LELUCON ANAK SASIAN

Sunday, July 25, 2010

Dalam bahasa jawa, lelucon bermaksud kelakar atau lawak manakala anak sasian dalam bahasa minang bermaksud anak murid. Di sini dikumpulkan beberapa kisah benar guru-guru berdepan dengan anak murid yang boleh dikategorikan sebagai kelakar. Sila baca koleksi lelucon-lelucon anak sasian dibawah.

KISAH 1
Cikgu : Cikgu nak dengar kamu baca Al-Fatihah
Murid : A’uzubillahi minassyaiton nirRAHIM, Bismillahi rahman nirRAJIM....

KISAH 2
Cikgu : How are you today?
Murid : Today is Sunday

KISAH 3
Cikgu : Ok class. Fish lives in the.......?
Murid : in the morning, teacher!

KISAH 4
Seorang guru singgah di sebuah kelas yang tiada guru mengajar.
Cikgu : Sekarang ni kamu kelas apa?
Murid: Kelas Tahun 4, cikgu!

KISAH 5
Cikgu : Cuba kamu eja rebana.
Murid : R E...re, B A...ba, N A...na......MERABA ANA!

KISAH 6
Seorang guru sedang mengajar topik kitar semula. Dia memuji murid yang mengamalkan kitar semula di rumah.
Cikgu : Bagus kamu kitar semula bahan-bahan. Amalan kitar semula memang bagus untuk menjaga alam sekitar. Ok lah. Apakah contoh bahan yang boleh dikitar semula?
Murid : Bagus! (dengan yakin dia menyangka ‘bagus’ adalah bahan yang boleh dikitar semula)

KISAH 7
Seorang guru sedang mengajar topik keadaan jirim. Kondensasi adalah proses wap atau gas bertukar menjadi cecair.
Cikgu : Ok kelas. Apakah nama proses wap atau gas bertukar menjadi cecair
Murid : Kondom! (Sepatutnya kondensasi)

KISAH 8
Seorang guru sedang mengajar tentang pembalakan. Dia menerangkan apa itu pembalakan dan hasil-hasil daripada pembalakan. Murid menjawab meja, kerusi, pintu, pembaris (kayu) sebagai bahan-bahan hasil pembalakan.
Cikgu : Ok kelas. Aktiviti menebang pokok kemudian kita bawa ke kilang untuk dihasilkan perabot dan bahan-bahan lain dipanggil pem........ (dengan harapan murid menjawab pembalakan)
Murid : Pembaris!!!!

KISAH 9
Seorang guru sedang membaca buku bahasa inggeris sambil murid-muridnya itu kemudiannya mengikut apa yang dibaca oleh guru itu. Tiba-tiba seorang murid bermain-main. Guru itu menegur seraya menjerit.
Cikgu : What is wrong with you?
Murid-murid beramai-ramai: What is wrong with you? !!! (menyangka ‘what is wrong with you’ adalah sebahagian daripada aktiviti bacaan)

KISAH 10
Seorang guru sedang menanda kertas ujian Sains seorang murid.
Soalan ujian : Apakah tujuan eksperimen itu?
Jawapan murid : Sebab nak tau tujuan eksperimen itu.

KISAH 11
Seorang murid memberikan sekeping kad kepada gurunya sempena hari guru. Pada hadapan kad itu tertera perkataan ‘Selamat Hari Guru’ dan dibawah tertulis Daripada: Cikgu Hairul (Sepatutnya Kepada : Cikgu Hairul)

KISAH 12
Seorang ustaz bertanyakan anak muridnya satu soalan.
Ustaz : Apa soalan pertama malaikat di dalam kubur?
Murid : How is you going?!!


Nota : Hahahahahahahahahahahahahhahahahahahahhaha!

ADEGAN YANG TAK SANGGUP KITA LIHAT

Saturday, July 17, 2010

Ada perkara yang kadang-kadang kita tidak sanggup untuk lihat, dengar dan alaminya sendiri. Baca kisah-kisah benar berikut, bukan untuk mengaibkan, tetapi hanya untuk berkongsi pengalaman.


