Showing posts with label KENANGAN. Show all posts
Showing posts with label KENANGAN. Show all posts

KENANGAN MENDAKI GUNUNG AYAM

Wednesday, October 5, 2011

Melihat gambar-gambar satu kumpulan yang baru saja menawan Gunung Ayam di facebook baru-baru ini , aku terimbau kenangan mendaki gunung yang merupakan pengalaman pertama aku mendaki gunung. Walaupun pendakian aku bersama-sama dengan 8 orang kawan yang lain telah 8 tahun berlalu, namun kenangan itu dapat diingat satu-persatu melalui gambar.

Kami bergambar di depan bangunan Kolej Kediaman Ketiga, Universiti Malaya sebelum bergerak ke KL Sentral. Aku teringat kata-kata Che Yop semasa kami sedang menyiapkan beg. "Orang lain sume bau wangi-wangi, aku sorang je bau hutan". Jam 6 petang kami berjalan kaki ke Stesen LRT Universiti untuk menaiki LRT menuju ke KL Sentral.

Sampai di KL Sentral kami sempat mengisi perut. Keretapi ke Kelantan akan bertolak jam 8 malam. Kami sempat bergambar dan membeli kelengkapan yang lain. Masa ini aku asyik keluar masuk tandas sebab cirit-birit. Aku pun bertanya pada Azwad dengan niat bergurau. "Ko rasa kat 7E tu ade jual lampin dewasa tak?"

Masuk saja dalam gerabak, kami tak duduk diam. Habis semua gerabak kami jelajah. Sepanjang perjalanan, kami lebih banyak duduk di bahagian antara gerabak, berborak-borak, hisap rokok, main teka-teki sehinggalah ke lewat malam. Frasa yang selalu keluar adalah "Haaah...apa die? aku tak dengar!", suara kami tenggelam antara bunyi keretapi yang bising.

Kami tiba di Stesen Keretapi Dabong, Kelantan ketika azan subuh berkumandang. Selepas solat dan bersiap-siap, kami sempat berbual dengan penduduk kampung. Seorang makcik tiba-tiba membuka cerita yang aku sendiri tak tahu hujung pangkal ceritanya dengan loghat Kelantan yang cukup pekat. "Makcik tok suko oghe Johor". Seketika kemudian Nasir menjawab dengan penuh jujur, "Saya orang Johor!". Kami kemudian meminta diri meninggalkan makcik itu ke penambang bot yang terletak beberapa meter dari masjid.

Tahun 2003, masa ini belum ada jambatan lagi yang menghubungkan Pekan Dabong ke kawasan seberang. Jadi kami menggunakan perkhidmatan bot penambang. Sungai itu pun tidaklah selebar mana. Kami membayar RM1 seorang untuk menyeberang sungai ini. Dengar cerita, selepas pilihanraya (beberapa bulan selepas kami ke mendaki Gunung Ayam), pihak kerajaan telah membina satu jambatan untuk kegunaan penduduk setempat. Ini bermakna, khidmat bot penambang sudah ditamatkan selepas projek jambatan itu siap sepenuhnya.

Lepas saja seberang sungai, ada van yang telah menunggu. Che Yop memberikan nama pakcik yang membawa van itu sebagai Pakcik Jarjis. Kami membayar RM2 seorang menuju ke Kampung Jelawang untuk berjumpa dengan Mat Jue, kawan lama aku yang akan menjadi pemandu arah kami ke puncak Gunung Ayam. Lepas jumpa Mat Jue, kami terus menuju ke Jelawang Resort di kaki gunung untuk memulakan pendakian. Tengok gambar-gambar ni, semua pakai beg kuliah. Langsung tak nampak macam nak daki gunung.

Sejam lebih mendaki, kami tiba di Kem Baha. Kem Baha ni merupakan tempat untuk para pendaki bermalam sebelum meneruskan pendakian pada keesokan harinya. Pendakian kami semuanya berjalan lancar. Cuma beg Sam yang sebesar peti ais terpaksa dibawa oleh Azwad sebab Sam dah tak larat.

Kalau tak silap kami perlu bayar RM4 seorang untuk sewa tapak khemah. Masing-masing bersemangat pasang khemah sebab inilah kali pertama kami berkhemah beramai-ramai. Nak dijadikan cerita, kami ditengking oleh salah seorang pemandu arah yang tinggal di Kem Baha tu sebab dengar kami menebang pokok. "Relaks la bang. Kami potong kayu mati nak buat unggun api. Bukan potong pokok hidup pun". Kata-kata ini keluar selepas pemandu arah itu berlalu meninggalkan kami. Siapa berani nak cakap depan-depan.

Inilah air terjun yang tercantik pernah kami lihat. Kolam puteri sememang kolam semulajadi yang cukup indah dan menawarkan air yang sejuk dan jernih. Memang berbaloi mendaki penat-penat sebab dapat merendamkan badan dalam air yang sungguh menyegarkan badan.

Kami juga tak melepaskan peluang untuk meninjau beberapa lubang semulajadi yang digelar Telaga Tujuh dan juga Air Terjun Dua Gunung yang berbentuk seperti huruf Y iaitu pertemuan di antara air terjun dari Gunung Stong dan Gunung Ayam. Yang berbaju kuning tu adalah Cincoi yang sedang merendamkan badan dalam salah satu telaga di air terjun ni. Cincoi dan Sam mungkin penyegan orangnya sebab dia orang enggan tanggal baju masa mandi.

Gambar ni macam gambar untuk dihantar ke majalah URTV. Klasik. Sepanjang mandi kami tak lupa untuk bergambar walaupun hanya ada satu kamera saja iaitu kamera milik Sam. Nak harap kamera telefon bimbit, minta maaf banyak-banyaklah. Aku sendiri pun masa ni pakai Nokia 3310 ja!

Hari Kedua, kami memulakan pendakian pada awal pagi. Sebelum itu kami sempat menyaksikan panorama matahari terbit di Kem Baha. Satu pemandangan yang menakjubkan. Hanya kami berlapan termasuk Mat Jue meneruskan pendakian. Sam hanya sempat mendaki beberapa minit sebelum memutuskan untuk kembali ke Kem Baha kerana terasa terlalu penat. Pendek kata, tak larat la tu.

Dalam pendakian ini, kami perlu melalui beberapa kem dan juga menyeberangi beberapa sungai. Tiba di sungai, kami akan berehat lebih lama sambil mengisi botol kami dengan air sungai. Air sungai ni walaupun jernih tetapi agak keperangan dan rasanya agak manis. Tak percaya? Anda boleh cuba sendiri kalau anda datang ke sini.

