MERDEHEKA BUMI MALAYSIA

Monday, August 30, 2010


Ketika artikel ini ditulis, sudah pasti akhbar-akhbar harian di negara ini turut sama memaparkan artikel mengenai isu kemerdekaan menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang bakal menjelang tidak lama lagi. Sudah tentu kita boleh mengetahui sedikit sebanyak mengenai sejarah kemerdekaan Malaysia melalui paparan yang diterbitkan melalui akhbar ataupun apa saja medium.

Tapi jarang sekali kita mengetahui negara-negara lain yang mencapai kemerdekaan pra dan pasca kemerdekaan negara kita. Sepertimana yang kita maklum, kebanyakan negara di seluruh dunia juga berjuang membebaskan bumi mereka daripada penjajah dan penjarah. Walaupun cara ataupun jalan mencapai kemerdekaan adalah berbeza-beza sama ada melalui pengusiran penjajah, pemisahan atau pembahagian, matlamatnya adalah sama iaitu untuk membebas negara daripada belenggu penjajah dan hak memimpin negara sendiri.

Berikut merupakan senarai tarikh pengisytiharan kemerdekaan 41 negara (terpilih) mengikut susunan termasuk Malaysia yang memperoleh kemerdekaan daripada kuasa-kuasa seperti United Kingdom, Sepanyol, Portugal, Perancis dan lain-lain lagi.

1. Amerika Syarikat - 4 Julai 1776
2. Thailand - 7 April 1782
3. Mexico - 16 September 1810
4. Paraguay - 15 Mei 1811
5. Argentina - 9 Julai 1816
6. Chile - 12 Februari 1818
7. Greece - 28 Mac 1821
8. Costa Rica - 15 September 1821
9. Honduras - 15 September 1821
10. Brazil - 29 Ogos 1825
11. Kanada - 1 Julai 1867
12. Australia – 1 Januari 1901
13. Afrika Selatan - 31 Mei 1910
14. Taiwan - 10 Oktober 1911
15. Korea Selatan - 1 Mac 1919
16. Korea Utara – 1 Mac 1919
17. Mesir - 28 Februari 1922
18. Lubnan – 26 November 1941
19. Indonesia - 17 Ogos 1945
20. Vietnam - 2 September 1945
21. Filipina - 4 Julai 1946
22. Pakistan - 14 Ogos 1947
23. India - 15 Ogos 1947
24. Myanma r- 4 Januari 1948
25. Sri lanka - 4 Februari 1948
26. Laos - 19 Julai 1949
27. Austria - 27 Julai 1955
28. Ghana - 6 Mac 1957
29. MALAYSIA – 31 OGOS 1957
30. Cameroon – 1 Januari 1960
31. Ivory Coast- 7 Ogos 1960
32. Nigeria – 1 Oktober 1960
33. Maldives - 26 Julai 1965
34. Fiji - 10 0ktober 1970
35. Bangladesh - 26 Mac 1971
36. Papua New Guinea-16 September 1975
37. Zimbabwe - 18 April 1980
38. Brunei - 1 Januari 1984
39. Slovenia - 25 Jun 1991
40. Slovakia – 1 Januari 1993
41. Timor Leste- 20 Mei 2002

Apapun tarikh 31 Ogos 1957 adalah tarikh yang sangat penting bagi rakyat Malaysia kerana ia merupakan tarikh pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu selepas siri rentetan tokoh negarawan negara memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Tarikh ini dipilih dalam mesyuarat antara Ketua Pemuda UMNO Tun Sardon Jubir, timbalannya Haji Ahmad Badawi dan juga Mufti Pulau Pinang, Haji Abdullah Fahim di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 1956.

Semoga bumi bertuah Malaysia terus merdeka hingga akhirnya dalam meniti masa depan yang lebih mencabar bersama generasi yang merdeka mindanya daripada anasir penjajah. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 53!

Nota: Merdeheka adalah merdeka!

RAYA YANG SEMPURNA

Wednesday, August 25, 2010

Sebuah cerpen sempena Ramadhan & Syawal yang bakal menjelma.
Piah mengoyakkan daun tingkap rumahnya. Cahaya matahari di ufuk timur terus menerangi ruang tamu rumah Piah. Disisipnya langsir jarang bewarna biru ke birai tingkap. Piah mendongak ke langit melihat kelompok awan-awan persih di pagi hari. Wanita separuh abad itu kemudiannya menguis-nguis bubuk asai yang sudah lama bersarang dibingkai tingkapnya. Bubuk asai itu berselerak di lantai rumah Piah. Piah kemudiannya menyapu ruang tamu rumahnya yang berlantaikan kayu. Sebahagian habuk, debu dan bubuk jatuh ke bawah rumah melalui liang antara papan lantai rumah Piah yang renggang dan hanya dihampar dengan tikar getah yang koyak mengikut susunan papan lantai.

Dia berhenti seketika. Dia memerhatikan segenap sudut ruang tamunya itu. Kerusi rotannya sudah uzur menanti rebah. Langsirnya sudah tiga tahun tidak berganti. Tikar getah pula bersetai-setai. Baru malam tadi Piah menyuarakan permintaannya pada Jabar untuk membeli kerusi baru. Bab tikar getah, tak mengapalah. Mungkin boleh disembunyikan rupa buruk lantai rumahnya itu dengan permaidani yang baru diberi Bainun, adiknya minggu lepas. Tetapi kerusi rotan itu sudah terlalu usang. Sudah berapa kali Piah memakunya dan diikat dengan wayar berpilin hitam dan merah. Piah berasa malu dengan perabot usang itu yang baginya layak dicampak ke tapak pelupusan sampah.

