MUSIM BUNGA DI KOTA SEOUL - Bahagian II

Saturday, August 30, 2014


Tepat jam 9.00 pagi, Sabtu, 26 April 2014, selepas siap bersarapan, kami memulakan perjalanan dengan menaiki teksi ke Cheongnyangni Station. 15 minit perjalanan melalui bandar yang agak sibuk kami tiba di stesen berkenaan. Kami dikenakan bayaran teksi sekitar 5000 won (RM15). Cheongnyangni Station merupakan stesen keretapi laju ITX dan subway yang agak besar. Boleh dikatakan lebih kurang seperti KL Sentral tetapi ianya bukanlah stesen utama di Seoul.


Kami terus menuju ke kaunter utama untuk mendapatkan tiket ITX. Aku sebenarnya awal-awal lagi sudah membeli tiket pergi dan balik secara online ke Gapyeong Station. Tetapi aku dimaklumkan tiket pergi dibatalkan sendiri oleh aku beberapa minit selepas aku membeli tiket itu. Tiada cara yang lain, kami membeli tiket yang baru. Mujur masih ada kerusi kosong. Harga tiket sehala adalah 4000 won (RM12).
 

Satu pengalaman yang baru apabila menaiki keretapi laju ITX di Korea Selatan. Tempat duduk kami di aras atas di gerabak yang mempunyai dua tingkat. 45 minit perjalanan dari Cheongnyangni Station ke Gapyeong Station, kami melepasi bandar dan kemudiannya masuk ke daerah luar bandar yang kurang sesak dan terdapat banyak bukit bukau, sungai-sungai dan pekan-pekan kecil. Zhariff hanya dapat bertahan 20 minit untuk duduk diam selebihnya ‘memberontak’ mahu dilepaskan berjalan.

Zhariff mula beramah mesra dengan penumpang.
Suasana di Gapyeong agak berbeza berbanding Seoul. Suhunya lebih sejuk. Ketika ini isteri aku berkata, “Rugilah saya tak bawak baju sejuk”. Secara jujur aku suka suasana Gapyeong. Ramai orang dengan beg galas besar turun di stesen ini dan mereka akan melakukan aktiviti hiking di kawasan hutan berdekatan. Pendek kata, keluar dari stesen  mereka terus masuk ke dalam hutan dan bukit di seberang jalan.
 

Kami kemudiannya beratur di hadapan stesen untuk mendapatkan teksi. Tak sampai lima minit kami sudah pun menaiki teksi menuju ke jeti ke Pulau Nami. Harga bayaran teksi adalah 3000 won (RM9) untuk perjalanan kira-kira 2km. Sesampainya di sana, Zharif sudah tertidur.

Satu lagi cara ke Pulau Nami selain menaiki feri adalah dengan flying fox.


Masa ni kagum tengok pokok berbunga. Padahal kat Malaysia banyak je pokok bunga kertas lebat berbunga sepanjang tahun.


Agak ramai orang berada di jeti ke Pulau Nami. Sebelum membeli tiket kami mengambil peluang untuk bergambar kerana terdapat banyak pokok-pokok yang berbunga. Walaupun bukan spesis Sakura tetapi cukup untuk membuktikan kami telah tiba di Seoul pada musim bunga. Harga tiket masuk berserta tiket feri pergi dan balik ke Pulau Nami adalah 8000 won (RM24). Pengunjung dari luar perlu menunjukkan passport untuk mendapatkan tiket. Pulau Nami ‘dicipta’ seolah-olah sebagai sebuah republik yang mempunyai tanah air, bendera dan matawang sendiri. Sebab itu ia dipanggil Naminara Republic.


Feri yang kami naik menuju ke Pulau Nami. Feri yang satu lagi ambil penumpang di jeti.

Kami bersama berpuluh-puluh pengunjung yang lain perlu menunggu feri untuk ke pulau. Terdapat dua feri yang berulang-alik membawa pengunjung. Perjalanan menaiki feri hanya mengambil masa lebih kurang 5 minit sahaja kerana Pulau Nami adalah sebuah pulau di tengah-tengah sebatang sungai.





Setibanya di Pulau Nami, ada beratus orang yang lain sudah tiba lebih awal dari kami. Ada sebuah band akustik yang sedang memainkan muzik seorang mengalu-alukan kehadiran kami. Pamplet yang menunjukkan peta keseluruhan Pulau Nami menjadi panduan untuk kami berjalan-jalan di pulau itu. 




Kami memulakan perjalanan dengan bergambar dibeberapa pokok berbunga. Agak kagum melihat keindahan musim bunga. Suhu yang nyaman dengan cuaca yang baik menjadi faktor musim bunga begitu istimewa. Ramai warga Korea sendiri yang berkumpul di padang, membentang tikar untuk bersantai dan beriadah bersama rakan atau keluarga. Kemudian kami mula berjalan di antara susunan-susunan pokok yang ditanam lurus dan mengambil kesempatan untuk bergambar.

Ada lori yang akan menyiram tanah dengan air untuk mengelakkan debu.



Kalau yang tengok Winter Sonata tu mesti tau tempat-tempat macam ni.






Ketika Zhariff sedang lena tidur dengan suhu dingin seperti awal pagi, kami mengambil kesempatan mengambil gambar sebanyak-banyaknya di pulau lokasi penggambaran drama Winter Sonata itu. Kami melepasi macam-macam tempat yang menarik yang terdapat replika kayu, hiasan dari botol, pondok istirehat dan macam-macam lagi. Sememangnya Pulau Nami ‘diubah’ dari pulau yang terhasil dari pembinaan empangan kepada sebuah taman yang penuh dengan elemen ‘comel’ dan juga elemen ‘cinta’, kelangsungan dari drama Winter Sonata.




