1001 PERIHAL FACEBOOK

Wednesday, September 22, 2010

• Seorang artis mengugut untuk membunuh sebilangan wartawan hiburan melalui laman web sosial facebook.
• Selebriti terkenal, Harith Iskandar bertemu jodoh di laman facebook.
• Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak menjemput 300 rakan facebooknya beramah mesra di Putrajaya pada satu jamuan minum petang.
• Pembaca berita Astro Awani mengalu-alukan sebarang bentuk cadangan yang boleh diajukan di laman sesawang facebook.
• Ketua Pegawai Eksekutif Herba Prima Marketing, Datuk Dr. Che Rozmey mendedahkan rahsia bahawa facebook boleh menjadi perigi duit yang menjana transaksi jutaan ringgit sebulan.
• Satu akaun khas facebook diwujudkan bagi mengucapkan takziah kepada keluarga jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.


Kisah tadi merupakan beberapa contoh yang menunjukkan perkembangan laman sosial facebook sebagai satu fenomena yang 'menyerang' pelbagai kelompok dalam masyarakat kita. Masyarakat jelas melihat facebook yang diasaskan oleh Mark Zuckerberg sejak tahun 2004 ini merupakan trend semasa yang melanda anak muda apabila rata-rata remaja yang berusia 13 tahun ke atas sudah memiliki akaun facebook.

Secara umumnya, facebook ialah sebuah tapak web rangkaian sosial yang dikendali dan dimiliki secara persendirian oleh Facebook.Inc dan ianya sebenarnya lebih menyasarkan kepada golongan belia berbanding dewasa. Pengguna boleh menambah rakan dan saling menghantar mesej, serta mengemaskini profil peribadi mereka sebagai makluman kepada rakan-rakan. Namun, tidak kira penggunanya baik remaja, belia mahupun dewasa, facebook pada hari ini dilihat mendatangkan keburukan apabila ada dikalangan pengguna yang mula ketagih dengan laman sosial ini. Produktiviti sesebuah organisasi mula goyah apabila rata-rata pekerja leka bermain facebook. Tetapi benarkah perkara ini berlaku?

Mark Zuckerberg, pengasas dan pencipta facebook.
Suatu ketika dahulu, penyampai radio Hot.fm mengutarakan topik tentang laman sosial ini dan membincangkan isu status-status di facebook ataupun ringkasnya dipanggil fb. Ada pemanggil yang kurang puas hati apabila ada dikalangan rakan facebooknya yang mengemaskini status fb hampir setiap jam. Bangun pagi, pergi mandi, tengah sarapan, tengah drive dan banyak lagi, semuanya diceritakan di dalam fb. Adakah perlu? Bak kata pemanggil yang lain, “Suka hatilah!”. Apabila seorang pengguna wanita menaip “I hate you!” pada status fbnya, sudah pasti ramai yang menjangkakan dia bergaduh dengan si suaminya sedangkan wanita itu tadi mungkin marahkan komputer ribanya yang bermasalah! Inilah kelemahan tulisan tanpa emosi sebenar. Dan jika benar wanita tadi bertengkar dengan suaminya, perlukah masalah rumahtangganya dicanang dan dikongsi di facebook?

Menurut kajian yang dijalankan oleh Oxygen Media, ketagihan facebook lebih mudah berlaku pada wanita dan dalam masa yang sama ia tidak menafikan keterlibatan lelaki dalam hal ini. Kajian terhadap 1605 pengguna Facebook yang berumur diantara 18 ke 54 tahun di barat mendapati 39% daripada mereka mengaku ketagihan facebook. Dalam lingkungan usia 18 hingga 34 tahun pula, 34% responden membuka facebook sebelum memberus gigi manakala 26% sanggup bangun pada tengah malam untuk membaca mesej di dalam akaun facebooknya. 57% daripada responden pula berasa lebih selesa bersosial menerusi laman sosial ini berbanding bertentang mata.

Kita tinggalkan sebentar isu ketagihan facebook. Apa kata kita lihat beberapa cebisan kisah menarik berkenaan facebook dari seluruh dunia.

• Danielle Smith yang berasal dari Missouri, Amerika Syarikat memuatnaik foto keluarganya untuk berkongsi bersama keluarga dan rakan. Smith terkejut apabila mendapat tahu bahawa foto keluarganya itu dijadikan iklan terpampang di sebuah kedai makanan di Republik Czech.
• Sebuah syarikat insurans menarik balik bayaran pada Nathalie Blanchard yang berasal dari Quebec, Kanada apabila mendapati wanita itu berpura-pura sakit apabila dia bercuti dan berlibur di sebuah pantai. Blanchard telah memuatnaik fotonya bercuti di pantai sedangkan dia sepatutnya dalam tempoh cuti sakit.
• Dana Hanna dari Abindon mengambil telefon bimbitnya dan mengemaskini status hubungannya di laman facebook sejurus selepas dia dan isterinya selamat bergelar suami isteri. Malah dihadapan paderi, isteri Hanna turut melakukan perkara yang sama.
• Rodney Bradford dari Harlem telah ditangkap atas tuduhan merompak. Namun status facebooknya pada masa kejadian menyebabkan dia mempunyai alibi untuk menyisihkan dan menyelamatkannya daripada tuduhan jenayah itu.

Apapun facebook tetap menjadi perantara yang dapat menghubungkan semula rakan-rakan yang pernah terpisah dan juga berperanan sebagai laman sembang terbuka yang boleh dilawati oleh sesiapa saja. Perniagaan dapat diperkembangkan dan pelbagai lapangan ilmu dari diraih daripada laman web sosial yang digilai di seluruh dunia ini. Yang penting, tepuk dada tanya selera. Jika nilai silaturrahim sesama insan bertambah erat kerana facebook, maka tujuan asalnya sudah tercapai. Jika berlaku sebaliknya dan kita terus dibuai ketagihan budaya ini, maka kita sesat dalam kepesatan teknologi di hujung jari.

0 ulasan:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...