MATA-MATA WANITA IRAN

Wednesday, July 20, 2011

Kalau di Malaysia, watak fiksyen Inspektor Aleeza menerusi drama Gerak Khas ditampilkan dengan bertudung tetapi tetap tangkas membanteras jenayah. Di negara kita sendiri sebenarnya, sudah terlalu ramai polis wanita bertudung dan ianya tidak sedikit pun membataskan pergerakan mereka ketika bertugas.


Sama seperti di negara ini, mata-mata atau polis di negara Iran juga bertudung, berhijab malah berjubah. Namun mereka dilatih beraksi lasak dan diajar seni mempertahankan diri serta latihan senjata api. Terbukti tuntutan agama Islam seperti menutup aurat tidak sesekali mengongkong tuntutan karier malah membuka mata pihak barat tentang kesyumulan agama Islam.
























EKSPLOITASI JENAMA

Tuesday, July 19, 2011

Eksploitasi bermaksud perbuatan mengambil kesempatan untuk mempergunakan seseorang atau sesuatu keadaan. Begitu juga dengan beberapa jenama yang dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu seperti gambar-gambar di bawah.


Gambar ini bukanlah sebahagian daripada promosi iklan produk Fair & Lovely, tetapi eksploitasi individu tertentu yang jelas sekadar suka-suka.



Tiga gambar dibawah pula adalah kad undangan perkahwinan yang diinspirasi daripada pembalut cokelat Cadbury.





Haiwan diekploitasi? Menerusi tiga iklan dibawah iaitu iklan perapi rambut, iklan syampu dan iklan losyen penghilang lingkaran hitam di mata, haiwan diekploitasi menerusi rekaan grafik dan sudah tentu kita tersenyum melihatnya.








Tangan gatal dan sebuah gerai di Pakistan. Jenama makanan segera seperti KFC dan McD juga menjadi mangsa.






Adidas cetak rompak dan produk Nokia terbaru? Lihat dua gambar di bawah.




SIAPA IDOLA ANDA?

Monday, July 18, 2011


Anda mungkin mempunyai idola anda sendiri. Tetapi tahukah anda idola anda dapat diketahui dengan melakukan satu pengiraan matematik yang ringkas dan mudah. Ianya mungkin seperti ciri-ciri yang terkandung dalam horoskop dalam majalah-majalah yang sedikit sebanyak bertepatan dengan diri anda. Jika anda mahu mencuba, saya nasihatkan supaya anda jujur, tetap pendirian dan melakukan pengiraan dengan betul. Ikut langkah-langkah berikut dan anda pasti terkejut dan setuju dengan tokoh yang ‘terpilih’ menerusi pengiraan matematik ini yang sememangnya idola anda sendiri selama ini.

PERTAMA : Pilih satu nombor diantara 1 hingga 8

KEDUA : Darabkan nombor yang anda pilih tadi dengan 3

KETIGA : Kemudian tambah hasil pengiraan tadi dengan 3

KEEMPAT : Darabkan dengan 3 (gunakan kalkulator jika perlu)

KELIMA : Anda akan mendapat satu angka yang mempunyai dua digit

KEENAM : Campur kedua-dua digit pada nombor itu (Contoh : Jika 23, tambahkan 2 & 3 dan jawapannya 5)

Sekarang anda sudah mendapat satu nombor tunggal. Lihat senarai dibawah perlahan-lahan. Nombor apa yang mewakili idola anda.

NOMBOR 1 = ALBERT EINSTEIN

NOMBOR 2 = DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

NOMBOR 3 = BILL GATES

NOMBOR 4 = DATUK SHAH RUKH KHAN

NOMBOR 5 = OPRAH WINFREY

NOMBOR 6 = DATUK SHEIKH MUZAFFAR SHUKOR

NOMBOR 7 = NIK AZIZ NIK MAT

NOMBOR 8 = TUN MAHATHIR MOHAMAD

NOMBOR 9 = PENULIS BLOG SAGAHAYAT

NOMBOR 10 = DATUK SITI NURHALIZA

NOMBOR 11 = JOHNNY DEPP

NOMBOR 12 = DONALD TRUMP


Sudah tahu siapa idola anda? Terima kasih memilih saya. Saya, penulis blog Sagahayat sememangnya idola anda. Terimalah hakikat dan terima kasih sekali lagi.

