TERBANGLAH WAHAI IKAN

Saturday, October 23, 2010

Exocoetidae adalah famili ikan marin yang lebih dikenali dengan nama flying fish (ikan terbang). Terdapat kira-kira 64 spesis ikan terbang ini. Habitat ikan terbang adalah di lautan khususnya di laut tropika yang agak panas dan kawasan subtropika.

Ikan ini mempunyai struktur unik yang dipanggil sirip pektoral. Sirip pektoral ini berfungsi untuk membolehkan spesis ikan ini bersembunyi dan melarikan diri dari pemangsa. Ikan terbang akan melompat keluar dari air dan terbang meluncur di udara di atas permukaan air.

Selalunya spesis ini berkebolehan meluncur sejauh 50 meter. Ikan ini juga mampu mengerakkan ekornya 70 kali sesaat yang membolehkannya melompat keluar dari air. Sekali pandang tak ubah seperti rama-rama. Uniknya ciptaan Tuhan.







AIR KENCING, AIR KETUM

Wednesday, October 20, 2010

Habis saja belajar, aku menganggur. Pada masa itu, isu graduan mengganggur menjadi polemik di dada akhbar dan dianggarkan sekitar 80 000 graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian di universiti masih tidak bekerja. Aku diantara ribuan mahasiswa yang masih terkial-kial mencari kerja. Aku tidak boleh duduk diam selagi aku belum mendapat kerja walaupun kerja yang ditawarkan hanya memerlukan sijil SPM sahaja.

Suatu hari aku mendapat surat dari pihak kerajaan : Tawaran Mengikuti Kursus Jurulatih. Kursus itu dijalankan selama 2 minggu dan bertempat di sebuah kem di Jitra, Kedah. Ketika itu baru aku teringat aku ada menghantar permohonan untuk mengikuti kursus tersebut beberapa minggu sebelum itu. Jika aku berjaya melepasi kursus berkenaan, aku layak ditempatkan di mana-mana kem untuk memegang jawatan sebagai jurulatih bagi kementerian pertahanan.

Aku lantas berhenti kerja di salah sebuah universiti sebagai pembantu peperiksaan sambilan supaya aku dapat mengikuti kursus berkenaan. Tiket ke Jitra aku beli dan semua kelengkapan telah aku masukkan ke dalam beg. Bas meluncur laju ke utara.

Aku tiba di Jitra ketika azan subuh sedang berkumandang. Aku berhenti di masjid untuk solat subuh dan kemudian tidur di dalam masjid sementara menanti jam 9 pagi. Pendaftaran di kem itu bermula jam 12 tengahari.

Selepas menumpang motosikal ke pekan Jitra, bersarapan pagi dan membeli sedikit keperluan, aku menaiki teksi ke kem itu. Aku tiba di kem sekitar jam 11 pagi dan aku lihat suasana di kem itu agak lengang tetapi meja pendaftaran sudah dibuka. Aku mungkin antara sepuluh yang terawal mendaftar dan ditempatkan di hostel di atas bukit itu.

Berpeluh-peluh aku mendaki bukit ke tempat penginapan itu. Bilik dorm itu kosong kecuali ada seorang lelaki tidak berbaju yang sedang berbaring di atas katil di hujung bilik. Aku memberi salam.

Salamku disambut . Aku terus menuju ke katil di sebelah lelaki tadi. Sambil meletakkan beg kami berbual. “Awai hang mai. Hang mai dari mana?”, lelaki tadi bertanya dengan loghat kedah yang cukup pekat. Oleh sebab hanya kami berdua yang sampai dulu, kami banyak berbual. Baru saja jumpa tetapi perbualan kami umpama dua insan yang sudah lama berkawan. Sementara ralit berbual ada dua tiga peserta lain yang baru tiba dibilik dorm itu. Din (bukan nama sebenar) berasal dari Jitra. Dia sebelum ini bekerja di kilang dan merupakan graduan diploma sebuah kolej. Kulitnya sawo matang dan tubuhnya agak kecil.

Tiba-tiba Din membuka cerita. Dia mula bercerita mengenai air ketum. “Kalau hang nak tau, aku ni minum ayaq ketum. Dah lama aku minum tapi aku habaq kat hang memang tak boleh tinggai. Jom ikut aku. Biaq aku tunjuk kat hang lagu mana ayaq ketum tu”.

