BULAN MADU DI KRABI

Friday, July 6, 2012


Bukan Sabah atau Langkawi yang kami pilih (walaupun pada awalnya kedua-dua tempat ini yang menjadi pilihan), sebaliknya kami memilih Krabi yang terletak di negara gajah putih sebagai destinasi bulan madu kami.

Seminggu selepas kami bergelar suami isteri, kami terbang ke bumi Thailand pada 19 Mac 2012 menerusi penerbangan Airasia pada jam 1.30 petang. Sejam penerbangan, kami tiba di Lapangan Terbang Krabi dan seterusnya menaiki teksi untuk menuju ke pantai Ao Nang dengan bayaran tambang 600 Baht (kira-kira RM 60). 40 minit kemudian kami tiba hotel tempat kami menginap iaitu Hotel Aonang Goodwill.


Setibanya di hotel, seorang lelaki lembut menyambut kami dengan cukup mesra. Badannya tegap, tetapi lenggok jalannya penuh santun dan dengan segera dia menghidangkan kami dua gelas air sejuk. Selepas mendaftarkan diri, kami terus bertanya mengenai pakej island hopping dan juga harga menyewa skuter. Tidak sampai setengah jam, kami sudah pun siap membayar pakej island hopping yang berharga 1000 Baht (RM100) untuk esok hari dan sudah menerima kunci skuter Fino berwarna pink, warna permintaan isteri.



Masuk ke dalam bilik, kami disambut oleh empat ekor ‘gajah’. Dua daripadanya dibentuk dari kain tuala dan dua lagi adalah ukiran pada lampu sisi katil. Kami tidak membuang masa, terus meletakkan beg, berehat seketika lalu terus menghidupkan enjin skuter dan memulakan pengembaraan kami di sekitar Pantai Ao Nang. Untuk 24 jam yang pertama, aku membayar 230 Baht (RM23) untuk menyewa skuter dan passport aku dipegang oleh penyewa. Dengan tangki minyak yang hampir kosong, kami menuju ke stesen minyak berdekatan bagi mendapatkan bekalan petrol yang berharga hampir RM5 bagi seliter.



Maka bermulalah perjalanan kami seputar di Pantai Ao Nang. Kami sempat ke pantai Ao Nang yang bagi kami sama seperti  pantai di Malaysia cuma bezanya lebih ramai minah mat saleh bersidai dan mata aku yang bertabirkan cermin mata hitam meliar ke sana sini sehingga isteriku sambil tersenyum mula berkata, “nak saya amik gambar dorang ke?”


Kami meneruskan perjalanan ke Pantai Noparathara, menikmati pancake pisang, melawat sebuah pusat latihan Muay Thai, melewati jalan-jalan kampung dan seterusnya menuju ke Bandar Krabi ketika matahari mula terbenam. Kami juga sempat singgah di sebuah fun fair dan sebuah gerai yang menjual serangga-serangga goreng cukup menarik perhatian kami. Malam itu, kami kepedasan menikmati Tom Yam pertama asli dari Thailand di sebuah restoran muslim di Pantai Ao Nang.


HARI KEDUA : Selepas bersarapan, sebuah trak terus membawa kami ke pangkalan bot. Sebelum itu, trak kami sempat singgah untuk mengambil sebuah keluarga melayu dari Singapura. Hassan namanya, cukup ramah bercerita mengenai pengalamannya yang sudah tiga kali ke Krabi. “Yang ni kali ketiga. Yang ni baru nak ke Phi Phi. Sebelum ni saya naik kereta dari Singapore”.


Jam 9 pagi sudah ramai yang menanti di hadapan bot. Seorang pemandu pelancong bersuara garau memperkenalkan diri dan terus membawa kami ke dalam bot menuju ke destinasi-destinasi yang ditetapkan. Kebanyakan pelancong adalah dari benua Eropah dan terdapat sebuah keluarga berbangsa india, dan beberapa pasangan termasuklah satu pasangan melayu selain kami. “Yang, tengok kat belakang. Alyah honeymoon dengan Azlan Meet Uncle Hussien”, kata aku merujuk kepada pasangan yang kelihatan seperti kedua-dua penyanyi itu.


Perjalanan kami cukup lancar menuju ke Pulau Phi Phi atau disebut Koh Phi Phi oleh masyarakat tempatan yang merupakan destinasi utama selain destinasi-destinasi yang lain. Kami disambut dengan pandangan yang berbeza apabila melihat sebuah pulau yang berbentuk seperti seekor ayam. Hampir 40 minit kami akhirnya tiba di destinasi yang pertama iaitu Pulau Bamboo dan air sejernih kristal membuatkan kami tidak melengahkan masa untuk berendam di dalam air.

Selain ‘Alyah & Azlan Meet Uncle Hussien’, terdapat beberapa pasangan melayu yang turut sama berbulan madu. Kami sempat berbual dengan sepasang suami isteri yang baru beberapa hari melangsungkan perkahwinan selepas meminta mereka mengambil gambar kami.