Piah menghela nafas panjang. Dia menyambung kerjanya yang tertunda dek angan-angan mahu berkerusi baru. Jijah, jirannya baru saja beli set kerusi baru secara ansuran di kedai cina Lee. Sambil menyapu lantai dia mula terfikir. Suami Jijah hanyalah seorang jaga. Tapi mampu beli perabot baru. Padahal Jabar kerja jaga juga. Cuma kilang saja yang berbeza. Piah lihat Jijah cukup gembira berkerusi baru tempoh hari. Saat Piah menjenguk jirannya itu, Jijah girang menyarungkan sarung kusyen baldu warna merah terang sama seperti warna hati Jijah.

Ketika Piah masih mengelamun, Jabar baru saja tiba di tempat kerja. Dia meletakkan motorsikal Honda C70nya betul-betul di sebelah pondok pengawalnya. Jabar sempat berbual dengan rakan sekerjanya yang hendak pulang ke rumah selepas tamat sesi kerja. Jabal kemudian memperlahankan kelajuan kipas dinding dan membuka lembaran surat khabar yang dibelinya pagi tadi. Utusan Malaysia hari itu disertakan bersama katalog perabot. Jabar serta-merta teringat kata-kata Piah mahukan kerusi baru apabila terlihat katalog itu.

Menjelang tengahari barulah beberapa orang pekerja kilang datang bertandang ke pondok pengawal Jabar. Mereka selalu berbual-bual dengan Jabar. “Puasa tak hari ni cik? Kitorang tak puasa”, tegur Wafi sambil disambut gelak tawa kawan-kawannya. Jabar hanya tersenyum sambil menghulurkan surat khabar pada Wafi. Sepanjang Ramadhan Wafi lebih suka duduk di pondok pengawal berbual-bual dan membaca surat khabar sementara menanti waktu zuhur. Sambil berbual dan membaca surat khabar, budak lepasan SPM itu melukis bulatan pada beberapa gambar perabot pilihannya pada katalog perabot dengan pen marker. “Raya ni kilang kita bagi bonus. Aku nak beli tiga-tiga perabot ni”, kata Wafi sambil menudungkan mata pen itu. Kawan-kawannya ketawa lagi. Katalog perabot yang disisipkan bersama surat khabar milik Jabar itu diletakkan kembali dicelah lembaran surat khabar itu dan dimasukkan ke dalam raga motorsikal Jabar.

Jam sudah menjengah 5 petang. Jabar sudah siap sedia untuk pulang ke rumah. Sejam kemudian dia tiba di rumah disambut isterinya, Piah. “Abang nak rehat dulu. Ni surat khabar kalau Piah nak baca”. Piah cukup faham suaminya yang ingin berbaring sebentar sementara menanti waktu berbuka. Piah meletakkan surat khabar itu ke atas meja dan sekonyong-konyong katalog perabot yang terselit dicelah surat khabar itu melayang. Piah mengutipnya di atas lantai, melihat helaian itu dengan dua matanya dan lantas mulutnya tercoret senyuman melihat kertas katalog perabot yang telah diconteng itu. Dia cukup gembira Jabar memahaminya yang mahukan set kerusi baru. Tambahan pula, dia cukup berkenan dengan ketiga-tiga contoh gambar model perabot yang dibulatkan dengan pen itu.

Hatinya berbunga riang. Piah laju-laju menyuruh anak bongsunya membeli kuih-muih dan pecal sebagai juadah sampingan berbuka puasa. Jarang sekali Piah berbelanja untuk berbuka puasa. Selalunya ala kadar sahaja. Tetapi hari itu istimewa. Esok atau lusa kerusi rotan lapuknya berganti set kerusi yang baru sama seperti dalam katalog perabot itu. Ruang tamu Piah pasti sama naik seri macam ruang tamu rumah Jijah. Biarlah dia berbelanja sedikit duit pemberian anaknya Kadir sebagai tanda terima kasih pada Jabar.

Keesokan harinya Jabar bersiap-siap hendak ke tempat kerja. Dia sempat pesan pada Piah. “Kalau ada lori cina Lee datang nanti Piah layanlah ye. Abang dah bayar semua dah. Abang pergi kerja dulu”. Piah menyalam dan mengucup tangan Jabar dan melambainya. Piah terus memanggil anak gadisnya, Siti dan menunjukkan katalog perabot semalam. “Abah kau beli perabot baru. Tapi mak lupa pula nak tanya yang mana satu antara tiga ni. Jom kita angkat kerusi rotan ni ke bawah rumah. Nanti senang kita nak aturkan perabot baru nanti”. Dua beranak itu ketawa. Pagi itu tidak sama seperti pagi ketika Piah berangan-angan mahukan perabot baru. Impian Piah hampir menjadi kenyataan.

Menjelang pukul 11 pagi sebuah lori tiba di halaman berdebu rumah mereka. Piah segera menjenguk di tingkap rumah. Cina Lee memberhentikan lorinya betul-betul dihadapan tangga rumah Piah. Dia mengarahkan kulinya mengangkat segulung tikar getah ke atas rumah Piah. Tetapi perabot didalam lori tidak pula diturunkan. Piah terasa hairan. Lantas dia bertanya pada cina Lee. “Takkan tikar getah je Lee. Mana set kerusi? Kan semalam abang Jabar dah beli kerusi yang ni”, tanya Piah sambil menunjukkan katalog itu. Cina itu mengesat peluh dimuka dengan kolar bajunya sambil berkata, “mana ada maa. Tikar getah saja. Pelabot atas loli untuk lumah lain lor”. Pelat cinanya pekat. Tapi butir katanya cukup untuk membuatkan Piah faham.

