KERONGSANG BUAT USTAZAH

Monday, May 16, 2011

Salina sangat gembira. Hasratnya untuk membeli hadiah buat ustazah kesayangannya tercapai. Walaupun pada mulanya dia ingin membeli sehelai kain tudung buat Ustazah Hanizah, namun sebentuk kerongsang bertatah permata hijau berharga RM2 sudah cukup membuatkan dirinya teruja untuk menyambut hari guru yang berlangsung keesokan harinya. “Kita beli kerongsang je lah. Kain tudung tu mahal”, pujuk bapa Salina ketika Salina menyatakan keinginan untuk membeli sehelai tudung.

Ibunya, Arliza tersenyum melihat anaknya melihat-lihat kerongsang itu. Salina kemudian memandang ibunya dan kemudian bibir kecilnya mengukir senyuman. “Yang hijau ni untuk Ustazah Hanizah, yang biru ni untuk Cikgu Ida Rosyatina”, kata Salina pada ibunya. Salina kemudian mendakap ibunya dan mencium pipi Arliza. Arliza bahagia melihat anak sulungnya yang berusia tujuh tahun itu riang gembira. Sejuk perut Arliza mengandung, melihat kelakuan Salina yang agak rajin menolongnya melakukan tugasan rumah. Malah sejak akhir-akhir ini Salina sangat manja dan sering mencium pipinya.


Tanggal 16 Mei 2005, Salina bersemangat ke sekolah. Ini adalah kali pertama dia menyambut sambutan hari guru di sekolahnya di Sekolah Rendah Agama Rantau Panjang, Klang. Seperti hari-hari yang lalu, Arliza akan menemani Salina sehingga ke pintu sekolah. Tetapi pada hari itu, Salina beria-ia hendak menyeberangi jalan menuju ke pintu pagar sekolah bersama-sama rakan-rakannya. Arliza hanya menanti di bahu jalan.

Salina leka sambil tangannya menepuk-nepuk kocek baju kurungnya yang tersimpan kerongsang buat Ustazah Hanizah. Salina melintasi jalan tanpa menyedari sebuah treler sedang menghampirinya. Malang tidak berbau, dengan tak semena-mena, tubuh kecil Salina dirempuh treler yang dipandu laju dan dia digilis oleh treler itu. Arliza menjerit menyaksikan kejadian yang berlaku didepan matanya. Begitu dengan yang lain. Suasana menjadi hingar-bingar. Arliza berlari mendakap tubuh anaknya yang sudah kaku. Namun segalanya sudah terlambat. Nur Salina Saparedi menjadi korban kemalangan jalanraya yang tragis dan berlaku dalam suasana yang amat memilukan.

Berita kemalangan itu segera sampai ke telinga Ustazah Hanizah. Dia tergamam. Tiada sebutir kata pun keluar dari mulut. Seketika kemudian dia beristighfar sambil air matanya bertakung menanti luruh. Hasrat Salina untuk memberi sebentuk kerongsang buat Ustazah Hanizah tidak kesampaian. Keriangannya ke sekolah berakhir dengan tragedi yang cukup menyedihkan. Ustazah Hanizah seperti tidak percaya. Seorang anak muridnya sudah pergi buat selama-lamanya.

Beberapa hari kemudian, Arliza datang ke sekolah. Wajahnya masih sugul menggambarkan seribu kedukaan yang belum terpudar walau sedikit pun. Dia kemudian bertemu dengan Ustazah Hanizah dan juga Cikgu Ida untuk menyempurnakan hasrat anak kesayangannya. Ustazah Hanizah menahan sebak. Mata Arliza pula berkaca-kaca. Hadirnya Arliza adalah bagi menunaikan niat murni anaknya untuk menghadiahkan kerongsang itu buat guru kesayangannya. Kerongsang yang sudah tertanggal beberapa butir permata itu diserahkan Arliza kepada Ustazah Hanizah. Kerongsang itu diamati dan disebalik kilauan batu permata itu, terbayang wajah kudus Salina yang belum sempat mengenali sepenuhnya tentang dunia tetapi sudah memahami bahawa jasa seorang guru perlu dihargai walaupun hanya dianugerahkan dengan sebentuk kerongsang berharga dua ringgit.

