ACARA LUAR PINTU TAHUNAN

Sunday, August 1, 2010


Aktiviti luar pintu ataupun outdoor activities merupakan acara yang wajib dijalankan setiap tahun. Semenjak tahun 2007, aktiviti ini dijalankan pada penghujung setiap tahun dimana destinasi perkhemahan adalah pantai, air terjun dan sebagainya. Warna tema, nama program perkhemahan dan organisasi dibentuk setiap tahun bagi melancarkan aktiviti ini. Diharap aktiviti sebegini akan diteruskan untuk masa-masa yang akan datang.

KEEP FIT KE DABONG
AIR TERJUN JELAWANG, KEM BAHA, DABONG, KELANTAN
TARIKH : 30 NOVEMBER - 3 DISEMBER 2007
WARNA TEMA : HITAM

Keep Fit Ke Dabong mendapat nama dari frasa ‘Keep Fit’ yang merupakan petikan nasihat seorang ahli iaitu Azwad yang mengingatkan semua peserta supaya ‘keep fit’ untuk mendaki ke Kem Baha. Acara ini merupakan yang julung kali diadakan selepas acara-acara lain yang dijalankan dibawah kelolaan kolej kediaman universiti (sebelum ini program ke Gunung Ayam & Gunung Stong melalui Kem Baha). Motto program adalah ‘Hitam Nampak Kemas’ ketika iklan syampu Clear yang menampilkan aktor korea, Rain menyebut ‘Nama Saya Rain’ sedang popular di kaca tv. Seramai 12 orang mengambil bahagian iaitu Am selaku Pengarah, Che Yop (Ajk Peralatan), Kunk, Azwad (Ajk Keselamatan), Kerol, Bob, Tart(Ajk Hiburan), Halim (Sepupu Hiburan), Fad (Ajk Tahan Kencing), Akmar (Ajk Pengangkutan), Rehan (Bendahari) & Bee( Ajk Keceriaan Khemah).

Kami bergerak dari Kuala Lumpur menggunakan pengangkutan awam Keretapi Ekspres Wau ke Stesen Dabong, Kelantan. Sepatutnya kami tiba di Dabong sekitar jam 7.00 pagi tetapi disebabkan terdapat keretapi barang yang tergelincir di Rembau menyebabkan perjalanan kami tergendala hampir 8 jam. Sepanjang keretapi berhenti di Rembau, kami melancarkan ‘Landasan fm’. Kami tiba di Dabong sekitar jam 3.00 petang. Aktiviti meneroka gua terpaksa dibatalkan dan kami mendaki Kem Baha tanpa guider sekitar jam 4.00 petang dan tiba di Kem Baha atau puncak air terjun Jelawang ketika matahari sudah tenggelam.

Pendakian kami berjalan dengan lancar walaupun ‘take 5’ adalah perkara biasa sepanjang pendakian. Ini merupakan aktiviti pertama yang disertai kebanyakan peserta dan kami berjaya mendaki puncak setinggi sekitar 400 meter dari aras laut itu selepas menghabiskan masa hampir 18 jam di dalam keretapi. Keindahan panorama pagi dari puncak itu ‘memaafkan’ keletihan kami dan kedinginan air terjun ‘mengampunkan’ pembatalan penerokaan kami ke gua-gua di Dabong.


