Dari dulu lagi Bukit Broga yang gondol tanpa pokok-pokok yang besar jelas kelihatan dari Pekan Semenyih. Broga pula lebih terkenal sebagai kawasan cadangan tapak perlupusan sampah atau tapak insinerator berbanding sejarahnya ditawan komunis suatu masa dulu. Namun sejak dua tahun kebelakangan ini, Bukit Broga telah menjadi salah satu daya tarikan masyarakat setempat kerana menjanjikan kawasan rekreasi bagi mereka yang gemar mendaki dan treking.
Bukit Broga semakin popular apabila muncul di kaca televisyen dan di dada-dada akhbar. Terletak lebih kurang 45 minit dari ibukota, Bukit Broga pantas menjadi destinasi rekreasi bagi masyarakat setempat dan yang berdekatan. Sudah semestinya aku yang tinggal tidak sampai lebih kurang 30 minit dari bukit itu terasa tercabar sekiranya tidak menawan 4 puncak setinggi 380 meter dari aras laut itu.
Hari Sabtu, 5 Jun 2010 adalah hari yang ditetapkan dimana aku dan lima rakan lagi berjanji untuk berkumpul di Masjid Pekan Semenyih pada jam 6 pagi. Hujan sebelum itu tidak melunturkan semangat kami, dimana empat rakan aku yang menetap di Kuala Lumpur sudah bangun seawal jam 4.30 pagi untuk bersiap-siap mendaki bukit ini.
Selepas solat subuh, aku, empat rakanku tadi beserta seorang rakan yang sememangnya tinggal di Pekan Semenyih menuju ke Broga. Sekitar 10 minit kami telah pun tiba di jalan utama berhampiran puncak tertinggi Broga. Kami begitu terkejut melihat begitu banyak kenderaan di kawasan ladang kelapa sawit dan di kiri kanan jalan. Ramai orang sudah siap sedia mendaki dengan pakaian sukan dan ada juga yang telah pun menuruni bukit itu. Dek kerana terlalu banyak kereta, kami terpaksa meletakkan kereta berhampiran simpang Institut Sekolah Memandu Broga.
Dari dalam kereta kami dapat melihat deretan cahaya-cahaya kecil bersusun dari puncak bukit sehinggalah ke kaki bukit. Ada cahaya yang berdenyar, sudah semestinya flash kamera dan ada cahaya yang bergerak, sudah semestinya cahaya lampu suluh yang dibawa pengunjung memandangkan keadaan masih gelap ketika itu. Di kaki bukit terdapat papan tanda yang menunjukkan arah Bukit Broga 1.5km ke puncak dan 4.8km ke puncak Gunung Tok Wan.
Jam 6.30 pagi kami memulakan pendakian. Bersama-sama kami berpuluh-puluh orang yang lain sama-sama menghala kaki menuju denai kecil ke puncak Broga. Suasana bagaikan larian marathon ataupun cross country di mana pelbagai kelompok bangsa dan lapisan usia berdedai melalui ladang kelapa sawit, denai-denai kecil dan kecuraman bukit yang semakin mencabar.
Terdapat beberapa simpang denai menuju ke puncak Broga, namun simpang ini akan bertembung dipenghujungnya dimana pengunjung bebas memilih mana-mana laluan yang disukai. Kami memilih setiap laluan kiri untuk mendaki dan berkira-kira untuk menggunakan setiap laluan kanan apabila pulang nanti. Trek-trek ini sangat jelas dan tidaklah terlalu sukar untuk mendaki. Terdapat beberapa trek yang berhampiran gaung kecil tetapi pita keselamatan diletakkan demi memastikan keselamatan pengunjung.
Setelah melepasi hutan pokok-pokok yang kecil, kami akhirnya tiba di kaki puncak pertama Bukit Broga. Pada ketika itu jam sudah menunjukkan tepat pukul 7 pagi. Kami meneruskan perjalanan mendaki puncak pertama. Di hadapan kami adalah landskap bukit yang ditumbuhi lalang dengan kelompok-kelompok batu-batu besar yang disimbah cahaya mentari yang semakin menyinar.
