MENUJU PUNCAK GUNUNG SANTUBONG

Sunday, September 25, 2011

Gunung Santubong bukanlah gunung yang tertinggi di Sarawak tetapi legenda mengenai gunung ini menjadikan gunung ini lebih terkenal berbanding gunung-gunung lain di Bumi Kenyalang. Gunung ini terus menjadi satu lagi destinasi impian untuk menambah koleksi gunung-ganang yang pernah aku daki sebelum ini . Sebagai permulaan, aku mencari pelbagai maklumat mengenai gunung ini melalui internet dan aku ada terbaca mengenai legenda di sebalik kewujudan Gunung Santubong yang terletak kira-kira 35 kilometer dari bandaraya Kuching.

Menurut sebuah blog, mitos masyarakat setempat mengenai sumpahan seorang puteri kayangan menjadi sebuah gunung telah disampaikan sejak turun temurun. Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang merupakan dua puteri sepupu telah diperintahkan oleh Dewata Mulia Raja Kayangan untuk turun ke bumi bagi menyelesaikan pertelingkahan dua buah kampung. Mereka berjaya mendamaikan kedua-dua buah kampung tersebut dan berita mengenai dua puteri kayangan itu segera sampai ke telinga seorang putera raja iaitu Putera Serapi dari Matang.

Putera Serapi terpikat dengan kejelitaan Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang. Lantas dia menyampaikan hasratnya untuk memperisterikan kedua-dua puteri itu. Namun perasaan iri hati dan rasa cemburu merajai hati mereka. Masing-masing merasakan diri mereka lebih jelita dan lebih bijak dan berusaha untuk menawan hati Putera Serapi yang tampan dan gagah perkasa.


Hari ke hari perasaan iri hati yang menebal menyebabkan satu pertelingkahan yang besar berlaku. Puteri Sejinjang telah mencapai aluk lalu dihayun dan terkena pipi Puteri Santubong. Tidak menyerah kalah, Puteri Santubong lalu menikam belida di kepala Puteri Sejinjang menyebabkan otaknya bersepai lalu baginda jatuh tersungkur. Puteri Santubong kemudian disumpah menjadi gunung manakala Puteri Sejinjang disumpah menjadi Pulau Kera. Putera Serapi yang bersedih dan kecewa terus membawa diri ke Gunung Serapi.

Tanggal 16 September 2011, ketika rakyat Malaysia menyambut sambutan Hari Malaysia yang ke 48, aku dan Rodhi tiba di Bandaraya Kuching. Sudah lama kami merancang untuk mendaki Gunung Santubong yang berketinggian 810 meter dari aras laut itu pada 17 September 2011 iaitu pada raya ke 19 bersama dua orang rakan yang sememangnya anak jati Sarawak. Hujan renyai menemani kami sepanjang kami berjalan-jalan menyaksikan acara Regatta Lumba Perahu yang sedang berlangsung di Waterfront Sungai Sarawak di tengah bandaraya Kuching. Namun disaat-saat akhir, dua rakan itu membatalkan misi mereka untuk menuju puncak Gunung Santubong bersama-sama kami .

SMS yang aku terima terus mengubah riak muka aku. Lama juga aku berfikir dan kemudian aku bertanya pada Rodhi. “Ko ok tak kalo kita daki dua je. Subhi dengan kawan die tak join”. Tanpa berfikir panjang Rodhi menjawab, “ Kawe ok je”. Malam itu kami tidur lebih awal. Aku berharap cuaca keesokan harinya baik-baik saja dan tidak hujan.

Pagi 17 September 2011, setelah mendaftarkan nama, kami memulakan pendakian pada jam 7.45 pagi. Pendakian pada mulanya lebih kepada aktiviti ‘jungle trecking’ dimana kami melalui denai yang landai. Kami juga melintasi jeram kecil yang disediakan jambatan kayu untuk keselesaan para pendaki. Mengikut papan tanda yang terletak di tempat permulaan pendakian, kami akan melalui sebanyak 15 checkpoint. Untuk itu kami telah berpakat untuk berehat pada tiga check point iaitu checkpoint F5, checkpoint F10 dan juga di puncak gunung iaitu checkpoint F15.

Pendakian kami berjalan dengan lancar. Trek pula telah disediakan dengan baik oleh pihak pengurusan. Pada setiap checkpoint akan tersedia papan tanda yang menunjukkan peta trek. Pada batang pokok akan ditandakan dengan cat berwarna merah sebagai panduan para pendaki menjejak trek ke puncak gunung.