“Takpelah mak. Mungkin abah beli perabot tu kat kedai lain kot. Lagipun katalog tu bukan katalog kedai cina Lee. Tapi Court Mammoth. Kita tunggu dulu la atau kita tanya abah nanti”, Siti memujuk ibunya. Hati Piah terpujuk. Tapi dia masih berharap kerusi baru bakal memenuhi ruang kosong ruang tamunya. Biarlah raya kali ini meriah sedikit.

Tikar getah baru bercorak jubin itu Siti bentang. Warna hijau cair tikar getah cukup padan dengan permaidani yang diberi makcik Bainunnya tempoh hari.

Sehingga Jabar kembali dari tempat kerja, tiada lori kedua yang singgah di rumah Piah. Akhirnya Piah bertanya apabila Jabar muncul di muka pintu. “Abang beli set kerusi kat kedai lain ke? Sebab si Lee tadi hantar tikar getar je”. Lama juga Jabar terdiam. Kemudian dia menjawab, “Semalam abang tak beli kerusi pun. Tikar getah tu pun abang bayar ansuran”. Piah mengambil katalog dan bertanya lagi, “Tapi Piah tengok abang bulatkan gambar perabot-perabot ni?”. Secara lembut Piah bertanya minta kepastian.“Ini semua kerja budak-budak kilang ni, bukannya abang”, jawab Jabar sambil meneliti katalog yang ditunjuk Piah.

Piah akhirnya faham. Piah tahu Jabar tak cukup duit. Baru Piah ingat Jabar perlu memberi sebahagian gaji bulanannya pada adiknya, Kasim yang terlantar sakit di hospital. Piah tahu Jabar tidak boleh berbelanja sebarangan. Dan Piah cukup kenal bahawa si Jabar bukan jenis bersultan di mata beraja di hati. Susah macam manapun Jabar pasti memenangi hati Piah. Sebab itu bila Jabar tak mampu beli kerusi dia belikan Piah tikar getah.

Tetapi Piah tetap kecewa kerana hasratnya mahu berkerusi baru tidak kesampaian. Petang itu juga dia menyuruh Siti , Kadir dan anak bongsunya, Ajak menyusun semula kerusi rotan usang dan lapuk itu di ruang tamu. Petang itu Piah tidak banyak bercakap. Piah makan hati berulam jantung. Selepas solat tarawih di masjid dia terus berbaring diatas katil. Matanya menyorot pada bumbung rumahnya yang tidak bersiling.

Lebaran bakal menjelma 10 hari lagi. Piah akhirnya menerima kenyataan. Mungkin bukan tahun ini rezekinya mahu melihat kerusi baru di ruang tamunya. Piah juga berdoa agar rayanya kali ini lebih bermakna walaupun tanpa kerusi baru kerana Piah masih dapat beraya bersama Jabar, Kadir, Siti dan Ajak. Untuk itu Piah membaiki kerusi rotan usang itu. Piah menyuruh Kadir memaku tupai-tupai pada kerusi untuk menyangga kerusi. Kadir juga melilit setiap pertemuan rotan dengan wayar dengan lebih ketat lagi. Piah sama membantu.

Petang itu Dibah Debab anak Tok Penghulu datang berbual-bual dengan Siti. Mereka rancak bercerita pasal Dhamiri, cucu Tok Ngah Abas yang rupa parasnya persis pelakon hindi. Mereka ketawa terkekek-kekek. Sambil itu, Kadir menjeling-jeling dengan wajah mencuka kerana tidak suka dengan perangai gedik Dibah Debab. Tambah-tambah bunyi Dibab Debab dan Siti ketawa cukup mengganggu konsentrasinya menonton rancangan Dekoraya di hujung ruang tamu.

Dek kerana terlalu kuat ketawa, dengan tak semena-mena kerusi rotan yang diduduk Dibah Debab patah dua. Ketawa terhenti. Kadir bingkas bangun sambil menyeringai. “Kurang ajar! Baru pagi tadi aku betulkan kerusi tu, gemuk!”. Kadir berlalu. Tapi Dibah Debab tak pernah ambil hati sebab dia tahu Kadir memang bencikannya. Dibah Debab bangun sambil dibantu Siti tapi mereka masih ketawa kecil mengenangkan apa yang berlaku. Piah bergegas datang dari dapur apabila terdengar bunyi macam kayu patah. Piah menutup mulutnya dengan tangan apabila melihat kerusi rotannya patah dua. Dia berpura-pura ketawa walaupun dalam hatinya hanya tuhan yang tahu. Kerusi rotan itu tidak mungkin dapat dibaiki lagi.

Dibah Debab minta maaf pada Siti dan Piah. Sebelum pulang, ekor mata gadis bertubuh besar itu sempat memandang Kadir yang sedang bermasam muka di beranda rumah.

Piah biarkan saja kerusi itu di dalam rumah. Kadir bercekak pinggang melihat kerusi rotan rumahnya ranap dipatahkan gadis yang tidak disukainya itu. Siti memegang bahu ibunya seraya mengajak ibunya menyiapkan juadah berbuka.

Selepas tarawih di masjid Piah sempat mendengar tazkirah ringkas Ustaz Zawawi. Ustaz Zawawi berceramah tentang erti raya yang sebenar. “Kalau kita sebut raya mesti semua nak baru.Kasut barulah, baju barulah, langsir baru, karpet baru. Pendek kata semua nak baru. Kononnya barulah raya tu sempurna”. Ustaz Zawawi menambah lagi, “Tapi kita selalu lupa raya ni untuk meraikan kemenangan kita sebab dapat menyempurnakan Ramadhan. Puasa kita, tarawih kita, zikir kita, amalan kita. Semuanya kita boleh dapat menjelang Syawal. Barulah raya itu sempurna. Jadi, marilah kita sama-sama tingkatkan amalan dan berdoalah, sebab doa pada bulan Ramadhan adalah yang paling makbul”! Piah mengangguk kecil sambil tersenyum. Sepanjang Ramadhan, puasanya tidak pernah tinggal, tarawihnya lengkap 20 beserta witir dan dia berkira-kira untuk menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhannya. Tazkirah Ustaz Zawawi tadi memberi Piah semangat untuk melupakan hasrat berkerusi baru dan memperbanyakkan amalannya sepanjang Ramadhan.

