DUGAAN MENDAKI GUNUNG SWETTENHAM

Thursday, June 9, 2011

Gunung Swettenham terlalu besar cabarannya. Bermula dengan kekurangan ahli yang dapat menyertai ekspedisi, kemudian dengan masalah kesihatan aku sendiri yang membuatkan aku kurang yakin untuk mendaki gunung yang terletak di sempadan negeri Pahang dan Kelantan itu.

Azwad, Che Yop dan Tart adalah nama-nama kawan aku yang tidak dapat mengikuti program lantaran terpaksa bekerja dan terikat dengan komitmen yang lain. Begitu juga dengan Suriani yang tidak mendapat ‘lesen’ ahli keluarganya kerana adiknya tidak dapat turut serta. E.g awal-awal lagi sudah memaklumkan tarikh tersebut merupakan tarikh dia menghadapi peperiksaan penggal.

Jalan Tapah ke Cameron Highlands yang ditutup akibat tanah runtuh menambah kesulitan lagi buat kami yang terpaksa berpatah balik dan menggunakan jalan Simpang Pulai menuju ke Kampung Raja pada hari itu. Kepala aku pula terasa berpusing melalui jalan yang berkeluk liku ditambah dengan derita sakit gusi yang aku alami sejak semalamnya.

Jam 11.30 pagi, 3 Jun 2011 kami sudah bersiap sedia. Kami sudah terpacak di hadapan Pusat Biodiversiti Jabatan Perhutanan Kelantan yang menjadi petunjuk kepada ‘starting point’. Doa kami panjatkan dan semangat kami membara untuk mendaki Swettenham, sama seperti ‘semangat’ pancaran cahaya matahari yang begitu terik pada hari itu. Sakit gusi atau pening kepala aku buang ke tepi demi memenuhi impian memasang papan tanda di puncak Gunung Swettenham setinggi 1961 meter dari aras laut. Kami melewati beberapa buah rumah orang asli dan berjalan beriringan menuju ke laluan ke sebuah kebun sayur-sayuran. Kami meneruskan perjalanan ke laluan yang telah diturap dengan simen dan sebahagiannya dikonkritkan.

Pendakian kami pada mulanya tidak sukar, tetapi laluan bersimen yang mencanak yang langsung tidak menyerap derapan langkah kami menyebabkan kami cepat mengah. Kerol kemudian meminta untuk berhenti seketika memandangkan dia bagaikan seseorang yang baru selesai berlari pecut 100 meter.

Kami tinggalkan Kerol seketika untuk melihat-lihat laluan rentas seterusnya. Ketika ini aku dan Azrul cuba menjejak trek sebenar ke Swettenham. Kami terjumpa dua batu sempadan yang menjadi petanda kepada trek ke gunung. Kemudian Azrul kembali mendapatkan Kerol yang sudah kepenatan dan terasa sedikit pitam.

Beberapa minit kemudian Azrul tiba membawa dua buah beg dan di belakangnya adalah Kerol yang sedang mendaki perlahan-lahan. “Aku ingat tak bolehlah bro. Aku rasa nak pitam. Kaki aku pun dah menggigil. Takpe ar. Korang teruskan je la. Nanti aku suruh bini aku jemput aku”.

Mendengar kata-kata Kerol, aku terus menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Serba salah aku jadinya. Kalau aku berdua dengan Azrul, sudah pasti secara automatik ekspedisi terbatal. Berdua bukannya lebih baik, tetapi lebih berbahaya memandangkan kami perlu menempuh pendakian selama lebih lima jam ke puncak dalam kelompok yang sangat kecil. Aku pula faham perasaan Kerol yang berasa bersalah dan sering meminta maaf kepada kami kerana keadaannya yang kurang mengizinkan.

Kata sepakat dicapai, kami mengambil keputusan untuk berehat seketika. Biarlah Kerol pulih dahulu dan berehat sepuas-puasnya atau sekurang-kurangnya dia akan menyebut, “Ok jom! Aku dah ok!”. Ketika ini kami mula mengemukakan pelan B dan pelan C. Sambil itu, kami menjamah nasi kosong bersama ayam goreng yang kami beli di Simpang Pulai tadi.

Sekitar jam 1.30 petang aku dan Azrul sekali lagi meninggalkan Kerol untul memantau trek pendakian. Sambil itu kami berbual. “Camne ni bro. Macam tak jadi je projek”, kata aku. “Alah takpe. Kalo tak jadi kita pegi lain kali. Nanti boleh ajak E.g. Aku rasa E.g dah sumpah kita sebab tak bawak die hehe”, jawab Azrul. Trek semakin jelas apabila kami menemui teg plastik demi teg plastik yang diikat pada pokok. Begitu juga dengan batu-batu sempadan. Sekembalinya kami di tempat kami meletakkan beg, kami lihat Kerol seperti sudah cergas. Dia sedang mendaki trek sambil mengambil gambar.