MANA ARAH BAS?

Thursday, May 12, 2011

Adakah anda lebih bijak berbanding seorang budak berusia lima tahun? Mungkin anda menjawab dengan yakin, ‘Ya!’ tetapi apa kata anda jawab soalan berkaitan bas sekolah dibawah.


Soalannya, kearah manakah bas di bawah bergerak? Ke kanan atau ke kiri?




Dapat jawapan? Apa kata anda lihat sekali lagi gambar bas di bawah.




Masih buntu?



Sekumpulan kanak-kanak ditunjukkan gambar yang sama dan diajukan soalan yang serupa. Ke arah manakah bas bergerak? Ke kanan atau ke kiri? 90% daripada mereka memberi jawapan ini: “Bas bergerak ke kanan!”


Bila ditanya lagi “Mengapa kamu fikir bas itu bergerak ke kanan?” Mereka menjawab : “Sebab Kami tak nampak pintu untuk masuk ke dalam bas!”

Apa perasan anda sekarang?

EKSPLORASI GUA NIAH - Bahagian II

Tuesday, May 10, 2011

Setelah menikmati segenap pemandangan yang menakjubkan, kami meneruskan penerokaan dengan berjalan di sebelah tapak arkeologi menuju ke destinasi seterusnya. Ketika ini, lampu suluh sangat diperlukan.




Gelap sudah semestinya dan dibelakang kami adalah pintu gua yang semakin jauh kami tinggalkan dan ianya jelas kelihatan dengan pancaran cahaya dari luar.


Semakin kami masuk ke perut gua, suasana semakin gelap. Kami seterusnya tiba di tangga yang memerlukan kami menuruninya untuk ke tempat-tempat lain. Tangga-tangga ini menuju ke lembah di dalam gua dan bertentangan kami ketika itu adalah tangga-tangga ke Bukit Terayeng dari sebelah belakang. Kami menuruni setiap anak tangga dengan cukup berhati-hati. Anak-anak tangga agak licin kerana basah dek air-air yang menitis dan juga najis kelawar serta najis burung layang-layang.


Tiba dibahagian bawah, kami perlu memanjat tangga untuk menuju ke kawasan yang digelar Padang. Dari kawasan Padang, kami dapat melihat cahaya yang terpancar dari siling gua. Semestinya ianya adalah cahaya yang menerobos melalui lubang semulajadi yang terhasil di bumbung kompleks gua itu. Kami meneruskan perjalanan untuk menyaksikan keindahan cahaya yang menerangi kegelapan gua di tempat yang lebih baik.


Aku cukup terpegun menyaksikan cahaya yang terpancar sehingga ke lantai gua. Cahaya ini membuktikan fakta sains yang menyatakan cahaya bergerak lurus dan bersama-samanya adalah pelangi yang adakalanya muncul apabila dilihat dari posisi-posisi lain dan ianya tercipta daripada percikan air yang jatuh dari lubang itu.



Dari kawasan itu, kami menuruni anak tangga yang basah dan akhirnya tiba di pelantar yang dibina di atas permukaan gua menuju ke lain-lain kawasan. Kawasan ini langsung tidak mempunyai cahaya melainkan cahaya yang muncul dari lampu suluh kami.


Beberapa minit kemudian, kami mula terlihat cahaya. Kami akhirnya tiba di pintu gua di sebelah belakang dan kawasan ini digelar Gan Kira. Terdapat pondok yang dibina dikawasan ini untuk pengunjung berehat. Lanskap menarik memenuhi ruang pintu gua itu. Tumbuhan hijau yang disimbah cahaya matahari di pintu gua ‘menenangkan’ mata kami yang ‘kelam’ dalam kegelapan sebentar tadi.