BUKTI PASAK BUMI

Monday, July 11, 2011

Baru-baru ini, saintis barat telah menemui satu penemuan yang cukup menakjubkan. Mereka telah menemui sebuah gua yang terletak di Naica, Mexico. Menariknya gua itu dipenuhi dengan batu-batu kristal yang besar dan berbentuk seperti pasak atau pancang yang kebiasaannya dipasang pada dasar binaan sesebuah bangunan. Batu-batu kristal semula jadi itu direkodkan mempunyai ukuran sehingga 12 meter. Namun semakin dalam saintis-saintis itu masuk ke perut gua, semakin panjang batu-batu kristal yang mereka temui.




Dr. Frank Press, pengarang buku The Earth, pernah menyatakan bahawa gunung-ganang hanyalah sebahagian daripada sebuah ‘binaan yang besar’ dimana akarnya memanjang jauh ke dalam perut bumi. Dr. Press menulis lagi bahawa gunung-gunung sangat penting dalam meneguhkan dan menetapkan perut bumi. Gambar-gambar berikut merupakan bukti kepada kenyataan Dr. Press yang mana batu-batu kristal pancang itu adalah sebahagian akar gunung-ganang dan yang lainnya tertancap jauh ke perut bumi.



















Walaupun penemuan ini membuktikan kenyataan Dr.Press, namun Al-Quran sudah membahaskan dan membuktikan peranan gunung-ganang sebagai pasak bumi sejak 1400 tahun yang lampau sepertimana terjemahan ayat-ayat suci Al Quran berikut.


Allah SWT berfirman (maksud):

"Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi, sebagai pancang pasak yang menetapnya)" (Surah An-Naazi’aat, 79: Ayat 32)

"Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya"(Surah An-Naba’, 78: Ayat 7)

"Dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu." (Al-Quran, Surah An-Nahl, 16: Ayat 15)

Subhanallah.

KUASA SENYUMAN

Wednesday, July 6, 2011

Senyuman cukup berkuasa. Senyuman dikatakan dapat membuka pintu rezeki malah dapat menjauhkan diri daripada kesulitan. Senyuman tidak perlu mengucapkan kata-kata namun sejauh mana kebenaran kehebatan sebuah senyuman akan anda dapat ketahui selepas membaca kisah ini.

Abu Yazid Al Busthami, pelopor sufi, pada suatu hari pernah didatangi seorang lelaki yang wajahnya kusam dan keningnya selalu berkerut. Dengan murung lelaki itu mengadu, “Tuan guru, sepanjang hidup saya, rasanya tak pernah saya terlepas untuk beribadah kepada Allah. Orang lain sudah melelapkan mata, saya masih bermunajat. Sebelum isteri saya bangun, saya sudah mengaji, saya juga bukan si pemalas yang enggan mencari rezeki. Tetapi mengapa saya selalu dirundung malang dan kehidupan saya penuh dengan kesulitan?”

Sang guru menjawab sederhana, “ Perbaiki penampilanmu dan ubahlah riak mukamu. Ketahuilah bahawa Rasullullah SAW adalah penduduk dunia yang miskin namun wajahnya tak pernah keruh dan selalu ceria. Menurut Rasullullah SAW, salah satu tanda penghuni neraka ialah muka masam yang membuat orang curiga kepadanya.”

Lelaki itu tertunduk. Dia pun berjanji akan memperbaiki penampilannya. Mulai hati itu, wajahnya sentiasa berseri. Setiap kesedihan diterima dengan sabar, tanpa mengeluh. Semenjak hari itu, tiada lagi keluh kesah. Sikapnya ramah dan wajahnya sentiasa menguntum senyuman. Riak mukanya berseri. Tidak hairanlah jika Imam Hassan Al–Basri berpendapat, awal keberhasilan suatu pekerjaan adalah air muka yang ramah dan penuh dengan senyum. Bahkan Rasullullah SAW menegaskan, senyum adalah sedekah paling murah tetapi paling besar pahalanya.