Usaha sejam kami berbaloi apabila kami tiba di puncak pertama pada jam 7.30 pagi. Matahari sudah pun mula memunculkan diri dicelah-celah bukit nun di kejauhan. Puncak pertama hanyalah sebesar lebih kurang saiz gelanggang badminton tetapi pemandangan 360 darjah tanpa hadangan menjanjikan pemandangan sayup mata memandang. Kami mengambil kesempatan mengambil gambar di atas batu dipuncak bukit walaupun terpaksa menunggu giliran memandangkan berpuluh yang lain memenuhi kiri, kanan, depan dan belakang puncak itu. Pengunjung kebanyakannya menguji lensa kamera DSLR mereka bagi merakamkan pemandangan indah di puncak tertinggi berdekatan sempadan Selangor dan Negeri Sembilan itu. Ada juga yang membawa bekalan makanan dan duduk berkumpulan menghayati panorama yang sukar ditemui di bandar-bandar. Kami juga ada berbual dengan beberapa pengunjung. "Kat belakang bukit ni ada air terjun. Air terjun Gabai", kata seorang pakcik berseloroh.
Kami seterusnya mendaki puncak kedua. Dari puncak pertama kami dapat menyaksikan deretan manusia memenuhi denai bagaikan meniti Tembok Besar China. Untuk ke puncak kedua, kami perlu menuruni bukit pertama dan seterusnya mendaki puncak ini. Puncak kedua lebih tinggi berbanding puncak pertama, dan secara ringkasnya puncak keempat adalah yang tertinggi diikuti puncak ketiga, kedua dan pertama.
Akhirnya, kami menamatkan pendakian di puncak ketiga. Kami berpakat untuk tidak mendaki puncak keempat memandangkan cuaca semakin mendung dan semakin ramai pengunjung yang mula meninggalkan puncak-puncak bukit itu. Kami sangat berpuas hati kerana dapat menawan puncak Broga walaupun agak lewat tiba di puncak. Apapun, walaupun tidaklah sesusah mana mendaki bukit ini, namun separuh tapak kasutku tertanggal seperti mulut peramah terkumat-kamit. Peluh juga terpercik di muka dan badan memberi petanda kalori-kalori telah terbakar. Aku juga bersetuju dengan kata-kata abangku yang menyatakan Bukit Broga saling tak tumpah seperti lokasi penggambaran filem genre peperangan The Thin Red Line. Persamaannya adalah lereng bukit, lalang dan angin lembut yang menarikan lalang. Kami menuruni puncak Broga dengan perasaan gembira kerana hujung minggu kami terisi dengan aktiviti riadah yang bukan sahaja menyihatkan malah memberi bonus pemandangan yang mengasyikkan.
**************
Dua hari selepas mendaki, seorang kawanku mengadu sakit kaki. Dia bertanya, “ Apesal aritu kita tak warm up aaa?”.......
Sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini, sagahayat menyenaraikan 7 fakta tentang guru. Untuk semua guru di Malaysia, Selamat Hari Guru, Cikgu!
DEFINISI GURU - Guru berasal dari bahasa Sanskrit गुरू. Kamus Dewan Edisi Ketiga mendefinisikan guru sebagai orang yg mengajar, pendidik, pengajar dan pengasuh. Tesaurus Bahasa Melayu Dewan (1998) pula menterjemahkan guru sebagai cikgu, pensyarah, profesor, pengajar, pendidik, pembimbing, penceramah, pengasuh, pemandu, instruktur, jurulatih, pemimpin, ustaz, ustazah, ulama, kiai, mualim. Dari segi agama pula misalnya agama Hindu dan Sikh, guru mempunyai maksud yang lebih tinggi. Ia biasanya merujuk kepada para pendita yang mempunyai ilmu mendalam dalam hal-hal kerohanian. Perkataan Guru juga diguna secara universal. Di barat, guru merujuk kepada orang yang mendalami spiritual.
