Showing posts with label CERPEN. Show all posts
Showing posts with label CERPEN. Show all posts

NATRAH - Episod II

Friday, January 28, 2011

Kerana kagum dengan perjuangan umat Islam menentang penindasan pada masa itu, aku menulis. Hari ini Islam hanya sekadar pada nama bagi segelintir umat islam, sedangkan Natrah, gadis kecil yang mentah, berjuang mempertahankan akidahnya. Hayatilah kisah ini agar menjadi pedoman buat kita.

Natrah menangis sedu sedan. Dia menangis dalam pelukan Rosewita Buang, pemberita Utusan Melayu. Dia merayu Rosewita membawanya keluar dari gereja. Natrah tidak mahu dipaksa menganut Kristian atau melutut pada patung Virgin Mary. Dia juga menangis dan hanya termenung apabila dipujuk rahib Mother St. Colomba.

“Puan, bawa saya keluar puan. Saya enggak mahu tinggal di sini lagi”, rayu Natrah. Namun Rosewita tidak boleh berbuat apa-apa. Air matanya bertakung menanti luruh. Dia insan lemah yang hanya menjalankan tugas mencari berita dan terpaksa menurut perintah mahkamah ke atas gadis seagamanya itu.

Che Aminah juga sering berkunjung ke Girls Homecraft Centre untuk bertemu Natrah dan mengirim kain telekung, baju kurung dan kain batik buat Natrah. Tetapi dia pulang dengan perasaan hampa. Dia tidak dapat bertemu Natrah dan rahib mengatakan yang segala kelengkapan untuk Natrah telah disediakan. Natrah telah diberikan baju yang sama seperti yang dipakai ibunya, Adeline.

Apabila masuk waktu sembahyang, Natrah mengambil wuduk. Kemudian dia melilit kepala dan tubuhnya dengan kain cadar katilnya untuk mendirikan solat. Dia sempat mendongak ke dinding di atas kepala katilnya yang terdapat lambang salib yang besar. Adeline hanya memerhati di muka pintu. Usai sembahyang, Natrah memanjatkan doa. Dia berdoa agar dia dapat kembali ke pangkuan Che Aminah. Dia juga berharap dapat kembali ke rumah dan merasai kemanisan bergelar isteri kepada Mansor Adabi. Dia juga berdoa agar dia diteguhkan iman.

Begitu juga dengan Mansor. Musim bulan madunya direnggut dengan pelbagai rentetan peristiwa pahit yang terpaksa dia lalui. Mansor menanti kehadiran Natrah di bilik mahkamah. Dia meninggikan lehernya untuk mencari kelibat Natrah supaya dia boleh melihat wajah isterinya itu walaupun dari jauh. Mereka juga boleh mendengar keputusan mahkamah ke atas kes yang turut melibatkan ibu mertuanya, dirinya dan juga Natrah pada hari itu. Namun dia akur. Natrah tiada.

Hari kedua untuk mendengar keputusan mahkamah, Mansor dan Che Aminah tidak dapat menghadirkan diri. Hari sebelumnya, perbicaraan terpaksa ditunda atas sebab-sebab keselamatan. Singapura bagaikan sekali lagi dilanggar todak apabila keadaan mula huru-hara. Keputusan mahkamah begitu mengejutkan. Hakim memutuskan supaya Natrah mesti dikembalikan kepada ibubapa kandungnya. Sarjan Hertogh diberikan hak dalam menentukan agama Natrah. Dan Natrah akan dibawa balik ke Belanda.

Orang-orang Melayu cukup terpukul dengan keputusan itu. Mereka pada mulanya boleh bersabar dengan keputusan mahkamah, tetapi provokasi menerusi akhbar inggeris Straits Times berhari-hari sebelum itu yang menyiarkan gambar Natrah melutut pada patung Virgin Mary menyebabkan orang Melayu berasa agama mereka dihina dan semakin hilang sabar. Maruah agama mereka seperti dipijak-pijak. Agama yang mereka junjung selama ini diperkotak-katikkan dan dianggap isu titik bengik oleh bangsa penjajah yang sememangnya dangkal hormat terhadap agama dan bangsa orang lain. Kemarahan orang Melayu sudah sampai ke kemuncak.

“Dasar penjajah! Biadap! Aku sudah bosan dengan tempoh 500 tahun dibawah telunjuk orang putih. Ayuh semua! Kita tentang demi maruah ugama dan bangsa kita!” terdengar suara sebahagian orang Melayu yang meniup semangat menentang penjajah celaka.

Dengar sahaja berita kerajaan British berpakat dengan kerajaan Belanda untuk memurtadkan Natrah, orang Melayu dan Islam bersatu hati. Mereka yang datang dari pelbagai parti politik mengetepikan perjuangan ideologi mereka dan bersatu demi menyelamatkan Natrah dan membela agama mereka.

Karim Ghani adalah antara yang tercabar dengan kebiadapan bangsa penjajah. Dia lantas melaung-laungkan semangat kepada bangsa Melayu dan Islam yang berkumpul.

“Lihatlah apa yang dilakukan penjajah. Agama kita diperlekehkan. Perlukah kita berdiam diri? Saya seru kepada semua yang seugama dengan saya di sini. Kita bawa anak-anak gadis kita seramai 1500 orang. Kita akan berarak. Kita bawa kain sejadah, Al-quran dan kain telekung. Untuk diberikan kepada Natrah. Demi akidah Natrah! Demi Islam! Demi bangsa kita! 1500! 1500! 1500!”, laung Karim dengan semangat yang berkobar-kobar.

Orang Melayu menyahut laungan itu dengan takbir bergema-gema. Takbir Allahu Akbar bergema dalam setiap lohong telinga dan menusuk ke tangkai jantung umat Islam yang ada termasuklah askar British yang semakin gerun dengan semangat perjuangan umat Melayu.

Orang Melayu dari Kelantan mengayuh basikal turun ke Singapura. Orang Melayu dari Pulau Pinang berjalan kaki ke Singapura. Orang Melayu dari Perak dan Selangor menumpang keretapi barang untuk ke Singapura pada tanggal 12 Disember 1950. Beribu orang Melayu berkumpul di Singapura pada waktu tersebut bagi membantah keputusan mahkamah. Mereka membawa sepanduk. Mereka membawa galah dan bilah kayu. Mereka melaungkan takbir. Takbir bergema dihadapan bangunan Mahkamah Tinggi Singapura. “Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Lafaz suci membesarkan Tuhan membangkit semangat orang Melayu. Mereka datang untuk membela agama tercinta mereka.

Orang Melayu diketuai oleh Karim Ghani tetapi Karim telah ditahan oleh Inspektor Taha yang berkhidmat dengan kerajaan British. Hati Karim cukup terbakar dengan tindakan Inspektor Taha. Dia terus berkata pada pegawai polis itu.

“Kau orang Islam, aku orang Islam. Aku datang hari ini bagi menyelamatkan akidah seorang anak yang menyebut kalimah “LAILAHAILLAH”! Adakah kau yang menyebut kalimah “LAILAHAILLAH” juga mahu menghalang aku? Kau halanglah. Aku akan tetap pergi!”

