Dia berhenti seketika. Dia memerhatikan segenap sudut ruang tamunya itu. Kerusi rotannya sudah uzur menanti rebah. Langsirnya sudah tiga tahun tidak berganti. Tikar getah pula bersetai-setai. Baru malam tadi Piah menyuarakan permintaannya pada Jabar untuk membeli kerusi baru. Bab tikar getah, tak mengapalah. Mungkin boleh disembunyikan rupa buruk lantai rumahnya itu dengan permaidani yang baru diberi Bainun, adiknya minggu lepas. Tetapi kerusi rotan itu sudah terlalu usang. Sudah berapa kali Piah memakunya dan diikat dengan wayar berpilin hitam dan merah. Piah berasa malu dengan perabot usang itu yang baginya layak dicampak ke tapak pelupusan sampah.
Piah menghela nafas panjang. Dia menyambung kerjanya yang tertunda dek angan-angan mahu berkerusi baru. Jijah, jirannya baru saja beli set kerusi baru secara ansuran di kedai cina Lee. Sambil menyapu lantai dia mula terfikir. Suami Jijah hanyalah seorang jaga. Tapi mampu beli perabot baru. Padahal Jabar kerja jaga juga. Cuma kilang saja yang berbeza. Piah lihat Jijah cukup gembira berkerusi baru tempoh hari. Saat Piah menjenguk jirannya itu, Jijah girang menyarungkan sarung kusyen baldu warna merah terang sama seperti warna hati Jijah.
Ketika Piah masih mengelamun, Jabar baru saja tiba di tempat kerja. Dia meletakkan motorsikal Honda C70nya betul-betul di sebelah pondok pengawalnya. Jabar sempat berbual dengan rakan sekerjanya yang hendak pulang ke rumah selepas tamat sesi kerja. Jabal kemudian memperlahankan kelajuan kipas dinding dan membuka lembaran surat khabar yang dibelinya pagi tadi. Utusan Malaysia hari itu disertakan bersama katalog perabot. Jabar serta-merta teringat kata-kata Piah mahukan kerusi baru apabila terlihat katalog itu.
Menjelang tengahari barulah beberapa orang pekerja kilang datang bertandang ke pondok pengawal Jabar. Mereka selalu berbual-bual dengan Jabar. “Puasa tak hari ni cik? Kitorang tak puasa”, tegur Wafi sambil disambut gelak tawa kawan-kawannya. Jabar hanya tersenyum sambil menghulurkan surat khabar pada Wafi. Sepanjang Ramadhan Wafi lebih suka duduk di pondok pengawal berbual-bual dan membaca surat khabar sementara menanti waktu zuhur. Sambil berbual dan membaca surat khabar, budak lepasan SPM itu melukis bulatan pada beberapa gambar perabot pilihannya pada katalog perabot dengan pen marker. “Raya ni kilang kita bagi bonus. Aku nak beli tiga-tiga perabot ni”, kata Wafi sambil menudungkan mata pen itu. Kawan-kawannya ketawa lagi. Katalog perabot yang disisipkan bersama surat khabar milik Jabar itu diletakkan kembali dicelah lembaran surat khabar itu dan dimasukkan ke dalam raga motorsikal Jabar.
Jam sudah menjengah 5 petang. Jabar sudah siap sedia untuk pulang ke rumah. Sejam kemudian dia tiba di rumah disambut isterinya, Piah. “Abang nak rehat dulu. Ni surat khabar kalau Piah nak baca”. Piah cukup faham suaminya yang ingin berbaring sebentar sementara menanti waktu berbuka. Piah meletakkan surat khabar itu ke atas meja dan sekonyong-konyong katalog perabot yang terselit dicelah surat khabar itu melayang. Piah mengutipnya di atas lantai, melihat helaian itu dengan dua matanya dan lantas mulutnya tercoret senyuman melihat kertas katalog perabot yang telah diconteng itu. Dia cukup gembira Jabar memahaminya yang mahukan set kerusi baru. Tambahan pula, dia cukup berkenan dengan ketiga-tiga contoh gambar model perabot yang dibulatkan dengan pen itu.
