TRAVELOG KUCHING - Bahagian II

Sunday, October 30, 2011

HARI KETIGA


Guruh yang kuat mengejutkan aku disertai hujan yang turun pada dinihari hari ketiga kami di Kuching, Sarawak. Hujan berhenti sekitar jam 6.30 pagi, membenarkan aku untuk berjalan-jalan menghirup udara segar.


Tidak sampai 10 minit hujan kembali turun. Bendera merah dinaikkan dan notis dilarang mandi di pantai sudah terpasang. Agak malang bagi kami kerana tidak berkesempatan untuk bermandi-manda di Pantai Damai.

Jam 8 pagi hujan masih turun. Kami berlari menuju ke Satang CafĂ© untuk menikmati sarapan pagi. “Makan banyak-banyak. Kalau tak sia-sia kita bayar mahal-mahal”, kata aku dan Alan yang 4 kali berulang-ali ke meja buffet untuk mengambil makanan yang berbeza-beza.

Selepas bersiap-siap kami meninggalkan Damai Beach Resort pada jam 10 pagi ketika hujan renyai masih turun. Kami seterusnya menuju ke Kampung Budaya Sarawak atau Cultural Village yang terletak hanya 1 kilometer dari resort. Selepas membayar tiket, kami memulakan pengembaraan ‘mengenali Sarawak dalam tempoh setengah hari’. Setiap seorang dari kami diberikan buku pasport yang memerlukan kami mengecop dari setiap rumah yang ada di perkampungan budaya itu.

Memandangkan kami tidak mahu terlepas peluang menyaksikan persembahan kebudayaan pada jam 11.30 pagi kami memutuskan untuk melawat beberapa rumah berdekatan. Kami melawat rumah Bidayuh dan rumah Iban sebelum menuju ke auditorium untuk menyaksikan persembahan itu.





Kami terpegun menyaksikan satu persatu tarian tradisional etnik Sarawak yang dipersembahkan. Dan aku cukup kagum dengan kelincahan penari-penari yang menarikan Tarian Alu-Alu yang mana salah seorang penarinya berpusing dengan perutnya dihujung sebatang buluh. Yang lebih menarik, tarian yang cukup lincah itu sebenarnya ditarikan ketika kematian seseorang individu dalam satu komuniti Melanau di Sarawak. Kematian seseorang seolah-olah disambut dengan penuh gembira!




Selepas menyaksikan pelbagai jenis tarian etnik utama di Sarawak, kami meneruskan untuk melihat semua rumah yang ada disitu. Jam 1 petang, kami kembali ke pintu masuk utama dengan buku pasport yang sudah penuh cop dari Rumah Iban, Rumah Bidayuh, Rumah Orang Ulu, Pondok Penan, Rumah Melanau, Rumah Melayu dan Rumah Cina.

Sebelum kembali ke pusat bandaraya, kami sempat bergambar dengan replika burung kenyalang yang menghadap pantai di Damai Sentral. Seterusnya kami makan tengahari dan kembali ke waterfront untuk membeli barangan.

Jam 4 petang, kami menaiki perahu penambang untuk menyeberang sungai. Destinasi kami adalah Kedai Kek Lapis Dayang Salhah. Kami perlu berjalan kaki kira-kira lima minit sebelum tiba di kedai kek itu. Umpama hari raya, kami dipersilakan untuk mencuba setiap jenis kek yang dijual di premis itu. Lidah kami merasa manakala mata kami melihat satu persatu gambar-gambar selebriti yang pernah sampai di kedai kek itu. Akhirnya setiap dari kami masing-masing membawa kek lapis dan kami juga membeli ikan terubok masin yang dijual digerai bersebelahan kedai itu.


Selepas itu kami berjalan-jalan di Lebuh Gambir iaitu kedai-kedai yang terletak bertentangan dengan waterfront untuk membeli cenderamata dan juga T-shirt. Pelbagai jenis t-shirt bermotifkan Sarawak boleh diperolehi dari harga RM10 hinggalah RM28 mengikut kualiti. Di hadapan kedai-kedai itu terdapat banyak penjual yang menjual gambir. Dengan loghat semenanjung mereka menarik perhatian kami. “Bang beli gambir bang. Abang boleh bertahan! Kalau sakit gigi abang boleh bertahan sakit”, kata seorang penjual gambir. Seorang lagi tanpa terselindung, “kalau abang letak benda ni kat anu, sejam abang boleh tahan”. Aku berlalu, tersenyum sambil berkata, “saya tak payah pakai benda ni. Saya dah ok”. Penjual itu juga tersenyum sambil membalas isyarat bagus.