1. KESAKITAN DALAM KEMESRAAN – Semasa itu aku dan seorang kawan sedang berjalan kaki menuju ke kuliah. Kami baru saja melepasi pintu utama kolej kediaman kami. Sambil itu kami berborak-borak menghala ke jalan utama. Tiba-tiba kawan aku ternampak seorang makcik dewan makan kolej kami sedang membuang sampah. Dia melambai-lambai tangannya pada makcik itu. Makcik tadi menyambut lambaian itu dengan senyuman. Tak semena-mena kepala kawan aku terhantuk dengan kuatnya pada tiang lampu di hadapannya. Aku menahan gelak sambil dua orang gadis dibelakang kami ketawa kecil. Kemesraan dibalas kesakitan.

2. NASI LEMAK ISTIMEWA - Bangun tidur pada hujung minggu kemudian bersarapan nasi lemak Che Lah, nasi lemak tersedap di tempat aku memang perkara yang paling best. Suatu hujung minggu, ketika aku darjah enam, aku bangun pagi ketika dua jam lagi waktu menjengah tengahari. Lepas mandi aku ke meja makan untuk bersarapan. Di atas meja terhidang air teh O bancuhan emak dan sebungkus nasi lemak memang khas untuk aku. Aku kemudian dengan keterujaan seperti biasa membuka bungkusan nasi lemak itu. Rupanya bukan nasi lemak! Ikan bilis yang dibungkus dengan kertas surat khabar! Kurang ajar abang aku. Dia mengenakan aku rupanya. Dari dapur, mak aku bersuara. “Mana ada nasi lemak. Dah abis. Tu la bangun lambat sangat. Makan tengahari je kejap lagi”. Di depan tv, dua orang abang aku sedang tergelak terkekeh-kekeh.

3. GETARAN SUARA TELEFON - Ada musim ketika di zaman universiti adalah musim menonton filem. Hampir setiap malam kami berkumpul di sebuah bilik di tingkat 4 Blok E untuk menonton filem beramai-ramai. Suatu malam, kami seperti biasa berkumpul selepas membeli CD filem terbaru di pasar malam. Tiba-tiba telefon Nokia 3310 milikku yang diletakkan diatas meja dan di‘silent’kan bergetar. Getaran telefon bimbit Nokia 3310 yang tebal dan berat sememangnya agak kuat. Aku segera mendapatkan telefon itu untuk membaca SMS. Tetapi tiada satu SMS pun yang aku terima. Kemudian aku terdengar bunyi getaran lagi ketika telefon dalam genggamanku. Rupa-rupanya ianya adalah bunyi seakan mendengus atau bunyi melegakan kerongkong dari mulut kawanku. Dia mempunyai suara yang sangat besar dan bersifat bass hampir serupa bunyi getaran telefon.

4. SELERA YANG HILANG - Waktu rehat adalah waktu yang ditunggu-tunggu selepas 3 jam duduk belajar didalam kelas Tingkatan 2 Muslim. Oleh sebab kami masih pelajar junior, aku bersama kawan-kawan berbaris dikantin untuk membeli makanan berbanding senior yang mendapat ‘keutamaan’ untuk mendapatkan makanan. Kami memilih tempat biasa untuk menikmati makanan. Sedang enak menjamu selera, kawan yang duduk disebelahku terbersin sekali gus menghamburkan hingus berjurainya tepat diatas makanannya. Kami serta-merta meninggalkannya yang masih kelam kabut mengesat sisa hingus hijau dan segar berlendir di hidungnya.

5. AMARAH CIKGU LIAS – Suatu malam di kampus, aku dan kawanku bercadang untuk bermalam di bilik seorang kawan. Kami makan, menonton filem dan berbual-bual sebelum tidur. Tiba-tiba rakan sebilik kawanku itu balik ke biliknya. Dia adalah Cikgu Lias yang sepanjang kami kenalinya tidak suka berbual, bersikap dingin dan susah untuk tersenyum. Cikgu Lias yang berbadan sasa dan berasal dari Borneo itu kemudiannya memakai tuala dan menuju ke bilik air. Kami mengambil kesempatan itu membersihkan bilik dan membetulkan cadar katilnya. Keesokan paginya, kami lihat baki setengah air tin yang kami minum semalam tertumpah diatas lantai tetapi telah dilap dengan sehelai kain oleh Cikgu Lias. Sehelai kain itu adalah baju milik kawanku yang menanggalkan bajunya ketika tidur pada malam itu!