Kami langsung tidak berehat, sebaliknya meneruskan perjalanan ke Painting Cave. Untuk ke gua itu kami perlu berjalan keluar dari gua selama lebih kurang sepuluh minit sebelum menaiki tangga ke gua yang penuh dengan lukisan purba itu. Setibanya disana aku sedikit kecewa apabila mendapati lukisan-lukisan itu hanya dapat disaksikan di sebalik pagar besi.


Tetapi aku faham tujuannya adalah untuk pemeliharaan lukisan-lukisan yang dilukis beribu-ribu tahun yang lalu. Lukisan-lukisan itu sebenarnya agak pudar dan kurang jelas. Namun papan tanda yang memberi penerangan mengenai lukisan ini sudah cukup untuk memahamkan pengunjung yang ingin mengetahui sedikit sebanyak mengenai lukisan-lukisan primitif ini.

Painting Cave merupakan penghujung destinasi eksplorasi kompleks Gua Niah. Disini aku dapat melihat papan tanda yang tertera angka 4.7km. ini bermakna kami sudah berjalan dan mendaki sejauh 4.7 kilometer sebelum tiba di Painting Cave.


Selepas berehat seketika, kami memutuskan untuk berpatah balik ke jeti dan kami perlu memasuki semula gua. Kali ini kami memilih jalan turun di Bukit Terayeng.


Selepas itu kami berlalu meninggalkan gua dan sempat berehat sebentar untuk minum di pondok cenderamata sebelum aku menanggalkan kasut untuk berkaki ayam menuju ke jeti.

Kaki aku yang melecet menyebabkan aku lebih selesa berkaki ayam menuju ke jeti sejauh 2.5 kilometer. Dalam hati aku berbisik, “Padan muka ko. Sape suruh masuk gua pakai macam nak pegi MidValley”.


Jam 4 petang, kami tiba di pejabat pendaftaran dengan perut yang agak lapar. Jangkaan sejam penerokaan menjadi tiga jam dan aku belajar dari kesilapan di Gua Niah supaya mengenakan pakaian yang lebih sesuai untuk aktiviti-aktiviti sebegini.


Apa yang pasti, penerokaan ini membuktikan Borneo merupakan tanah yang kaya dengan khazanah alam dan sangat menakjubkan kerana di Borneolah terletaknya gunung tertinggi, gua terbesar dan sungai terpanjang. Meneroka Gua Niah menjadi sebahagian pengalaman yang mengujakan bagi melihat dan merasai sendiri ciptaan Tuhan yang mengalami perubahan sejak jutaan tahun yang lampau dan memberi bukti kepada kewujudan tamadun terawal di Bumi Kenyalang.



PANDUAN DAN TIP KE GUA NIAH


• Taman Negara Gua Niah terletak 90km dari Bandaraya Miri. Dari Miri anda perlu memandu ke arah Bintulu dan belok ke sebelah kanan di Simpang Ngu menuju ke pekan Batu Niah. Taman Negara Gua Niah terletak kira-kira 11km dari Simpang Ngu dan 4km dari pekan Batu Niah.

• Di pintu masuk Taman Negara Gua Niah terdapat tandas, kafe, surau, pejabat pendaftaran dan juga penginapan yang boleh disewa.

• Jarak perjalanan dari jeti ke penghujung trek ialah sejauh 4.7km. Pergi balik sekitar 10km berjalan kaki. Anda disarankan supaya membawa air minuman dari luar kerana air yang dijual di dalam Taman Negara agak mahal.

• Pakai pakaian dan kasut yang sesuai. Bawa lampu suluh dan tuala kecil untuk mengelap peluh. Pakai topi untuk mengelakkan kepala terkena najis kelawar atau burung layang-layang.

• Selain meneroka Gua Niah, pengunjung boleh mendaki ke Bukit Kasut dan Gunung Subis yang terletak dalam Taman Negara ini. Pengunjung juga boleh menelusuri Sungai Niah dengan bot dengan bayaran yang berpatutan.

