GELARAN PALING AGUNG

Monday, June 28, 2010

Jika dalam komik Alam Perwira ada watak-watak seperti Ji Fat, Rahib Esa, Biduanda Layang, Leftenan Penyulam, Sang Pipit Merah, Puteri Kayangan, Biduanda Siluman, Biduanda Tebuan, Tok Harimau Bintang dan sebagainya, kawan-kawan rapat di zaman universiti aku juga mempunyai gelaran-gelaran tertentu. Gelaran ini adalah gelaran paling agung yang digunakan sebagai suka-suka merujuk kepada ciri-ciri fizikal ataupun apapun yang berkaitan dengan pemilik gelaran. Suka atau tidak, terima sajalah.

GEMUK TAK TERKALAHKAN
Gelaran ini adalah gelaran pertama yang 'ditauliahkan' pada Kunk. Gemuk merujuk kepada badan kunk yang agak gemuk (padahal taklah gemuk sangat) berbanding kami dan kegemukannya tidak boleh dilawan oleh mana-mana kawan diantara kami.


KELAWAR UBAN
Gelaran ini adalah untuk Che Yop. Kelawar merujuk telinga Che Yop yang sangat sensitif (seperti telinga kelawar) mendengar apa saja yang tersalah sebut untuk dijadikan bahan gelak beramai-ramai. Uban pula merujuk pada beberapa helai rambut putih yang tumbuh semulajadi dibahagian jambul rambut Che Yop (seperti watak Rogue dalam The X Men).


CINA BUNTANG
Cina Buntang tidak lain dan tidak bukan adalah untuk Apek. Apek muka macam orang cina tapi kalau cakap memang pekat loghat Perak asli. Walaupun muka seperti orang cina, Apek boleh membuntangkan matanya sebesar-besarnya (macam perempuan negro dalam Ripley's Believe It Or Not). Maka dengan itu, dialah Cina Buntang.


AHLI MAGIK PICISAN
Gelaran ini dianugerahkan Che Yop untuk aku. Aku pernah terlibat dengan program yang melibatkan anak-anak yatim. Untuk menghiburkan anak-anak yatim itu, aku membuat beberapa magik tetapi magik aku tak menjadi dan aku menjadi bahan ketawa anak-anak yatim dan kawan-kawan aku. Selayaknya aku memegang gelaran Ahli Magik Picisan.

MENJEJAK LATA ASLI

Friday, June 25, 2010

Bagai biawak yang tak menolak bangkai, mentah-mentah aku menerima pelawaan untuk menjejak bangkai kapal terbang jepun yang jatuh terhempas semasa Perang Dunia Kedua jauh ke dalam hutan Sungkai. Rupa-rupanya berlaku salah faham. Menjejak bangkai kapal terbang bukan 'kerja mudah'. Dua tiga hari pun tidak pasti dapat berjumpa dengan sebahagian bukti penjajahan itu.

Tapi niat itu aku teruskan saja. Menjejak lata yang tidak dikunjungi oleh ramai orang dan menelusuri hutan yang jarang diterokai bagi aku seperti melunaskan hasrat 'operasi kapal terbang' itu.

Hari yang ditetapkan, Rabu bertarikh 16 Jun 2010, semuanya seramai 9 orang sudah bersiap sedia di dataran SK Felda Sungai Klah. Walaupun semuanya agak lewat disebabkan hujan renyai turun sebelum itu, kami meneruskan misi menjejak air terjun atau lata yang menjadi perbualan kami sejak beberapa minggu yang lalu.
 Kami seterusnya menuju ke Loji Air Sungai Klah yang terletak kira-kira 5 minit dari sekolah. Setibanya dihadapan loji itu, kami diperkenalkan dengan jurupandu yang akan membawa kami menjejak lata yang terletak didalam hutan yang bakal kami tempuh. Mail, seorang pemuda orang asli yang juga merupakan penduduk asli Felda Sungai Klah telah dipertanggungjawabkan membawa kami menelusuri perjalanan ke destinasi yang ditetapkan.


Mail Si Asli Jati

Melihatkan Mail yang begitu jujur dan naif memperkenalkan namanya, mengingatkan aku pada beberapa individu orang asli yang pernah aku temui sebelum ini. Mail hanya berselipar jepun sedang kami sibuk mengetatkan tali kasut Admiral, membetulkan stokin dan mengesat-ngesat tapak kasut pada rumput. Mail kemudiannya menanggalkan seliparnya dan ternyata dia lebih selesa berkaki ayam bersabung langkah menghayun kaki ke dalam hutan.

Di lengannya terdapat tatu logo Adidas yang kurang kemas dan kelihatan sudah 'kembang'. Dia begitu yakin mengenakan jersi biru bernombor 14 tertera nama RAZAK dan hanya berseluar pendek. Mail seorang yang peramah. Sekiranya dia terjumpa sumber hutan seperti buah salak ataupun petai, dia pasti bercerita mengenai flora itu ataupun sekurang-kurangnya menunjukkan spesis itu kepada kami. Mulutnya tidak putus-putus menghembus asap rokok yang bagaikan memberi aura tenaga kepadanya. Aku sendiri tidak pasti daun spesis apa yang dipetik lalu digulung dan dibakar dan akhirnya menghasilkan asap-asap putih dari mulut Mail.