Mendengar kata-kata itu Taha tertunduk. Dia lantas menanggalkan uniformnya dan mencampakkan senjata yang dia pegang.

“Demi Allah, aku akan bersama kamu pada hari ini”, Inspektor Taha berteriak kuat dihadapan orang Melayu yang lain. Hati Karim menangis terharu.

Laungan Allahukabar bergema disetiap sudut. Inspektor Taha terus menyerbu masuk ke dalam mahkamah bersama yang lain. Rusuhan tercetus. Keadaan menjadi kacau bilau. Lalu askar British penjajah bangsat menembak orang-orang Melayu. Mengalir darah orang Melayu di tangga Mahkamah Tinggi Singapura. Singapura diisytiharkan darurat.

Orang Melayu hanya bersenjata galah dan kayu. Askar British bedebah melepaskan peluru senjata api bertubi-tubi. Kujur-kujur mayat pembela agama bergelimpangan. Ada yang terkorban dalam keadaan tangannya masih memegang Al-Quran. Darah para syuhada’ membasahi hadapan mahkamah yang menjadi saksi pertembungan agama Islam dan Kristian, pertembungan politik antara negara dijajah dengan penjajah dan juga pertembungan budaya timur dan barat.

Seramai 18 orang syahid, 177 orang cedera yang sebahagiannya parah. Beratus-ratus lagi umat Melayu yang beragama Islam ditahan dan dipenjarakan. Lebih 200 kereta musnah terbakar dalam tragedi itu. Pemandangan yang dapat dilihat sekitar mahkamah sangat menyayat hati. Singapura separa lumpuh.

Seluruh dunia kaget. Penjajah benar-benar terkejut. Mereka mula sedar akan keberanian dan pengorbanan orang Melayu membela agama dan bangsa. Umat Melayu terus bersatu dan perjuangan itu sudah pasti melorong mereka bagi membuktikan kekuatan tauhid mereka mempertahankan agama. Biarlah mereka mati dalam panji keteguhan Islam daripada mati dalam ketundukan kepada kebobrokan dan kehancuran agama yang dipermain-mainkan oleh penjajah keparat.


***********
Maria memandang ke luar tingkap kapal terbang melihat awan gemawan persih ketika dia dalam penerbangan ke Malaysia. Dia ditemani suaminya, Ben Pichel yang merupakan seorang lelaki Indonesia. Turut bersama wanita Belanda 61 tahun itu ialah dua orang wartawan yang juga orang Belanda. Maria ingin kembali ke Kemaman, pekan yang pernah menjadi saksi kepada kasih sayangnya bersama Che Aminah.

Dia mengingati kembali saat-saat dia terpaksa meninggalkan Tanah Melayu yang ketika itu belum lagi bergelar Malaysia kira-kira 48 tahun yang lalu. Memorinya masih segar walaupun usianya sudah melebihi separuh abad. Dia adalah Natrah yang menjadi punca rusuhan yang mengorbankan beberapa nyawa dek undang-undang sivil British yang memaksa dia kembali ke agama ibubapa kandungnya.

Ketika itu dia masih naïf. Namun dia telah menjadi punca kepada penyatuan ummah dan menjadi titik tolak dalam penggubalan undang-undang Islam yang diangkat menjadi rujukan utama dalam urusan berkaitan umat islam tanah air.

Maria masih ingat lagi ibunya Adeline mengarahkannya bersiap-siap meninggalkan Singapura tanggal 13 disember 1950.

“Ayuh Maria. Jangan tunggu lagi. Mobil sudah menanti. Kita akan terbang malam ini”

“Mau kemana? Aku enggak mau. Aku mau tinggal di sini”

“Kamu mahu lihat ibu mati? Di luar sana sudah huru-hara, Maria. Tolong Maria. Ibu bener-bener gusar. Bagaimana sih kesudahannya kalau kita terus di sini. Kamu anak ibu, Maria. Ibu yang kandungkan kamu! Bukan Che Aminah”, tegas Adeline.

Natrah tertekan. Dia serba salah. Wajah ibunya merah padam sambil matanya berkaca-kaca menahan resah. Tangan Natrah direntap Adeline dan dia terus membawa gadis mentah itu berlari-lari anak ke kereta yang menanti di depan Girl Homecraft Centre.

Kereta itu terus membawa mereka ke Lapangan Terbang Kallang, Singapura. Kapal terbang KLM membawa mereka terbang terus ke Belanda. Dalam perut kapal terbang, pipi Natrah basah dengan air mata. Dia terpaksa meninggalkan daerah nusantara yang menjadi tempat kelahirannya, tempat dia menemui kasih sayang dan juga cinta. Perasaannya berbagi-bagi. Dia marah kerana dipaksa. Dia sedih kerana terpaksa. Dia gusar kerana dipaksa dan terpaksa.

Tanggal 15 Disember 1950, Natrah dan Adeline tiba di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, Belanda. Dia disambut sorak-sorai kira-kira 4000 Kristian Belanda yang bersorak selamat datang dan membawa sepanduk ‘Welcome Back, Bertha’. Natrah ternyata canggung.

Natrah dibawa pulang ke rumahnya di Bergen Op Zoom. Dia dikawal ketat oleh polis tempatan. Suhu dingin musim sejuk benua Eropah mengigit sampai ke tulang hitam Natrah. Namun di sebalik kedinginan bumi Belanda, hatinya masih hangat dengan cinta dan kasihnya pada Mansor Adabi dan juga Che Aminah. Natrah tidak mudah melupakan agamanya. Dia pernah bertanya dimanakah masjid di Bergen Op Zoom. Dia juga meminta tikar sejadah, bertanyakan arah kiblat dan tidak lupa menunaikan solat lima kali sehari semalam.

Musim di Belanda berganti-ganti. Bunga tulip kembali mekar di ladang bunga diikuti panas mentari menyinari kincir-kincir angin yang berputar lesu dan akhirnya menyaksikan daun-daun kering luruh di kota Bergen Op Zoom. Tetapi cinta Mansor tidak terganti. Dia tetap mencintai Natrah. Dia mengirim warkah demi warkah buat Natrah sepanjang perpisahan mereka yang berlanjutan hampir 3 tahun.

Sehinggalah pada tahun 1953, Mansor menerima surat pertama daripada Natrah. Mansor membaca patah demi patah perkataan yang ditulis Natrah dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dadanya berdebar-debar. Isi kandungan surat itu membuatkan hatinya bagaikan kaca dihempas ke batu. Natrah telah menjadi Kristian Katholik. Dia kembali menggunakan nama asalnya, Maria Huberdina Bertha Hertogh. Dia juga meminta agar Mansor berhenti mengirim surat padanya.

Natrah sebenarnya tidak pernah berhenti mencintai lelaki bernama Mansor Adabi. Hatinya bagai dicarik-carik apabila mendapat tahu Mansor Adabi mengahwini anak murid Mansor pada tahun 1954.

Natrah juga sebenarnya keliru. Dia menerima tekanan yang hebat yang memaksanya menganut Kristian. Jiwanya sengsara menyebabkan dia sesat dan tersongsang dari agama fitrah. Natrah terus menangis sepanjang hidupnya.




