MUSIM BUNGA DI KOTA SEOUL - Bahagian I

Tuesday, August 12, 2014

Benar kata orang. Melancong bersama anak kecil sememangnya cabarannya besar. Itu yang aku dan isteri alami selama 5 hari 4 malam makan angin di negara K-Pop, Korea Selatan. Selepas mengharungi perjalanan 6 jam 30 minit dari Sepang ke Incheon dengan penerbangan MH66, kami seakan tidak lepas dari cabaran berdepan dengan tantrum, feel meragam, tangisan dan macam-macam lagi aksi anak kami, Zhariff Iman yang berusia setahun 4 bulan.

Bermula dengan muntah ketika kapal terbang mula berlepas, kemudian dengan teriakan Zhariff yang tidak mahu dipasang seat belt dan masih belum mahu tidur walaupun sudah jam 1 pagi membuatkan kami hanya tidur sekitar sejam sahaja sepanjang penerbangan. Setibanya di Incheon sekitar jam 7.10 pagi pada 25 April 2014, suhu 7 darjah selsius menyedarkan kami kembali, Korea Selatan sedang mengalami musim bunga.


Sedang menunggu pemilik guesthouse yang tinggal tak jauh dari guesthouse.
Selepas mengambil beg dan melepasi imigresen, aku membeli dua kad T-money dan juga top up 40000 won (RM120) bagi setiap satu kad di kedai serbaneka. Kami kemudian menaiki bas bernombor 6002 di platform 5B ke Cheongnyangni. Perjalanan hampir sejam dan tiket bas berharga 10000 won (RM30) setiap seorang (percuma untuk bayi) membawa kami ke kota Seoul, ibu negara Korea Selatan. Kami kemudian berhenti di hentian Dongmyo dan mengambil teksi ke Guesthouse kami. Pertama kali kami menaiki teksi, kami dipelawa untuk berbual oleh pemandu teksi. Minta maaf pakcik. Aku hanya tahu dua frasa 'Aneyong haseyo' dan 'hamsa hamida'.


Sepuluh minit menaiki teksi, kami tiba di 2C Dongdaemun Guesthouse. Tiada orang yang menyambut kami. Tetapi ada telefon dan nombor telefon dihadapan pintu guesthouse yang berkunci. Lima minit menunggu, pemilik guesthouse tiba menerima kami sebagai ‘penyewa tetap’ selama lima hari.  
 
Dongdaemun 2C House kami tempah menerusi booking.com. Harga bilik 180000 won  (RM540) untuk 5 hari 4 malam.
Selepas berehat, makan, mandi dan bersiap-siap, kami kemudian bersedia untuk memulakan agenda kami. Ketika itu jam 2 petang. Malangnya, Zhariff menangis-nangis. Dia menangis dan meronta-ronta minta perhatian. Aku kemudian membawa Zhariff ke laman guesthouse untuk memujuknya sambil kami melihat seorang pakcik sedang merumput disekitar laman. Tak sampai lima minit, Zhariff sudah terlentok dibahu aku. Sudahnya, kami bertiga kembali ke bilik dan tidur senyenyak-nyenyaknya dengan hawa dingin semulajadi musim bunga sehingga jam 5 petang.

Satu permainan yang boleh dicuba oleh pengunjung. Memasukkan batang rotan ke dalam pasu tembaga. Payah juga.
Sekali lagi, jam 5 petang di Seoul, kami memulakan perjalanan. Hanya sekitar 5 ke 7 minit berjalan kaki dari guesthouse, kami tiba di  Sangwangsimni Station. Kami perlu menuruni tiga tingkat kebawah tanah untuk sampai ke platform subway menggunakan tangga biasa dan lif. Tempat pertama yang kami ingin singgah adalah Namsangol Hanok Village iaitu perkampungan tradisional masyarakat korea.


Macam biasa. Dia pun nak cuba.




Untuk kesana, kami menaiki subway melepasi dua stesen dan bertukar di satu stesen sahaja untuk berhenti Chungmuro Station. Hanya sekitar 200 meter dari Exit 3 stesen subway itu adalah Namsangol Hanok Village. Kami cukup bertuah. Cuaca cukup cerah walaupun hanya tinggal kira-kira dua jam sebelum matahari terbenam. Ramai pelancong dikawasan ini. Terdapat pengantin yang sedang mengambil gambar dan beberapa penduduk tempatan yang bermain permainan tradisional. Namsangol Hanok Village sebenarnya terletak di celah-celah bandar, namun keasliannya masih terpelihara.