Aku pada mulanya menolak. Tetapi rasa ingin tahu dan desakan oleh Din membawa aku ke dorm sebelah. Din menunjukkan air ketum yang diisi ke dalam botol mineral 1.5 liter yang disimpan didalam loker kosong. Rupanya seperti air teh o tetapi agak berkeladak. Aku seperti tidak percaya. Sebelum ini aku hanya membaca melalui akhbar dan terdengar dari berita televisyen mengenai air ketum tetapi kini aku mendampingi salah seorang penagih air ketum.

Aku kemudian bertanya, “Apa hang rasa kalau minum air ni Din?”. Din lantas menjawab. “Biaq aku habaq kat hang. Ayaq ni kalau hang minum hang banyak menguap. Sampai rahang hang rasa macam nak tanggai. Aku pun susah nak habaq kat hang. Tapi kalau minum memang hang ketagih la”.
“Ni pun stok untuk beberapa hari. Sat lagi aku nak mesej sepupu aku suruh dia prepare ayaq ketum. Kalau habis aku suruh dia mai hantaq ayaq baru”, Din menambah.

Aku mengangguk-ngangguk. Din kembali menyembunyikan botol air ketumnya ke dalam loker itu. Kemudian kami sambung berbual. Din kemudian bertanya aku. “Hang rasa kita nak jadi jurulatih ni ada ujian ayaq kencing tak?”.

Aku menjawab. “Tak tau la pulak aku. Tapi kalau keje kerajaan memang ada medical check up. Medical check up memang ada test air kencing. Tapi aku rasa dia tak buat dalam tempoh dua minggu ni. Kalau dah serap keje baru buat semua tu kot”.

“Tapi kalau ada test ayaq kencing, aku ingat nak mintak pakai ayaq kencing hang. Sebab aku takut ayaq kencing aku ada dadah. Kalau ada dadah mana la dapat aku keja ni. Silap-silap masuk penjara. Boleh no?”, pinta Din penuh mengharap.

Aku hanya tersenyum. Kemudian tersenyum kelat bila Din tidak memandang mukaku lagi. Dalam hati aku berkata. “Aku mesti jauhkan diri dari orang ni. Dia penagih air ketum. Patutlah badan dia kurus mersik”.

Din mengajak aku makan tengahari. Pada jam 2.00 petang, kami mendengar taklimat. Din duduk disebelah aku. Din seperti mahu menjadikan aku sahabatnya sepanjang dua minggu kursus. Sebelum mandi aku mengalihkan beg dan kelengkapan aku ke katil yang lebih jauh dari Din. “Katil tu goyang la”, jawab aku bila Din tanya, “Awat?”. Bila aku di bilik air, Din juga ada. Dia menyengih menampakkan buih-buih ubat gigi dalam mulutnya. Kalau ikut hati mahu saja aku simbah mukanya dengan air kolam bilik air itu. Dia sememangnya menagih air kencing aku!

Pada malam itu, semua peserta dibahagi kepada beberapa kumpulan. Aku sangat bersyukur apabila tidak diletakkan satu kumpulan dengan Din. Aku mula berkawan dengan ahli kumpulanku. Aku juga rapat dengan beberapa rakan yang menginap di katil berdekatan katilku. Aku mula mengasingkan diri dari Din. Hari-hari seterusnya, aku lihat Din sudah ada kawan baru. Semua kawannya bercakap dengan loghat yang sama dengan loghat Din.

Walaupun aku yakin tiada ujian air kencing yang akan diadakan sepanjang kursus itu, aku tetap berwaspada dengan Din. Salah pilih kawan mungkin menyebabkan aku terjebak dalam ketagihan air rebusan daun ketum yang bewarna perang dan berkeladak itu. Paling tidak pun aku mungkin boleh dituduh bersubahat dengan Din. Dihujung kursus, Din ada meminta nombor telefonku. Aku sengaja memberi nombor yang salah.

FAKTA TENTANG DAUN KETUM
Daun pokok ketum terkandung sejenis bahan kimia yang dipanggil mitraginin yang dikatakan berupaya menjadikan seseorang itu ketagihan. Mitraginin telah disenaraikan dalam Third Schedule of Poisons (Psychotrapic Substance) Regulation 1989, Poison Ordinance 1952. Dengan itu pokok Ketum telah diisytiharkan sebagai bahan larangan mulai Januari 2003.

Antara kesan buruk penyalahgunaan melampau daun ketum ialah susut berat badan, insomnia, anoreksia, bibir menjadi kering, sembelit dan kesan lebam dan terbakar di muka terutamanya di bahagian pipi.