• Untuk mendapatkan lebih informasi tentang Gua Niah serta Taman Negara Gua Niah, anda boleh perolehi maklumat dari laman web
http://ms.wikipedia.org/wiki/Gua_Niah & http://www.forestry.sarawak.gov.my/forweb/np/np/niah.htm




TEMPAT-TEMPAT MENARIK DI MIRI, SARAWAK



Alang-alang di Bandaraya Miri, kami turut mengunjungi beberapa tempat menarik di bandar minyak itu. Antaranya termasuklah;

TAMAN AWAM MIRI
Taman ini dibina khusus untuk masyarakat setempat. Tarikan utamanya adalah jambatan gantung dan juga taman air mini khas untuk kanak-kanak. Terdapat juga pondok-pondok untuk berehat, ruang pejalan kaki, air terjun buatan, taman permainan, menara pandang dan juga kafeteria. Pengunjung tidak dikenakan sebarang bayaran.






TAMU MUHIBAH MIRI
Tamu Muhibah merupakan pasar yang menjual pelbagai hasil tanaman dan ternakan termasuklah produk-produk hasil dari kampung. Buah-buahan dan sayur-sayuran segar boleh diperolehi di pasar ini.





TAMAN NEGARA BUKIT LAMBIR
Kami juga sempat singgah sebentar di taman negara ini yang terletak 30 km dari Bandaraya Miri (jalan menghala ke Bintulu). Walaupun tidak berkesempatan untuk memasuki trek ke dalam taman negara, tapi kami sempat memperolehi beberapa maklumat taman negara ini. Terdapat trek sejauh 7.055km ke puncak Bukit Lambir dan sepanjang trek pengunjung boleh singgah di beberapa air terjun iaitu air terjun Latak, air terjun Nibong, air terjun Pantu, air terjun Tengkorong, air terjun Pancur dan air terjun Dinding.





BUKIT KANADA
Bukit Kanada boleh dikatakan sebagai puncak tertinggi di Bandaraya Miri. Pengunjung boleh memandu kereta ke puncak bukit ini. Terdapat sebuah Muzium Petroleum dibina di kawasan ini dan kawasan ini dikatakan tempat pertama minyak ditemui di Malaysia. Terdapat kawasan untuk pengunjung menyaksikan panorama Bandaraya Miri keseluruhannya dan juga Laut China Selatan.







NASI LALAPAN
Beberapa rakan memberi cadangan supaya kami mencuba Nasi Lalapan di Restoran Muara yang terletak sebaris dengan Boulevard Complex di Miri. Ternyata, Nasi Lalapan yang kami pesan memenuhi citarasa kami dan restoran ini turut menyediakan pelbagai menu yang lain termasuklah Nasi Ayam Penyet, masakan ala carte, lauk-pauk dan macam-macam lagi.


EKSPLORASI GUA NIAH - Bahagian I

Monday, May 9, 2011




Zaman aku kecil dulu, aku pernah terdengar nama Gua Niah tetapi aku lebih teringat pada pelakon Nor Albaniah yang tampil dengan begitu seksi dalam filem Adik lakonan bersama Mr.Os dan Mustafa Kamal sekitar awal 90-an. Tetapi sampai ke hari ini, tiada satu pun persamaan antara Gua Niah dan Nor Albaniah yang aku jumpa kecuali namanya yang kedengaran hampir serupa. Sehinggalah aku di sekolah menengah, cerita tentang Gua Niah kembali lagi apabila ia menjadi salah satu kandungan mata pelajaran Geografi dan Sejarah dan disebut-sebut sebagai gua yang terbesar di Malaysia. Bertitik tolak dari situ, barulah aku mengetahui serba sedikit mengenai gua yang terletak di negeri Sarawak itu.