“Aku dah ok. So macam mana?”,tanya Kerol pada kami. Aku dan Azrul saling berpandangan dan kami tersenyum. Beberapa saat kemudian kami terus menggalas beg dan memulakan pendakian sebenar ke Gunung Swettenham sekitar jam 1.50 petang.

Permulaan pendakian bermula dengan melepasi permatang sempit di lereng bukit. Dari kawasan ini kami dapat melihat dengan jelas jalan raya yang menghubungkan Cameron Highlands ke Gua Musang, kawasan-kawasan pertanian di lereng-lereng bukit dan juga banjaran gunung berlapis-lapis. Kemudian kami menempuh trek pokok-pokok resam yang selalunya terdapat di kawasan berbukit yang terbuka. Selepas itu kami melalui denai kecil yang mula dinaungi oleh pokok-pokok. Trek yang kami lalui agak kecil tetapi agak landai. Perjalanan kami baik-baik saja dan tidaklah terlalu laju, sebaliknya mengikut rentak Kerol yang pertama kali mengikuti kami mendaki gunung.

Kami mendaki mengikut denai yang tersedia dan mengenal pasti trek sebenar berdasarkan batu sempadan, pita keselamatan yang diikat pada pokok dan juga tali pengikat rambut berwarna merah yang menjadi petanda untuk menjejak puncak Swettenham. Boleh dikatakan perjalanan kami melintasi dua buah negeri secara serentak ataupun silih berganti iaitu negeri Pahang dan Kelantan. Sekejap kami di Kelantan, sekejap lagi kami di Pahang.

Sejam setengah kemudian kami tiba di kawasan hutan berlumut. “Cantik giler”, kata Kerol. Dia kemudian menambah. “Macam hutan kat dalam cerita ape tu, ala..cerita….” “Lord of the Rings!”, sampuk aku laju. Aku dan Azrul tidak habis-habis bercerita mengenai Gunung Irau yang mempunyai lanskap hutan lumut yang lebih cantik, lebih segar dan lebih hijau berbanding di kawasan itu. Agak lama kami berhenti. Kami menghabiskan masa dengan berehat dan mengambil gambar sebagai lampiran kenangan pendakian kami.

Selepas itu, pendakian kami diteruskan. Destinasi sasaran yang seterusnya adalah ‘false peak’ (FP). Ketika ini kami perlu menuruni bukit dan kemudiannya melalui titi kayu mati yang berlumut dan kemudiannya perlu mendaki lagi. Aku yang mengepalai pendakian berjalan berterusan melalui trek Swettenham yang terdapat banyak spesis tumbuhan berduri kecil yang cukup ‘suka’ berpaut pada lengan dan kepala kami. Habis calar balar tangan kami.

Sekitar jam 4.15 petang, aku menjerit “false peak” untuk memberitahu Azrul dan Kerol yang aku sudah tiba di kawasan itu. FP tidaklah terlalu besar tetapi boleh memuatkan kira-kira dua buah khemah. Ketinggiannya dianggarkan melebihi 1700 meter dari aras laut. Ketika berada di sini, Azrul dan Kerol mengambil kesempatan untuk menjamah nasi dan aku berkira-kira untuk mengisi perut apabila tiba di puncak nanti. Sebelum bergerak dari FP, Kerol kemudian menepuk dahinya sambil berkata, “Aduh. Parang aku tinggal”. Kami segera mencari-cari parang itu di kawasan sekitar. Tetapi tiada. “Kita ambik esok je la parang tu. Takkan nak patah balik”, cadang aku.

Perjalanan kami diteruskan. Kami banyak menempuh laluan yang kiri kanannya adalah pokok-pokok buluh kecil. Kemudian kami perlu menuruni bukit untuk menjejak ‘last water point’ (LWP) yang menjadi tempat yang membekalkan sumber air semulajadi yang bersih kepada setiap pendaki. Ketika ini aku hanya memikirkan dua perkara iaitu pokok pisang dan pokok balak tumbang. Kedua-duanya menjadi petunjuk untuk lokasi LWP.

Sejam kemudian aku tiba di kawasan lapang yang terdapat pokok pisang dan pokok balak yang sudah tumbang. Bezanya dengan gambar yang terdapat di dalam internet ialah pokok pisang itu adalah anak pokok pisang dan batang balak tumbang yang dimaksudkan sudah reput dan hancur. Sekali lagi aku menjerit, “Last water point!”.

LWP boleh memuatkan kira-kira 4 ke 6 khemah dan di sebelah kiri trek terdapat satu trek yang sangat curam menuju ke punca air. Ketinggian LWP dianggarkan melebihi kira-kira 1400 meter dari aras laut. Ini bermakna kami telah menuruni bukit dari FP ke LWP dengan berketinggian kira-kira 300 meter.