Kesan-kesan penyingkirannya pula adalah simptom-simptom tarikan seperti mata dan hidung berair, sengal-sengal sendi, mudah marah dan lemah untuk bekerja.



Nota : Semoga Din dapat menghilangkan ketagihannya. Bayangkan bagaimana penagih air ketum seperti Din menjadi jurulatih yang berperanan membimbing pelatih-pelatih jika benar dia kini bergelar jurulatih. Tentu dia selalu letih.

ROTI ANATOMI NGERI

Monday, October 18, 2010

Roti merupakan makanan yang biasa kita makan. Tetapi apabila roti diadun dan dibentuk sedemikian rupa mahukah anda menjamahnya? Kreativiti si pembuat roti adakala menjadikannya roti makanan yang aneh dan pasti ditolak tepi. Roti berupa anatomi tubuh manusia dan beberapa organ badan manusia ini adalah selera baru beberapa peminat roti dan menjadi kebanggaan pembikinnya. Namun sekali lagi persoalan, mahukah anda menjadi 'kanibal' bila memakan roti berupa anatomi tubuh manusia yang ngeri ini?

Efek darah mungkin adalah bahan pewarna atau pati ceri atau pati strawberry.

Koleksi roti kepala-kepala manusia yang dipenggal disusun menanti dibeli pelanggan.

Kehebatan pembuat roti menjadikan roti ini nampak sungguh realistik.


Mungkin pembuat prop untuk siri Crime Scene Investigation terasa tercabar jika melihat hasil yang diperbuat dari adunan tepung itu.

Jika roti ini dibuang begitu saja, sudah pasti orang menyangkanya adalah mayat.


Roti berupa kaki manusia yang dibungkus dan diletak tanda harga nampak ngeri tetapi mungkin enak dimakan begitu saja.

MESIN TRANSAKSI JADI SAKSI

Sunday, October 17, 2010

ATM adalah kependekan kepada Automated Teller Machine yang bermaksud Mesin Juruwang Automatik. Mesin ini adalah mesin yang memberikan khidmat juruwang secara automatik. Pendek kata, ATM merupakan satu kaedah bukan konvensional untuk transaksi wang atau mengeluarkan duit tanpa berhadapan dengan prosedur mengisi borang. Pengguna juga tidak perlu menunggu giliran dan tidak memerlukan interaksi dengan pekerja bank di kaunter.

Mesin Juruwang Automatik pertama di dunia telah dipasang di Enfield Town, London, United Kingdom dan beroperasi sepenuhnya pada 27 Jun 1967. Seiring dengan masa, mesin ATM melalui pelbagai transformasi. Kini transaksi antara bank-bank yang berbeza boleh dilakukan dan terdapat juga mesin lain yang boleh mendepositkan wang secara tunai.

Walau apapun, mesin ATM yang tidak bernyawa dan tidak berjiwa ini sering menjadi saksi kepada pelbagai insiden. Mari kita baca kisah-kisah dibawah.


KISAH ORANG KECEWA

Beberapa minggu yang lepas, seorang kawan sama-sama berkursus dengan aku di sebuah bandar. Pada waktu rehat, dia bergegas ke sebuah bank berdekatan untuk mengeluarkan duit dari mesin ATM. Beratur dibelakangnya adalah seorang pakcik tua yang memegang sekeping kad ATM dan secebis kertas kecil. Pakcik berkopiah putih itu kemudiannya meminta kawan aku tadi mengeluarkan duit miliknya. Dia menyerahkan kad ATMnya bersama secebis kertas yang tertulis enam angka nombor pinnya. “Tolong pakcik nak. Keluarkan dua ratus. Anak pakcik baru je masukkan duit kat akaun pakcik”.

Kawan aku tadi menyambut kedua-dua objek itu dengan senyuman. Dia kemudiannya kembali mengadap ATM dan membantu pakcik tadi mengeluarkan wang. Tetapi di skrin mesin itu terpapar ‘Baki anda tidak mencukupi’. Baki yang tinggal hanyalah RM18 dan beberapa sen.

“Duit pakcik tak cukup pakcik. Tak boleh keluar. Boleh jadi anak pakcik belum masukkan duit tu lagi”, jelas kawanku.

Pakcik tua itu hanya menggangguk kecil. Dia mengucapkan terima kasih sambil menguntum senyuman yang mungkin boleh menyembunyikan perasaan kecewanya.

“Takpe la pakcik. Pakcik ambil duit ni. Mungkin esok pakcik boleh check lagi. Mana la tau kalau dah masuk”, tambah kawanku sambil menghulur sekeping not RM50.