Ramadhan berbaki dua hari lagi. Piah dan Siti sibuk membersihkan rumah. Kerusi yang patah disimpan di belakang rumah. Kerusi yang masih boleh dipakai Kadir susun elok-elok walaupun sudah berpaku sana-sini. Awal-awal lagi Kadir sudah memberi amaran pada Ajak supaya jangan sesekali berani melompat-lompat di atas kerusi rotan itu. Langsir jarang bewarna biru Piah pasang semula setelah siap dibasuh. Permaidani pemberian Bainun, Siti hampar di atas tikar getah hijau yang masih belum hilang baunya.

Dari kejauhan Piah nampak ada lori besar membelok ke simpang rumah Piah. Ajak menjerit-jerit memanggil ibunya. Piah menuruni anak tangga diekori Siti. Di belakang lori itu adalah kereta kancil milik Dibah Debab. Berpeluh-peluh Dibah Debab keluar dari kereta dan kemudian berlari-lari anak mendapatkan Siti dan Piah di hujung tangga.

“Siti, kau ingat tak hari masa aku patahkan kerusi kau hari tu? Masa tu aku sempat hantar SMS peraduan Dekoraya. Alah....takkan kau tak ingat. Masa tu aku tengok rancangan yang Kadir pasang kat tv. Aku saja-saja try SMS. Tak sangka pulak aku menang!”, tercungap-cungap Dibah Debab menerangkan.

“Habis tu?”, tanya Siti minta penjelasan. “Aku nak hadiahkan hadiah yang aku menang ni pada keluarga kau. Yelah..kan aku dah patahkan kerusi kau hari tu. Kira hadiah hari raya la ni”, sambung anak Tok Penghulu kampung itu sambil mengipas-ngipas mukanya dengan tangan.

Sofa badak berjenama terkenal diangkut ke dalam rumah Piah. Langsir jarang Piah berganti langsir polos jenis kain mahal. Meja sudut baru dihias bunga tulip yang disusun sebegitu saja. Almari sudut yang baru dipasang pemegangnya dihias cantik-cantik dengan koleksi pingat Kadir dan gelas-gelas tempat bunga telur kenduri kahwin. Replika hiasan sudu dan garfu kayu yang tergantung di dinding rumah Piah selama ini berganti gambar lukisan abstrak yang Piah sendiri tidak tahu apa maksudnya.

Hampir satu jam pekerja-pekerja syarikat itu mengemas rumah Piah. Piah menghidangkan air sirap pada cina-cina yang menyiapkan ruang tamu rumah Piah itu. Piah sangat berpuas hati. Hatinya riang seperti ada kanak-kanak bermain bunga api di dalamnya. Siti tersenyum sambil melentokkan kepalanya pada bahu Dibah Debab. Gadis manis itu berterima kasih pada Dibah Debab kerana menjadikan rayanya cukup bermakna kali ini. Kadir sempat tersenyum pada Dibah Debab yang telah menggembirakan hati ibunya.

Sewaktu Piah gembira bukan kepalang, Jabar tiada di rumah. Dia sedang bekerja dan selepas waktu kerja dia terus ke majlis berbuka puasa anjuran kilangnya. Jabar tiba di rumah sewaktu Piah masih bertelekung dan baru melabuhkan punggungnya di anak tangga sesudah pulang solat tarawih di masjid. “Piah, tadi masa berbuka puasa abang menang cabutan bertuah. Pagi esok kilang hantar set meja makan ke rumah kita”, cerita Jabar bersungguh-sungguh. Piah tersenyum lagi. Senyumannya menampakkan barisan giginya yang tidak sempurna itu. Berkat kesabarannya, dia merasakan raya itu paling sempurna. Benar kata Ustaz Zawawi. Doa Ramadhan itu makbul.

Nota : Hayati Ramadhan & nikmati Syawal.

KANTA DERIA ABAH

Saturday, August 21, 2010

Aku baru balik bercuti dari India sewaktu mendapat berita abah dimasukkan ke hospital kerana serangan strok. Perasaan gembira kembali ke rumah berubah menjadi duka mengenangkan abah sihat-sihat saja sebelum ini.

Keesokan harinya aku melawat abah. Rupanya abah hanya diserang strok mata. Penglihatan mata kanannya sangat terhad iaitu hanya dibawah 10 peratus. Abah dirawat selama lima hari di hospital. Menjelang hari kelima abah di wad, tiada jawapan yang pasti dari mulut doktor. Doktor memberi jaminan rawatan berterusan akan diberikan minggu demi minggu dan abah terus dibawa pulang ke rumah.


Hari demi hari, penglihatan mata kanan abah semakin merosot dan akhirnya hanya gelap sahaja yang dapat dilihat dari mata itu. Mata kirinya terpaksa menanggung beban kerana hanya mata itu sahaja yang benar-benar boleh berfungsi. Itupun tidak sepenuhnya memandangkan abah berkaca mata dan faktor usia abah yang sudah melebihi tujuh dekad menyebabkan penglihatannya tidak seperti penglihatan zaman usia mudanya.