Mail cekap dihutan. Tangannya kuat menghayun parang menebas pokok-pokok kecil yang merintangi denai. Dia meredah hutan bagai berjalan di atas tar mendatar. Sedangkan kami pula terkejar-kejar mengikut rentak Mail sewaktu meredah 'jalan pintas' dari hadapan loji air ke tempat permulaan trek.

Pacat Melacak

10 minit pertama seperti sudah 3 jam meredah hutan. Peluh sudah membasahi baju masing-masing. Bukit yang begitu cerun dan rentak Mail yang begitu deras menyebabkan sebahagian daripada kami meminta untuk berehat lebih panjang. Kami meneruskan perjalanan melalui denai yang agak landai. Denai ini agak mudah untuk dilalui dan kaki kami semakin laju melangkah seiring dengan bunyi deruan air sungai yang tidak pernah lekang dari telinga kami.

Apa yang menarik mengenai denai ini adalah pacat yang seperti berada di mana-mana tempat di lantai hutan. Jika kami berhenti seketika, sudah pasti pacat yang licin, liat dan kenyal mengeliang-geliut di kaki kami. Pacat yang menggerakkan badan dengan menjengkalkan badannya dan sangat respon terhadap suhu badan mamalia. Sudah pasti pacat yang boleh menghisap darah 3 kali ganda daripada berat badannya seakan berpesta apabila kami memasuki 'lubuk' mereka.

Sepanjang perjalanan, kami tidak henti-henti menepis, mencabut, meneliti kaki dan membuang pacat-pacat yang melekat di kaki kami. Ada juga pacat yang melekat ke seluar di tempat yang tidak sepatutnya. Menurut Mail, pacat-pacat yang melekat di bahagian 'anu' adalah pacat betina tetapi sains membuktikan pacat adalah spesis haiwan hermaphrodite dimana pacat berkebolehan mempunyai kedua-dua organ jantan dan betina!
 Selepas hampir sejam perjalanan, melewati batu sungai sebesar bangunan dua tingkat dan pelbagai landskap sungai yang tidak terusik, kami akhirnya tiba di Lata Enggang. Lata Enggang mendapat nama kerana terdapat banyak burung enggang di kawasan hutan itu. Pokok-pokok yang tinggi menjulang menjadi indikator kepada habitat burung enggang ini. Walaupun kami tidak dapat melihat dengan mata kami sendiri spesis burung ini, beberapa pelepah bulu enggang membuktikan kewujudannya.

Lata Enggang menjadi tempat persinggahan kami yang agak panjang sebelum ke destinasi yang lebih jauh lagi. Deruan air bersama kejernihan air nampak ke dasar sedikit sebanyak menyuntik semangat meneruskan perjalanan ke jejak seterusnya. Kami mengambil gambar, makan dan minum sambil ada yang membuka kasut meneliti pacat-pacat yang sudah gemuk menghisap darah.

Merekod GPS

Lebih kurang 15 minit berlalu, kami meneruskan perjalanan yang menurut Mail berbaki kira-kira sejam setengah. Tiga daripada kami 'menyerah diri' kerana ada dikalangan mereka yang muntah sebelum sampai ke Lata Enggang. Mereka bertiga berpakat untuk tinggal di Lata Enggang dan menanti kami kembali dan seterusnya sama-sama keluar dari hutan itu. Mungkin enggan menyusahkan yang lain, kami rasakan tindakan itu agak wajar memandangkan ada dikalangan mereka bertiga yang agak letih dan joran yang dibawa mereka sudah pasti mengisi masa senggang mereka sepanjang kami ke Lata Tujuh.
Salah seorang daripada kami begitu sibuk merekod GPS trek ke Lata Tujuh menerusi telefon bimbit Nokia X6 miliknya. Sebelum ini dia sudah pun mengset dan merekod GPS dari loji air ke Lata Enggang dan sudah pasti ekspedisi hari itu merupakan kesinambungan proses merekod GPS dari Lata Enggang ke Lata Tujuh.

Perjalanan mendatar kami berakhir apabila tiba di suatu simpang denai. Disitulah rekod GPS terakhir sebelum ini dan bermulalah pendakian kami ke Lata Tujuh. Semakin tinggi kami mendaki, semakin hilang bunyi deruan sungai dan semakin banyaklah kami berhenti melepaskan lelah mendaki kecuraman bukit yang berterusan.Banyak kali juga kami terpaksa berhenti menunggu rakan yang tertinggal di belakang dan sambil itu juga kami 'membersihkan' kaki daripada pacat.

 Bunyi deruan sungai yang semakin jauh berganti bunyi mergastua dan cengkerik berbunyi. Kami seterusnya tiba di kawasan yang agak landai dan Mail memberi isyarat menuruni bukit menghala ke Lata Tujuh. Saat inilah kami dapat menyaksikan beberapa ekor pacat gemuk melekap pada permukaan kaki Mail dan darah mengalir kesan daripada luka. Mail hanya membiarkan pacat-pacat itu luruh sendiri dan menyatakan pacat hanya menghisap darah yang kotor.