Selepas hampir sejam kami berjalan, kami tiba di checkpoint F5. Kami perlu menuruni bukit sebelum bertemu dengan air terjun yang menyambut kedatangan kami di checkpoint itu. Rodhi cepat-cepat meletakkan begnya dan terus bersuara. “Kawe sakit perut. Kawe nak berak kejap”. Sambil menunggu, aku merakam pemandangan indah air terjun itu menggunakan kamera aku.
Kami meneruskan pendakian. Ketika ini kami mula bertemu dengan permukaan lantai hutan yang semakin bercerun. Namun kami masih dibawah teduh pokok-pokok hutan hujan yang menaungi perjalanan kami.


Setengah jam kemudian kami tiba di checkpoint F7. Check point ini merupakan titik pertemuan trek dari Pusat Informasi dan trek dari Bukit Putri. Terdapat bangku-bangku yang disediakan untuk para pendaki berehat. Di kawasan ini, kami sudah dapat melihat pemandangan persekitaran Kampung Santubong dari aras yang lebih tinggi.


Perjalanan kami diteruskan. Dihadapan kami adalah trek yang agak mencanak dan pendakiannnya berterusan. Akar-akar kayu yang berselirat menjadi tangga-tangga buat kami. Terdapat tali temali yang disediakan untuk membantu para pendaki mendaki dengan lebih mudah.
Ketika ini kami bertemu dengan pasangan mat saleh yang mendaki dari Bukit Putri. Aku lantas menegur dan mereka memperkenalkan diri sebagai pasangan kekasih dari Latvia. Sememangnya jarang sekali berjumpa dengan pelancong dari negara itu berbanding pelancong-pelancong dari bahagian lain dunia.



Pendakian kami diteruskan dengan tempo yang agak perlahan. Kami berjalan dilereng bukit sambil pemandangan sekitar Kampung Santubong dan kawasan persekitarannya kami terus menerus bersama kami. Baju aku sememangnya sudah basah dengan peluh dan air yang aku minum seakan mengganti air yang keluar melalui liang peluh.


Selepas melepasi trek yang memenatkan, kami berehat sebentar di checkpoint F8. Laluan seterusnya kami perlu menuruni bukit sebelum menemui laluan trek yang lebih mencabar. Pada mulanya pendakian kami sama seperti sebelum ini, tetapi ia berubah apabila kami bertemu dengan tangga yang diperbuat daripada batang-batang kayu yang diikat dengan tali temali. Tangga ini disediakan dikawasan cerun berbatu dan kecerunannya hampir 90 darjah. Tangga-tangga yang pada mula hanya sepanjang semeter berganti dengan tangga yang tingginya hampir 5 meter. Kami perlu mendaki seorang demi seorang memandangkan tangga itu boleh menyebabkan tangan kami tersepit dan kami takut andai tangga itu berayun.


Selepas itu kami tiba di checkpoint F12. Di checkpoint ini disediakan sebuah pondok dan juga bangku-bangku untuk kemudahan para pendaki untuk melepaskan lelah. Dari kawasan ini kami dapat melihat sebahagian kemuncak gunung yang diselubungi oleh kabus yang bergerak perlahan.


Baru saja kami bangun untuk meneruskan misi menuju puncak Gunung Santubong, sekumpulan anak muda dari UNIMAS tiba-tiba sampai dari puncak gunung. Aku ringan mulut menyapa mereka. “Korang ke yang naik ikut Bukit Putri tadi?”, tanya aku. “Haah bang. Ingatkan relaks je. Tapi mencanak gak kami daki”, jawab salah seorang daripada mereka. Aku kemudian menambah. “Tu la. Memang jahanam gak trek ni”. Selepas aku menyebut ayat itu barulah aku terfikir aku seperti tidak menjaga percakapan ketika dikawasan itu. Begitu mudah perkataan seperti jahanam terpacul dari mulut aku.


Meninggalkan F12 bersama kumpulan pelajar UNIMAS itu, kami meneruskan pendakian kami yang berbaki kira-kira tiga checkpoint saja lagi. Aku teringat kata-kata seorang pendaki yang juga sedang menuruni gunung yang kami temui sebelum tiba di F12. “Going down, going up, then kalau you steady you boleh sampai puncak dalam setengah jam lagi”.


Kami mendaki tanpa henti dan akhirnya kami berjaya menawan puncak Gunung Santubong pada jam 11.00 pagi. Kami berjaya menamatkan misi menuju ke puncak gunung dalam tempoh 3 jam 15 minit. Perasaan gembira jelas terpancar di wajah kami. Dari puncak gunung, kami dapat menyaksikan sungai, lautan, pulau-pulau, sebahagian Bandaraya Kuching dan juga Gunung Serapi.