Aku dan Azrul menuruni trek yang permulaan treknya ditanda dengan botol mineral kosong yang dikerat dan dipaku pada pokok. Kami mengisi air ke dalam botol dan juga mengambil air sembahyang. Airnya cukup dingin dan botol air kami yang diisi dengan air dari punca air itu seolah-olah baru dibawa keluar dari peti sejuk. Sekeliling punca air yang mengalir itu terdapat banyak pokok-pokok pisang yang tinggi menjulang.

Kami menunaikan solat dan berehat seketika. Ketika itulah aku tersedar aku tertinggal kamera berhampiran punca air. Sekali lagi aku terpaksa turun dan kemudian kembali mendaki trek mencanak. Aku tercungap-cungap keletihan.

Jam 6.10 petang kami meninggalkan LWP. Kami perlu mendaki kira-kira 500 meter ketinggian trek untuk tiba di puncak gunung. Ketika ini cahaya matahari berwarna kuning menyinar di celah-celah pokok. Kami kemudiannya berhadapan trek mencanak yang berterusan. Ketika inilah kami bertemu dengan cabaran trek gunung yang sebenar. Curam dan mencanak. Hampir 30 minit kemudian barulah kami menemui trek landai dan memberi peluang untuk kami bergerak dengan lebih laju.




DUGAAN PENDAKIAN





Tiba-tiba aku terasa sedikit pening. Tetapi aku kurang memikirkannya sebaliknya lebih fokus untuk tiba di puncak Swettenham secepat mungkin. Namun, pandangan aku semakin berpinar dan badan pula terasa tidak terdaya untuk melangkah. Cahaya matahari semakin hilang dari pandangan berganti kegelapan malam yang mula menyelubungi bersama kedinginan gunung.



Semakin gelap suasana, semakin gelap pandangan mata aku. Aku kemudian meminta untuk berhenti dan Kerol dan Azrul segera mengeluarkan mestin dan lilin askar untuk membancuh air panas. Aku menyandarkan badan pada beg dan merehatkan badan. Panadol yang aku telan dan juga air teh cina panas yang dibancuh diharap dapat mengurangkan masalah yang aku hadapi.



Selepas hampir lima belas minit, kami meneruskan pendakian. Aku kemudian memberi jaminan. “Aku boleh daki. Tapi kena slow-slow ar. Kita terus je ke puncak”. Azrul kemudian mempelawa untuk membawa beg aku. Kerol memberikan tongkatnya untuk memudahkan aku mendaki.



Walaupun kepala aku masih terasa pening dan aku mendaki secara perlahan-lahan, aku tetap berborak dan bergurau seperti biasa. Aku mahu melupakan ‘kesengsaraan’ aku mendaki saki baki ke puncak Swettenham dengan berlagak seperti normal. “Inilah pertama kali dalam sejarah aku paling teruk daki gunung”, kata aku menggelengkan kepala sambil ketawa.



Pendakian diteruskan. Azrul mengambil alih tugas aku mengepalai pendakian. Pandangan kami masing-masing hanya bergantung pada cahaya headlamp yang dipasang pada kepala. Angin gunung mula menerpa tubuh kami. Di hadapan cahaya lampu suluh kelihatan kabus yang berlalu mengikut angin. Dan trek yang kami lalui terus-menerus mencanak dan curam.



Akhirnya pada jam 8.40 malam, kami berjaya menawan puncak Gunung Swettenham. Pendakian yang dianggarkan dapat dicapai dalam tempoh 5 jam berlanjutan ke 6 jam 40 minit. Dalam kepayahan dan kesulitan yang kami lalui, kami berjaya menempuhinya dan menganggapnya sebagai satu pengalaman yang besar yang mengajar kami erti kerjasama dan tidak berputus asa.

Malam itu sungguh dingin. Bayu malam menerpa pinggir gunung dan langit begitu cerah menampakkan bintang-bintang bersinar. Selepas tidur seketika, aku bangun dan menjamah nasi berlaukkan ‘lauk dalam tin’. Aku kemudian membantu menyalakan unggun api dan berborak seperti biasa sehinggalah kami tidur pada lewat malam.



Keesokan paginya, matahari mula muncul dan kami bangun untuk menyaksikan panorama matahari terbit. Malangnya pokok-pokok disekeliling puncak sangat tinggi. Namun dicelah-celah pokok kami dapat melihat puncak-puncak gunung yang lain termasuklah puncak Gunung Brinchang.



Misi kami masih belum selesai selagi papan tanda Gunung Swettenham belum dipasang di puncak gunung itu. Kami kemudiannya memasang papan tanda yang kami buat sendiri di dahan sebatang pokok. Perasan puas dan lega apabila melihat misi kami terlaksana. Mata tidak berhenti memandang papan tanda kuning yang tertera perkataan GUNUNG SWETTENHAM. 1961 M. SUMB IKHLAS KAT.



