MERENTAS HUTAN KE PANTAI KERACHUT

Tuesday, April 26, 2011

11 Ogos 2008, Pulau Pinang

Selepas menyaksikan perlawanan hoki di Universiti Sains Malaysia, kami berempat kemudiannya bergegas menuju ke Teluk Bahang. Setibanya di sana kami terus menukar pakaian dan bersiap sedia untuk merentas hutan menuju ke Pantai Kerachut yang terletak di dalam Taman Negara Pulau Pinang.

Ketika kami memulakan perjalanan, matahari betul-betul terpacak di atas kepala. Selepas mendaftarkan nama di kaunter, kami melepasi pintu gerbang taman negara dan kemudiannya berjalan diatas laluan aspal yang disediakan oleh taman itu untuk keselesaan pengunjung. Beberapa minit kemudian, kami tiba di atas sebuah jambatan kayu dan dihadapannya adalah simpang menuju ke Pantai Kerachut dan destinasi-destinasi yang lain. Untuk ke Pantai Kerachut kami membelok ke kiri. Pokok-pokok mula memayungi perjalanan kami yang bermula sekitar jam 12.00 tengahari.



Trek perjalanan sebenarnya agak santai walaupun kami terpaksa mendaki bukit dan sekali-sekala akan bertemu dengan denai yang agak landai. Hutannya tidaklah terlalu tebal tetapi cukup untuk menjadi peneduh perjalanan kami yang dicabar dengan panas mentari pinggir pantai. Perjalanan kami semakin mudah apabila terdapat tangga-tangga yang dibina daripada tanah yang ditokok dengan kayu yang disediakan dibeberapa trek yang agak curam.


Laluan trek ini sebenarnya bukanlah laluan yang biasa, tetapi mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Terdapat parit-parit di sebelah trek itu yang dipercayai dibina oleh orang-orang Acheh pada suatu masa dahulu yang digunakan untuk memudahkan mereka mengangkut barang-barang merentasi hutan dan bukit. Malahan terdapat juga kubur-kubur orang Acheh yang terletak Taman Negara Pulau Pinang ini yang dahulunya lebih dikenali dengan nama Hutan Simpan Pantai Acheh.


Selepas 20 minit bermandikan peluh dan ‘berjuang’ mendaki bukit, kami mula terdengar bunyi air menderu-deru. Kaki semakin laju melangkah menuju ke air terjun kecil yang mengalir di dalam hutan itu. Kami mengambil kesempatan untuk berehat sambil merasai kedinginan air terjun kecil itu sebelum meneruskan perjalanan.



Selain air terjun itu, kami juga terjumpa beberapa aliran anak sungai yang mengalir jernih dan cukup mendamaikan. Pendek kata, setiap 15 minit kami berjalan, pasti kami akan berhenti seketika untuk membasuh tangan ataupun sekurang-kurang melepaskan lelah di punca-punca air itu.


Satu lagi keistimewaan trek ini adalah trek ‘Batu Belah’. Terdapat laluan yang dibina melalui batu besar yang ditarah untuk memudahkan perjalanan. ‘Batu Belah’ juga adalah hasil usaha pendatang Acheh dan sejarah mengenai trek ini ada diterangkan pada papan tanda yang diletakkan di kawasan berhampiran.


Laluan seterusnya kami perlu menuruni tangga-tangga kecil yang agak curam dan agak panjang. Laluan ini seterusnya membawa kami ke trek yang lebih landai dan agak berpasir. Ciri-ciri ini menandakan kami hampir sampai ke Pantai Kerachut.


Selepas hampir sejam kami merentas hutan, kami akhirnya tiba di kawasan berbatu-batu bersaiz gadang dan lautan luas adalah pemandangan di hadapan kami. Sebuah jambatan gantung yang merentasi sungai yang mengalir ke laut yang airnya berpunca dari sebuah tasik merupakan petunjuk bahawa kami sudah tiba di pantai yang menjadi destinasi kembara kami.


Tasik yang terdapat di kawasan itu adalah tasik meromiktik yang merupakan tasik yang mempunyai air tawar dan air masin dalam takungan yang sama. Tasik meromiktik merupakan antara keunikan yang terdapat di taman negara ini.


