Showing posts with label RENCANA. Show all posts
Showing posts with label RENCANA. Show all posts

127 JAM

Tuesday, July 26, 2011

Aron Ralston bersiap-siap. Dia menghidupkan enjin pacuan empat rodanya dan meredah kegelapan malam. Selepas bermalam di dalam kenderaannya, pagi itu dia keluar mencapai basikal untuk ditungganginya menuju ke Blue John Canyon di Wayne County, Utah.

Ralston meninggalkan saja basikalnya dan memulakan pengembaraannya dengan berjalan kaki. Dalam kepanasan dan keheningan gurun itu, Ralston bertemu dengan dua orang wanita yang juga sedang mengembara. Mereka berkenalan dan Ralston akhirnya membawa kedua-dua wanita itu ke sebuah kolam yang terletak di dalam gua di dalam kawasan itu yang merupakan destinasi yang ingin dituju oleh kedua-dua pengembara wanita itu.

Beberapa jam kemudian mereka berpisah. Ralston membawa dirinya ke destinasi yang ingin ditujunya. Dia ingin meneroka laluan ngarai di kawasan itu. Tiba di satu tempat, Ralston mengambil keputusan untuk menuruni sebuah ngarai kecil. Dia menuruni ngarai itu selangkah demi selangkah sehingga ke dasar ngarai tanpa menyedari tindakannya menuruni ngarai itu menyebabkan sebongkah batu bergerak dan dengan tidak semena-mena batu itu terjatuh dan menghimpit tangan kanannya ke dinding lurah ngarai itu.

Ralston tergamam. Dia terpaku seketika. Tetapi dia tidak menjerit atau mengerang kesakitan. Beberapa ketika kemudian dia cuba melepaskan tangannya. Dia menarik tangannya sekuat hati. Kemudian dia cuba mengangkat batu seberat 360 kilogram itu dengan sedaya upayanya untuk meloloskan tangannya. Namun segala usahanya gagal.

Ralston mula menjerit meminta pertolongan. Tetapi usahanya sia-sia saja kerana dia berada di gurun berngarai yang sangat luas dan dia sendiri tidak memberitahu sesiapa tentang aktivitinya di kawasan itu.

Apabila malam menjelma, Ralston melilit badannya dengan tali-temali untuk melindungi dirinya daripada kesejukan. Tubuhnya juga diampu dengan tali pengampu yang selalu digunakan oleh pendaki yang disangkutkan pada ceracak batu di pinggir lurah itu supaya dia tidak berdiri sepanjang malam.

Keesokan paginya, dia masih di situ. Tangannya masih dihimpit batu pejal dan sebahagian darah yang terpercik ke dinding ngarai itu sudah pun kering. Ralston menyusun alatan-alatan yang dibawa di dalam beg galasnya dia tas batu yang menghimpit tangannya. Alatan-alatan itu termasuklah sebilah pisau kecil yang tumpul, kamera video, sebotol air dan juga lampu suluh.

Ralston masih tidak berputus asa. Dia mengehadkan jumlah air yang diminumnya pada tempoh-tempoh tertentu daripada botol air yang mengandungi air sebanyak kira-kira 350 mililiter. Namun kepanasan gurun itu cukup memeritkan dan tubuh Ralston mudah kehilangan air.

Malam kembali menjelma. Ralston kembali melilit tubuhnya dengan tali. Punggungnya juga diampu dengan tali pengampu. Kedinginan malam yang menggigit ke tulang hitam cukup berbeza dengan kehangatan gurun pada waktu siang.

Hari seterusnya, apabila Ralston membuka kelopak matanya, dia mendapati dirinya masih di ngarai kecil itu. Dia menelan kanta lekap matanya untuk mengisi perut. Dia juga menjilat-jilat mulut botol minumannya yang masih bersisa beberapa titis air. Ralston akhirnya mengisi botol minuman itu dengan air kencingnya sendiri dan bercadang untuk meminumnya jika keadaan memaksa.


Fikiran Ralston mula melayang-layang. Kesan kekurangan air mula melanda dirinya. Dia sering teringatkan sebotol jus oren yang ditinggalkan di dalam pacuan empat rodanya. Dia juga mengalami delusi dan sering teringat-ingat wajah-wajah ahli keluarganya satu-persatu.

