MERENTAS SEMPADAN BANJARAN TITIWANGSA

Sunday, November 27, 2011

Jam 9.00 pagi, 21 November 2011, kereta Myvi putih milik Bee yang diberi nama Edward memasuki perkarangan Masjid Kampung Raja, Cameron Highlands. Salam dihulurkan pada Azrul, sahabat sependakian dan rakannya Sainol yang pertama kali menyertai ekpedisi dan kata-kata aluannya di awal perkenalan kami adalah “Sori geng. Aku tak berapa sihat ni”. Abang Pojie yang akan membawa kami ke tempat permulaan pendakian juga sudah menanti bersama-sama dengan sarapan pagi dan juga nasi bungkus untuk makan tengahari.

Kabus, hujan halus dan angin yang menerpa tubuh kami cukup mendinginkan tetapi berlawanan dengan semangat kami yang cukup membara untuk menjayakan ekspedisi pada kali ini. Kali ini kami berenam iaitu aku, Az, Che Yop, Sainol, Bee dan Sha. Kenderaan pacuan empat roda yang tertera perkataan POLIS membawa kami ke laluan tidak bertar, bercerun, bertakung dengan air dan gambaran termudahnya adalah seperti laluan ekstrem sukan permotoran four wheels drive (4WD).


“Adus, sakit bontot!”, “Woo..ngeri giler!” Itu adalah antara ayat yang keluar dari mulut kami. Aku juga menambah. “Aku takut nasi lemak yang aku makan tadi keluar ikut dalam bentuk asal, bersama tiga hirisan timun, ikan bilis dan telur mata kerbau”. Tawa bersahutan. Perjalanan kami mengambil masa sekitar 40 minit. Kami terus terhuyung-hayang dalam perjalanan yang cukup mendebarkan tetapi cukup mengujakan kami.



11.00 pagi kami memulakan pendakian. Doa kami panjatkan agar perjalanan kami merentas laluan ke destinasi dipermudahkan dan dilindungi daripada malapetaka. Lima minit kami berjalan, kami mula bertemu dengan salur-salur PVC yang cukup licin apabila dipijak. Aksi terjatuh merupakan aksi wajib untuk semua. Begitu juga dengan aksi kaki terbenam ke paras lutut apabila terpijak tanah yang kelihatan keras tetapi rupanya lumpur yang lembik dan bertakung dengan air.



Rentak kami hampir serupa sehinggalah jam 12.30 tengahari apabila kami bertemu dengan air terjun yang agak sukar untuk kami daki. Menurut data pada GPS, jarak kami ke sempadan negeri Kelantan-Pahang hanyalah kira-kira 300 meter. Ketika ini kami agak buntu. Laluan dihadapan kami agak sukar ditambah lagi dengan hujan yang kembali turun. Setelah beberapa ketika kami memutuskan untuk melalui sebuah air terjun kecil dan mula menyusuri ke hulu anak sungai itu.


Dalam kesejukan, kami berhenti untuk makan tengahari. Selepas mengisi perut kami mula merentas laluan yang tidak pernah dilalui oleh mana-mana pendaki sebelum ini. Ini bermakna kamilah perintis yang membuka laluan ini dengan berpandukan GPS. Hujan sebenarnya menyebabkan tanah lembab dan licin. Ketika kami berhadapan dengan laluan bercerun, hanya tiga orang yang berjaya melepasinya.


Aku cuba membantu. “Ko sendengkan badan Bee!”. “Sendeng tu ape?” tanya Bee terpinga-pinga. Che Yop cuba menerangkan dengan istilah inggeris. “Ko parallelkan badan ko”. Aku menambah lagi, “Ko kene bersatu dengan bumi”. Bee terus mencuba tetapi trek yang licin menyebabkan dia tergelincir dan dia terus bergelumang dengan lumpur bagaikan pisang yang disaluti tepung dan hanya menunggu masa untuk digoreng. Kemudian, Sainol mencuba. Tali yang diikat pada batang pokok tiba-tiba terputus dan dia menggelongsor dan terus meratakan tanah cerun trek. Ketika itulah kami terfikir bagaimana Tanah Rata di Cameron Highlands mendapat nama.