Kesempatan yang ada, kami menjamah bihun yang diperolehi secara percuma di USM dan terus menukar pakaian untuk bermandi manda. Pasir yang putih, air yang biru serta pohon-pohon rhu yang melentuk-liuk ditiup angin merupakan anugerah pada kami selepas sejam mengerah tenaga merentas hutan.


Meskipun aktiviti ini merupakan aktiviti yang santai dan agak ringkas, namun bagi aku ia agak penting kerana memberikan pengalaman dan pengetahuan baru buat aku yang sebelum ini langsung tidak mengetahui mengenai kewujudan sebuah Taman Negara di sebuah pulau yang pesat membangun.


Taman Negara Pulau Pinang bukan bersandarkan kepada Pantai Kerachut semata-mata, tetapi banyak destinasi treking yang menarik termasuklah ke tempat-tempat seperti Teluk Tukun, Tanjung Aling, Teluk Duyung (Monkey Beach), Teluk Ketapang, Teluk Kampi dan Pantai Mas. Malah terdapat sebuah rumah api di Muka Head yang dibina pada tahun 1883 dan berketinggian 242 meter dari aras laut dan boleh didaki oleh para pengunjung untuk menyaksikan panorama indah dari aras yang lebih tinggi.


Selepas bermandi manda sepuas-puasnya, kami beransur pulang. Tiba di sebuah anak sungai yang kecil kami berhenti seketika untuk berendam dan membilas badan dengan air yang sungguh jernih dan dingin. Kami menggelarkannya ‘air mata suci’.

Ketika kami di kawasan itu, seorang demi seorang daripada kami menunaikan solat Zohor di atas sebuah batu yang besar sambil yang lain bermandi-manda dengan senyap di dalam sungai. Aku kemudian bersuara, “nilah first time pengalaman aku mandi sebelah orang sembahyang”. Bazli, Azrul dan Ijam hanya ketawa.




PANDUAN RINGKAS KE PANTAI KERACHUT


- Taman Negara Pulau Pinang terletak di Teluk Bahang. Terdapat bas Rapid Penang yang boleh membawa anda ke sini dari Jeti Feri.

- Tiada bayaran yang dikenakan untuk aktiviti trekking atau camping di taman negara ini sebaliknya anda hanya perlu mendaftarkan nama di kaunter pendaftaran.

- Sekiranya ingin berkhemah, surat bertulis perlulah diajukan untuk tempahan awal.

- Trek ke semua destinasi sangat jelas dan sudah dilengkapkan dengan beberapa kemudahan seperti jambatan kecil dan juga pondok untuk berehat. Tandas disediakan di Pantai Kerachut. Bilik air, tandas dan gerai terdapat di pintu masuk taman negara.

- Terdapat pusat penetasan penyu di Pantai Kerachut dan terdapat pusat penyelidikan milik USM di Teluk Duyung.

- Dua cara ke pantai-pantai di Taman Negara Pulau Pinang adalah sama ada trekking atau dengan menggunakan bot yang mengenakan harga yang berpatutan.

MISTERI HANTU LANDASAN

Monday, April 25, 2011

Pada satu lewat malam, sepasang kekasih menuju ke sebuah tempat yang sunyi, iaitu sebuah jalan menuju ke sebuah landasan keretapi di selatan San Antonio, Texas, Amerika Syarikat. Mereka mendapat cerita bahawa landasan itu berhantu. Untuk itu mereka ingin mengalami sendiri apa yang pernah dialami oleh beberapa individu yang mendakwa kenderaan mereka ditolak oleh hantu menuju ke landasan keretapi. Agak aneh kerana jalan ke landasan itu adalah menaik dan bukannya menurun. Tidak mungkin kenderaan boleh bergerak ke kawasan yang lebih tinggi tanpa dihidupkan enjin atau ditolak oleh individu tertentu.

Bersama mereka adalah kamera video untuk merakam sebarang aktiviti paranormal yang berlaku pada malam itu. Pasangan itu kemudiannya memberhentikan kereta mereka beberapa meter dari landasan. Enjin dimatikan. Suasana cukup hening. Hanya lampu hadapan kereta yang dihidupkan dan cahaya dari kenderaan itu menampakkan landasan keretapi itu. Kamera video pun dihidupkan.