6. DEMI CINCIN TUNANG - Sebulan lagi kawan aku seorang ni nak melangsungkan majlis pertunangannya. Dah nama pun perempuan, dia memang sibuk membuat persiapan untuk majlis itu. Untuk itu dia mencari ring sizer melalui internet untuk mengukur saiz jarinya sebagai panduan untuk bakal tunangnya memilih cincin memandangkan mereka masing-masing duduk berjauhan. Dia kemudian mencetak ring sizer yang mempunyai senggatan-senggatan ukuran, menguntingnya dan memadankan dengan jarinya. Tetapi ukuran saiz 10 untuk jarinya terlalu besar. Rupa-rupanya ring sizer itu bukan untuk jari tetapi untuk anu lelaki!

7. TUMPAHAN KUAH KARI PEKAT – Ketika itu aku masih dalam darjah 4 dan cuti sekolah baru bermula. Aku menghabiskan masa pada waktu pagi dengan menonton pelbagai kartun dan rancangan Alam Ria Cuti Sekolah di TV3. Sambil itu aku makan roti canai berkuah kari yang dibeli bapaku. Tiba-tiba aku ternampak beberapa tompok kuah kari di atas lantai. Selepas habis makan, aku mengambil sehelai kain untuk mengelap kuah kari yang tumpah tadi. Tapi emak melarang. “Jangan lap. Tu bukan kuah kari. Adik kau tercirit. Mak baru basuh”. Aku mual mahu termuntah. Patutlah adik aku yang berumur 4 tahun berlari ke bilik air. Tapi memang betul-betul macam kuah kari!

HADAPI DENGAN SENYUMAN

Thursday, July 15, 2010

Jika aku berdepan dugaan, hanya padaNya aku berserah. Dalam meniti kehidupan, selalu ada pasang surutnya, hitam dan putihnya, Yin dan Yangnya, cerah dan mendungnya dan kita sentiasa menghadapi saat tika naik tika jatuh. Hayati bait-bait ini sebagai dorongan kerana kita perlu hadapi hidup ini dengan senyuman....

hadapi dengan senyuman
semua yang terjadi biar terjadi
hadapi dengan tenang jiwa
semua kan baik-baik saja

bila ketetapan Tuhan
sudah ditetapkan, tetaplah sudah
tak ada yang bisa merubah
dan takkan bisa berubah

relakanlah saja ini
bahwa semua yang terbaik
terbaik untuk kita semua
menyerahlah untuk menang

*Hadapi dengan Senyuman adalah lirik lagu kumpulan Dewa19


KLISE MILIK HOLLYWOOD

Wednesday, July 14, 2010

Bagi penggemar filem Hollywood, semestinya sudah beratus-ratus filem sudah ditonton tidak kiralah sama ada di pawagam, DVD, CD, saluran televisyen berbayar HBO, Max & StarMovie mahupun slot-slot di saluran percuma seperti Mega Movie, Movie on TV2, Dunhill Double (setiap khamis & jumaat di TV2 suatu masa dulu) ataupun lambakan filem ketika cuti Krismas serta countdown tahun baru. Kalau dah terlalu banyak menonton naskhah Hollywood, adakalanya jalan cerita boleh diramal dan idea yang ditampilkan seperti diulang-ulang. Klise, stereotaip dan tipikal adalah perkataan-perkataan yang boleh mendefinisikan kebanyakan filem-filem Hollywood masa kini. Tak percaya? Sila baca 10 hujah dibawah:

1. Selalunya bagi filem-filem aksi kepolisan, pasti ada babak tembak-menembak diantara pihak polis dan penjahat. Ada watak-watak sampingan (yang mempunyai dialog) yang akan terkena tembakan dan akhirnya dia tinggal nyawa-nyawa ikan. Hero akan mendekati mangsa dan mangsa selalunya mempunyai 30 hingga 60 saat untuk berkata-kata sebelum menghembuskan nafas terakhir.


2. Filem komedi romantik selalunya berkisar pada hero & heroin sahaja. Hero atau heroin mempunyai misi, cita-cita, kerjaya dan sebagainya tanpa menyedari heroin atau hero mencintainya. Hero atau heroin akan melakukan kesilapan (selalunya menipu) atau melakukan sesuatu yang menyebabkan salah faham dan mengakibatkan heroin atau hero merajuk. Tapi kalau dah nama komedi romantik mestilah happy ending. Hero atau heroin yang melakukan kesilapan akan dimaafkan akhirnya walau sebesar manapun kesalahannya.