**********

Ramadhan terakhir pada tahun 1998, Maria tiba di pekan Kemaman. Dia bertanyakan rumah Kamariah pada seorang posmen. Posmen itu pantas mengecam gambar wajah Kamariah yang difotostat dan menunjukkan arah ke rumah Kamariah Binti Mat Dahan. Kamariah wanita berketurunan Jepun itu masih tinggal di Terengganu. Dia membesarkan Rokayah dan anak-anak yang lain bersama suaminya Haji Yusuff yang membuka pintu dan mempelawa Natrah, Ben dan dua orang wartawan Belanda masuk ke rumahnya ketika sana-sini bergema takbir raya.

Keesokkan harinya, suasana cukup meriah. Aidilfitri disambut seluruh umat Islam di Kemaman. Maria mengenakan baju kurung serta bertudung.

“Kamariah, boleh bawa saya ke kubur Che Aminah?”, pinta Maria fasih berbahasa Melayu.

Kamariah tidak menolak. Mereka tahu hadirnya wanita Belanda itu semestinya merupakan tautan semula antara jiwa yang masih hidup dengan jiwa yang sudah pergi tetapi masih hidup dihati Maria. Wanita itu bukan yang ada-ada kerana dialah Natrah yang menjadi pencetus kepada Rusuhan Natrah pada tahun 1950.

Setibanya di kawasan tanah perkuburan, Maria teramat sayu. Pohon nyiur meliuk lentuk di tanah perkuburan itu mengingatkan zaman indah waktu kecilnya. Dia memegang tangan Kamariah, teman sepermainannya suatu ketika dahulu. Dia kemudian berjongkok dihadapan pusara Che Aminah. Hatinya sebak. Dia mungkin tidak membacakan Al-Fatihah buat Che Aminah tetapi amalan Islam seperti berpakaian sopan di tanah perkuburan dan menjirus air di pusara itu menunjukkan betapa hormatnya Maria pada agama itu. Sebelum berlalu dia sempat memegang batu nisan pusara Che Aminah dan dia lantas terbayang kenangannya bermesra bersama Che Aminah yang penyayang dan baik hati.

“Ini wang dollar. Tidaklah banyak. Tapi mungkin boleh buat belanja untuk kenduri tahlil Che Aminah”, kata Maria kepada Kamariah.



*********
Julai 2009, Natrah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Huijbergen, Belanda. 72 tahun usia hayatnya, tetapi jarang bermusim bahagia. Sepanjang hidupnya dia pernah mengalami sakit jiwa, merancang membunuh suami keduanya, ditahan pihak polis, diserang sakit jantung dan hidup berpindah randah sehingga bekerja sebagai tukang masak dan pengemas bilik motel di Amerika Syarikat.

Namun zaman sewaktu kecil jualah detik-detik yang paling membahagiakan dalam fragmen hidupnya. Natrah pernah menerima limpahan kasih sayang yang tidak berbelah bagi daripada Che Aminah sebelum dipisahkan dalam keterpaksaan. Natrah juga pernah menyambut cinta Mansor Adabi yang kisahnya berakhir dengan tragedi yang memilukan. Dan Natrah sempat mengecapi nikmat bergelar muslim, menghayati keindahan agama syumul itu sebelum dia menjadi teladan sejarah dan hidup dalam kerundungan malang jiwa dan raga.



Nota : Dialog dan gambaran latar cerita 'Natrah' dalam blog ini adalah imaginasi sagahayat dan diolah suai tanpa menjejaskan fakta yang sebenar tentang kes tragedi Natrah.

Rujukan : 'Natrah' dalam blog ini ditulis berdasarkan fakta daripada wikipedia (yang bersumberkan majalah Dewan Masyarakat, April 1989 serta buku Natrah : Cinta, Rusuhan, Airmata oleh Datin Fatini Yaacob) serta fakta rujukan daripada majalah Al-Islam, September 2009 dan juga akhbar Kosmo! artikel yang bertajuk 'Tragedi Natrah'.

NATRAH - Episod I

Thursday, January 27, 2011

Sebuah tragedi yang menjadi kisah untuk pedoman seluruh umat Islam tanah air.

Natrah cukup bahagia. Angin Laut China Selatan menerpa wajahnya yang putih melepak, yang tidak sama dengan warna kulit sawo matang kebanyakan penduduk Kampung Banggol di Kemaman, Terengganu. Natrah leka meratah keropok lekor yang digoreng oleh ibu angkatnya, Che Aminah. Dia melihat pohon nyiur tinggi menjulang meliuk lentuk ditiup bayu bagaikan menari sepertimana hatinya yang menari di atas pentas kehidupannya yang penuh dengan nikmat kasih sayang bersama Che Aminah. Hari-harinya dipenuhi dengan warna-warni bahagia kehidupan seorang kanak-kanak bersama Kamariah, seorang budak jepun yang juga diambil Che Aminah sebagai anak angkatnya.

Natrah dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh Che Aminah dalam suasana kampung melayu dan kehidupan masyarakat Islam. Dia diislamkan dan diajar mengaji serta diasuh dengan ilmu fardhu ain yang disyariatkan keatas setiap muslim. Natrah tidak kekok. Dia cepat belajar. Kain batik dan baju kurung pahang sudah menjadi sebahagian dalam hidupnya. Dia juga berjaya khatam Al-quran sebanyak dua kali.

Dahulu dia di Tanah Jawa. Kesulitan hidup keluarga kandungnya menyebabkan dia terpaksa meranduk risiko meninggalkan Tanah Jawa menuju ke Tanah Melayu demi kelangsungan hidupnya bersama Che Aminah. Ketika dia dibawa ke tanah melayu melalui Singapura, tubuhnya dilumur dengan arang bagi mengabui mata tentera jepun dan orang jawa yang terlalu benci terhadap bangsa kulit putih. Che Aminah terpaksa. Jika tidak, mungkin Natrah akan diapa-apakan.

Che Aminah ke Tanah Jawa untuk berniaga. Dia adalah saudagar berlian dan kain batik. Walakin bumi nusantara dijarah penjajah, ia tidak sedikit pun memendekkan langkah Che Aminah untuk melebarkan kawasan perniagaannya. Dia sememangnya sudah terlalu biasa berkelana ke macam-macam tempat.

Di situlah, di Tjimahi, Indonesia, dia hidup berjiran dengan sebuah keluarga tentera belanda. Hubunganya sangat baik dengan isteri tentera itu iaitu Adeline. Dia juga berkawan rapat dengan ibu Adeline iaitu, Nur Louise. Suatu hari Adeline terdesak. Dia terpaksa menyerahkan anak perempuannya yang pada ketika itu berusia 5 tahun bernama Maria Huberdina Bertha Hertogh kepada Che Aminah.

“Aminah, aku bener-bener dalam kesulitan. Aku mohon agar kamu bisa jaga Maria agar beban aku dapat dikurangin. Anggap aja Maria anak kamu sendiri”.

Che Aminah tidak menolak. Dia tahu wanita belanda itu benar-benar dalam kesusahan. Suami Adeline, Sarjan Adrianus Petrus Hertogh ditangkap tentera jepun sejurus angkatan laskar itu mendarat di bumi jawa. Tambahan pula ketika itu orang jawa sangat membenci orang putih seperti keluarga tentera belanda itu.