GURU DALAM PEPATAH - Terdapat sekurang-kurangnya tujuh pepatah yang terkandung perkataan ‘Guru’ iaitu; i. Akan mengaji, surat 'lah hilang; akan bertanya, guru 'lah mati. ii. Sukakan gaharu kerana baunya, sukakan guru kerana ilmunya. iii. Kemahiran itu sebaik-baik guru. iv. Kurang sisik, tinggal lidi di buku; selidik, tinggal kaji di guru. v. Kalau guru makan berdiri, maka muridnya makan berlari. vi. Guru kencing berdiri, murid kencing berlari vii. Bak nyiru bak tampian, bak guru bak anak sasian.
GURU PADA NAMA TEMPAT - Guru juga ‘diabadikan’ pada beberapa nama taman perumahan di negara ini. Sekadar menyebut beberapa contoh, berikut adalah antara ‘taman perumahan guru’; i. Taman Guru, Jalan Gambang, 25000 Kuantan, Pahang ii. Desa Guru, Jalan Sultan Tengah Petra Jaya Kuching, Sarawak iii. Taman Guru Jaya, Kangar, Perlis iv. Taman Guru, 81900 Kota Tinggi , Johor v. Taman Guru 16150 Kota Bharu, Kelantan
HARI GURU - Hari Guru Antarabangsa ditetapkan oleh UNESCO pada 5 Oktober setiap tahun. Tetapi di Malaysia, Hari Guru disambut pada setiap 16 Mei sebagai penghargaan kepada para guru. Tarikh 16 Mei dipilih kerana pada tarikh yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dasar itu telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan sejak dari itu dan dinamakan Laporan Razak. Berikut adalah Hari Guru yang berbeza di seluruh dunia.
Albania - 7 Mac
India - 5 September
China - 10 September
Republik Czech - 28 Mac
Korea Selatan - 15 Mei
Russia - 5 Oktober
Vietnam - 20 November
Taiwan - 28 September
Thailand - 16 Januari
Brazil – 15 Oktober
Mexico – 15 Mei
UNIKNYA GURU - Di sekolah, seorang guru juga memegang sekurangnya-kurang 10 kerjaya lain termasuklah Tukang Kebun, Tukang Kayu, Tukang Masak, Jururawat, Kerani, Jurulatih, Pengaturcara Majlis, Juruacara, Polis & Pengawal Keselamatan. Tetapi mutakhir ini, lebih ramai guru yang bertukar kerjaya kepada yang lebih profesional seperti Penulis, Pensyarah, Pengarah Institusi, Ahli Politik, Saintis & Menteri. Uniknya profesion guru adalah tidak kira di mana tempat sekalipun sama ada bandar, luar bandar, pekan, kampung, pedalaman dan sebagainya pasti wujud sekurang-kurangnya seorang guru.
KILANG GURU - Guru-guru Malaysia kebanyakannya dikeluarkan dari Institut Perguruan ataupun kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Terdapat 27 IPGM di seluruh negara iaitu IPGM Perlis, IPGM Darul Aman, IPGM Sultan Abdul Halim, IPGM Persekutuan P.Pinang, IPGM Tuanku Bainun, IPGM Ipoh, IPGM Bahasa Melayu Malaysia, IPGM Bahasa-Bahasa Antarabangsa, IPGM Ilmu Khas, IPGM Teknik, IPGMIslam, IPGM Raja Melewar, IPGM Perempuan Melayu Melaka dan IPGM Tun Hussein Onn. IPGM lain termasuklah IPGM Temenggung Ibrahim, IPGM Tengku Ampuan Afzan, IPGM Kuala Terengganu, IPGM Sultan Mizan, IPGM Kota Baharu, IPGM Gaya, IPGM Kent, IPGM Tawau, IPGM Keningau, IPGM Batu Lintang, IPGM Serawak, IPGM Rajang dan IPGM Tun Abdul Razak. Namun ‘kilang’ sebenar yang menghasilkan seratus peratus guru adalah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Selain itu, Institut Pengajian Tinggi Awam di seluruh Malaysia seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia & Universiti Putra Malaysia dan lain-lain turut menawarkan kursus pendidikan.