Sya terus memberi semangat pada Bee dan yang lain-lain untuk terus mencuba. “Cuba lagi Bee”, kata Sya. Bee menjawab sinikal. “Sya, Sya ni akak guider yang selfish!”. Gurau senda masih berterusan walaupun masing-masing agak keletihan dan badan terpalit dengan lumpur. Aku masih memikirkan cara lain untuk mereka mendaki. Azrul berada 50 meter dari kami membuka trek baru ke sempadan. 35 minit berlalu, seorang demi seorang ditarik naik ke atas. Beg terlebih dahulu dihulurkan. 45 minit. Itulah tempoh yang diambil untuk melepasi halangan itu yang berkecerunan melebihi 45 darjah. Dan kami kemudiannya berpakat menamakan cerun itu sebagai Lereng 45.


Pendakian kami diteruskan. Kali ini kami diuji dengan dugaan yang berbeza. Tali beg sandang milik Bee terputus menyebabkan dia terpaksa memeluk beg itu sepanjang pendakian. Kasihan melihatnya, aku bertukar beg dengan Bee. Tapi ada sesuatu yang merimaskan aku selain tangan aku calar-balar kerana sukar untuk menepis pohon berduri yang merintangi trek. Bee terus menerus melihat aku dengan wajah rasa bersalah. “Aku rasa bersalah dowh”, jawab Bee bila aku bertanya.


Jam 6 petang, kami bertemu dengan denai yang sangat jelas. Bacaan GPS kami betul-betul berada di atas sempadan Kelantan-Pahang. Kami berjalan di atas denai itu dan hati cukup gembira apabila kami terlihat batu sempadan. Kami kemudiannya berpakat untuk bermalam di kawasan yang agak lapang di atas trek. Hujan mula turun ketika kami mula memasang khemah sehingga ke lewat malam.


Jam 12.30 malam, ketika kami sedang lena, tiba-tiba zip kami dibuka. Seorang gadis kecil molek sedang membuka zip. Gadis yang dimaksudkan adalah Sya yang membuka zip khemah kami. Aku yang sedang tidur-tidur ayam tersentak. Sebenarnya Sya dan Bee ingin memberitahu khemah dan sleeping bag mereka sudah lencun. Tetapi caranya cukup mengejutkan. “Kenapa tak panggil dulu?”, tanya aku. “Kitorang dah mesej. Bee cakap tak boleh panggil nama orang. Bila Sya tanya Bee cakap “jangan tanya!”, jawab Sya yang menggigil kesejukan.

Kami kemudiannya membantu membetulkan khemah mereka dan duduk dihadapan unggun api kecil sambil bermain teka-teki dan permainan spontan sehingga ke jam 2.30 pagi. Malam itu, aku tidur bertemankan dengkuran ‘Altec Lansing’ Sainol yang betul-betul tepat ke telinga aku.


Keesokan harinya, awal pagi lagi kami sudah bersiap-siap. Kami ingin mendaki ke puncak Gunung Tiga Negeri. Namun awal-awal lagi kami sudah bersetuju untuk berpatah balik ke khemah pada jam 8 pagi, tidak kira sama ada kami tiba atau tidak di puncak gunung itu. Hanya Che Yop yang tidak mengikuti kami menuju ke puncak sebaliknya tinggal di dalam khemah.


Hujan, angin dan kabus masih setia bersama kami. Kesejukan yang menggigit sehingga ke tulang hitam menyebabkan kami lebih rela berjalan daripada berdiri kesejukan. Kami berjalan dengan rentak yang agak perlahan bermula jam 7 pagi dalam kegelapan hutan yang samar-samar diterangi cahaya matahari yang kelam dek hujan.


Trek pendakian tidaklah terlalu sukar. Kami melepasi batu-batu sempadan Kelantan-Pahang dan meniti rabung Banjaran Titiwangsa yang terkenal dengan beberapa buah gunung yang melebihi paras 7000 kaki dari aras laut. Jam 8.00 pagi kami tiba di sebuah puncak tipu atau false peak. Hujan semakin reda, memberi ruang buat kami untuk bergambar sepuas-puasnya. Ketika ini aku berbincang dengan Az. “Camne bro? Alang-alang je ni”, tanya aku. Azrul menjawab, “Aku tengok Bee sakit lutut, Sainol macam dah tak larat. Apa kata kita dua lari ke puncak”. Perbincangan kami tidak bersambung. Bermacam kemungkinan yang kami fikirkan. Masing-masing asyik mengambil gambar dan akhirnya kami meninggalkan puncak tipu untuk kembali ke khemah bersama-sama. Dalam perjalanan ke tapak khemah, kami menanam harapan. Harapan kami, Che Yop sedang tersenyum menyediakan nasi goreng, air milo dan juga maggi buat kami yang kesejukan dan kelaparan. Aku menambah, “Jangan risau, Che Yop tu rajin”.


