KECIL TAPI DEWASA

Wednesday, January 11, 2012

Negara India sememangnya merupakan salah satu negara yang mempunyai ramai tenaga buruh dikalangan kanak-kanak. Gambar-gambar ini merupakan sebahagian buktinya. Mereka adalah anak-anak kecil yang masih naif tetapi kemiskinan memaksa mereka meninggalkan bangku sekolah demi sesuap nasi.


Alam kanak-kanak mereka diwarnai dengan dunia membanting tulang empat kerat dan beban kerja yang merembes keringat yang sepatutnya dilakukan oleh golongan dewasa. Maka, bersyukurlah kita hidup di negara yang aman dan damai yang bernama Malaysia.




















MENYASAR KE GUNUNG JASAR MEREDAH KE GUNUNG PERDAH

Monday, January 9, 2012

Kami pernah mendaki Gunung Kinabalu, tetapi kami tidak pernah memilih untuk mendaki gunung-gunung yang terkenal sahaja. Kerana itu pada hari terakhir di tahun 2011, aku dan Azrul berpakat untuk menyasar ke puncak Gunung Jasar dan meredah ke Gunung Perdah yang kedua-duanya terletak di Tanah Rata, Cameron Highlands.


Tanpa banyak berbincang dan walaupun ramai rakan yang diajak tidak dapat turut serta, kami menuju ke Cameron Highlands walaupun kami agak gusar jalan ke pusat peranginan itu mungkin sesak dengan pelbagai kenderaan memandangkan cuti hujung minggu dan tahun baru. Walau apapun, tujuan kami adalah untuk berekreasi, menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan dan ingin melaksanakan sesuatu yang tertunda. Kami ingin melengkapkan misi meletakkan papan tanda di kedua-dua puncak Gunung Jasar dan Perdah yang sudah lama kami rancangkan iaitu ketika kami mendaki Gunung Swettenham pada bulan Jun 2011 yang lalu.

Selepas bersarapan, kami meninggalkan kereta yang kami letakkan betul-betul di pekan Tanah Rata menuju ke tempat permulaan pendakian. Kami akhirnya tiba di kawasan Oly’s Apartment dan meneruskan perjalanan ke Tan Camelia’s Garden yang terdapat bersebelahan pangsapuri. Ketika kami mula mencari trek yang betul di dalam kebun bunga itu, kami dikejutkan dengan bunyi salakan anjing dari rumah pemilik kebun bunga itu. Kerana itu kami melajukan langkah dan akhirnya kami menemui trek sebenar iaitu trek laluan nombor 10.


Pendakian kami yang bermula jam 10 pagi kami mulakan dengan bacaan doa. Trek yang kami lalui padanya sangatlah mudah. Kami melalui lereng-lereng bukit yang mendatar dan sebelah kanan kami kelihatan bangunan-bangunan pangsapuri dicelah-celah pokok. Selepas 20 minit, barulah kami menemui trek gunung yang sebenar. Walaupun tidaklah sesukar mana, namun ianya tetap membuatkan kami sedikit mengah dan juga berpeluh.





“Mengah gak bro. Rokok aku dari tadi tak abis-abis”, kata Azrul. “Tu ar. Aku ingat biasa-biasa je. Mungkin sebab panas kot”, kata aku ketika kami berhenti menarik nafas seketika. Selepas penat mendaki, kami akhirnya tiba di lereng bukit yang tidak berpokok. Hanya pokok-pokok paku resam dan pokok-pokok renek yang memenuhi kawasan itu. Dari situ kami dapat lihat pencawang elektrik di atas lereng bukit dan permandangan yang paling menarik adalah kebun teh yang kelihatan beralun yang dikelilingi bukit-bukau yang menghijau.