GURU PALING POPULAR - Antara guru yang popular di Malaysia termasuklah Tan Sri P.Ramlee menerusi filem Masam Masam Manis, Roseyatimah (Pendekar Bujang Lapok), A.R Badul (Guru Badul), Noorkumalasari (Adik Manja), Erra Fazira (Sembilu 2005) dan Fasha Sandha (Berlari Ke Langit) dan Adibah Noor (Talentime). Antara guru yang popular di dunia ialah Takeshi Sorimachi menerusi drama bersiri Great Teacher Onizuka (GTO), Sidney Poitier (To Sir With Love), Hilary Swank (Freedom Writers), Julia Roberts (Monalisa Smile), Jack Black (School of Rock) dan Michelle Pfeiffer (Dangerous Minds).
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara Jika hari ini seorang ulama yang mulia Jika hari ini seorang peguam menang bicara Jika hari ini seorang penulis terkemuka Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa; Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca Petikan Sajak Guru O Guru, Usman Awang 1979
Untuk anak-anak ini, jadilah nakhoda yang mengemudi hidup di samudera yang bergelora bersama harapan dan kejayaan. Hidup adalah perjuangan. Hadapinya dengan senyuman.
Burung camar hinggap di jejari
Seorang nelayan sedang bermimpi
Mimpi tentang duyung mimpi tentang untung
Biduk hanyut dibawa ombak Laut China Selatan
Dalam mimpi berkata sang duyung
Wahai nelayan kau anak laut
Disini tempatmu disini rezekimu
Pengorbanan yang kau lakukan ada balasannya
Mega mendung laut pun bergoncang
Nelayan tersentap bingung sesat haluan
Sang mentari terlindung pantai tak kelihatan
Tawakal jalan akhirnya
Dalam pondok kecil meratap rintihan
Seorang ibu memandang hari muka
Sambil dia menyusukan bayi yang kehausan
Ufuk timur hilang dari pandangan
Wahai anak yang sedang menangis
Mungkin kini kau tak mengerti
Bila kau dewasa dan pandai nanti
Pengorbanan ayahmu sayang jangan kau lupakan
Sempena hari guru yang bakal menjelang tidak lama lagi, sagahayat mempersembahkan carta 7 hukuman terbaik zaman sekolah. Rata-rata hukuman yang pernah dihadapi ini lebih kurang sama dengan hukuman atau denda bagi murid-murid di seluruh Malaysia, tetapi menerusi sagahayat ianya diceritakan secara lebih terperinci dalam mengenang nostalgia bangku sekolah.
TANGGA KETUJUH
Hukuman = Angkat beg dengan muatan maksima di luar kelas
Sebab musabab = Tidak siap kajian tempatan sejarah
Guru yang bertanggungjawab = Cikgu Rasimah (Guru Sejarah Tingkatan 1)
Kesan Sampingan = Aib. Tangan lenguh sepanjang hari
Impak = Kajian Tempatan siap serta merta!
TANGGA KEENAM
Hukuman = Buat amali di luar kelas (bukan zaman sekolah tapi zaman universiti)
Sebab musabab = Datang lewat 5 minit untuk kelas amali
Guru yang bertanggungjawab = Prof. Madya Dr.Azraii (Pensyarah Amali Biologi)
Kesan Sampingan = Tak dapat fokus menjalankan amali
Impak = Sumpah Dr.Azraii! Lepas ni kami datang awal!Malu awek-awek tengok.
TANGGA KELIMA
Hukuman = Hujung jari-jemari dipalu dengan pembaris kuning
(keadaan jari seperti bentuk ‘burung’ one two som)
Sebab musabab = Tidak mendapat A atau B untuk ujian bulanan matematik.