Pengunjung boleh menyaksikan rumah-rumah tradisional dan juga elemen-elemen tradisi yang lain. Kami berjalan melewati pintu gerbang dan dataran dan menuju ke rumah-rumah yang terdapat disitu. Selepas lengkap mengelilingi kawasan rumah, kami membenarkan Zhariff untuk berjalan-jalan di sekitar dataran



Gambar pertama kami menggunakan monopod. Ramai orang korea yang berhenti melihat kami bergambar. Kami ada dua andaian ; sama ada 'teknologi monopod' belum sampai ke korea selatan atau kami ketinggalan zaman.

Cara termudah untuk kesini adalah dengan menaiki subway ke Chungmuro Station dan keluar melalui Exit 3. Terdapat stesen minyak dan papan tanda arah ke sana. Anda perlu berjalan di satu lorong yang dihujungnya terdapat banyak bas dan pintu gerbang kampung itu. Tiket masuk tidak dikenakan.



Meninggalkan Namsangol Hanok Village sekitar jam 6.30 petang kami kembali ke jalan besar. Kami perlu menyeberangi jalan untuk mengambil teksi untuk menuju ke destinasi yang seterusnya. Tak sampai seminit menunggu, kami telah pun berada di dalam teksi ke kawasan berbukit menuju ke Cable Car Station untuk ke Namsan Tower. Bayaran teksi sekitar 3000 won  (RM9) untuk perjalanan sejauh kira-kira 1km itu.

Harga tiket pergi dan balik untuk Cable Car ke dataran Namsan Tower adalah 8000 won (RM24). Agak malang bagi kami kerana pergi ke sana pada waktu yang salah. Kami terpaksa bersesak-sesak beratur dan berhimpit di dalam Cable Car kerana pada masa ini kebanyakan pengunjung iaitu orang korea sendiri mengambil peluang naik ke dataran Namsan Tower untuk menyaksikan matahari terbenam.

Kami sangka Cable car akan sampai terus ke dataran, tapi kami perlu mendaki berpuluh-puluh lagi anak tangga sebelum sampai ke dataran. Bayangkan aku terpaksa memapah stroller ke atas.



Tidak banyak aktiviti yang dapat kami lakukan di Namsan Tower memandangkan Zhariff terlalu aktif berjalan-jalan mengikut kehendak hatinya. Tidak lama kami disitu kerana suhu semakin sejuk dan Zhariff sukar dikawal. Tidak sampai sejam. Tapi sempat jugalah kami bergambar sebagai kenangan.


Selain kerusi ini, terdapat juga padlock tree,Teddy Bear Museum dan macam-macam lagi.




Sebelum balik kami beli Twist Potato (3000 won). Memang berebut makan sebab masing-masing kesejukan & lapar.
Dari Cable Car Station kami mengambil teksi kembali ke Chungmuro Station. Kemudian kami menaiki subway ke Dongdaemun Station. Keluar dari Exit 2 kami berjalan di sebelah JW Marriot Hotel dan  Dongdaemun Shopping Market menuju ke kedai ikan bakar. Kami mendapat maklumat tentang kedai ikan bakar ini dari seorang blogger. Tapi maaf cakap, tekak kami kurang berselera makan pada malam itu.
Kami order ikan. Lauk-lauk lain memang dah termasuk dalam pakej. Ada kimchi dan sayur-sayur lain. Semua masam. Kuah tu pulak boleh tahan la. Kuah tauchu. Harga untuk dua orang 12000 won.


Makcik pemilik kedai ni membebel sebab kami tak habis makan. Siap nak suruh kami tapau. Yang bini aku tengah tuang tu air mineral. Tapi tak tau kenapa warna macam minyak masak. Rasa normal macam air biasa.


Sepanjang kami makan dan perjalanan balik ke guesthouse, Zhariff sudah tidur. Malam itu, kami perlu tidur dan rehat secukupnya kerana banyak lagi tempat yang kami ingin lawati. 

Bersambung............

5 ulasan:

Sharifah Shazwani said...

assalamualaikum wbt

maaf bertanya, mana cara nak booking 2c guesthouse ye? rate dia ok x?

sagahayat said...

Wslm..
Sy booking guna web booking.com...byr ms check in
Harga 180000 won @ rm540 utk 5h4m.sy rasa agak murah.
Bilik tak besar sgt.ada katil queen,mini fridge,tv n bilik air skali
7min jalan kaki dr stesen subway.ada ruang dapur n bilik dobi
Ada kdai serbaneka bdkatan

NEKCIK said...

syabas kerana sanggup membawa anak kecil travel bersama..nekcik suka baca orang travel sendiri..sama macam nekcik..tak suka guna pakej..more adventurous kan...

NEKCIK said...

nekcik dah 2 kali ke korea ni..tapi kalau ada tiket murah ..insyaallah akan pergi lagi..suka ...

sagahayat said...

Trima kash nekcik.walaupun susah bwk anak kecik,tp kami enjoy.sy suke travel sndiri.boleh save smpi rm1500 sorg.kita pn bleh ubah plan kita ikut keadaan kita.

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...