Sudah pasti kami merakam pemandangan indah yang memerlukan kami mendaki selama lebih 3 jam sebagai lampiran untuk kenangan. Di atas puncak Gunung Santubong terdapat sebuah pondok dan tempat untuk memanggang. Terdapat juga papan tanda dan juga beberapa buah kolam kecil dan setiap pinggir gunung dilengkapi dengan pagar yang diperbuat dari rantai besi untuk keselamatan pendaki. Para pendaki juga akan terjumpa sebuah batu yang diukir wajah manusia dan juga sebuah papan tanda mengenai sejarah Datuk Merpati dari Johor di puncak gunung ini.









Selepas 45 minit, kami memutuskan untuk meninggalkan puncak Gunung Santubong pada jam 11.45 pagi. Ketika ini tapak kasut aku mula tertanggal sedikit demi sedikit. Berkat keramahan aku dan adat para pendaki yang membantu pada yang susah, seorang pendaki memberikan pita pelekat untuk mengikat tapak kasut aku yang semakin tertanggal.



Perjalanan kami diteruskan sehinggalah ke checkpoint F5. Kami bermandi manda di air terjun untuk memberi kesegaran kembali pada badan kami selepas beberapa jam bermandikan peluh. Tali pengikat rambut yang aku jumpa di air terjun itu aku gunakan untuk mengikat kasut aku. Tetapi kasut sebelah kiri pula yang tertanggal. Aku seolah-olah berjalan tanpa kasut walaupun aku masih memakai kasut yang sudah tertanggal tapaknya itu.


Jam 2 petang kami tiba di Pusat Informasi. Kami melepaskan lelah seketika sambil menikmati dua gelas air dengan ais yang banyak. Satu keajaiban yang dapat kami nikmati sepanjang pendakian ini adalah cuaca yang cukup baik berbanding hari sebelum dan selepas kami mendaki yang sentiasa hujan. Dan satu pengajaran yang amat berguna aku perolehi adalah supaya menjaga percakapan sebaik-baiknya, kerana trek Gunung Santubong benar-benar menjahanamkan kasut yang aku pakai untuk menawan gunung legenda ini!







PANDUAN MENDAKI GUNUNG SANTUBONG




- Gunung Santubong terletak kira-kira 35 km dari bandaraya Kuching menjadikannya antara gunung yang terletak dengan bandar dan juga lautan.



- Terdapat dua trek menuju ke puncak. Pertama dari Pusat Informasi dan yang kedua dari Bukit Putri. Kedua-dua trek akan bertemu di checkpoint F7 menjadi satu trek ke puncak gunung. Dikatakan trek dari Bukit Putri lebih dekat (45 minit ke F7) berbanding trek dari Pusat Informasi (1 jam setengah). Tetapi trek Bukit Putri tidak disediakan papan tanda dan juga kemudahan-kemudahan yang lain.



- Anggaran masa mendaki dari Pusat Informasi ke puncak Gunung Santubong adalah 5 jam, tetapi kebanyakan pendaki dalam kumpulan seramai 5 ke 10 orang selalunya mengambil masa kira-kira 3 jam setengah.


- RM2 dikenakan untuk permit mendaki manakala RM5 untuk bayaran parkir kereta. RM10 pula jika berminat untuk mendapatkan sijil pendakian.


- Selamat Mendaki!



Nota : Diingatkan bahawa gunung ini dikatakan mempunyai penunggu dan juga dikatakan 'keras'. Terdapat kejadian pendaki disampuk, diganggu, terdengar bunyi yang aneh dan sebagainya. Tingkah laku dan percakapan seharusnya dijaga sebaiknya.


21 ulasan:

Farah said...

Salam,

Nak tanya perlu guide ke nak naik Gunung Santubong ni?

Farah

sagahayat said...

wslm..guide terpulang kpd grup cik farah..atas permintaan..tp sy x sure berapa kene bayar..tp kalo dlm grup cik farah ade yg berpengalaman mendaki gng sblm ni, sy cdgkan x payah pakai guide sbb kebykan pendaki x pakai guide, trek sgt jelas(ade cat merah kat pokok) n ramai pendaki yg sama2 mendaki....kalo xde kawan yg berpengalaman n sumenye pompuan sy nasihatkan amik guide..hrp membantu....

LoVe4m3 said...