Pada hari kelima dia terperangkap di situ, ketika tiada lagi air dalam botol minumannya, Ralston merasakan hayatnya sudah tiba ke penghujungnya. Dia mengukir namanya, tarikh kelahiran dan tarikh pada hari itu pada dinding ngarai. Ralston kemudian merakam video ucapan kepada ahli keluarganya dan dia merasakan malam itu adalah malam terakhir untuk dirinya.

Namun hayatnya masih panjang. Pagi Khamis, 1 Mei 2003 itu, Ralston mendapati dirinya masih hidup. Dan dia masih terperangkap dengan tangannya terhimpit seketul batu yang besar.

Ralston merasakan keajaiban apabila nyawanya masih berada dalam tubuhnya. Keajaiban ini seolah-olah memberi isyarat padanya untuk melakukan sesuatu demi meneruskan hayatnya. Ralston akhirnya tekad untuk mengerat tangannya sendiri.

Dengan menggunakan sebilah pisau tumpul sepanjang 2 inci, dia mula menusuk pisau itu di lengannya. Dia kemudiankan mematahkan tulang tangannya dan darah meleleh keluar kesan dari kelaran itu. Torehan yang memutuskan daging dan otot dan tusukan yang berjaya memotong tulang radius dan ulna menyebabkan tangannya terputus. Ralston sudah terpisah dari perangkap itu.

Sekali lagi Ralston tergamam. Dia melangkah ke belakang dan terpaku seketika melihat sebahagian lengannya yang masih berada dicelah-celah batu besar itu. Dia kemudian melihat tangan kanannya yang sudah kudung dan darah menitis-nitis tidak berhenti. Ralston membungkus tangannya dengan beg galasnya dan berjalan terhuyung-hayang meninggalkan kawasan itu.

Ujian Ralston belum tamat lagi. Kenderaannya terletak kira-kira 13 kilometer dari kawasan itu. Dia perlu menuruni cerun bukit yang berketinggian kira-kira 20 meter dengan menggunakan sebelah tangan untuk segera tiba ke trek yang selalu dilalui oleh para pengembara.

Nasib ternyata menyebelahi Ralston. Dia terserempak dengan pengembara yang akhirnya menghubungi pihak keselamatan untuk menyelamatkan nyawanya.

Selama 127 jam Ralston terperangkap di ngarai yang terus menghantui hidupnya. Tangan kanannya terpaksa dikorbankan demi meneruskan hidup. Ralston percaya keajaiban yang diperolehi adalah peluang yang diberikan dan dia terus kekal untuk tidak berputus asa.

Kisah Ralston ditulis menerusi buku yang bertajuk Between a Rock and a Hard Place dan diadaptasi ke sebuah filem yang bertajuk 127 Hours. Apabila ditanya oleh pihak media apakah perkara yang menyebabkan dia mengambil keputusan untuk mengerat tangannya, Aron Ralston menjawab “Apa yang terjadi ke atas saya pada masa itu adalah atas segala keputusan yang saya telah buat. Saya memilih untuk mengembara seorang diri. Saya memilih untuk tidak memberitahu sesiapa ke mana saya pergi. Dan saya juga memilih untuk tidak mengembara bersama pengembara wanita yang saya jumpa”.

Selepas pulih sepenuhnya, Ralston masih meneruskan aktiviti yang menjadi minatnya sejak kecil. Dia berjaya menawan puncak gunung tertinggi di Eropah. Namun satu pengajaran yang sentiasa dia pegang adalah untuk sentiasa memberitahu ahli keluarga ataupun rakan-rakannya ke mana saja dia pergi, kerana dia tidak sanggup berada bersama seketul batu di tempat yang sukar selama 127 jam dan kehilangan anggota badan buat kali kedua.

Nota : Sebahagian rakaman video Aron Ralston terperangkap di Blue John Canyon dapat disaksikan menerusi Youtube.