Curam dihadapan kami merupakan laluan seterusnya. Kami menuruni cerun bukit yang basah dan licin yang menyaksikan beberapa babak jatuh dan menggelongsor dari kami. Mujur akar kayu dan batang-batang pokok menjadi tempat kami berpaut. Bunyi air sungai yang semakin hampir seakan memanggil-manggil kami untuk laju menuruni bukit itu.

Lebih kurang 10 minit kemudian, kami pun tiba di Lata Tujuh. Kami melepaskan lelah sambil menyaksikan panorama indah dihadapan kami. Serangan pacat dan aksi-aksi jatuh milik kami bagaikan hampir dilupakan apabila kami berjaya menjejak lata ini. Sejam lebih yang lalu kami masih dilaluan sukar bersama turun naik nafas tetapi kini kami mendampingi lata yang tidak wujud di dalam enjin pencarian Google mahupun Yahoo!

Keindahan Lata Tujuh dapat digambarkan menerusi dua cabang air terjun yang cantik, kolam yang jernih, batang kayu mati yang tersadai dicelah batu dan pokok paku pakis yang melengkap landskap. Kami mengambil kesempatan merasai kesegaran Lata Tujuh dan mengambil gambar sebagai kenangan. Seorang rakan kami juga cuba untuk merekod GPS tetapi usaha itu gagal. Walaupun begitu, kami tetap bersyukur kerana Maillah GPS yang sebenar yang berjaya membawa kami menjejak Lata Tujuh.

Lata Tujuh merupakan lata semulajadi yang hanya diusik oleh orang asli tempatan yang menjadikan hutan ini sebagai tempat meraih sumber hutan yang menjadi mata pencarian mereka. Kumpulan kami menjadi antara yang bertuah menyelami hati hutan yang menjadi legeh kepada sumber air segenap masyarakat Sungkai. Walaupun hanya 6 yang berjaya menjejak lata asli ini, semangat yang dikumpul nanti bakal menjadikan Lata Tujuh sebagai destinasi yang pasti akan dikunjung lagi. Semoga lata ini terus terpelihara keasliannya dan menjadi destinasi 'hak cipta terpelihara' bagi pecinta alam semulajadi seperti kami.


"Pada Tuhan Yang Maha Pencipta, kurniaanMu kusyukuri"

ADA YANG SALAH

Saturday, June 19, 2010

Pantun melayu ada menyebut; kalau ada silap dan salah, jangan disimpan didalam hati. Sememangnya dalam kehidupan, setiap manusia sering melakukan kesalahan atau kesilapan. Dan kesalahan atau kesilapan itu adalah pelbagai sama ada salah laku, salah kata, salah faham, salah tulis dan sebagainya. Kalau tak buat salah, bukanlah manusia namanya.

SALAH TAIP - Hanya satu hari lagi masa yang tinggal untuk menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah. Petang ahad itu, semua ahli kumpulan sudah berkumpul di dewan makan kolej untuk menyiapkan tugasan. Komputer riba, buku rujukan, jurnal-jurnal dan macam-macam lagi memenuhi ruang meja. Masing-masing bertungkus-lumus menyiapkan tugasan kumpulan yang sudah diberikan tiga minggu sebelum itu. Kami membahagi-bahagikan tugas dan akan menyerahkan softcopy pada ketua kumpulan untuk diedit. Menjelang lewat petang, tugasan itu hampir selesai. Mengenangkan beberapa ahli kumpulan yang perlu menghadapi ujian esok hari, jadi kami agak terkejar-kejar menyudahkan kerja-kerja akhir tugasan itu. Seorang rakan menaip muka hadapan tugasan dan serta-merta mencetak tugasan itu sebelum dihantar ke kedai untuk dibinding. Semua menarik nafas lega dapat menyiapkan tugasan ‘asal siap’ itu. Seorang rakan lagi pula menawarkan diri untuk menghantar tugasan ke kedai. Tak sampai seminit kemudian, dia kembali pada kami yang sedang mengemas beg sambil ketawa terbahak-bahak. Dia menunjukkan tajuk tugasan ‘KUALITI AIR TAIK TAMAN JAYA’ yang sepatutnya ditaip ‘KUALITI AIR TASIK TAMAN JAYA’. Nasib baik tugasan itu tak sampai ke tangan pensyarah lagi. Semuanya gara-gara kerja last minute.

SALAH SANGKA - Dia memang suka menyendiri. Kawan pun tak ramai. Kemana-mana dia lebih suka berseorangan. Bagi aku terpulanglah apa yang dia nak buat asalkan tak mengganggu orang. Itulah dia seorang rakan sepengajian aku 10 tahun yang lalu. Tapi biasalah. Apa tindakannya dan kelakuannya yang sedikit aneh menjadi perhatian semua orang. Sewaktu aku dan kawan-kawan sedang makan didewan makan, tiba-tiba dia terpacul. Dia mengambil makanan dan menuju ke sinki untuk membasuh tangan. Semua orang tahu pili sinki itu tiada air dan sinki itu tersumbat dan dipenuhi air. Untuk mencuci tangan kami perlu menggunakan pili di dapur dewan makan. Dia kemudiannya mencelup tangannya kedalam sinki yang tersumbat, berminyak dan dipenuhi air itu. Mungkin tidak puas hati tangannya masih belum bersih, dia memasukkan tangannya di sinki yang kedua yang sama keadaannya kotor dan bertakung dengan air. Semua orang yang sedang makan terasa geli-geleman. Rupa-rupanya niatnya murni. Dia ingin mengeluarkan semua kotoran yang tersumbat dalam sinki agar air dapat mengalir. Tapi tindakannya memang buat semua orang salah sangka.