Tempat dua sejoli memadu kasih asmara. Bersaksikan air sungai yang mengalir dingin.

Punyalah bercinta sampai korek telinga boyfriend pun I rela.


Zhariff bangun selepas lebih sejam kami berjalan-jalan di Pulau Nami.

Musolla terletak di kawasan Library. Drama Cafe (Halal) berada di hujung sebelah kanan library.

Patung Winter Sonata.


Zhariff ajak makan.
Selepas lengkap mengelilingi pulau dan melepasi beberapa susunan pokok yang menarik untuk dirakam menerusi kamera, kami menuju ke sebuah café. Jam ketika itu sekitar 12.15 tengahari dan Zhariff sudah terjaga. Kami ke Drama Café yang merupakan sebuah café yang diiktiraf halal oleh pertubuhan islam Korea. Kami memilih untuk makan nasi goncang atau dosirak yang berharga 5000 won (RM15) setiap satu. Aku menambah sup bebola ikan dan nasi putih untuk Zhariff yang berharga 1500 won (RM4.50). 



Agak berselera kami makan memandangkan rasa nasi goncang tak jauh beza dengan makanan melayu. Ada sedikit kimchi, telur dan rempah yang perlu digoncang bersama-sama dengan nasi sebelum makan. Habis makan, kami membenarkan Zhariff berjalan-jalan sehingga ke jeti. Kali ini, peluang Zhariff pula untuk bergambar. 




Sememangnya Pulau Nami merupakan tempat untuk ‘menjamu mata’ dengan keindahan sebuah taman yang lengkap dengan pelbagai pokok dan tumbuhan, monumen, patung dan kerja seni dan juga kemudahan-kemudahan yang lengkap untuk pengunjung seperti kedai makan, kedai cenderamata, tempat untuk beristirehat, perpustakaan dan macam-macam lagi. Malah terdapat sebuah surau untuk pengunjung beragama islam.
Ambil gambar lagi kat jeti. kali ni Zhariff dah bangun tidur.



Jam 1.20 petang kami kembali ke jeti, menaiki feri, mengambil teksi dan menaiki keretapi pada jam 2.15 petang kembali ke Seoul. Tiba ke Cheongnyangni Station pada jam 3 petang , kami sekali lagi mengambil teksi untuk guesthouse untuk berehat seketika sebelum menyambung perjalanan ke tempat yang seterusnya.

Trick Eye Museum




Jam 5.30 petang kami keluar dari guesthouse menuju ke Sangwangsimni Station menaiki subway (Line 2) melepasi 11 stesen selama lebih kurang 20 minit ke Hongik University Station. Kami agak terkejut ketika keluar dari subway kerana stesen itu adalah stesen yang sangat sesak dengan remaja-remaja tempatan yang mungkin mahasiswa universiti berkenaan. Tetapi kami sendiri kurang pasti dimana terletaknya university itu.







Kami mengangkat Zhariff di dalam stroller meniti tangga untuk keluar di Exit 9. Kemudian dalam keadaan bersesak-sesak dengan suhu semakin sejuk, kami tercari-cari lokasi Trick Eye Museum yang agak tersorok di antara lorong-lorong. Dalam keadaan ramai orang itulah Zhariff sekali lagi tertidur. 






Trick eye museum terletak di aras bawah tanah sebuah lot kedai. Sebab itu ia sukar untuk ditemui. Dengan harga tiket 15000 won (RM45), kami mula bergambar dengan lukisan-lukisan 3D yang terdapat di dinding. Trick eye museum mempunyai koleksi yang lebih menarik dan lebih banyak jika dibandingkan dengan Trick Art Museum yang terdapat di I-City Shah Alam.




Gambar ni diambil oleh Aida, kawan kepada kawan kami iaitu Sya yang sebenarnya berada di Seoul juga pada masa tu.

Zhariff tidur sepanjang dalam Trick Eye Museum.





Dengan tiket yang sama, pengunjung juga boleh masuk ke Ice Museum yang terletak bertentangan dengan Trick Eye Museum. Walaupun agak kecil, namun pengunjung dapat merasai kesejukan sehingga -3 darjah Selsius dan dapat melihat beberapa ukiran ais yang dipamerkan. Ketika ini, kami perlu masuk bergilir-gilir memandangkan suhu yang terlalu sejuk tidak sesuai untuk anak kecil seperti Zhariff.
Zhariff terjaga masa bawa masuk ke Ice Museum. Ingatkan tak sejuk sangat. Jadi kami bergilir-gilir masuk ke muzium.

Zhariff kami biar main di luar sebab suhu Ice Museum terlalu sejuk. Tak sesuai untuk budak kecik.








Ketika kami keluar dari situ, hari sudah pun gelap. Kami sebenarnya sudah terlambat untuk menuju ke Yeouinaru Station bagi menaiki Hangang River Cruise pada jam 7.30 malam. Kami mengubah perancangan dengan berjalan kaki menuju ke Exit 8  Hongik University Station dan dari situ kami menuju ke Istanbul Kebab yang terletak berhampiran kedai 7 Eleven. Selepas makan kebab ayam yang berharga 4000 won (RM12), kami balik ke guesthouse dengan menaiki subway.  Esok ada destinasi lain yang akan kami kunjungi. 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...