Semoga wajah kita sentiasa terukir senyuman dan hadapi segalanya dengan senyuman kerana senyuman itu manis dan cukup berkuasa.

JEJAK DARAH LANGKAT - Bahagian Akhir

Thursday, June 30, 2011



Menerusi bahagian terakhir ini, akan dirumuskan segala cerita mengenai salasilah ataupun susur galur keluarga ini secara lebih terperinci dan berpandukan fakta-fakta sejarah yang benar. Garis masa peristiwa juga dibuat mengikut perkiraan berdasarkan anggaran-anggaran tertentu.


GARIS MASA PERISTIWA


1842 – Tahun anggaran Tukang Ali dilahirkan di Kampung Stabat Hinai, Langkat, Sumatera Utara.

1859 – Tahun anggaran Tukang Ali keluar merantau pada usia 17 tahun dan terus menetap di Kampung Bilah Indera Pura.

1862 – Tahun anggaran Tukang Ali berkahwin dengan seorang gadis tempatan di Kampung Bilah Indera Pura pada usia 20 tahun.

1869 – Tahun anggaran Tukang Ali mula bekerja dalam kapal api dan berlayar ke pelbagai tempat di sekitar Selat Melaka.

1870 – Tahun anggaran Tukang Ali mula menetap di Linggi dan berkahwin dengan gadis tempatan di Linggi. Ketika ini usianya dijangka 28 tahun.

1872 – Tahun anggaran Bujang, anak sulung perkahwinan kedua Tukang Ali, dilahirkan.

1877 – Tahun anggaran Aminah, anak keempat pasangan Rafeah & Silong, dilahirkan.

1892 – Tahun anggaran Aminah dan Bujang berkahwin. Aminah pada ketika ini berusia 15 tahun manakala Bujang berusia 20 tahun.

1893 – Tahun anggaran Bujang membuka tanah di Kuala Kubu bersama adiknya Sadin. Sadin dianggarkan meninggal dunia pada tahun yang sama pada usia 20 tahun.

1894 – Tahun anggaran anak sulung pasangan Bujang dan Aminah iaitu Wahab dilahirkan.

1902 – Tarikh sebenar Bujang, Aminah dan anak-anaknya berpindah dari Linggi ke Sungai Kembong.

1912 – Tahun sebenar anak kelima atau anak bongsu pasangan Aminah dan Bujang iaitu Harun dilahirkan.

1918 – Tahun sebenar Limah dilahirkan di Tebing Tinggi, Kabupaten Jambi, Sumatera.

1919 – Tahun sebenar Bujang meninggal dunia pada usia 47 tahun.

1923 – Tahun sebenar Limah berhijrah ke Malaya. Ketika ini usianya 5 tahun.

1933 – Tahun sebenar Harun dan Limah berkahwin. Harun pada ketika ini berusia 21 tahun manakala Limah berusia 15 tahun.

1935 – Tahun sebenar anak sulung pasangan Harun dan Limah, Mariam dilahirkan.

1938 – Tahun sebenar anak kedua pasangan Harun dan Limah, Zainal dilahirkan.

1942 – Tahun sebenar anak bongsu pasangan Harun dan Limah, Saodah dilahirkan.

1943 – Tahun sebenar Harun, Limah dan anak-anaknya berpindah dari Sungai Kembong ke Sungai Buah untuk meneroka tanah bercucuk tanam.

1945 – Tahun sebenar Harun meninggal dunia pada usia 33 tahun.

1948 – Tahun sebenar Aminah meninggal dunia pada usia 71 tahun.


TENTANG LANGKAT


Langkat merupakan sebuah daerah yang terletak di Sumatera Utara. Nama Langkat diambil dari nama Kesultanan Langkat yang dulu pernah ada di tempat yang kini merupakan kota kecil bernama Tanjung Pura, sekitar 20 kilometer dari Stabat.