Ini adalah salah satu puncak tipu yang terdapat sepanjang pendakian. Pendakian mengambil masa kira- 6 jam. Kebanyakan dari kami sudah mula keletihan tetapi semangat untuk terus ke puncak masih tebal.
Ada beberapa perkara menarik berlaku sebelum kami tiba di puncak. Pertama, kumpulan kami terbahagi dua, iaitu empat-empat. Empat yang di hadapan hilang dari pandangan, manakala yang selebihnya di belakang (termasuk aku) tidak tahu trek yang sebenar kerana terdapat cabang-cabang denai. Kabus begitu tebal dan angin bertiup sehingga kedengaran bunyi angin seperti bunyi bersiul. Cuaca yang redup menambah efek keseraman pada kami. Kami bertindak untuk berhenti dan melaungkan kod keselamatan kami iaitu UM-KURSHIAH. Mujur kumpulan yang berada di depan patah balik untuk menjemput kami ke trek yang betul. Kedua, kami terjumpa gumpalan-gumpalan rumput seperti sarang burung. Mat Jue kemudian berkata dalam nada berbisik. "Nilah taik fumakilla" (najis gajah). Kami agak terkejut apabila mengetahui habitat gajah tetap ada di kawasan tanah tinggi. Kami cepat-cepat meninggalkan najis gajah yang masih baru itu. Ketiga, ada dikalangan kami yang mengalami kekejangan kaki sampai ada yang bergurau untuk mendaki menggunakan lutut!

Kami akhirnya berjaya menawan puncak Gunung Ayam pada waktu tengahari. Hujan mula turun menyebabkan kami kesejukan. Puncak Gunung Ayam tidaklah sebesar mana tetapi terdapat kawasan yang berhampiran yang sesuai untuk dijadikan tempat perkhemahan bagi pendaki yang mahu berkhemah di puncak gunung itu. Namun pemandangan agak terhad memandangkan kabus sangat tebal. Tetapi pokok-pokok seperti pohon bonsai di puncak gunung sudah cukup menawan mata kami dan kami berpuas hati kerana dapat bergambar dengan papan tanda Gunung Ayam yang berketinggian 1504 meter (4934 kaki) dari aras laut.

Aku yang mengetuai ekspedisi ini semestinya berasa berbangga kerana masing-masing sangat berpuas hati dan sama-sama berjaya menawan salah satu puncak tertinggi di negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Hari ini selepas lebih 8 tahun, aku berjaya mengimbau kembali kenangan mendaki Gunung Ayam bersama-sama Apek (kini bertugas di Edinburg, United Kingdom), Madir (guru di Johor), Che Yop (bertugas di Pelabuhan Klang), Muzairi (Usahawan cokelat), Azwad (Usahawan kedai runcit di Muar), Nasir (Jurutera di Lembah Klang), Cincoi (guru di Negeri Sembilan) dan Sam (guru di Negeri Sembilan). Andai ada masa dan ketika, kami pasti akan berkumpul semula untuk mengimbau kenangan bukan saja di Gunung Ayam, malah pelbagai cerita sepanjang kami sama-sama di kampus.

SI PETEK DAN SEPUNJUT KAIN

Sunday, November 14, 2010

Menjelang awal petang Ibrahim tiba di rumah aku dengan motosikal cabuknya. Dia menanggalkan topi keledarnya dan tersingkaplah rambutnya yang melepet dan melekat pada dahi yang berpeluh dan berkedut. Hari semakin panas. Ibrahim meletakkan motosikalnya di bawah pohon mangga di hadapan rumah. Dia memberi salam. Emakku yang sedang berbaring menjawab salam sambil bingkas bangun menjengah ke muka pintu.

Ibrahim menanggalkan tali belt yang mengikat sebondong kain yang diletakkan di tempat duduk belakang motosikalnya. “Panggil Mak Teh dengan Kak Saripah”, suruh emak. Aku berlari-lari ke rumah-rumah sebelah dan menjerit-jerit nama Mak Teh dan Kak Saripah. Alang-alang memanggil, aku turut mengajak nenek ke rumahku.

Ibrahim memikul sepunjut kain dibelakangnya dan kemudian dihempas ke lantai rumah. Mak Teh datang sambil membetulkan kain batiknya. Kemudian Kak Saripah tiba diikuti nenek yang baru saja mengunci pintu rumahnya. Punjut kain dibuka. Ibrahim mengusai kain-kain yang terlipat kemas. Empat wanita tadi membelek-belek kain sambil ada yang meletakkan kain itu pada tubuh mereka.

“Tak cantiklah kain yang kau bawak ni Petek. Semua corak ni pesen lama. Sape nak beli”, celah Mak Teh. “Cantik. Semua cantik. Mana ada tak cantik”, jawab Ibrahim dengan lembut.

Kak Saripah mengeluarkan dua not sepuluh ringgit dari genggaman tangannya seraya berkata, “Ni hutang kain bulan lepas. Hutang saya dah abis ye”. Ibrahim mencatit-catit di dalam buku kecilnya. Emak tidak membeli. Dia hanya membelek-belek kain-kain itu. Dia takut abah marah. Bulan lepas emak sudah ambil 2 helai kain ela dari Ibrahim. Itupun belum sempat dihantar ke kedai jahit Soo Bee.

“Kak Dai tak beli ke? Amai ambik yang ni. Kalau sempat Amai nak pakai pegi kenduri kawen hujung bulan ni”, tanya Mak Teh pada emak. Emak menggeleng kepala. “Bulan depan la Kak Dai ambik”.

Nenek duduk bersimpuh di depan muka pintu. Dia hanya memerhati. Nenek jarang membeli. Sebab kadang-kadang emak dan Mak Teh akan hadiahkan kain ela pada nenek.

Aku kemudian menarik sehelai seluar track suit dari susunan kain itu. Aku sengaja memadan-madankan di kaki. Memang padan. Emak perasan tindakan aku. “Cuba pakai dulu”. Aku mencuba dan dua minit kemudian seluar itu sah menjadi milik aku. Ibrahim mencatit-catit lagi.

“Dah la Petek. Aku ambik dua ni. Macam biasa la masuk buku. Laki aku takde duit lagi”, terang Mak Teh. “Tadi cakap kain tak cantik. Tapi beli jugak”, seloroh si Ibrahim. Sekali lagi Ibrahim mencatit-catit.