KEHEBATAN GUNUNG GANANG

Monday, June 20, 2011

Gunung adalah kejadian alam yang mengagumkan. Bertahun lamanya gunung menjadi mercu tanda sesebuah tempat seperti mana Afrika yang begitu bangga dengan Gunung Kilimanjaro dan juga Jepun yang begitu terkenal dengan Gunung Fuji. Dan beribu tahun yang lampau sehinggalah ke hari ini, gunung-gunung masih dianggap sebagai tempat sang dewa-dewa ataupun sebuah tempat suci yang tercatat dalam mitos legenda pelbagai kaum di seluruh dunia.
Secara umumnya, gunung adalah struktur di permukaan bumi yang lebih tinggi dan lebih menonjol berbanding kawasan lain di sekitarnya. Gunung juga dapat didefinisikan sebagai bukit yang besar dan tinggi yang melebihi daripada ketinggian 1500 kaki atau 457.2 meter dari aras laut. Secara ringkasnya juga, gunung-ganang terbentuk hasil daripada pergerakan plat-plat tektonik bumi yang membentuk banjaran-banjaran gunung yang mengambil masa selama berjuta-juta tahun.

Umum mengetahui, gunung yang tertinggi di dunia adalah Gunung Everest yang terletak di Banjaran Himalaya. Banjaran ini bukan hanya mempunyai Everest sebagai puncak tertingginya malah mempunyai 18 gunung tertinggi yang lain yang tersenarai dalam kelompok 25 gunung tertinggi di muka bumi. Sir Edmund Hillary pula direkodkan sebagai manusia pertama yang berjaya menawan puncak Gunung Everest yang berketinggian 8,848 meter dari aras laut pada 29 Mei 1953.

Namun individu yang bertanggungjawab disebalik kejayaannya adalah Tenzing Norgay, iaitu seorang sherpa atau pemandu arah gunung yang merupakan rakyat tempatan yang membantu Hillary merealisasikan impiannya. Selangkah lagi kakinya ke puncak Everest, Tenzing berhenti bagi memberi laluan kepada Hillary untuk menawan puncak Everest.

Puncak Gunung Ayam, Kelantan. Mac 2003
Walaupun begitu, terdapat sebuah gunung yang tidak pernah sama sekali berjaya ditawan oleh sesiapa pun sehinggalah ke hari ini. Gunung Gangkar Punsum di Bhutan (7,570 meter) merupakan puncak ke 40 tertinggi di dunia. Namun, percubaan demi percubaan untuk menawan puncaknya sejak 1980-an menemui kegagalan. Sejak tahun 2003 pula, negara Bhutan telah mengharamkan aktiviti pendakian atas sebab keagamaan menjadikan Gunung Gangkar Punsum sebagai gunung yang tidak pernah didaki oleh manusia.

Puncak Gunung Irau, Cameron Highlands, Pahang. Jun 2010.
Di negara kita, Gunung Kinabalu menjadi puncak tertinggi dan merupakan puncak kelima tertinggi di Asia Tenggara. Dianggarkan terdapat kira-kira 200 puncak tertinggi di negara ini termasuklah Gunung Tahan, Gunung Mulu, Gunung Korbu, Gunung Murud dan sebagainya.

Puncak Gunung Kinabalu, Sabah. November 2010
Gunung selalunya menjadi sempadan kepada negara ataupun negeri. Gunung juga adalah legeh kepada aliran sungai yang semestinya bermula dari banjaran gunung dan mengalir ke lembah-lembah. Namun, fungsi utama gunung adalah sebagai pasak bumi sepertimana terdapat di dalam kitab suci Al Quran.

“Bukankah Kami telah menjadikan bumi itu sebagai hamparan? Dan gunung-gunung sebagai pasak?” (Surah An-Naba’ Ayat 6 & 7)

Puncak Gunung Berembun, Cameron Highlands, Pahang. Disember 2010
Perkataan gunung atau jabal dapat ditemukan sebanyak 49 kali di dalam Al Quran. Dan ayat-ayat Al Quran itu menyebut fungsi gunung sebagai pasak bumi. Gunung-ganang yang tinggi menjulang sepertimana yang kita lihat sebenar adalah ibarat kepala paku yang terbenam pada kayu, dan batangnya tertancap pada bumi bagi menyokong struktur bumi. Begitulah yang diterangkan mengenai hebatnya fungsi gunung menerusi Al Quran.

