WAYANG GAMBAR YANG TAK MENJADI

Saturday, September 25, 2010

Kita selalunya tahu tentang filem-filem yang dianugerahkan Hollywood sebagai Best Picture (Filem Terbaik) menerusi Academy Award seperti The Hurt Locker, Slumdog Millionaire dan The Departed tetapi pernahkah kita dengar tentang anugerah yang memberi gelaran Worst Picture (Filem Terburuk). Golden Raspberry Award ataupun Razzie Award adalah anugerahnya. Majlis penganugerahan ini diadakan sehari sebelum majlis Academy Award. Trofinya berbentuk buah raspberry sebesar bola golf yang hanya beharga US$4.79. Ayuh kita semak senarai 10 filem untuk tahun 2000 hingga 2009 yang bergelar Filem Terburuk.

BATTLEFIELD EARTH - Filem Terburuk 2000 ini dilakonkan oleh pelakon terkenal John Travolta bersama isterinya Kelly Preston dan juga Barry Pepper. Filem aksi peperangan fiksyen berbajet besar ini diarahkan Roger Christian yang juga memenangi anugerah Pengarah Terburuk. Travolta, Preston & Pepper masing-masing meraih gelaran Aktor Terburuk, Aktres Terburuk dan Aktor Pembantu Terburuk.

FREDDY GOT FINGERED - Filem aksi komedi ini dilakonkan oleh Tom Green dan diarahkan oleh orang yang sama iaitu Tom Green. Freddy Got Fingered berjaya meraih anugerah Filem Terburuk 2001. Filem ini juga memenangi hati juri untuk kategori Aktor Terburuk & Pengarah Terburuk yang dimenangi oleh Tom Green dan Tom Green.

SWEPT AWAY - Swept Away adalah remake kepada filem Swept Away by an Unusual Destiny in the Blue Sea of August tetapi kalah di Oscar, menang di Razzie. Si pengarah, laki kepada Madonna, Guy Richie turut merangkul gelaran Pengarah Terburuk. Madonna sudah tentu mendapat anugerah Aktres Terburuk berkongsi gelaran dengan Britney Spears menerusi filem Crossroads.

GIGLI - Gigli menang besar apabila meraih tiga anugerah utama iaitu Pengarah Terburuk, Aktor Terburuk dan Aktres Terburuk. Pemenangnya adalah Martin Brest (Pengarah), Ben Affleck (Aktor) dan Jennifer Lopez (Aktres). Walaupun Gigli menampilkan pelakon ternama, ia tetap tidak menjadi. Pilihan juri selayaknya menobatkan Gigli sebagai Filem Terburuk.

CATWOMAN - Pemegang watak Catwoman untuk filem ini iaitu Halle Berry hadir untuk menerima anugerah Aktres Terburuk. Begitu juga dengan penulis lakon layarnya iaitu Michael Ferris untuk Penulis Lakon Layar Terburuk. Pemenang lain ialah Pitof untuk Pengarah Terburuk dan sudah tentu filemnya Catwoman selaku Filem Terburuk.

DIRTY LOVE - Dirty Love tidak ditayangkan di negara ini menyebabkan filem ini kurang dikenali. Jenny McCarthy memenangi dua anugerah iaitu Aktres Terburuk dan Penulis Lakon Layar Terburuk. Pengarah Terburuk pemenangnya ialah John Mallory Asher menerusi Dirty Love manakala Filem Terburuk sekali lagi Dirty Love.

BASIC INSTINCT 2 - Filem Basic Instinct membawa kepada sekuelnya iaitu Basic Instinct 2 tetapi gagal di mata pengkritik menyebabkan filem sekuel ini diundi sebagai Filem Terburuk 2006. Tetapi pengarahnya terlepas gelaran Pengarah Terburuk apabila dimenangi oleh M.Night Shymalan menerusi filem Lady In The Water.

I KNOW WHO KILLED ME - Kemenangan terbesar buat Lindsay Lohan untuk anugerah terburuk. Dia meraih gelaran anugerah Aktres Terburuk berkongsi tempat dengan dirinya juga untuk watak yang satu lagi menerusi filem yang sama. Malah dia turut memenangi gelaran Pasangan Layar Terburuk bersama dirinya juga untuk filem itu. Menambah koleksi, filem ini turut diberi anugerah Pengarah Terburuk untuk Chris Sivertson dan dilabel Filem Terburuk 2007.

THE LOVE GURU - Menampilkan nama-nama besar seperti Mike Myers, Jessica Alba dan Justin Timberlake tidak menjamin kemenjadian filem ini tetapi dianugerahi Filem Terburuk. Malah Myers mendapat anugerah Aktor Terburuk dan Penulis Lakon Layar Terburuk menerusi filem yang sama. Pengarah The Love Guru, Marco Schnabel bernasib baik apabila tidak memenangi Pengarah Terburuk sebaliknya dimenangi oleh Uwe Boll menerusi pencalonan 4 filem.

TRANSFORMERS: REVENGE OF THE FALLEN - Filem blockbuster ini berjaya meraih kutipan jutaan dolar dari pawagan serata dunia tetapi gagal di mata pengkritik. Filem ini dikritik habis-habisan sehinggalah mendapat gelaran Filem Terburuk 2009. Si pengarah, Michael Bay turut mendapat gelaran Pengarah Terburuk menerusi filem sekuel Transformers ini. Boleh dikatakan Transformers: Revenge of The Fallen adalah filem terburuk yang mendapat kutipan tertinggi setakat ini.


Nota : Sekiranya sagahayat diberi peluang menjadi juri, filem terburuk 2010 adalah milik The Last Airbender.

0 ulasan:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...