Ibrahim melipat kain-kain ela yang bewarna-warni dan corak berbunga-bunga itu. Kemudian dia membungkus dengan sehelai plastik lutsinar yang besar. Akhir sekali dia meletakkan bungkusan itu ke atas sehelai kain berbentuk segiempat sama yang bewarna biru tua yang dihamparkan di atas lantai. Setiap hujung kain disatukan dan diikat kejap membentuk sepunjut kain yang besar. Kerjanya cukup kemas. Sudah bertahun-tahun dia melakukan rutin yang sama.

Walaupun kulitnya gelap, tetap jelas kelihatan urat-urat hijau ditangannya. Tubuh kurusnya sudah sebati memikul sepunjut kain yang berubah-ubah isi kandungannya.

Lelaki itu iaitu Ibrahim tidak dipanggil Ibrahim. Dia dipanggil dengan gelaran si Petek oleh empat wanita itu. Gelaran itu diberikan oleh Mak Teh lantaran Ibrahim tidak dapat menyebut perkataan pendek dengan betul. Dia menyebut pendek dengan sebutan ‘petek’. “Mana ada kain ni petek. Kain ni panjang”. Berdekah-dekah tawa Mak Teh dan Kak Saripah mendengar loghat lelaki melayu Champa separuh abad itu. Lelaki itu tidak pernah ambil hati. Dia tahu Mak Teh memang cukup suka bergurau.

Sudah lebih 20 tahun berlalu. Walaupun keluarga kami berpindah ke tempat lain, Si Petek berjaya menjejaki kami. Kali ini dia tiba di halaman rumah dengan motosikal baru. Cuma sepunjut kain berwarna biru tua sajalah yang masih sama.

Tempoh seterusnya kelibat Si Petek tidak lagi kelihatan. Dia hilang begitu saja. Tidak dapat dipastikan dimanakah Petek pada masa kini. Mungkin dia sudah membuka kedai kain yang besar di sebuah bandar. Mungkin juga dia sudah kembali ke Kemboja dan membina sebuah rumah yang besar hasil titik peluhnya di Malaysia. Dan mungkin juga dia tersenyum melihat anak-anaknya yang kesemuanya berkelulusan universiti bergurau senda serta cucu-cucu perempuannya riang berlari-lari memakai baju kurung corak bunga-bunga berwarna-warni lantas mengimbau kenangannya menjual kain pada emak, Mak Teh, nenek dan Kak Saripah.


Nota : Gambar diatas bukanlah gambar Si Petek.

JIWA SENI SEORANG TUA

Tuesday, September 14, 2010


Beraya ke rumah usang tidak jauh dari masjid merupakan agenda utama selepas solat sunat Aidilfitri setiap tahun di pagi Syawal. Rumah papan beratap zink itu adalah milik satu-satunya pakcik aku yang hidup sebatang kara bertemankan beberapa ekor kucing peliharaannya.

Tiada air sirap ataupun kuih raya yang terhidang, tetapi cerita-cerita yang keluar dari mulut Mamak Saie cukup menghiburkan kami. Orang tua separuh abad itu tidak berbaju melayu seperti kebiasaan masyarakat melayu pada hari pertama lebaran, sebaliknya dia lebih selesa berbaju kemeja corak petak-petak, berseluar panjang potongan zaman mudanya dan berkaca mata bingkai tebal.

Kami adik-beradik merupakan anak-anak buah yang setia pada mamak, menjenguk, bertanya khabar dan membawa juadah hari raya padanya saban tahun. Mamak Saie cukup gemar bercerita. Ceritanya panjang berjela-jela dan boleh bersambung ke cerita-cerita lain. Sambil mendengar mamak bercerita, aku selalu memerhatikan rumah unik peninggalan arwah nenek itu. Dan lazimnya seperti raya-raya yang sudah, kami pasti bergambar di dalam rumah itu.

Keunikan rumah mamak tidak dapat dilihat pada luarannya seperti juga sifat luaran mamak yang bersuara lantang dan agak garang ketika zaman kami masih kecil. Dari luar rumah itu tiada apa yang istimewa. Sebahagian rumah itu sudah reput dan ada susunan papan dinding yang sedikit renngang. Tetapi ruang dalamnya dihiasi hasil kerja yang cukup tinggi nilai mutunya. Begitu juga dengan mamak yang pada zahirnya nampak tegas tetapi ruang dalam hati mamak berakar umbi dengan jiwa kesenian yang jelas dibuktikan menerusi rumah kecil itu.

Uniknya rumah mamak adalah kerana dindingnya. Dindingnya dihias dengan anyaman-anyaman lidi. Kalau difikirkan sudah pasti kerajinan itu memerlukan komitmen yang sangat tinggi. Setiap daun kelapa perlu diraut. Kemudian perlu dijemur dan dikeringkan. Lidi secekak-secekak dianyam mengikut corak anyaman ringkas. Anyaman dilekatkan pada dinding serta muka pintu dan akhirnya disapu varnis agar kilatan lidi terserlah sekali gus menghalangnya daripada mudah mereput. Memang rumit. Tetapi itulah hobi sang tua yang tidak pernah mendirikan rumah tangga itu.

Mungkin di tempat-tempat lain terdapat juga rumah yang dihiasi anyaman lidi ataupun anyaman mengkuang. Tetapi rumah Mamak Saie tetap lain daripada yang lain. Tambah unik apabila siling rumahnya dihiasi dengan corak tampalan batang aiskrim yang memenuhi setiap inci ruang siling rumah itu. Batang-batang aiskrim disusun rapat-rapat membentuk corak-corak tertentu dan disapu dengan varnis untuk kemasan terakhir. Sudah pasti sesiapa saja yang pertama kali bertandang ke rumah ini terpukau melihat hasil kerja tangan yang begitu teliti.


Tidak terhenti disitu, tangan berurat mamak terus menghias meja kopi dan almari kecil dengan tampalan batang-batang aiskrim. Dia juga menyapu meja dan almari itu dengan sejenis tepung khas yang bertujuan untuk mengisi rongga-rongga antara batang aiskrim pada setiap hasil kerjanya. Meja bulat yang diperoleh dari rumah tinggalan British juga mamak perincikan permukaannya dengan batang aiskrim yang panjang dan bujur dihujungnya serta batang aiskrim yang pendek dan agak bulat dihujungnya.