SALAH SEBUT - Selain ke kuliah, Sahur Café diperuntukkan beberapa kredit sebagai ‘subjek wajib’ pada malam hari semasa zaman universitiku. Setiap malam aku dan kawan-kawan berkumpul untuk makan sambil berborak, merapu, merepek dan meraban sampai lewat pagi. Konsep Sahur Café yang memerlukan kita menulis menu pilihan pada sekeping kertas kecil dan dihantar ke kaunter menyebabkan adakalanya kami bergaduh untuk menentukan siapa yang bertugas untuk menulis menu. Suatu malam, seorang kawan menawarkan diri untuk menulis order. Dia bertanya seorang demi seorang. Aku dengan yakin, bergaya dengan lantang menyebut; “aku nak NESKEPO…!” (sepatutnya Nescafe). Semua yang ada tergelak bagai nak rak. Beberapa hari aku menjadi 'bahan' kawan-kawan. Di tempat yang sama, seorang kawan aku hendak membayar di kaunter. “Tadi saya makan nasi goreng kampung dengan telur ais”(sepatutnya nasi goreng kampung, telur mata & teh ais). Sekali lagi ketawa kami terhambur keluar di depan kaunter bayaran Sahur Café.

SALAH INFO - Mataku seperti menanggung seribu beban. Padahal baru jam 10.00 malam. Aku menekan remote control untuk melihat-lihat kalau ada rancangan tv yang menarik pada malam itu. Jam 10.30 malam TV2 akan menayangkan filem Ghost. Bila aku tekan info yang keluar hanyalah ‘Sebuah filem yang menarik untuk tontonan anda’. Dalam hati aku berkata “best gak layan movie lama-lama ni”. Teringat aku sebelum ini TV2 ada menayangkan filem-filem hebat seperti Pretty Woman, Braveheart, Godfellas dan sebagainya. Semuanya ditayangkan tanpa promosi menggila atau iklan di TV. Lalu aku menahan mata dan ‘menguasai’ tv supaya tiada sesiapapun akan mengganggu aku menonton filem lakonan mendiang Patrick Swayze dan Demi Moore itu. Jam 10.29 malam secawan milo panas sudah tersedia. Saat bermula saja filem itu, aku terkejut beruk! Bukan Ghost Patrick Swayze yang ditayangkan, sebaliknya filem hantu cina zaman dulu-dulu. Kurang ajar TV2. Yang paling kelakar bukan aku seorang yang mengalami kejadian ini. Seorang kawan aku di tempat lain pun sama terkena dan tergelak besar apabila tiada adegan Demi Moore membuat pasu tanah liat sebaliknya hantu cina terloncat-loncat.

SALAH FAHAM - Kawan aku yang seorang ini teringin nak ke Petaling Street. “Kalau jadi nanti, nilah first time aku pergi PS (Petaling Street). Aku nak cari CD”. Hampir tengahari baru kami bermotosikal ke syurga CD cetak rompak itu. Petaling Street pada masa itu masih ‘asli’. Tiada pintu gerbang, sesak, berserabut dan jalan masih berlubang-lubang. Kami berjalan melewati gerai demi gerai dari yang pertama sehinggalah ke hujungnya. Sampai ke hujung barulah kami berpatah balik untuk membeli CD ataupun barang-barangan fake yang cukup terkenal di jalan itu. Kawanku memilih sebuah gerai yang menjual berlambak-lambak CD pelbagai filem tempatan, Hong Kong, Bollywood dan Hollywood. Kawanku tiba-tiba bersuara. “ Boss, CD Blue ada ka?”. Kami dibawa ke belakang gerai. Pelbagai CD dengan gambar perempuan telanjang pelbagai posisi menonggeng, berbaring, merangkul dan sebagai dilambakkan dihadapan kami. Kami terkejut sambil mata masih terbuka luas-luas. “Saya bukan mahu CD ni. Saya nak CD lagu Kumpulan Blue, All Rise!”. Kami berlalu meninggalkan gerai milik pemuda cina itu diiringi ketawa besar. Aku menepuk dahi mengenangkan kawan aku yang pertama kali ke PS. Ingatkan dia nak beli CD filem-filem biasa!
Nota : Salah silap harap dimaafi. Maaf Zahir Batin.

