKAT - Bahagian I

Saturday, June 25, 2011



MUKADIMAH

Mengetahui susur galur keluarga merupakan peluang keemasan yang pastinya direbut oleh semua orang yang mahu mengenali dan mendalami sejarah nenek moyang mereka. Begitu juga dengan penulis yang mendapat peluang mendengar cerita daripada bapa penulis sendiri (yang juga mendapat maklumat dari saudara-mara yang lain) mengenali salasilah keluarga beberapa keturunan yang bermula dari daerah Langkat di Sumatera Utara. Dalam catatan ini, penulis akan menulis dalam bentuk cerita (berdasarkan fakta dan cerita yang didengar dan dicatat) dan akan disampaikan menerusi beberapa bahagian. Cerita ini dianggarkan bermula (berdasarkan perkiraan-perkiraan tertentu) pada tahun-tahun 1850 sehingga 1870. Semoga catatan-catatan ini menjadi rujukan kaum keluarga dan juga warisan yang tidak ternilai harganya untuk generasi masa kini dan akan datang.


KELANA TUKANG ALI
Tukang Ali memegang tiang di bawah rumahnya. Sebelah tangannya lagi mencekak pinggang. Dia mencuri dengar perbualan tetamu-tetamu yang datang bertandang ke rumahnya yang terletak berhampiran Istana Langkat. Hatinya termengkelan kerana dia langsung tidak dipelawa untuk sama-sama membulatkan suara dalam urusan peminangan kakaknya pada hari itu.

Wajahnya mencuka sepadan dengan hatinya yang begitu kesal. Beberapa hari dia termenung mengenangkan nasib dirinya disisihkan.


Tukang Ali tekad. Biarlah dia membawa dirinya berkelana ke tempat lain. Usianya seawal tujuh belas tahun yang mengalir darah muda yang panas dan bergelora dalam tubuhnya menyebabkan dia mengikut kata hati. Rajuk Tukang Ali umpama rajuk yang membawa jauh, retak yang membawa pecah. Dia segera menuju ke pinggir sungai di hujung kampungnya, Kampung Stabat Hinai. Dia mengikat rakit buluh, membawa bersama sebilah parang dan seunjut kain.

Tukang Ali kemudian berjongkok, mengambil tiga ketul batu kecil di pinggir sungai, dan kemudian menggenggam-genggam batu-batu itu seraya berkata.

“Andai timbulnya tidak batu-batu ini ke pemukaan air, sungguh , aku tidak akan kembali ke Langkat, tanah tercinta ini”


Istana Tanjung Pura, Kabupaten Langkat


Batu-batu itu dilempar. Kecil kocakannya, tetapi besar keputusan yang bakal diputuskan. Seketul batu pun tidak timbul. Bulat hati Tukang Ali tersurat dengan tenggelamnya batu-batu itu. Dia lantas membuka tali yang mengikat rakit itu pada tebing dan membiarkan rakitnya dibawa aliran air bagaikan limau hanyut terapung-apung. Pandangannya masih tetap dan lepas ke daratan Langkat, tanah tumpah darahnya.

Bermulalah pelayaran Tukang Ali. Pohon-pohon nyiur meliuk lentuk diterpa angin di kiri kanan sungai seakan-akan melambai-lambai pemergiannya. Rumah-rumah kayu beratap nipah di tepian sungai adalah santapan matanya menyaksikan bumi Langkat yang damai dan permai, sebelum dia pergi takkan kembali lagi ke tanah itu.

Jata atau Lambang lama Kesultanan atau Kerajaan Langkat

Langkat itu bukan sebarangan tempat. Rajanya masyhur, rakyatnya mulia. Santun butir kata-kata penghuninya bersulam budi pekerti laku bersendi agama penyuluh hidup. Ayah Tukang Ali juga bukan yang ada-ada. Ayahnya cukup terkenal di Istana Langkat. Dia juga banyak menghasilkan ukiran di seluruh pojok istana. Andai kelibatnya tiada dalam majlis mesyuarat istana, pendek kata, usul tidak terbentang, buah fikiran tidak terdebat, ajuan tidak terbahas, kaul tidak terhujah. Peranannya amat penting umpama tiang utama penegak teguh bangunan istana.

Tukang Ali kemudiannya bermudik sehinggalah rakitnya tersadai di Bilah Indera Pura, di Medan, sebuah kampung di pinggir sungai. Tukang Ali cepat berkenal-kenal. Mat Tera adalah pemuda tempatan yang akhirnya menjadi sahabat baiknya. Jodohnya juga dengan gadis Bilah. Hidupnya hanya di Kampung Bilah, sebuah kampung yang berkongsi sungai dengan Kampung Stabat Hinai. Selepas beberapa lama bermukim di Kampung Bilah, rumah tangga Tukang Ali dilengkapi dengan empat orang cahaya mata iaitu Andak, Deraman, Tok Alang dan Tok Teh.