Corak yang menghiasi meja bulat itu berpusat ditengah dan kelihatan bersimetri walau dilihat dari sudut mana pun. Meja itu hanya dihias dengan bahan buangan iaitu batang-batang aiskrim tetapi tampak eksklusif dibega insan sekreatif mamak. Tetapi meja itu tidak lagi menjadi milik Mamak Saie. Kawan rapatnya sudah tiga kali menyatakan hasrat untuk membelinya. Mungkin dek keunikan dan nilai estetikanya, sebuah lori akhirnya singgah untuk mengangkut meja itu membuatkan mamak mengalah dan melepaskan saja meja miliknya itu pada kawannya.

Kami masih ingat lagi ketika kami masih kecil, kami berebut mengutip batang-batang aiskrim di pekan, di tepi-tepi jalan dan di pondok perhentian bas. Setiap batang aiskrim dibayar dengan setiap sen dari poket Mamak Saie. Kerana itu kami rasa berbangga, jasa kami walaupun sedikit turut sama dijelmakan menerusi corak-corak tampalan batang aiskrim pada siling dan perabot yang pada kami sukar ditemui ditempat-tempat lain. Kami juga berasa kagum kerana mamak sudah dua kali muncul dalam akhbar Harian Metro menerusi pojok khas hujung minggu mengenai hasil kerjanya.

Aku leka mengingat kembali hasil kerja mamak yang sudah berusia lebih 20 tahun yang lalu. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 10.30 pagi. Adik-beradik yang lain masih khusyuk mendengar kisah, cerita atau apa saja tambo anak minang itu. Seketika kemudian kami beransur pulang sambil aku sempat menangkap gambar dinding dan perabot di rumah itu. Tahun hadapan pasti kami datang berkunjung lagi. Suasananya pasti hampir sama dengan cerita yang berbeza tetapi kekaguman aku terhadap hasil kerja tangan pakcikku itu tidak pernah surut.

Selepas melewati lebih dua dekad, hasil kerja mamak masih kekal menjadi identiti rumah itu walaupun kerosakan tetap berlaku akibat ditelan masa. Mamak tidak berpelajaran tinggi dan hanya bekerja sendiri tetapi hakikat itu tidak sedikit pun menyekat minat dan kemahirannya mendekorasi rumah dengan hasil kerja tangan yang sempurna, unik, dan mempersonakan.

Nota : Mamak adalah pakcik atau bapa saudara dalam dialek Minangkabau.

CORETAN DARI TANAH JAWA

Sunday, July 11, 2010

Selepas aku menonton rancangan ‘ Saya Nak Cuti’ menerusi Astro Ria yang memaparkan seorang peserta dibawa bercuti ke Yogyakarta secara percuma, aku terpanggil untuk berkongsi pengalaman aku bercuti di tempat yang sama, juga secara percuma selama seminggu sekitar 6 tahun yang lalu. Walaupun sudah lama berlalu, pengalaman dibawa berkunjung ke Daerah Istimewa Yogyakarta masih terpahat dalam memori meskipun tidak secara tepat atau terperinci. Lantas aku menyelongkar almari untuk mencari beberapa keping gambar percutian di sana untuk discan dan dimuatkan bersama coretan ini.

Kami seramai lebih kurang 20 orang telah dipilih untuk dibawa ke Yogyakarta oleh pihak universiti bersama-sama 3 orang pensyarah dalam program lawatan sambil belajar sekitar Ogos tahun 2004. Bermula di kolej kediaman, kami berkumpul dan menaiki van menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Kebanyakan daripada kami sebenarnya pertama kali menaiki kapal terbang. Sudah pasti kami agak teruja dan kurang memahami prosedur penerbangan yang memerlukan kami bersedia lebih awal untuk terbang. Kami dimarahi oleh pensyarah kami kerana melengah-lengahkan proses untuk melepasi imigresen yang memerlukan kami dalam satu kumpulan yang menggunakan passport berkumpulan.

Kami menggunakan khidmat Garuda Airlines menuju ke Pulau Jawa. Penerbangan kami mengambil masa selama lebih kurang 2 jam dan dari dalam perut kapal terbang kami dapat melihat beberapa kawah gunung berapi yang besar dan cantik dari pandangan atas. Dalam kapal terbang itu juga kami seakan seperti sudah berada di Indonesia memandangkan kebanyakan penumpang majoritinya warganegara negara paling ramai umat islam di dunia itu.

Akhirnya kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Adisucipto, Yogyakarta. Kami kemudiannya dibawa ke penginapan kami dengan menggunakan bas. Selama seminggu, nama kami telah didaftarkan untuk menginap di Mandala Bakti Wanitatama yang merupakan motel yang sederhana besar tetapi cukup selesa untuk kami berehat, membersihkan diri dan bermalam. Kami dijamu makan tengahari dan kemudiannya diberi taklimat ringkas oleh pensyarah mengenai lawatan kami ke kota ini.

Kami seterusnya dibawa ke beberapa tempat menghasilkan barang-barang tempatan seperti tempat penghasilan batik jawa dan kilang piuter yang menghasilkan cenderamata-cenderamata yang sesuai untuk dibawa balik ke Malaysia. Pada ketika ini telefon bimbit hanya berperanan menjadi kalkulator untuk membandingkan harga dan menukar nilai mata wang Rupiah ke Ringgit Malaysia. Menjelang malam, kami dibawa ke Jalan Malioboro yang merupakan destinasi beli-belah yang cukup terkenal di Yogyakarta.

Disinilah kami menghabiskan masa membeli-belah dan aku tidak ketinggalan memiliki sepasang persalinan jawa untuk dipakai esok hari. Di Jalan Malioboro terdapat sebuah pasar iaitu Pasar Beringharjo yang menjual pelbagai jenis barangan daripada makanan sehinggalah bermacam-macam jenis pakaian. Terdapat juga sebuah kompleks beli belah iaitu Matahari Mall yang menjual barangan berjenama sama seperti kompleks-kompleks di negara kita. Di Pasar Beringharjolah, aku membeli sepohon pokok bonsai yang berharga 25000 rupiah untuk dihadiahkan kepada bapaku.

Hari seterusnya kami dibawa melawat Kraton Hamengku Buwono yang merupakan istana yang terletak tidak jauh dari Jalan Malioboro. Untuk ke sana kami mencuba untuk menaiki beca beroda tiga. Sebelum tiba ke Kraton, beca kami membelok ke lorong-lorong kecil yang menghala ke kedai-kedai yang kurang pengunjung dan jauh dari kesibukan trafik dan manusia. Walaupun kami tidak meminta untuk dibawa kesana, namun mengenangkan letih lelah si pengayuh beca bersama keringatnya yang masih belum kering, kami berhenti juga dan mengambil peluang membeli barangan tempatan disana. Rupa-rupanya setiap pengayuh beca diberi komisyen diatas setiap barangan yang kami beli. Patutlah mereka mengenakan tambang beca yang sangat murah!