HATI TERPAUT DI PUNCAK IRAU

Sunday, June 13, 2010

Pada awalnya, Gunung Tebu yang terletak di Terengganu menjadi pilihan untuk didaki. Kemudian Gunung Senyum dan Gunung Berembun. Tetapi akhirnya kami memilih Gunung Irau yang terletak di Cameron Highland sebagai destinasi pendakian kami pada tahun ini. Tiga bulan perancangan jarak jauh melalui laman sosial facebook dan telefon sudah pastinya menyandarkan harapan yang menggunung, setinggi Gunung Irau agar apa yang direncanakan menjadi.
Akhirnya kami mencapai kata sepakat memilih 8 dan 9 Jun 2010 sebagai tarikh untuk mendaki puncak tertinggi di Cameron Highland itu. Walaupun tidak sempat bincang semeja, namun kami menggunakan kemahiran dan pengalaman yang ada dalam usaha menawan gunung kedua tertinggi di negeri Pahang itu. Setiap daripada kami diagih-agihkan tugas untuk membawa peralatan seperti khemah, portable stove, lampu, flyer sheet dan lain-lain lagi. Kami juga dipesan untuk membawa pakaian tebal dan lain-lain kelengkapan sebagai persediaan menghadapi suhu menjunam puncak Irau di malam hari.

Jam 8.30 pagi 8 Jun 2010, kami telah pun berkumpul di bandar Tapah. Kami sempat bersarapan dan seterusnya meneruskan perjalanan ke pekan Brinchang, Cameron Highland. Di pekan Brinchang, kami membeli beberapa botol air mineral memandangkan tiada sumber air di sepanjang pendakian ke Gunung Irau. Kami juga membeli nasi bungkus untuk bekalan makan tengahari ditengah-tengah pendakian kami nanti. 
 
Jam 12.30 tengahari kami telah pun tiba di tempat letak kereta yang menjadi pintu masuk ke Irau. Kami menukar pakaian dan bersiap sedia memulakan pendakian. Doa kami panjatkan agar perjalanan kami dipermudahkan dan sentiasa mendapat perlindunganNya. Tepat jam 1.00 petang kami mengatur langkah. Pendakian dimulakan dengan melalui jambatan yang dibina khas untuk pengunjung yang mahu menyaksikan panorama indah dan merakam kenangan sebahagian mossy forest, banjaran dan cenuram serta puncak Gunung Brinchang yang terletak tidak jauh dari situ. 
 

Pohon-pohon Dipterokarp atas, akar pokok yang berselirat, lumut segar yang basah dan juntaian pokok Liana yang berlilit menjadi santapan mata kami petang itu. Kami meniti banjaran yang memisahkan antara negeri Pahang dan negeri Perak. Di sebelah kanan, kami dapat melihat sebahagian pembangunan Cameron Highland di kejauhan manakala di sebelah kiri pula kami dapat menyaksikan cenuram, gaung, hutan belantara yang hijau dan banjaran gunung berbalam-balam. Sepanjang perjalanan ini kami mengikut jejak pendaki terdahulu dan mengikut batu sempadan yang didirikan di sepanjang trek pendakian. Trek pendakian sangat jelas. Terdapat juga beberapa cabang denai namun akan bertemu di satu titik pertemuan. Tetapi terdapat begitu banyak lecak dan lopak yang digenangi air yang menyebabkan kasut kami bagaikan diselaputi coklat choki-choki.

Sejam berjalan, kami bercadang untuk berehat seketika. Kami menjamu bekalan nasi bungkus yang kami bawa sambil melepaskan lelah dan menghayati keindahan sekeliling. Sekonyong-konyong hujan turun bersama kabus dingin menyebabkan kami terpaksa berteduh dibawah pohon yang rendang. Kami membalut beg kami dengan rain cover dan membungkus barang berharga seperti kamera DSLR dan telefon bimbit dengan plastik. Hujan yang tiada hentinya tidak menghalang bagi kami untuk menghabiskan makanan.

Jam 2.30 petang, langit masih mendung menyambung hujan. Kami memutuskan untuk meneruskan perjalanan kerana mahu tiba di puncak Irau sebelum matahari terbenam. Dalam kehujanan yang berlarutan, barulah kami merasai kedinginan hawa Cameron Highland yang sebenar. Walaupun baju kami basah lencun, kami berasa segar setelah berehat dan mengisi perut bagi meneruskan pendakian kami yang masih berbaki kira-kira 1.55km. Dalam kedinginan itu kami mula terfikir bagaimanakah agaknya aktres Tiara Jacquelina yang hanya berkemban mengharungi suhu dingin sewaktu menjayakan babak filem epik Puteri Gunung Ledang di gunung ini. 
 
Pendakian kami seterusnya terasa semakin sukar dan mencabar. Lecak dan lopak sudah beberapa kali menenggelamkan kaki. Kami umpama sang kancil meniti badan sang buaya satu persatu untuk menyeberang lecak yang hitam, pekat dan likat. Buaya yang dimaksudkan adalah akar kayu dan batang kayu yang merintangi lecak. 

Langkah kami semakin lebar. Pendakian semakin mencanak. Kaki terpaksa dihayun luas dan tangan diperlukan untuk memaut akar-akar kayu. Adakalanya pendakian kami mencapai sehingga kira-kira 100-200 meter mencanak dan apabila tiba di puncak kami perlu menuruninya pula menyebabkan peluh membasahi muka dan nafas semakin deras. Separuh tenaga telah dihabiskan untuk mengharungi laluan hampir 2 jam itu. Asid laktik menyelaputi segenap otot kaki kami. Begitulah perjalanan kami sehinggalah kami tiba di Anak Irau pada jam 4.30 petang. Kami melepaskan lelah dan menyapu minyak panas pada kaki apabila kaki mula terasa lenguh setelah melewati berpuluh-puluh batu sempadan dan meninggalkan satu demi satu landskap semulajadi yang indah dan berbeza.

