TRIP SANTAI GUNUNG WARPU

Monday, July 8, 2013


Boleh dikatakan Gunung Warpu adalah gunung paling santai untuk didaki. Manakan tidak, kami mengambil masa hanya 1 jam 15 minit untuk sampai ke puncak gunung (dari Kem Kabin) dan trek sangat landai dan tidak memenatkan. Hanya salur-salur paip yang licin dan anak-anak tangga yang curam yang menjadi cabaran utama kami.



Kami sebenarnya bertujuh. Berjanji berkumpul di Masjid Kampung Raja, Cameron Highlands pada jam 12 tengahari, 6 Jun 2013. Tetapi tiada siapa yang sampai jam 12. Semuanya sampai lewat memandangkan segala keperluan dan kelengkapan sudah ada dan hanya  menunggu pacuan empat roda (powil) yang akan membawa kami ke Blue Valley Dam pada jam 2 petang.



“Tunggu jap bang. Ada satu kereta lagi. Dorang sangkut kat jem kat Brinchang”, kata aku pada Abang Pojie, pemilik powil. “Aik? Abang dari Brinchang la tadi. Ok je jalan”, balas Abang Pojie. Beberapa minit kemudian, Sham bersama adik-adiknya, Sufi dan Ibrahim dan adik iparnya pun sampai. Lengkap ahli kumpulan, kami menuju ke SK Kampung Raja untuk meletakkan kereta.



“Takde pompuan ek? Kalo camtu aku tak dapat ar bawak bini aku pegi”, kata Ibrahim sambil memandang bininya yang baru dinikahi beberapa hari sebelum itu. “Takpe ar. Next time. Ko bawak bini ko jalan-jalan honeymoon kat Cameron dulu”, jawab aku. Ibrahim sedikit kecewa. Bininya baru saja beli kasut hiking baru. Tapi disebabkan tiada kawan perempuan yang lain, hasrat itu terpaksa dibatalkan.



Jam 2.30 petang, aku, Lee, Az, Sham, Sufi, Banja dan Arai sudah berada di atas powil. Powil meninggalkan Kampung Raja menuju ke Blue Valley Dam melalui laluan ladang tomato dan jalan separa berturap. Kami  terhuyung hayang sambil berpaut pada palang pada powil. 20 minit kemudian kami sampai di Blue Valley Dam. Aku kemudian mengingatkan Khanna, pemandu powil supaya menjemput kami di Blue Valley Dam pada jam 2 petang esok hari.



Pendakian kami dimulakan dengan bacaan doa oleh Arai dan kemudian aku memberi sedikit taklimat ringkas. Selepas itu, aku mengepalai kumpulan mula mendaki anak-anak tangga yang sememangnya merupakan ‘starting point’ untuk mendaki gunung-gunung terkenal di Banjaran Titiwangsa. “Wei, takde warm up ke?”, tanya Lee. “Tak payah. Yang ni warm up untuk esok”, jawab aku.




Mengikut pembacaan aku di sebuah blog, cuma terdapat 50 anak tangga yang perlu didaki. Memandangkan tangga curam dan memerlukan langkah yang besar itu sangat tinggi, aku mula bersuara, “aku rasa blogger ni tipu ar. Tak pun die typing error. Tertinggal nombor 2 kat nombor 50 tu. Patutnya 250 anak tangga ni”.



Perlahan-lahan kami mendaki tangga. Tangga ini merupakan kejutan pada otot-otot malah pada lemak-lemak kami. Masing-masing sudah mula berpeluh dan nafas mula deras. Agak lama kami mendaki tangga yang berlumut hijau itu. Aku kemudian menyuruh Lee memanjat tangga terus ke atas. “Ok dah. Atas ni dah takde tangga dah”, jerit Lee dengan suaranya yang separuh leper.



Sampai di puncak tangga, kami berehat seketika. Cabaran seterusnya hanya sekitar 100 meter saja dari puncak tangga itu. Kami perlu melalui salur-salur paip licin di atas lopak yang penuh dengan air. Seorang demi seorang mula meniti salur-salur paip. Salah langkah, kami mungkin terhumban ke dalam lopak atau kaki terperosok dicelah-celah salur-salur paip.