Akhirnya abah pasrah meneruskan hidup dengan bergantung pada mata kirinya. Sebagai anak, aku selalu berdoa agar mata kanan abah akan pulih dan mata kiri abah terus bertahan sehingga akhirnya. Abah teruskan saja rutin hariannya tanpa terlampau memikirkan nikmat mata kanan yang telah ditarik oleh Yang Maha Pencipta itu. Tetapi aku sering memikirkan jasa sepasang mata abah sepanjang usianya sehingga kini.

Abah cukup suka membaca. Dengan mata itulah abah membaca setiap isi buku yang tersusun rapi dirak buku miliknya. Abah juga rajin membaca majalah. Majalah-majalah terbitan Indonesia seperti Tempo, Panji Masyarakat & Media Dakwah dijilidnya seperti tesis. Begitu juga dengan puluhan majalah Massa terbitan Utusan Karya yang juga dijilid dan disusun bagaikan mahakarya penting seorang penulis agung.

Abah membaca patah demi patah perkataan dalam setiap novel karya Hamka seperti Dibawah Lindungan Kaabah dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Abah juga membaca dan menghayati kandungan novel-novel karya sasterawan negara seperti karya Shahnon Ahmad, S.Othman Kelantan dan Usman Awang. Karya yang memenangi anugerah seperti Iman Markisa karya Aminah Mokhtar dan novel pascakemerdekaan seperti Hartini karya Aziz Afkar juga ada dalam simpanan abah. Begitu juga dengan koleksi memoir-memoir tokoh-tokoh di Malaysia.

Abah juga rajin membaca akhbar. Abah tidak memilih. Sama ada akhbar harian ataupun akhbar tabloid, abah baca semuanya. Akhbar bersifat politik seperti Harakah dan Siasah pun abah baca. Hujung minggu sudah semestinya akhbar seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Harian Metro dan Kosmo! menjadi bahan bacaan abah mengisi masa senggang.

Selain membaca abah cukup suka menanam pokok bunga. Taman dihalaman rumah abah sudah cukup untuk membuktikan hobinya itu. Dengan mata itulah abah melihat untuk memangkas dahan-dahan besar pohon bougainvillea, mencantas daun-daun pohon hibiscus dan orkid serta membentuk pohon-pohon renek bonsai miliknya. Setiap pagi dan petang abah menghabiskan masanya berbudi pada tanah dengan menghias halaman rumah dengan warna-warna bunga tempatan. Jika menang pada pandangan matanya, maka menang jugalah pada pandangan mata orang lain. Lantaran itulah halaman abah pernah dianugerahkan halaman tercantik peringkat kampung suatu masa dulu.

Suatu hari aku melihat abah seperti biasa di kerusi malasnya. Jika abah duduk begitu, tangannya pasti memegang apa saja bahan bacaan sambil radio kecilnya memasang siaran lagu-lagu klasik zaman remajanya. Ketika itu abah membaca surat khabar. Pada halaman akhbar itu terdapat beberapa artikel yang begitu halus penulisannya pada pandangan sebelah mata abah. Lalu abah mengambil kanta pembesar dan membaca artikel itu. Seluruh artikel itu abah baca. Seterusnya abah membaca penerangan gambar di dalam pojok-pojok lain menggunakan kanta pembesar miliknya.

Begitulah abah untuk hari-hari seterusnya. Tangannya tidak pernah lekang dengan kanta pembesar yang menjadi pembantu deria lihatnya jika dia memerlukan. Abah begitu tekun. Mungkin baginya adalah satu kerugian sekiranya terlepas satu ilmu yang dapat diraih dari buku-buku, novel-novel, majalah-majalah, akhbar-akhbar dan berbagai-bagai lagi bahan bacaan. Biarlah dengan satu mata atau berkanta pembesar sekalipun, abah pasrah meneruskan hobi yang menjadi kewajipannya setiap hari.

Aku berdoa untuk abah, semoga sisa hidupnya dapat diteruskan meskipun dengan kekurangannya yang ada. Bagi aku, ketekunan dan kegigihan abah menjadi dorongan supaya aku sentiasa bersyukur dan redha dengan qada’ dan qadarNya. Sekalipun abah berkanta pembesar ketika membaca, aku tahu disudut hatinya terukir senyuman tanda kepuasan kerana abah masih boleh membaca, menanam pokok bunga di halaman rumahnya dan melihat anak cucunya membesar dihadapan matanya yang satu itu.

Nota : Kanta Deria Abah adalah Kanta (pembesar) Deria (penglihatan) Abah.

NOTA AKROSTIK RAMADHAN

Friday, August 20, 2010


R - Ramadhan secara harfiah bermaksud panas terik

A - Al-Quran, kitab suci umat islam diturunkan pada bulan Ramadhan

M – Malam Lailatul Qadar lebih baik dari seribu bulan

A – Amalan ibadah dilimpahkan ganjaran dan doa-doa dimakbulkan

D - Disyariatkan untuk umat islam berpuasa di bulan Ramadhan

H - Hanya pada malam Ramadhan disunatkan mendirikan Solat Sunat Tarawih

A - Ada 3 bahagian 10 Ramadhan iaitu rahmat, keampunan dan terhindar daripada api neraka


N - Neraka pintunya ditutup manakala syurga pintunya dibuka


Nota : Akrostik sebenarnya adalah untuk puisi tetapi aku tak pandai mengarang puisi. Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak!