3. Kalau cerita yang melibatkan binatang ganas ataupun dinasor pula, watak-watak sampingan mesti mati dibaham dahulu. Watak yang agak penting dan mempunyai dialog yang lebih banyak akan mati juga tetapi dihujung cerita. Hero dan heroin semestinya sedih tetapi keajaiban sentiasa menyelamatkan mereka daripada maut!

4. Kalau hero aksi mesti dia ada seorang pembantu yang agak nerd dan sangat mahir dan sangat hebat dengan gajet-gajet berteknologi tinggi. Pembantu ini selalunya tak pandai bertumbuk, dan agak kelakar. Perangainya agak kontra dengan hero kerana dia agak kelam kabut dan kadang-kadang dijadikan tebusan penjahat tetapi akhirnya terselamat.

5. Kalau watak-watak ketua penjahat, tak kira macam mana pun mesti mati akhirnya. Konco-konconya mati dengan sadisnya tetapi ketua penjahat mati dengan lebih sadis atau lebih kejam seperti badan meletup, dilanggar keretapi, badan terbakar, dihempap kontena dan lain-lain lagi yang difikirkan kejam.

6. Filem spoof memang melucukan tetapi terlalu banyak adegan cuai dan cemerkap watak utama atau watak-watak sampingan seperti terlanggar tiang lampu, terhempas muka di pintu, terjatuh kedalam lubang, terlanggar oleh kereta dan bermacam-macam lagi yang difikirkan sesuai.

7. Filem-filem makhluk asing selalunya memaparkan aksi peperangan antara manusia dan makhluk asing itu. Ramai juga manusia yang terkorban tetapi pakatan manusia akhirnya dapat membunuh semua makhluk asing itu dengan jayanya. Tetapi selalunya babak terakhir filem-filem ini akan menyorot pada telur-telur makhluk asing di dalam bangsal, anak makhluk asing di dalam makmal ataupun seekor makhluk asing yang disimpan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab untuk memberitahu akan ada sekuel filem ini untuk tahun depan.

8. Untuk filem komedi romantik, si hero semestinya mempunyai sekurang-kurangnya seorang kawan baik. Watak kawan baik ini selalunya kurang handsome berbanding si hero sama ada dia berbadan gempal, botak ataupun mempunyai habit pelik. Dia adalah pendengar yang baik tetapi selalu mencabar si hero ataupun memberi idea-idea yang bodoh. Begitu juga dengan si heroin. Dia mempunyai seorang kawan baik yang rupa parasnya kurang 10 markah daripada rupa paras si heroin tadi.

9. Hero filem aksi selalunya bersikap dingin. Susah untuk tersenyum dan selalunya bersikap serius. Kadang-kadang nampak seperti tiada perasaan. Dia juga berat mulut untuk berkata-kata dan tetapi tetap cool walau apapun terjadi. Untuk permulaan dia akan mengabaikan si heroin tetapi akhirnya mereka jatuh cinta. Hero ini seperti tiada emosi apabila sanggup membunuh penjahat pada malam krismas ketika ibunya sedang menantinya di hujung tangga rumah.

10. Bagi filem bergenre peperangan, selalunya terdapat satu watak seorang askar (tidak begitu penting) yang menunjukkan gambar isteri dan anak sulungnya yang masih kecil kepada kawan-kawannya ketika di dalam hutan. Dia menyatakan dia amat menyayangi keluarganya dan berhasrat untuk memulakan kehidupan baru selepas keluar dari medan perang. Tetapi peperangan itu meragut nyawanya. Kawannya mengambil gambar dan dogtag miliknya untuk diserahkan pada isteri askar itu tadi.

Walaupun 10 hujah telah tersenarai, sagahayat tetap memilih filem Hollywood untuk ditonton. Hujah ini sekadar hiburan sama seperti hiburan filem cereka Hollywood. Yang penting, tepuk dada tanya selera!