Agak lama kami berehat di Anak Irau yang juga dikenali dengan nama Bukit Botak. Anak Irau juga digelar para pendaki dengan nama ‘puncak tipu’ kerana ketinggiannya yang hampir menyamai Gunung Irau. Dari Anak Irau kami dapat menyaksikan puncak Gunung Irau dengan jelas. Jarak puncak itu kelihatan sangat dekat tetapi untuk tiba kesana kami perlu menuruni Anak Irau dan seterusnya menghadapi sisa pendakian terakhir menuju ke puncak.

Ketika di Anak Iraulah kami berbincang sama ada meneruskan pendakian ataupun bermalam saja di Anak Irau. Kami menerima segala pendapat memandangkan ada diantara kami yang sudah mengalami kekejangan kaki. Setelah setengah jam berlalu, kami berpakat meneruskan pendakian dan berazam untuk tiba di puncak Gunung Irau sebelum hari gelap.
Semangat baru muncul setelah kepenatan yang lalu hilang berganti cabaran 600 meter ke puncak Irau. Landskap menuju ke puncak semakin mengasyikkan apabila pokok-pokok yang diselaputi lumut persis pokok-pokok yang terdapat di dalam Fangorn Forest menerusi filem Lord of The Rings. Sekali-sekala kasut kami sekali lagi dibasahi lecak hitam seperti kami mencelupkan kaki ke dalam sungai-sungai coklat yang mengalir menerusi filem Charlie and the Chocolate Factory. Khayalan itu ditambah lagi apabila kami terjumpa dengan sebuah taman bagaikan dijaga dan dihias sempurna umpama taman-taman dalam filem Alice in Wonderland
 
Ketika itu barulah kami terfikir bagaimana Gunung Irau mungkin mendapat nama. Pertama, keletihan dan kepenatan tidak lagi dihiraukan apabila menyaksikan landskap semulajadi yang sangat indah. Kedua, keletihan dan kepenatan juga menyebabkan kami tidak menghiraukan segala lecak dan lumpur terpalit ke badan kami asalkan selamat tiba di puncak. Istilah ‘tidak hirau’ inilah yang memungkinkan Gunung Irau mendapat nama. Tetapi itu hanyalah pendapat kami.
Akhirnya pada jam 6.30 petang kami tiba di puncak setinggi 2110 meter dari aras laut itu. Perasaan gembira jelas terpancar pada setiap wajah. Setiap dari kami bagaikan baru menang loteri. Segala kudrat yang dikorbankan mengharungi pendakian 5 jam setengah itu berbaloi apabila kami dihadiahkan dengan pemandangan indah dari puncak gunung dan hawa yang segar menghilangkan segala keletihan yang ada.
 
Selepas mendirikan solat, kami mendirikan khemah dan seterusnya menyediakan makanan. Suhu semakin jatuh apabila suasana semakin gelap. Wap terpeluap keluar setiap kali kami bercakap mahupun bernafas. Kami bagaikan di negara musim sejuk. Setiap dari kami mengenakan baju sejuk yang tebal, snow cap dan ada yang memakai sarung tangan untuk memanaskan badan. Malam itu sunguh dingin. Kami dapat rasakan suhu seperti dibawah 15 darjah Celcius. Khemah, sleeping bag, stokin, snow cap, baju sejuk dan shawl tidak mampu menghalang kedinginan puncak Irau menggigit tulang hitam. Kesejukan yang teramat sangat menyebabkan kami tidak tidur lena. Malam itu kami rasakan terlalu panjang. Deruan angin di pinggir gunung bagaikan deruan ombak menghempas pantai. Kami bernasib baik kerana pada malam itu hujan tidak turun dan angin kuat tidak menerpa khemah kami. 
 
Keesokan paginya, kami bersiap sedia meninggalkan puncak ke sembilan tertinggi di Semenanjung Malaysia itu. Jam 9.30 pagi, 9 Jun 2010, kami merakamkan gambar terakhir sebelum berlalu menuruni puncak Gunung Irau dengan perasaan puas dan gembira. Hujan renyai yang turun bagaikan setuju dengan hati kami yang agak sayu meninggalkan tempat seindah ini. Pada jam 1.30 petang kami telah pun tiba di pintu masuk Gunung Irau. Kami seterusnya menikmati makan tengahari di Tanah Rata, membeli buah tangan di Ringlet dan akhirnya masing-masing berpisah di pekan Bidor.

Apapun, pengalaman mendaki Gunung Irau merupakan pengalaman yang sukar dilupakan. Kejayaan menawan salah satu diantara 15 gunung tertinggi di Malaysia itu semestinya terpahat didalam memori masing-masing. Tiga bulan perancangan telah dibayar dengan dua hari yang mengujakan memujuk diri agar ekspedisi sebegini diteruskan untuk masa-masa yang akan datang. Yang pasti, hati kami terpaut dek keindahan Irau.