Guru yang bertanggungjawab = Cikgu Hasbullah (Cikgu Matematik Tingkatan 3)
Kesan Sampingan = Sukar untuk menulis dan jari kurang berfungsi dengan baik untuk beberapa ketika.
Impak = Mendapat sekurang-kurangnya B untuk ujian bulanan seterusnya.
TANGGA KEEMPAT
Hukuman = Betis dipukul dengan penyapu.
Sebab musabab = Tidak menulis hari, tarikh dan matapelajaran dalam buku tulis
Guru yang bertanggungjawab = Ustaz Saad (Guru Bahasa Arab Tingkatan 2)
Kesan Sampingan = Betis terasa pijar dan penyapu kelas patah dua
Impak = Jangan pandang rendah pada Ustaz Saad!
TANGGA KETIGA
Hukuman = Dikurung 2 jam dalam bilik Tv sekolah
Sebab musabab = Merayau-rayau sekitar sekolah
Guru yang bertanggungjawab = Cikgu Hizbullah (Guru Disiplin sekolah rendah)
Kesan Sampingan = Hampir tiada. Sebab? Dapat lepak borak-borak dengan kawan-kawan yang sama-sama kena kurung dan tak payah masuk kelas.
Impak = Kad Keluar Kelas menjadi rebutan kalau nak keluar kelas
TANGGA KEDUA
Hukuman = Jalan itik keliling blok
Sebab musabab = Datang lewat perhimpunan
Guru yang bertanggungjawab = Cikgu Jet Li (Guru Disiplin sekolah menengah)
Kesan Sampingan = Kaki menggigil naik tangga. Sukar untuk membuang air besar apabila memerlukan posisi bercangkung.
Impak = Sanggup tak sarapan pagi sebab takut terlewat perhimpunan
JUARA CARTA
Hukuman = Buku teks dihempas ke muka dengan kuat.
Sebab musabab = Tidak membalut buku teks dengan plastik lut sinar (Balut buku teks dengan kertas minyak atau kertas surat khabar tidak diterima)
Guru yang bertanggungjawab = Ustazah Saadiah (Guru Agama Tahun 1)
Kesan Sampingan = Muka pijar dan merah. Air mata bertakung. Tertanya-tanya sampai sekarang. Bercita-cita jadi guru supaya dapat balas dendam pada anak ustazah (Ini tidak betul!hehehe)
Impak = Minta kakak balut buku teks dengan plastik lut sinar petang itu juga! Kalau boleh buku tulis pun nak balut.
Walau apa pun hukuman atau denda yang dikenakan, semuanya adalah demi kebaikan. Walakin kita terpaksa menerima hukuman yang cukup berat bagi kesalahan yang kecil di usia yang cukup mentah. Baik buruk manapun seorang guru, ilmunya yang mahu diraih. Dan perih-jerihnya mendidik anak bangsa, hanya dia yang tahu. Demi menebus khilaf sendiri dan berkatnya ilmu seorang pendidik, ku turutkan saja.
Nota : Aku masih menerima hukuman walaupun di menara gading!
Suatu masa, lebih kurang 10 tahun yang lalu..............
Peperiksaan SPM bakal menjelang tidak lama lagi. Semua pelajar sudah siap sedia dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi ujian paling besar itu. Sekolahku juga tidak ketinggalan mengadakan majlis bacaan yasin dan solat hajat bagi sandaran rohani untuk semua pelajar. Surat jemputan sudah siap diedar. Hanya menunggu hari majlis akan dijalankan. Aku menelefon ibuku untuk memastikan kehadirannya bersama bapaku dalam majlis ini. Besar harapanku agar doa yang dititipkan ibubapaku bersama-sama para ibubapa kawan-kawan sekolahku yang lain dimakbulkan tuhan. Boleh juga aku perkenalkan mak dan abah pada guru dan kawan-kawan rapatku. Tetapi seperti tiada jawapan yang pasti keluar dari mulut ibuku dihujung talian.