Di Kraton Hamengku Buwono, kami sempat melihat dengan mata kami sendiri istana tempatan yang dihias dengan dekorasi asli jawa dan juga alat-alatan diraja yang dipamerkan kepada pengunjung. Kami juga berkesempatan menyaksikan persembahan wayang kulit yang dipersembahkan di dalam bahasa jawa. Di dalam kraton itu juga terdapat ramai ‘dayang-dayang’ yang memakai pakaian tradisional membuat persembahan tarian.

Dihadapan kraton, tiba-tiba seorang lelaki mengutip beberapa biji buah (tidak pasti buah apa) dari pokok berdekatan dan menjual kepada kami dengan harga seribu rupiah untuk setiap biji. Dia menyatakan buah itu boleh digunakan untuk mengubati penyakit kulit seperti panau, kurap dan sebagainya sedangkan kedua-dua belah tangannya penuh dengan kudis buta! Tiba-tiba sebiji buah itu gugur dari pokok dan kami mengambil buah itu dan menyatakan kami pun boleh menjual buah yang sama. Terbukti mereka mengambil apa saja peluang untuk meraih rezeki. Di kawasan berdekatan, seorang lelaki menjual haiwan –haiwan seperti ular tedung dan cerpelai yang telah diawet. Pada hari-hari berikutnya ditempat yang berbeza-beza, lelaki yang sama boleh ditemui menjual koleksi haiwan eksotiknya yang masih tidak laku-laku.

Kami juga berkesempatan melawat dua mercu tanda yang cukup terkenal di seluruh Indonesia iaitu Candi Borobudur dan Candi Prambanan. Sebelum ini, aku hanya melihat gambar candi ini dihadapan buku TITAS tetapi kali ini Candi Borobudur betul-betul dihadapan mata. Kami tiba di Candi Borobudur ketika matahari betul-betul diatas kepala. Untuk itu kami disewakan sekaki payung setiap seorang dan perlu membayar beberapa ribu rupiah untuk mendapatkan ‘pas mengambil foto’. Candi Borobudur cukup teguh berdiri dihadapan kami. Batu padu pulau jawa menjadi bahan binaan utama untuk menghasilkan binaan kukuh yang menjadi salah satu binaan yang tersenarai dalam warisan dunia oleh UNESCO. Kami perlu memanjat untuk sampai ke puncak candi. Terdapat berpuluh-puluh struktur seperti loceng yang dipanggil stupa dan mempunyai lubang-lubang yang boleh memuatkan tangan. Mengikut kepercayaan hindu, penganutnya boleh memohon apa saja pada dewa dengan memasukkan tangan kedalam stupa dan berdoa.

Kami seterusnya melawat Candi Prambanan yang juga merupakan sebuah lagi warisan dunia yang diiktiraf UNESCO. Kami perlu membayar tiket dan juga membeli ‘pas mengambil foto’ untuk merakam keindahan candi. Kami tiba di Prambanan ketika matahari tinggal kira-kira satu jam lagi untuk terbenam. Cahaya matahari yang masih menyinar menambah keindahan Candi Prambanan yang bagi kami lebih cantik berbanding Candi Borobudur. Gunung Merapi dari kejauhan melatari pemandangan indah Candi Prambanan. Di sana kami tidak perlu memanjat sebaliknya berjalan-jalan di dataran yang mempunyai menara-menara yang berstruktur unik. Di dalam setiap menara terdapat patung-patung dewa-dewi hindu yang berbeza-beza.

Sama seperti Candi Borobudur, candi ini turut sama menjalani proses pemuliharaan. Faktor bencana alam dan cuaca menjadi punca binaan ini semakin uzur ditelan masa. Kami dapat melihat puing-puing yang pernah menjadi sebahagian binaan agam kelompok jawa kuno suatu masa dulu. Satu lagi persamaan antara Candi Borobudur dan Candi Prambanan adalah kami perlu berdepan dengan peraih jualan dan gerai-gerai semasa keluar dari kedua-dua kuil hindu itu. Laluan masuk dan keluar adalah berbeza menyebabkan kami dikerumuni peraih jualan yang sentiasa mengikuti kami dan merayu kami membeli barang-barangan mereka seperti pen buluh, key chain dan sebagainya.

Untuk menikmati makan malam, pensyarah kami membawa kami ke gerai-gerai tepi jalan yang dipanggil lesehan. Gerai-gerai ini kebanyakannya disekitar Malioboro dan hanya mempunyai meja pendek dan setiap pengunjung duduk bersila untuk menjamu makanan. Makanan dihidang tidak jauh bezanya dengan masakan Malaysia dan hidangan istimewanya adalah pecal lele iaitu sambal ikan sembilang. Sambil itu kami dihiburkan dengan pengamen iaitu penyanyi jalanan yang datang ke lesehan yang mempunyai pengunjung. Kumpulan pengamen itu menyanyikan lagu pertama secara percuma dan lagu permintaan seterusnya memerlukan kami membayar seikhlas yang mungkin. Kumpulan pengamen membuktikan bakat semulajadi anak muda jogja yang bermain gitar, bass, tamborin mahupun penyanyi latar. Persembahan mereka harus diberi 5 bintang.

Hari seterusnya kami dibawa melawat ke universiti tertua di Indonesia iaitu Universitas Gadja Mada. Dari jauh sudah kelihatan bangunan agam dewan utama universiti itu. Jika diikutkan pada perancangan asal, kami akan dibawa bertemu dengan mahasiswa universiti itu dalam satu slot khas. Tetapi perancangan itu dibatalkan dan kami menghabiskan masa berjalan-jalan di sekitar universiti itu. Kebanyakan bangunan di universiti itu mempunyai binaan yang tersendiri dan sangat indah tetapi kami dapati pemeliharaan bangunan-bangunan itu kurang dilaksanakan. Kami juga melawat beberapa fakulti seperti Fakultas Ilmu Hayati (Fakulti Sains), Fakultas Hukum (Fakulti Undang-Undang) dan sebagainya.