Langkat sebelumnya merupakan bawahan pemerintahan Kesultanan Aceh sehingga awal abad ke-19. Pada saat itu raja-raja Langkat meminta perlindungan Kesultanan Siak. Tahun 1850 Aceh mendekati Raja Langkat agar kembali ke bawah pengaruhnya, namun pada 1869 Langkat menandatangani perjanjian dengan Belanda, dan Raja Langkat diakui sebagai sultan pada tahun 1877.


Amir Hamzah yang merupakan penyair terkenal merupakan kerabat diraja Langkat manakala Tengku Ampuan Rahimah yakni isteri Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Al-Marhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah merupakan puteri kesultanan Langkat yang diputerikan di Istana Tanjung Pura, Langkat pada pada 4 Ogos 1927. Ayahandanya ialah Sultan Abdul Aziz Rahmat Shah ibni Sultan Abdul Jalil, Sultan Langkat yang bertakhta di Istana Tanjung Pura dari tahun 1894 sehingga 1927. Bonda Tengku Rahimah bernama Tengku Permaisuri Zaharah, anakanda Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah, Sultan Selangor Kelima yang bertakhta dari 1898 hingga 1938.




TERSURAT & TERSIRAT

Tukang Ali dikatakan merajuk kerana disisihkan dalam urusan peminangan kakaknya. Namun tidak dapat dipastikan mengapa Tukang Ali begitu merajuk sehingga meninggalkan keluarganya di Langkat. Adakah kerana dia tidak menyukai tunang kakaknya ataupun dia sendiri betul-betul kecewa kerana merasakan dia layak untuk dipanggil turut serta di dalam urusan peminangan itu. Semuanya tidak dipastikan.

Melemparkan batu ke dalam sungai adalah simbolik kepada tekadnya keputusan yang telah dibuat. Begitu juga dengan sesetengah orang yang pada masa dahulu yang menakuk tangga dan tidak akan kembali selagi takukan di tangga rumahnya tumbuh kembali.

Sepertimana sumpahnya juga, Tukang Ali tidak pernah kembali semula ke Langkat sehingga akhir hayatnya. Dia meninggal dunia dan dikebumikan di Pengkalan Durian, Linggi. Melalui cerita yang disampaikan sejak turun temurun, tidak pernah disebut nama kedua-dua isteri Tukang Ali sama ada isterinya di Bilah Indera Pura ataupun di Linggi.

Sama seperti ayahnya, Tukang Ali juga mahir bertukang. Dia juga cukup cekap membuat ukiran-ukiran kayu yang sungguh mempesonakan. Dia juga dikatakan terlibat secara tidak langsung dalam usaha menjatuhkan J.W.W Birch iaitu Residen British Pertama di Perak (J.W.W Birch dilantik menjadi residen pada tahun 1874 dan mati dibunuh pada tahun 1875). Oleh sebab itu, beberapa askar British menjejak Tukang Ali dan akhirnya berjaya sampai ke rumahnya di Linggi untuk menangkapnya tetapi pada ketika itu Tukang Ali sudah pun meninggal dunia. Askar-askar British itu kemudiannya merampas beberapa ukiran kayu yang diukir oleh Tukang Ali. Dikatakan ukiran-ukiran kayu itu ada dipamerkan di salah sebuah muzium di negara ini. Namun tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenaran cerita ini.


Ketika Tukang Ali menetap di Bilah Indera Pura, dia menetap dengan ibu angkatnya. Mat Tera yang merupakan sahabatnya mempunyai hubungan persaudaraan dengan ibu angkat Tukang Ali itu. Selepas Mat Tera berpindah ke Linggi kemudian ke Sungai Kembong, Bujang menyusulnya ke Sungai Kembong. Satu-satunya anak perempuan Bujang iaitu Salimah akhirnya berkahwin dengan anak Mat Tera yang bernama Dolmat. Imam Haji Abbas Dolmat yang merupakan waris tertua (kini berusia 89 tahun) yang menjadi sumber sahih tentang susur galur keluarga ini merupakan anak kepada pasangan Salimah dan Dolmat dan cucu kepada Bujang, Aminah, Mat Tera dan Saabah.