CORETAN DARI TANAH JAWA

Sunday, July 11, 2010

Selepas aku menonton rancangan ‘ Saya Nak Cuti’ menerusi Astro Ria yang memaparkan seorang peserta dibawa bercuti ke Yogyakarta secara percuma, aku terpanggil untuk berkongsi pengalaman aku bercuti di tempat yang sama, juga secara percuma selama seminggu sekitar 6 tahun yang lalu. Walaupun sudah lama berlalu, pengalaman dibawa berkunjung ke Daerah Istimewa Yogyakarta masih terpahat dalam memori meskipun tidak secara tepat atau terperinci. Lantas aku menyelongkar almari untuk mencari beberapa keping gambar percutian di sana untuk discan dan dimuatkan bersama coretan ini.

Kami seramai lebih kurang 20 orang telah dipilih untuk dibawa ke Yogyakarta oleh pihak universiti bersama-sama 3 orang pensyarah dalam program lawatan sambil belajar sekitar Ogos tahun 2004. Bermula di kolej kediaman, kami berkumpul dan menaiki van menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Kebanyakan daripada kami sebenarnya pertama kali menaiki kapal terbang. Sudah pasti kami agak teruja dan kurang memahami prosedur penerbangan yang memerlukan kami bersedia lebih awal untuk terbang. Kami dimarahi oleh pensyarah kami kerana melengah-lengahkan proses untuk melepasi imigresen yang memerlukan kami dalam satu kumpulan yang menggunakan passport berkumpulan.

Kami menggunakan khidmat Garuda Airlines menuju ke Pulau Jawa. Penerbangan kami mengambil masa selama lebih kurang 2 jam dan dari dalam perut kapal terbang kami dapat melihat beberapa kawah gunung berapi yang besar dan cantik dari pandangan atas. Dalam kapal terbang itu juga kami seakan seperti sudah berada di Indonesia memandangkan kebanyakan penumpang majoritinya warganegara negara paling ramai umat islam di dunia itu.

Akhirnya kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Adisucipto, Yogyakarta. Kami kemudiannya dibawa ke penginapan kami dengan menggunakan bas. Selama seminggu, nama kami telah didaftarkan untuk menginap di Mandala Bakti Wanitatama yang merupakan motel yang sederhana besar tetapi cukup selesa untuk kami berehat, membersihkan diri dan bermalam. Kami dijamu makan tengahari dan kemudiannya diberi taklimat ringkas oleh pensyarah mengenai lawatan kami ke kota ini.

Kami seterusnya dibawa ke beberapa tempat menghasilkan barang-barang tempatan seperti tempat penghasilan batik jawa dan kilang piuter yang menghasilkan cenderamata-cenderamata yang sesuai untuk dibawa balik ke Malaysia. Pada ketika ini telefon bimbit hanya berperanan menjadi kalkulator untuk membandingkan harga dan menukar nilai mata wang Rupiah ke Ringgit Malaysia. Menjelang malam, kami dibawa ke Jalan Malioboro yang merupakan destinasi beli-belah yang cukup terkenal di Yogyakarta.

Disinilah kami menghabiskan masa membeli-belah dan aku tidak ketinggalan memiliki sepasang persalinan jawa untuk dipakai esok hari. Di Jalan Malioboro terdapat sebuah pasar iaitu Pasar Beringharjo yang menjual pelbagai jenis barangan daripada makanan sehinggalah bermacam-macam jenis pakaian. Terdapat juga sebuah kompleks beli belah iaitu Matahari Mall yang menjual barangan berjenama sama seperti kompleks-kompleks di negara kita. Di Pasar Beringharjolah, aku membeli sepohon pokok bonsai yang berharga 25000 rupiah untuk dihadiahkan kepada bapaku.

Hari seterusnya kami dibawa melawat Kraton Hamengku Buwono yang merupakan istana yang terletak tidak jauh dari Jalan Malioboro. Untuk ke sana kami mencuba untuk menaiki beca beroda tiga. Sebelum tiba ke Kraton, beca kami membelok ke lorong-lorong kecil yang menghala ke kedai-kedai yang kurang pengunjung dan jauh dari kesibukan trafik dan manusia. Walaupun kami tidak meminta untuk dibawa kesana, namun mengenangkan letih lelah si pengayuh beca bersama keringatnya yang masih belum kering, kami berhenti juga dan mengambil peluang membeli barangan tempatan disana. Rupa-rupanya setiap pengayuh beca diberi komisyen diatas setiap barangan yang kami beli. Patutlah mereka mengenakan tambang beca yang sangat murah!