Akhirnya, tanggal 1 Mei 2011 aku akhirnya terpacak di pejabat pendaftaran Taman Negara Gua Niah. Bersama aku adalah Rodhi, kawan yang pernah sama-sama mengembara ke Sabah sekitar Februari yang lalu. Misi kali ini adalah eksplorasi Gua Niah, sebagai menambah koleksi gua yang pernah aku teroka sebelum ini iaitu Gua Kelam di Perlis, Gua Puteri serta gua-gua lain di Gua Gunung Runtuh di Lenggong, Perak, Gua Gelap, Gua Ikan & gua-gua yang lain di Dabong, Kelantan dan Gua Tempurung di Kampar, Perak.







Kami tiba di Taman Negara itu sekitar jam 12.30 tengahari. Kami kemudiannya berpakat untuk makan tengahari selepas meneroka gua itu dan aku menjangkakan penerokaan kami nanti hanya mengambil masa sekitar sejam lebih. Aku memakai sepasang kasut Converse tanpa stoking, seluar jeans yang sudah lama aku tidak pakai (dan sekarang aku boleh menyarung semula) dan mengenakan topi biru tua yang selalu aku pakai untuk aktiviti outdoor. “Kita tak provide guider, so you boleh masuk ke gua sesuka hati you asalkan you ikut rules kitalah”, kata kakak kaunter selepas aku bertanya mengenai guider. Selepas membayar RM10 untuk tiket ke Gua Niah, aku membayar RM5 untuk menyewa lampu suluh mengenangkan aku terlupa membawa headlamp untuk ke gua ini.







Sebelum menuju ke trek ke Gua Niah, setiap pengunjung perlu menyeberangi Sungai Niah menggunakan bot yang disediakan. Kelebaran sungai itu hanyalah kira-kira 5 ke 6 meter dan perjalanan bot ke seberang tidak sampai pun seminit, tetapi kami perlu membayar RM1 setiap seorang.

Menyeberangi sungai, bermakna trek ke Gua Niah sudah pun bermula. Selepas bergerak dari jeti, kami terlihat Muzium Arkeologi Gua Niah, tetapi muzium itu ditutup untuk proses penyelenggaraan. Kami pun mula berjalan melalui trek dan juga titi yang disediakan untuk memudahkan pengunjung ke kompleks Gua Niah. Kami melangkah semakin laju dan memintas sekeluarga Cina dan seorang mat saleh yang sudah agak berusia.







Sepuluh minit berjalan, kami masih tidak nampak ‘batang hidung’ gua. Tetapi perjalanan kami yang dinaungi dengan pokok-pokok menghijau menyebabkan keletihan kurang terasa walaupun cuaca sebenarnya agak panas. Trek atas tanah yang dibina menggunakan simen menyebabkan aksi hampir terjatuh sering terjadi memandangkan permukaan simen itu basah dan sedikit berlumut. Tambahan pula kasut yang aku pakai sememangnya tidak sesuai dipakai untuk aktiviti sebegini.




Pemandangan dikeliling kami adalah hutan, aliran anak-anak sungai dan disertai dengan bunyi burung berkicau dan juga bunyi-bunyi serangga. Seterusnya, kami mula terlihat pokok yang hidup di atas batu-batuan dan kelompok batuan-batuan unik yang tersusun-susun di celah hutan. Kami ada berlimpas dengan dua orang pemungut sarang burung yang membawa dua guni berisi sarang burung layang-layang. Kami juga banyak berselisih dengan beberapa kumpulan pengunjung yang pulang dari gua seolah-olah kami merupakan kumpulan terakhir yang meneroka gua pada hari itu.





“Look! Macam di Cambodia!”, jerit mat saleh tua pada kami. “Yup. Macam Angkor Wat”, jawab aku spontan. Rupa-rupanya ‘mat saleh’ itu sebenarnya adalah orang Melayu. Mungkin penampilannya yang berseluar pendek, membawa beg galas, berkulit cerah, berkepala botak dan berperut buncit menyebabkan kami menyangka dia adalah pengunjung dari luar negara.