Kami mengambil gambar dan Azrul mula memasang lagu Hindustan dari filem 3 Idiots dari telefon bimbitnya. “Pergh dalam diam minat Hindustan”, kata aku sambil Azrul hanya ketawa. Kami seterusnya mendaki dilereng-lereng bukit dibawah pencawang elektrik dan menikmati pemandangan Gunung Berembun dan juga pekan Tanah Rata dari aras yang tinggi yang betul-betul berada di depan mata kami.


Pendakian diteruskan dan akhirnya kami tiba di puncak Gunung Jasar tepat jam 10.55 pagi. Kami tidak bersendirian kerana kami tiba serentak dengan dua orang mat saleh dan seorang pemandu arah yang datang dari Gunung Perdah. Tidak sampai seminit kemudian, sekumpulan pendaki tiba dari arah yang sama. Kami bersalaman dan adat para pendaki, pasti kami akan bercakap mengenai ekspedisi-ekspedisi dan juga tentang gunung-ganang. Kumpulan pendaki itu adalah pelajar-pelajar junior dari UiTM cawangan Melaka yang menjalankan ekspedisi mendaki tiga gunung serentak iaitu Gunung Berembun, Gunung Jasar dan Gunung Perdah.



Sambil berbual-bual dan mengambil gambar, kami menyaksikan pemandangan sekitar dari puncak gunung itu. Walaupun gunung ini dikatakan gunung yang paling mudah dan paling singkat untuk didaki oleh kebanyakan para pendaki gunung, tetapi pemandangan yang dapat dilihat cukup memuaskan hati. Kami dapat melihat dengan jelas puncak Gunung Irau, puncak Gunung Brinchang dan juga sebahagian pekan Gopeng. Di puncak Gunung Jasar terdapat batu sempadan Perak-Pahang dan juga beberapa tinggalan batu tapak beirut.


Selepas hampir 30 minit, kumpulan pendaki Uitm dan juga pendaki yang lain meninggalkan puncak gunung dan yang tinggal hanyalah kami berdua dan juga seorang lelaki india berusia lingkungan 40 an bersama jaring menangkap serangga. Azrul ringan mulut berbual dengan lelaki tersebut yang memperkenalkan diri sebagai Siva dan bekerja sebagai tukang masak di Hotel Rosa Pasadena di Cameron Highlands.

“I ingat I sorang gila, you orang lagi gila‎”, kata Siva apabila kami membuka cerita mengenai ‘kegilaan’ kami mendaki gunung. Siva juga menceritakan hobinya menangkap rama-rama dan sanggup duduk di puncak gunung selama berjam-jam. Dia juga menjaga kebersihan gunung dan juga membuat sebuah tempat untuk dia berteduh.


“Oh today I met two nice guys. Very good effort la to put this signboard . I pun tak pernah terpikir la" kata Siva ketika aku mengeluarkan papan tanda dari dalam beg. Siva kemudian membantu kami memaku papan tanda itu pada sebatang pokok berhampiran pondok berteduhnya. Siva terus menerus bercerita sehingga kami sudah masuk ke trek bagi penyambung pendakian pun dia masih ingin berbual. Siva sempat memberi kami dua pesanan jika mendaki gunung di Cameron Highlands. Pertama, bulan November tidak sesuai untuk mendaki gunung kerana terdapat banyak kes tanah runtuh. Kedua, bulan Mei juga tidak sesuai kerana musim tebuan tanah.



Lima minit sebelum jam 12 tengahari, kami meninggalkan Siva dan puncak Gunung Jasar. Kami mula menuruni trek yang terdapat batu-batu sempadan Perak-Pahang. Selepas tiba dikawasan yang agak rendah kami mula mendaki perlahan-lahan ke puncak Gunung Perdah. Lebih kurang 20 minit meredah trek, kami akhirnya tiba di puncak Gunung Perdah. Sekali lagi kami dapat melihat pemandangan hampir 360 darjah. Dari puncak Perdah kami dapat melihat dengan jelas puncak Gunung Brinchang, puncak Gunung Irau, puncak Gunung Berembun, puncak Gunung Jasar dan juga penempatan orang asli Sungai Ruil.





