MALAPETAKA TATABAHASA
Tuesday, September 27, 2011
MENUJU PUNCAK GUNUNG SANTUBONG
Sunday, September 25, 2011
Menurut sebuah blog, mitos masyarakat setempat mengenai sumpahan seorang puteri kayangan menjadi sebuah gunung telah disampaikan sejak turun temurun. Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang merupakan dua puteri sepupu telah diperintahkan oleh Dewata Mulia Raja Kayangan untuk turun ke bumi bagi menyelesaikan pertelingkahan dua buah kampung. Mereka berjaya mendamaikan kedua-dua buah kampung tersebut dan berita mengenai dua puteri kayangan itu segera sampai ke telinga seorang putera raja iaitu Putera Serapi dari Matang.
Putera Serapi terpikat dengan kejelitaan Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang. Lantas dia menyampaikan hasratnya untuk memperisterikan kedua-dua puteri itu. Namun perasaan iri hati dan rasa cemburu merajai hati mereka. Masing-masing merasakan diri mereka lebih jelita dan lebih bijak dan berusaha untuk menawan hati Putera Serapi yang tampan dan gagah perkasa.
Tanggal 16 September 2011, ketika rakyat Malaysia menyambut sambutan Hari Malaysia yang ke 48, aku dan Rodhi tiba di Bandaraya Kuching. Sudah lama kami merancang untuk mendaki Gunung Santubong yang berketinggian 810 meter dari aras laut itu pada 17 September 2011 iaitu pada raya ke 19 bersama dua orang rakan yang sememangnya anak jati Sarawak. Hujan renyai menemani kami sepanjang kami berjalan-jalan menyaksikan acara Regatta Lumba Perahu yang sedang berlangsung di Waterfront Sungai Sarawak di tengah bandaraya Kuching. Namun disaat-saat akhir, dua rakan itu membatalkan misi mereka untuk menuju puncak Gunung Santubong bersama-sama kami .
SMS yang aku terima terus mengubah riak muka aku. Lama juga aku berfikir dan kemudian aku bertanya pada Rodhi. “Ko ok tak kalo kita daki dua je. Subhi dengan kawan die tak join”. Tanpa berfikir panjang Rodhi menjawab, “ Kawe ok je”. Malam itu kami tidur lebih awal. Aku berharap cuaca keesokan harinya baik-baik saja dan tidak hujan.
Pagi 17 September 2011, setelah mendaftarkan nama, kami memulakan pendakian pada jam 7.45 pagi. Pendakian pada mulanya lebih kepada aktiviti ‘jungle trecking’ dimana kami melalui denai yang landai. Kami juga melintasi jeram kecil yang disediakan jambatan kayu untuk keselesaan para pendaki. Mengikut papan tanda yang terletak di tempat permulaan pendakian, kami akan melalui sebanyak 15 checkpoint. Untuk itu kami telah berpakat untuk berehat pada tiga check point iaitu checkpoint F5, checkpoint F10 dan juga di puncak gunung iaitu checkpoint F15.
Pendakian kami berjalan dengan lancar. Trek pula telah disediakan dengan baik oleh pihak pengurusan. Pada setiap checkpoint akan tersedia papan tanda yang menunjukkan peta trek. Pada batang pokok akan ditandakan dengan cat berwarna merah sebagai panduan para pendaki menjejak trek ke puncak gunung.
Selepas hampir sejam kami berjalan, kami tiba di checkpoint F5. Kami perlu menuruni bukit sebelum bertemu dengan air terjun yang menyambut kedatangan kami di checkpoint itu. Rodhi cepat-cepat meletakkan begnya dan terus bersuara. “Kawe sakit perut. Kawe nak berak kejap”. Sambil menunggu, aku merakam pemandangan indah air terjun itu menggunakan kamera aku.
Kami meneruskan pendakian. Ketika ini kami mula bertemu dengan permukaan lantai hutan yang semakin bercerun. Namun kami masih dibawah teduh pokok-pokok hutan hujan yang menaungi perjalanan kami.
Ketika ini kami bertemu dengan pasangan mat saleh yang mendaki dari Bukit Putri. Aku lantas menegur dan mereka memperkenalkan diri sebagai pasangan kekasih dari Latvia. Sememangnya jarang sekali berjumpa dengan pelancong dari negara itu berbanding pelancong-pelancong dari bahagian lain dunia.
Selepas itu kami tiba di checkpoint F12. Di checkpoint ini disediakan sebuah pondok dan juga bangku-bangku untuk kemudahan para pendaki untuk melepaskan lelah. Dari kawasan ini kami dapat melihat sebahagian kemuncak gunung yang diselubungi oleh kabus yang bergerak perlahan.
Selepas 45 minit, kami memutuskan untuk meninggalkan puncak Gunung Santubong pada jam 11.45 pagi. Ketika ini tapak kasut aku mula tertanggal sedikit demi sedikit. Berkat keramahan aku dan adat para pendaki yang membantu pada yang susah, seorang pendaki memberikan pita pelekat untuk mengikat tapak kasut aku yang semakin tertanggal.
- Gunung Santubong terletak kira-kira 35 km dari bandaraya Kuching menjadikannya antara gunung yang terletak dengan bandar dan juga lautan.
- Terdapat dua trek menuju ke puncak. Pertama dari Pusat Informasi dan yang kedua dari Bukit Putri. Kedua-dua trek akan bertemu di checkpoint F7 menjadi satu trek ke puncak gunung. Dikatakan trek dari Bukit Putri lebih dekat (45 minit ke F7) berbanding trek dari Pusat Informasi (1 jam setengah). Tetapi trek Bukit Putri tidak disediakan papan tanda dan juga kemudahan-kemudahan yang lain.
- Anggaran masa mendaki dari Pusat Informasi ke puncak Gunung Santubong adalah 5 jam, tetapi kebanyakan pendaki dalam kumpulan seramai 5 ke 10 orang selalunya mengambil masa kira-kira 3 jam setengah.
- RM2 dikenakan untuk permit mendaki manakala RM5 untuk bayaran parkir kereta. RM10 pula jika berminat untuk mendapatkan sijil pendakian.
- Selamat Mendaki!
Nota : Diingatkan bahawa gunung ini dikatakan mempunyai penunggu dan juga dikatakan 'keras'. Terdapat kejadian pendaki disampuk, diganggu, terdengar bunyi yang aneh dan sebagainya. Tingkah laku dan percakapan seharusnya dijaga sebaiknya.