Duit pun dah habis, maka kami pun duduk di gerai di waterfront. Sambil menunggu matahari terbenam, kami berborak-borak. Kami sebenarnya ingin melihat bangunan DUN yang dilimpahi cahaya lampu pada sebelah malam. Jam 7 malam, ketika suasana sudah gelap, bangunan DUN masih tidak bercahaya. “Kita tunggu jap. Dia tengah carik suis tu”, kata aku.

Jam 8 malam kami menuju ke lapangan terbang. Kami dapat simpulkan bahawa kami sudah melihat, merasai pengalaman dan mengamati sebahagian bandaraya Kuching dan juga mengenali serba sedikit budayanya. Kalau ada yang bertanya apa yang ada di Kuching, Sarawak, pasti kami menjawab, ada buaya, kek lapis, replika kucing, waterfront, burung kenyalang, Gunung Santubong, Pasar Serikin, ikan terubok masin, Pantai Damai, rumah Iban dan gambir Sarawak!


PANDUAN MELANCONG DI BANDARAYA KUCHING, SARAWAK





Dibawah ini adalah sedikit panduan untuk anda yang mahu melancong ke tempat-tempat menarik di Kuching, Sarawak. Mungkin dapat mengatur jadual pengembaraan dan menjimatkan bajet anda.

1. Untuk memudahkan perjalanan, anda boleh menyewa kereta dengan kadar yang berpatutan seperti Perodua Kancil sekitar RM120 sehari. Terdapat kaunter di lapangan terbang ataupun anda boleh menghubungi terlebih dahulu R.G. Car-Hire & Services Sdn Bhd di talian 082-570075 (siang) dan 0198183112 (malam) sebelum tiba di Kuching. MPV turut disediakan sekiranya anda melancong dalam kelompok yang lebih besar.

2. Untuk penginapan yang bajet, anda boleh menginap di Laila Inn (No.Tel: 082420930, 082420931) yang terletak di pusat bandaraya yang agak mudah untuk mendapat parkir kereta. Ataupun anda boleh menempah bilik di Tunes Hotel dengan harga yang murah menerusi laman web. Jika ingin menginap di resort, banyak pilihan yang terdapat di Santubong yang terletak kira-kira 35 kilometer dari pusat bandaraya. Antaranya termasuklah Damai Beach Resort, Santubong Resort & Damai Puri Spa & Resort.

3. Jika berminat untuk menelusuri Sungai Sarawak di waterfront, anda boleh menyeberang sungai dengan perahu penambang dengan tambang RM0.50 sehala, ataupun Bot Cruise dengan tambang RM19.00 ataupun menyaksikan matahari terbenam dengan River Cruise Sarawak dengan harga RM60 (termasuk makan malam dan hanya bermula jam 6 petang sahaja dan menelusuri sungai selama 2 jam).

4. Pasar Serikin hanya dibuka pada pagi hingga petang hari Sabtu dan Ahad dan sebaik-baiknya datanglah pada awal pagi untuk mengelakkan kesesakan orang ramai dan juga cuaca panas. RM2 dikenakan untuk parkir kereta. Bayaran tiket meneroka Gua Angin pula adalah RM3 seorang. RM3 pula adalah harga untuk menyewa satu lampu suluh untuk masuk ke gua itu.

5. Harga tiket untuk memasuki Jong’s Crocodile Farm adalah RM16 untuk dewasa manakala kanak-kanak dibawah 12 tahun adalah RM8. Untuk warga Sarawak harganya adalah dewasa RM10, kanak-kanak RM5. Feeding time atau masa memberi makan untuk buaya adalah jam 11 pagi dan 3 petang. Feeding time untuk ikan Arapaima Gigas (kolam bersebelahan kolam buaya) adalah jam 11.30 pagi dan 3.30 petang.