Bujang pula pernah berguru dengan Syeikh Abdul Wahab Langkat. Syeikh Abdul Wahab Langkat atau nama sebenarnya Syeikh Abdul Wahab Rokan Al-Kholidi Naqsyabandi merupakan seorang wali Allah yang memiliki keramat. Beliau dilahirkan pada tahun 1811 di Negeri Tinggi, Rokan Tengah, Kabupaten Kampar, di Riau. Wali Allah ini mengajar ilmu agama di sebuah pesantren (sekolah pondok) berhampiran Istana Langkat dan meninggal dunia pada tahun 1926. Sebelum beliau meninggal dunia, beliau ada meninggalkan 40 wasiat yang menjadi panduan hidup kepada anak-anak muridnya

Bujang akhirnya meninggal dunia di Sungai Kembong dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kota di Kampung Sungai Kembong. Dianggarkan beliau meninggal dunia pada tahun 1919 ketika berusia 47 tahun.

Berlainan dengan cerita yang pernah ditulis sebelum ini, terdapat satu versi yang berbeza yang ditampilkan pada 20 Jun 2011 (versi asal pernah dicatatkan pada 3 November 2003 menerusi pengkisahan untuk buku profil Badan Kebajikan Rafeah-Silong). Menurut cerita versi terbaru itu, Tukang Ali pada mulanya berhijrah ke Melaka dan berkahwin dengan seorang gadis tempatan sebelum berpindah ke Linggi. Anak Tukang Ali iaitu Bujang berkahwin dengan Aminah iaitu anak kepada Rafeah dan Silong di Sungai Jernih, Melaka. Mohamad Shah pula dibaham harimau ketika dia dalam perjalanan pulang selepas menemani bapanya meneroka hutan. Namun versi pertama dilihat lebih logik mengikut garis masa peristiwa yang dianggarkan.

Mengikut cerita Imam Haji Abbas Dolmat (yang lebih dikenali dengan nama Pak Ngah Abbas atau Tok Ngah Abbas) lagi, moyang keturunan ini iaitu Rafeah adalah daripada suku anak Melaka Limau Perut manakala suku moyang Silong tidak dapat dijelaskan. Sejak Rafeah dan Silong berpindah ke Linggi, ahli keluarganya semakin bertambah dan beranak pinak dan berpindah ke kawasan-kawasan lain seperti Sendayan, Jimah dan juga Sungai Kembong.

Ibu Limah pula iaitu Jibah Binti Mat Jip merupakan kawan baik kepada Aminah semasa di Sungai Kembong dan usia mereka hampir sebaya. Persahabatan mereka mungkin menyatukan Limah (anak Jibah) dan Harun (anak Aminah) sebagai suami isteri. Bapa Limah iaitu Mustapha merupakan seorang guru silat.

Limah sendiri pernah bercerita kepada anaknya Zainal tentang kisah ibunya, Jibah semasa berusia sekitar 7 tahun. Ketika itu Jibah menetap di Tebing Tinggi, Muara Bungo, Jambi. Suatu ketika, kampung mereka dilanda kegelapan yang luar biasa selama tujuh hari tujuh malam. Jibah yang masih kecil pada masa itu tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku memandangkan pada zaman itu tiada hubungan komunikasi sepertimana hari ini. Mengikut garis masa peristiwa, kejadian paling tepat yang boleh dikaitkan dengan kejadian itu adalah peristiwa letusan Gunung Krakatau di Selat Sunda di antara pulau Jawa dan Sumatera yang berlaku pada tahun 1883.

Apapun cerita mengenai susur galur keluarga ini merupakan perkara yang sangat penting dan merupakan warisan yang tidak ternilai. Walaupun cerita-cerita ini hanyalah menerusi lisan, namun ianya masih boleh diterima pakai berdasarkan logik masa dan juga keadaan dan suasana pada zaman itu. Semoga catatan ini menjadi suatu catatan yang menjadi rujukan untuk menjejak darah Langkat. Wallahua’lam.


TAMAT

JEJAK DARAH LANGKAT - Bahagian III

Monday, June 27, 2011


LIKU HIDUP HARUN


Harun serba salah. Dia sudah bahagia menetap di Sungai Kembong bersama isterinya Limah, dan tiga orang anak mereka iaitu Mariam, Zainal dan Saodah. Namun, arahan tentera Jepun supaya keluarganya bersama beberapa keluarga yang lain untuk meneroka hutan dan bercucuk tanam di Sungai Buah menyebabkan dia akur.