Di Kraton Hamengku Buwono, kami sempat melihat dengan mata kami sendiri istana tempatan yang dihias dengan dekorasi asli jawa dan juga alat-alatan diraja yang dipamerkan kepada pengunjung. Kami juga berkesempatan menyaksikan persembahan wayang kulit yang dipersembahkan di dalam bahasa jawa. Di dalam kraton itu juga terdapat ramai ‘dayang-dayang’ yang memakai pakaian tradisional membuat persembahan tarian.

Dihadapan kraton, tiba-tiba seorang lelaki mengutip beberapa biji buah (tidak pasti buah apa) dari pokok berdekatan dan menjual kepada kami dengan harga seribu rupiah untuk setiap biji. Dia menyatakan buah itu boleh digunakan untuk mengubati penyakit kulit seperti panau, kurap dan sebagainya sedangkan kedua-dua belah tangannya penuh dengan kudis buta! Tiba-tiba sebiji buah itu gugur dari pokok dan kami mengambil buah itu dan menyatakan kami pun boleh menjual buah yang sama. Terbukti mereka mengambil apa saja peluang untuk meraih rezeki. Di kawasan berdekatan, seorang lelaki menjual haiwan –haiwan seperti ular tedung dan cerpelai yang telah diawet. Pada hari-hari berikutnya ditempat yang berbeza-beza, lelaki yang sama boleh ditemui menjual koleksi haiwan eksotiknya yang masih tidak laku-laku.

Kami juga berkesempatan melawat dua mercu tanda yang cukup terkenal di seluruh Indonesia iaitu Candi Borobudur dan Candi Prambanan. Sebelum ini, aku hanya melihat gambar candi ini dihadapan buku TITAS tetapi kali ini Candi Borobudur betul-betul dihadapan mata. Kami tiba di Candi Borobudur ketika matahari betul-betul diatas kepala. Untuk itu kami disewakan sekaki payung setiap seorang dan perlu membayar beberapa ribu rupiah untuk mendapatkan ‘pas mengambil foto’. Candi Borobudur cukup teguh berdiri dihadapan kami. Batu padu pulau jawa menjadi bahan binaan utama untuk menghasilkan binaan kukuh yang menjadi salah satu binaan yang tersenarai dalam warisan dunia oleh UNESCO. Kami perlu memanjat untuk sampai ke puncak candi. Terdapat berpuluh-puluh struktur seperti loceng yang dipanggil stupa dan mempunyai lubang-lubang yang boleh memuatkan tangan. Mengikut kepercayaan hindu, penganutnya boleh memohon apa saja pada dewa dengan memasukkan tangan kedalam stupa dan berdoa.

Kami seterusnya melawat Candi Prambanan yang juga merupakan sebuah lagi warisan dunia yang diiktiraf UNESCO. Kami perlu membayar tiket dan juga membeli ‘pas mengambil foto’ untuk merakam keindahan candi. Kami tiba di Prambanan ketika matahari tinggal kira-kira satu jam lagi untuk terbenam. Cahaya matahari yang masih menyinar menambah keindahan Candi Prambanan yang bagi kami lebih cantik berbanding Candi Borobudur. Gunung Merapi dari kejauhan melatari pemandangan indah Candi Prambanan. Di sana kami tidak perlu memanjat sebaliknya berjalan-jalan di dataran yang mempunyai menara-menara yang berstruktur unik. Di dalam setiap menara terdapat patung-patung dewa-dewi hindu yang berbeza-beza.

Sama seperti Candi Borobudur, candi ini turut sama menjalani proses pemuliharaan. Faktor bencana alam dan cuaca menjadi punca binaan ini semakin uzur ditelan masa. Kami dapat melihat puing-puing yang pernah menjadi sebahagian binaan agam kelompok jawa kuno suatu masa dulu. Satu lagi persamaan antara Candi Borobudur dan Candi Prambanan adalah kami perlu berdepan dengan peraih jualan dan gerai-gerai semasa keluar dari kedua-dua kuil hindu itu. Laluan masuk dan keluar adalah berbeza menyebabkan kami dikerumuni peraih jualan yang sentiasa mengikuti kami dan merayu kami membeli barang-barangan mereka seperti pen buluh, key chain dan sebagainya.