Musim hidup seterusnya, Tukang Ali berkelana lagi. Anak-anak dan isterinya ditinggalkan. Kali ini dia bekerja dalam kapal api sebagai buruh, menuju ke lautan luas dan berlabuh di dermaga-dermaga yang berkongsi Selat Melaka, sehinggalah kapal itu berlabuh di Pengkalan Kempas di Kuala Linggi.


Pengkalan Kempas menjadi rumah baharunya. Dia bertemu jodoh dan akhirnya Tukang Ali menikahi seorang wanita tempatan. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Bujang, Dara dan Sadin. Mereka kemudiannya berpindah ke Pengkalan Durian, juga sebuah tempat di Linggi.

Istana Tanjung Pura, Langkat

Bujang, Dara dan Sadin membesar di Linggi. Sehinggalah Bujang, anak sulung hasil perkahwinan keduanya meningkat dewasa, dia diarahkan ayahnya menuntut ilmu di Langkat. “Pergilah ke Langkat. Pesantren di pinggir istana ada di sana. Raihlah ilmu agar penuh di dada”, kata Tukang Ali pada anaknya. Bujang akur dengan kehendak ayahnya. Dia kemudian berlayar ke Langkat , yakni Kampung Stabat Hinai yang merupakan tanah asal bapanya. Bujang berguru dengan Sheikh Abdul Wahab Langkat, seorang wali yang besar keramatnya. Kebakaran lombong minyak tanah di Langkat dapat dipadam oleh Sheikh Abdul Wahab hanya dengan segelas air sahaja dengan izin Allah Subhana Wa Taala. Berguru dengan Sheikh Abdul Wahab sememangnya peluang yang tidak akan dilepaskan. Namun tempoh pengajian Bujang di Langkat tidak lama. Hanya lima ke enam bulan sahaja.

Syeikh Abdul Wahab Langkat

Alang-alang di Langkat, Bujang terus menuju ke Bilah Indera Pura. Dia masih ingat lagi pesan ayahnya ketika dia mahu berangkat ke Langkat dahulu. “Bujang, kau singgahlah ke Bilah. Beritahu adik beradikmu empat orang, abah takkan balik-balik ke Langkat. Kalau mahu bersua Abah, datang dan jelanglah ke Kolang”. Berita itu akhirnya sampai ke telinga keempat-empat adik beradik tiri Bujang itu, dari mulut Bujang sendiri. Keempat-empat mereka, Andak, Deraman, Tok Alang dan Tok Teh bersepakat menuju ke Kolang untuk bertemu bapa mereka dan akhirnya kesemuanya menetap di Linggi.

Mat Tera, sahabat baik Tukang Ali menjejak pengembaraan sahabatnya. Dia akhirnya mengambil keputusan untuk menetap di Linggi dan bernikah dengan Saabah, anak gadis Datuk Laksamana Said.

KERETA USIA

Thursday, June 23, 2011

Kereta merupakan pengangkutan yang menjadi keperluan kepada ramai orang pada masa ini. Kereta (atau yang boleh dikelaskan sebagai kereta) juga boleh disesuaikan mengikut usia seperti kereta-kereta dibawah.



Peringkat 1 (4 bulan hingga 9 bulan - mengikut kesesuaian) - Baby walker



Peringkat 2 (9 bulan hingga 3 tahun mengikut jumlah pengisian ) - Kereta tolak




Peringkat 3 (3 tahun hingga 7 tahun mengikut kehendak) - Kereta mainan


Peringkat 4 (7 tahun hingga 12 tahun mengikut kemahuan) - Kereta kontrol jenama biasa



Peringkat 5 (12 tahun hingga 19 tahun mengikut kemampuan) - Kereta kontrol berjenama



Peringkat 6 ( 19 tahun hingga 50 tahun mengikut ketebalan poket) - Kereta mini, kereta sport, MPV, SUV atau sedan



Peringkat 7 (50 tahun ke atas mengikut keperluan) - 'Kereta' kerusi roda



Peringkat akhir.....apabila tiba masanya - Kereta jenazah



KEHEBATAN GUNUNG GANANG

Monday, June 20, 2011

Gunung adalah kejadian alam yang mengagumkan. Bertahun lamanya gunung menjadi mercu tanda sesebuah tempat seperti mana Afrika yang begitu bangga dengan Gunung Kilimanjaro dan juga Jepun yang begitu terkenal dengan Gunung Fuji. Dan beribu tahun yang lampau sehinggalah ke hari ini, gunung-gunung masih dianggap sebagai tempat sang dewa-dewa ataupun sebuah tempat suci yang tercatat dalam mitos legenda pelbagai kaum di seluruh dunia.
Secara umumnya, gunung adalah struktur di permukaan bumi yang lebih tinggi dan lebih menonjol berbanding kawasan lain di sekitarnya. Gunung juga dapat didefinisikan sebagai bukit yang besar dan tinggi yang melebihi daripada ketinggian 1500 kaki atau 457.2 meter dari aras laut. Secara ringkasnya juga, gunung-ganang terbentuk hasil daripada pergerakan plat-plat tektonik bumi yang membentuk banjaran-banjaran gunung yang mengambil masa selama berjuta-juta tahun.