Jam 9.10 pagi kami mula menuruni puncak Gunung swettenham. Perjalanan kami tidak diduga dengan sebarang masalah sebagaimana hari sewaktu kami mendaki. Misi kami kali ini adalah menjejaki parang dan sebelah selipar jepun milik Kerol yang juga tercicir. Kami akhirnya tiba di kereta pada jam 2.35 petang.



Sepanjang perjalanan pulang dari Cameron Highlands, kami melakukan post mortem. Aku orang pertama yang bersuara. “Bagi aku trek dia ok. Mula-mula memang relaks. Last-last je yang sengsara sikit. Tapi yang penting sekali pertama, fizikal kena mantap. Jangan tak sihat macam aku. Kedua, makanan n air. Sebijik roti n cokelat pun takde kita bawak. Harap makan magi n nasik je. Air pun bawak sikit. Ketiga, semak betul-betul info n dakilah awal sikit. Jangan lewat sangat macam semalam. Lagi satu, lain kali jangan daki pagi jumaat. Orang cakap dalam Islam tak digalakkan! Sebab tu banyak problem agaknye. Hehe”

Azrul kemudian menambah. “Tapi takpe. Sekurang-kurangnya kita ada pengalaman mendaki waktu malam”.

“Betul! Tapi kekuatan kita kerjasama la aku rasa”, tambah aku. Kerol hanya menyampuk sekali-sekala di kerusi belakang kereta.



Sehari selepas itu, kami masih berhubung. Cerita Gunung Swettenham masih tidak habis-habis lagi. Ceritanya masing berkisar mengenai pendakian ke puncak Gunung Swettenham yang penuh dugaan.




FAKTA & PANDUAN TREK GUNUNG SWETTENHAM




• Gunung Swettenham berketinggian 1961 meter dari aras laut merupakan gunung ke 21 tertinggi di Semenanjung Malaysia dan yang ke 32 di Malaysia. Gunung ini terletak di sempadan Pahang (Kampung Raja, Cameron Highlands) dan Kelantan (Lojing, Gua Musang).

• Namanya dikatakan diambil daripada nama Sir Frank Athelstane Swettenham yang merupakan Ketua Residen Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang pertama ketika negara kita masih dijajah.

• Trek dari ‘starting point’ ke puncak gunung adalah sejauh kira-kira 5.9 kilometer. Pendaki akan dapat menemui sebanyak 35 batu sempadan Kelantan-Pahang sepanjang melalui trek.







• 'Starting point' trek Gunung Swettenham bermula berhampiran Pejabat Pusat Biodiversiti Jabatan Perhutanan Kelantan (3-4 km dari simpang utama Cameron Highlands-Gua Musang-Simpang Pulai menghala ke Gua Musang)yang terletak berhampiran beberapa buah rumah orang asli. Kenderaan anda boleh diletakkan disini. Trek akan menempuh laluan bersimen sehingga ke denai yang ditanda dengan teg berwarna kuning atau teg keselamatan berwarna merah dan putih atau tali pengikat rambut berwarna merah yang diikat pada pokok. Batu sempadan juga menjadi petunjuk kepada trek yang betul.

• Selamat Mendaki!

8 ulasan:

khairul said...

hahaha!!..g lg skali la jom..cm bes gile je..da la 6 kilometer..jaoh gile..haha..g ade eg plak...hahah..

sagahayat said...

nak pegi lg skali boleh..tp kene tunggu lama sket..kena cari gunung lain dulu..pastu baru pegi gunung2 yg kite dah letak papan tanda......

Aliana Isma said...

wahh.... tahniah... dah menawan gunung swettenham...

sagahayat said...

tq....tak sempat daki perdah n jasar sekaligus aritu.....

Anonymous said...

besssh ni dalam planning nkp cuti taipusam...good n detailed info, sgt mmbantulah..

sagahayat said...

tq...sy gembira dpt mmbantu...slmt mendaki....

Sham @ Kumai @ KG @ Jack said...

bagus bagus bagus.. saya akan gunakan panduan anda di sini.. saya mengidamkan satu gunung setiap bulan mulai Brinchang bulan lepas dan bulan ini pula Irau sebelum Berembun atau Jasar Bulan Jun dan Julai..
cuma saya seorang sahaja yang nak mendaki ..kena cari dan paksa kawan2...

sagahayat said...

jgn lupa bergambar dgn papan tanda yg kami buat..harap impian tu tercapai....gunung swettenham ni jarang didaki oleh pendaki..ada trek yg tertutup dgn pokok2 kecik tepi trek...tp apa2 pun ada tag n batu sempadan sehingga ke puncak...

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...