Sewaktu Sarjan Hertogh dibicarakan di mahkamah tentera jepun, Che Aminah yang simpati dengan nasib Adeline secara sukarela menjadi jurubahasa kepada tentera belanda itu. Dia cukup fasih berbahasa jepun lantaran dia pernah menetap di negara matahari terbit itu selama 12 tahun kerana mengikut suaminya yang menjadi jurubahasa di negara itu. Namun, usai perbicaraan Sarjan hertogh masih kekal dibalik tirai besi.

Hayat Sarjan Hertogh tidak berakhir di dalam bui tahanannya. Dia dibebaskan apabila tentera jepun mengundurkan diri selepas Hiroshima dan Nagasaki menerima ledakan bom atom daripada tentera Amerika Syarikat. Bermula dari itu, dia mula menjejaki anak-anaknya terutama Maria yang dia sendiri tidak tahu entah di mana. Usahanya menemui jalan hampa. Dia dan Adeline kembali ke negara kincir angin tanpa Maria. Namun dia tidak berhenti. Dia meminta usaha mencari Maria diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda di tanah melayu dan tanah jawa.

Maria itu adalah Natrah. Che Aminah menukar namanya kepada Nadrah ataupun Natrah. Adeline sendiri sebenarnya pernah menulis surat kepada Che Aminah yang isi kandungannya adalah untuk membenarkan Natrah dijaga mengikut adat dan budaya Che Aminah. Dialah gadis sunti yang cuba dijejak oleh bapanya sendiri iaitu Sarjan Hertogh.

***********

Natrah termenung mengenang nasibnya. Renungannya jauh ke antah-berantah. Dia duduk dihujung katil sambil matanya menyorot pada pemandangan yang terbatas di Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura. Ibunya mendekati.

“Maria, Belanda itu dingin. Enggak macam tempat ini. Bila musim bunga, cukup cantik sekali. Di sana ada bunga tulip”

Natrah menjeling sambil menjawab, “Natrah! Udah berapa kali saya bilang! Panggil saya Natrah! Kenapa ibu kembali? Saya udah baik aja tinggal sama mama saya disini!”.

Adeline terdiam. Dia berlalu meninggalkan Natrah yang masing sangsi dengan nasibnya. Natrah duduk berteleku sambil terkenang-kenang saat bahagianya yang direntap semenjak kehadiran ibubapa kandungnya yang menuntut hak penjagaannya dari Che Aminah.

Suatu masa dahulu, Natrah bebas mengikut mamanya ke mana saja. Sehinggalah dia dikesan di Chukai dan kemudian dengan muslihat bapanya sendiri dia ke Singapura bersama Che Aminah. Di Singapura, Che Aminah menerima telegram dari Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Singapura supaya Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Singapura.

“Nar usah khuatir. Mama akan sedaya upaya keluarkan Nar dari tempat ini. Tapi Nar jangan lupa mama. Jangan tinggal solat”, kata Che Aminah.

“Baik ma! Nar kangen banget sama Mama. Mama jangan lupa bekalin keropok lekor untuk Nar nanti ya. Nar bosan disini. Nar enggak bisa bicara inggeris dengan gadis-gadis lain di sini. Sebab itu ma mesti keluarkan Nar segera. Tolong ya ma”, rengek si Natrah.

Che Aminah terus memujuk. “Begini aja. Nanti anak Mak Cik Wok, si Mansor boleh ajar Nar bahasa inggeris. Nanti Nar boleh berbual dengan gadis-gadis itu”

“Maksud mama, Nar lama lagi tinggal disini?”, soal Natrah lagi.

Che Aminah tersenyum. Dia tidak menjawab soalan itu. Dalam hatinya bergelora melihat anak angkat kesayangan yang terpaksa berpisah dengan dirinya. Dia hanya menangis selepas wajah Natrah tiada lagi pada pandangan matanya.

“Please take care of my child, Mr. Hugh”, rayu Che Aminah pada penyelia asrama itu.

Che Aminah tidak berlengah. Dia terus ke pejabat peguam S.C. Goho & Company dalam usahanya untuk mengemukakan rayuan pada mahkamah agar Natrah dapat kembali ke pangkuannya dengan segera. Di sana dia bertemu dengan peguambela Encik Ahmad Ibrahim.

“Jangan bimbang hal belanja guaman. Saya akan tanggung kesemuanya”, janji Che Aminah pada Ahmad.

Berkat kesabarannya, rayuannya dipertimbangkan mahkamah. Dia menerima berita gembira. Gembira Che Aminah bukan kepalang. Natrah akhirnya kembali ke pangkuannya. Dia menjamu tetamu-tetamu yang berkunjung ke rumahnya dengan pelbagai makanan sempena kepulangan Natrah. Dia juga menghadiahkan songket tenunan Terengganu pada setiap tetamu yang hadir.

Namun, panas tidak sampai ke petang. Khabar angin bertebaran luas mengatakan Natrah akan diarahkan untuk kembali ke pangkuan keluarga kandungnya. Che Aminah tidak senang duduk. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Akhirnya Mak Cik Wok dan Che Aminah duduk semeja. Mereka turut memanggil Mansor Adabi, anak kepada Mak Cik Wok dan juga Natrah untuk turut sama.

“Mek nampak Mansor macam suko sama Natrah. Apa kata kalau kito bince bab munakahad”, Ibu Mansor membuka cerita. Mansor tersenyum. Natrah malu tersipu-sipu.

“Oghe ghoyak kalau diam maknanyo setuju”, kata Mak Cik Wok sambil menepuk perlahan paha Che Aminah seolah-seolah memberi petanda kata sepakat telah dicapai. Cinta mereka direstui. Hubungannya bermula apabila Natrah diajar Bahasa Inggeris oleh Cikgu Mansor sepanjang Natrah menginap di Girl Homecraft Centre. Mansor jatuh cinta pandang pertama pada Natrah. Begitu juga dengan Natrah yang jantung hatinya tertusuk busur panah asmara pemuda melayu itu.

Mereka disatukan secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor, di Seranggoon Road, Singapura. Berita pernikahan Mansor dan Natrah cepat sampai ke telinga ramai orang. Ketika itu usia Natrah baru sahaja 13 tahun. Manakala Mansor sudah mencecah usia 22 tahun. Pernikahan yang disifatkan dibawah umur itu mendapat liputan yang terlalu luas sehingga membangkitkan perasaan tidak puas hati kerajaan Belanda.

Wartawan mula mendekati Mansor untuk mendapatkan berita. “Cukup! Saya tidak mahu berkata apa-apa. Cerita dari mulut saya diputar belit. Saya pula dituduh fidofilia. Saya menikahi Natrah secara sah”, terang Mansor.

Ahmad Ibrahim menyelak lembaran akhbar Nadi Melayu. Pojok hadapannya adalah berita pernikahan Natrah dan Mansor Adabi. Dia agak terkejut. Langkahnya semakin laju menuju pejabat guamnya.