Sekali lagi pakcik itu berterima kasih. Dia menanti van sapu yang membawanya pulang ke kampung sejauh 50km dari bandar itu. Mungkin dengan sedikit wang yang diberi kawanku itu dia boleh membayar tambang vannya dan membeli lauk untuk tiga hari sekurang-kurangnya. Mesin ATM menjadi saksi.


KISAH LUCU

Rani (bukan nama sebenar) merupakan seorang gadis yang agak cantik di kolej kediamanku sewaktu di Universiti. Dia adalah freshie sama seperti aku. Dia tidak bertudung, tidak seperti kebanyakan mahasiswi yang lain menyebabkan kelibatnya lebih mudah dilihat oleh kawan-kawanku disekitar kampus.

Suatu hari Rani dilihat sedang menuju ke sebuah mesin ATM. Tiada orang lain yang berada disitu melainkan hanya Rani seorang. Dia menolak pintu kaca yang menempat mesin itu, berdiri dihadapannya dan terus menekan-tekan punat tertentu pada mesin ATM untuk urusan transaksinya. Tetapi sebenarnya beberapa meter darinya adalah seorang kawan aku yang ingin mengeluarkan duit tetapi berhenti diluar pintu kaca bagi memberi peluang Rani menyelesaikan urusannya.

Setelah menyimpan dompet dalam beg sandangnya, Rani berlalu pergi. Rani terus berjalan tanpa menyedari ada orang lain disekitarnya. Kawan aku tadi segera menolak pintu kaca menuju ke mesin ATM. Tetapi ada sesuatu menyebabkan dia berasa tidak selesa. Rongga hidungnya mentafsir bau yang cukup busuk atau secara mudahnya dia tercium bau kentut.

Petang itu satu asrama kecoh hal yang berlaku di mesin ATM itu. Gadis secantik Rani terkentut depan mesin ATM. “Busuk gila!”, tambah kawanku. Kali ini mesin ATM jadi saksi.


KISAH MENGEJUTKAN

Satu hari aku menuju ke bank untuk memindahkan duit ke akaun lain. Jadi aku beratur memandangkan terdapat beberapa orang turut sama beratur menanti giliran berurusan di mesin ATM. Selepas menyelesaikan urusan itu, aku terpandang sebuah komputer berdekatan mesin ATM yang dikhaskan untuk transaksi menggunakan internet. Masa itu baru aku teringat aku belum membayar bil bulanan Astro. Lalu aku terus memegang tetikus untuk tujuan pembayaran itu. Tetapi aku terkejut bukan kepalang. Orang yang mengunakan khidmat Cimb Click sebelum itu, tidak sempat untuk log keluar. Yang membuatkan aku terkejut adalah baki akaun banknya bernilai 6 angka.

Diriku terhasut untuk memindahkan duitnya ke akaunku atau membayar semua bil-bil bulananku menggunakan akaun yang ditinggalkan itu. Tetapi aku masih mampu berfikir secara waras. Sudah tentu pemilik akaun itu ataupun pihak bank dapat mengesan sebarang transaksi yang dilakukan.

Dalam keadaan terkejut aku keluar dari situ tanpa membuat apa-apa. Aku membiarkan saja akaun itu tanpa log out. Kemudian baru terpikir, urusan Cimb Click itu secara automatik akan dilog keluar selepas beberapa ketika jika tidak digunakan. Masa itu juga baru aku teringat seorang lelaki cina separuh botak menggunakan komputer itu sebelum aku. Mungkin dia jutawan gamaknya sehingga dia terlupa untuk log keluar akaun miliknya kerana terlalu kaya. Sememangnya mesin ATM menjadi saksi.


KISAH MITOS

Kisah ini adalah berdasarkan sebuah emel yang aku terima sebelum ini. Menurut emel itu, sekiranya anda dipaksa oleh perompak atau penjenayah untuk mengeluarkan duit anda di mesin ATM, anda masih berpeluang menghubungi pihak berkuasa menggunakan mesin ATM tanpa pengetahuan si penjenayah. Caranya adalah begini. Anda masukkan kad ATM anda seperti biasa. Tetapi masukkan nombor pin anda secara terbalik. Misalnya, jika nombor pin anda adalah 123456, nombor yang perlu anda tekan adalah 654321.

