“Kita makan dulu ar. Aku lapar giler. Dari pagi tak makan. Orait. Kat sana ada McD!”, kata Alan. Agenda pertama kami di Sarawak adalah makan memandangkan semuanya sudah lapar dan jam menunjukkan hampir 1 petang. Waktu yang terbaik untuk mengisi perut. Kami sebenarnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa, Kuching sekitar jam 12 tengahari. Selepas menjamu selera dan mula menyesuaikan diri dengan udara Borneo, kami mula meninggalkan lapangan terbang untuk memulakan pengembaraan kami.
Sekitar jam 2 petang kami mendaftar masuk di Laila Inn, sebuah hotel bajet yang terletak di pusat bandaraya. Oleh sebab kami tidak memilih dan untuk memudahkan cerita, kami memilih bilik dengan tiga katil walaupun kami berempat. Dengan adanya kreativiti menggabungkan katil, kami pasti dapat tidur dengan selesa dengan harga semalam RM 84.00 termasuk selimut dan bantal ekstra yang dicaj RM9. Tiada masalah. Asalkan cukup selesa buat kami untuk tidur dan mandi. Itu sudah memadai.
Menunggu hujan yang semakin reda, kami bersiap-siap. Kami meneruskan perjalanan untuk bersiar-siar di Waterfront atau nama melayunya Tebingan Kuching. Pada masa ini matahari memancar cukup kuat membuatkan kami cepat berpeluh. Sasaran utama kami adalah untuk bergambar dengan replika kucing yang terletak berhampiran waterfront. Berdasarkan peta yang kami lihat di Laila Inn, terdapat 3 replika kucing utama di Bandaraya Kuching. Bagi kami, bergambar dengan salah satu replika pun sudah memadai sebagai bukti kami sudah menjejakkan kaki di Bumi Kenyalang.
Kami meneruskan perjalanan ke sebuah kawasan rekreasi yang dinamakan Taman Sahabat. Taman Sahabat merupakan satu tanda persahabatan yang terjalin diantara kerajaan Malaysia dan juga kerajaan China. Landskapnya saling tak tumpah macam di China. Dan pengunjung yang berkunjung di taman itu kebanyakannya orang cina yang membuatkan aku terus berkata, “Ko tak payah susah-susah nak pegi Beijing ke, Shanghai ke. Amik je gambar kat sini. Bukan orang tau pun”. Yang lain hanya tersenyum.
HARI KEDUA
Cuaca yang sangat panas tidak menghalang kami untuk membeli-belah. Aku awal-awal lagi sudah menyenaraikan apa yang patut dibeli. Jam 12 tengahari kami meninggalkan Pasar Serikin dengan beg plastik yang berisi sandal, kain batik dan macam-macam lagi barangan.
Alang-alang di Bau, kami tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi dua gua yang agak terkenal di kawasan ini. Gua yang yang dimaksudkan adalah Gua Pari-Pari (Fairy Cave) dan Gua Angin (Wind Cave). Kereta kami membelok ke kanan untuk ke Gua Pari-Pari. “Aku rasa Kilafairy tengah tunggu kita kat sana”, kata aku merujuk kepada nama gua itu yang aku baca pada papan tanda ketika kami semakin hampir ke destinasi.
Setibanya di sana kami dapati terdapat satu kumpulan yang sedang menjalankan aktiviti seumpama team building di muka gua itu. Kami hanya mengambil gambar dan kemudian berlalu meninggalkan gua itu untuk menuju ke satu lagi gua iaitu Gua Angin.
Sememangnya kami tidak bersendirian kerana terdapat ramai pengunjung yang sedang membeli tiket di kaunter tiket untuk masuk ke dalam gua itu. Selepas membeli tiket dan menyewa dua buah lampu suluh, kami mula memasuki pintu gua. Menurut renjer gua yang kami temui di kaunter tiket, perjalanan keseluruhan untuk meneroka keseluruhan gua hanya mengambil masa 30 minit.
Hati tertanya-tanya bagaimana gua ini mendapat nama. Selepas 5 minit kami berjalan di dalam kegelapan dan hanya diterangi cahaya lampu suluh, kami ternampak cahaya dan juga angin seperti dari kipas angin mula menerpa tubuh kami. Barulah kami faham, terdapat lubang-lubang semulajadi yang membenarkan udara atau angin masuk kedalam gua yang cukup membuatkan kami setuju dengan gelaran bagi gua ini iaitu Gua Angin.