“Kenapa Che Aminah tak rujuk dengan kita dulu. Ini Singapura. Tanah jajahan British. Sudah pasti kita makin susah. Sini ada Common Law. Lainlah kalau nikah di Terengganu”, getus Ahmad Ibrahim.

Rakan-rakan guamannya mengangguk-angguk kecil. Kes Natrah dijangkakan menjadi semakin sulit. Tambah-tambah apabila Natrah, gadis berketurunan Belanda bernikah pada usia yang cukup muda iaitu 13 tahun. Sudah pasti ia menjadi isu besar di mahkamah.

Di sebuah pejabat parti politik, isu Natrah turut dibincangkan. “Mak bapak kita semua kahwin di usia muda. Apabila sampai akil baligh, bolehlah seseorang muslim itu bernikah”, terang Burhanuddin Helmi.

“Benar. Dalam undang-undang syariah Islam, perempuan yang umurnya 13 tahun dibenarkan berkahwin sebagaimana isteri Nabi Muhammad, Siti Aisyah. Kita mesti bantu Puan Aminah kumpul dana khidmat guamannya. Kita mesti bebaskan Natrah. Orang putih sangat dungu dalam hal sebegini”, tambah Karim Ghani dengan penuh semangat.

Seperti yang dijangka, kes Natrah kembali diheret ke mahkamah.



bersambung....

Nota : Dialog dan gambaran latar cerita 'Natrah' dalam blog ini adalah imaginasi sagahayat dan diolah suai tanpa menjejaskan fakta yang sebenar tentang kes tragedi Natrah.

RAYA YANG SEMPURNA

Wednesday, August 25, 2010

Sebuah cerpen sempena Ramadhan & Syawal yang bakal menjelma.
Piah mengoyakkan daun tingkap rumahnya. Cahaya matahari di ufuk timur terus menerangi ruang tamu rumah Piah. Disisipnya langsir jarang bewarna biru ke birai tingkap. Piah mendongak ke langit melihat kelompok awan-awan persih di pagi hari. Wanita separuh abad itu kemudiannya menguis-nguis bubuk asai yang sudah lama bersarang dibingkai tingkapnya. Bubuk asai itu berselerak di lantai rumah Piah. Piah kemudiannya menyapu ruang tamu rumahnya yang berlantaikan kayu. Sebahagian habuk, debu dan bubuk jatuh ke bawah rumah melalui liang antara papan lantai rumah Piah yang renggang dan hanya dihampar dengan tikar getah yang koyak mengikut susunan papan lantai.

Dia berhenti seketika. Dia memerhatikan segenap sudut ruang tamunya itu. Kerusi rotannya sudah uzur menanti rebah. Langsirnya sudah tiga tahun tidak berganti. Tikar getah pula bersetai-setai. Baru malam tadi Piah menyuarakan permintaannya pada Jabar untuk membeli kerusi baru. Bab tikar getah, tak mengapalah. Mungkin boleh disembunyikan rupa buruk lantai rumahnya itu dengan permaidani yang baru diberi Bainun, adiknya minggu lepas. Tetapi kerusi rotan itu sudah terlalu usang. Sudah berapa kali Piah memakunya dan diikat dengan wayar berpilin hitam dan merah. Piah berasa malu dengan perabot usang itu yang baginya layak dicampak ke tapak pelupusan sampah.

Piah menghela nafas panjang. Dia menyambung kerjanya yang tertunda dek angan-angan mahu berkerusi baru. Jijah, jirannya baru saja beli set kerusi baru secara ansuran di kedai cina Lee. Sambil menyapu lantai dia mula terfikir. Suami Jijah hanyalah seorang jaga. Tapi mampu beli perabot baru. Padahal Jabar kerja jaga juga. Cuma kilang saja yang berbeza. Piah lihat Jijah cukup gembira berkerusi baru tempoh hari. Saat Piah menjenguk jirannya itu, Jijah girang menyarungkan sarung kusyen baldu warna merah terang sama seperti warna hati Jijah.

Ketika Piah masih mengelamun, Jabar baru saja tiba di tempat kerja. Dia meletakkan motorsikal Honda C70nya betul-betul di sebelah pondok pengawalnya. Jabar sempat berbual dengan rakan sekerjanya yang hendak pulang ke rumah selepas tamat sesi kerja. Jabal kemudian memperlahankan kelajuan kipas dinding dan membuka lembaran surat khabar yang dibelinya pagi tadi. Utusan Malaysia hari itu disertakan bersama katalog perabot. Jabar serta-merta teringat kata-kata Piah mahukan kerusi baru apabila terlihat katalog itu.

Menjelang tengahari barulah beberapa orang pekerja kilang datang bertandang ke pondok pengawal Jabar. Mereka selalu berbual-bual dengan Jabar. “Puasa tak hari ni cik? Kitorang tak puasa”, tegur Wafi sambil disambut gelak tawa kawan-kawannya. Jabar hanya tersenyum sambil menghulurkan surat khabar pada Wafi. Sepanjang Ramadhan Wafi lebih suka duduk di pondok pengawal berbual-bual dan membaca surat khabar sementara menanti waktu zuhur. Sambil berbual dan membaca surat khabar, budak lepasan SPM itu melukis bulatan pada beberapa gambar perabot pilihannya pada katalog perabot dengan pen marker. “Raya ni kilang kita bagi bonus. Aku nak beli tiga-tiga perabot ni”, kata Wafi sambil menudungkan mata pen itu. Kawan-kawannya ketawa lagi. Katalog perabot yang disisipkan bersama surat khabar milik Jabar itu diletakkan kembali dicelah lembaran surat khabar itu dan dimasukkan ke dalam raga motorsikal Jabar.

Jam sudah menjengah 5 petang. Jabar sudah siap sedia untuk pulang ke rumah. Sejam kemudian dia tiba di rumah disambut isterinya, Piah. “Abang nak rehat dulu. Ni surat khabar kalau Piah nak baca”. Piah cukup faham suaminya yang ingin berbaring sebentar sementara menanti waktu berbuka. Piah meletakkan surat khabar itu ke atas meja dan sekonyong-konyong katalog perabot yang terselit dicelah surat khabar itu melayang. Piah mengutipnya di atas lantai, melihat helaian itu dengan dua matanya dan lantas mulutnya tercoret senyuman melihat kertas katalog perabot yang telah diconteng itu. Dia cukup gembira Jabar memahaminya yang mahukan set kerusi baru. Tambahan pula, dia cukup berkenan dengan ketiga-tiga contoh gambar model perabot yang dibulatkan dengan pen itu.

Hatinya berbunga riang. Piah laju-laju menyuruh anak bongsunya membeli kuih-muih dan pecal sebagai juadah sampingan berbuka puasa. Jarang sekali Piah berbelanja untuk berbuka puasa. Selalunya ala kadar sahaja. Tetapi hari itu istimewa. Esok atau lusa kerusi rotan lapuknya berganti set kerusi yang baru sama seperti dalam katalog perabot itu. Ruang tamu Piah pasti sama naik seri macam ruang tamu rumah Jijah. Biarlah dia berbelanja sedikit duit pemberian anaknya Kadir sebagai tanda terima kasih pada Jabar.