Corat-Coret Ekspedisi Gunung Irau

• Semua peserta sebenarnya harus menggunakan beg jenama Deuter sahaja untuk mendaki gunung ini. Tetapi peraturan ini hanyalah gurauan sahaja.
 • Lagu Yang Terindah (merujuk keindahan Irau) OST drama Adamaya menjadi lagu tema ekspedisi apabila lagu ini dipasang dengan kuat menerusi telefon bimbit semasa kebanyakan daripada kami sudah tidur pada waktu malam. 
• Untuk menghilangkan rasa penat semasa menuruni gunung, kami menyanyi, bercerita dan berlakon sebagai pengacara rancangan eksplorasi. • Kamera DSLR yang dibawa tidak banyak gunanya apabila lebih banyak disimpan didalam beg kerana hujan turun semasa mendaki dan menuruni gunung. 
• Di puncak Gunung Irau, khemah kami berada di negeri Perak, tempat masak di negeri Pahang manakala ‘tandas’ pula diantara negeri Perak dan Pahang. Adil! 
• Tikus gunung sangat besar dan agresif apabila dengan lahapnya memakan sisa-sisa makanan kami pada waktu malam. 
• Tiga beradik yang menggunakan selimut bulu kambing pada malam itu tidak berjaya membuktikan selimut itu dapat ‘menyelamatkan’ mereka daripada kesejukan. 
• Peserta ekspedisi terdiri daripada 4 orang yang berasal dari Perak, seorang dari Pahang dan seorang dari Selangor. Peserta dari Selangor menyatakan puncak Gunung Irau juga dikongsi oleh negeri Selangor walaupun hakikatnya dia tahu tidak! 
• Selain Lord of the Rings, Charlie and the Chocolate Factory & Alice in Wonderland, landskap semulajadi Irau juga disamakan dengan set filem Merlin dan Harry Potter. • Air mineral yang ditinggalkan diluar khemah pada waktu malam seperti baru keluar peti ais. Akibatnya, kami menggigil mengambil wuduk untuk solat subuh. 
• Seseorang yang baik hati dan kacak telah belanja semua peserta makan tengahari di Food Court di Tanah Rata! Terima kasih banyak-banyak..Hehehe...


TIPS MENDAKI GUNUNG IRAU, CAMERON HIGHLAND




  • Anda perlu membelok ke satu simpang kecil yang berdekatan dengan pasar sayur-sayuran pekan Brinchang. Jalan ini akan membawa kita ke Ladang Teh Sungai Palas. Jalan terus sehingga berjumpa satu tapak yang luar kira-kira 1.0km dari Gunung Brinchang.

  • Trek Gunung Irau bermula dengan pelantar dan tangga kayu yang disediakan untuk pengunjung.

  • Kelajuan biasa akan mengambil kira-kira 4-5 jam ke anak Irau sebelum anda perlu menuruni bukit dan satu jam lagi ke Puncak Gunung Irau.

  • Tiada sumber air sepanjang trek pendakian. Dinasihatkan membawa air mineral untuk pelbagai kegunaan. Trek pendakian berlecak dan agak mencanak. Dicadangkan anda menggunakan stokin pakai buang.

  • Trek agak jelas. Hanya perlu mengikut batu sempadan yang boleh ditemui sepanjang trek sehingga ke puncak gunung.

  • Selamat mendaki!

VIDEO RAKAMAN MENDAKI GUNUNG IRAU


PAGI SABTU DI BUKIT BROGA

Friday, June 11, 2010

Dari dulu lagi Bukit Broga yang gondol tanpa pokok-pokok yang besar jelas kelihatan dari Pekan Semenyih. Broga pula lebih terkenal sebagai kawasan cadangan tapak perlupusan sampah atau tapak insinerator berbanding sejarahnya ditawan komunis suatu masa dulu. Namun sejak dua tahun kebelakangan ini, Bukit Broga telah menjadi salah satu daya tarikan masyarakat setempat kerana menjanjikan kawasan rekreasi bagi mereka yang gemar mendaki dan treking.

Bukit Broga semakin popular apabila muncul di kaca televisyen dan di dada-dada akhbar. Terletak lebih kurang 45 minit dari ibukota, Bukit Broga pantas menjadi destinasi rekreasi bagi masyarakat setempat dan yang berdekatan. Sudah semestinya aku yang tinggal tidak sampai lebih kurang 30 minit dari bukit itu terasa tercabar sekiranya tidak menawan 4 puncak setinggi 380 meter dari aras laut itu.