6. Bayaran tiket untuk masuk ke Kampung Budaya adalah RM60 seorang untuk dewasa, RM30 untuk kanak-kanak berusia 6 ke 12 tahun dan percuma untuk kanak-kanak di bawah umur enam tahun. Persembahan kebudayaan selama 45 minit di auditorium pula akan diadakan pada setiap hari pada jam 11.30 pagi dan juga 4.00 petang.

7. Antara tarikan lain di Kuching termasuklah menyaksikan orang utan di Semenggoh Wildlife Centre, Muzium Kuching, Muzium Kucing (Cat’s Museum), dan juga Planetarium.

8. Selamat melancong!

TRAVELOG KUCHING - Bahagian I

Saturday, October 29, 2011

Raya keenam kami sekadar cakap kosong, pertengahan September tiket Airasia sudah dibeli dan 15 Oktober 2011 kami sudah berada di Kuching, Sarawak. Bersama-sama aku adalah Alan, kawan satu universiti yang penah sama-sama mengembara di India dan juga dua rakannya, Mazwan dan Firdaus.

“Kita makan dulu ar. Aku lapar giler. Dari pagi tak makan. Orait. Kat sana ada McD!”, kata Alan. Agenda pertama kami di Sarawak adalah makan memandangkan semuanya sudah lapar dan jam menunjukkan hampir 1 petang. Waktu yang terbaik untuk mengisi perut. Kami sebenarnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa, Kuching sekitar jam 12 tengahari. Selepas menjamu selera dan mula menyesuaikan diri dengan udara Borneo, kami mula meninggalkan lapangan terbang untuk memulakan pengembaraan kami.



Sekitar jam 2 petang kami mendaftar masuk di Laila Inn, sebuah hotel bajet yang terletak di pusat bandaraya. Oleh sebab kami tidak memilih dan untuk memudahkan cerita, kami memilih bilik dengan tiga katil walaupun kami berempat. Dengan adanya kreativiti menggabungkan katil, kami pasti dapat tidur dengan selesa dengan harga semalam RM 84.00 termasuk selimut dan bantal ekstra yang dicaj RM9. Tiada masalah. Asalkan cukup selesa buat kami untuk tidur dan mandi. Itu sudah memadai.

Menunggu hujan yang semakin reda, kami bersiap-siap. Kami meneruskan perjalanan untuk bersiar-siar di Waterfront atau nama melayunya Tebingan Kuching. Pada masa ini matahari memancar cukup kuat membuatkan kami cepat berpeluh. Sasaran utama kami adalah untuk bergambar dengan replika kucing yang terletak berhampiran waterfront. Berdasarkan peta yang kami lihat di Laila Inn, terdapat 3 replika kucing utama di Bandaraya Kuching. Bagi kami, bergambar dengan salah satu replika pun sudah memadai sebagai bukti kami sudah menjejakkan kaki di Bumi Kenyalang.


Kami seterusnya bersiar-siar di sekitar waterfront. Dari hujung ke hujung sehinggalah kami duduk sebentar bergambar berlatarbelakangkan bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak sambil berbincang aktiviti kami seterusnya. Sebenarnya banyak tarikan yang terdapat di waterfront. Antaranya termasuklah menelusuri sungai dengan pakej River Cruise, Bot Cruise dan juga perahu penambang untuk menyeberang Sungai Sarawak ke Astana, Bangunan DUN dan juga penempatan-penempatan yang berdekatan.

Kami meneruskan perjalanan ke sebuah kawasan rekreasi yang dinamakan Taman Sahabat. Taman Sahabat merupakan satu tanda persahabatan yang terjalin diantara kerajaan Malaysia dan juga kerajaan China. Landskapnya saling tak tumpah macam di China. Dan pengunjung yang berkunjung di taman itu kebanyakannya orang cina yang membuatkan aku terus berkata, “Ko tak payah susah-susah nak pegi Beijing ke, Shanghai ke. Amik je gambar kat sini. Bukan orang tau pun”. Yang lain hanya tersenyum.


Secara ringkas, antara mercu tanda penting di taman ini adalah patung Laksamana Cheng Ho, pintu gerbang, bangunan dan pondok tipikal seperti di China dan sebuah kolam yang penuh dengan ikan-ikan yang besar-besar. Teruja betul kami melihat pengunjung memberi ikan-ikan itu makan.







Malam, kami ke The Spring, antara pasaraya yang terkenal di Kuching untuk menjamu selera dan kami berpakat untuk ke tingkat yang paling atas untuk menguji vokal masing-masing sehinggalah larut malam.