Struktur gua ini adalah struktur tipikal bagi sebuah gua batu kapur yang mempunyai struktur stalaktit, stalagmit dan juga column serta imej dimensi pelbagai rupa. Satu kelainan yang terdapat di gua ini adalah struktur yang menyerupai seperti tirai atau langsir yang menutup sebahagian terowong laluan gua. Kami juga dapat menyaksikan kelawar yang bergayutan dan juga burung layang-layang yang sekali-sekala keluar masuk pintu gua dan adakalanya hampir terlanggar muka kami.
Selepas 40 minit meneroka gua, kami berlari-lari anak menuju ke kereta ketika hujan mulai turun. Kami seterusnya menuju kembali ke jalan utama Kuching-Serian untuk makan tengahari di Restoran Serapi Corner. Hidung kami masing tercium dengan bau tahi kelawar yang masih melekat di bawah telapak sandal yang kami pakai.
Sesudah makan tengahari kami menuju ke Jong’s Crocodile Farm yang terletak di Siburan, kira-kira 13 kilometer dari kawasan Restoran Serapi Corner. Kami tiba di taman itu 10 minit sebelum jam 3 petang iaitu masa untuk pengunjung menyaksikan buaya-buaya diberi makan. Ketika di kaunter aku agak terkejut. Tiket yang dikenakan adalah RM16. “Aku berani kerat jari. Aku tengok kat internet ari tu tiket RM8 je”, kata aku meyakinkan yang lain. Kata sepakat dicapai, kami membeli 4 tiket yang berharga total RM64 untuk menyaksikan suku sakat Bujang Senang yang cukup terkenal di sungai-sungai utama di Sarawak.
Suara rakaman seorang amoi menerusi speaker yang berbunyi lebih kurang “Tuan-tuan dan puan-puan. Acara feeding time akan bermula sebentar lagi” menyebabkan kami melebarkan langkah untuk menuju ke kolam yang terletak di hujung taman. Semua pengunjung sudah bersedia untuk menyaksikan aksi buaya-buaya diberi makan. Di dalam kolam itu dianggarkan terdapat puluhan ekor buaya yang sedang menunggu untuk diberikan makanan. Daging ayam digantung dan sebuah tin ditalu untuk memanggil sang bedal melahap makanan yang disediakan.
Kami sendiri teruja dapat melihat bagaimana seekor buaya melompat untuk mendapatkan daging ayam yang tergantung. Ada banyak buaya yang hanya mengangakan mulut dan duduk berhampiran pondok tempat renjer taman itu meletakkan makanan dan hanya menunggu makanan dilemparkan pada mereka.
Selepas hampir 20 minit, kami meninggalkan kolam itu untuk bersiar-siar di dalam taman itu. “Ini bukan taman buaya ni. Dah macam zoo aku tengok”, kata Alan selepas kami menyaksikan bukan hanya buaya yang ditempatkan di Jong’s Crocodile Farm. Kami juga dapat melihat burung merak, beruang madu, landak, memerang, ayam serama, monyet, ikan arapaima dan juga bangau. Yang lebih menarik, kami sempat melihat sendiri buaya albino yang berwarna putih dan juga buaya tanpa ekor.
Dari Siburan kami perlu menempuh perjalanan yang agak jauh ke Santubong yang terletak di bahagian utara bandaraya Kuching. Kami menempuh kesibukan trafik di pusat bandaraya sebelum bertemu jalan ke Santubong yang agak tenang dan tidak terdapat banyak kereta. Pandangan kami juga terpaku sebaik kereta kami tiba di Jambatan Santubong dimana pemandangan di sebelah kiri kami adalah Gunung Santubong yang tinggi menjulang.
Kami tiba di Damai Beach Resort sekitar jam 5.30 petang dan terus mendaftar masuk ke bilik kami iaitu bilik berbalkoni yang berharga RM250++ semalam. Kami amat berpuas hati sebaik sahaja membuka pintu bilik kami. Dekorasinya seakan bilik mewah tetapi dengan harga yang berpatutan. Selepas meletakkan beg, kami keluar untuk bersiar-siar di tepi pantai. Landskap pantai yang putih bertentangan banjaran Gunung Santubong dengan air laut berwarna biru cukup memukau mata kami. Kami berkira-kira untuk turun ke pantai keesokan harinya memandang hari semakin gelap. Oh ya! Di Kuching matahari terbenam jam 6.30 petang!
Malamnya, kami berjalan kaki ke Damai Sentral untuk makan malam dan selepas itu kami berjalan-jalan di sekitar resort.
0 ulasan:
Post a Comment