Pada majlis itu, semua pelajar dan guru begitu sibuk. Tikar-tikar dibentang di dalam dewan besar untuk memuatkan lebih ramai jemaah. Makcik-makcik di dewan makan pula bekerja keras menyediakan makanan. Menjelang petang sudah ramai para ibubapa pelajar dari jauh dan dekat memenuhi dataran sekolah. Kawan-kawanku begitu ceria dengan kehadiran ibubapa, adik beradik dan saudara mara mereka. Senja menjelma. Tapi aku masih sendiri.
Selepas solat maghrib semua jemaah sama-sama mengerjakan solat hajat. Ketika itu kelibat ibubapaku masih tiada. Selesai solat hajat majlis diteruskan dengan majlis bacaan yasin. Ibu dan bapaku masih tiada. Sesudah isyak semua tetamu, guru dan pelajar dijemput ke dewan makan untuk menjamu selera. Ada juga kawan-kawanku yang tidak ke dewan sebalik ke kelas atau kantin untuk menikmati juadah air tangan ibu mereka.
Saat aku duduk bersendirian, seorang kawanku menyapa. “Mak bapak kau mana? Diorang tak datang ke? Atau kau anak yatim?”. Hatiku termengkelan. Akulah satu-satunya pelajar yang tidak dikunjungi ibubapa sendiri pada malam itu. Aku berlalu dari situ menuju ke asrama seorang diri. Sebal. Begitu sebal.
Seminggu berlalu aku pulang ke kampung seperti biasa. Sampai di rumah aku langsung tidak bercakap dengan ibuku. Begitu juga dengan bapaku. Aku berasa kesal dengan tindakan mereka. Hati terus memberongsang. “Mak bapak yang tinggal jauh 3 jam dari sekolah pun boleh datang jenguk anak sendiri. Inikan pula mak abah yang tinggal tak sampai sejam dari sekolah. Takkan tak boleh datang!”. Monolog hati membentak-bentak.
Dua hari aku tidak bercakap dengan ibuku. Kalau ditanya pun aku hanya menjawab sepatah dua. Sebelum aku balik semula ke asrama ibuku sempat memegang tanganku. Air matanya mengalir. Dia tahu aku cukup marah sebab dia tidak hadir pada majlis itu. “Mak minta maaf. Bukan mak tak nak datang. Tapi mak abah dah tua. Nak naik motor ke sana memang terlalu jauh bagi kami. Tambah lagi jalan kesana banyak kereta. Abah pun tak biasa jalan jauh naik motor malam-malam. Adik-beradik yang lain pun tak dapat hantar mak abah sebab semua ada hal masing-masing”.
Ibuku sempat menyelitkan dua keping not RM10 dalam genggaman tanganku. Tangan suci ibuku aku cium. Pipi kanan kirinya aku kucup. Air mataku bertakung menanti luruh. Sungguh-sungguh aku meminta ampun. Tidak mungkin lagi aku menyakiti hati wanita yang berkorban jiwa raga membesarkan aku selama ini. Aku berjanji demi ibuku. Namamu ibu akan kujunjung. Martabatmu selalu ditempat yang paling agung. Ibu, ampunkan segala salah dan silapku...
Kadang-kadang kalau kita dengar sesebuah lagu pasti mengingatkan kita pada momen saat lagu itu tengah popular. Padahal lagu itu bukanlah lagu yang paling digemari ataupun sedap sangat. Tetapi garis masa hidup ini juga dapat ditentukan melalui lagu-lagu tertentu. Sebagai contoh orang selalu berkata “Eh lagu ni masa aku darjah tiga”.
LELAKI INI – Aku mendapat undangan perkahwinan kawanku nun jauh di Rantau Panjang, Kelantan. Jadi aku dan tiga rakan yang lain berpakat untuk berkereta ke sana memenuhi undangan walimatul urus itu. Perjalanan melebihi 6 jam itu kami penuhi dengan berbual sambil mendengar radio. Dan lagu yang paling kerap diputarkan adalah lagu Lelaki Ini. Faham-faham sajalah radio swasta. Lagu yang sama diulang banyak kali. Naik bosan juga dengar lagu ini!