Harun yang ketika itu baru berusia 31 tahun akhirnya berjalan kaki dari Sungai Kembong ke Sungai Buah sejauh beberapa batu bersama-sama anak-anak dan isterinya. Harun membina sebuah pondok di tanah yang diterokanya sebagai tempat mereka sekeluarga berteduh daripada panas dan hujan. Dinding pondoknya adalah bertam. Pondoknya sempurna berbumbung bertam. Begitu juga dengan lantainya.


Hasil tanaman mereka menjadi. Mereka akhirnya sudah boleh membiasakan diri untuk tinggal dan menjalankan kegiatan bercucuk tanam di Sungai Buah. Begitu juga dengan Arifin, abang si Harun, Ali Hanafiah iaitu abang kepada Limah, Salmah dan Zahid dua beradik dan beberapa lagi orang Bangi yang sama-sama meredah hutan Sungai Buah bagi membuka kawasan untuk bercucuk tanam.


Suatu hari, Harun dan Arifin mengambil upah menebang pokok di satu kawasan hutan yang terletak di antara Bukit Unggul dan Jenderam. Pada pagi Jumaat itu, mereka menebang sebatang pokok. Pokok berakar banir itu ditetak sehinggalah hanya kulit pokok dan sebahagian batang pokok saja yang masih menyokong pokok itu. Bunyi kertak-kertuk dan desir daun pokok bergeser dengan pokok lain semakin kuat. Harun dan Arifin berlari menjauhkan diri. Namun malang tidak berbau. Pokok itu tumbang berbalik awah lalu menghempap batang tubuh Harun.



Arifin terkejut bukan kepalang. Perkiraannya tumbang pokok itu ke tempat lain tetapi berpaling ke arah adiknya. Jeritan Arifin tidak bersambut. Harun meninggal dunia serta merta. Arifin tersentak. Tubuhnya serta merta menggigil menyaksikan peristiwa yang cukup menakutkan. Air matanya bertakung menanti luruh.


Arifin berlari sejauh dua batu untuk menuju ke Sungai Buah. Dia segera menuju ke pondok Limah. Dalam keadaan mengah dan nada suara yang bergetar, Arifin membuka mulut. “ Limah, adik aku dah tiada!” Lemah longlai tubuh Limah mendengar khabar berita itu. Baru pagi tadi dia melihat suaminya meninggalkan pondok menuju ke hutan bersama Arifin.


Namun, Limah gagahi jua. Bersama anak-anaknya dia merentas hutan menuju ke tempat suaminya menemui ajal. Fikiran Limah menerawang ke antah berantah. Adakalanya fikirannya kosong mengenangkan nasibnya nanti tanpa kehadiran suaminya disisi.


Limah akhirnya tiba dikawasan itu. Dia melihat satu kawasan yang agak terang dan terdapat sebatang pokok sebesar pokok kelapa yang sudah tumbang menyembah bumi. Di bawah batang pokok berwarna putih itu adalah mayat suaminya yang ditutup dengan daun-daun bertam.



Suasana cukup menyayat hati. Zainal yang ketika itu berusia tujuh tahun sudah mengerti apa yang berlaku walaupun baginya segala-galanya berlaku dengan begitu pantas sekali. Batang pokok itu diangkat dan dialihkan oleh beberapa peneroka yang sama-sama meneroka di Sungai Buah. Sehelai kain batik dijadikan pengusung dan disokong oleh dua batang kayu. Mayat Harun diletakkan di atas pengusung itu dan kemudian dibawa ke pondok Limah, tempat terakhir Harun berteduh dan bermesra dengan anak-anaknya sebelum dia pergi menemui yang Maha Esa. Darah menitik-nitik dari tempat kejadian sehinggalah ke pondok Limah. Mayat itu kemudiannya dibawa ke pondok Arifin untuk diuruskan. Dan darah tidak pernah berhenti menitik.