JANGKITAN TANPA ANCAMAN

Tuesday, August 10, 2010

Dalam dunia ini terdapat bermacam-macam jenis jangkitan sama ada jangkitan yang menyebabkan kita sakit ataupun yang mengancam nyawa kita. Jangkitan selalunya disebabkan oleh mikroorganisma seperti virus, baKteria dan kulat tetapi tahukah anda terdapat beberapa jangkitan yang tidak disebabkan oleh mikrooranisma sebagai veKtor tetapi berjangkit pada kita tanpa kita disedari. Jangkitan-jangkitan itu adalah;

JANGKITAN MENYANYI
Ingat kembali. Pernahkah perkara ini berlaku pada anda? Seorang kawan anda menyanyi. Dia menyanyi tidaklah terlalu kuat, tidaklah terlalu perlahan. Sekadar untuk menghiburkan dirinya dan anda mendengar nyanyian lagu itu. Lagu itupun bukanlah lagu kegemaran anda. Beberapa ketika kemudian, anda menyanyi lagu yang sama dinyanyikan kawan anda tadi. Ini dinamakan jangkitan nyanyian!

JANGKITAN TABIAT
Kawan anda suka mengangkat-angkat kening apabila berbual. Ataupun dia suka menggerakkan kepala ke satu arah tertentu apabila mengajak anda menuju kearah itu. Sekadar menyebut dua contoh, itu adalah tabiat yang mereka ‘cipta’. Tetapi beberapa hari kemudian anda mula terikut-ikut gaya dan laku tabiat kawan anda. Pembaca sekelian, anda diserang jangkitan tabiat!
JANGKITAN FRASA
Jangkitan ini pasti pernah berlaku dalam hidup anda. Kawan anda sering menggunakan frasa-frasa tertentu dalam perbualan seperti ‘tu ar’ (itulah), ‘memang tak ar’ (memang tak lah), ‘apa kes’, ‘no hal’ dan bermacam-macam lagi. Jika dalam sekali perbualan anda ada menyebut walaupun sekali frasa-frasa sebegitu, anda sudah dijangkiti satu jangkitan yang dinamakan jangkitan frasa dari kawan anda.

JANGKITAN MENGUAP
Ini adalah jangkitan yang paling kerap berlaku tanpa kita sedari. Menguap berlaku apabila seseorang merasa letih atau mengantuk disebabkan jumlah oksigen di paru-paru yang rendah. Dikatakan 55% manusia menguap dalam masa 5 minit selepas melihat orang lain menguap. Tetapi orang kedua yang kena jangkitan menguap itu tidak semestinya mengantuk atau letih. Inilah penularan jangkitan yang boleh berlaku dimana saja dan kita boleh menerima jangkitan itu sama ada daripada orang yang kita kenali ataupun orang yang langsung kita tidak kenal. Malah orang buta pun menguap apabila mendengar bunyi rakaman orang menguap. Mahukan bukti? Selepas anda membaca ayat ini, cuba anda menguap dihadapan orang lain dan perhatikan kesan jangkitannya pada orang itu.

Satu kajian yang dijalankan di Finland merumuskan bahawa dalam otak kita terdapat satu litar yang dipanggil mirror-neuron circuit. Litar ini umpama cermin dan berfungsi untuk meniru dan mengarahkan kita meniru pergerakan orang lain secara tidak sedar. Untuk itu, menyanyi, menyebut frasa tertentu, pelakuan tabiat dan menguap adalah jangkitan-jangkitan yang menular tanpa kita sedari dan sudah pasti ianya tanpa ancaman.

KAKI WAYANG PERSEPSI JONI

Thursday, August 5, 2010

Janji Joni merupakan sebuah naskhah Indonesia yang dihasilkan beberapa tahun lalu, yang memaparkan kisah Joni penghantar rol filem di pawagam-pawagam sekitar Jakarta. Joni secara sinis menggambarkan jenis-jenis penonton di pawagam (walaupun hakikatnya pengelompokan ini menerusi pandangan si sutradara, Joko Anwar). Sagahayat mengulas kelompok-kelompok penonton wayang ini yang diinspirasikan dari sedutan filem Janji Joni. Mari kita lihat sama ada kita tergolong dalam kelompok-kelompok ini ataupun pernah terjumpa golongan-golongan ini dalam pawagam khasnya untuk kaki wayang.

1. Penonton Cari Perhatian
Menerusi filem, Joni menyatakan golongan ini adalah mereka yang berdandan cantik, memakai perfum harum semerbak dan bersuara lantang. Mereka dalam satu kumpulan seperti sengaja mencari perhatian. Secara realitinya mungkin ada. Tetapi panggung wayang yang gelap bukan tempat yang sesuai untuk menonjolkan diri. Anda begitu?

2. Penonton Piknik
Popcorn, keropok & air gas merupakan antara pelengkap saat menonton wayang. Golongan ini memang ada. Dua minit pertama popcorn sudahpun tinggal separuh (aku pun selalu). Bunyi mengunyah popcorn adakalanya mengganggu konsentrasi. Berpiknik dalam pawagam sebenarnya lebih sesuai bagi filem yang santai.

3. Penonton Pacaran
Ambil seat paling belakang dan wayang pun bermula. Filem cinta menjadi saksi cinta mereka dalam pawagam. Istilah ‘buat wayang’ memang merujuk pada penonton pacaran. Yang pasti, aku pernah terlihat pasangan cina cium mulut lepas habis tayangan. Tayangan percuma depan mata. Dan mereka tak pilih tempat duduk paling belakang pun.

4. Penonton Pembajak (cetak rompak)
Sepanjang aku menonton di pawagam, aku tidak pernah berjumpa golongan ini. Merakam filem sepanjang durasi 1 jam 30 minit hingga 2 jam memerlukan komitmen yang tinggi. Kecualilah pemilik panggung wayang yang memberi slot khas untuk pembajak-pembajak merakam filem dengan syarat komisyen tertentu.