Kami juga dibawa melawat ke sebuah galeri yang terletak tidak jauh dari tempat penginapan kami iaitu Muzium Affandi. Galeri ini mempamerkan hasil-hasil karya Affandi yang merupakan salah seorang pelukis terkenal di tanah jawa. Beliau banyak menghasilkan lukisan gambarnya sendiri bersama cucu dan orang yang terdekat dengannya. Di situ juga terdapat sebuah studio yang menempatkan beberapa pelukis menghasilkan karya mereka. Malah Affandi juga turut dikebumikan di galeri yang terletak bersebelahan dengan sungai itu. Aku sempat membeli beberapa keping poskad yang memaparkan lukisan karya Affandi untuk dihadiahkan kepada abang aku yang juga merupakan seorang pelukis.

Hari yang berbaki kami penuhi dengan melawat sebuah lagi bandar di Pulau Jawa iaitu Solo. Perjalanan ke Solo mengambil masa hampir 2 jam melewati kampung-perkampung, sawah padi yang menghijau sambil aku mendengar lagu-lagu dari album Dewa19, Bintang Lima yang baru aku miliki sehari sebelum itu. Kami melawat sebuah kraton di Solo dan mengisi perut dengan tempe goreng beserta cili padi dengan air limau kasturi yang bagi kami dapat menghilangkan rasa lapar dan dahaga dihadapan Kraton Solo. Di Solo kami berkesempatan membeli-belah dan bersiar-siar di tengah-tengah kesibukan kota.

Pengalaman yang sukar dilupakan adalah apabila kami dibawa minum malam oleh pensyarah kami ke suatu tempat. Pensyarah kami sememang sudah tidak asing lagi dengan Yogyakarta memandangkan dia pernah menimba ilmu di kota ini. Pengalamannya sebelum ini dikongsi bersama kami iaitu menikmati jagung bakar dan susu halia disebuah tempat seperti sebuah bangsal yang hanya diterangi dengan cahaya suram lampu minyak tanah. Jagung bakar ini disapu dengan cili sebelum dibakar dan dihidang bersama susu halia yang cukup panas menyebabkan kami masing-masing kepedasan.

Seminggu kami disana sudah membuktikan bahawa Indonesia sememang ‘Bhinneka Tunggal Ika’ iaitu ‘Bersatu Dalam Kepelbagaian”. Yogyakarta masih segar dalam ingatan kami sebagai kota warisan budaya yang tidak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Keramahan warga jogja dapat dilihat disekitar Malioboro yang merupakan nadi ekonomi masyarakat disana. Kami tiba di Malaysia dengan poket kosong tetapi beg penuh dengan barangan dari tanah jawa.

Hampir dua minggu selepas meninggalkan bumi Indonesia, segala cerita, kisah dan kenangan di Kota Jogjakarta masih menjadi bahan perbualan kami di kampus. Kenangan menaiki andhong (kereta kuda) sambil menyaksikan kota yang dipenuhi bangunan beratap genting dan kain banner bewarna-warni di senja hari dan juga memori melawat warisan terpenting didunia dikongsi bersama kawan-kawan yang lain. Akhirnya, kenangan ini dapat diceritakan didalam blog ini walaupun sebelum ini ramai kawan-kawan yang ingin menghantar artikel lawatan ke Yogyakarta ini ke majalah ataupun surat khabar!

Coretan tambahan :

  • Bhinneka Tunggal Ika adalah bahasa jawa kuno yang menjadi cogankata Indonesia.
  • Bonsai yang dibeli berjaya melepasi tapisan Lapangan Terbang Adisucipto tetapi dirampas di KLIA.
  • Yogyarkarta mengalami gempa bumi pada tahun 2006 menyebabkan 1.2 juta penduduk kehilangan tempat tinggal. Kraton Hamengku Buwono turut mengalami kerosakan.
  • Lagu Siti Nurhaliza boleh didengari di premis-premis kedai di Jogja.
  • Yogyakarta juga dikenali dengan nama Jogjakarta, Yogya dan Jogja.
  • Pada ketika lawatan ini, kamera digital belum lagi popular. Hanya seorang daripada kami yang menggunakan kamera digital.
  • Selain Siti, artis Malaysia yang dikenali di Indonesia adalah Search, Sheila Majid, Iklim & Exists.
  • Setiap set fast food seperti KFC dan McD disertakan dengan sebungkus nasi yang dibungkus seperti burger.

GELARAN PALING AGUNG

Monday, June 28, 2010

Jika dalam komik Alam Perwira ada watak-watak seperti Ji Fat, Rahib Esa, Biduanda Layang, Leftenan Penyulam, Sang Pipit Merah, Puteri Kayangan, Biduanda Siluman, Biduanda Tebuan, Tok Harimau Bintang dan sebagainya, kawan-kawan rapat di zaman universiti aku juga mempunyai gelaran-gelaran tertentu. Gelaran ini adalah gelaran paling agung yang digunakan sebagai suka-suka merujuk kepada ciri-ciri fizikal ataupun apapun yang berkaitan dengan pemilik gelaran. Suka atau tidak, terima sajalah.

GEMUK TAK TERKALAHKAN
Gelaran ini adalah gelaran pertama yang 'ditauliahkan' pada Kunk. Gemuk merujuk kepada badan kunk yang agak gemuk (padahal taklah gemuk sangat) berbanding kami dan kegemukannya tidak boleh dilawan oleh mana-mana kawan diantara kami.


KELAWAR UBAN
Gelaran ini adalah untuk Che Yop. Kelawar merujuk telinga Che Yop yang sangat sensitif (seperti telinga kelawar) mendengar apa saja yang tersalah sebut untuk dijadikan bahan gelak beramai-ramai. Uban pula merujuk pada beberapa helai rambut putih yang tumbuh semulajadi dibahagian jambul rambut Che Yop (seperti watak Rogue dalam The X Men).


CINA BUNTANG
Cina Buntang tidak lain dan tidak bukan adalah untuk Apek. Apek muka macam orang cina tapi kalau cakap memang pekat loghat Perak asli. Walaupun muka seperti orang cina, Apek boleh membuntangkan matanya sebesar-besarnya (macam perempuan negro dalam Ripley's Believe It Or Not). Maka dengan itu, dialah Cina Buntang.


AHLI MAGIK PICISAN
Gelaran ini dianugerahkan Che Yop untuk aku. Aku pernah terlibat dengan program yang melibatkan anak-anak yatim. Untuk menghiburkan anak-anak yatim itu, aku membuat beberapa magik tetapi magik aku tak menjadi dan aku menjadi bahan ketawa anak-anak yatim dan kawan-kawan aku. Selayaknya aku memegang gelaran Ahli Magik Picisan.