Keesokan harinya Jabar bersiap-siap hendak ke tempat kerja. Dia sempat pesan pada Piah. “Kalau ada lori cina Lee datang nanti Piah layanlah ye. Abang dah bayar semua dah. Abang pergi kerja dulu”. Piah menyalam dan mengucup tangan Jabar dan melambainya. Piah terus memanggil anak gadisnya, Siti dan menunjukkan katalog perabot semalam. “Abah kau beli perabot baru. Tapi mak lupa pula nak tanya yang mana satu antara tiga ni. Jom kita angkat kerusi rotan ni ke bawah rumah. Nanti senang kita nak aturkan perabot baru nanti”. Dua beranak itu ketawa. Pagi itu tidak sama seperti pagi ketika Piah berangan-angan mahukan perabot baru. Impian Piah hampir menjadi kenyataan.

Menjelang pukul 11 pagi sebuah lori tiba di halaman berdebu rumah mereka. Piah segera menjenguk di tingkap rumah. Cina Lee memberhentikan lorinya betul-betul dihadapan tangga rumah Piah. Dia mengarahkan kulinya mengangkat segulung tikar getah ke atas rumah Piah. Tetapi perabot didalam lori tidak pula diturunkan. Piah terasa hairan. Lantas dia bertanya pada cina Lee. “Takkan tikar getah je Lee. Mana set kerusi? Kan semalam abang Jabar dah beli kerusi yang ni”, tanya Piah sambil menunjukkan katalog itu. Cina itu mengesat peluh dimuka dengan kolar bajunya sambil berkata, “mana ada maa. Tikar getah saja. Pelabot atas loli untuk lumah lain lor”. Pelat cinanya pekat. Tapi butir katanya cukup untuk membuatkan Piah faham.

“Takpelah mak. Mungkin abah beli perabot tu kat kedai lain kot. Lagipun katalog tu bukan katalog kedai cina Lee. Tapi Court Mammoth. Kita tunggu dulu la atau kita tanya abah nanti”, Siti memujuk ibunya. Hati Piah terpujuk. Tapi dia masih berharap kerusi baru bakal memenuhi ruang kosong ruang tamunya. Biarlah raya kali ini meriah sedikit.

Tikar getah baru bercorak jubin itu Siti bentang. Warna hijau cair tikar getah cukup padan dengan permaidani yang diberi makcik Bainunnya tempoh hari.

Sehingga Jabar kembali dari tempat kerja, tiada lori kedua yang singgah di rumah Piah. Akhirnya Piah bertanya apabila Jabar muncul di muka pintu. “Abang beli set kerusi kat kedai lain ke? Sebab si Lee tadi hantar tikar getar je”. Lama juga Jabar terdiam. Kemudian dia menjawab, “Semalam abang tak beli kerusi pun. Tikar getah tu pun abang bayar ansuran”. Piah mengambil katalog dan bertanya lagi, “Tapi Piah tengok abang bulatkan gambar perabot-perabot ni?”. Secara lembut Piah bertanya minta kepastian.“Ini semua kerja budak-budak kilang ni, bukannya abang”, jawab Jabar sambil meneliti katalog yang ditunjuk Piah.

Piah akhirnya faham. Piah tahu Jabar tak cukup duit. Baru Piah ingat Jabar perlu memberi sebahagian gaji bulanannya pada adiknya, Kasim yang terlantar sakit di hospital. Piah tahu Jabar tidak boleh berbelanja sebarangan. Dan Piah cukup kenal bahawa si Jabar bukan jenis bersultan di mata beraja di hati. Susah macam manapun Jabar pasti memenangi hati Piah. Sebab itu bila Jabar tak mampu beli kerusi dia belikan Piah tikar getah.

Tetapi Piah tetap kecewa kerana hasratnya mahu berkerusi baru tidak kesampaian. Petang itu juga dia menyuruh Siti , Kadir dan anak bongsunya, Ajak menyusun semula kerusi rotan usang dan lapuk itu di ruang tamu. Petang itu Piah tidak banyak bercakap. Piah makan hati berulam jantung. Selepas solat tarawih di masjid dia terus berbaring diatas katil. Matanya menyorot pada bumbung rumahnya yang tidak bersiling.

Lebaran bakal menjelma 10 hari lagi. Piah akhirnya menerima kenyataan. Mungkin bukan tahun ini rezekinya mahu melihat kerusi baru di ruang tamunya. Piah juga berdoa agar rayanya kali ini lebih bermakna walaupun tanpa kerusi baru kerana Piah masih dapat beraya bersama Jabar, Kadir, Siti dan Ajak. Untuk itu Piah membaiki kerusi rotan usang itu. Piah menyuruh Kadir memaku tupai-tupai pada kerusi untuk menyangga kerusi. Kadir juga melilit setiap pertemuan rotan dengan wayar dengan lebih ketat lagi. Piah sama membantu.

Petang itu Dibah Debab anak Tok Penghulu datang berbual-bual dengan Siti. Mereka rancak bercerita pasal Dhamiri, cucu Tok Ngah Abas yang rupa parasnya persis pelakon hindi. Mereka ketawa terkekek-kekek. Sambil itu, Kadir menjeling-jeling dengan wajah mencuka kerana tidak suka dengan perangai gedik Dibah Debab. Tambah-tambah bunyi Dibab Debab dan Siti ketawa cukup mengganggu konsentrasinya menonton rancangan Dekoraya di hujung ruang tamu.

Dek kerana terlalu kuat ketawa, dengan tak semena-mena kerusi rotan yang diduduk Dibah Debab patah dua. Ketawa terhenti. Kadir bingkas bangun sambil menyeringai. “Kurang ajar! Baru pagi tadi aku betulkan kerusi tu, gemuk!”. Kadir berlalu. Tapi Dibah Debab tak pernah ambil hati sebab dia tahu Kadir memang bencikannya. Dibah Debab bangun sambil dibantu Siti tapi mereka masih ketawa kecil mengenangkan apa yang berlaku. Piah bergegas datang dari dapur apabila terdengar bunyi macam kayu patah. Piah menutup mulutnya dengan tangan apabila melihat kerusi rotannya patah dua. Dia berpura-pura ketawa walaupun dalam hatinya hanya tuhan yang tahu. Kerusi rotan itu tidak mungkin dapat dibaiki lagi.

Dibah Debab minta maaf pada Siti dan Piah. Sebelum pulang, ekor mata gadis bertubuh besar itu sempat memandang Kadir yang sedang bermasam muka di beranda rumah.

Piah biarkan saja kerusi itu di dalam rumah. Kadir bercekak pinggang melihat kerusi rotan rumahnya ranap dipatahkan gadis yang tidak disukainya itu. Siti memegang bahu ibunya seraya mengajak ibunya menyiapkan juadah berbuka.