Puncak Gunung Tok Wan, Semenyih, Selangor. Disember 2010
Kepada para pendaki gunung, termasuk penulis sendiri, gunung sememangnya satu anugerah yang tidak ternilai. Kecantikannya menjadi tarikan bagi pencinta alam. Mendakinya memerlukan kekuatan mental dan fizikal. Namun, disebalik keindahannya, gunung itu adalah khazanah istimewa yang tertulis dalam kitab suci Al Quran. Hebatnya gunung kerana kejadiannya yang cukup menakjubkan yang dicipta oleh Allah S.W.T Yang Maha Kuasa. Subhanallah.

Puncak Gunung Swettenham, Sempadan Pahang-Kelantan. Jun 2011

KERONGSANG BUAT USTAZAH

Monday, May 16, 2011

Salina sangat gembira. Hasratnya untuk membeli hadiah buat ustazah kesayangannya tercapai. Walaupun pada mulanya dia ingin membeli sehelai kain tudung buat Ustazah Hanizah, namun sebentuk kerongsang bertatah permata hijau berharga RM2 sudah cukup membuatkan dirinya teruja untuk menyambut hari guru yang berlangsung keesokan harinya. “Kita beli kerongsang je lah. Kain tudung tu mahal”, pujuk bapa Salina ketika Salina menyatakan keinginan untuk membeli sehelai tudung.

Ibunya, Arliza tersenyum melihat anaknya melihat-lihat kerongsang itu. Salina kemudian memandang ibunya dan kemudian bibir kecilnya mengukir senyuman. “Yang hijau ni untuk Ustazah Hanizah, yang biru ni untuk Cikgu Ida Rosyatina”, kata Salina pada ibunya. Salina kemudian mendakap ibunya dan mencium pipi Arliza. Arliza bahagia melihat anak sulungnya yang berusia tujuh tahun itu riang gembira. Sejuk perut Arliza mengandung, melihat kelakuan Salina yang agak rajin menolongnya melakukan tugasan rumah. Malah sejak akhir-akhir ini Salina sangat manja dan sering mencium pipinya.


Tanggal 16 Mei 2005, Salina bersemangat ke sekolah. Ini adalah kali pertama dia menyambut sambutan hari guru di sekolahnya di Sekolah Rendah Agama Rantau Panjang, Klang. Seperti hari-hari yang lalu, Arliza akan menemani Salina sehingga ke pintu sekolah. Tetapi pada hari itu, Salina beria-ia hendak menyeberangi jalan menuju ke pintu pagar sekolah bersama-sama rakan-rakannya. Arliza hanya menanti di bahu jalan.

Salina leka sambil tangannya menepuk-nepuk kocek baju kurungnya yang tersimpan kerongsang buat Ustazah Hanizah. Salina melintasi jalan tanpa menyedari sebuah treler sedang menghampirinya. Malang tidak berbau, dengan tak semena-mena, tubuh kecil Salina dirempuh treler yang dipandu laju dan dia digilis oleh treler itu. Arliza menjerit menyaksikan kejadian yang berlaku didepan matanya. Begitu dengan yang lain. Suasana menjadi hingar-bingar. Arliza berlari mendakap tubuh anaknya yang sudah kaku. Namun segalanya sudah terlambat. Nur Salina Saparedi menjadi korban kemalangan jalanraya yang tragis dan berlaku dalam suasana yang amat memilukan.

Berita kemalangan itu segera sampai ke telinga Ustazah Hanizah. Dia tergamam. Tiada sebutir kata pun keluar dari mulut. Seketika kemudian dia beristighfar sambil air matanya bertakung menanti luruh. Hasrat Salina untuk memberi sebentuk kerongsang buat Ustazah Hanizah tidak kesampaian. Keriangannya ke sekolah berakhir dengan tragedi yang cukup menyedihkan. Ustazah Hanizah seperti tidak percaya. Seorang anak muridnya sudah pergi buat selama-lamanya.

Beberapa hari kemudian, Arliza datang ke sekolah. Wajahnya masih sugul menggambarkan seribu kedukaan yang belum terpudar walau sedikit pun. Dia kemudian bertemu dengan Ustazah Hanizah dan juga Cikgu Ida untuk menyempurnakan hasrat anak kesayangannya. Ustazah Hanizah menahan sebak. Mata Arliza pula berkaca-kaca. Hadirnya Arliza adalah bagi menunaikan niat murni anaknya untuk menghadiahkan kerongsang itu buat guru kesayangannya. Kerongsang yang sudah tertanggal beberapa butir permata itu diserahkan Arliza kepada Ustazah Hanizah. Kerongsang itu diamati dan disebalik kilauan batu permata itu, terbayang wajah kudus Salina yang belum sempat mengenali sepenuhnya tentang dunia tetapi sudah memahami bahawa jasa seorang guru perlu dihargai walaupun hanya dianugerahkan dengan sebentuk kerongsang berharga dua ringgit.