HARI KEDUA


Jika hari pertama kami di Kuching aktiviti kami agak santai, hari kedua pula kami penuhi dengan jadual aktiviti yang agak padat. Pagi-pagi lagi kami sudah bangun. Misi kami untuk ke Pasar Serikin, sebuah pasar minggu yang terletak di Bau, 4 kilometer dari sempadan Malaysia-Indonesia (Kalimantan) dan kira-kira lebih 50 kilometer dari pusat bandaraya.



Sebelum ke Pasar Serikin, kami sempat mengisi perut di Restoran Satay Ceko yang menghidangkan satay sebagai sajian utama. “Kita makan satay pagi-pagi ni untuk energy sampai petang”, kata aku pada yang lain. Kemudian, kami menyambung perjalanan ke Pasar Serikin.


Sekitar jam 10 pagi, kami tiba di Pasar Serikin. Pasar Serikin cukup meriah dengan pengunjung yang sudah mula memenuhi kawasan itu sejak awal pagi. Terutamanya pengunjung dari semenanjung. Istimewanya pasar ini adalah ianya hanya dibuka pada hujung minggu sahaja iaitu pagi ke petang hari Sabtu dan Ahad. Dan gerai-gerai di pasar ini kebanyakannya adalah milik orang Indonesia yang diberi kebenaran untuk berniaga sama ada barangan tempatan dari Sarawak ataupun dari Indonesia.



“Kawan aku cakap, kita kena tawar harga serendah mungkin. Lepas tu buat-buat ar merajuk. Confirm dapat harga lagi murah punye”, kata aku ketika kami mula-mula keluar dari pintu kereta. Antara barangan yang banyak dijual di Pasar Serikin termasuklah barangan kraftangan Sarawak seperti tikar, kerusi buluh, pelbagai jenis telekung, kain batik, kain ela, barangan cenderamata, t-shirt dan macam-macam lagi.



Cuaca yang sangat panas tidak menghalang kami untuk membeli-belah. Aku awal-awal lagi sudah menyenaraikan apa yang patut dibeli. Jam 12 tengahari kami meninggalkan Pasar Serikin dengan beg plastik yang berisi sandal, kain batik dan macam-macam lagi barangan.


Alang-alang di Bau, kami tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi dua gua yang agak terkenal di kawasan ini. Gua yang yang dimaksudkan adalah Gua Pari-Pari (Fairy Cave) dan Gua Angin (Wind Cave). Kereta kami membelok ke kanan untuk ke Gua Pari-Pari. “Aku rasa Kilafairy tengah tunggu kita kat sana”, kata aku merujuk kepada nama gua itu yang aku baca pada papan tanda ketika kami semakin hampir ke destinasi.


Setibanya di sana kami dapati terdapat satu kumpulan yang sedang menjalankan aktiviti seumpama team building di muka gua itu. Kami hanya mengambil gambar dan kemudian berlalu meninggalkan gua itu untuk menuju ke satu lagi gua iaitu Gua Angin.

Sememangnya kami tidak bersendirian kerana terdapat ramai pengunjung yang sedang membeli tiket di kaunter tiket untuk masuk ke dalam gua itu. Selepas membeli tiket dan menyewa dua buah lampu suluh, kami mula memasuki pintu gua. Menurut renjer gua yang kami temui di kaunter tiket, perjalanan keseluruhan untuk meneroka keseluruhan gua hanya mengambil masa 30 minit.


Hati tertanya-tanya bagaimana gua ini mendapat nama. Selepas 5 minit kami berjalan di dalam kegelapan dan hanya diterangi cahaya lampu suluh, kami ternampak cahaya dan juga angin seperti dari kipas angin mula menerpa tubuh kami. Barulah kami faham, terdapat lubang-lubang semulajadi yang membenarkan udara atau angin masuk kedalam gua yang cukup membuatkan kami setuju dengan gelaran bagi gua ini iaitu Gua Angin.