Misi kami selesai selepas memakukan papan tanda Gunung Perdah pada sebatang pokok. Setelah bergambar dan berehat sepuasnya, kami meninggalkan puncak gunung dengan menggunakan laluan trek berhampiran Kem TNB. Satu lagi trek adalah melalui penempatan orang asli Sungai Ruil yang pernah dilanda tragedi tanah runtuh yang mengorbankan beberapa nyawa baru-baru ini. Tidak sampai 15 minit kami sudah sampai di jalan masuk ke Kem TNB. “Pergh dekat giler. Apesal kita tak ikut trek ni je tadi”, kata Azrul. “Aku pun baru tau. Tapi kalo ikut Sungai Ruil pun sama gak 15 minit”, jawab aku.


Kami mula berjalan di jalan bertar yang sangat sunyi dan menurut data dari telefon bimbit Azrul, kami berada di Jalan Tengkolok dan perlu berjalan kaki sejauh 3 kilometer sebelum tiba di pekan Tanah Rata. Namun nasib menyebelahi kami. Seorang lelaki India berusia lingkungan 40an menumpangkan kami. “Saya memang selalu tumpangkan hikers”, kata Guna yang kemudiannya memperkenalkan dirinya. Sepanjang perjalanan, Guna menceritakan tentang masalah pencemaran, penggunaan racun terlarang dan juga penerokaan tanah oleh pekebun dan peladang di Cameron Highlands. Tanpa merujuk pada kelompok tertentu, Guna yang bekerja di Pusat Kaji Cuaca di kawasan berhampiran memberikan satu kata-kata yang ada betulnya. “Kalau dia orang sembahyang tapi tak mau berubah, memang tak berguna. Dia orang yang mesti ubah diri sendiri”.


Perbualan yang berterusan langsung membuatkan kami tidak perasan kami sudah tiba di Tanah Rata. Kami menghulurkan tangan dan mengucapkan ribuan terima kasih pada Guna kerana menumpangkan kami. Kami kemudian ke masjid untuk menunaikan solat, ke medan selera untuk makan tengahari dan terus meninggalkan Cameron Highlands ketika hujan lebat mula turun.


Gunung Jasar dan Gunung Perdah yang pada mulanya kami anggap biasa sahaja sebenarnya mempunyai keistimewaannya tersendiri. Pemandangan indah yang menampakkan hampir semua gunung-gunung penting di Cameron Highlands merupakan bonus bagi para pendaki. Gunung Jasar dan Gunung Perdah juga menemukan kami dengan dua insan biasa tetapi mempunyai kecintaan terhadap alam semulajadi yang luar biasa. Siva si ‘penjaga gunung’ menjadikan puncak Gunung Jasar sebagai rumah keduanya manakala Guna menjadikan profesionnya sebagai landasan untuk mencintai alam, dan terus memberi kesedaran kepada orang yang ditemuinya termasuklah kami yang lantas bercita-cita untuk terus mencintai alam.



PANDUAN & TIP MENDAKI GUNUNG JASAR - GUNUNG PERDAH



- Kedua-dua gunung ini selalunya didaki sekali gus dan merupakan gunung yang paling mudah didaki dan mengambil masa yang paling singkat. Para pendaki boleh memilih mendaki dari Gunung Jasar ke Gunung Perdah atau sebaliknya.


-Trek jelas kelihatan dan terdapat beberapa papan tanda di beberapa cabang trek. Trek 12 akan membawa ke Jalan Tengkolok (3km dari Tanah Rata) dan satu lagi trek ke kampung orang asli Sungai Ruil.


-Trek 6 akan membawa pendaki ke pekan Habu.


-Para pendaki dinasihatkan supaya berhati-hati kerana terdapat beberapa kawasan yang berpotensi untuk mengalami tanah runtuh. Selamat mendaki!


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...