“Giler ah dorg wat paip ni. Sampai atas gunung”, Lee bersuara. Salur-salur paip ini sebenarnya adalah saliran air dari sungai untuk ladang-ladang pertanian berdekatan. Kami meneruskan perjalanan pada trek yang lebih mudah. Cuma lecak dan lumpur disekeliling salur-salur paip yang melambat perjalanan kami. Tidak lupa, salur-salur paip yang licin.




Selepas beberapa ketika, kami tiba di simpang empat yang terdapat batu sempadan Kelantan-Pahang. “Bro, kita ke kiri kan?, tanya Azrul. “Haah. Kalo terus ni pegi Kelantan. Kanan ni pegi ladang. Starting point kita masa daki Charlie dulu”, jelas aku. Selepas berehat, minum air dan menunggu kawan –kawan menghabiskan sebatang rokok, perjalanan diteruskan. Trek masih landai cuma salur-salur paip sememangnya tidak pernah lepas dari mata kami.



Kami berjalan dalam tempo yang sederhana sambil berbual-bual. Aksi tergelincir dan kaki terbenam pada tanah yang disangkakan tanah keras merupakan perkara biasa. Trek kebanyakkannya perlu meniti salur paip tetapi ada juga trek atas tanah yang direntas oleh pendaki-pendaki terdahulu. Aku terus memerhatikan trek kerana panduan seterusnya adalah tanah runtuh di sebelah kiri trek.




Jam 4.30 petang, kami tiba di kawasan bekas tanah runtuh. Kami berhenti seketika sementara menunggu Az, Banja dan Arai yang berada di belakang. Az mula membuka peta bagi mengagak kedudukan kami ketika itu. Beberapa minit kemudian perjalanan diteruskan. Selepas melalui kawasan bekas tanah runtuh, kami melalui denai kecil di sebelah kanan trek. Denai ini membawa kami ke tebing sungai. Kami berehat seketika di tepi sungai yang merupakan ‘tandas paling sempurna’ buat kami. Selepas itu, kami menyeberangi sungai dan tiba di kawasan lapang yang dipenuhi pokok-pokok resam dan pokok-pokok renek. Kami mengikut laluan trek dan mendaki sedikit dan akhirnya tiba di Kem Kabin pada jam 5 petang.



Kem Kabin merupakan tempat persinggahan bagi pendaki-pendaki untuk bermalam dan meneruskan pendakian keesokan harinya. Kem ini dibina menggunakan zink - atap dan juga dinding, serta boleh memuatkan kira-kira 10 ke 15 orang di dalamnya. Kami berehat seketika, menjenguk kawasan sekeliling dan terus melakukan tugas masing-masing – mencari kayu api, membentang ground sheet dalam kabin, memasak dan lain-lain lagi.



“Kita tidur luar ar”, ajak Az. “Sejuk bro. Berembun nanti”, balas Banja. Kami kemudian membawa beg ke dalam kabin dan mula mengeluarkan koleksi makanan. Nasi kosong, Maggi, Sardin dan lauk-lauk dalam tin. Ada satu plastik yang kami jinjing sepanjang perjalanan dari Blue Valley Dam ke Kem Kabin. Di dalamnya ada tepung gandum, minyak masak dan juga sebotol sos. Arai mula mengeluarkan dapur yang masih berbau kedai.



Sekitar jam 6.30 petang, kami semua kembali ke tebing sungai. Banja terus terjun dalam air bersuhu kira-kira 16 darjah selsius. Yang lain hanya menggunakan ‘tandas’ di tepi sungai dan membersihkan seluar yang kotor terkena lumpur. Kami mengambil wuduk dan kembali ke kem ketika matahari semakin terbenam.



Selepas menyalakan unggun api, kami solat berjemaah. Banja mula menggoreng cekodok selepas itu dan kami makan nasi berlaukkan lauk dalam tin berpinggankan beg plastik. Tak ubah macam golongan tabligh makan dalam talam. Cekodok kosong cicah dengan sos sememangnya hidangan terhebat pada malam itu. Tidak lupa, beberapa serangga terbang kecil yang ‘hinggap’ di sos, menjadi perencah tambahan dan sumber protein pada kami!