Struktur gua ini adalah struktur tipikal bagi sebuah gua batu kapur yang mempunyai struktur stalaktit, stalagmit dan juga column serta imej dimensi pelbagai rupa. Satu kelainan yang terdapat di gua ini adalah struktur yang menyerupai seperti tirai atau langsir yang menutup sebahagian terowong laluan gua. Kami juga dapat menyaksikan kelawar yang bergayutan dan juga burung layang-layang yang sekali-sekala keluar masuk pintu gua dan adakalanya hampir terlanggar muka kami.

Selepas 40 minit meneroka gua, kami berlari-lari anak menuju ke kereta ketika hujan mulai turun. Kami seterusnya menuju kembali ke jalan utama Kuching-Serian untuk makan tengahari di Restoran Serapi Corner. Hidung kami masing tercium dengan bau tahi kelawar yang masih melekat di bawah telapak sandal yang kami pakai.

Sesudah makan tengahari kami menuju ke Jong’s Crocodile Farm yang terletak di Siburan, kira-kira 13 kilometer dari kawasan Restoran Serapi Corner. Kami tiba di taman itu 10 minit sebelum jam 3 petang iaitu masa untuk pengunjung menyaksikan buaya-buaya diberi makan. Ketika di kaunter aku agak terkejut. Tiket yang dikenakan adalah RM16. “Aku berani kerat jari. Aku tengok kat internet ari tu tiket RM8 je”, kata aku meyakinkan yang lain. Kata sepakat dicapai, kami membeli 4 tiket yang berharga total RM64 untuk menyaksikan suku sakat Bujang Senang yang cukup terkenal di sungai-sungai utama di Sarawak.


Suara rakaman seorang amoi menerusi speaker yang berbunyi lebih kurang “Tuan-tuan dan puan-puan. Acara feeding time akan bermula sebentar lagi” menyebabkan kami melebarkan langkah untuk menuju ke kolam yang terletak di hujung taman. Semua pengunjung sudah bersedia untuk menyaksikan aksi buaya-buaya diberi makan. Di dalam kolam itu dianggarkan terdapat puluhan ekor buaya yang sedang menunggu untuk diberikan makanan. Daging ayam digantung dan sebuah tin ditalu untuk memanggil sang bedal melahap makanan yang disediakan.


Kami sendiri teruja dapat melihat bagaimana seekor buaya melompat untuk mendapatkan daging ayam yang tergantung. Ada banyak buaya yang hanya mengangakan mulut dan duduk berhampiran pondok tempat renjer taman itu meletakkan makanan dan hanya menunggu makanan dilemparkan pada mereka.


Selepas hampir 20 minit, kami meninggalkan kolam itu untuk bersiar-siar di dalam taman itu. “Ini bukan taman buaya ni. Dah macam zoo aku tengok”, kata Alan selepas kami menyaksikan bukan hanya buaya yang ditempatkan di Jong’s Crocodile Farm. Kami juga dapat melihat burung merak, beruang madu, landak, memerang, ayam serama, monyet, ikan arapaima dan juga bangau. Yang lebih menarik, kami sempat melihat sendiri buaya albino yang berwarna putih dan juga buaya tanpa ekor.

Dari Siburan kami perlu menempuh perjalanan yang agak jauh ke Santubong yang terletak di bahagian utara bandaraya Kuching. Kami menempuh kesibukan trafik di pusat bandaraya sebelum bertemu jalan ke Santubong yang agak tenang dan tidak terdapat banyak kereta. Pandangan kami juga terpaku sebaik kereta kami tiba di Jambatan Santubong dimana pemandangan di sebelah kiri kami adalah Gunung Santubong yang tinggi menjulang.



Kami tiba di Damai Beach Resort sekitar jam 5.30 petang dan terus mendaftar masuk ke bilik kami iaitu bilik berbalkoni yang berharga RM250++ semalam. Kami amat berpuas hati sebaik sahaja membuka pintu bilik kami. Dekorasinya seakan bilik mewah tetapi dengan harga yang berpatutan. Selepas meletakkan beg, kami keluar untuk bersiar-siar di tepi pantai. Landskap pantai yang putih bertentangan banjaran Gunung Santubong dengan air laut berwarna biru cukup memukau mata kami. Kami berkira-kira untuk turun ke pantai keesokan harinya memandang hari semakin gelap. Oh ya! Di Kuching matahari terbenam jam 6.30 petang!

Malamnya, kami berjalan kaki ke Damai Sentral untuk makan malam dan selepas itu kami berjalan-jalan di sekitar resort.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...