Hatinya berbunga riang. Piah laju-laju menyuruh anak bongsunya membeli kuih-muih dan pecal sebagai juadah sampingan berbuka puasa. Jarang sekali Piah berbelanja untuk berbuka puasa. Selalunya ala kadar sahaja. Tetapi hari itu istimewa. Esok atau lusa kerusi rotan lapuknya berganti set kerusi yang baru sama seperti dalam katalog perabot itu. Ruang tamu Piah pasti sama naik seri macam ruang tamu rumah Jijah. Biarlah dia berbelanja sedikit duit pemberian anaknya Kadir sebagai tanda terima kasih pada Jabar.
Keesokan harinya Jabar bersiap-siap hendak ke tempat kerja. Dia sempat pesan pada Piah. “Kalau ada lori cina Lee datang nanti Piah layanlah ye. Abang dah bayar semua dah. Abang pergi kerja dulu”. Piah menyalam dan mengucup tangan Jabar dan melambainya. Piah terus memanggil anak gadisnya, Siti dan menunjukkan katalog perabot semalam. “Abah kau beli perabot baru. Tapi mak lupa pula nak tanya yang mana satu antara tiga ni. Jom kita angkat kerusi rotan ni ke bawah rumah. Nanti senang kita nak aturkan perabot baru nanti”. Dua beranak itu ketawa. Pagi itu tidak sama seperti pagi ketika Piah berangan-angan mahukan perabot baru. Impian Piah hampir menjadi kenyataan.
Menjelang pukul 11 pagi sebuah lori tiba di halaman berdebu rumah mereka. Piah segera menjenguk di tingkap rumah. Cina Lee memberhentikan lorinya betul-betul dihadapan tangga rumah Piah. Dia mengarahkan kulinya mengangkat segulung tikar getah ke atas rumah Piah. Tetapi perabot didalam lori tidak pula diturunkan. Piah terasa hairan. Lantas dia bertanya pada cina Lee. “Takkan tikar getah je Lee. Mana set kerusi? Kan semalam abang Jabar dah beli kerusi yang ni”, tanya Piah sambil menunjukkan katalog itu. Cina itu mengesat peluh dimuka dengan kolar bajunya sambil berkata, “mana ada maa. Tikar getah saja. Pelabot atas loli untuk lumah lain lor”. Pelat cinanya pekat. Tapi butir katanya cukup untuk membuatkan Piah faham.
“Takpelah mak. Mungkin abah beli perabot tu kat kedai lain kot. Lagipun katalog tu bukan katalog kedai cina Lee. Tapi Court Mammoth. Kita tunggu dulu la atau kita tanya abah nanti”, Siti memujuk ibunya. Hati Piah terpujuk. Tapi dia masih berharap kerusi baru bakal memenuhi ruang kosong ruang tamunya. Biarlah raya kali ini meriah sedikit.
Tikar getah baru bercorak jubin itu Siti bentang. Warna hijau cair tikar getah cukup padan dengan permaidani yang diberi makcik Bainunnya tempoh hari.
Sehingga Jabar kembali dari tempat kerja, tiada lori kedua yang singgah di rumah Piah. Akhirnya Piah bertanya apabila Jabar muncul di muka pintu. “Abang beli set kerusi kat kedai lain ke? Sebab si Lee tadi hantar tikar getar je”. Lama juga Jabar terdiam. Kemudian dia menjawab, “Semalam abang tak beli kerusi pun. Tikar getah tu pun abang bayar ansuran”. Piah mengambil katalog dan bertanya lagi, “Tapi Piah tengok abang bulatkan gambar perabot-perabot ni?”. Secara lembut Piah bertanya minta kepastian.“Ini semua kerja budak-budak kilang ni, bukannya abang”, jawab Jabar sambil meneliti katalog yang ditunjuk Piah.
Piah akhirnya faham. Piah tahu Jabar tak cukup duit. Baru Piah ingat Jabar perlu memberi sebahagian gaji bulanannya pada adiknya, Kasim yang terlantar sakit di hospital. Piah tahu Jabar tidak boleh berbelanja sebarangan. Dan Piah cukup kenal bahawa si Jabar bukan jenis bersultan di mata beraja di hati. Susah macam manapun Jabar pasti memenangi hati Piah. Sebab itu bila Jabar tak mampu beli kerusi dia belikan Piah tikar getah.