CARTA 7 HUKUMAN TERBAIK

Tuesday, May 11, 2010




Sempena hari guru yang bakal menjelang tidak lama lagi, sagahayat mempersembahkan carta 7 hukuman terbaik zaman sekolah. Rata-rata hukuman yang pernah dihadapi ini lebih kurang sama dengan hukuman atau denda bagi murid-murid di seluruh Malaysia, tetapi menerusi sagahayat ianya diceritakan secara lebih terperinci dalam mengenang nostalgia bangku sekolah.



TANGGA KETUJUH

Hukuman = Angkat beg dengan muatan maksima di luar kelas

Sebab musabab = Tidak siap kajian tempatan sejarah

Guru yang bertanggungjawab = Cikgu Rasimah (Guru Sejarah Tingkatan 1)

Kesan Sampingan = Aib. Tangan lenguh sepanjang hari

Impak = Kajian Tempatan siap serta merta!


TANGGA KEENAM

Hukuman = Buat amali di luar kelas (bukan zaman sekolah tapi zaman universiti)

Sebab musabab = Datang lewat 5 minit untuk kelas amali

Guru yang bertanggungjawab = Prof. Madya Dr.Azraii (Pensyarah Amali Biologi)

Kesan Sampingan = Tak dapat fokus menjalankan amali

Impak = Sumpah Dr.Azraii! Lepas ni kami datang awal!Malu awek-awek tengok.


TANGGA KELIMA

Hukuman = Hujung jari-jemari dipalu dengan pembaris kuning

(keadaan jari seperti bentuk ‘burung’ one two som)

Sebab musabab = Tidak mendapat A atau B untuk ujian bulanan matematik.

Guru yang bertanggungjawab = Cikgu Hasbullah (Cikgu Matematik Tingkatan 3)

Kesan Sampingan = Sukar untuk menulis dan jari kurang berfungsi dengan baik untuk beberapa ketika.

Impak = Mendapat sekurang-kurangnya B untuk ujian bulanan seterusnya.


TANGGA KEEMPAT

Hukuman = Betis dipukul dengan penyapu.

Sebab musabab = Tidak menulis hari, tarikh dan matapelajaran dalam buku tulis

Guru yang bertanggungjawab = Ustaz Saad (Guru Bahasa Arab Tingkatan 2)

Kesan Sampingan = Betis terasa pijar dan penyapu kelas patah dua

Impak = Jangan pandang rendah pada Ustaz Saad!


TANGGA KETIGA

Hukuman = Dikurung 2 jam dalam bilik Tv sekolah

Sebab musabab = Merayau-rayau sekitar sekolah

Guru yang bertanggungjawab = Cikgu Hizbullah (Guru Disiplin sekolah rendah)

Kesan Sampingan = Hampir tiada. Sebab? Dapat lepak borak-borak dengan kawan-kawan yang sama-sama kena kurung dan tak payah masuk kelas.

Impak = Kad Keluar Kelas menjadi rebutan kalau nak keluar kelas


TANGGA KEDUA

Hukuman = Jalan itik keliling blok

Sebab musabab = Datang lewat perhimpunan

Guru yang bertanggungjawab = Cikgu Jet Li (Guru Disiplin sekolah menengah)

Kesan Sampingan = Kaki menggigil naik tangga. Sukar untuk membuang air besar apabila memerlukan posisi bercangkung.

Impak = Sanggup tak sarapan pagi sebab takut terlewat perhimpunan


JUARA CARTA

Hukuman = Buku teks dihempas ke muka dengan kuat.

Sebab musabab = Tidak membalut buku teks dengan plastik lut sinar (Balut buku teks dengan kertas minyak atau kertas surat khabar tidak diterima)

Guru yang bertanggungjawab = Ustazah Saadiah (Guru Agama Tahun 1)

Kesan Sampingan = Muka pijar dan merah. Air mata bertakung. Tertanya-tanya sampai sekarang. Bercita-cita jadi guru supaya dapat balas dendam pada anak ustazah (Ini tidak betul!hehehe)

Impak = Minta kakak balut buku teks dengan plastik lut sinar petang itu juga! Kalau boleh buku tulis pun nak balut.


Walau apa pun hukuman atau denda yang dikenakan, semuanya adalah demi kebaikan. Walakin kita terpaksa menerima hukuman yang cukup berat bagi kesalahan yang kecil di usia yang cukup mentah. Baik buruk manapun seorang guru, ilmunya yang mahu diraih. Dan perih-jerihnya mendidik anak bangsa, hanya dia yang tahu. Demi menebus khilaf sendiri dan berkatnya ilmu seorang pendidik, ku turutkan saja.


Nota : Aku masih menerima hukuman walaupun di menara gading!


CERITA DALAM LAGU

Sunday, May 9, 2010

Kadang-kadang kalau kita dengar sesebuah lagu pasti mengingatkan kita pada momen saat lagu itu tengah popular. Padahal lagu itu bukanlah lagu yang paling digemari ataupun sedap sangat. Tetapi garis masa hidup ini juga dapat ditentukan melalui lagu-lagu tertentu. Sebagai contoh orang selalu berkata “Eh lagu ni masa aku darjah tiga”.

LELAKI INI – Aku mendapat undangan perkahwinan kawanku nun jauh di Rantau Panjang, Kelantan. Jadi aku dan tiga rakan yang lain berpakat untuk berkereta ke sana memenuhi undangan walimatul urus itu. Perjalanan melebihi 6 jam itu kami penuhi dengan berbual sambil mendengar radio. Dan lagu yang paling kerap diputarkan adalah lagu Lelaki Ini. Faham-faham sajalah radio swasta. Lagu yang sama diulang banyak kali. Naik bosan juga dengar lagu ini!


HI HI BYE BYE – Kawanku mengajakku ke Pulau Pinang untuk melawat adiknya disana. Jadi aku dan seorang kawan lagi sama-sama bergerak ke Pulau Mutiara. Kami singgah di Gunung Semanggol untuk mengambil seorang lagi rakan disana. Rakan aku yang seorang ini sangat menggemari lagu Hi Hi Bye Bye sehinggakan kami terpaksa berlegar-legar dahulu di parking lot semata-mata hendak menghabiskan lagu berkenaan. Maka dengan itu, Hi Hi Bye Bye adalah lagu yang mengingat aku pada ‘makan angin’ di Bukit Bendera, Padang Kota dan Bukit Merah Lake Town Resort.