Hari Sabtu, 5 Jun 2010 adalah hari yang ditetapkan dimana aku dan lima rakan lagi berjanji untuk berkumpul di Masjid Pekan Semenyih pada jam 6 pagi. Hujan sebelum itu tidak melunturkan semangat kami, dimana empat rakan aku yang menetap di Kuala Lumpur sudah bangun seawal jam 4.30 pagi untuk bersiap-siap mendaki bukit ini.
Selepas solat subuh, aku, empat rakanku tadi beserta seorang rakan yang sememangnya tinggal di Pekan Semenyih menuju ke Broga. Sekitar 10 minit kami telah pun tiba di jalan utama berhampiran puncak tertinggi Broga. Kami begitu terkejut melihat begitu banyak kenderaan di kawasan ladang kelapa sawit dan di kiri kanan jalan. Ramai orang sudah siap sedia mendaki dengan pakaian sukan dan ada juga yang telah pun menuruni bukit itu. Dek kerana terlalu banyak kereta, kami terpaksa meletakkan kereta berhampiran simpang Institut Sekolah Memandu Broga.
Dari dalam kereta kami dapat melihat deretan cahaya-cahaya kecil bersusun dari puncak bukit sehinggalah ke kaki bukit. Ada cahaya yang berdenyar, sudah semestinya flash kamera dan ada cahaya yang bergerak, sudah semestinya cahaya lampu suluh yang dibawa pengunjung memandangkan keadaan masih gelap ketika itu. Di kaki bukit terdapat papan tanda yang menunjukkan arah Bukit Broga 1.5km ke puncak dan 4.8km ke puncak Gunung Tok Wan.
Jam 6.30 pagi kami memulakan pendakian. Bersama-sama kami berpuluh-puluh orang yang lain sama-sama menghala kaki menuju denai kecil ke puncak Broga. Suasana bagaikan larian marathon ataupun cross country di mana pelbagai kelompok bangsa dan lapisan usia berdedai melalui ladang kelapa sawit, denai-denai kecil dan kecuraman bukit yang semakin mencabar.
Terdapat beberapa simpang denai menuju ke puncak Broga, namun simpang ini akan bertembung dipenghujungnya dimana pengunjung bebas memilih mana-mana laluan yang disukai. Kami memilih setiap laluan kiri untuk mendaki dan berkira-kira untuk menggunakan setiap laluan kanan apabila pulang nanti. Trek-trek ini sangat jelas dan tidaklah terlalu sukar untuk mendaki. Terdapat beberapa trek yang berhampiran gaung kecil tetapi pita keselamatan diletakkan demi memastikan keselamatan pengunjung.
Setelah melepasi hutan pokok-pokok yang kecil, kami akhirnya tiba di kaki puncak pertama Bukit Broga. Pada ketika itu jam sudah menunjukkan tepat pukul 7 pagi. Kami meneruskan perjalanan mendaki puncak pertama. Di hadapan kami adalah landskap bukit yang ditumbuhi lalang dengan kelompok-kelompok batu-batu besar yang disimbah cahaya mentari yang semakin menyinar.


Usaha sejam kami berbaloi apabila kami tiba di puncak pertama pada jam 7.30 pagi. Matahari sudah pun mula memunculkan diri dicelah-celah bukit nun di kejauhan. Puncak pertama hanyalah sebesar lebih kurang saiz gelanggang badminton tetapi pemandangan 360 darjah tanpa hadangan menjanjikan pemandangan sayup mata memandang. Kami mengambil kesempatan mengambil gambar di atas batu dipuncak bukit walaupun terpaksa menunggu giliran memandangkan berpuluh yang lain memenuhi kiri, kanan, depan dan belakang puncak itu. Pengunjung kebanyakannya menguji lensa kamera DSLR mereka bagi merakamkan pemandangan indah di puncak tertinggi berdekatan sempadan Selangor dan Negeri Sembilan itu. Ada juga yang membawa bekalan makanan dan duduk berkumpulan menghayati panorama yang sukar ditemui di bandar-bandar. Kami juga ada berbual dengan beberapa pengunjung. "Kat belakang bukit ni ada air terjun. Air terjun Gabai", kata seorang pakcik berseloroh.
Kami seterusnya mendaki puncak kedua. Dari puncak pertama kami dapat menyaksikan deretan manusia memenuhi denai bagaikan meniti Tembok Besar China. Untuk ke puncak kedua, kami perlu menuruni bukit pertama dan seterusnya mendaki puncak ini. Puncak kedua lebih tinggi berbanding puncak pertama, dan secara ringkasnya puncak keempat adalah yang tertinggi diikuti puncak ketiga, kedua dan pertama.

Akhirnya, kami menamatkan pendakian di puncak ketiga. Kami berpakat untuk tidak mendaki puncak keempat memandangkan cuaca semakin mendung dan semakin ramai pengunjung yang mula meninggalkan puncak-puncak bukit itu. Kami sangat berpuas hati kerana dapat menawan puncak Broga walaupun agak lewat tiba di puncak. Apapun, walaupun tidaklah sesusah mana mendaki bukit ini, namun separuh tapak kasutku tertanggal seperti mulut peramah terkumat-kamit. Peluh juga terpercik di muka dan badan memberi petanda kalori-kalori telah terbakar. Aku juga bersetuju dengan kata-kata abangku yang menyatakan Bukit Broga saling tak tumpah seperti lokasi penggambaran filem genre peperangan The Thin Red Line. Persamaannya adalah lereng bukit, lalang dan angin lembut yang menarikan lalang. Kami menuruni puncak Broga dengan perasaan gembira kerana hujung minggu kami terisi dengan aktiviti riadah yang bukan sahaja menyihatkan malah memberi bonus pemandangan yang mengasyikkan.


**************

Dua hari selepas mendaki, seorang kawanku mengadu sakit kaki. Dia bertanya, “ Apesal aritu kita tak warm up aaa?”.......

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...