KANTA DERIA ABAH

Saturday, August 21, 2010

Aku baru balik bercuti dari India sewaktu mendapat berita abah dimasukkan ke hospital kerana serangan strok. Perasaan gembira kembali ke rumah berubah menjadi duka mengenangkan abah sihat-sihat saja sebelum ini.

Keesokan harinya aku melawat abah. Rupanya abah hanya diserang strok mata. Penglihatan mata kanannya sangat terhad iaitu hanya dibawah 10 peratus. Abah dirawat selama lima hari di hospital. Menjelang hari kelima abah di wad, tiada jawapan yang pasti dari mulut doktor. Doktor memberi jaminan rawatan berterusan akan diberikan minggu demi minggu dan abah terus dibawa pulang ke rumah.


Hari demi hari, penglihatan mata kanan abah semakin merosot dan akhirnya hanya gelap sahaja yang dapat dilihat dari mata itu. Mata kirinya terpaksa menanggung beban kerana hanya mata itu sahaja yang benar-benar boleh berfungsi. Itupun tidak sepenuhnya memandangkan abah berkaca mata dan faktor usia abah yang sudah melebihi tujuh dekad menyebabkan penglihatannya tidak seperti penglihatan zaman usia mudanya.

Akhirnya abah pasrah meneruskan hidup dengan bergantung pada mata kirinya. Sebagai anak, aku selalu berdoa agar mata kanan abah akan pulih dan mata kiri abah terus bertahan sehingga akhirnya. Abah teruskan saja rutin hariannya tanpa terlampau memikirkan nikmat mata kanan yang telah ditarik oleh Yang Maha Pencipta itu. Tetapi aku sering memikirkan jasa sepasang mata abah sepanjang usianya sehingga kini.

Abah cukup suka membaca. Dengan mata itulah abah membaca setiap isi buku yang tersusun rapi dirak buku miliknya. Abah juga rajin membaca majalah. Majalah-majalah terbitan Indonesia seperti Tempo, Panji Masyarakat & Media Dakwah dijilidnya seperti tesis. Begitu juga dengan puluhan majalah Massa terbitan Utusan Karya yang juga dijilid dan disusun bagaikan mahakarya penting seorang penulis agung.

Abah membaca patah demi patah perkataan dalam setiap novel karya Hamka seperti Dibawah Lindungan Kaabah dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Abah juga membaca dan menghayati kandungan novel-novel karya sasterawan negara seperti karya Shahnon Ahmad, S.Othman Kelantan dan Usman Awang. Karya yang memenangi anugerah seperti Iman Markisa karya Aminah Mokhtar dan novel pascakemerdekaan seperti Hartini karya Aziz Afkar juga ada dalam simpanan abah. Begitu juga dengan koleksi memoir-memoir tokoh-tokoh di Malaysia.

Abah juga rajin membaca akhbar. Abah tidak memilih. Sama ada akhbar harian ataupun akhbar tabloid, abah baca semuanya. Akhbar bersifat politik seperti Harakah dan Siasah pun abah baca. Hujung minggu sudah semestinya akhbar seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Harian Metro dan Kosmo! menjadi bahan bacaan abah mengisi masa senggang.

Selain membaca abah cukup suka menanam pokok bunga. Taman dihalaman rumah abah sudah cukup untuk membuktikan hobinya itu. Dengan mata itulah abah melihat untuk memangkas dahan-dahan besar pohon bougainvillea, mencantas daun-daun pohon hibiscus dan orkid serta membentuk pohon-pohon renek bonsai miliknya. Setiap pagi dan petang abah menghabiskan masanya berbudi pada tanah dengan menghias halaman rumah dengan warna-warna bunga tempatan. Jika menang pada pandangan matanya, maka menang jugalah pada pandangan mata orang lain. Lantaran itulah halaman abah pernah dianugerahkan halaman tercantik peringkat kampung suatu masa dulu.

Suatu hari aku melihat abah seperti biasa di kerusi malasnya. Jika abah duduk begitu, tangannya pasti memegang apa saja bahan bacaan sambil radio kecilnya memasang siaran lagu-lagu klasik zaman remajanya. Ketika itu abah membaca surat khabar. Pada halaman akhbar itu terdapat beberapa artikel yang begitu halus penulisannya pada pandangan sebelah mata abah. Lalu abah mengambil kanta pembesar dan membaca artikel itu. Seluruh artikel itu abah baca. Seterusnya abah membaca penerangan gambar di dalam pojok-pojok lain menggunakan kanta pembesar miliknya.

Begitulah abah untuk hari-hari seterusnya. Tangannya tidak pernah lekang dengan kanta pembesar yang menjadi pembantu deria lihatnya jika dia memerlukan. Abah begitu tekun. Mungkin baginya adalah satu kerugian sekiranya terlepas satu ilmu yang dapat diraih dari buku-buku, novel-novel, majalah-majalah, akhbar-akhbar dan berbagai-bagai lagi bahan bacaan. Biarlah dengan satu mata atau berkanta pembesar sekalipun, abah pasrah meneruskan hobi yang menjadi kewajipannya setiap hari.

Aku berdoa untuk abah, semoga sisa hidupnya dapat diteruskan meskipun dengan kekurangannya yang ada. Bagi aku, ketekunan dan kegigihan abah menjadi dorongan supaya aku sentiasa bersyukur dan redha dengan qada’ dan qadarNya. Sekalipun abah berkanta pembesar ketika membaca, aku tahu disudut hatinya terukir senyuman tanda kepuasan kerana abah masih boleh membaca, menanam pokok bunga di halaman rumahnya dan melihat anak cucunya membesar dihadapan matanya yang satu itu.

Nota : Kanta Deria Abah adalah Kanta (pembesar) Deria (penglihatan) Abah.

2 ulasan:

zaidzali said...

moga Allah beri kekuatan utk melalui ujian....

sagahayat said...

terima kasih byk2 bro....

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...