Selepas tarawih di masjid Piah sempat mendengar tazkirah ringkas Ustaz Zawawi. Ustaz Zawawi berceramah tentang erti raya yang sebenar. “Kalau kita sebut raya mesti semua nak baru.Kasut barulah, baju barulah, langsir baru, karpet baru. Pendek kata semua nak baru. Kononnya barulah raya tu sempurna”. Ustaz Zawawi menambah lagi, “Tapi kita selalu lupa raya ni untuk meraikan kemenangan kita sebab dapat menyempurnakan Ramadhan. Puasa kita, tarawih kita, zikir kita, amalan kita. Semuanya kita boleh dapat menjelang Syawal. Barulah raya itu sempurna. Jadi, marilah kita sama-sama tingkatkan amalan dan berdoalah, sebab doa pada bulan Ramadhan adalah yang paling makbul”! Piah mengangguk kecil sambil tersenyum. Sepanjang Ramadhan, puasanya tidak pernah tinggal, tarawihnya lengkap 20 beserta witir dan dia berkira-kira untuk menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhannya. Tazkirah Ustaz Zawawi tadi memberi Piah semangat untuk melupakan hasrat berkerusi baru dan memperbanyakkan amalannya sepanjang Ramadhan.

Ramadhan berbaki dua hari lagi. Piah dan Siti sibuk membersihkan rumah. Kerusi yang patah disimpan di belakang rumah. Kerusi yang masih boleh dipakai Kadir susun elok-elok walaupun sudah berpaku sana-sini. Awal-awal lagi Kadir sudah memberi amaran pada Ajak supaya jangan sesekali berani melompat-lompat di atas kerusi rotan itu. Langsir jarang bewarna biru Piah pasang semula setelah siap dibasuh. Permaidani pemberian Bainun, Siti hampar di atas tikar getah hijau yang masih belum hilang baunya.

Dari kejauhan Piah nampak ada lori besar membelok ke simpang rumah Piah. Ajak menjerit-jerit memanggil ibunya. Piah menuruni anak tangga diekori Siti. Di belakang lori itu adalah kereta kancil milik Dibah Debab. Berpeluh-peluh Dibah Debab keluar dari kereta dan kemudian berlari-lari anak mendapatkan Siti dan Piah di hujung tangga.

“Siti, kau ingat tak hari masa aku patahkan kerusi kau hari tu? Masa tu aku sempat hantar SMS peraduan Dekoraya. Alah....takkan kau tak ingat. Masa tu aku tengok rancangan yang Kadir pasang kat tv. Aku saja-saja try SMS. Tak sangka pulak aku menang!”, tercungap-cungap Dibah Debab menerangkan.

“Habis tu?”, tanya Siti minta penjelasan. “Aku nak hadiahkan hadiah yang aku menang ni pada keluarga kau. Yelah..kan aku dah patahkan kerusi kau hari tu. Kira hadiah hari raya la ni”, sambung anak Tok Penghulu kampung itu sambil mengipas-ngipas mukanya dengan tangan.

Sofa badak berjenama terkenal diangkut ke dalam rumah Piah. Langsir jarang Piah berganti langsir polos jenis kain mahal. Meja sudut baru dihias bunga tulip yang disusun sebegitu saja. Almari sudut yang baru dipasang pemegangnya dihias cantik-cantik dengan koleksi pingat Kadir dan gelas-gelas tempat bunga telur kenduri kahwin. Replika hiasan sudu dan garfu kayu yang tergantung di dinding rumah Piah selama ini berganti gambar lukisan abstrak yang Piah sendiri tidak tahu apa maksudnya.

Hampir satu jam pekerja-pekerja syarikat itu mengemas rumah Piah. Piah menghidangkan air sirap pada cina-cina yang menyiapkan ruang tamu rumah Piah itu. Piah sangat berpuas hati. Hatinya riang seperti ada kanak-kanak bermain bunga api di dalamnya. Siti tersenyum sambil melentokkan kepalanya pada bahu Dibah Debab. Gadis manis itu berterima kasih pada Dibah Debab kerana menjadikan rayanya cukup bermakna kali ini. Kadir sempat tersenyum pada Dibah Debab yang telah menggembirakan hati ibunya.

Sewaktu Piah gembira bukan kepalang, Jabar tiada di rumah. Dia sedang bekerja dan selepas waktu kerja dia terus ke majlis berbuka puasa anjuran kilangnya. Jabar tiba di rumah sewaktu Piah masih bertelekung dan baru melabuhkan punggungnya di anak tangga sesudah pulang solat tarawih di masjid. “Piah, tadi masa berbuka puasa abang menang cabutan bertuah. Pagi esok kilang hantar set meja makan ke rumah kita”, cerita Jabar bersungguh-sungguh. Piah tersenyum lagi. Senyumannya menampakkan barisan giginya yang tidak sempurna itu. Berkat kesabarannya, dia merasakan raya itu paling sempurna. Benar kata Ustaz Zawawi. Doa Ramadhan itu makbul.

Nota : Hayati Ramadhan & nikmati Syawal.

KISAH DARI TANGAN KIRIKU

Tuesday, April 20, 2010



Kisah ini berdasarkan pengalaman sebenar yang ditulis untuk mengisi masa lapang penulis sepanjang cuti sakit. Ditaip menggunakan tangan kiri.

**************

Vroommm…..kereta kancil putih dipandu Azrul menuruni bukit-bukit berceranggah Kampung Kepayang. Sempat aku menjeling jauh kebawah ke arah telefon bimbitku yang dikeluarkan dari poket seluar. Dua miss called dari Ijam seolah-olah ingin memberitahu sesuatu yang penting. Lantas aku menghubungi Ijam dan ternyata tepat tekaanku, Ijam dan Syam ingin mengajak aku dan Azrul ke Bandaraya Ipoh untuk bertemu, bertanya khabar, bersembang dan berborak mengenai apa saja dan aku amat pasti topik perbualan kami nanti lebih berkisar mengenai pengalaman seminggu praktikal di tempat masing-masing.

Kata sepakat dicapai. Akhirnya kami memilih Jusco Ipoh sebagai destinasi untuk berkumpul. Aku dan Azrul bermotosikal memandangkan ianya lebih ekonomik dan mudah untuk kami menyelit-nyelit di tengah kesesakan ibu negeri Perak Darul Ridzuan itu. Masa yang dianggap senggang itu kami isi dengan pelbagai kisah dan cerita, dari yang penting hinggalah kepada isu titik bengik.

Selepas menikmati nasi lemak malam dan char kuew tiow ekstra kerang, kami berpisah. Jam 8.30 malam, aku dan Azrul kemudian terus bergegas ke rumah sewaku di Sinju untuk mengambil barangku kerana bercadang untuk bermalam di rumah Azrul di Batu Gajah. Untuk ke Batu Gajah, aku mengambil keputusan untuk menunggang dan tidak membonceng memandangkan Azrul sudah seharian menunggang motorku bersiar-siar di Ipoh. Tambahan pula, aku hendak membiasakan diri dengan jalan dari Taman Mesra Raia ke Kampung Muhibah Ara Payung.

Usai kami meninggalkan Taman Mesra Raia, aku menyanyi riang. Lagu Ngam Ho nyanyian Spider aku siulkan. Azrul dibelakangku berpeluk tubuh, mungkin kedinginan memandangkan gerimis turun sebelum itu. Sepanjang perjalanan itu, tiada apa yang kami bualkan. Cuma aku yang masih bernyanyi dengan lantang seperti mahu berlawan dengan bunyi deruman enjin motor Honda Wave 100 kepunyaanku. Tiba-tiba Azrul bersuara “…Babi!..Babi…!” Kusangka dia mencarut. Rupanya dia ternampak seekor babi hutan di tepi jalan. Aku cuba melihat menerusi cermin sisi. Tapi kelibat babi itu tidak kunampak.