Wajah-wajah yang hadir adalah wajah yang sayu. Mereka kehilangan saudara atau teman yang sama-sama datang dari Sungai Kembong dan sama-sama meneroka tanah di Sungai Buah. Baju melayu dijadikan kain kafan untuk menyempurnakan jenazah. Jenazah Harun kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Buah disaksikan ahli keluarga, saudara-mara dan juga sahabat handai. Doa dan talkin dibacakan. Semua yang hadir begitu berdukacita namun tetap mendoakan kesejahteraan arwah ke alam abadi.


AIR MATA LIMAH


Limah menjunjung hasil-hasil tanaman di atas kepalanya. Zainal membuntuti ibunya berjalan pulang ke Sungai Kembong. Zainal menjinjing dua biji buah nanas di kedua-dua belah tangannya. Tiba-tiba dia melihat ibunya menangis. Dia tertanya-tanya mengapa ibunya menangis bagaikan tiada sudahnya. Namun dia akhirnya pasti ibunya menangis mengenangkan untung nasibnya yang hidup sebagai ibu tunggal yang terpaksa bersusah payah membesarkan Zainal bersama kakaknya, Mariam dan adiknya, Saodah.




Limah sebenarnya bukan berasal dari Sungai Kembong. Dia sama seperti orang-orang Linggi yang lain yang berhijrah ke Sungai Kembong untuk memulakan kehidupan baru. Tetapi Limah bukan orang Linggi. Dia berasal dari Kampung Tebing Tinggi di daerah Jambi.

Ketika usianya sekitar 5 tahun, dia dan abangnya, Injam dibawa ibunya berjalan kaki sejauh kira-kira 7 batu. Sakit kakinya berjalan kaki sejauh itu dari kampung Tebing Tinggi ke Muara Bungo hanya Tuhan saja yang tahu. Ibu Limah iaitu Jibah, terpaksa berpindah bagi melupakan kisah hidupnya yang cukup memilukan. Hasil perkongsian hidupnya dengan Mustafa, mereka dikurniakan 11 orang cahaya mata. Namun takdir tuhan, ramai dikalangan anaknya yang menemui ajal pada usia yang cukup muda.


Tekadnya, biarlah Limah dan Injam dibawa berpindah ke tempat yang baru agar mereka boleh melupakan kisah yang lalu dan membuka lembaran yang baru dalam hidup mereka sekeluarga. Jibah kemudian berhijrah ke tanah melayu dan membeli sebidang tanah di kawasan antara Kampung Rinching dan Kampung Sungai Kembong. Kemudian mereka berpindah ke Kampung Sungai Kembong Hilir memandangkan kawasan sebelumnya merupakan kawasan yang terpencil.


Tertulis di makrifat, jodoh Limah adalah dengan Harun, iaitu anak bongsu kepada pasangan Bujang dan Aminah. Mereka mendirikan rumah di atas sebidang tanah milik Bujang di Sungai Kembong. Bahagialah mereka sekeluarga membesarkan anak-anak mereka yang bertiga itu.



Namun, sejak ketiadaan Harun, Limah melakukan segala-galanya. Dialah ibu, dialah bapa. Tetapi secekal mana pun hatinya, dia masih mengalirkan air mata saat terlihat dari jauh lambang bulan sabit dan bintang pada kubah masjid kayu di Sungai Buah. Lantas dia terus terkenangkan Harun yang disemadikan di tanah perkuburan berdekatan masjid.


Beberapa bulan kemudian, Limah pulang ke Sungai Kembong. Cuma sekali-sekala Limah akan kembali ke Sungai Buah bersama-sama anak-anaknya untuk mengutip hasil tanaman dan kemudian menjualnya di Stesen Keretapi Bangi. Zainal masih ingat lagi, askar British cukup suka membeli dan mengunyah tebu yang dijual ibunya di stesen keretapi itu.


Limah tidak pernah berputus asa. Hidupnya mesti diteruskan dan dia percaya rezeki Tuhan ada di mana-mana saja. Asalkan hatinya tetap berjiwa besar melalui liku-liku hidupnya yang penuh cabaran.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...