Tiba-tiba kereta mereka bergerak. Bulu roma mereka terus meremang. Mereka tidak senang duduk. Jantung mereka berdegup kencang. Si perempuan menjerit dan memeluk tubuh teman lelakinya. Kereta mereka ditolak semakin laju menuju ke landasan yang lebih tinggi dan akhirnya menuruni bukit selepas melepasi landasan keretapi itu.

Rakaman video mereka mendapat perhatian orang ramai. Ramai yang semakin percaya bahawa landasan itu sememangnya berhantu. Tambahan pula sebelum ini ada yang pernah berjaya merakam imej seorang kanak-kanak perempuan yang kelihatan terawang-awang di hadapan landasan itu. Seorang individu yang lain pula mendakwa pernah terdengar tangisan dan raungan kanak-kanak perempuan di kawasan berhampiran landasan. Misteri itu semakin kukuh apabila penduduk tempatan mula mengaitkan kewujudan entiti itu dengan kes kemalangan yang meragut nyawa 10 orang kanak-kanak di landasan tersebut beberapa dekad yang lalu.

Bertitik tolak daripada rakaman video dan segala cerita yang menjadi buah mulut orang ramai, program televisyen ‘It Is Real’ melakukan penyiasatan bagi merungkai dan membuktikan dakwaan orang ramai mengenai landasan berhantu itu. Hos rancangan itu bersama-sama krew pengambaran menuju ke lokasi yang dimaksudkan. Sebuah kenderaan SUV diletakkan di tengah-tengah jalan menghadap ke landasan keretapi sepertimana yang dilakukan oleh pasangan yang merakamkan kejadian tersebut sebelum itu.

Pada malam itu, hos rancangan itu mengelap hampir keseluruhan bahagian belakang kenderaannya dengan sehelai kain. Dia kemudian mematikan enjin kenderaan. Dia meletakkan gear pada posisi neutral dan melepaskan kakinya dari pedal brek. Dengan tidak semena-mena, kenderaan itu mula bergerak. Sama reaksinya, hos itu cukup terkejut. Kenderaan itu seolah-olah ditolak oleh beberapa orang dan semakin lama semakin laju sehinggalah akhirnya berhenti selepas menyeberang landasan itu.

Hos itu yang masih terkejut terus keluar dari kenderaannya dan menabur bedak pada bahagian belakang kenderaan. Menakjubkan apabila ada beberapa cap jari dan cap tangan yang jelas kelihatan meskipun bahagian itu sudah dilap sebelum itu. Ini membuktikan memang ada entiti yang menolak kenderaan itu naik ke landasan.

Keesokkan harinya, mereka melakukan eksperimen yang sama. Bezanya mereka melakukan pada waktu siang. Hasilnya tetap sama apabila kenderaan itu bergerak seolah-olah ditolak mendaki landasan. Dan mereka hadir kali ini dengan beberapa individu tertentu bagi membantu penyiasatan mereka.

Seorang pakar cap jari kemudiannya tampil memberi penerangan. Menurutnya cap jari manusia masih kekal walaupun selepas setahun dibiarkan atau selepas dilap dengan kain. Hanya bahan kimia tertentu yang boleh menghapuskan kesan cap jari sepenuhnya. Selepas itu dia mengambil beberapa cap jari pada bahagian belakang kenderaan itu. Dia kemudian membandingkan cap jari yang diambil dengan cap jari hos dan sekali imbas, tanpa ujikaji makmal, cap jari yang diperolehi daripada kenderaan memang sama dengan cap jari hos itu. Dia merumuskan tidak mustahil cap jari pada kenderaan adalah milik hos ataupun cap jari sesiapa saja yang pernah memegang kenderaan berkenaan sebelum ini.