HI HI BYE BYE – Kawanku mengajakku ke Pulau Pinang untuk melawat adiknya disana. Jadi aku dan seorang kawan lagi sama-sama bergerak ke Pulau Mutiara. Kamisinggah di Gunung Semanggol untuk mengambil seorang lagi rakan disana. Rakan aku yang seorang ini sangat menggemari lagu Hi Hi Bye Bye sehinggakan kami terpaksa berlegar-legar dahulu di parking lot semata-mata hendak menghabiskan lagu berkenaan. Maka dengan itu, Hi Hi Bye Bye adalah lagu yang mengingat aku pada ‘makan angin’ di Bukit Bendera, Padang Kota dan Bukit Merah Lake Town Resort.
SENGGOL-SENGGOLAN CUBIT-CUBITAN – Radio, walkman ataupun yang seumpamanya adalah antara alatan yang diharamkan di bawa ke asrama. Sudah pasti untuk mendapatkan hiburan ada juga yang membawa alatan ini secara curi-curi. Begitu juga dengan aku yang membawa radio kecil semasa zaman asrama tingkatan tiga. Waktu prep malam adalah masanya dan tepi padang adalah tempatnya kami berkumpul berborak-borak sambil mendengar radio sebab malas nak study. Ketika lagu Mas Idayu itu sedang diputarkan, seorang warden asrama mendekati kami. Kami jatuh terguling-guling melarikan diri takut ditangkap warden. Padahal warden itu tak nampak kelibat kami pun. Demi menyelamatkan diri dan ‘Mas Idayu’ daripada ditangkap, kami akhirnya kehilangan bateri radio.
TRAUMA– Berkhemah merupakan aktiviti tahunan yang wajib kami lakukan setiap tahun. Taman Negara di sebuah negeri di utara menjadi destinasi kami pada tahun itu. Salah seorang ahli perempuan yang mengikuti ekspedisi ini sangat menggemari lagu Trauma. Tak kiralah sama ada sedang trekking, sedang bersantai ataupun sedang memasak dia tetap menyanyikan lagu yang sama iaitu Trauma. Dengan tubuh kecil dan bersuara leper dia mendendangkan lagu itu bagi menghiburkan hatinya dan orang lain. Paling tak tahan apabila dia cuba mencapai high pitch dengan raut wajah yang meyakinkan. Trauma secara rasmi menjadi lagu tema ekspedisi pada tahun itu.
RINDU SERINDU RINDUNYA – Dek kerana pengaruh kawan-kawan, aku bersetuju untuk berpindah ke sekolah yang lebih baik di Subang Jaya. Untuk itu aku perlu mengambil borang pertukaran sekolah di sebuah sekolah di Shah Alam. Aku bersama tiga orang rakan melalui ‘lubang tikus’ tanpa kebenaran sesiapa untuk ke sekolah itu. Selesai mengambil borang kami melepak di sebuah bilik kenalan rakanku sementara menunggu waktu Solat Jumaat. Kenalan rakanku itu memutarkan lagu Rindu Serindu Rindunya berulang kali dari jam 12 sehingga azan zohor berkumandang. Aku pun tak tau apa keistimewaan lagu itu. Dengan itu lagu Rindu Serindu Rindunya menjadi saksi kepada borang pertukaran sekolah.