Wang tetap dapat dikeluarkan tetapi dalam masa yang sama, satu mesej akan diterima oleh pihak berkuasa dari mesin ATM berkenaan secara automatik. Tahulah pihak berkuasa bahawa seseorang sedang dirompak di mesin ATM tersebut dan mereka pun bergegas ke tempat kejadian untuk memberkas penjenayah. Tetapi tidak tahu pula sejauh mana kebenaran mitos amaran mesin ATM ini. Jika benar ia pernah berlaku, maka sememangnya mesin ATM menjadi saksi mitos amaran mesin ATM.

TIRAI BESI TERMEWAH

Thursday, October 14, 2010

Agak mengejutkan apabila kompleks penjara yang didirikan di negara kelahiran Adolph Hitler ini dibina sebegini rupa. Prasarana kompleks penjara di Austria ini memberi tafsiran baru kepada tirai besi moden. Kelengkapan dan kemudahan yang disediakan di penjara ini sangat mewah dan selayaknya diberi 5 bintang. Pastinya banduan-banduan lebih suka hidup dalam penjara sehingga mati berbanding bergelandangan dan dicemuh di luar sana. Kompleks penjara Austria ini sangat berbeza dengan gambaran sebenar tirai besi Puduraya mahupun Alcatraz.

Sekali pandang tidak percaya bangunan ini adalah penjara.

Ruang untuk banduan bersiar-siar.

Pintu hadapan penjara. Nama kompleks penjara ini mungkin Justizzentrum Leoben.

Ruang banduan bertemu tetamu.

Banduan di muka tirai.

Pandangan dari jarak lain.

Hidup umpama tanpa kongkongan.

Seorang warden yang bertugas di kompleks penjara ini.

Ruang lobi.

Terdapat juga beberapa hiasan menghiasi beberapa tempat.

Koridor dihadapan sel-sel banduan.

Hanya terpisah oleh tirai besi dihadapannya.

Ruang intim untuk banduan. Cukup eksklusif.

Dilengkapi pembesar suara dan LCD projektor.

Sama seperti di rumah sendiri. Malah lebih lagi.

Moden dan canggih. Tirai besi turut dilanda pembaharuan imej.

Gimnasium secara percuma yang setaraf dengan gimnasium berbayar.

Apalagi yang anda mahukan? Segalanya lengkap dalam sebuah sel mewah di Austria.

EKSPERIMEN EFEK KATA POSITIF & NEGATIF

Wednesday, October 13, 2010

Seorang penyelidik warga Indonesia bernama Caris ada terbaca mengenai ‘Pengaruh Kata-Kata Negatif Terhadap Air’ yang terkandung di dalam buku 'The Hidden Messages in Water' karya Masaru Emoto. Pada halaman 31 buku tersebut disebutkan tentang ramai orang yang melakukan percubaan atau penyiasatan berkenaan topik tersebut. Perkara ini lantas menarik minat Caris untuk menjalankan satu eksperimen.

EKSPERIMEN : Efek kata positif dan kata negatif.

RADAS/BAHAN : Botol, nasi & kertas label.

LANGKAH-LANGKAH :

1. Sekepal nasi diletakkan kedalam dua buah botol dengan jumlah yang sama dan kemudian ditutup rapat

2. Botol A dilabel dengan kata-kata : ' Kamu Pintar, Cerdas, Cantik, Baik, Rajin, Sabar, Aku Sayang Padamu, Aku Senang Sekali Melihatmu, Aku Ingin Selalu di dekatmu, I LOVE YOU, Terima Kasih.

3. Botol B pula dilabel dengan kata-kata : ' Kamu Bodoh, Goblok, Jelek, Jahat, Malas, Pemarah, Aku Benci Melihatmu, Aku Sebel Tidak mau dekat kamu '

4. Botol-botol ini dibiarkan selama seminggu. Botol-botol ini diletakkan terpisah ditempat yang senang dilihat dan setiap orang dipesan untuk membaca kata-kata pada label itu setiap kali melihat botol-botol tersebut.

KEPUTUSAN

Nasi dalam botol B atau yang dibacakan kata-kata negatif ternyata cepat sekali berubah menjadi busuk dan berwarna hitam dengan bau yang busuk.

Sedangkan nasi dalam botol A atau yang dibacakan kata-kata positif masih berwarna putih kekuningan dan baunya harum seperti ragi.


PERBINCANGAN

Di dalam buku yang dikatakan tadi, ada yang mencuba dengan tiga botol dimana botol yang ketiga tidak diberikan apa-apa label (sama seperti diabaikan atau tidak diperdulikan). Keputusannya, nasi dalam botol yang diabaikan membusuk jauh lebih cepat jika dibandingkan botol yang dipaparkan dengan kata-kata negatif.