SIGAP KE KERACHUT
PANTAI KERACHUT, TAMAN NEGARA PULAU PINANG
TARIKH : 26 - 28 DISEMBER 2008
WARNA TEMA : JINGGA


Sigap Ke Kerachut pula mendapat nama dari sisipan akhbar, Utusan Malaysia iaitu Sigap yang memaparkan artikel mengenai Pantai Kerachut dan Taman Negara Pulau Pinang. Mereka yang menyertai aktiviti ini termasuklah Azwad selaku Pengarah, Che Yop (Ajk Peralatan), Kunk, Am (Ajk Rencam), Lee, Akem, Tart (Ajk Hiburan), Halim (Sepupu Hiburan), Fad, Akmar (Ajk Pengangkutan), Rehan (Bendahari), Bee & Sha (Ajk Makanan).
Kami bergerak dari Kuala Lumpur menaiki Keretapi Ekspres Langkawi ke Stesen Butterworth, Pulau Pinang. Kami kemudiannya menaiki feri dan seterusnya menaiki bas ke Teluk Bahang. Kami memulakan treking sekitar jam 11 pagi dan tiba di Pantai Kerachut sekitar jam 1 petang. Treking ke Pantai Kerachut tidaklah sesukar mana cuma cuaca panas pantai menyebabkan keletihan ‘menjelma’ lebih awal. Cuaca sangat baik sepanjang aktiviti dan kebanyakan dari kami menghabiskan masa di sekitar khemah dengan bermain UNO.
Kami menjangkakan sekitar pantai itu agak sunyi, tetapi cuti sekolah hujung tahun menyebabkan pantai itu agak ramai dengan pengunjung lain yang sama-sama berkhemah di situ. Pantai Kerachut agak bersih tetapi cukup banyak dengan obor-obor menyebabkan beberapa daripada kami disengat organisma itu. Mujur kangkung laut yang tumbuh meliar menjadi penawar kegatalan amukan sang obor-obor. Ritual membaling pasir ke dalam laut (yang diperkenalkan oleh lee yang merupakan seorang ektremis silat) berjaya menghalau obor-obor kembali menyengat kami. Menyaksikan matahari terbenam di atas batu-batu besar di hujung pantai sambil diterpa angin laut yang nyaman merupakan pengalaman yang menakjubkan. Pengalaman yang tak dapat dilupakan pula adalah menaiki bot mengharungi gelombang kuat semasa kembali ke pintu utama Taman Negara menyebabkan ramai yang kecut perut.


TYPO KE BERKELAH
AIR TERJUN BERKELAH, GAMBANG, PAHANG
TARIKH : 18 - 20 DISEMBER 2009
WARNA TEMA : UNGU

Typo Ke Berkelah mendapat nama dari perkataan ‘typo’ yang bermaksud salah eja. Pengarah aktiviti ini iaitu Akmar adalah ‘ legend of the typo’ kerana selalu typo dalam forum ekspedisi dalam laman sosial facebook. Seramai 10 orang mengambil bahagian iaitu Akmar selaku Pengarah, Che Yop (Ajk Peralatan), Azwad (Ajk Keselamatan), Am (Ajk Rencam), Zaiham, Boss (Ajk Suami Isteri) , Elin (Ajk Suami Isteri), Fad (Ajk Pengangkutan), Rehan (Bendahari & Ajk Godaan), Bee( Setiausaha), Raihan (Ajk Makanan) & Scha Al Jasmon yang mengesahkan penyertaan disaat-saat akhir.

Kali ini kami memilih menaiki bas Bulan Restu dari Kuala Lumpur ke Temerloh, bas Rapid ke Maran, teksi Pak Su ke simpang air terjun dan lori abang Along gemuk ke tapak perkhemahan. Belum sampai ke tapak perkhemahan hujan sudah turun mencurah-curah. Hujan berhenti sekejap-sekejap membenarkan kami untuk memasak, memasang khemah dan memasang banner. Malam pertama di sana kami ditemani dengan hujan lebat sampai ke pagi.

Buka mata hari kedua, hujan masih turun. Kami berpindah ke sebuah wakaf untuk memasak dan menanti hujan reda. Kami sempat mendaki menuju air terjun pertama tetapi hasrat itu terpaksa dibatalkan kerana tidak mahu mengambil risiko menyeberang sungai yang agak deras. Bermain-main di sungai ditempat kami berhenti dan di kawasan berhampiran khemah kami sudah cukup baik sepanjang perkhemahan dimusim hujan itu. Kelebihan ekspedisi kali ini adalah game-game spontan dan juga aktiviti bermain gitar sambil menyanyi serta tidur beramai-ramai di wakaf kerana khemah sudah basah. Pengalaman yang menakutkan adalah apabila Zaiham terlihat sesosok putih melintas semasa kebanyakan kami sedang ralit menyanyi pada waktu malam. Yang paling seronok apabila Ajk suami isteri iaitu Boss & Elin sempat belanja peserta yang lain makan gulai ikan patin di bandar Temerloh.

Nota : 2010?

0 ulasan:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...