5. Penonton Spoiler
Jenis ini selalunya sudah menonton filem itu terlebih dahulu. Kemudian dia menonton untuk kali kedua dengan kawan-kawan yang lain. Dari awal dia akan bercerita mengenai sinopsis cerita, siapa yang mati, bagaimana kesudahan movie dan lain-lain. Sudah pasti mood akan hilang kalau menonton wayang bersama penonton spoiler. Pernah jumpa orang macam ini?

6. Penonton Pengkritik Filem
Susah nak jumpa. Sebab di Malaysia selalunya penerbit atau pengedar filem mengadakan tayangan perdana secara percuma khas untuk wakil media. Tapi aku pernah sekali satu pawagam dengan pelakon Pierre Andre & Sasterawan Negara, Usman Awang semasa menyaksikan filem Gubra. Tapi kehadiran dua figura ini rasanya bukan untuk mengkritik tetapi menghayati karya Yasmin Ahmad itu.

7. Penonton Cellphone
Walaupun dah disilentkan, ada penonton yang masih menjawab telefon dalam pawagam. Mungkin urusan penting gamaknya. Untuk golongan ini dinasihatkan supaya bersms saja. SMS pun dapat salur maklumat juga. Ataupun cuba ayat ini dengan sekali panggilan dalam nada berbisik; “Aku dalam wayang ni. Aku telefon nanti”.

8. Penonton Tidur
Gelap & sejuk menjadi dua faktor menjadikan pawagam merupakan tempat yang sesuai untuk melelapkan mata. Pedulikan tentang bunyi dari filem kerana ada dikalangan kita yang ‘kalis bunyi’. Dua jenis penonton ini pula adalah tertidur kerana keletihan dan yang kedua adalah filem yang ditonton sungguh membosankan hingga lebih baik tidur saja. Aku sendiri pun pernah tertidur kerana menonton filem yang membosankan tetapi ada kawan aku yang tidur ketika menonton babak peperangan filem Lord of The Rings!

9. Penonton Lambat Fikir
”Orang jahat tadi dah mati ke?”, “Macam mana dia ada kat situ?” atau "Dia buat apa tadi?" Jika pertanyaan begini datang dari penonton sebelah kita ini namanya malapetaka. Kenikmatan menonton akan terganggu untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan itu. Terus terang memang ada aku terjumpa penonton jenis ini. Dia siap cakap. “Tak bertanya sesat jalan”.

10. Penonton Perfectionist
Ini memang kaki wayang sejati. Dia mahukan kepuasan untuk durasi hampir 2 jam menatap filem layar perak. Kedudukan kerusi yang agak jauh dari skrin merupakan faktor penting. Golden Screen Cinema dan Tanjung Golden Village saja yang layak bagi dirinya untuk menghabiskan masa menonton wayang. Dan jika filem itu ditayangkan secara 3D, sudah pasti itulah pilihannya. Anda penonton jenis ini? Jawapan anda pasti ‘Ya’ kan?

Nota : Pernah sekali aku dan kawan-kawan pergi menonton wayang beramai-ramai. Tetapi ada seorang kawan yang enggan menonton bersama sebaliknya sanggup menunggu di luar sehingga habis tayangan. Terpaksalah seorang kawan membelanjanya tiket wayang. Terbukti dia bukan kaki wayang.

ACARA LUAR PINTU TAHUNAN

Sunday, August 1, 2010


Aktiviti luar pintu ataupun outdoor activities merupakan acara yang wajib dijalankan setiap tahun. Semenjak tahun 2007, aktiviti ini dijalankan pada penghujung setiap tahun dimana destinasi perkhemahan adalah pantai, air terjun dan sebagainya. Warna tema, nama program perkhemahan dan organisasi dibentuk setiap tahun bagi melancarkan aktiviti ini. Diharap aktiviti sebegini akan diteruskan untuk masa-masa yang akan datang.

KEEP FIT KE DABONG
AIR TERJUN JELAWANG, KEM BAHA, DABONG, KELANTAN
TARIKH : 30 NOVEMBER - 3 DISEMBER 2007
WARNA TEMA : HITAM

Keep Fit Ke Dabong mendapat nama dari frasa ‘Keep Fit’ yang merupakan petikan nasihat seorang ahli iaitu Azwad yang mengingatkan semua peserta supaya ‘keep fit’ untuk mendaki ke Kem Baha. Acara ini merupakan yang julung kali diadakan selepas acara-acara lain yang dijalankan dibawah kelolaan kolej kediaman universiti (sebelum ini program ke Gunung Ayam & Gunung Stong melalui Kem Baha). Motto program adalah ‘Hitam Nampak Kemas’ ketika iklan syampu Clear yang menampilkan aktor korea, Rain menyebut ‘Nama Saya Rain’ sedang popular di kaca tv. Seramai 12 orang mengambil bahagian iaitu Am selaku Pengarah, Che Yop (Ajk Peralatan), Kunk, Azwad (Ajk Keselamatan), Kerol, Bob, Tart(Ajk Hiburan), Halim (Sepupu Hiburan), Fad (Ajk Tahan Kencing), Akmar (Ajk Pengangkutan), Rehan (Bendahari) & Bee( Ajk Keceriaan Khemah).

Kami bergerak dari Kuala Lumpur menggunakan pengangkutan awam Keretapi Ekspres Wau ke Stesen Dabong, Kelantan. Sepatutnya kami tiba di Dabong sekitar jam 7.00 pagi tetapi disebabkan terdapat keretapi barang yang tergelincir di Rembau menyebabkan perjalanan kami tergendala hampir 8 jam. Sepanjang keretapi berhenti di Rembau, kami melancarkan ‘Landasan fm’. Kami tiba di Dabong sekitar jam 3.00 petang. Aktiviti meneroka gua terpaksa dibatalkan dan kami mendaki Kem Baha tanpa guider sekitar jam 4.00 petang dan tiba di Kem Baha atau puncak air terjun Jelawang ketika matahari sudah tenggelam.