KESIMPULAN

Bayangkan apa yang akan terjadi dengan anak-anak kita, pasangan hidup kita, rakan-rakan kita dan orang-orang disekeliling kita, bahkan binatang dan tumbuhan disekeliling kita pun akan merasakan efek yang ditimbulkan dari getaran-getaran yang berasal dari fikiran dan ucapan yang kita lontarkan setiap saat kepada mereka.

Maka sebaiknya selalulah sedar dan bijaksana dalam memillih kata-kata yang akan keluar dari mulut kita, demikian juga kendalikanlah fikiran-fikiran yang timbul dalam batin kita sebaik-baiknya.


Nota : Emel versi Indonesia ini telah diedit untuk lebih mudah difahami pembaca. Gaya penulisan pula sengaja ditulis seperti laporan eksperimen sains. Tidak dapat dipastikan ujikaji ini adalah betul ataupun tidak. Namun mesej atau nasihat yang cuba disampaikan adalah yang paling utama sebagai manfaat untuk semua.

BERMULANYA DENGAN TUP TAP

Monday, October 11, 2010

Pada zaman dahulu kala ada seorang menteri yang tinggal bersama-sama keluarganya di sebuah negeri yang aman damai. Dia merupakan menteri yang disegani penduduk-penduduk negerinya. Rumahnya sangat besar dan terletak di tengah-tengah kawasan pemerintahan menteri itu.

Tetapi ada sesuatu yang mengganggu hidupnya sekeluarga. Apabila matahari mula tenggelam bermulalah bunyi tup tap tup tap tup tap. Jiran-jirannyalah yang menjadi puncanya. Jiran disebelah kanan rumahnya adalah seorang tukang besi manakala jiran disebelah kiri rumahnya pula merupakan seorang tukang kayu. Tukang kayu dan tukang besi itu kedua-duanya bekerja pada waktu malam.

Si menteri sering memikirkan langkah terbaik untuk menyelesaikan masalah itu mengenangkan masalah itu melanda dirinya sendiri. Baginya biarlah masalah itu dapat diselesaikan tanpa membuatkan mana-mana pihak rajuk hati. Bak kata pepatah tarik rambut dalam tepung, tepung tak tumpah, rambut tak putus.

Hari demi hari, malam-malam si menteri sekeluarga terus-menerus diganggu bunyi pertukangan dari rumah-rumah jirannya. Kadang-kadang dia tertekan lantaran tidak cukup tidur dan tidak boleh memberi tumpuan pada tugasnya. Pernah juga dia mencadangkan agar si tukang kayu dan si tukang besi bekerja pada siang hari. Tetapi masing-masing menolak kerana mereka lebih selesa bekerja pada waktu malam.

Sehinggalah suatu hari, si menteri bertekad. Dia harus mencapai satu kata putus untuk mengatasi masalahnya. Jadi dia telah memanggil kedua-dua jirannya itu. Pada mulanya dia merasa canggung. Dia takut si tukang kayu dan si tukang besi itu terasa hati. Tetapi akhirnya dia bersuara. “Dengan 3 uncang emas ini, aku arahkan supaya kamu berdua berpindah dari rumah kamu. Mulakan kehidupan baru dan bertukanglah kamu sehingga pagi”. Kedua-dua jirannya itu menerima dengan hati yang terbuka.


Keesokan harinya si menteri tersenyum melihat kedua-dua jirannya sedang sibuk mengemas dan membawa barang-barang keluar dari rumah. Sudah pasti malam nanti dia akan mendapat lena yang panjang. Dia dapat merasakan bahawa dia tidak lagi berasa tertekan dan dia boleh menumpukan tugasannya semula.

Apabila hari menjelang malam, dia duduk di ruang tamu rumahnya sambil membaca syair-syair kegemarannya. Tiba-tiba dia terdengar tup tap tup tap tup tap. Bunyi yang biasa dia dengar pada malam-malam sebelum ini. Rupa-rupanya si tukang besi berpindah ke rumah tukang kayu manakala si tukang kayu berpindah ke rumah tukang besi.

Moral : Ada sesetengah orang didunia ini lurus bendul. Pastikan arahan anda cukup lengkap dan jelas serta nyatakan tujuan sebenar arahan kepada si lurus bendul.

Nota : Kisah ini adalah cebisan daripada buku cerita rakyat Asia yang berjudul Bermulanya Dengan Tup Tap yang dibeli oleh abah di Pesta Konvokesyen UKM semasa aku di sekolah rendah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...