Perjalanan kami diteruskan. Kali ini kami berjalan di atas titian bersebelahan dengan sebatang sungai yang agak keruh airnya. Lebih setengah jam kami berjalan dari jeti, barulah tiba di sebuah pondok yang menjadi tempat untuk beberapa wanita berketurunan Iban menjual cenderamata-cenderamata dan juga air tin. Beberapa meter dari pondok itu, barulah kami sampai ke gua yang pertama iaitu Gua Dagang.




Gua Dagang mendapat nama kerana ditempat ini iaitu sekitar tahun 1950an terdapat beberapa pondok yang menempatkan beberapa pedagang menjual sarang burung layang-layang di dalam gua itu. Kesan aktiviti itu masih kelihatan dimana terdapat beberapa tiang dan palang yang menjadi bukti kepada kegiatan masyarakat setempat suatu masa dulu.






Aku menyaksikan gua itu keseluruhannya 360 darjah. Imej tipikal sebuah gua sememangnya wujud pada gua itu seperti kewujudan struktur stalaktit dan stalagmit. Warna gua diadun dengan warna alam – hitam, perang, hijau dan sebagainya, menampilkan pemandangan yang cukup menarik. Selepas membaca papan tanda yang memberi penerangan mengenai Gua Dagang dan menikmati pemandangan disitu kami mula memanjat tangga kayu yang disediakan untuk menuju ke destinasi seterusnya.





Gua seterusnya adalah Great Cave ataupun dikenali dengan Lobang Kuala. Ketika disini kami dapat melihat ramai pengunjung dihadapan pintu gua batu kapur yang didakwa antara yang terbesar di dunia. Sememangnya gua ini bersaiz mega. Benar kata sesetengah orang yang mengatakan bahawa gua ini boleh memuatkan berbelas-belas kapal terbang Boeing 747. Great Cave terbina di dalam blok batu kapur yang luas, dan ukurannya mencapai satu kilometer panjang dari utara ke selatan dan setengah kilometer lebar.







Banyak pemandangan yang dapat disaksikan di Great Cave. Kami pada mulanya tiba disebuah tapak arkeologi yang dipagar rapi. Dari situ kami dapat melihat Gunung Subis iaitu gunung batu kapur yang berketinggian hampir 400 meter dan bertentangan dengan pintu Great Cave. Lebih kurang 100 meter dari kawasan itu, terdapat sebuah rumah yang dibina untuk pengunjung berehat dan dikatakan rumah itu pernah menjadi penginapan ahli arkeologi yang menjalankan kerja-kerja serta kajian arkeologi di kawasan itu.




Siling gua bukan sekadar penuh dengan bentuk-bentuk yang unik, tetapi terdapat kayu-kayu yang tergantung yang menjadi tangga untuk pemungut sarang burung untuk mengutip sarang-sarang burung layang-layang itu. Semestinya beribu-ribu burung layang-layang membina sarang di setiap permukaan siling gua itu dan buktinya dapat dilihat pada lantai gua yang penuh dengan najisnya serta bau tahi yang menerobos rongga hidung kami.




Jauh kedalam gua, kami dapat melihat tangga-tangga yang kelihatan kecil dan seperti mainan dan tangga itu akan membawa pengunjung ke Bukit Terayeng, sebuah bukit di dalam gua. Sebelum tiba ke anak tangga pertama ke Bukit Terayeng, pengunjung perlu berjalan di atas lantai gua yang berkawah-kawah seperti permukaan bulan.

Perjalanan kami masih berbaki. Gua Dagang dan Lobang Kuala hanya sebahagian perjalanan.




...bersambung


Nota: Gua Niah bukanlah gua terbesar di Malaysia tetapi gelaran itu dipegang oleh Gua Rusa yang juga terletak di Sarawak. Sebuah gua di Vietnam pula dikatakan sebagai gua terbesar di dunia dan gelaran itu sebelum ini dipegang oleh Gua Rusa.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...