BERAKIT ARUS DERAS SUNGAI KAMPAR

Wednesday, November 21, 2012



Perancangan ke Taman Melawati tidak membawa kami ke Bukit Tabur, sebaliknya kami memilih aktiviti yang cukup berbeza dan tidak pernah kami lakukan selama ini. Perancangan dalam masa yang singkat membawa kami ke Gopeng, Perak dimana terdapat sebatang sungai yang menanti kami dan menawarkan satu aktiviti lasak yang menjanjikan pengalaman yang mendebarkan.

Aku, Azrul dan dua orang rakan sekerjanya iaitu Sufi dan Suriani akhirnya tiba sebelum jam 9 pagi pada 30 Mei 2012 di My Gopeng Resort yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan dari Pekan Gopeng selepas melewati kawasan-kawasan kampung dan juga sebuah ladang pokok gaharu.


Selepas mendaftarkan nama, kami diberi taklimat ringkas oleh Encik Usop yang merupakan guide program kami pada pagi itu. Selain kami, sebuah keluarga cina dari Singapura turut sama mendengar taklimat yang diberikan.

Taklimat yang diberikan dalam bahasa inggeris itu cukup menggerunkan kami. Apa tidaknya, Encik Usop menerangkan semua jenis kemalangan yang boleh berlaku dalam aktiviti lasak ini. Berderau darah kami dibuatnya. Tambah-tambah, ini merupakan kali pertama kami mahu mencuba aktiviti berakit arus deras.


“Saya hilang gigi ni pun sebab terkena paddle”, kata Encik Usop sambil menunjukkan barisan giginya yang tidak sempurna. Taklimat yang diberikan cukup ringkas tetapi padat. Selesai taklimat kami ‘didenda’ mengusung bot rakit yang agak berat ke tebing sungai. Setibanya di tebing sungai kami ‘didenda’ lagi. Kali ini seorang demi seorang diwajibkan mengapungkan diri dibawa arus sungai dan kemudian menyambut tali yang dilemparkan dari tebing sungai. “Ini bukan bentuk hukuman ye. Ini untuk memberi keyakinan anda semua di dalam air”, kata Encik Usop selepas semuanya ‘selamat’ ke tebing sungai.


Selain kami, terdapat beberapa kumpulan yang lain yang turut sama melakukan aktiviti berakit arus deras pada hari itu. Turut kelihatan adalah sepasukan ahli bomba yang sedang menjalani kursus menyelamat di sungai itu.



Sekitar jam 10 pagi kami memulakan perjalanan menguji arus Sungai Kampar. Arus yang mengalir membawa bot kami tanpa perlu didayung. Aku, Az, Sufi dan Suriani dalam satu bot yang sama dan diketuai oleh Ambrone, pengemudi rakit yang berasal dari Sabah. “Saya sebelum ini pernah berakit di Sungai Padas dan Sungai Kiulu”, kata Ambrone yang sudah tiga tahun bekerja di My Gopeng Resort.
 

Kami juga sekali lagi diingatkan dengan arahan-arahan dan juga membuat latihan ringkas. Arus terus membawa kami dan Ambrone segera memberi arahan ‘dayung!’. Bot kami semakin laju, kami mula membiasakan diri dengan mendayung dan juga fokus kepada arahan. Adakalanya bot kami tersekat pada batu. Ambrone segera memberi arahan ‘jump-jump!’. ‘Jump-jump’ bermaksud kami perlu membuat lompatan kecil dalam bot supaya bot melantun dan melepasi batu yang menyekat dasar bot. 

 

Apabila bot kami berdepan jatuhan jeram, Ambrone memberi arahan ‘pull the line’ ataupun ‘boom-boom’ yang bermaksud kami perlu memegang tali di bot, duduk ke dalam ruang bot dan pemegang paddle diturunkan ke dalam bot. Kami ketawa apabila sering keliru dengan arahan tambahan pula deruan air cukup membingitkan membuatkan kami adakalanya tidak mendengar arahan yang diberikan.

 
 

“Depan nanti kita akan jumpa double decker. Ini jatuhan paling tinggi kat Sungai Kampar”, kata Ambrone pada kami ketika berhenti seketika di tebing sungai. Pak Usop dan Ambrone kemudiannya berbincang. Dan kemudian bot kami bergerak dahulu. “Boom-boom!”, jerit Ambrone. Kami segera mengikut arahan. Alhamdulillah kami dapat menuruni jatuhan jeram dengan begitu baik sekali walaupun paddle Suriani menghentak kuat pada kepala Azrul.