Nice!!! hope I'll be there 1 day... Nanti boleh di usulkan ke kawan2 nih... pernah naik ledang x? nak tau antara ledang and santubong mana lagi susah... or compare dengan datuk yang kat rembau tu ke...

sagahayat said...

ledang sy x penah smpi lg....santubong ni cabaran die byk tangga bertali...dapat daki dlm 3-4jam..gng datuk pun saya belum daki..tapi persamaan gng datuk n gng santubong kedua2nya boleh daki balik hari (berbanding ledang perlu bermalam n wajib pakai guide)n kedua2 dlm ketinggian 800m (berbanding gng ledang dlm 1000m)..semoga berjaya nanti...!!

LoVe4m3 said...

Ok... thanks for the info... try la naik gunung datuk, pemandangan dari atas tu memang cantik... extremely superb for me... cuma penatnya datuk naiknya mencanak n xde yang landai. kalau ledang paling penat bila area KFC and paling mencabar kat area batu hampar sebab naik cuma guna tali so kekuatan mental n fizikal agak teruji kat situ sebab belakangnya tu curam.kalau terlepas tali so tergolek la ke bawah. :)

sagahayat said...

gng datuk mmg ade plan nak daki bln 11 ni..tp kami dah tukar ke gng yg lain..gng ledang insyaAllah kalo ade ms nnti.......

Siti Norhidayah Bt. Ismail said...

Assalamualaikum...

saya minta kebenaran untuk petik sedikit info di dalam blog ini untuk penulisan saya. terima kasih :)

sagahayat said...

xde mslh....

datuk q said...

cara dan gaya cerita sagahayat naik santubong trek dia mcm gunung angsi..saya pernah naik nuang datuk angsi n kinabalu..angsi memang mcbr trek dia..ada 1 check point 2 dia panggil lazy lock..meme lazy nak naik..try ar gunung angsi..dari gmbr mcm lbh kurang sama dengan trek santubong yg bnyk akar kayu tu..sy coming soon santubong with ofismate

sagahayat said...

kebetulan sy semalam baru je baca blog pasal gng angsi....tgk pun mcm mencabar gak...mmg nak cube wat daytrip nnti.....ape2 pun slmt mendaki gunung santubong..mmg best....

Siti Norhidayah Bt. Ismail said...

tq :) semoga dirahmati Allah :)

Razila said...

Ok..excited nak panjat gunung santubong pula lepas ni insyaallah. Dalam otak dah pikir2 buat plan cuma maybe kali ni kene pergi single je kot, mr.husband tinggal (to busy for climbing activity =( ) pernah hikking ke gunung dato and gunung nuang... now nak try gunung santubong sebab 2-3 hari lepas tertengok program ape tah, depa hikking gunung santubong ... hope so this coming birthday ...i tawan pula gunung santubong... thanks a lot for great information.

sagahayat said...

Slmt mdaki ye.gng ni lain sket sbb ada yg mdaki guna tangga tali.tp pgalaman yg best ar

Syaza said...

Assalamualaikum.. Encik, saya sekarang buat kajian landskap National Parks di Sarawak. Fokus kajian saya tentang facilities dan juga hubungan manusia dan alam sekitar. Kalau Encik tak keberatan, saya nak minta e-mail address encik sebab saya nak tanya beberapa soalan kepada encik. Terima kasih banyak.
syazaisme@live.com

Unknown said...

salam, saya nk tnya pendapat encik,kalau first timer hiker sesuai ke naik gunung ni? and perlukan preparatiion stamina ker?

sagahayat said...

Perlu sgt.sbb pdakian 3jam lbh.nti penat kalo xwat preparation

Anonymous said...

yeay very interesting...mau pegi sana ni

Unknown said...

boleh ke naik santubong sorang2? saya insha allah boleh naik sorang2 kalau ada marking yang jelas and trek yang jelas. aya fikir saya nak naik santubong ahad ni, cuma takde kawan yang nak diajak naik sama.

Unknown said...

Gunung ledang naik turun naik turun.. mase tu hiking yg 1st time.. pakai guide n brani mati balik hari.. then mggu lepas gng datuk. Street naik landai naik sampai.. view kedue due nye cun.. jelas sbb atas batu.. bln dpn posting sarawak.. ambek stamina g.santubong semue gunung sampai g.kinabalu..itu target sy..

Unknown said...

bestnyer..fikirkn jauh je..sye prnh p Ledang via Sagil 23/12/17..tseksa mental fizikal..tp..best ilmu & pgalamn yg dkutip sebagai hikers.
info2 yg dberikn bagus utk hikers..tqvm

azram sulong said...

Sedap baca

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...