AKU PENJAGA GUNUNG INI

Sunday, April 24, 2011

“Tidak akan berlaku erupsi pada Merapi. Percayalah kata Mbah”, kata Mbah Maridjan apabila dia diminta meninggalkan rumah. Dia sebenarnya sudah pun mendapat perintah dari Sultan Hamengku Buwono X untuk meninggalkan kampungnya yang terletak kira-kira empat kilometer dari puncak Gunung Merapi. Namun dia ingkar. Pakar geologi pula menjangkakan Merapi akan meletus bila-bila masa dan akan memuntahkan lahar.

Firasat Mbah Maridjan benar belaka. Gunung Merapi tidak meletus dan keadaan kembali normal. Merapi memperlahankan aktivitinya dan akhirnya gunung berapi di Yogyakarta itu kembali tenang. Sejak itu nama Mbah Maridjan semakin terkenal. Firasatnya mengenai gunung itu menyebabkan orang semakin percaya dengan jurukunci Gunung Merapi itu walaupun sebenarnya dia telah mendapat mandat memegang amanat itu daripada Almarhum Sultan Hamengku Buwono IX sejak awal 1980an.

Sehinggalah empat tahun kemudian iaitu sekitar bulan Oktober 2010, Merapi mula menunjukkan tanda-tanda kembali aktif. Beberapa gegaran telah dikesan oleh pakar-pakar geologi. Aktiviti-aktiviti volkanik yang berterusan menyebabkan pihak berkuasa memberi arahan kepada semua penduduk yang tinggal berdekatan dengan puncak gunung itu supaya mengosongkan kawasan penempatan mereka serta merta.

Tetapi Mbah Maridjan masih enggan meninggalkan rumahnya. Dia memberitahu saudara maranya bahawa dia tidak akan meninggalkan Gunung Merapi kerana memikul amanah sebagai Abdi Dalem Kraton Jogja iaitu menghambakan diri kepada Sultan Jogja sebagai penjaga gunung.

Sudah menjadi sebahagian daripada adat turun temurun Kesultanan Jawa sejak dahulu kala lagi, seseorang mestilah dilantik menjadi penjaga Gunung Merapi dan Mbah Maridjanlah yang memegang amanah yang besar itu. Kononnya, jurukunci ataupun penjaga gunung mempunyai hubungan spiritual yang sangat rapat dengan tuannya iaitu Gunung Merapi. Kepercayaan kuno ini sudah tertanam dalam sanubari setiap penduduk pulau Jawa sejak dari dulu lagi.

Meskipun begitu, semua orang tidak kiralah sama ada dia adalah jurukunci gunung ataupun tidak, harus meninggalkan kampung mereka. Sudah tiba masanya untuk Merapi meletus dan memuntahkan laharnya. Jika sebelum ini iaitu pada tahun 2006 gunung itu tidak meletus, tetapi menjelang penghujung Oktober 2010, pakar-pakar geologi cukup optimis. Gunung Merapi yang berusia 400,000 itu bakal meledak dan menghamburkan debu volkanik dan lahar yang panas membara. Sesiapa saja yang masih tinggal di haluan lahar dan debu volkanik itu pasti menjadi korban.

Akhirnya Gunung Merapi meledak. Ledakannya dapat didengar sehingga ke berkilo-kilo meter jauhnya. Debu dan asap berkepul-kepul dan bergumpal-gumpal seperti awan kelabu yang besar dan menjulang tinggi ke dada langit. Laharnya melimpah keluar membuak-buak dan mengalir deras seperti aliran sungai selepas hujan lebat. Merah menyala dan membakar apa saja di laluannya.

