Jam 8 pagi hujan masih turun. Kami berlari menuju ke Satang CafĂ© untuk menikmati sarapan pagi. “Makan banyak-banyak. Kalau tak sia-sia kita bayar mahal-mahal”, kata aku dan Alan yang 4 kali berulang-ali ke meja buffet untuk mengambil makanan yang berbeza-beza.
Selepas bersiap-siap kami meninggalkan Damai Beach Resort pada jam 10 pagi ketika hujan renyai masih turun. Kami seterusnya menuju ke Kampung Budaya Sarawak atau Cultural Village yang terletak hanya 1 kilometer dari resort. Selepas membayar tiket, kami memulakan pengembaraan ‘mengenali Sarawak dalam tempoh setengah hari’. Setiap seorang dari kami diberikan buku pasport yang memerlukan kami mengecop dari setiap rumah yang ada di perkampungan budaya itu.
Memandangkan kami tidak mahu terlepas peluang menyaksikan persembahan kebudayaan pada jam 11.30 pagi kami memutuskan untuk melawat beberapa rumah berdekatan. Kami melawat rumah Bidayuh dan rumah Iban sebelum menuju ke auditorium untuk menyaksikan persembahan itu.
Kami terpegun menyaksikan satu persatu tarian tradisional etnik Sarawak yang dipersembahkan. Dan aku cukup kagum dengan kelincahan penari-penari yang menarikan Tarian Alu-Alu yang mana salah seorang penarinya berpusing dengan perutnya dihujung sebatang buluh. Yang lebih menarik, tarian yang cukup lincah itu sebenarnya ditarikan ketika kematian seseorang individu dalam satu komuniti Melanau di Sarawak. Kematian seseorang seolah-olah disambut dengan penuh gembira!
Selepas menyaksikan pelbagai jenis tarian etnik utama di Sarawak, kami meneruskan untuk melihat semua rumah yang ada disitu. Jam 1 petang, kami kembali ke pintu masuk utama dengan buku pasport yang sudah penuh cop dari Rumah Iban, Rumah Bidayuh, Rumah Orang Ulu, Pondok Penan, Rumah Melanau, Rumah Melayu dan Rumah Cina.
Sebelum kembali ke pusat bandaraya, kami sempat bergambar dengan replika burung kenyalang yang menghadap pantai di Damai Sentral. Seterusnya kami makan tengahari dan kembali ke waterfront untuk membeli barangan.
Jam 4 petang, kami menaiki perahu penambang untuk menyeberang sungai. Destinasi kami adalah Kedai Kek Lapis Dayang Salhah. Kami perlu berjalan kaki kira-kira lima minit sebelum tiba di kedai kek itu. Umpama hari raya, kami dipersilakan untuk mencuba setiap jenis kek yang dijual di premis itu. Lidah kami merasa manakala mata kami melihat satu persatu gambar-gambar selebriti yang pernah sampai di kedai kek itu. Akhirnya setiap dari kami masing-masing membawa kek lapis dan kami juga membeli ikan terubok masin yang dijual digerai bersebelahan kedai itu.
Selepas itu kami berjalan-jalan di Lebuh Gambir iaitu kedai-kedai yang terletak bertentangan dengan waterfront untuk membeli cenderamata dan juga T-shirt. Pelbagai jenis t-shirt bermotifkan Sarawak boleh diperolehi dari harga RM10 hinggalah RM28 mengikut kualiti. Di hadapan kedai-kedai itu terdapat banyak penjual yang menjual gambir. Dengan loghat semenanjung mereka menarik perhatian kami. “Bang beli gambir bang. Abang boleh bertahan! Kalau sakit gigi abang boleh bertahan sakit”, kata seorang penjual gambir. Seorang lagi tanpa terselindung, “kalau abang letak benda ni kat anu, sejam abang boleh tahan”. Aku berlalu, tersenyum sambil berkata, “saya tak payah pakai benda ni. Saya dah ok”. Penjual itu juga tersenyum sambil membalas isyarat bagus.
Duit pun dah habis, maka kami pun duduk di gerai di waterfront. Sambil menunggu matahari terbenam, kami berborak-borak. Kami sebenarnya ingin melihat bangunan DUN yang dilimpahi cahaya lampu pada sebelah malam. Jam 7 malam, ketika suasana sudah gelap, bangunan DUN masih tidak bercahaya. “Kita tunggu jap. Dia tengah carik suis tu”, kata aku.