Tetapi Piah tetap kecewa kerana hasratnya mahu berkerusi baru tidak kesampaian. Petang itu juga dia menyuruh Siti , Kadir dan anak bongsunya, Ajak menyusun semula kerusi rotan usang dan lapuk itu di ruang tamu. Petang itu Piah tidak banyak bercakap. Piah makan hati berulam jantung. Selepas solat tarawih di masjid dia terus berbaring diatas katil. Matanya menyorot pada bumbung rumahnya yang tidak bersiling.
Lebaran bakal menjelma 10 hari lagi. Piah akhirnya menerima kenyataan. Mungkin bukan tahun ini rezekinya mahu melihat kerusi baru di ruang tamunya. Piah juga berdoa agar rayanya kali ini lebih bermakna walaupun tanpa kerusi baru kerana Piah masih dapat beraya bersama Jabar, Kadir, Siti dan Ajak. Untuk itu Piah membaiki kerusi rotan usang itu. Piah menyuruh Kadir memaku tupai-tupai pada kerusi untuk menyangga kerusi. Kadir juga melilit setiap pertemuan rotan dengan wayar dengan lebih ketat lagi. Piah sama membantu.
Petang itu Dibah Debab anak Tok Penghulu datang berbual-bual dengan Siti. Mereka rancak bercerita pasal Dhamiri, cucu Tok Ngah Abas yang rupa parasnya persis pelakon hindi. Mereka ketawa terkekek-kekek. Sambil itu, Kadir menjeling-jeling dengan wajah mencuka kerana tidak suka dengan perangai gedik Dibah Debab. Tambah-tambah bunyi Dibab Debab dan Siti ketawa cukup mengganggu konsentrasinya menonton rancangan Dekoraya di hujung ruang tamu.
Dek kerana terlalu kuat ketawa, dengan tak semena-mena kerusi rotan yang diduduk Dibah Debab patah dua. Ketawa terhenti. Kadir bingkas bangun sambil menyeringai. “Kurang ajar! Baru pagi tadi aku betulkan kerusi tu, gemuk!”. Kadir berlalu. Tapi Dibah Debab tak pernah ambil hati sebab dia tahu Kadir memang bencikannya. Dibah Debab bangun sambil dibantu Siti tapi mereka masih ketawa kecil mengenangkan apa yang berlaku. Piah bergegas datang dari dapur apabila terdengar bunyi macam kayu patah. Piah menutup mulutnya dengan tangan apabila melihat kerusi rotannya patah dua. Dia berpura-pura ketawa walaupun dalam hatinya hanya tuhan yang tahu. Kerusi rotan itu tidak mungkin dapat dibaiki lagi.
Dibah Debab minta maaf pada Siti dan Piah. Sebelum pulang, ekor mata gadis bertubuh besar itu sempat memandang Kadir yang sedang bermasam muka di beranda rumah.
Piah biarkan saja kerusi itu di dalam rumah. Kadir bercekak pinggang melihat kerusi rotan rumahnya ranap dipatahkan gadis yang tidak disukainya itu. Siti memegang bahu ibunya seraya mengajak ibunya menyiapkan juadah berbuka.
Selepas tarawih di masjid Piah sempat mendengar tazkirah ringkas Ustaz Zawawi. Ustaz Zawawi berceramah tentang erti raya yang sebenar. “Kalau kita sebut raya mesti semua nak baru.Kasut barulah, baju barulah, langsir baru, karpet baru. Pendek kata semua nak baru. Kononnya barulah raya tu sempurna”. Ustaz Zawawi menambah lagi, “Tapi kita selalu lupa raya ni untuk meraikan kemenangan kita sebab dapat menyempurnakan Ramadhan. Puasa kita, tarawih kita, zikir kita, amalan kita. Semuanya kita boleh dapat menjelang Syawal. Barulah raya itu sempurna. Jadi, marilah kita sama-sama tingkatkan amalan dan berdoalah, sebab doa pada bulan Ramadhan adalah yang paling makbul”! Piah mengangguk kecil sambil tersenyum. Sepanjang Ramadhan, puasanya tidak pernah tinggal, tarawihnya lengkap 20 beserta witir dan dia berkira-kira untuk menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhannya. Tazkirah Ustaz Zawawi tadi memberi Piah semangat untuk melupakan hasrat berkerusi baru dan memperbanyakkan amalannya sepanjang Ramadhan.