Selepas itu beberapa petugas ukur jalan mengambil tempat. Mereka membuat pengukuran aras jalan dan hasilnya amat memeranjatkan. Jalan tempat kenderaan diletakkan ke landasan keretapi itu sebenarnya menurun dan bukannya menaik. Penurunannya mencecah sehingga ke 2 kaki. Petugas itu melakukan simulasi dengan meletak botol air yang dibaringkan dan terbukti botol itu bergolek ke arah landasan keretapi mengikut hukum graviti. Sememangnya jika dilihat dengan mata kasar landasan itu berada ditempat yang lebih tinggi tetapi itu hanyalah ilusi semata-mata. Mata setiap individu yang pernah sampai disitu‘tertipu’ dengan ilusi optik yang terdapat dikawasan itu.

Bagi melengkapkan penyiasatan mereka, krew rancangan itu menuju ke bandar berdekatan untuk menemuramah seorang penulis. Menurut penulis itu bunyi tangisan dan raungan yang pernah didengari di sekitar kawasan landasan itu sebenarnya bukanlah suara seorang kanak-kanak perempuan, sebaliknya bunyi burung merak yang dibela oleh penduduk tempatan yang tinggal berdekatan dengan landasan itu. Menurutnya lagi, tempat berlakunya insiden yang mengorbankan beberapa nyawa kanak-kanak apabila sebuah bas dilanggar oleh keretapi bukanlah di landasan itu, tetapi di tempat lain.

Ternyata mereka akhirnya membuat kesimpulan bahawa tiada hantu di landasan itu yang sudah dibuktikan dengan beberapa ujikaji dan penerangan oleh mereka yang lebih pakar. Mengenai isu gambar hantu yang berjaya dirakamkan, tidak pula dijelaskan menerusi rancangan itu memandangkan pada masa kini sesiapa saja mampu menghasilkan gambar-gambar sebegitu menerusi teknik pertindihan imej.

AKU PENJAGA GUNUNG INI

Sunday, April 24, 2011

“Tidak akan berlaku erupsi pada Merapi. Percayalah kata Mbah”, kata Mbah Maridjan apabila dia diminta meninggalkan rumah. Dia sebenarnya sudah pun mendapat perintah dari Sultan Hamengku Buwono X untuk meninggalkan kampungnya yang terletak kira-kira empat kilometer dari puncak Gunung Merapi. Namun dia ingkar. Pakar geologi pula menjangkakan Merapi akan meletus bila-bila masa dan akan memuntahkan lahar.

Firasat Mbah Maridjan benar belaka. Gunung Merapi tidak meletus dan keadaan kembali normal. Merapi memperlahankan aktivitinya dan akhirnya gunung berapi di Yogyakarta itu kembali tenang. Sejak itu nama Mbah Maridjan semakin terkenal. Firasatnya mengenai gunung itu menyebabkan orang semakin percaya dengan jurukunci Gunung Merapi itu walaupun sebenarnya dia telah mendapat mandat memegang amanat itu daripada Almarhum Sultan Hamengku Buwono IX sejak awal 1980an.

Sehinggalah empat tahun kemudian iaitu sekitar bulan Oktober 2010, Merapi mula menunjukkan tanda-tanda kembali aktif. Beberapa gegaran telah dikesan oleh pakar-pakar geologi. Aktiviti-aktiviti volkanik yang berterusan menyebabkan pihak berkuasa memberi arahan kepada semua penduduk yang tinggal berdekatan dengan puncak gunung itu supaya mengosongkan kawasan penempatan mereka serta merta.

Tetapi Mbah Maridjan masih enggan meninggalkan rumahnya. Dia memberitahu saudara maranya bahawa dia tidak akan meninggalkan Gunung Merapi kerana memikul amanah sebagai Abdi Dalem Kraton Jogja iaitu menghambakan diri kepada Sultan Jogja sebagai penjaga gunung.

Sudah menjadi sebahagian daripada adat turun temurun Kesultanan Jawa sejak dahulu kala lagi, seseorang mestilah dilantik menjadi penjaga Gunung Merapi dan Mbah Maridjanlah yang memegang amanah yang besar itu. Kononnya, jurukunci ataupun penjaga gunung mempunyai hubungan spiritual yang sangat rapat dengan tuannya iaitu Gunung Merapi. Kepercayaan kuno ini sudah tertanam dalam sanubari setiap penduduk pulau Jawa sejak dari dulu lagi.