Sejam di Pulau Bamboo, kami meneruskan perjalanan untuk menyaksikan Viking Cave dimana gua ini merupakan tempat masyarakat tempatan mengutip dan mengumpul sarang burung layang-layang untuk dijual. Bot kami semakin perlahan apabila membelok ke sebuah teluk yang dikelilingi batu kapur. Kami terpesona dengan pemandangan yang cukup menakjubkan. Air yang jernih menampakkan  ikan-ikan berkumpul berebut roti yang kami lempar dari dalam bot.  Batu-batu kapur yang membentuk formasi bukit dengan struktur unik dan bahagian puncaknya dilitupi dengan pokok-pokok hijau begitu tepat padanannya dengan air yang jernih yang juga menghijau.




Selepas menikmati pemandangan yang cukup mendamaikan, bot kami berlabuh di salah satu destinasi yang popular iaitu Maya Bay. Maya Bay merupakan lokasi penggambaran filem The Beach lakonan Leonardo Di Caprio yang diterbitkan pada tahun 2000. Ketika kaki aku mula menjejakkan kaki ke pantai ini, aku mula mengingat kembali babak-babak filem itu yang pernah aku tonton suatu masa dahulu.



Menariknya Maya Bay selain pantainya yang cukup cantik adalah setiap pengunjung boleh meneroka ke bahagian dalam pulau kerana terdapat satu denai yang disediakan. Kami terus menyusuri denai itu untuk melihat sebahagian lokasi filem itu dan dikatakan sebahagian set penggambaran iaitu pondok-pondok yang terdapat di pulau itu masih dikekalkan. Cukup menarik apabila kami akhirnya ‘tembus’ ke sebuah lagi pantai selepas melewati kawasan pondok-pondok dan taman yang cukup terjaga. Kami dihidangkan dengan pandangan yang memukau dan kami teruja untuk memanjat sebuah tangga yang dibina diatas batu yang besar untuk menyaksikan pemandangan indah dari aras yang lebih tinggi.

Hampir sejam meneroka pulau itu, kami kembali ke pantai yang dipenuhi ratusan pengunjung. Ada yang bermandi-manda dan ada yang menjemurkan badan di atas pasir yang halus dan memutih. Kesempatan yang ada kami mengambil gambar di salah sebuah pulau popular di Thailand itu sebelum kembali ke bot untuk menuju ke destinasi yang seterusnya.



Bot kami kemudiannya berhenti sedikit jauh dari pantai dan kami terus dibekalkan dengan alatan-alatan untuk aktiviti snorkelling. Seorang demi seorang mula terjun bersama roti yang dibekalkan. Air yang sejuk dan jernih terus-menerus memperlihatkan ikan-ikan pelbagai warna dan saiz bermain-main di bawah permukaan air. Yang pasti, pandangan kami telus sehingga ke dasar yang  kami anggarkan sedalam kira-kira 20 kaki.

Seterusnya kami dibawa satu lagi lokasi untuk snorkelling yang lebih hampir dengan Pulau Phi Phi Don. Kali ini airnya lebih cetek kerana adakalanya kaki kami terkena terumbu karang yang terdapat di kawasan itu. Istimewanya, kali ini kami bukan sahaja dapat melihat ikan-ikan tetapi dapat menyaksikan terumbu karang pelbagai bentuk dan warna yang menghiasi dasar laut dengan lebih dekat lagi.  


Bot kami seterusnya berlabuh di Pulau Phi Phi Don yang merupakan antara pulau terbesar dalam gugusan kepulauan Koh Phi Phi. Kali ini kami akan menikmati makan tengahari dan juga berehat-rehat sebelum kembali ke Krabi. Juadah dihidangkan secara buffet dan nasi serta lauk-pauk semuanya disediakan oleh beberapa orang wanita Islam berketurunan melayu. Pengalaman makan-makan beramai-ramai di dewan terbuka yang luas bersama pengunjung yang lain merupakan pengalaman yang bukan mudah untuk kita temui.


Masa yang masih panjang, kami berjalan-jalan di sekitar pantai, menjenguk sebentar di kedai cenderamata dan akhirnya menaiki bot untuk kembali ke Krabi. Di dalam bot, kami dihidangkan dengan buah tembikai dan buah nanas. Sebelum ini kami diberikan air mineral dan air Coke yang sejuk.



Sesampainya di Krabi, ada trak yang sudah menanti. Selepas sampai di hotel, kami bersiap-siap untuk keluar berjalan-jalan di sekitar kedai-kedai di Pantai Aonang untuk membeli cenderamata. Sehingga ke malam kami melewati kedai demi kedai dan gerai demi gerai dan banyak terbaca mengenai pakej elephant riding dan juga water rafting. Oh ya! Esok kami perlu balik ke Malaysia. Kalaulah ada sehari lagi!

HARI KETIGA : Pagi hari terakhir di Krabi kami mulakan dengan bersarapan di sebuah gerai di tepi jalan. Kami telah berpakat untuk berjalan-jalan saja di sekitar Ao Nang memandangkan kami perlu menuju ke lapangan terbang sekitar jam 12.

Perasaan berbelah bagi terpaksa diketepikan memandangkan kami ‘kekurangan’ sehari untuk menjalankan beberapa lagi aktiviti menarik di Krabi. Percutian singkat ini membawa seribu makna kerana Krabi menjadi saksi kepada percutian pertama kami selepas berumahtangga. Semoga memori ini menjadi memori terindah buat kami dan kami berdoa agar pelayaran hidup kami berdua segalanya indah sepertimana keindahan-keindahan yang kami temui di Krabi.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...