Perjalanan diteruskan. Teringat pula aku kejadian seekor kerbau dilanggar kereta tempoh hari. Habis remuk kereta itu dan kerbau cedera di tengah jalan. Aku bernyanyi lagi. Kali ini lagu Dealova menjadi pilihan. Tiba-tiba aku ternampak seekor tenggiling di bahu jalan. Mujur ia tidak melintas dan aku tidak melanggarnya.

Kemudian mataku memandang Istana Kellie dari kejauhan. Aku berhenti bernyanyi. Azrul masih lagi membatukan diri. Orang kata istana ini agak keras. Dalam hatiku berkata: “memanglah keras kalau istana tu dibuat dari batu”. Teringat pula petang tadi aku ada menyatakan hasrat untuk mengambil gambar di istana milik bekas pemilik estet itu. Aku dan kawanku itu juga sempat bergurau. “Dah la nak masuk kene bayar RM4, sekali masuk Kellie caslte kena sampuk. Pastu kena bayar bomoh untuk berubat pulak RM400. Nak belanja kawan makan lagi, sebab dah bawakkan jumpa bomoh pulak RM40. Pastu motor pulak hilang masa gi umah bomoh RM 4000.Total kerugian RM4444…hahaha……” kami ketawa.

Saat lamunan itu berlalu, kami melepasi sebuah kuil berdekatan istana. Tiba-tiba tayar motorku meletup! Dengan kelajuan 100km sejam dan 2 orang pembonceng, aku gagal mengawal motorsikal. Kami jatuh! Serentak dengan itu kami tergolek. Pandanganku berpinar. Aku menahan kesakitan. Azrul menarikku ketepi sambil menyedarkan aku yang sedikit pitam. Aku seperti tidak keruan. Berkaki ayam aku melilau ditepi jalan. Mulutku terkumat-kamit namun aku sendiri tidak tahu apa yang aku katakan. Motorsikalku yang tanggal tayar dari rimnya, ditolak ketepi. Azrul menelefon bapanya tapi tidak berjawab. Aku cuba menghubungi rakan serumahku, Bad, juga tidak berjawab.

Tanganku berasa sengal. Aku agak mungkin tanganku terkehel. Aku lihat kawanku itu tidak henti-henti menghubungi bapanya. Luka di tangan kanannnya agak teruk. Tidak banyak darah yang mengalir. Cuma air bisa dari luka itu mengotori bajunya. Kulit tangannya terseret tar jalan memperlihatkan luka berwarna merah jambu dan putih. Begitu juga dengan belakang bahuku. Bajuku koyak seperti digigit anjing. Jalan tar itu juga ‘menggigit’ jaket murah yang aku pakai.

Lima minit berlalu, keluarga india berhampiran datang memberi bantuan. Mereka membantu menolak motorku ke halaman rumahnya. Sejurus kemudian ibu bapa Azrul sampai hampir serentak dengan ketibaan Bad dan Amir. Kami dibawa ke unit kecemasan Hospital Batu Gajah. Sepanjang perjalanan ke hospital aku hanya mendiamkan diri sambil mengenang apa yang berlaku.

Di hospital, Azrul dibawa masuk dahulu untuk rawatan memandangkan lukanya lebih teruk berbanding aku. Beberapa minit kemudian namaku dipanggil. Aku melangkah masuk ke bilik rawatan dengan harapan aku baik-baik saja dan tidak mengalami kecederaan yang serius. Ketika sampai di katil rawatan, ekor mataku melihat seseorang sedang dirawat. Aku menajamkan pandangan dan ternyata ianya adalah Azrul yang sedang menahan kesakitan lukanya dicuci.

Sejurus selepas itu, pembantu perubatan mengarahkan aku untuk menanggalkan baju. Aku menjerit kesakitan ketika tanganku diangkat dan aku mengaku aku tidak berupaya menanggalkan baju. Aku meminta pembantu perubatan itu untuk menggunting sebahagian bajuku. Bahu kananku terdedah. Baju t-shirt merah bundleku saling tak tumpah seperti gaun seksi untuk menghadiri majlis Academy Award. Ketika iodin menyinggah luka di belakang bahuku, aku mengaduh kesakitan. Sakitnya tidak terperi. Seperti jarum-jarum halus menyucuk-nyucuk permukaan luka.

Pembantu perubatan itu mengikat tangan kananku dengan kain anduh. Katanya, lebam pada tulang selangka menunjukkan tulang aku mungkin patah. Untuk mengesahkannya aku dibawa ke bilik x-ray untuk di x-ray bagi pemeriksaan doktor. Aku kemudiannya dibawa ke bilik x-ray dengan ambulan. Meski hanya 100 meter jarak bilik itu aku tetap dibawa dengan ambulan. Tak apalah. Yang penting aku dapat dirawat dengan baik.

Ketika pembantu perubatan memegang filem x-rayku, aku sudah nampak kesan patah pada imej x-ray itu. Doktor menjelaskan tulang klavikelku patah akibat hentakan dan mengambil masa 3 minggu untuk pulih. Aku tertunduk. Pelbagai persoalan mula menerjah fikiranku. Bagaimana aku hendak bekerja dengan tangan beranduh 21 hari? Bagaimana aku mahu menjalankan rutin harian yang lain. Aku cuba tabahkan hati.

Jam 11 malam aku dibenarkan pulang. Tapi aku masih menunggu sijil cuti sakit yang belum ditandatangani oleh doktor. Aku cuba menjadikan diri aku tenang. Kata orang kesakitan tidak harus dilayan, tapi harus dilawan. Kadang-kadang aku terfikir alangkah bertuahnya aku kalau aku dapat sembuh macam Wesley Gibson dalam filem Wanted. Segala luka dan patah tulang hanya dapat disembuhkan dengan hanya berendam dalam tab mandi! Tapi aku bukan salah seorang daripada the fraternity. Patah tetap patah. Dan aku harus sembuh secara semulajadi.

Malam itu aku cuba lelapkan mata. Tapi terlalu sukar. Mungkin kesan trauma akibat kemalangan. Tapi aku kuatkan semangat. Kata orang setiap apa yang berlaku itu ada hikmahnya. Malang tidak berbau. Malah tiada siapa di dunia ini mahu mengundang malang. Dalam hati aku berdoa agar aku cepat sembuh. Semoga aku terus cekal menghadapi hari-hari muka.

Sila jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan cerpen di atas:-

  1. Nyatakan hari kejadian berlaku?
  2. Berapakah harga sepinggan Char Keow Tiaw ekstra kerang yang dijamu oleh mereka?
  3. Siapakah pencipta lagu Ngam Ho nyanyian Kumpulan Spider?
  4. Berapa ekorkah babi yang dilihat oleh Azrul?
  5. Apakah nama penuh pemilik Istana Kellie?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...