Meskipun begitu, semua orang tidak kiralah sama ada dia adalah jurukunci gunung ataupun tidak, harus meninggalkan kampung mereka. Sudah tiba masanya untuk Merapi meletus dan memuntahkan laharnya. Jika sebelum ini iaitu pada tahun 2006 gunung itu tidak meletus, tetapi menjelang penghujung Oktober 2010, pakar-pakar geologi cukup optimis. Gunung Merapi yang berusia 400,000 itu bakal meledak dan menghamburkan debu volkanik dan lahar yang panas membara. Sesiapa saja yang masih tinggal di haluan lahar dan debu volkanik itu pasti menjadi korban.

Akhirnya Gunung Merapi meledak. Ledakannya dapat didengar sehingga ke berkilo-kilo meter jauhnya. Debu dan asap berkepul-kepul dan bergumpal-gumpal seperti awan kelabu yang besar dan menjulang tinggi ke dada langit. Laharnya melimpah keluar membuak-buak dan mengalir deras seperti aliran sungai selepas hujan lebat. Merah menyala dan membakar apa saja di laluannya.

Gunung Merapi mendapat liputan meluas di seluruh dunia. Semua wartawan melaporkan isu letusan Gunung Merapi yang menjadi berita paling penting dari Pulau Jawa. Fotografer-fotografer juga berebut-rebut merakamkan kejadian alam yang menakjubkan itu dari jauh.

Keesokan harinya, pasukan keselamatan mula menjalankan tugas mereka. Mereka menuju ke Kinahrejo Kecamatan Cangkringan Sleman untuk meninjau keadaan sekeliling. Suasana cukup hiba. Haiwan-haiwan ternakan seperti lembu dan kambing mati akibat bencana itu. Terdapat juga beberapa kujur mayat yang bergelimpangan. Tubuh mereka melecur dan diseliputi debu yang cukup tebal. Hanya warna hitam, puith dan kelabu saja yang menyelubungi kawasan itu akibat hamburan debu dari Merapi.

Apabila mereka menjenguk ke dalam sebuah rumah yang separuh musnah, pasukan penyelamat menemui sekujur mayat dalam keadaan bersujud ke arah kiblat. Tubuh mayat itu melecur akibat suhu tinggi awan panas debu volkanik yang turun sebagai hujan abu.

Mayat itu bersama-sama mayat-mayat yang lain dibawa ke hospital. Mayat dalam keadaan bersujud itu menarik perhatian apabila saudara-maranya hadir bagi menjalankan proses pengecaman. Pada mayat itu terdapat satu ibu jari tangannya yang bengkok yang merupakan salah satu ciri fizikal Mbah Maridjan. Pakaian pada mayat itu sama seperti pakaian terakhir yang dilihat dipakai oleh Mbah Maridjan, petang sebelum bencana itu berlaku. Mayat itu kemudiannya disahkan mayat Mbah Maridjan.

Mbah Maridjan, sang penjaga Gunung Merapi akhirnya menjadi korban gunung berapi itu. Sepanjang usianya selama 83 tahun, lereng Merapi merupakan tanah tumpah darahnya, tempat dia membesar dan menyaksikan keindahan Merapi setiap pagi dan dia menjadi penjaga gunung itu lebih daripada tiga dekad. Sekuat mana pun ‘hubungan’ Mbah Maridjan dengan Merapi, dia tetap menjadi korban Merapi yang juga meragut 240 nyawa yang lain.


BUNGA BUKAN SEKUNTUM

Friday, April 22, 2011

Andai ada seorang lelaki baru saja putus cinta, rakan-rakannya pasti akan berkata begini. "Sabar je la. Bunga bukan sekuntum". Namun bukan isu cinta yang ingin diutarakan disini, tetapi mengenai sebuah taman bunga yang dipenuhi dengan kuntuman-kuntuman bunga yang berkembang mekar.

Taman ini yang dipercayai terletak di negara Jepun menyajikan pemandangan yang cukup indah. Terdapat beratus-ratus pokok bunga yang setiap satunya mempunyai beratus-ratus kuntuman bunga. Taman ini terus mendapat perhatian dimana ramai pengunjung melawat taman ini untuk menyaksikan keindahannya. Sesungguhnya taman ini membuktikan yang 'bunga bukan sekuntum'.





































LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...