SENGGOL-SENGGOLAN CUBIT-CUBITAN – Radio, walkman ataupun yang seumpamanya adalah antara alatan yang diharamkan di bawa ke asrama. Sudah pasti untuk mendapatkan hiburan ada juga yang membawa alatan ini secara curi-curi. Begitu juga dengan aku yang membawa radio kecil semasa zaman asrama tingkatan tiga. Waktu prep malam adalah masanya dan tepi padang adalah tempatnya kami berkumpul berborak-borak sambil mendengar radio sebab malas nak study. Ketika lagu Mas Idayu itu sedang diputarkan, seorang warden asrama mendekati kami. Kami jatuh terguling-guling melarikan diri takut ditangkap warden. Padahal warden itu tak nampak kelibat kami pun. Demi menyelamatkan diri dan ‘Mas Idayu’ daripada ditangkap, kami akhirnya kehilangan bateri radio.


TRAUMA – Berkhemah merupakan aktiviti tahunan yang wajib kami lakukan setiap tahun. Taman Negara di sebuah negeri di utara menjadi destinasi kami pada tahun itu. Salah seorang ahli perempuan yang mengikuti ekspedisi ini sangat menggemari lagu Trauma. Tak kiralah sama ada sedang trekking, sedang bersantai ataupun sedang memasak dia tetap menyanyikan lagu yang sama iaitu Trauma. Dengan tubuh kecil dan bersuara leper dia mendendangkan lagu itu bagi menghiburkan hatinya dan orang lain. Paling tak tahan apabila dia cuba mencapai high pitch dengan raut wajah yang meyakinkan. Trauma secara rasmi menjadi lagu tema ekspedisi pada tahun itu.


RINDU SERINDU RINDUNYA – Dek kerana pengaruh kawan-kawan, aku bersetuju untuk berpindah ke sekolah yang lebih baik di Subang Jaya. Untuk itu aku perlu mengambil borang pertukaran sekolah di sebuah sekolah di Shah Alam. Aku bersama tiga orang rakan melalui ‘lubang tikus’ tanpa kebenaran sesiapa untuk ke sekolah itu. Selesai mengambil borang kami melepak di sebuah bilik kenalan rakanku sementara menunggu waktu Solat Jumaat. Kenalan rakanku itu memutarkan lagu Rindu Serindu Rindunya berulang kali dari jam 12 sehingga azan zohor berkumandang. Aku pun tak tau apa keistimewaan lagu itu. Dengan itu lagu Rindu Serindu Rindunya menjadi saksi kepada borang pertukaran sekolah.


DEALOVA – Untuk mengurangkan rasa bosan, *aku menyanyikan lagu Dealova dengan lantang seperti mahu berlawan dengan bunyi deruman enjin motor Honda Wave 100 kepunyaanku. Kemudian mataku memandang Istana Kellie dari kejauhan. Aku berhenti bernyanyi. Saat kami melepasi sebuah kuil berdekatan istana, tiba-tiba tayar motorku meletup! Dengan kelajuan 100km sejam dan 2 orang pembonceng, aku gagal mengawal motorsikal. Kami jatuh! Serentak dengan itu kami tergolek.Tulang selangka kananku patah. Aku menahan kesakitan. Benar kata orang. Lagu Dealova memang berhantu! (*petikan cerpen)

MADAH KLASIK IBU

Friday, April 30, 2010

Secara lembut menegur. Bermain dengan kata-kata sambil berpesan. Itulah kelebihan orang dahulu. Berkias dan memberi perumpamaan merupakan keindahan leluhur melayu. Begitu juga dengan ibuku. Tidaklah banyak tetapi ada. Dalam membesarkan aku dia selalu menggunakan beberapa kata-kata yang begitu unik dan agak jarang digunapakai oleh masyarakat pada masa ini. Semoga kata-kata ini terus kekal bersama abadinya kasih sayangku pada ibuku.

SUDAH GAHARU CENDANA PULA, SUDAH TAHU BERTANYA PULA
Zaman sekolah rendah merupakan zaman dimana kanak-kanak selalu bertanya mengenai apa saja yang terlintas difikiran mahupun didepan mata mereka sendiri. Sama seperti kanak-kanak lain adakalanya perkara yang sudah tahu pun, aku tetap bertanya juga. Berkali-kali bertanya (teringat iklan petronas burung murai) hingga menyebabkan ibuku kadang-kadang sudah bosan.”Hei budak ni. Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula”!

KURA-KURA DALAM PERAHU, PURA-PURA TAK TAHU
Nakal dan aktif memang sinonim dengan kanak-kanak. Sudah pasti bermain, bermain dan bermain merupakan rutin harian. Begitu juga dengan aku yang menjadikan halaman rumah sebagai ruang bermain. Suatu hari pasu bunga abah menjadi mangsa tendangan bola abangku. Dia memberi amaran supaya merahsiakan apa yang berlaku. Bimbang disekeh abang, aku hanya berdiam diri. Apabila ditanya aku hanya berkata ‘tak tau’. Ibuku hanya tersenyum sambil berkata “kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu”.

BUAH SALAK LIMAU MANIS, BANYAK TERGELAK BANYAKLAH MENANGIS
Kalau sudah bermain, memang tak ingat dunia. Dah terlampau seronok sangat kadang-kadang mesti tergelak terbahak-bahak bagai nak rak. Air mata pun boleh mengalir kalau terlampau banyak ketawa. Hidup ini memang seimbang. Adakala gembira adakala duka. Bertitik tolak dari itulah ibuku selalu berpesan secara sinis. “Ni banyak sangat gelak ni lepas ni mesti banyak nangis. Buah salak limau manis, banyak gelak banyaklah menangis”.

TUKUL TAKAL BALIK PINTU, ORANG NAKAL MEMANG BEGITU
Benar kata ibu. Banyak gelak banyaklah menangis. Dek kerana terlampau aktif bermain, sudah pasti ada sekali-sekala tersadung, terhantuk, terperosok, terjatuh, terkepit, terluka dan sebagainya. Maka berderailah air mata dan bingitlah rumah dengan raungan si anak nakal. Lalu ibu jualah tempat mengadu. Ibuku akan mengusap-usap atau menghembus-hembus bahagian yang sakit sambil menyebut ‘jampi serapahnya’. “Tukul takal balik pintu, orang nakal memang begitu”. Mujarab! Rasa sakit hilang dan tangisan pun terhenti.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...