Malam itu kami merapu. Ada yang kata, alang-alang dah sampai kaki Gunung Warpu memang kena merapu. Pelbagai cerita yang keluar. Unggun api menjadi sumber cahaya dan juga haba bagi kami yang duduk bersembang di luar kabin di lembah yang semakin menurun suhunya menjelang tengah malam. Seperti biasa, dengkuran menjadi peneman malam, sambil suhu semakin menurun dan ‘menyeksa’ kami untuk tidur dengan lebih nyenyak.



7 JUN 2013




Selepas solat subuh, bersarapan ringkas dan bersiap-siap, kami sudah bersedia untuk ke puncak Warpu. Hanya Arai yang tidak mengikut ‘rombongan’ sebaliknya  tinggal di kem. “Aku tak kira. Aku nak seret gak ko daki”, usik Az. “Jangai bai. Semalam pun kaki aku dah sakit dah. Korang pegi je ar. Aku sediakan makanan”, jawab Arai yang masih berkain pelikat.






Jam 7.15, kami meninggalkan Arai di Kem Kabin. “Ko nak pegi mane-mane ko bawak ar pisau ke parang”, pesan aku sebelum beredar. Kami kemudiannya melalui denai di belakang Kem Kabin dan terus mendaki merentas laluan yang ditutupi pokok resam dan pokok-pokok renek. Walaupun trek agak landai, pendakian kami agak perlahan memandangkan kami perlu merentas semak samun yang menutup sebahagian trek. Lima belas minit kemudian, kami tiba di bukit botak yang merupakan kawasan tiada litupan pokok dan berdekatan dengannya adalah pintu rimba atau gerbang rimba, gelaran yang diberi oleh pendaki-pendaki terdahulu.




Memasuki gerbang rimba bermakna kami telah memasuki kawasan trek pokok-pokok tinggi memayungi kami. Kami terus mengikut trek yang agak landai dalam rentak pendakian yang masih sederhana. Beberapa minit kemudian, kami tiba di persimpangan ke Gunung Yong Belar dan Gunung Warpu. Terdapat sebatang pokok yang ditoreh perkataan Warpu dan tanda anak panah ke sebelah kanan. Kami terus mendaki melalui denai yang mula terdapat lumut-lumut hijau yang basah, indikator biasa untuk gunung-ganang tempatan.







Sekitar jam 7.50 pagi kami tiba di lereng bukit dimana kami dapat menyaksikan  satu pemandangan yang cukup menakjubkan – gunung-ganang Banjaran Titiwangsa. Agak lama kami disitu, mengambil gambar, berehat sambil meneka-neka susunan gunung yang terbentang di hadapan kami. Gunung Charlie Pondok betul-betul didepan mata kami. Begitu juga dengan gunung-gunung yang lain yang lebih jauh dan nampak berbalam-balam.




Pendakian kami diteruskan. Kali ini kami mula melihat pokok-pokok yang meliuk seperti dipulas iaitu pokok ‘bonsai’ semulajadi kawasan pergunungan. Pokok-pokok buluh halus juga banyak kami temui di kiri dan kanan trek. Begitu juga dengan periuk kera dan sejenis spesis lumut yang kelihatan seperti rumput yang segar. Jam 8.00 pagi, kami tiba di puncak tipu yang pertama. Dari puncak itu jelas kelihatan beberapa batang tiang yang merupakan bekas beirut di puncak Warpu. Ketika ini matahari semakin memancar terang. Az menanggalkan jaket yang dipakai dan diletakkan di sebatang pokok di puncak itu.



Kami sebenarnya perlu menuruni trek yang landai sebelum mendaki ke puncak tipu yang kedua. Kemudian kami perlu menuruni trek lagi, mengikut trek yang seakan berpusing-pusing dan kemudian terus mendaki ke puncak Gunung Warpu. Dan akhirnya kami tiba di puncak Gunung Warpu jam 8.30 pagi.