Agak malang bagi keluarga cina apabila salah seorang daripada mereka tercampak keluar dari bot ketika menuruni double decker. Namun Ambrone dengan pantas menarik lelaki cina itu naik ke bot kami. “I’m okey!”, kata lelaki itu walaupun dibawa arus deras beberapa meter.
 
 

“Okey, jeram yang depan ni kita panggil ‘what happen’, jelas Ambrone. “Apesal ‘what happen’?, tanya kami terpinga-pinga. Ambrone tidak menjawab sebaliknya membiarkan bot kami menuruni jatuhan jeram umpama roller-coaster. Kemudian serta merta Ambrone menjawab “Sebab ‘happening’! Sebab tu nama dia ‘what happen’.

Bot kami teroleng-oleng lagi. Sekali-sekala kami mendayung untuk membetulkan haluan. Sampai ditempat yang agak tenang Ambrone meminta izin kami untuk menterbalikkan bot. “Waterrafting ni kalo takde capsize tak fun”, kata Ambrone. Kami pun semuanya berkumpul disebelah kanan bot. Bot pun terbalik. Kami pun tercampak dan segera keluar dari bot yang sudah terbalik.

 
 

Selepas hampir sejam kami akhirnya sampai di sebuah tempat yang mempunyai aliran air yang agak tenang dan sering menjadi tempat buat peserta waterrafting untk berehat sebelum meneruskan perjalanan. Bot diikat di tebing sungai. Disini kami berehat dan makan sambil mengambil gambar.


Seterusnya kami menyusuri Sungai Kampar untuk meneruskan ekspedisi yang berbaki kira-kira sejam lagi. Segalanya berjalan dengan lancar sehinggalah bot kami terlanggar batu dan menyebabkan bot kami terbalik. Kali ini bukan main-main. Betul-betul terbalik! Mujur pengalaman bot terbalik sebelum ini membuatkan kami tidak panik dan bertindak dengan pantas dan betul. Namun tudung Suriani tertanggal manakala sebelah kasutnya hilang. Paddle yang aku gunakan juga sudah terlepas dari tangan dan dibawa arus sungai.

 
 
 
 

Kasut getah Suriani Berjaya ditemui. Begitu juga dengan paddle. Kami kemudiannya menghampiri jeti kecil tempat bot-bot dinaikkan ke darat. Perasaan gembira masih terasa dan perasaan takut sebelum ini berganti perasaan yang menyeronokkan. Sebuah lori kecil menanti kami untuk kembali ke resort membawa bersama bot yang kami gunakan.
 
 

Selepas mandi dan bersiap-siap, kami menikmati hidangan makan tengahari yang telah disediakan. Cerita setiap detik berakit di arus deras Sungai Kampar masih meniti di bibir kami. Dua jam berakit melepasi lebih 15 jatuhan jeram di sepanjang lebih 10 kilometer bagaikan tidak cukup buat kami. “Lepas ni aku nak bawak member lain. Kalo dapat 10 orang aku dapat free”, kata Azrul. “Lepas ni boleh try pulak kat Kuala Kubu Baru”, sambung aku. Ketika kami mula meninggalkan resort ceritanya masih berkisar kisah yang serupa - berakit arus deras di Sungai Kampar. Yang pasti pengalaman pertama kali yang mengujakan pasti membawa kepada pengalaman yang kedua suatu hari nanti.

 VIDEO BERAKIT ARUS DERAS SUNGAI KAMPAR

video


PANDUAN & TIP 

- Kasut yang paling sesuai untuk berakit arus deras adalah sandal bertali yang boleh mengikat kaki anda.
- Kamera tidak dibenarkan dibawa sebaliknya anda boleh mengupah guide tambahan untuk mengambil gambar anda semasa aktiviti.
- Tanggalkan semua aksesori seperti jam, rantai, gelang dan cincin dan tinggalkan didalam kereta sebelum turun ke dalam sungai.
- Guide akan memberi maklumat yang lengkap sebelum anda memulakan aktiviti. Selamat berakit!

2 ulasan:

matahari sang pemimpi said...

aku sgt jealous tgk video korg!! benciiiii!! haha..masa baca entry pun hati berdebar2 n cemas masa korg terbalik kali ke2n part yg ada double decker n ala2 roller coaster..lenkali aku nk join sume aktiviti Klavikel Kat Adv.Team sbb pasni aku x perlu apply cuti, provided aku xde important appointments masa tu..XOXO..B

sagahayat said...

best giler..boleh try nnti..kitorg sume pun 1st time..wpun lasak dijamin keselamatan..kalo kitorg ade plan waterrafting nti kitorg ajak la ko...xoxo...publish!

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...