Jam 8 malam kami menuju ke lapangan terbang. Kami dapat simpulkan bahawa kami sudah melihat, merasai pengalaman dan mengamati sebahagian bandaraya Kuching dan juga mengenali serba sedikit budayanya. Kalau ada yang bertanya apa yang ada di Kuching, Sarawak, pasti kami menjawab, ada buaya, kek lapis, replika kucing, waterfront, burung kenyalang, Gunung Santubong, Pasar Serikin, ikan terubok masin, Pantai Damai, rumah Iban dan gambir Sarawak!
PANDUAN MELANCONG DI BANDARAYA KUCHING, SARAWAK
Dibawah ini adalah sedikit panduan untuk anda yang mahu melancong ke tempat-tempat menarik di Kuching, Sarawak. Mungkin dapat mengatur jadual pengembaraan dan menjimatkan bajet anda.
1. Untuk memudahkan perjalanan, anda boleh menyewa kereta dengan kadar yang berpatutan seperti Perodua Kancil sekitar RM120 sehari. Terdapat kaunter di lapangan terbang ataupun anda boleh menghubungi terlebih dahulu R.G. Car-Hire & Services Sdn Bhd di talian 082-570075 (siang) dan 0198183112 (malam) sebelum tiba di Kuching. MPV turut disediakan sekiranya anda melancong dalam kelompok yang lebih besar.
2. Untuk penginapan yang bajet, anda boleh menginap di Laila Inn (No.Tel: 082420930, 082420931) yang terletak di pusat bandaraya yang agak mudah untuk mendapat parkir kereta. Ataupun anda boleh menempah bilik di Tunes Hotel dengan harga yang murah menerusi laman web. Jika ingin menginap di resort, banyak pilihan yang terdapat di Santubong yang terletak kira-kira 35 kilometer dari pusat bandaraya. Antaranya termasuklah Damai Beach Resort, Santubong Resort & Damai Puri Spa & Resort.
3. Jika berminat untuk menelusuri Sungai Sarawak di waterfront, anda boleh menyeberang sungai dengan perahu penambang dengan tambang RM0.50 sehala, ataupun Bot Cruise dengan tambang RM19.00 ataupun menyaksikan matahari terbenam dengan River Cruise Sarawak dengan harga RM60 (termasuk makan malam dan hanya bermula jam 6 petang sahaja dan menelusuri sungai selama 2 jam).
4. Pasar Serikin hanya dibuka pada pagi hingga petang hari Sabtu dan Ahad dan sebaik-baiknya datanglah pada awal pagi untuk mengelakkan kesesakan orang ramai dan juga cuaca panas. RM2 dikenakan untuk parkir kereta. Bayaran tiket meneroka Gua Angin pula adalah RM3 seorang. RM3 pula adalah harga untuk menyewa satu lampu suluh untuk masuk ke gua itu.
5. Harga tiket untuk memasuki Jong’s Crocodile Farm adalah RM16 untuk dewasa manakala kanak-kanak dibawah 12 tahun adalah RM8. Untuk warga Sarawak harganya adalah dewasa RM10, kanak-kanak RM5. Feeding time atau masa memberi makan untuk buaya adalah jam 11 pagi dan 3 petang. Feeding time untuk ikan Arapaima Gigas (kolam bersebelahan kolam buaya) adalah jam 11.30 pagi dan 3.30 petang.
6. Bayaran tiket untuk masuk ke Kampung Budaya adalah RM60 seorang untuk dewasa, RM30 untuk kanak-kanak berusia 6 ke 12 tahun dan percuma untuk kanak-kanak di bawah umur enam tahun. Persembahan kebudayaan selama 45 minit di auditorium pula akan diadakan pada setiap hari pada jam 11.30 pagi dan juga 4.00 petang.
7. Antara tarikan lain di Kuching termasuklah menyaksikan orang utan di Semenggoh Wildlife Centre, Muzium Kuching, Muzium Kucing (Cat’s Museum), dan juga Planetarium.
8. Selamat melancong!
2 ulasan:
Thanks for the ideas :)
Thanks for the ideas :)
Post a Comment