
Fikiran Ralston mula melayang-layang. Kesan kekurangan air mula melanda dirinya. Dia sering teringatkan sebotol jus oren yang ditinggalkan di dalam pacuan empat rodanya. Dia juga mengalami delusi dan sering teringat-ingat wajah-wajah ahli keluarganya satu-persatu.
Pada hari kelima dia terperangkap di situ, ketika tiada lagi air dalam botol minumannya, Ralston merasakan hayatnya sudah tiba ke penghujungnya. Dia mengukir namanya, tarikh kelahiran dan tarikh pada hari itu pada dinding ngarai. Ralston kemudian merakam video ucapan kepada ahli keluarganya dan dia merasakan malam itu adalah malam terakhir untuk dirinya.
Namun hayatnya masih panjang. Pagi Khamis, 1 Mei 2003 itu, Ralston mendapati dirinya masih hidup. Dan dia masih terperangkap dengan tangannya terhimpit seketul batu yang besar.
Ralston merasakan keajaiban apabila nyawanya masih berada dalam tubuhnya. Keajaiban ini seolah-olah memberi isyarat padanya untuk melakukan sesuatu demi meneruskan hayatnya. Ralston akhirnya tekad untuk mengerat tangannya sendiri.
Dengan menggunakan sebilah pisau tumpul sepanjang 2 inci, dia mula menusuk pisau itu di lengannya. Dia kemudiankan mematahkan tulang tangannya dan darah meleleh keluar kesan dari kelaran itu. Torehan yang memutuskan daging dan otot dan tusukan yang berjaya memotong tulang radius dan ulna menyebabkan tangannya terputus. Ralston sudah terpisah dari perangkap itu.

Sekali lagi Ralston tergamam. Dia melangkah ke belakang dan terpaku seketika melihat sebahagian lengannya yang masih berada dicelah-celah batu besar itu. Dia kemudian melihat tangan kanannya yang sudah kudung dan darah menitis-nitis tidak berhenti. Ralston membungkus tangannya dengan beg galasnya dan berjalan terhuyung-hayang meninggalkan kawasan itu.
Ujian Ralston belum tamat lagi. Kenderaannya terletak kira-kira 13 kilometer dari kawasan itu. Dia perlu menuruni cerun bukit yang berketinggian kira-kira 20 meter dengan menggunakan sebelah tangan untuk segera tiba ke trek yang selalu dilalui oleh para pengembara.
Nasib ternyata menyebelahi Ralston. Dia terserempak dengan pengembara yang akhirnya menghubungi pihak keselamatan untuk menyelamatkan nyawanya.
Selama 127 jam Ralston terperangkap di ngarai yang terus menghantui hidupnya. Tangan kanannya terpaksa dikorbankan demi meneruskan hidup. Ralston percaya keajaiban yang diperolehi adalah peluang yang diberikan dan dia terus kekal untuk tidak berputus asa.
Kisah Ralston ditulis menerusi buku yang bertajuk
Between a Rock and a Hard Place dan diadaptasi ke sebuah filem yang bertajuk
127 Hours. Apabila ditanya oleh pihak media apakah perkara yang menyebabkan dia mengambil keputusan untuk mengerat tangannya, Aron Ralston menjawab “Apa yang terjadi ke atas saya pada masa itu adalah atas segala keputusan yang saya telah buat. Saya memilih untuk mengembara seorang diri. Saya memilih untuk tidak memberitahu sesiapa ke mana saya pergi. Dan saya juga memilih untuk tidak mengembara bersama pengembara wanita yang saya jumpa”.
Selepas pulih sepenuhnya, Ralston masih meneruskan aktiviti yang menjadi minatnya sejak kecil. Dia berjaya menawan puncak gunung tertinggi di Eropah. Namun satu pengajaran yang sentiasa dia pegang adalah untuk sentiasa memberitahu ahli keluarga ataupun rakan-rakannya ke mana saja dia pergi, kerana dia tidak sanggup berada bersama seketul batu di tempat yang sukar selama 127 jam dan kehilangan anggota badan buat kali kedua.
Nota : Sebahagian rakaman video Aron Ralston terperangkap di Blue John Canyon dapat disaksikan menerusi Youtube.