Untuk menikmati makan malam, pensyarah kami membawa kami ke gerai-gerai tepi jalan yang dipanggil lesehan. Gerai-gerai ini kebanyakannya disekitar Malioboro dan hanya mempunyai meja pendek dan setiap pengunjung duduk bersila untuk menjamu makanan. Makanan dihidang tidak jauh bezanya dengan masakan Malaysia dan hidangan istimewanya adalah pecal lele iaitu sambal ikan sembilang. Sambil itu kami dihiburkan dengan pengamen iaitu penyanyi jalanan yang datang ke lesehan yang mempunyai pengunjung. Kumpulan pengamen itu menyanyikan lagu pertama secara percuma dan lagu permintaan seterusnya memerlukan kami membayar seikhlas yang mungkin. Kumpulan pengamen membuktikan bakat semulajadi anak muda jogja yang bermain gitar, bass, tamborin mahupun penyanyi latar. Persembahan mereka harus diberi 5 bintang.

Hari seterusnya kami dibawa melawat ke universiti tertua di Indonesia iaitu Universitas Gadja Mada. Dari jauh sudah kelihatan bangunan agam dewan utama universiti itu. Jika diikutkan pada perancangan asal, kami akan dibawa bertemu dengan mahasiswa universiti itu dalam satu slot khas. Tetapi perancangan itu dibatalkan dan kami menghabiskan masa berjalan-jalan di sekitar universiti itu. Kebanyakan bangunan di universiti itu mempunyai binaan yang tersendiri dan sangat indah tetapi kami dapati pemeliharaan bangunan-bangunan itu kurang dilaksanakan. Kami juga melawat beberapa fakulti seperti Fakultas Ilmu Hayati (Fakulti Sains), Fakultas Hukum (Fakulti Undang-Undang) dan sebagainya.

Kami juga dibawa melawat ke sebuah galeri yang terletak tidak jauh dari tempat penginapan kami iaitu Muzium Affandi. Galeri ini mempamerkan hasil-hasil karya Affandi yang merupakan salah seorang pelukis terkenal di tanah jawa. Beliau banyak menghasilkan lukisan gambarnya sendiri bersama cucu dan orang yang terdekat dengannya. Di situ juga terdapat sebuah studio yang menempatkan beberapa pelukis menghasilkan karya mereka. Malah Affandi juga turut dikebumikan di galeri yang terletak bersebelahan dengan sungai itu. Aku sempat membeli beberapa keping poskad yang memaparkan lukisan karya Affandi untuk dihadiahkan kepada abang aku yang juga merupakan seorang pelukis.

Hari yang berbaki kami penuhi dengan melawat sebuah lagi bandar di Pulau Jawa iaitu Solo. Perjalanan ke Solo mengambil masa hampir 2 jam melewati kampung-perkampung, sawah padi yang menghijau sambil aku mendengar lagu-lagu dari album Dewa19, Bintang Lima yang baru aku miliki sehari sebelum itu. Kami melawat sebuah kraton di Solo dan mengisi perut dengan tempe goreng beserta cili padi dengan air limau kasturi yang bagi kami dapat menghilangkan rasa lapar dan dahaga dihadapan Kraton Solo. Di Solo kami berkesempatan membeli-belah dan bersiar-siar di tengah-tengah kesibukan kota.

Pengalaman yang sukar dilupakan adalah apabila kami dibawa minum malam oleh pensyarah kami ke suatu tempat. Pensyarah kami sememang sudah tidak asing lagi dengan Yogyakarta memandangkan dia pernah menimba ilmu di kota ini. Pengalamannya sebelum ini dikongsi bersama kami iaitu menikmati jagung bakar dan susu halia disebuah tempat seperti sebuah bangsal yang hanya diterangi dengan cahaya suram lampu minyak tanah. Jagung bakar ini disapu dengan cili sebelum dibakar dan dihidang bersama susu halia yang cukup panas menyebabkan kami masing-masing kepedasan.

Seminggu kami disana sudah membuktikan bahawa Indonesia sememang ‘Bhinneka Tunggal Ika’ iaitu ‘Bersatu Dalam Kepelbagaian”. Yogyakarta masih segar dalam ingatan kami sebagai kota warisan budaya yang tidak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Keramahan warga jogja dapat dilihat disekitar Malioboro yang merupakan nadi ekonomi masyarakat disana. Kami tiba di Malaysia dengan poket kosong tetapi beg penuh dengan barangan dari tanah jawa.