Umum mengetahui, gunung yang tertinggi di dunia adalah Gunung Everest yang terletak di Banjaran Himalaya. Banjaran ini bukan hanya mempunyai Everest sebagai puncak tertingginya malah mempunyai 18 gunung tertinggi yang lain yang tersenarai dalam kelompok 25 gunung tertinggi di muka bumi. Sir Edmund Hillary pula direkodkan sebagai manusia pertama yang berjaya menawan puncak Gunung Everest yang berketinggian 8,848 meter dari aras laut pada 29 Mei 1953.

Namun individu yang bertanggungjawab disebalik kejayaannya adalah Tenzing Norgay, iaitu seorang sherpa atau pemandu arah gunung yang merupakan rakyat tempatan yang membantu Hillary merealisasikan impiannya. Selangkah lagi kakinya ke puncak Everest, Tenzing berhenti bagi memberi laluan kepada Hillary untuk menawan puncak Everest.

Puncak Gunung Ayam, Kelantan. Mac 2003
Walaupun begitu, terdapat sebuah gunung yang tidak pernah sama sekali berjaya ditawan oleh sesiapa pun sehinggalah ke hari ini. Gunung Gangkar Punsum di Bhutan (7,570 meter) merupakan puncak ke 40 tertinggi di dunia. Namun, percubaan demi percubaan untuk menawan puncaknya sejak 1980-an menemui kegagalan. Sejak tahun 2003 pula, negara Bhutan telah mengharamkan aktiviti pendakian atas sebab keagamaan menjadikan Gunung Gangkar Punsum sebagai gunung yang tidak pernah didaki oleh manusia.

Puncak Gunung Irau, Cameron Highlands, Pahang. Jun 2010.
Di negara kita, Gunung Kinabalu menjadi puncak tertinggi dan merupakan puncak kelima tertinggi di Asia Tenggara. Dianggarkan terdapat kira-kira 200 puncak tertinggi di negara ini termasuklah Gunung Tahan, Gunung Mulu, Gunung Korbu, Gunung Murud dan sebagainya.

Puncak Gunung Kinabalu, Sabah. November 2010
Gunung selalunya menjadi sempadan kepada negara ataupun negeri. Gunung juga adalah legeh kepada aliran sungai yang semestinya bermula dari banjaran gunung dan mengalir ke lembah-lembah. Namun, fungsi utama gunung adalah sebagai pasak bumi sepertimana terdapat di dalam kitab suci Al Quran.

“Bukankah Kami telah menjadikan bumi itu sebagai hamparan? Dan gunung-gunung sebagai pasak?” (Surah An-Naba’ Ayat 6 & 7)

Puncak Gunung Berembun, Cameron Highlands, Pahang. Disember 2010
Perkataan gunung atau jabal dapat ditemukan sebanyak 49 kali di dalam Al Quran. Dan ayat-ayat Al Quran itu menyebut fungsi gunung sebagai pasak bumi. Gunung-ganang yang tinggi menjulang sepertimana yang kita lihat sebenar adalah ibarat kepala paku yang terbenam pada kayu, dan batangnya tertancap pada bumi bagi menyokong struktur bumi. Begitulah yang diterangkan mengenai hebatnya fungsi gunung menerusi Al Quran.

Puncak Gunung Tok Wan, Semenyih, Selangor. Disember 2010
Kepada para pendaki gunung, termasuk penulis sendiri, gunung sememangnya satu anugerah yang tidak ternilai. Kecantikannya menjadi tarikan bagi pencinta alam. Mendakinya memerlukan kekuatan mental dan fizikal. Namun, disebalik keindahannya, gunung itu adalah khazanah istimewa yang tertulis dalam kitab suci Al Quran. Hebatnya gunung kerana kejadiannya yang cukup menakjubkan yang dicipta oleh Allah S.W.T Yang Maha Kuasa. Subhanallah.

Puncak Gunung Swettenham, Sempadan Pahang-Kelantan. Jun 2011

BINAAN PALING PELIK DI DUNIA Bahagian II

Saturday, June 11, 2011

Pelik tidak semestinya moden atau canggih. Sebenarnya terdapat banyak lagi bangunan yang tinggi menjulang dan mempunyai struktur yang menakjubkan.Tetapi inilah yang dipilih sebagai binaan paling pelik di dunia. Jom kita lihat 15 lagi binaan terpilih di seluruh dunia.


Mind House ( Barcelona , Spain )



The Crooked House ( Sopot , Poland )



Stone House ( Guimar, Portugal )




Lotus Temple ( Delhi , India )


Cathedral of Brasilia ( Brazil )



La Pedrera ( Barcelona , Spain )



Atomium ( Brussels , Belgium )



Museum of Contemporary Art ( Niteroi , Rio de Janeiro , Brazil )



Kansas City Library ( Missouri , USA )



Low Impact Woodland House ( Wales , UK )



Guggenheim Museum ( Bilbao , Spain )



Rotating Tower, Dubai , UAE





Habitat 67 ( Montreal , Canada )



Casa da Musica ( Porto , Portugal )



Olympic Stadium ( Montreal , Canada )



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...