SELAMAT HARI GURU, CIKGU!

Saturday, May 15, 2010

Sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini, sagahayat menyenaraikan 7 fakta tentang guru. Untuk semua guru di Malaysia, Selamat Hari Guru, Cikgu!

DEFINISI GURU - Guru berasal dari bahasa Sanskrit गुरू. Kamus Dewan Edisi Ketiga mendefinisikan guru sebagai orang yg mengajar, pendidik, pengajar dan pengasuh. Tesaurus Bahasa Melayu Dewan (1998) pula menterjemahkan guru sebagai cikgu, pensyarah, profesor, pengajar, pendidik, pembimbing, penceramah, pengasuh, pemandu, instruktur, jurulatih, pemimpin, ustaz, ustazah, ulama, kiai, mualim. Dari segi agama pula misalnya agama Hindu dan Sikh, guru mempunyai maksud yang lebih tinggi. Ia biasanya merujuk kepada para pendita yang mempunyai ilmu mendalam dalam hal-hal kerohanian. Perkataan Guru juga diguna secara universal. Di barat, guru merujuk kepada orang yang mendalami spiritual.

GURU DALAM PEPATAH - Terdapat sekurang-kurangnya tujuh pepatah yang terkandung perkataan ‘Guru’ iaitu;
i. Akan mengaji, surat 'lah hilang; akan bertanya, guru 'lah mati.
ii. Sukakan gaharu kerana baunya, sukakan guru kerana ilmunya.
iii. Kemahiran itu sebaik-baik guru.
iv. Kurang sisik, tinggal lidi di buku; selidik, tinggal kaji di guru.
v. Kalau guru makan berdiri, maka muridnya makan berlari.
vi. Guru kencing berdiri, murid kencing berlari
vii. Bak nyiru bak tampian, bak guru bak anak sasian.

GURU PADA NAMA TEMPAT - Guru juga ‘diabadikan’ pada beberapa nama taman perumahan di negara ini. Sekadar menyebut beberapa contoh, berikut adalah antara ‘taman perumahan guru’;
i. Taman Guru, Jalan Gambang, 25000 Kuantan, Pahang
ii. Desa Guru, Jalan Sultan Tengah Petra Jaya Kuching, Sarawak
iii. Taman Guru Jaya, Kangar, Perlis
iv. Taman Guru, 81900 Kota Tinggi , Johor
v. Taman Guru 16150 Kota Bharu, Kelantan

HARI GURU - Hari Guru Antarabangsa ditetapkan oleh UNESCO pada 5 Oktober setiap tahun. Tetapi di Malaysia, Hari Guru disambut pada setiap 16 Mei sebagai penghargaan kepada para guru. Tarikh 16 Mei dipilih kerana pada tarikh yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dasar itu telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan sejak dari itu dan dinamakan Laporan Razak. Berikut adalah Hari Guru yang berbeza di seluruh dunia.
  • Albania - 7 Mac
  • India - 5 September
  • China - 10 September
  • Republik Czech - 28 Mac
  • Korea Selatan - 15 Mei
  • Russia - 5 Oktober
  • Vietnam - 20 November
  • Taiwan - 28 September
  • Thailand - 16 Januari
  • Brazil – 15 Oktober
  • Mexico – 15 Mei

UNIKNYA GURU - Di sekolah, seorang guru juga memegang sekurangnya-kurang 10 kerjaya lain termasuklah Tukang Kebun, Tukang Kayu, Tukang Masak, Jururawat, Kerani, Jurulatih, Pengaturcara Majlis, Juruacara, Polis & Pengawal Keselamatan. Tetapi mutakhir ini, lebih ramai guru yang bertukar kerjaya kepada yang lebih profesional seperti Penulis, Pensyarah, Pengarah Institusi, Ahli Politik, Saintis & Menteri. Uniknya profesion guru adalah tidak kira di mana tempat sekalipun sama ada bandar, luar bandar, pekan, kampung, pedalaman dan sebagainya pasti wujud sekurang-kurangnya seorang guru.

KILANG GURU - Guru-guru Malaysia kebanyakannya dikeluarkan dari Institut Perguruan ataupun kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Terdapat 27 IPGM di seluruh negara iaitu IPGM Perlis, IPGM Darul Aman, IPGM Sultan Abdul Halim, IPGM Persekutuan P.Pinang, IPGM Tuanku Bainun, IPGM Ipoh, IPGM Bahasa Melayu Malaysia, IPGM Bahasa-Bahasa Antarabangsa, IPGM Ilmu Khas, IPGM Teknik, IPGMIslam, IPGM Raja Melewar, IPGM Perempuan Melayu Melaka dan IPGM Tun Hussein Onn. IPGM lain termasuklah IPGM Temenggung Ibrahim, IPGM Tengku Ampuan Afzan, IPGM Kuala Terengganu, IPGM Sultan Mizan, IPGM Kota Baharu, IPGM Gaya, IPGM Kent, IPGM Tawau, IPGM Keningau, IPGM Batu Lintang, IPGM Serawak, IPGM Rajang dan IPGM Tun Abdul Razak.
Namun ‘kilang’ sebenar yang menghasilkan seratus peratus guru adalah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Selain itu, Institut Pengajian Tinggi Awam di seluruh Malaysia seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia & Universiti Putra Malaysia dan lain-lain turut menawarkan kursus pendidikan.

GURU PALING POPULAR - Antara guru yang popular di Malaysia termasuklah Tan Sri P.Ramlee menerusi filem Masam Masam Manis, Roseyatimah (Pendekar Bujang Lapok), A.R Badul (Guru Badul), Noorkumalasari (Adik Manja), Erra Fazira (Sembilu 2005) dan Fasha Sandha (Berlari Ke Langit) dan Adibah Noor (Talentime). Antara guru yang popular di dunia ialah Takeshi Sorimachi menerusi drama bersiri Great Teacher Onizuka (GTO), Sidney Poitier (To Sir With Love), Hilary Swank (Freedom Writers), Julia Roberts (Monalisa Smile), Jack Black (School of Rock) dan Michelle Pfeiffer (Dangerous Minds).

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca
Petikan Sajak Guru O Guru, Usman Awang 1979

0 ulasan:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...