Pendakian kami berjalan dengan lancar walaupun ‘take 5’ adalah perkara biasa sepanjang pendakian. Ini merupakan aktiviti pertama yang disertai kebanyakan peserta dan kami berjaya mendaki puncak setinggi sekitar 400 meter dari aras laut itu selepas menghabiskan masa hampir 18 jam di dalam keretapi. Keindahan panorama pagi dari puncak itu ‘memaafkan’ keletihan kami dan kedinginan air terjun ‘mengampunkan’ pembatalan penerokaan kami ke gua-gua di Dabong.


SIGAP KE KERACHUT
PANTAI KERACHUT, TAMAN NEGARA PULAU PINANG
TARIKH : 26 - 28 DISEMBER 2008
WARNA TEMA : JINGGA


Sigap Ke Kerachut pula mendapat nama dari sisipan akhbar, Utusan Malaysia iaitu Sigap yang memaparkan artikel mengenai Pantai Kerachut dan Taman Negara Pulau Pinang. Mereka yang menyertai aktiviti ini termasuklah Azwad selaku Pengarah, Che Yop (Ajk Peralatan), Kunk, Am (Ajk Rencam), Lee, Akem, Tart (Ajk Hiburan), Halim (Sepupu Hiburan), Fad, Akmar (Ajk Pengangkutan), Rehan (Bendahari), Bee & Sha (Ajk Makanan).
Kami bergerak dari Kuala Lumpur menaiki Keretapi Ekspres Langkawi ke Stesen Butterworth, Pulau Pinang. Kami kemudiannya menaiki feri dan seterusnya menaiki bas ke Teluk Bahang. Kami memulakan treking sekitar jam 11 pagi dan tiba di Pantai Kerachut sekitar jam 1 petang. Treking ke Pantai Kerachut tidaklah sesukar mana cuma cuaca panas pantai menyebabkan keletihan ‘menjelma’ lebih awal. Cuaca sangat baik sepanjang aktiviti dan kebanyakan dari kami menghabiskan masa di sekitar khemah dengan bermain UNO.
Kami menjangkakan sekitar pantai itu agak sunyi, tetapi cuti sekolah hujung tahun menyebabkan pantai itu agak ramai dengan pengunjung lain yang sama-sama berkhemah di situ. Pantai Kerachut agak bersih tetapi cukup banyak dengan obor-obor menyebabkan beberapa daripada kami disengat organisma itu. Mujur kangkung laut yang tumbuh meliar menjadi penawar kegatalan amukan sang obor-obor. Ritual membaling pasir ke dalam laut (yang diperkenalkan oleh lee yang merupakan seorang ektremis silat) berjaya menghalau obor-obor kembali menyengat kami. Menyaksikan matahari terbenam di atas batu-batu besar di hujung pantai sambil diterpa angin laut yang nyaman merupakan pengalaman yang menakjubkan. Pengalaman yang tak dapat dilupakan pula adalah menaiki bot mengharungi gelombang kuat semasa kembali ke pintu utama Taman Negara menyebabkan ramai yang kecut perut.


TYPO KE BERKELAH
AIR TERJUN BERKELAH, GAMBANG, PAHANG
TARIKH : 18 - 20 DISEMBER 2009
WARNA TEMA : UNGU

Typo Ke Berkelah mendapat nama dari perkataan ‘typo’ yang bermaksud salah eja. Pengarah aktiviti ini iaitu Akmar adalah ‘ legend of the typo’ kerana selalu typo dalam forum ekspedisi dalam laman sosial facebook. Seramai 10 orang mengambil bahagian iaitu Akmar selaku Pengarah, Che Yop (Ajk Peralatan), Azwad (Ajk Keselamatan), Am (Ajk Rencam), Zaiham, Boss (Ajk Suami Isteri) , Elin (Ajk Suami Isteri), Fad (Ajk Pengangkutan), Rehan (Bendahari & Ajk Godaan), Bee( Setiausaha), Raihan (Ajk Makanan) & Scha Al Jasmon yang mengesahkan penyertaan disaat-saat akhir.

Kali ini kami memilih menaiki bas Bulan Restu dari Kuala Lumpur ke Temerloh, bas Rapid ke Maran, teksi Pak Su ke simpang air terjun dan lori abang Along gemuk ke tapak perkhemahan. Belum sampai ke tapak perkhemahan hujan sudah turun mencurah-curah. Hujan berhenti sekejap-sekejap membenarkan kami untuk memasak, memasang khemah dan memasang banner. Malam pertama di sana kami ditemani dengan hujan lebat sampai ke pagi.

Buka mata hari kedua, hujan masih turun. Kami berpindah ke sebuah wakaf untuk memasak dan menanti hujan reda. Kami sempat mendaki menuju air terjun pertama tetapi hasrat itu terpaksa dibatalkan kerana tidak mahu mengambil risiko menyeberang sungai yang agak deras. Bermain-main di sungai ditempat kami berhenti dan di kawasan berhampiran khemah kami sudah cukup baik sepanjang perkhemahan dimusim hujan itu. Kelebihan ekspedisi kali ini adalah game-game spontan dan juga aktiviti bermain gitar sambil menyanyi serta tidur beramai-ramai di wakaf kerana khemah sudah basah. Pengalaman yang menakutkan adalah apabila Zaiham terlihat sesosok putih melintas semasa kebanyakan kami sedang ralit menyanyi pada waktu malam. Yang paling seronok apabila Ajk suami isteri iaitu Boss & Elin sempat belanja peserta yang lain makan gulai ikan patin di bandar Temerloh.

Nota : 2010?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...