Hampir dua minggu selepas meninggalkan bumi Indonesia, segala cerita, kisah dan kenangan di Kota Jogjakarta masih menjadi bahan perbualan kami di kampus. Kenangan menaiki andhong (kereta kuda) sambil menyaksikan kota yang dipenuhi bangunan beratap genting dan kain banner bewarna-warni di senja hari dan juga memori melawat warisan terpenting didunia dikongsi bersama kawan-kawan yang lain. Akhirnya, kenangan ini dapat diceritakan didalam blog ini walaupun sebelum ini ramai kawan-kawan yang ingin menghantar artikel lawatan ke Yogyakarta ini ke majalah ataupun surat khabar!

Coretan tambahan :

  • Bhinneka Tunggal Ika adalah bahasa jawa kuno yang menjadi cogankata Indonesia.
  • Bonsai yang dibeli berjaya melepasi tapisan Lapangan Terbang Adisucipto tetapi dirampas di KLIA.
  • Yogyarkarta mengalami gempa bumi pada tahun 2006 menyebabkan 1.2 juta penduduk kehilangan tempat tinggal. Kraton Hamengku Buwono turut mengalami kerosakan.
  • Lagu Siti Nurhaliza boleh didengari di premis-premis kedai di Jogja.
  • Yogyakarta juga dikenali dengan nama Jogjakarta, Yogya dan Jogja.
  • Pada ketika lawatan ini, kamera digital belum lagi popular. Hanya seorang daripada kami yang menggunakan kamera digital.
  • Selain Siti, artis Malaysia yang dikenali di Indonesia adalah Search, Sheila Majid, Iklim & Exists.
  • Setiap set fast food seperti KFC dan McD disertakan dengan sebungkus nasi yang dibungkus seperti burger.

APA ADA PADA ADA APA DENGAN CINTA?

Thursday, July 1, 2010

Sekitar tahun 2002, tiba-tiba filem Ada Apa Dengan Cinta(AADC) begitu popular di Malaysia. Seorang kawan aku (hint: berketurunan jawa johor) menonton filem ini hampir setiap hari. Manakala dua orang kawan aku lagi menonton di pawagam walaupun sudah beberapa kali menontonnya sebelum ini apabila pelakon utama, Nicholas Saputra & Dian Sastrowardoyo bertandang ke GSC MidValley untuk mempromosi AADC.

Aku mendapat tahu filem ini melalui abang aku dan terus meminjam CD miliknya untuk 'diperkenalkan' kepada kawan-kawan aku di kolej. Lalu frasa "Kacang Rebus!!" (semasa Cinta & Rangga dating), "Yess Bosh!!" (semasa Cinta bercakap dengan bapanya), "Daaa......!!" (semasa Cinta nak meninggalkan rumah) menjadi ikutan ramai dalam perbualan dan status dalam friendster (masa itu Facebook belum wujud lagi).
Lagu-lagu dalam filem itu seperti Kubahagia, Tentang Seseorang dan Ada Apa Dengan Cinta sendiri menjadi begitu terkenal dan menguasai radio dan playlist winamp setiap komputer di kolej. Aku sendiri pun tak pasti apa yang menyebabkan filem ini mendapat perhatian. Adakah disebabkan kejelitaan Dian Sastro dan kawan-kawannya? Lagu-lagu yang cathy? Ataupun puisi yang dikarya Rangga, lalu disampaikan melalui emosi wanita Cinta menerusi bait-bait ini.....
Kulari ke hutan kemudian menyanyiku
Kulari ke pantai kemudian teriakku
Sepi sepi dan sendiri
Aku benci
Aku ngin bingar
Aku mau di pasar
Bosan aku dengan penat
Dan enyah saja kau pekat
Seperti berjelaga jika ku sendiri
Pecahkan saja gelasnya
Biar ramai
Biar mengaduh sampai gaduh
Ah...ada malaikat menyulam
Jaring laba-laba belang
Di tembok keraton putih
Kenapa tak goyangkan saja loncengnya
Biar terdera
Atau aku harus lari ke hutan
Belok ke pantai

Apa ada pada Ada Apa Dengan Cinta? Mungkin fenomenanya suatu ketika dulu. Maksud puisi? Hanya segelintir yang tahu.......

Nota : Seorang lagi kawan aku boleh menghafal dan mengingati puisi ini dengan baik. Siap dengan intonasi seperti cara penyampaian Dian Sastro!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...