Ada perkara yang kadang-kadang kita tidak sanggup untuk lihat, dengar dan alaminya sendiri. Baca kisah-kisah benar berikut, bukan untuk mengaibkan, tetapi hanya untuk berkongsi pengalaman.
1. KESAKITAN DALAM KEMESRAAN – Semasa itu aku dan seorang kawan sedang berjalan kaki menuju ke kuliah. Kami baru saja melepasi pintu utama kolej kediaman kami. Sambil itu kami berborak-borak menghala ke jalan utama. Tiba-tiba kawan aku ternampak seorang makcik dewan makan kolej kami sedang membuang sampah. Dia melambai-lambai tangannya pada makcik itu. Makcik tadi menyambut lambaian itu dengan senyuman. Tak semena-mena kepala kawan aku terhantuk dengan kuatnya pada tiang lampu di hadapannya. Aku menahan gelak sambil dua orang gadis dibelakang kami ketawa kecil. Kemesraan dibalas kesakitan.
2. NASI LEMAK ISTIMEWA - Bangun tidur pada hujung minggu kemudian bersarapan nasi lemak Che Lah, nasi lemak tersedap di tempat aku memang perkara yang paling best. Suatu hujung minggu, ketika aku darjah enam, aku bangun pagi ketika dua jam lagi waktu menjengah tengahari. Lepas mandi aku ke meja makan untuk bersarapan. Di atas meja terhidang air teh O bancuhan emak dan sebungkus nasi lemak memang khas untuk aku. Aku kemudian dengan keterujaan seperti biasa membuka bungkusan nasi lemak itu. Rupanya bukan nasi lemak! Ikan bilis yang dibungkus dengan kertas surat khabar! Kurang ajar abang aku. Dia mengenakan aku rupanya. Dari dapur, mak aku bersuara. “Mana ada nasi lemak. Dah abis. Tu la bangun lambat sangat. Makan tengahari je kejap lagi”. Di depan tv, dua orang abang aku sedang tergelak terkekeh-kekeh.
3. GETARAN SUARA TELEFON - Ada musim ketika di zaman universiti adalah musim menonton filem. Hampir setiap malam kami berkumpul di sebuah bilik di tingkat 4 Blok E untuk menonton filem beramai-ramai. Suatu malam, kami seperti biasa berkumpul selepas membeli CD filem terbaru di pasar malam. Tiba-tiba telefon Nokia 3310 milikku yang diletakkan diatas meja dan di‘silent’kan bergetar. Getaran telefon bimbit Nokia 3310 yang tebal dan berat sememangnya agak kuat. Aku segera mendapatkan telefon itu untuk membaca SMS. Tetapi tiada satu SMS pun yang aku terima. Kemudian aku terdengar bunyi getaran lagi ketika telefon dalam genggamanku. Rupa-rupanya ianya adalah bunyi seakan mendengus atau bunyi melegakan kerongkong dari mulut kawanku. Dia mempunyai suara yang sangat besar dan bersifat bass hampir serupa bunyi getaran telefon.
4. SELERA YANG HILANG - Waktu rehat adalah waktu yang ditunggu-tunggu selepas 3 jam duduk belajar didalam kelas Tingkatan 2 Muslim. Oleh sebab kami masih pelajar junior, aku bersama kawan-kawan berbaris dikantin untuk membeli makanan berbanding senior yang mendapat ‘keutamaan’ untuk mendapatkan makanan. Kami memilih tempat biasa untuk menikmati makanan. Sedang enak menjamu selera, kawan yang duduk disebelahku terbersin sekali gus menghamburkan hingus berjurainya tepat diatas makanannya. Kami serta-merta meninggalkannya yang masih kelam kabut mengesat sisa hingus hijau dan segar berlendir di hidungnya.
5. AMARAH CIKGU LIAS – Suatu malam di kampus, aku dan kawanku bercadang untuk bermalam di bilik seorang kawan. Kami makan, menonton filem dan berbual-bual sebelum tidur. Tiba-tiba rakan sebilik kawanku itu balik ke biliknya. Dia adalah Cikgu Lias yang sepanjang kami kenalinya tidak suka berbual, bersikap dingin dan susah untuk tersenyum. Cikgu Lias yang berbadan sasa dan berasal dari Borneo itu kemudiannya memakai tuala dan menuju ke bilik air. Kami mengambil kesempatan itu membersihkan bilik dan membetulkan cadar katilnya. Keesokan paginya, kami lihat baki setengah air tin yang kami minum semalam tertumpah diatas lantai tetapi telah dilap dengan sehelai kain oleh Cikgu Lias. Sehelai kain itu adalah baju milik kawanku yang menanggalkan bajunya ketika tidur pada malam itu!
6. DEMI CINCIN TUNANG - Sebulan lagi kawan aku seorang ni nak melangsungkan majlis pertunangannya. Dah nama pun perempuan, dia memang sibuk membuat persiapan untuk majlis itu. Untuk itu dia mencari ring sizer melalui internet untuk mengukur saiz jarinya sebagai panduan untuk bakal tunangnya memilih cincin memandangkan mereka masing-masing duduk berjauhan. Dia kemudian mencetak ring sizer yang mempunyai senggatan-senggatan ukuran, menguntingnya dan memadankan dengan jarinya. Tetapi ukuran saiz 10 untuk jarinya terlalu besar. Rupa-rupanya ring sizer itu bukan untuk jari tetapi untuk anu lelaki!
7. TUMPAHAN KUAH KARI PEKAT – Ketika itu aku masih dalam darjah 4 dan cuti sekolah baru bermula. Aku menghabiskan masa pada waktu pagi dengan menonton pelbagai kartun dan rancangan Alam Ria Cuti Sekolah di TV3. Sambil itu aku makan roti canai berkuah kari yang dibeli bapaku. Tiba-tiba aku ternampak beberapa tompok kuah kari di atas lantai. Selepas habis makan, aku mengambil sehelai kain untuk mengelap kuah kari yang tumpah tadi. Tapi emak melarang. “Jangan lap. Tu bukan kuah kari. Adik kau tercirit. Mak baru basuh”. Aku mual mahu termuntah. Patutlah adik aku yang berumur 4 tahun berlari ke bilik air. Tapi memang betul-betul macam kuah kari!
0 ulasan:
Post a Comment