Namun harapan kami berkecai. Che Yop masing di dalam sleeping bag di dalam khemah dan tidur mengerekot seperti fetus di dalam rahim. Selepas bersarapan dan berkemas, kami meninggalkan kawasan perkhemahan untuk kembali ke tempat permulaan pendakian. Laluan kami adalah trek yang betul sehinggalah kami tiba di Kem Topo. Kemudian kami menyusuri laluan anak sungai yang pernah digunakan oleh para pendaki kerana terdapat teg yang diikat pada pokok. Jam 1 petang kami sekali lagi hilang punca. GPS pula tidak dapat digunakan dan kami mencari trek sempadan berpandukan kompas dari iPhone Bee , peta dan juga telefon Az. Keadaan semakin kritikal apabila bateri telefon masing-masing semakin kehabisan bateri dan GPS masih tidak dapat menerima isyarat.


Berkat kesabaran dan kerjasama kami, kami akhirnya bertemu laluan trek yang lebih jelas. Trek itu membawa kami ke saluran-saluran PVC yang berselirat. Kami terus berjalan dan akhirnya aku terpandang kawasan rata di sebelah sungai. Aku segera mendaki dan terus menjerit, “Bro, aku dah jumpa jalan!”


Kami bersyukur kerana kami bertemu jalan separa bertar yang menghubungkan jalan besar dengan Blue Valley Dam. Kami berhenti untuk mengalas perut sebelum meneruskan perjalanan ke jalanraya utama. Tuah berpihak pada kami. Di tengah perjalanan, kami terjumpa dua lelaki Bangla yang sedang membuang sisa sayur-sayuran dan kami meminta untuk menumpang mereka ke jalan besar.


Melihat kami yang basah dan keletihan, mereka menumpangkan kami melalui kebun dan ladang-ladang sayur sebelum kami berhenti di sebuah ladang tomato. Jam 4 petang kami dibawa oleh Abang Pojie kembali ke Masjid Kampung Raja. Kami akhirnya berpisah di Kampung Raja. Azrul pulang ke Bidor manakala Sainol kembali ke Terengganu. Aku, Che yop, Bee dan Sha akan kembali ke Kuala Lumpur keesokan harinya.


Walaupun kami tidak berjaya menjejakkan kaki di puncak Gunung Tiga Negeri, kami tetap berpuas hati. Kekecewaan kami diubati dengan gurauan dan gelak tawa sepanjang pendakian dan kami masih mengganggap ekspedisi ini sebagai satu kejayaan. Ada hikmah kami tersalah jalan kerana kami belajar banyak perkara baru.


Pertama, kami belajar mengenai orienteering, bagaimana menggunakan kompas, membaca peta, menggunakan GPS dan membaca koordinat. Kedua, kami terjumpa najis gajah yang memberi peluang untuk kami mengenali habitat gajah yang ada di tanah tinggi dan juga berpeluang melihat sendiri spesis yang jarang ditemui iaitu tunas bunga Rafflesia. Ketiga,kami belajar bagaimana untuk membuat keputusan dan tindakan, berani mengambil risiko dan juga sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal. Keempat, kesabaran, tenang, kepercayaan, kerjasama dan sokongan adalah nilai yang dapat kami terap dalam diri melalui ekspedisi ini.


Siapa sangka. Aku, Az, Che Yop, Sainol, Bee dan Sha bermula dengan laluan 4WD yang mencabar, kemudian meneroka hutan Kelantan yang kaya dengan aliran air, meniti sempadan dua negeri yang kaya dengan khazanah hutan, merentas Banjaran Titiwangsa yang menjadi tulang belakang semenanjung Malaysia, melalui legeh air sebahagian hutan Pahang dan berakhir di sebuah ladang tomato. Pengalaman ini pasti tidak dapat dilupakan sampai bila-bila.


6 ulasan:

mataharisangpemimpi said...

Aku rasa aku lebih enjoy xpdc ni dr Kinabalu punya..lalalala

sagahayat said...

betol3x.....mmg enjoy ar....

kami said...

bestnyeee.....

Unknown said...

Korang ni dah kawin ke belom duk dalam hutan Macam tu tak takut ka jadi apa2..ini lah ajaran medic korang ...

Melor said...

assalam..mcm nak join jer team ni...

sagahayat said...

Bleh je.hehe

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...