Ramadhan berbaki dua hari lagi. Piah dan Siti sibuk membersihkan rumah. Kerusi yang patah disimpan di belakang rumah. Kerusi yang masih boleh dipakai Kadir susun elok-elok walaupun sudah berpaku sana-sini. Awal-awal lagi Kadir sudah memberi amaran pada Ajak supaya jangan sesekali berani melompat-lompat di atas kerusi rotan itu. Langsir jarang bewarna biru Piah pasang semula setelah siap dibasuh. Permaidani pemberian Bainun, Siti hampar di atas tikar getah hijau yang masih belum hilang baunya.
Dari kejauhan Piah nampak ada lori besar membelok ke simpang rumah Piah. Ajak menjerit-jerit memanggil ibunya. Piah menuruni anak tangga diekori Siti. Di belakang lori itu adalah kereta kancil milik Dibah Debab. Berpeluh-peluh Dibah Debab keluar dari kereta dan kemudian berlari-lari anak mendapatkan Siti dan Piah di hujung tangga.
“Siti, kau ingat tak hari masa aku patahkan kerusi kau hari tu? Masa tu aku sempat hantar SMS peraduan Dekoraya. Alah....takkan kau tak ingat. Masa tu aku tengok rancangan yang Kadir pasang kat tv. Aku saja-saja try SMS. Tak sangka pulak aku menang!”, tercungap-cungap Dibah Debab menerangkan.
“Habis tu?”, tanya Siti minta penjelasan. “Aku nak hadiahkan hadiah yang aku menang ni pada keluarga kau. Yelah..kan aku dah patahkan kerusi kau hari tu. Kira hadiah hari raya la ni”, sambung anak Tok Penghulu kampung itu sambil mengipas-ngipas mukanya dengan tangan.
Sofa badak berjenama terkenal diangkut ke dalam rumah Piah. Langsir jarang Piah berganti langsir polos jenis kain mahal. Meja sudut baru dihias bunga tulip yang disusun sebegitu saja. Almari sudut yang baru dipasang pemegangnya dihias cantik-cantik dengan koleksi pingat Kadir dan gelas-gelas tempat bunga telur kenduri kahwin. Replika hiasan sudu dan garfu kayu yang tergantung di dinding rumah Piah selama ini berganti gambar lukisan abstrak yang Piah sendiri tidak tahu apa maksudnya.
Hampir satu jam pekerja-pekerja syarikat itu mengemas rumah Piah. Piah menghidangkan air sirap pada cina-cina yang menyiapkan ruang tamu rumah Piah itu. Piah sangat berpuas hati. Hatinya riang seperti ada kanak-kanak bermain bunga api di dalamnya. Siti tersenyum sambil melentokkan kepalanya pada bahu Dibah Debab. Gadis manis itu berterima kasih pada Dibah Debab kerana menjadikan rayanya cukup bermakna kali ini. Kadir sempat tersenyum pada Dibah Debab yang telah menggembirakan hati ibunya.
Sewaktu Piah gembira bukan kepalang, Jabar tiada di rumah. Dia sedang bekerja dan selepas waktu kerja dia terus ke majlis berbuka puasa anjuran kilangnya. Jabar tiba di rumah sewaktu Piah masih bertelekung dan baru melabuhkan punggungnya di anak tangga sesudah pulang solat tarawih di masjid. “Piah, tadi masa berbuka puasa abang menang cabutan bertuah. Pagi esok kilang hantar set meja makan ke rumah kita”, cerita Jabar bersungguh-sungguh. Piah tersenyum lagi. Senyumannya menampakkan barisan giginya yang tidak sempurna itu. Berkat kesabarannya, dia merasakan raya itu paling sempurna. Benar kata Ustaz Zawawi. Doa Ramadhan itu makbul.
Nota : Hayati Ramadhan & nikmati Syawal.
0 ulasan:
Post a Comment