Gunung Merapi mendapat liputan meluas di seluruh dunia. Semua wartawan melaporkan isu letusan Gunung Merapi yang menjadi berita paling penting dari Pulau Jawa. Fotografer-fotografer juga berebut-rebut merakamkan kejadian alam yang menakjubkan itu dari jauh.

Keesokan harinya, pasukan keselamatan mula menjalankan tugas mereka. Mereka menuju ke Kinahrejo Kecamatan Cangkringan Sleman untuk meninjau keadaan sekeliling. Suasana cukup hiba. Haiwan-haiwan ternakan seperti lembu dan kambing mati akibat bencana itu. Terdapat juga beberapa kujur mayat yang bergelimpangan. Tubuh mereka melecur dan diseliputi debu yang cukup tebal. Hanya warna hitam, puith dan kelabu saja yang menyelubungi kawasan itu akibat hamburan debu dari Merapi.

Apabila mereka menjenguk ke dalam sebuah rumah yang separuh musnah, pasukan penyelamat menemui sekujur mayat dalam keadaan bersujud ke arah kiblat. Tubuh mayat itu melecur akibat suhu tinggi awan panas debu volkanik yang turun sebagai hujan abu.

Mayat itu bersama-sama mayat-mayat yang lain dibawa ke hospital. Mayat dalam keadaan bersujud itu menarik perhatian apabila saudara-maranya hadir bagi menjalankan proses pengecaman. Pada mayat itu terdapat satu ibu jari tangannya yang bengkok yang merupakan salah satu ciri fizikal Mbah Maridjan. Pakaian pada mayat itu sama seperti pakaian terakhir yang dilihat dipakai oleh Mbah Maridjan, petang sebelum bencana itu berlaku. Mayat itu kemudiannya disahkan mayat Mbah Maridjan.

Mbah Maridjan, sang penjaga Gunung Merapi akhirnya menjadi korban gunung berapi itu. Sepanjang usianya selama 83 tahun, lereng Merapi merupakan tanah tumpah darahnya, tempat dia membesar dan menyaksikan keindahan Merapi setiap pagi dan dia menjadi penjaga gunung itu lebih daripada tiga dekad. Sekuat mana pun ‘hubungan’ Mbah Maridjan dengan Merapi, dia tetap menjadi korban Merapi yang juga meragut 240 nyawa yang lain.


MATI HIDUP SEMULA

Sunday, April 17, 2011

Mati hidup semula. Bibi Aisha masih hidup untuk menceritakan pengalamannya dipotong telinga dan hidung serta ditinggalkan di sebuah gurun yang gersang.

Segalanya bermula apabila Aisha yang merupakan seorang wanita Afghanistan berusia 18 tahun melarikan diri daripada rumah suaminya dengan bantuan dua jiran perempuan. Namun dia ditangkap dan akhirnya diserahkan oleh pihak berkuasa kembali ke rumah keluarga mertuanya.

Aisha kemudian diheret ke suatu tempat. Dia meronta-ronta meminta belas kasihan untuk dilepaskan. Namun segalanya sudah terlambat. Bagi keluarga mertua Aisha, dia sudah melampaui batas. Aisha sudah menconteng arang di muka keluarga itu. Tambahan pula, sudah menjadi tradisi kaum Pashtun untuk melakukan hukuman yang keras kepada mana-mana wanita yang melakukan kesalahan.

Aisha menjerit. Dia melolong memecah kesunyian gurun yang kering kontang dan gersang. Namun tiada siapa yang simpati. Kepala Aisha diacukan dengan senjata api oleh bapa mertuanya. Aisha merayu dan menangis dalam seribu perasaan. Hidung Aisha lantas dihiris oleh suaminya menyebabkan Aisha menjerit kesakitan. Darah memercik keluar seperti paip pecah. Kemudian tersembur antara nafas Aisha yang deras, sama deras dengan denyut jantungnya. Kemudian kedua-dua belah cuping telinga Aisha dipotong dan menambah derita buat Aisha yang masih mentah ketika itu. Sakitnya hanya Tuhan yang tahu.

Aisha kemudiannya dibiarkan mati di kawasan itu. Namun umur Aisha masih panjang. Ajalnya belum tiba. Pada waktu tengah malam itu dia terjaga. Dia terasa seperti ada air yang sejuk dalam rongga hidungnya yang rompong itu. Aisha cuba membuka mata. Tetapi darah pekat memenuhi kedua-dua kelopak matanya. Aisha tekad. Dalam kedinginan malam wilayah Oruzgan, dia merangkak perlahan-lahan menuju ke rumah datuknya.