Gunung Warpu berketinggian 1745 meter dari aras laut. Gunung ini terletak dalam kawasan Lojing, Gua Musang, Kelantan. Warpu sebenarnya bukanlah sebahagian daripada Banjaran Titiwangsa tetapi merupakan jajaran banjaran atau cabang banjaran bagi tulang belakang Semenanjung Malaysia itu. Gunung ini merupakan gunung yang ke 56 tertinggi dalam senarai gunung-gunung tertinggi di Malaysia.




Terdapat campsite yang boleh menempatkan kira-kira 4 buah khemah di puncak ini. Terdapat juga satu kawasan dimana kami boleh melihat banjaran gunung. Seorang demi seorang mula bergambar bersama papan tanda sebagai bukti telah menjejakkan kaki di puncak Gunung Warpu. Kami berehat lebih daripada setengah jam. Sebelum kami meninggalkan puncak gunung, kami sempat bergambar beramai-ramai dan melekatkan papan tanda di batang beirut. Jam 9.10 pagi, kami memulakan langkah tanpa henti ke Bukit Botak. Jam 9.50 pagi, kami pun masing-masing keluar dari pintu rimba dan duduk berehat di Bukit Botak. Pukul 10.10 pagi, kami disambut oleh Arai di Kem Kabin yang baru mengeluarkan dapur untuk memasak.




Kami kemudiannya berpakat untuk berkemas-kemas dan membawa semua barang ke pinggir sungai memandangkan hari semakin panas. Kawasan sungai yang redup dan air yang dingin merupakan tempat yang tepat untuk kami yang sedang berpeluh dan berlengas untuk menbersihkan diri selepas hampir tiga jam mengharungi trek pergi dan balik ke puncak Warpu. Kami menghabiskan bekalan makanan yang ada sambil masing-masing membuka baju untuk berendam dalam air sesejuk ‘air dalam peti ais’. “Jom Sham. Jom mandi. Tak payah cakap pun takpe”, kata aku bergurau pada Sham yang sememangnya seorang yang sangat pendiam.



Sejuk air memang bukan kepalang. Air sungai ini bukan saja sejuk tapi boleh buat badan rasa kebas. Kepala pun rasa beku.  Sambil mandi dan berendam, kami menjemurkan baju-baju dan kasut di atas batu. Air milo panas, roti dan tuna merupakan juadah piknik kami pada pagi itu.




Jam 11.45 pagi, kami meninggalkan sungai untuk menuju ke Blue Valley Dam. Kami sekali lagi perlu melalui trek saluran paip PVC yang licin. Mujur kami sudah semakin mahir dan langkah kami lebih laju dari hari sebelumnya. Jam 12.45 tengahari kami sudah tiba di puncak anak tangga. Kali ini kami menuruni anak tangga seperti orang tua memandangkan tangga-tangga itu agak licin. Kiraan kami, tidak termasuk beberapa anak tangga yang tidak digunakan  adalah sebanyak 278 anak tangga yang terdapat di Blue Valley Dam ini. Bukan 50 seperti yang pernah aku baca sebelum ini.




Jam 1.00 petang, kami sudah berada di Blue Valley Dam. Ada yang mandi dan ada juga yang mengambil kesempatan untuk melelapkan mata seketika sementara menunggu powil yang akan tiba pada jam 2.00 petang. Seperti dijanjikan, sejam kemudian powil datang menjemput kami.  Kami dibawa ke SK Kampung Raja dimana disitulah kami berpisah. Selepas bersalam-salaman, kami mula membawa kereta menuju destinasi masing-masing.




Gunung Wapu, sememangnya santai. Tetapi tetap menjanjikan kepuasan bagi seorang pendaki. Dua hari satu malam kami menghayati hutan Pahang dan Kelantan dalam menuju matlamat ke puncak Gunung Warpu. Peluang dan ruang ini amat bermakna bagi aku kerana kali terakhir aku mendaki gunung dan bermalam adalah pada penghujung tahun 2011. Aku juga dapat menyaksikan pemandangan Banjaran Titiwangsa yang cukup mempersonakan. Ketika menyaksikan gunung-ganang itu, aku terus memasang impian, agar suatu hari nanti aku dapat menjejakkan kaki di salah satu gunung G7, yang menjadi impian setiap pendaki gunung di Malaysia.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...