DEALOVA – Untuk mengurangkan rasa bosan, *aku menyanyikan lagu Dealova dengan lantang seperti mahu berlawan dengan bunyi deruman enjin motor HondaWave100 kepunyaanku. Kemudian mataku memandang Istana Kellie dari kejauhan. Aku berhenti bernyanyi. Saat kami melepasi sebuah kuil berdekatan istana, tiba-tiba tayar motorku meletup! Dengan kelajuan 100km sejam dan 2 orang pembonceng, aku gagal mengawal motorsikal. Kami jatuh! Serentak dengan itu kami tergolek.Tulang selangka kananku patah. Aku menahan kesakitan. Benar kata orang. Lagu Dealova memang berhantu! (*petikan cerpen)
Malam itu sungguh membosankan. Tiada SATU pun rancangan televisyen yang menarik perhatian. Lalu AKU (TETAPLAH AKU) menekan-nekan punat remote control untuk (ARJUNA) MENCARI (CINTA) rancangan yang boleh menghilangkan malam bosanku. Rancangan Galaksi yang tidak pernah aku tonton akhirnya mencuri perhatianku. Diakhir rancangan, hos program itu membacakan soalan untuk memenangi DUA (SEJOLI) tiket menyaksikan Konsert Jelajah (CINTAKU TERTINGGAL DI) MALAYSIA. Memandangkan di rumahku tiada saluran internet, aku meminta kawanku mengirimkan emel pada penerbit program berkenaan. “Manalah tau, ada rezeki mengena”, getus hatiku.
Seminggu kemudian aku mendapat panggilan. “Tahniah! Encik telah memenangi dua tiket untuk menyaksikan Konsert Dewa di Stadium Negara”. Aku gembira BUKAN (RAHASIA) kepalang. (HADAPI DENGAN) SENYUMAN tidak lekang dari mulutku. Seumur HIDUP (INI INDAH) aku, inilah antara hadiah yang amat besar selain mendapat hadiah makan ANGIN di Yogyakarta secara percuma suatu masa dahulu.
Hari yang dinantikan pun tiba. Berdedai (BUKAN CINTA) MANUSIA (BIASA) dari jauh dan dekat menuju ke Stadium Negara. Warganegara INDONESIA (SAJA) yang semestinya baladewa pun berdoyon-doyon datang dengan baju berlogo Bintang Lima, Mistikus Cinta, Republik Cinta, Kerajaan Cinta dan sebagainya. Seperti tiada ruang KOSONG di setiap genap halaman stadium.
Jam 9.00 malam, konsert pun bermula. Lagu demi lagu menerobos (RISALAH) HATI sang baladewa. Aku begitu asyik menyanyi bersama-sama, SEDANG (INGIN BERCINTA) kawanku hanya tersenyum kerana kurang mesra dengan lagu yang didendangkan dari ATAS (NAMA CINTA) pentas. PERASAAN(KU TENTANG PERASAANKU KEPADAMU) puas dapat dilihat dari AIR (MATA) mukaku pada malam itu.
Setelah SEPARUH (NAFAS) malam ku habiskan di stadium itu, aku pun bergerak pulang. LARUT malam baru aku tiba di rumah. Malam itu aku terfikir. Semuanya kerana kawanku yang mengirimkan emel, aku dapat hadiah daripada dewa!
Sagahayat.blogspot.com adalah blog berbahasa melayu. Saga bermaksud kisah manakala hayat bermaksud hidup. Sagahayat adalah blog mengenai pengalaman hidup, pengkongsian informasi, pendapat tentang isu serta kembara & rekreasi. Setiap catatan yang diterbitkan sengaja ditulis dengan gaya penulisan artikel akhbar ataupun majalah. Sagahayat umpama majalah dalam blog.
YANG KURIK KUNDI, YANG MERAH SAGA, YANG BAIK BUDI, YANG INDAH BAHASA
Hampir keseluruhan artikel ataupun catatan di dalam blog ini ditulis sendiri oleh Sagahayat berpandukan bahan rujukan buku, majalah, emel, rancangan televisyen, akhbar, laman web dan sebagainya. Kembara, rekreasi dan pengalaman pula ditulis berdasarkan pengalaman Sagahayat sendiri. Fakta yang ditulis dan diterbitkan tidak sama sekali dipesong. Kisah benar pula ditulis dan diolah suai mengikut imaginasi penulis tanpa sama sekali mengubah rentetan cerita atau fakta yang terdapat dalam artikel itu. Sekiranya anda terbaca catatan yang boleh dikatakan diplagiat daripada blog anda, anda berhak menghubungi saya di emel sagahayat@gmail.com supaya saya dapat membuang atau mengedit catatan tersebut. Terima kasih.