Aisha kemudiannya diselamatkan oleh sekumpulan petugas kontraktor firma Amerika Syarikat dan dia dirawat selama 10 minggu. Selepas itu, dia dipindahkan di tempat perlindungan rahsia di Kabul. Nasib Aisha bertambah baik apabila sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Grossman Burn Foundation membawanya ke Amerika Syarikat untuk mendapat rawatan selanjutnya. Aisha juga diberikan bimbingan kaunseling bagi memulihkan dirinya yang dilanda trauma kesan kejadian itu.

Aisha sebenarnya mempunyai sebab mengapa dia melarikan diri ke Pakistan sebelum dia ditangkap. Pada usia 14 tahun dia telah dikahwinkan dengan seorang lelaki oleh bapanya yang mahu melunaskan hutang kepada lelaki itu. Hidup dalam keterpaksaan, derita Aisha bertimpa-timpa apabila dia sering diseksa dan didera dan adakalanya dia dipaksa untuk tidur di dalam kandang bersama binatang ternakan. Tidak tahan dengan apa yang menimpanya, Aisha bertindak melarikan diri.

Ketika dia bersabung nyawa untuk meneruskan hidup, selepas diseksa dengan begitu kejam di gurun yang tandus, bapa mertuanya membawa hidung dan kedua-dua cuping telinga milik Aisha mengelilingi kampung sebagai pengajaran kepada wanita-wanita yang lain. Namun, bapa mertua Aisha akhirnya diberkas dan dihumban ke dalam penjara atas kekejaman yang dilakukan.

Kini, keyakinan Aisha sudah bertambah apabila dia mengenakan hidung palsu ataupun hidung prostetik hasil usaha badan Grossman Burn Center di Hospital West Hills di California. Doktor Peter H. Grossman pula menanam harapan supaya suatu hari nanti dia akan memberikan berita gembira buat Aisha di mana dia sedang merancang untuk membina semula hidung Aisha melalui pembedahan rekonstruktif mengunakan tisu dan tulang daripada bahagian lain tubuhnya.

Aisha kini ‘hidup semula’ dengan seraut wajah yang jelita, dengan masa depannya yang lebih cerah selepas mengharungi sejarah lalunya yang perit dan cukup menyedihkan.


Nota : Gambar Bibi Aisha menjadi penghias hadapan majalah Time edisi Julai 2010 dan foto itu telah dirakam oleh fotografer Afrika Selatan, Jodi Bieber yang memenangi foto terbaik World Press Photo 2010 kategori potret kemanusiaan.

LELAKI POKOK PULAU JAWA

Saturday, March 12, 2011

Dede Koswara segera pulang ke rumah. Lututnya terluka apabila dia terjatuh di sebuah tapak pembinaan berhampiran rumahnya di Tanjung Jaya di barat Pulau Jawa, Indonesia. Ketika itu dia berusia 15 tahun. Luka itu tidaklah begitu besar, tetapi bermula dengan luka itulah, Dede Koswara menanggung penyakit yang sangat jarang ditemui di dunia. Tubuh Dede ditumbuhi ketuat-ketuat yang kelihatan seperti akar-akar berpilin ataupun dahan pokok.

Segalanya bermula selepas seminggu lutut Dede mengalami kecederaan. Ketuat kecil mula tubuh dari dalam luka itu. Dede pada mulanya sedikit pun tidak risau. Dia percaya ketuat atau kutil itu akan gugur atau paling tidak pun dapat dihilangkan dengan menggunakan getah pokok betik.

Tetapi sangkaan Dede benar-benar meleset. Ketuatnya membesar, melarat dan mewabak ke bahagian-bahagian lain di tubuhnya. Sebaik sahaja ketuat di lututnya dibuang melalui pembedahan, bahagian-bahagian lain mula ditumbuhi dengan ketuat itu dengan kadar yang lebih cepat. Kakinya mula ditumbuhi ketuat-ketuat yang keras dikuti bahagian tangan, dada dan juga kepala. Wajah dan dadanya penuh dengan tompok-tompok kutil.

