KAKI WAYANG PERSEPSI JONI

Thursday, August 5, 2010

Janji Joni merupakan sebuah naskhah Indonesia yang dihasilkan beberapa tahun lalu, yang memaparkan kisah Joni penghantar rol filem di pawagam-pawagam sekitar Jakarta. Joni secara sinis menggambarkan jenis-jenis penonton di pawagam (walaupun hakikatnya pengelompokan ini menerusi pandangan si sutradara, Joko Anwar). Sagahayat mengulas kelompok-kelompok penonton wayang ini yang diinspirasikan dari sedutan filem Janji Joni. Mari kita lihat sama ada kita tergolong dalam kelompok-kelompok ini ataupun pernah terjumpa golongan-golongan ini dalam pawagam khasnya untuk kaki wayang.

1. Penonton Cari Perhatian
Menerusi filem, Joni menyatakan golongan ini adalah mereka yang berdandan cantik, memakai perfum harum semerbak dan bersuara lantang. Mereka dalam satu kumpulan seperti sengaja mencari perhatian. Secara realitinya mungkin ada. Tetapi panggung wayang yang gelap bukan tempat yang sesuai untuk menonjolkan diri. Anda begitu?

2. Penonton Piknik
Popcorn, keropok & air gas merupakan antara pelengkap saat menonton wayang. Golongan ini memang ada. Dua minit pertama popcorn sudahpun tinggal separuh (aku pun selalu). Bunyi mengunyah popcorn adakalanya mengganggu konsentrasi. Berpiknik dalam pawagam sebenarnya lebih sesuai bagi filem yang santai.

3. Penonton Pacaran
Ambil seat paling belakang dan wayang pun bermula. Filem cinta menjadi saksi cinta mereka dalam pawagam. Istilah ‘buat wayang’ memang merujuk pada penonton pacaran. Yang pasti, aku pernah terlihat pasangan cina cium mulut lepas habis tayangan. Tayangan percuma depan mata. Dan mereka tak pilih tempat duduk paling belakang pun.

4. Penonton Pembajak (cetak rompak)
Sepanjang aku menonton di pawagam, aku tidak pernah berjumpa golongan ini. Merakam filem sepanjang durasi 1 jam 30 minit hingga 2 jam memerlukan komitmen yang tinggi. Kecualilah pemilik panggung wayang yang memberi slot khas untuk pembajak-pembajak merakam filem dengan syarat komisyen tertentu.

5. Penonton Spoiler
Jenis ini selalunya sudah menonton filem itu terlebih dahulu. Kemudian dia menonton untuk kali kedua dengan kawan-kawan yang lain. Dari awal dia akan bercerita mengenai sinopsis cerita, siapa yang mati, bagaimana kesudahan movie dan lain-lain. Sudah pasti mood akan hilang kalau menonton wayang bersama penonton spoiler. Pernah jumpa orang macam ini?

6. Penonton Pengkritik Filem
Susah nak jumpa. Sebab di Malaysia selalunya penerbit atau pengedar filem mengadakan tayangan perdana secara percuma khas untuk wakil media. Tapi aku pernah sekali satu pawagam dengan pelakon Pierre Andre & Sasterawan Negara, Usman Awang semasa menyaksikan filem Gubra. Tapi kehadiran dua figura ini rasanya bukan untuk mengkritik tetapi menghayati karya Yasmin Ahmad itu.

7. Penonton Cellphone
Walaupun dah disilentkan, ada penonton yang masih menjawab telefon dalam pawagam. Mungkin urusan penting gamaknya. Untuk golongan ini dinasihatkan supaya bersms saja. SMS pun dapat salur maklumat juga. Ataupun cuba ayat ini dengan sekali panggilan dalam nada berbisik; “Aku dalam wayang ni. Aku telefon nanti”.

8. Penonton Tidur
Gelap & sejuk menjadi dua faktor menjadikan pawagam merupakan tempat yang sesuai untuk melelapkan mata. Pedulikan tentang bunyi dari filem kerana ada dikalangan kita yang ‘kalis bunyi’. Dua jenis penonton ini pula adalah tertidur kerana keletihan dan yang kedua adalah filem yang ditonton sungguh membosankan hingga lebih baik tidur saja. Aku sendiri pun pernah tertidur kerana menonton filem yang membosankan tetapi ada kawan aku yang tidur ketika menonton babak peperangan filem Lord of The Rings!

9. Penonton Lambat Fikir
”Orang jahat tadi dah mati ke?”, “Macam mana dia ada kat situ?” atau "Dia buat apa tadi?" Jika pertanyaan begini datang dari penonton sebelah kita ini namanya malapetaka. Kenikmatan menonton akan terganggu untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan itu. Terus terang memang ada aku terjumpa penonton jenis ini. Dia siap cakap. “Tak bertanya sesat jalan”.

10. Penonton Perfectionist
Ini memang kaki wayang sejati. Dia mahukan kepuasan untuk durasi hampir 2 jam menatap filem layar perak. Kedudukan kerusi yang agak jauh dari skrin merupakan faktor penting. Golden Screen Cinema dan Tanjung Golden Village saja yang layak bagi dirinya untuk menghabiskan masa menonton wayang. Dan jika filem itu ditayangkan secara 3D, sudah pasti itulah pilihannya. Anda penonton jenis ini? Jawapan anda pasti ‘Ya’ kan?

Nota : Pernah sekali aku dan kawan-kawan pergi menonton wayang beramai-ramai. Tetapi ada seorang kawan yang enggan menonton bersama sebaliknya sanggup menunggu di luar sehingga habis tayangan. Terpaksalah seorang kawan membelanjanya tiket wayang. Terbukti dia bukan kaki wayang.

1 ulasan:

sagahayat said...

sorg member dah perasaan org yg dimaksudkan dlm 'nota' adalah dia...ape nak wat..lu mmg bkan kaki wyg bro..hehehe

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...