Menjelang usianya 20 tahun, Dede tidak boleh lagi memegang alat-alatan dan terpaksa bersusah payah untuk melakukan rutin hariannya. Tangannya umpama akar kayu ataupun batang-batang kayu pohon bonsai yang berusia beratus-ratus tahun. Melengkok liuk dan kelihatan agak menakutkan.

Malang bagi Dede, dia diberhentikan kerja. Sudah jatuh ditimpa tangga, isteri Dede meninggalkannya terkontang-kanting bersama dua orang anak hasil pengkongsian hidup mereka iaitu Entis dan Entang.

Namun, dalam kesulitan hidup, Dede tidak mudah menyerah kalah. Mujur ada ibubapanya yang sudi menjaganya dan juga kawan-kawan yang setia menyokongnya dari belakang.

Demi kelangsungan hidupnya, Dede bertekad untuk keluar bekerja dan membawa pulang keping-keping not rupiah untuk kegunaan dirinya dan juga anak-anaknya di rumah. Namun, apalah kerja yang boleh dilakukan oleh Dede yang hidup dengan ketumbuhan yang menyerupai akar pokok yang terus membesar di kedua-dua belah tangan dan kakinya.

Berkat keazamannya, Dede memperolehi kerja. Dia ditawarkan bekerja dalam pameran ‘Manusia Aneh’ bersama beberapa individu yang mempunyai keanehan pada rupa fizikal mereka. Beratus orang datang ke tapak pameran untuk menyaksikan Dede dan juga yang lain. Sejak itu Dede diberi gelaran 'lelaki pokok'. Hasil jualan tiket dibahagi-bahagi sesama mereka dan mereka mampu tersenyum dengan rezeki yang diterima seadanya.

Ketika Dede berusia 36 tahun iaitu pada tahun 2007, Dede dikunjungi seorang doktor iaitu Doktor Anthony Gaspari, dari University of Maryland, Amerika Syarikat. Atas usaha doktor itu, penyakit Dede didiagnosis dan dia akhirnya dibawa ke meja bedah untuk menjalankan pembedahan. Sebanyak 6 kilogram ketumbuhan berjaya dibuang dari keseluruhan tubuh Dede yang ditumbuhi ketumbuhan itu.


Dede gembira bukan kepalang. Dia akhirnya dapat melihat semula ruang-ruang antara jari-jari kaki dan tangannya. Dia juga dapat memegang rokok, menulis dan juga menaip SMS. Namun, panas tidak menjelang ke petang. Ketuat-ketuat itu kembali tumbuh sebaik sahaja Dede kembali ke rumahnya.

Dede sebenarnya diserang virus Human Papilloma (HPV) yang menyerang kulitnya. Selalunya sistem pertahanan semulajadi badan seseorang individu dapat membunuh virus ini, tetapi sistem pertahanan semulajadi atau sistem imunisasi tubuh Dede sangat lemah, menyebabkan ketuat-ketuat ini tetap kembali tumbuh walaupun telah berulang kali dibuang.

Dengan hakikat itu, Doktor Gaspari berusaha untuk meningkatkan sistem imunisasi tubuh Dede dan dalam masa yang sama turut mengawal pertumbuhan dan membuang ketumbuhan yang tumbuh di tubuh Dede. Para doktor juga mengakui, mereka sememangnya tidak mampu menghentikan ketumbuhan itu daripada berlaku, namun dengan dua pembedahan setahun, sudah dapat menjanjikan harapan buat Dede untuk menjalani hidup dengan lebih baik.

Apabila ditemuramah oleh wartawan, Dede terseyum sambil berkata, “Saya bukan terdesak, tapi saya mahu sembuh. Saya takut jika ketumbuhan ini membesar di wajah saya dan akhirnya menutupi keseluruhannya. Saya juga gusar jika suatu hari nanti saya tidak bisa melihat dan tidak boleh makan. Yang lebih menakutkan adalah jika penyakit saya ini bisa merebak pada dua orang anak kesayangan saya”.

Dia hidup bersandarkan harapan dan percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya.


Nota : Ditulis dan diolah suai berdasarkan beberapa artikel berbahasa Inggeris dan juga dokumentari My Shocking Story: Half Man Half Tree menerusi Discovery Channel.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...